Saturday 30 January 2016

Riwayat Nabi Yunus (020)...^^..

Riwayat Nabi Yunus (020)...^^..

Kewafatan Nabi Ilyasa' menyebabkan umatnya (Bani Israil)
meninggalkan Islam dan menyimpang ke arah yang bertentangan
dengan ajaran agama yang di bawa Nabi Ilyasa' Semakin hari
kekufuran mereka semakin meningkat, sehingga Allah melenyapkan
ke atas diri mereka nikmat dan kesenangan. Pada zaman ini
lahir seorang Nabi yang bernama Yunus a.s.

Tidak banyak yang dikisahkan oleh Al Quran tentang Nabi Yunus
sebagaimana yang telah dikisahkan tentang nabi-nabi Musa,
Yusuf dan lain-lain. Dan sepanjang yang dapat dicatat dan
diceritakan oleh para sejarawan dan ahli tafsir tentang Nabi
Yunus ialah bahawa beliau bernama Yunus bin Matta. Ia telah
diutuskan oleh Allah untuk berdakwah kepada penduduk di sebuah
tempat bernama "Ninawa" yang bukan kaumnya dan tidak pula ada
ikatan darah dengan mereka. Ia merupakan seorang asing
mendatang di tengah-tengah penduduk Ninawa itu. Ia menemui
mereka berada di dalam kegelapan, kebodohan dan kekafiran,
mereka menyembah berhala menyekutukan kepada Allah.

Ketika menjangkau usia 30 tahun Allah mengutuskan beliau,
Yunus membawa ajaran tauhid dan iman kepada mereka, mengajak
mereka agak menyembah kepada Allah yang telah menciptakan
mereka dan menciptakan alam semesta, meninggalkan persembahan
mereka kepada berhala-berhala yang mereka buat sendiri dari
batu dan berhala-berhala yang tidak dapat membawanya manfaaat
atau mudarat bagi mereka. Ia memperingatkan mereka bahawa
mereka sebagai manusia, makhluk Allah yang utama yang
memperoleh kelebihan di atas makhluk-makhluk yang lain, tidak
sepatutnya merendahkan diri dengan menundukkan dahi dan wajah
mereka menyembah batu-batu mati yang mereka pertuhankan,
padahal itu semua buatan mereka sendiri yang kadang-kadang dan
dapat dihancurkan dan diubah bentuk dan memodelnya.

Ia mengajak mereka berfikir memperhatikan ciptaan Allah
di dalam diri mereka sendiri, di dalam alam sekitar untuk
menyedarkan mereka bahawa, Tuhan pencipta itulah yang patut
disembah dan bukannya benda-benda ciptaannya.

Ajaran-ajaran Nabi Yunus itu bagi para penduduk Ninawa
merupakan hal yang baru yang belum pernah mereka dengar
sebelumnya. Kerananya mereka tidak dapat menerimanya untuk
menggantikan ajaran dan kepercayaan yang telah diwariskan oleh
nenek moyang mereka yang sudah menjadi adat kebiasaaan mereka
turun temurun. Apalagi pembawa agama itu adalah seorang asing
tidak seketurunan dengan mereka.

Mereka berkata kepada Nabi Yunus, " Apakah kata-kata yang
engkau ucapkan itu dan kedustaan apakah yang engkau anjurkan
kepada kami tentang agama barumu itu ? Inilah tuhan-tuhan kami
yang sejati, yang kami sembah dan disembahkan oleh nenek
moyamg kami sejak dahulu. Alasan apakah yang membenarkan kami
meninggalkan agama kami yang diwariskan oleh nenek moyang kami
dan menggantikannya dengan agama barumu ? Engkau adalah
seorang yang ditengah-tengah kami yang datang untuk merusakkan
adat istiadat kami dan mengubah agama kami dan apakah
kelebihan kamu diatas kami yang memberimu alasan untuk
menggurui dan mengajar kami. Hentikanlah aksimu dan ajak-
ajakanmu di daerah kami ini. Percayalah bahawa engkau tidak
akan dapat pengikut diantara kami dan bahawa ajaranmu tidak
akan mendapat pasaran di antara rakyat Ninawa yang sangat
teguh, mempertahankan tradisi dan adat istiadat orang-orang
tua kami."

