Wednesday 20 January 2016

Al Quran Indonesia. 010. Surah Yunus (Nabi Yunus a.s.)...

Al Quran Indonesia. 010. Surah Yunus (Nabi Yunus a.s.)...

BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

1@ Alif, Laam Raa’ ini ialah ayat-ayat Kitab (Al Quran) yang
mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap teguh.

2@ Tidaklah patut adanya pada manusia yang ingkar itu perasaan
hairan disebabkan Kami telah wahyukan kepada seorang lelaki
dari jenis mereka (Nabi Muhammad, dengan berfirman kepadanya),
“ Berilah amaran kepada umat manusia (yang ingkar, dengan
balasan azab) dan sampaikanlah berita yang mengembirakan
kepada orang-orang yang beriman, bahawa bagi mereka ada
persediaan yang sungguh mulia di sisi Tuhan mereka (disebabkan
amal-amal soleh yang mereka kerjakan). (Setelah Nabi Muhammad
memberi amaran dan menyampaikan berita yang mengembirakan)
berkatalah orang-orang kafir (yang merasa hairan) itu,
“ Sebenarnya (Al Quran) ini ialah sihir yang terang nyata.”

3@ Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menjadikan langit
dan bumi dalam enam masa kemudian Ia bersemayam di atas Arasy
mentadbirkan segala urusan. Tidak ada sesiapa pun yang dapat
memberi syafaat melainkan sesudah diizinkanNya. (Yang bersifat
demikian) itulah Allah, Tuhan (yang memelihara dan
mentadbirkan keadaan) kamu, maka tunduklah dan taatlah kamu
kepada perintahNya, patutkah kamu (setelah mengetahui
kenyataan yang tersebut) tidak mahu mengingatiNya ?

4@ KepadaNyalah kembalinya kamu semua, sebagai janji Allah
yang benar. Sesungguhnya Dialah yang memulakan kejadian
sekalian makhluk, kemudian Ia mengembalikannya (hidup semula
sesudah matinya), untuk membalas orang-orang yang beriman dan
beramal soleh dengan adil, dan orang-orang yang kafir pula,
disediakan bagi mereka minuman dari air panas yang
menggelegak, dan azab yang tidak terperi sakitnya, disebabkan
mereka ingkar dan berlaku kufur.

5@ Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-
benderang) dan bulan bercahaya, dan Dialah yang menentukan
perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-randah) pada tempat-
tempat peredarannya masing-masing) supaya kamu dapat
mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak
menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan
gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-ayatNya (tanda-
tanda kebesaranNya) satu persatu bagi kaum yang mahu
mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikanNya).

6@ Sesungguhnya pada pertukaran malam dan siang silih
berganti, dan pada segala yang dijadikan oleh Allah di langit
dan di bumi, ada tanda-tanda (yang menunjukkan undang-undang
dan peraturan Allah) kepada kaum yang mahu bertaqwa.

7@ Sesungguhnya orang-orang yang tidak menaruh ingatan akan
menemui Kami (pada hari akhirat untuk menerima balasan), dan
yang reda (berpuashati) dengan kehidupan dunia semata-mata
serta merasa tenang tenteram dengannya, dan orang-orang yang
tidak mengendahkan ayat-ayat (keterangan dan tanda-tanda
kekuasasaan) Kami,

8@ Mereka yang demikian keadaannya (di dunia), tempat kediaman
mereka (di akhirat) ialah neraka, disebabkan keingkaran dan
kederhakaan yang mereka telah lakukan.

9@ Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh,
Tuhan mereka akan memimpin mereka dengan sebab iman mereka
yang sempurna itu. (Mereka masuk ke taman yang) sungai-
sungainya mengalir di bawah tempat kediaman mereka di dalam
Syurga yang penuh nikmat.

10@ Doa ucapan mereka di dalam Syurga itu ialah Maha Suci
Engkau dari segala kekurangan wahai Tuhan ! Dan ucapan
penghormatan mereka padanya ialah, " Selamat sejahtera !" Dan
akhir doa mereka ialah segala puji dipersembahkan kepada Allah
yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam !

11@ Dan kalau Allah menyegerakan bagi manusia azab sengsara
yang mereka minta disegerakan, sebagaimana mereka minta
disegerakan nikmat kesenangan, nescaya binasalah mereka dan
selesailah ajal mereka. Oleh itu, (Kami tidak menyegerakan
azab yang dimintanya), Kami biarkan orang-orang yang tidak
menaruh ingatan menemui Kami itu meraba-raba dalam
kesesatannya.

12@ Dan apabila seseorang manusia ditimpa kesusahan, merayulah
ia ditimpa Kami (dalam segala keadaan), sama ada ia sedang
berbaring atau duduk ataupun berdiri, dan manakala Kami
hapuskan kesusahan itu daripadanya, ia terus membawa cara
lamanya seolah-olah dia tidak pernah merayu kepada Kami
memohon hapuskan sebarang kesusahan yang menimpanya
(sebagaimana ia memandang eloknya bawaan itu) demikianlah
diperelokkan pada pandangan orang-orang yang melampau apa yang
mereka lakukan.

13@ Dan sesungguhnya Kami telah membinasakan umat-umat yang
terdahulu daripada kamu semasa mereka berlaku zalim padahal
telah datang kepada mereka Rasul-rasul mereka membawa
keterangan-keterangan, dan mereka masih juga tidak beriman.
Demikianlah Kami membalas kaum yang melakukan kesalahan.

14@ Kemudian Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) khalifah-
khalifah di bumi menggantikan mereka yang telah dibinasakan
itu, supaya Kami melihat apa pula corak dan bentuk kelakuan
yang kamu akan lakukan.

15@ Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang
jelas nyata, berkatalah orang-orang yang tidak menaruh ingatan
menemui Kami (untuk menerima balasan), “ Bawalah Quran yang
lain daripada ini atau tukarkanlah dia.“ Katakanlah (wahai
Muhammad), “ Aku tidak berhak menukarkannya dengan kemahuanku
sendiri, aku hanya tetap menurut apa yang diwahyukan kepadaku
sahaja. Sesungguhnya aku takut (jika aku menderhaka kepada
Tuhanku), akan azab hari yang besar (soal jawabnya).”

16@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Jika Allah kehendaki
(supaya aku tidak membacakan Al Quran ini kepada kamu),
tentulah aku tidak dapat membacakannya kepada kamu, dan
tentulah Ia tidak memberitahu kamu akan Al Quran ini (dengan
perantaraanku), kerana sesungguhnya aku telah tinggal dalam
kalangan kamu satu masa yang lanjut (dan kamu pula mengenal
aku sebagai seorang yang amanah) sebelum turunnya Al Quran
ini, maka mengapa kamu tidak mahu memikirkannya ?”

17@ Dengan yang demikian, tidaklah ada yang lebih zalim
daripada orang yang berdusta terhadap Allah, atau yang
mendustakan ayat-ayatNya. Sesungguhnya orang-orang yang
berdosa itu tidak akan berjaya.

18@ Dan mereka menyembah yang lain dari Allah, sesuatu yang
tidak dapat mendatangkan mudarat kepada mereka dan tidak dapat
mendatangkan manfaat kepada mereka dan mereka pula berkata,
“ Mereka (yang kami sembah itu) ialah pemberi-pemberi syafaat
kepada kami di sisi Allah.” Katakanlah (wahai Muhammad),
“ Adakah kamu hendak memberitahu kepada Allah akan apa yang Ia
tidak mengetahui adanya di langit dan di bumi (padahal Allah
mengetahui segala-galanya) ? Maha Suci Allah dan tertinggi
keadaanNya dari apa yang mereka sekutukan.”

19@ Dan (ketahuilah bahawa) manusia pada mulanya tidak memeluk
melainkan ugama yang satu (ugama Allah), kemudian (dengan
sebab menurut hawa nafsu dan Syaitan) mereka berselisihan. Dan
kalau tidaklah kerana telah terdahulu Kalimah ketetapan dari
Tuhanmu (untuk menangguhkan hukuman hingga hari kiamat),
tentulah telah diputuskan hukuman di antara mereka (dengan
segeranya di dunia) mengenai apa yang mereka perselisihkan
itu.

20@ Dan mereka yang ingkar itu berkata, “ Mengapa tidak
diturunkan kepada (Muhammad) satu mukjizat dari Tuhannya ?“
Maka jawablah (wahai Muhammad), “ Sesungguhnya perkara yang
ghaib itu tertentu bagi Allah, oleh itu tunggulah (hukuman
Allah), sesungguhnya aku juga di antara orang-orang yang
menunggu."

21@ Dan apabila Kami beri manusia merasai sesuatu rahmat
sesudah mereka ditimpa sesuatu kesusahan, mereka dengan serta-
merta melakukan rancangan mereka menentang ayat-ayat
keterangan Kami dengan mendustakannya dan mengingkarinya.
Katakanlah (wahai Muhammad), “ Allah lebih cepat melakukan
rancangan menentangnya !” Sesungguhnya malaikat-malaikat
utusan Kami sentiasa menulis akan rancangan tipu daya yang
kamu jalankan itu.

22@ Dialah yang menjalankan kamu di darat dan di laut (dengan
diberi kemudahan menggunakan berbagai jenis kenderaan),
sehingga apabila kamu berada di dalam bahtera, dan bahtera itu
pula bergerak laju membawa penumpang-penumpangnya dengan
tiupan angin yang baik, dan mereka pun bersukacita dengannya,
tiba-tiba datanglah kepadanya angin ribut yang kencang, dan
mereka pula didatangi ombak menimpa dari segala penjuru, serta
mereka percaya bahawa mereka diliputi oleh bahaya, pada saat
itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan
kepercayaan mereka kepadaNya semata-mata (sambil merayu dengan
berkata), “ Demi sesungguhnya ! jika Engkau (Ya Allah)
selamatkan kami dari bahaya ini, kami tetap menjadi orang-
orang yang bersyukur.”

23@ Kemudian bila sahaja Allah selamatkan mereka, mereka
dengan serta-merta merebakkan perbuatan derhaka di bumi dengan
tidak ada sebarang alasan yang benar. Wahai manusia !
Sesungguhnya perbuatan kamu menderhaka itu hanyalah bala
bencana terhadap diri kamu sendiri. (Dengan itu kamu hanya
dapat merasai) kesenangan hidup di dunia (bagi sementara),
kemudian kepada kamilah tempat kembalinya kamu, maka Kami akan
memberitahu apa yang kamu telah lakukan.