Berkata Nabi Yunus menjawab, " Aku hanya mengajak kamu beriman
dan bertauhid menurut agama yang aku bawa sebagai amanat Allah
yang wajib ku sampaikan kepadamu. Aku hanya seorang pesuruh
yang ditugaskan oleh Allah untuk mengangkat kamu dari lembah
kesesatan dan kegelapan, menuntun kamu ke jalan yang benar dan
lurus, menyampaikan kepada kamu agama yang suci bersih dari
benih-benih kufur dan syirik yang merendahkan martabat manusia
yang semata-mata untuk kebaikan kamu sendiri dan kebaikan anak
cucumu kelak. Aku sesekali tidak mengharapkan sesuatu upah
atau balas jasa daripadamu dan tidak pula menginginkan pangkat
atau kedudukan. Aku tidak dapat memaksamu untuk mengikutiku
dan melaksanakan ajaran-ajaranku. Aku hanya mengingatkan
kepadamu, bahawa bila kamu tetap membangkang dan tidak
menghiraukan ajakanku, tetap menolak agama Allah yang aku
bawa, tetap mempertahankan akidahmu dan agamamu yang bathil
dan sesat itu, nescaya Allah kelak akan menunjukkan kepadamu
tanda-tanda kebenaran risalahku dengan menurunkan azab
seksaNya di atas kamu sebagaimana telah dialami oleh kaum
terdahulu iaitu kaum Nuh, Aad dan Tsamud sebelum kamu."

Mereka menjawab peringatan Nabi Yunus dengan tentangan seraya
mengatakan, " Kami tetap menolak ajakanmu dan tidak akan
tunduk pada perintahmu atau mengikut kemahuanmu dan sesekali
kami tidak akan takut akan segala ancamanmu. Cubalah datangkan
apa yang engkau ancamkan itu kepada kami jika engkau memang
benar dalam kata-katamu dan tidak mendustai kami."

Bertahun-tahun lamanya beliau menyeru kaum tersebut untuk
menyembah Allah, tetapi semuanya ingkar kecuali hanya dua
orang sahaja. Mereka yang mahu beriman kepada Allah ialah
Ruhil dan Tanukh.

Beliau menerima wahyu daripada Allah agar meneruskan dakwahnya
untuk tempoh 40 hari lagi. Sekiranya dalam tempoh tersebut
mereka masih tidak mahu beriman kepada Allah, nescaya Allah
akan menurunkan azab seksaanNya. Pada hari yang ke 37, umat
Nabi Yunus masih tetap berada di dalam kekufuran. Pelbagai
ancaman diberikan Nabi Yunus kepada mereka, namun mereka tetap
tidak mengendahkannya.

Nabi Yunus tidak tahan tinggal dengan lebih lama di tengah-
tengah kaum Ninawa yang berkeras kepala dan bersikap buta-tuli
menghadapi ajaran dan dakwahnya. Ia lalu meninggalkan Ninawa
dengan rasa jengkel dan marah seraya memohon kepada Allah
untuk menjatuhkan hukumannya atas orang-orang yang membangkang
dan berkeras kepala itu.

Sepeninggalan Nabi Yunus, penduduk Ninawa mulai melihat tanda-
tanda yang mencemaskan seakan-akan ancaman Nabi Yunus kepada
mereka akan menjadi kenyataan dan hukuman Allah akan benar-
benar jatuh di atas mereka membawa kehancuran dan kebinasaan
sebagaimana yang telah dialami oleh kaum musyrikin penyembah
berhala sebelum mereka. Mereka melihat keadaan udara
disekeliling Ninawa makin menggelap, binatang-binatang
peliharaan mereka nampak tidak tenang dan gelisah, wajah-wajah
mereka tanpa disadari menjadi pucat tidak berdarah dan angin
dari segala penjuru bertiup dengan kencangnya membawa suara
gemuruh yang menakutkan.

Dalam keadaan panik dan ketakutan, sedarlah mereka bahawa
Yunus tidak berdusta dalam kata-katanya dan bahawa apa yang
diancamkan kepada mereka bukanlah ancaman kosong buatannya
sendiri, tetapi ancaman dari Tuhan. Segeralah mereka
menyatakan taubat dan memohon ampun atas segala perbuatan
mereka, menyatakan beriman dan percaya kepada kebenaran dakwah
Nabi Yunus seraya berasa menyesal atas perlakuan dan sikap
kasar mereka yang menjadikan beliau marah dan meninggalkan
daerah itu.