24@ Sesungguhnya bandingan kehidupan dunia hanyalah seperti
air hujan yang Kami turunkan dari langit, lalu (tumbuhlah
dengan suburnya) tanaman-tanaman di bumi dari jenis-jenis yang
dimakan oleh manusia dan binatang bercampur-aduk dan berpaut-
pautan (pokok-pokok dan pohonnya) dengan sebab air itu hingga
apabila bumi itu lengkap sempurna dengan keindahannya dan
berhias (dengan bunga-bungaan yang berwarna-warni), dan
penduduknya pun menyangka bahawa mereka dapat berbagai-bagai
tanaman serta menguasainya (mengambil hasilnya) datanglah
perintah Kami menimpakannya dengan bencana pada waktu malam
atau pada siang hari, lalu Kami jadikan dia hancur-lebur,
seolah-olah ia tidak ada sebelum itu. Demikianlah Kami
menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum
yang mahu berfikir (dan mengambil iktibar daripadanya).

25@ (Itulah dia kesudahan kehidupan dunia), dan sebaliknya
Allah menyeru manusia ke tempat kediaman yang selamat sentosa,
dan Dia sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada sesiapa
yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya)
ke jalan yang betul lurus (yang selamat itu).

26@ Untuk orang-orang yang berusaha menjadikan amalnya baik
dikurniakan segala kebaikan serta satu tambahan yang mulia dan
air muka mereka pula (berseri-seri) tidak diliputi oleh
sebarang kesedihan dan kehinaan. Mereka itulah ahli Syurga,
mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.

27@ Dan untuk orang-orang yang melakukan kejahatan (syirik dan
maksiat), balasan tiap-tiap satu kejahatan mereka ialah
kejahatan yang sebanding dengannya serta akan ditimpakan
kehinaan, tiadalah bagi mereka pelindung dari (seksa) Allah,
muka mereka (hitam legam) seolah-olahnya ditutup dengan
beberapa bahagian (yang gelap-gelita) dari malam yang gelap-
gelita. Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.

28@ Dan (ingatlah) masa Kami himpunkan mereka semua (pada hari
kiamat), kemudian Kami berfirman kepada orang-orang musyrik,
“ Tunggulah di tempat kamu semua, kamu dan makhluk-makhluk
yang kamu jadikan sekutu”, sesudah itu kami putuskan
perhubungan baik di antara mereka. Dan berkatalah makhluk-
makhluk yang mereka sembah itu (sebagai berlepas diri),
“ Bukanlah kami yang kamu puja dan taat (sebenarnya kamu hanya
memuja dan mentaati hawa nafsu kamu sendiri) !"

29@ “ (Allah mengetahui apa yang sebenarnya), oleh itu,
cukuplah Allah sebagai saksi antara kami dengan kamu, bahawa
sesungguhnya kami tidak menyedari pujaan atau penyembahan kamu
(kepada kami).”

30@ Pada masa itu tiap-tiap diri dapatlah mengetahui (dan
merasai) akan apa yang telah dikerjakan dan mereka
dikembalikan kepada Allah Tuhan mereka yang sebenar-benarnya
(yang akan membalas dengan adilnya), dan (dengan itu) hilang
lenyaplah dari mereka apa yang mereka ada-adakan.

31@ Bertanyalah kepada mereka (yang musyrik itu), “ Siapakah
Yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi ? Atau
siapakah yang menguasai pendengaran dan penglihatan ? Dan
siapakah yang mengeluarkan makhluk yang hidup dari benda yang
mati, dan mengeluarkan benda yang mati dari makhluk yang
hidup ? Dan siapakah pula yang mentadbirkan urusan sekalian
alam ?“ (Dengan pertanyaan-pertanyaan itu) maka mereka (yang
musyrik) tetap akan menjawab (mengakui) dengan berkata,
“ Allah jualah yang menguasai segala-galanya !“ Oleh itu,
katakanlah, “ (Jika kamu mengakui yang demikian), maka mengapa
kamu tidak mahu bertaqwa ?"

32@ Maka yang demikian (sifatNya dan kekuasaanNya) ialah
Allah, Tuhan kamu yang sebenar-benarnya, sesudah nyatanya
sesuatu yang betul dan benar, maka tidakkah yang lain daripada
itu salah dan karut sahaja ? Oleh itu, bagaimana kamu dapat
dipesongkan dari kebenaran ?

33@ (Sebagaimana benarnya ketuhanan itu bagi Allah sahaja)
demikianlah benarnya kalimah ketetapan hukum Tuhanmu, terhadap
orang-orang yang fasik kerana bahawasanya mereka tidak
beriman.

34@ Bertanyalah (kepada mereka wahai Muhammad), “ Adakah
di antara makhluk-makhluk yang kamu sekutukan dengan Tuhan
itu, sesiapa yang mula menciptakan sesuatu kejadian kemudian
ia mengembalikan adanya semula (pada hari kiamat) ?“
Katakanlah, " Allah jualah yang mula menciptakan sekalian
makhluk kemudian Ia mengembalikan adanya semula (untuk
menerima balasan), oleh itu, mengapa kamu rela dipalingkan
(kepada menyembah yang lain) ?”

35@ Bertanyalah (wahai Muhammad), “ Adakah di antara makhluk-
makhluk, yang kamu sekutukan dengan Tuhan itu, sesiapa yang
dengan memberi petunjuk kepada kebenaran ?“ Katakanlah,
“ Allah jualah yang memberi hidayah petunjuk kepada kebenaran,
(kalau sudah demikian) maka adakah yang dapat memberi hidayah
petunjuk kepada kebenaran itu, lebih berhak diturut, ataupun
yang tidak dapat memberi sebarang petunjuk melainkan sesudah
ia diberi hidayah petunjuk ? Maka apakah alasan sikap kamu
itu ? Bagaimana kamu sanggup mengambil keputusan (dengan
perkara yang salah, yang tidak dapat diterima oleh akal) ?”

36@ Dan kebanyakan mereka, tidak menurut melainkan sesuatu
sangkaan sahaja, (padahal) sesungguhnya sangkaan itu tidak
dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran
(iktiqad). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang
mereka lakukan.

37@ Dan bukanlah Al Quran ini sesuatu yang boleh diada-adakan
oleh yang lain dari Allah, tetapi Al Quran itu diturunkan oleh
Allah untuk membenarkan Kitab-kitab yang diturunkan
sebelumnya, dan untuk menjelaskan satu persatu hukum-hukum
Syarak yang diwajibkan (atas kamu), tidak ada sebarang syak
dan ragu-ragu pada Al Quran itu tentang datangnya dari Allah,
Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam.

38@ (Orang-orang kafir tidak mengakui hakikat yang demikian
itu) bahkan mereka mengatakan, “ Dialah (Muhammad) yang
mengada-adakan Al Quran menurut rekaannya.” Katakanlah (wahai
Muhammad), “ Kalau demikian, datangkanlah satu surah yang
sebanding dengan Al Quran itu, dan panggillah siapa sahaja
yang kamu dapat memanggilnya, yang lain dari Allah (untuk
membantu kamu), jika betul kamu orang-orang yang benar !”.

39@ Bahkan mereka pula terburu-buru mendustakan Al Quran yang
fahaman mereka tidak dapat meliputi segala isi pengetahuannya,
dan belum datang kepada mereka kenyataan yang menjelaskan
kebenarannya. Demikianlah juga orang-orang sebelum mereka
mendustakan (Kitab-kitab Allah yang diturunkan kepada mereka).
Maka lihatlah bagaimana akibat orang-orang yang zalim itu
(berakhir dengan berbagai bencana yang membinasakan mereka).

40@ Dan di antara mereka ada yang beriman kepada Al Quran, dan
ada di antaranya yang tidak beriman langsung kepadanya, dan
(ingatlah), Tuhanmu lebih mengetahui akan orang-orang yang
melakukan kerosakan.

41@ Dan jika mereka terus-menerus mendustakanmu (wahai
Muhammad), maka katakanlah, “ Bagiku amalku, dan bagi kamu
pula amal kamu. Kamu tidak bertanggungjawab akan apa yang aku
kerjakan, dan aku juga tidak bertanggungjawab akan apa yang
kamu kerjakan.”

42@ Dan di antara mereka (yang ingkar) itu, ada yang datang
mendengar ajaranmu (dengan tidak mendapat faedah sedikitpun
sebagai orang pekak), maka engkau (wahai Muhammad) tidak
berkuasa menjadikan orang-orang yang pekak itu mendengar, juga
kalau mereka menjadi orang-orang yang tidak mahu memahami
perkara yang didengarnya.

43@ Dan di antara mereka pula ada yang memandang kepada
perkara-perkara yang engkau tunjukkan (tetapi mereka tidak
nampak kebenarannya sebagai orang buta), maka engkau (wahai
Muhammad) tidak berfaedah menunjuk jalan kepada orang-orang
yang buta, juga kalau mereka menjadi orang-orang yang tidak
mahu melihat (perkara yang engkau tunjukkan itu).

44@ Sesungguhnya Allah tidak menganiaya manusia sedikitpun,
akan tetapi manusia jualah yang menganiaya diri mereka
sendiri.

45@ Dan (ingatlah) masa Tuhan himpunkan mereka (pada hari
kiamat kelak), dengan keadaan mereka merasai seolah-olah
mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu saat
sahaja dari siang hari. Mereka akan berkenal-kenalan sesama
sendiri. Sesungguhnya rugilah orang-orang yang telah
mendustakan hari menemui Allah untuk menerima balasan, dan
yang tidak mendapat petunjuk (ke jalan mencari untung semasa
hidup di dunia).

46@ Dan jika Kami perlihatkan kepadamu (wahai Muhammad) akan
sebahagian dari balasan azab yang Kami janjikan kepada mereka,
atau jika Kami wafatkan engkau sebelum itu, maka kepada
Kamilah tempat kembali mereka, kemudian Allah yang memberi
keterangan mengenai apa yang mereka lakukan.

47@ Dan bagi tiap-tiap satu umat ada seorang Rasul (yang
diutuskan kepadanya), setelah datang Rasul masing-masing
(menerangkan apa yang mesti diterangkan) maka hukuman pun
dijalankan di antara mereka dengan adil dan mereka tetap tidak
dianiaya.