Untuk menebus dosa, mereka keluar dari kota dan beramai-ramai
pergi ke bukit-bukit dan padang pasir, seraya menangis memohon
ampun dan rahmat Allah agar dihindarkan dari bencana azab dan
seksaanNya. Ibu binatang-binatang peliharaan mereka dipisahkan
dari anak-anaknya sehingga terdengar suara teriakan binatang-
binatang yang terpisah dari ibunya seolah-olah turut memohon
keselamatan dari bencana yang sedang mengancam, akan tiba
menimpa mereka.

Allah yang Maha Mengetahui bahawa hamba-hambaNya itu jujur
dalam taubatnya dan rasa sesalannya dan bahawa mereka memang
benar-benar dan hatinya sudah kembali beriman dan dari hatinya
pula memohon dihindarkan dari azab seksaNya, berkenan
menurunkan rahmatNya dan mengurniakan maghfiratNya kepada
hamba-hambaNya yang dengan tulus ikhlas menyatakan bertaubat
dan memohon ampun atas segala dosanya. Udara gelap yang
meliputi Ninawa menjadi terang, wajah-wajah yang pucat kembali
merah dan berseri-seri dan binatang-binatang yang gelisah
menjadi tenang, kemudian kembalilah orang-orang itu ke kota
dan kerumah masing-masing dengan penuh rasa gembira dan syukur
kepada Allah yang telah berkenan menerima doa dan permohonan
mereka.

Berkatalah mereka didalam hati masing-masing, setelah merasa
tenang, tenteram dan aman dari malapetaka yang nyaris melanda
mereka, " Di manakah gerangan Yunus sekarang berada ? Mengapa
kami telah tunduk kepada bisikan syaitan dan mengikuti hawa
nafsu, menjadikan dia meninggalkan kami dengan rasa marah dan
jengkel kerana sikap kami yang menentang dan memusuhinya.
Alangkah bahagianya kami andaikan ia masih berada di tengah-
tengah kami menuntun dan mengajari kami hal-hal yang membawa
kebahagiaan kami di dunia dan di akhirat. Ia adalah benar-
benar rasul dan nabi Allah yang telah kami sia-siakan. Semoga
Allah mengampuni dosa kami."

*** Nabi Yunus Ditelan Ikan.

Adapun tentang keadaan Nabi Yunus yang telah meninggalkan kota
Ninawa secara mendadak, maka ia berjalan kaki mengembara naik
gunung turun gunung tanpa tujuan. Tanpa disadari ia tiba-tiba
berada disebuah pantai melihat sekelompok orang yang lagi
bergegas-gegas hendak menumpang sebuah kapal. Ia minta dari
pemilik kapal agar diperbolehkan ikut serta bersama lain-lain
penumpang. Kapal segera melepaskan sauhnya dan meluncur dengan
lajunya ke tengah laut yang tenang. Ketenangan laut itu tidak
dapat bertahan lama, kerana sekonyong-konyong tergoncang dan
terayunlah kapal itu oleh gelombang besar yang datang mendadak
diikuti oleh tiupan angin taufan yang kencang, sehingga
menjadikan juru mudi kapal berserta seluruh penumpangnya
berada dalan keadaan panik ketakutan melihat keadaan kapal
yang sudah tidak dapat dikuasai keseimbangannya.

Para penumpang dan juru mudi melihat tidak ada jalan untuk
menyelamatkan keadaan jika keadaan cuaca tetap mengganas dan
tidak mereda, kecuali dengan jalan meringankan beban berat
muatan dengan mengorbankan salah seorang daripada para
penumpang. Undian lalu dilaksanakan untuk menentukan siapakah
di antara penumpang yang harus dikorbankan. Pada tarik pertama
keluarlah nama Yunus, seorang penumpang yang mereka paling
hormati dan cintai, sehingga mereka semua merasa berat untuk
melemparkannya ke laut menjadi mangsa ikan.

Kemudian diadakanlah undian bagi kali kedua dengan masing-
masing penumpang mengharapkan jangan sampai keluar lagi nama
Yunus yang mereka sayangi itu, namun melesetlah harapan mereka
dan keluarlah nama Yunus kembali pada undian yang kedua itu.
Demikianlah bagi undian bagi kali yang ketiganya yang
disepakati sebagai yang terakhir dan yang menentukan nama
Yunuslah yang muncul yang harus dikorbankan untuk
menyelamatkan kapal dan para penumpang yang lain.