48@ Dan mereka (yang kafir) bertanya, “ Bilakah berlakunya
azab yang telah dijanjikan itu, jika betul kamu orang-orang
yang benar ?”

49@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Aku tidak berkuasa menolak
mudarat dan tidak juga berkuasa mendatangkan manfaat bagi
diriku kecuali apa yang dikehendaki Allah. Bagi tiap-tiap umat
ada tempoh yang ditetapkan, maka apabila tempohnya, tidak
dapat mereka melambatkannya sesaatpun, dan tidak dapat mereka
menyegerakannya.”

50@ Katakanlah, “ Sudahkah kamu nampak jalan keluar jika
datang kepada kamu azab Tuhan itu, pada waktu malam atau pada
waktu siang ? Azab manakah yang orang-orang berdosa itu minta
disegerakan (sedang sebarang azab wajib ditakuti) ?"



51@ Patutkah (kamu mengingkari azab itu), kemudian apabila ia
menimpa kamu, kamu mengakui benarnya ? (Sedang pengakuan pada
masa itu tidak diterima bahkan dikatakan kepada kamu),
“ Sekarangkah baharu kamu mengakui benarnya, padahal sebelum
ini kamu telah menunjukkan keingkaran dengan meminta
disegerakan kedatangannya ?”

52@ Kemudian dikatakan lagi kepada orang-orang yang berlaku
zalim itu, “ Rasakanlah azab yang kekal. Tidaklah kamu dibalas
melainkan dengan apa yang kamu usahakan (di dunia).”

53@ Dan mereka (yang meminta disegerakan azab) itu akan
bertanya kepadamu (wahai Muhammad), “ Adakah kedatangan azab
yang dijanjikan itu benar ?“ Jawablah, “ Ya, demi Tuhanku !
Sesungguhnya adalah ia benar ! Dan kamu tidak sekali-kali
berkuasa menahan kedatangannya.”

54@ Dan pada masa itu sekiranya tiap-tiap seorang yang berlaku
zalim (kepada dirinya sendiri atau kepada orang lain) itu
mempunyai segala yang ada di bumi, tentulah ia rela menebus
dirinya dengan semuanya itu (dari azab yang akan menimpanya),
dan mereka tetap akan merasa sesal serta kecewa manakala
mereka melihat azab itu, dan Allah putuskan hukum di antara
mereka dengan adil serta mereka tidak akan dianiaya dengan
keputusan itu.

55@ Ingatlah ! Sesungguhnya segala yang ada di langit dan
di bumi adalah kepunyaan Allah. Awaslah ! Sesungguhnya janji
Allah itu adalah benar, tetapi kebanyakan manusia tidak
mengetahui.

56@ Dialah yang menghidupkan dan yang mematikan, dan
kepadaNyalah kamu akan dikembalikan untuk menerima balasan.

57@ Wahai umat manusia ! Sesungguhnya telah datang kepada kamu
Al Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan
yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada
di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk
keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang
beriman.

58@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Kedatangan Al Quran itu
adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih
sayangNya, maka dengan isi kandungan Al Quran itulah hendaknya
mereka bersukacita (bukan dengan yang lainnya), kerana ia
lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan dari segala
benda dan perkara yang tidak kekal).”

59@ Katakanlah (kepada kaum yang mengada-adakan sesuatu
hukum), “ Sudahkah kamu nampak baik buruknya sesuatu yang
diturunkan Allah untuk manfaat kamu itu sehingga dapat kamu
jadikan sebahagian daripadanya haram, dan sebahagian lagi
halal ?” Katakanlah lagi (kepada mereka), “ Adakah Allah
izinkan bagi kamu berbuat demikian, atau kamu hanya mengada-
adakan secara dusta terhadap Allah ?”.

60@ Dan apakah sangkaan orang-orang yang mengada-adakan kata-
kata dusta terhadap Allah, (tidakkah mereka akan diazabkan)
hari kiamat kelak ? Sebenarnya Allah jualah yang melimpahkan
kurnia kepada manusia (meliputi rezeki pemberianNya dan hukum-
hukum Syarak yang diturunkanNya), tetapi kebanyakan mereka
tidak bersyukur.

61@ Dan tidaklah engkau (wahai Muhammad) dalam menjalankan
sesuatu urusan, dan tidaklah engkau dalam membaca sesuatu
surah atau sesuatu ayat dari Al Quran dan tidaklah kamu (wahai
umat manusia) dalam mengerjakan sesuatu amal usaha, melainkan
adalah Kami menjadi saksi terhadap kamu, ketika kamu
mengerjakannya. Dan tidak akan hilang lenyap dari pengetahuan
Tuhanmu sesuatu dari sehalus-halus atau seringan-ringan yang
ada di bumi atau di langit, dan tidak ada yang lebih kecil
dari itu dan tidak ada yang lebih besar, melainkan semuanya
tertulis di dalam Kitab yang terang nyata.

62@ Ketahuilah ! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada
kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka,
dan mereka pula tidak akan berdukacita.

63@ (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta
mereka pula sentiasa bertaqwa.

64@ Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang mengembirakan
di dunia dan di akhirat, tidak ada sebarang perubahan pada
janji-janji Allah yang demikian itulah kejayaan yang besar.