Nakhoda kapal tersebut berkata, " Biasanya kapal ini tidak
akan membawa pelarian. Sekiranya terdapat pelarian didalamnya
sudah pasti keadaan sebegini akan terjadi." " Apakah ada
diantara penumpang kapal ini merupakan seorang pelarian ? Jika
ada lebih baik mengaku sahaja dan terjunlah ke dalam air,
sebagai menjamin keselamatan orang lain." Mendengar
perbicaraan tersebut, Yunus berkata, " Memang benar, saya
merupakan seorang pelarian."

Nabi Yunus yang dengan telitinya memperhatikan sewaktu undian
dibuat merasa bahawa keputusan undian itu adalah kehendak
Allah yang tidak dapat ditolaknya yang mungkin didalamnya
terselit hikmah yang ia belum dapat menyelaminya. Yunus sedar
pula pada saat itu bahawa ia telah melakukan dosa dengan
meninggalkan Ninawa sebelum memperoleh kebenaran dari Allah,
sehingga mungkin keputusan undian itu adalah sebagai penebusan
dosa yang ia lakukan itu.

Kemudian ia beristikharah sejenak dan tanpa ragu segera terjun
melemparkan dirinya ke laut yang segera diterima oleh lipatan
gelombang yang sedang mengamuk dengan dahsyatnya di bawah
langit yang kelam pekat. Selagi Nabi Yunus berjuang melawan
gelombang yang mengayun-ayunkannya, Allah mewahyukan kepada
seekor ikan paus untuk menelannya bulat-bulat dan
menyimpangnya di dalam perut sebagai amanat Tuhan yang harus
dikembalikannya utuh tidak tercedera kelak bila saatnya tiba.

Nabi Yunus yang berada di dalam perut ikan paus yang
membawanya memecah gelombang, timbul dan tenggelam ke dasar
laut merasa sesak dada dan bersedih hati seraya memohon ampun
kepada Allah atas dosa dan tindakan yang salah yang
dilakukannya tergesa-gesa. Ia berseru didalam kegelapan perut
ikan paus itu,

" Ya Tuhanku, sesungguhnya tiada Tuhan selain Engkau, Maha
sucilah Engkau dan sesungguhnya aku telah berdosa dan menjadi
salah seorang dari mereka yang zalim."

Setelah selesai menjalani hukuman Allah, selama beberapa waktu
yang telah ditentukan, ditumpahkanlah Nabi Yunus oleh ikan
paus itu yang mengandungnya dan dilemparkannya ke darat. Ia
terlempar dari mulut ikan ke pantai dalam keadaan kurus lemah
dan sakit. Akan tetapi Allah dengan rahmatNya menumbuhkan
di tempat ia terdampar sebuah pohon labu yang dapat menaungi
Yunus dengan daun-daunnya dan menikmati buahnya.

Nabi Yunus setelah sembuh dan menjadi segar kembali
diperintahkan oleh Allah agar pergi kembali mengunjungi Ninawa
di mana seratus ribu lebih penduduknya mendamba-dambakan
kedatangannya untuk memimpin mereka dan memberi tuntunan lebih
lanjut untuk menyempurnakan iman dan aqidah mereka. Dan
alangkah terkejutnya Nabi Yunus, tatkala masuk Ninawa dan
tidak melihat satu pun patung berhala berdiri. Sebaliknya ia
menemui orang-orang yang dahulunya berkeras kepala
menentangnya dan menolak ajarannya dan kini sudah menjadi
orang-orang mukmin, soleh dan beribadah memuja-muji Allah
s.w.t.

Ketika dalam perjalanan menghampiri kampung halamannya, beliau
menemui seorang anak penggembala, lalu ia bertanya,

" Bagaimana perkhabaran penduduk yang tinggal di kampung
ini ?" Penggembala itu menjawab, " Khabar baik, mereka hidup
dalam keadaan aman sentosa, setelah bertaubat kepada Allah
terlebih dahulu sewaktu diturunkan azab. Azab seksaan itu
tidak diturunkan Allah. Penduduk kampung ini sekarang amat
menantikan kedatangan Nabi mereka yang telah lama
menghilangkan diri."

Mendengar kata-kata anak penggembala itu. Nabi Yunus berasa
gembira seraya berkata, " Akulah Yunus, Nabi mereka." Setelah
kedua-dua mereka tiba di kampung halaman, anak penggembala itu
berteriak menyampaikan berita tersebut kepada para penduduk
kampung di atas kedatangan Nabi Yunus. Seluruh penduduk
kampung menyambut kedatangan beliau dengan penuh kegembiraan.