65@ Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) merasa dukacita
disebabkan kata-kata mereka yang ingkar itu, kerana
sesungguhnya segala kekuasaan tertentu bagi Allah, Dialah Yang
Maha Mendengar, lagi Yang Maha Mengetahui.

66@ Ingatlah ! Sesungguhnya bagi Allah jualah segala yang ada
di langit dan yang ada di bumi dan bahawa mereka yang
menyembah sesuatu yang selain Allah sebagai sekutuNya, mereka
tidak menurut (sesuatu keyakinan), mereka hanya menurut
sangkaan semata-mata, dan mereka hanyalah orang-orang yang
sentiasa berdusta.

67@ Dialah yang menjadikan malam bagi kamu supaya kamu berehat
padanya, dan menjadikan siang terang-benderang (supaya kamu
berusaha). Sesungguhnya perubahan malam dan siang itu
mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Allah)
bagi kaum yang mahu mendengar (keterangan-keterangan yang
tersebut dan mengambil pelajaran daripadanya).

68@ Mereka berkata, “ Allah mempunyai anak”, Maha Suci Allah
(dari apa yang mereka katakan itu) ! Dialah Yang Maha Kaya,
segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah
kepunyaanNya, tidaklah ada sebarang keterangan di sisi kamu
yang membuktikan apa yang kamu dakwakan itu. Mengapa kamu
berani mengatakan terhadap Allah, apa yang kamu tidak
mengetahuinya ?

69@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Sesungguhnya orang-orang
yang mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah, tidak
akan berjaya.”

70@ (Apa yang mereka beroleh hanya) kesenangan di dunia,
kemudian kepada Kamilah tempat kembalinya mereka. Kemudian
Kami akan rasakan mereka azab yang berat disebabkan perbuatan
kufur yang mereka lakukan.

71@ Dan bacakanlah kepada mereka (wahai Muhammad) perihal Nabi
Nuh, ketika ia berkata kepada kaumnya, “ Wahai kaumku !
Sekiranya kedudukan aku dalam kalangan kamu, dan peringatan
yang aku berikan kepada kamu dengan ayat-ayat keterangan Allah
itu, menjadi keberatan kepada kamu, maka (buatlah apa yang
kamu hendak buat, kerana) kepada Allah jualah aku berserah
diri. Oleh itu, tetapkanlah keazaman kamu serta sekutu-sekutu
kamu untuk melakukan rancangan jahat kamu terhadapku, kemudian
janganlah hendaknya rancangan jahat kamu itu, kamu jalankan
secara tersembunyi (tetapi biarlah terbuka), sesudah itu
bertindaklah terus terhadapku dan janganlah kamu tunggu-tunggu
lagi."

72@ “ Oleh itu, jika kamu berpaling membelakangkan
peringatanku, maka tidaklah menjadi hal kepadaku, kerana aku
tidak meminta sebarang balasan daripada kamu (mengenai ajaran
ugama Allah yang aku sampaikan itu), balasanku hanyalah dari
Allah semata-mata (sama ada kamu beriman ataupun kamu ingkar),
dan aku pula diperintahkan supaya menjadi dari orang-orang
Islam (yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah).”

73@ Mereka tetap juga mendustakan Nabi Nuh, lalu Kami
selamatkan dia bersama-sama pengikut-pengikutnya yang beriman
di dalam bahtera, dan kami jadikan mereka pengganti-pengganti
(yang memakmurkan bumi) serta Kami tenggelamkan orang-orang
yang mendustakan ayat-ayat Kami (dengan banjir dan taufan
sehingga punah-ranah semuanya). Maka lihatlah bagaimana
kesudahan orang-orang (yang mendustakan ayat-ayat kami)
setelah diberi amaran.

74@ Kemudian Kami utuskan sesudah Nabi Nuh, beberapa orang
Rasul kepada kaum masing-masing, lalu Rasul-rasul itu datang
kepada kaum mereka dengan membawa keterangan-keterangan yang
nyata, dalam pada itu kaum mereka tetap juga tidak mahu
beriman kepada apa yang mereka telah mendustakannya sebelum
itu. Demikianlah, Kami meteraikan atas hati orang-orang yang
melampaui batas.

75@ Kemudian Kami utuskan sesudah Rasul-rasul itu, Nabi Musa
dan Nabi Harun, kepada Firaun dan kaumnya dengan membawa ayat-
ayat Kami, lalu mereka (Firaun dan kaumnya) berlaku sombong
takbur (enggan menerimanya), dan mereka adalah kaum yang biasa
melakukan dosa.

76@ Oleh sebab itu ketika datang kepada mereka kebenaran dari
sisi Kami, berkatalah mereka, “ Sesungguhnya ini ialah sihir
yang nyata.”

77@ (Mendengarkan yang demikian), Nabi Musa bertanya,
" Patutkah kamu berkata demikian terhadap sesuatu kebenaran
ketika datangnya kepada kamu ? Adakah bawaanku ini sihir ?
Sedang ahli-ahli sihir itu sudah tetap tidak akan berjaya.”

78@ Mereka pula berkata, “ Adakah engkau datang (wahai Musa)
untuk memesongkan kami dari penyembahan berhala yang kami
dapati datuk nenek kami melakukannya, dan untuk membolehkan
kamu berdua membolot kekuasaan di bumi (Mesir) ? Dan
(ketahuilah) sebenarnya kami tidak akan beriman kepada kamu
berdua.”

79@ Dan berkatalah Firaun (kepada orang-orangnya), “ Bawalah
kamu kepadaku segala ahli sihir yang mahir.”

80@ Setelah datang ahli-ahli sihir itu, Nabi Musa berkata
kepada mereka, ” Campakkanlah kamu dahulu apa yang kamu hendak
campakkan (diri benda-benda yang kamu jadikan sihir itu) !”

81@ Setelah mereka campakkan (benda-benda itu), Nabi Musa
berkata, ” Apa yang kamu datangkan itu, itulah sihir,
sesungguhnya Allah akan mendedahkan kepalsuannya (dengan
mukjizat yang dikurniakanNya kepadaku), sesungguhnya Allah
tidak akan menjayakan perbuatan orang-orang yang melakukan
kerosakan."

82@ “ Dan Allah juga sentiasa menetapkan perkara yang benar
dengan kalimah-kalimah perintahNya, walaupun yang demikian
dibenci oleh orang-orang yang melakukan dosa.”

83@ Maka tidaklah ada yang beriman kepada Nabi Musa melainkan
sebilangan kecil dari keturunan kaumnya, itupun dengan keadaan
takut kepada Firaun dan ketua-ketua kaum mereka menyeksa
mereka, kerana sesungguhnya Firaun bermaharajalela di bumi,
dan sebenarnya ia dari orang-orang yang melampaui batas.

84@ Dan Nabi Musa pula berkata (kepada kaumnya), “ Wahai
kaumku ! Kalau sungguh kamu beriman kepada Allah, maka
hendaklah kamu berserah diri kepadaNya, jika betul kamu orang-
orang Islam (yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah).”

85@ Lalu mereka berkata, “ Kepada Allah jualah kami berserah.
Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau jadikan kami landasan
fitnah kesengsaraan bagi kaum yang zalim ganas."

86@ ” Dan selamatkanlah kami dengan rahmatMu dari angkara kaum
yang kafir.”

87@ Dan (setelah itu), Kami wahyukan kepada Nabi Musa serta
saudaranya (Nabi Harun), “ Hendaklah kamu berdua mendirikan
rumah-rumah di Mesir untuk menempatkan kaum kamu, dan
jadikanlah rumah-rumah kamu tempat sembahyang, serta
dirikanlah sembahyang di dalamnya, dan sampaikanlah berita
gembira kepada orang-orang yang beriman (bahawa mereka akan
diselamatkan dari kezaliman Firaun dan kaumnya).”

88@ Dan Nabi Musa pula (merayu dengan) berkata, “ Wahai Tuhan
kami ! Sesungguhnya Engkau telah memberikan kepada Firaun dan
ketua-ketua kaumnya barang-barang perhiasan dan harta benda
yang mewah dalam kehidupan dunia ini. Wahai Tuhan kami !
(Kemewahan yang Engkau berikan kepada mereka) akibatnya
menyesatkan mereka dari jalanMu (dengan sebab kekufuran
mereka). Wahai Tuhan kami ! Binasakanlah harta benda mereka
dan meteraikanlah hati mereka (sehingga menjadi keras
membatu), maka dengan itu mereka tidak akan dapat beriman
sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya."

89@ Allah berfirman, “ Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu
berdua, oleh itu hendaklah kamu tetap (menjalankan perintahKu
seterusnya), dan janganlah kamu menurut jalan orang-orang yang
tidak mengetahui (peraturan janjiKu).”

90@ Dan Kami bawakan Bani Israil ke seberang Laut Merah, lalu
dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan
kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir
tenggelam berkatalah ia (pada saat yang genting itu), “ Aku
percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh
Bani Israil, dan aku adalah dari orang-orang yang berserah
diri (menurut perintah).”

91@ (Allah berfirman), “ Adakah sekarang (baharu engkau
beriman), padahal sesungguhnya engkau dari dahulu telah kufur
derhaka, dan engkau telahpun menjadi dari orang-orang yang
melakukan kerosakan ?"

92@ “ Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau (hai Firaun)
terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan
laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu
(supaya mereka mengambil iktibar). Dan (ingatlah) sesungguhnya
kebanyakan manusia lalai daripada (memerhati dan memikirkan)
tanda-tanda kekuasaan Kami !”.

93@ Dan sesungguhnya Kami telah menempatkan Bani Israil
di negeri yang baik (sesudah Kami binasakan Firaun), dan Kami
mengurniakan mereka dengan benda-benda yang baik. Maka mereka
tidak berselisihan (mengenai Nabi Muhammad melainkan) setelah
datang kepada mereka pengetahuan (dari bukti-bukti yang
nyata). Sesungguhnya Tuhanmu akan menghukum di antara mereka
pada hari kiamat tentang apa yang mereka perselisihan itu.