Pokok cerita tentang Yunus terurai di atas dikisahkan oleh
Al Quran dalam surah Yunus ayat 98, surah Al Anbiaa' ayat 87,
88 dan surah Ash Shaffaat ayat 139 sehingga ayat 148.

" 98@ (Dengan kisah Firaun itu) maka ada baiknya kalau
(penduduk) sesebuah negeri beriman (sebelum mereka ditimpa
azab), supaya imannya itu mendatangkan manfaat
menyelamatkannya. Hanya kaum Nabi Yunus sahaja yang telah
berbuat demikian (ketika mereka beriman), Kami elakkan azab
sengsara yang membawa kehinaan dalam kehidupan dunia dari
menimpa mereka, dan Kami berikan mereka menikmati kesenangan
sehingga ke suatu masa (yang Kami tentukan). {Surah Yunus}

" 87@ Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun Nun, ketika ia pergi
(meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan
ia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan
atau cubaan, (setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku) maka
ia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata,
“ Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan
Engkau (ya Allah) ! Maha Suci Engkau (daripada melakukan
aniaya, tolongkanlah daku) ! Sesungguhnya aku adalah dari
orang-orang yang menganiaya diri sendiri.”

88@ Maka Kami kabulkan permohonan doanya, dan Kami selamatkan
dia dari kesusahan yang menyelubunginya, dan sebagaimana Kami
menyelamatkannya. Kami akan selamatkan orang-orang yang
beriman (ketika mereka merayu kepada Kami)." {Surah Al Anbiya}

" 139@ Dan sesungguhnya Nabi Yunus adalah dari Rasul-rasul
(Kami) yang diutus.

140@ (Ingatkanlah peristiwa) ketika ia melarikan diri ke kapal
yang penuh sarat.

141@ (Dengan satu keadaan yang memaksa) maka dia pun turut
mengundi, lalu menjadilah ia dari orang-orang yang kalah yang
digelunsurkan (ke laut).

142@ Setelah itu, ia ditelan oleh ikan besar, sedang ia berhak
ditempelak.

143@ Maka kalaulah ia bukan dari orang-orang yang sentiasa
mengingati Allah (dengan zikir dan tasbih),

144@ Tentulah ia akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga
ke hari manusia dibangkitkan keluar dari kubur.

145@ Oleh itu Kami campakkan dia keluar (dari perut ikan)
ke tanah yang tandus (di tepi pantai), sedang ia berkeadaan
sakit.

146@ Dan Kami tumbuhkan (untuk melindunginya) sebatang pokok
yang berdaun lebar.

147@ Dan (Nabi Yunus yang tersebut kisahnya itu) Kami utuskan
kepada (kaumnya yang seramai) seratus ribu atau lebih.

148@ (Setelah berlaku apa yang berlaku) maka mereka pun
beriman, lalu Kami biarkan mereka menikmati kesenangan hidup
hingga ke suatu masa (yang ditetapkan bagi masing-masing)."
{Surah Ash Shaffat}

*** Pengajaran yang dapat dipetik dari kisah Nabi Yunus.

Bahawasannya seorang yang bertugas sebagai da'i, juru dakwah
harus memiliki kesabaran dan tidak boleh cepat-cepat marah dan
berputus asa bila dakwahnya tidak dapat sambutan yang
selayaknya atau tidak segera diterima oleh orang-orang yang
didakwahinya. Dalam keadaan demikian ia harus bersabar
mengawal emosinya serta tetap meneruskan dakwahnya dengan
bersikap bijaksana dan lemah lembut, sebagaimana firman Allah
dalam surah An Nahl ayat 125 yang bermaksud, " Serulah,
berdakwahlah kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran
yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik {sopan
dan lemah lembut}."

Di dalam diri Nabi Yunus, Allah telah memberi contoh betapa ia
telah disesalkan atas tindakannya yang tergesa-gesa kerana
kehilangan kesabaran, meninggalkan kaum Ninawa, padahal mereka
masih dapat disedarkan untuk menerima ajakannya, andaikan ia
tidak terburu-buru marah dan meninggalkan mereka tanpa
berunding lebih dahulu dengan Allah yang telah mengutusnya.

Atas pelanggaran yang telah dilakukan tanpa sedar Allah telah
memberi hukuman kepada Nabi Yunus berupa kurungan dalam perut
ikan paus sebagai peringatan dan pengajaran agar tidak
terulang lagi setelah ia diberi ampun dan disuruh kembali
ke Ninawa melanjutkan dakwahnya.

No comments:

Post a Comment