94@ Oleh sebab itu, sekiranya engkau (wahai Muhammad) merasa
ragu-ragu tentang apa yang Kami turunkan kepadamu, maka
bertanyalah kepada orang-orang yang membaca kitab-kitab yang
diturunkan dahulu daripadamu (kerana mereka mengetahui
kebenarannya). Sesungguhnya telah datang kepadamu kebenaran
dari Tuhanmu, maka jangan sekali-kali engkau menjadi dari
golongan yang ragu-ragu.

95@ Dan jangan sekali-kali engkau menjadi dari golongan yang
mendustakan ayat-ayat Allah, kerana dengan itu engkau akan
menjadi dari orang-orang yang rugi.

96@ Sesungguhnya orang-orang yang telah ditetapkan atas mereka
hukuman Tuhanmu (dengan azab), mereka tidak akan beriman,

97@ Walaupun datang kepada mereka segala jenis keterangan dan
tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah dan kebenaran
Rasul-rasulNya), sehingga mereka melihat azab yang tidak
terperi sakitnya.

98@ (Dengan kisah Firaun itu) maka ada baiknya kalau
(penduduk) sesebuah negeri beriman (sebelum mereka ditimpa
azab), supaya imannya itu mendatangkan manfaat
menyelamatkannya. Hanya kaum Nabi Yunus sahaja yang telah
berbuat demikian (ketika mereka beriman), Kami elakkan azab
sengsara yang membawa kehinaan dalam kehidupan dunia dari
menimpa mereka, dan Kami berikan mereka menikmati kesenangan
sehingga ke suatu masa (yang Kami tentukan).

99@ Dan (bukanlah tanggungjawabmu wahai Muhammad menjadikan
seluruh umat manusia beriman), jika Tuhanmu menghendaki
nescaya berimanlah sekalian manusia yang ada di bumi.
(Janganlah engkau bersedih hati tentang kedegilan orang-orang
yang ingkar itu, kalau Tuhan tidak menghendaki) maka patutkah
engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi
orang-orang yang beriman ?

100@ Dan tiadalah sebarang kuasa bagi seseorang untuk beriman
melainkan dengan izin Allah (melalui undang-undang dan
peraturanNya), dan Allah menimpakan azab atas orang-orang yang
tidak mahu memahami (perintah-perintahNya).



101@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Perhatikan dan fikirkanlah
apa yang ada di langit dan di bumi dari segala kejadian yang
menakjubkan, yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya).
Dalam pada itu, segala tanda dan bukti (yang menunjukkan
kekuasaan Allah), dan segala Rasul (yang menyampaikan
perintah-perintah Allah dan memberi amaran), tidak akan
memberi faedah kepada orang-orang yang tidak menaruh
kepercayaan kepadanya.

102@ Maka orang-orang yang tersebut tidak menunggu melainkan
(azab Allah) sebagaimana kejadian-kejadian yang berlaku kepada
orang-orang yang ingkar yang terdahulu daripada mereka."
Katakanlah (wahai Muhammad), “ Tunggulah, sesungguhnya aku
juga bersama-sama kamu dari orang-orang yang menunggu.”

103@ Kemudian Kami selamatkan Rasul Kami dan orang-orang yang
beriman. Demikianlah juga, sebagai kewajipan Kami, Kami
selamatkan orang-orang yang beriman yang menurutmu.

104@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Wahai sekalian manusia !
Sekiranya kamu menaruh syak tentang kebenaran ugamaku, maka
(ketahuilah) aku tidak menyembah makhluk-makhluk yang kamu
menyembahnya yang lain dari Allah, tetapi aku hanya menyembah
Allah yang akan mematikan kamu (untuk menerima balasan), dan
aku diperintahkan supaya menjadi dari golongan yang beriman."

105@ “ Serta (diwajibkan kepadaku), " Hadapkanlah seluruh
dirimu menuju (ke arah mengerjakan perintah-perintah) ugama
dengan betul dan ikhlas, dan janganlah engkau menjadi dari
orang-orang musyrik.”

106@ Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyembah atau
memuja yang lain dari Allah, yang tidak dapat mendatangkan
manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat
kepadamu. Oleh itu, sekiranya engkau mengerjakan yang
demikian, maka pada saat itu menjadilah engkau dari orang-
orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan
perbuatan syirik itu).

107@ Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang
membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat
menghapuskannya melainkan Dia, dan jika Ia menghendaki engkau
beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan
dapat menghalangi limpah kurniaNya. Allah melimpahkan
kurniaNya itu kepada sesiapa yang dikendakiNya dari hamba-
hambaNya, dan Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha
Mengasihani.

108@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Wahai sekalian manusia !
Telah datang kepada kamu kebenaran (Al Quran) dari Tuhan kamu.
Oleh itu sesiapa yang mendapat hidayah petunjuk (beriman
kepadanya), maka faedah hidayah petunjuk itu terpulang kepada
dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat (mengingkarinya) maka
bahaya kesesatannya itu tertimpa ke atas dirinya sendiri dan
aku pula bukanlah menjadi wakil yang menguruskan soal (iman
atau keingkaran) kamu.”

109@ Dan turutlah apa yang diwahyukan kepadamu serta
bersabarlah (dalam perjuangan mengembangkan Islam) sehingga
Allah menghukum (di antaramu dengan golongan yang ingkar, dan
memberi kepadamu kemenangan yang telah dijanjikan), kerana
Dialah sebaik-baik Hakim.

No comments:

Post a Comment