Saturday 30 January 2016

Al Quran Indonesia. 013. Surah Ar Ra’d (Guruh)...

Al Quran Indonesia. 013. Surah Ar Ra’d (Guruh)...

BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

1@ Alif, Laam, Miim, Raa’. Ini ialah ayat-ayat Kitab
(Al Quran), dan apa yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad)
dari Tuhanmu adalah benar, tetapi kebanyakan manusia tidak
(mahu) beriman.

2@ Allah jualah yang menjadikan langit terangkat tinggi dengan
tiada bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya, kemudian Ia
bersemayam di atas Arasy, dan Ia memudahkan matahari dan bulan
(untuk faedah makhluk-makhlukNya) tiap-tiap satu dari keduanya
beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Allah jualah
yang mentadbirkan segala urusan, Ia menerangkan tanda-tanda
kekuasaanNya satu-persatu, supaya kamu yakin kepada pertemuan
Tuhan kamu (untuk menerima balasan).

3@ Dan Dialah yang menjadikan bumi terbentang luas, dan
menjadikan padanya gunung-ganang (terdiri kukuh) serta sungai-
sungai (yang mengalir). Dan dari tiap-tiap jenis buah-buahan,
Ia jadikan padanya pasangan, dua-dua. Ia juga melindungi siang
dengan malam silih berganti. Sesungguhnya semuanya itu
mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang (mahu)
berfikir.

4@ Dan di bumi ada beberapa potong tanah yang berdekatan
(tetapi berlainan keadaannya), dan padanya ada kebun-kebun
anggur, dan jenis-jenis tanaman serta pohon-pohon tamar
(kurma) yang berumpun dan yang tidak berumpun, semuanya
disiram dengan air yang sama, dan Kami lebihkan buah
setengahnya dari setengahnya yang lain (pada bentuk, rasa, dan
baunya). Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-
tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang (mahu) berfikir
serta memahaminya.

5@ Dan jika engkau merasa hairan (wahai Muhammad), maka
sungguh menghairankan perkataan mereka yang kafir itu (yang
mengatakan), “ Adalah apabila kami telah menjadi tanah
betulkah kami pula akan hidup semula dalam bentuk kejadian
yang baharu ?” Mereka itulah orang-orang yang kufur ingkar
kepada Tuhan mereka, dan merekalah yang dibelenggu dengan
belenggu-belenggu pada leher mereka, dan merekalah juga ahli
neraka, mereka kekal di dalamnya.

6@ Dan mereka meminta kepadamu menyegerakan kedatangan perkara
buruk (azab yang dijanjikan) sebelum mereka memohon kebaikan,
padahal sesungguhnya telah berlaku sebelum mereka peristiwa-
peristiwa azab yang telah menimpa orang-orang yang kafir
seperti mereka. Dan (ingatlah) sesungguhnya Tuhanmu Amat
melimpah keampunanNya bagi manusia (yang bertaubat) terhadap
kezaliman mereka, dan sesungguhnya Tuhanmu juga amatlah keras
balasan azabNya (terhadap golongan yang tetap ingkar).

7@ Dan berkatalah orang-orang yang kafir, “ Mengapa tidak
diturunkan kepada (Muhammad) sesuatu mukjizat dari Tuhannya ?”
Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) hanyalah seorang Rasul
pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar), dan tiap-tiap
umat (yang telah lalu) ada Nabinya yang memimpin ke jalan yang
benar.

8@ Allah mengetahui akan apa yang dikandung oleh tiap-tiap
ibu, dan mengetahui apa yang kurang dari yang dikandung dalam
rahim itu atau yang lebih. Dan tiap-tiap sesuatu adalah
ditetapkan di sisiNya dengan kadar yang tertentu.

9@ Dialah yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang
nyata, Dialah jua Yang Maha Besar, lagi maha Tinggi (Yang
mengatasi segala-galanya).

10@ Sama sahaja kepadaNya, sesiapa di antara kamu yang
merahsiakan kata-katanya dalam hati dan yang menyatakannya,
juga yang bersembunyi pada waktu malam dan yang keluar
berjalan pada waktu siang.

11@ Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih
berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas
dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah.
Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu
kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka
sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada
sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka
sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau
menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun
yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.

12@ Dialah yang memperlihatkan kilat kepada kamu, untuk
menakutkan (dari panahan petir), dan memberi harapan (dengan
turunnya hujan), dan Ia yang menjadikan awan tebal yang berat
(dengan air).

13@ Dan Dialah juga yang guruh dan malaikat bertasbih
memujiNya, kerana takut kepadaNya. Dan Dialah juga yang
menghantarkan petir, lalu Ia mengenakan dengan panahannya
kepada sesiapa yang dikehendakinya. Dan mereka yang ingkar itu
membantah (serta mendustakan Rasul) mengenai perkara yang
berhubung dengan Allah (dan kuat kuasaNya). Padahal Ia Amat
keras azab seksanya.

14@ Kuasa menerima ibadat yang benar adalah tertentu bagi
Allah, dan benda-benda yang mereka sembah yang lain dari
Allah, tidak akan dapat menyahut atau memberikan sesuatupun
kepada mereka, hanyalah seperti orang yang membentangkan kedua
tapak tangannya kepada air supaya sampai ke mulutnya, padahal
air itu sudah tentu tidak akan sampai kepadanya. Dan tiadalah
ibadat dan doa permohonan orang-orang kafir itu melainkan
dalam kesesatan.

15@ Dan kepada Allah jualah sekalian makhluk yang ada
di langit dan di bumi tunduk menurut, sama ada dengan sukarela
atau dengan terpaksa, dan (demikian juga) bayang-bayang
mereka, pada waktu pagi dan petang.

16@ Bertanyalah (wahai Muhammad), “ Siapakah Tuhan yang
memelihara dan mentadbirkan langit dan bumi ?” Jawablah,
“ Allah.” Bertanyalah lagi, “ Kalau demikian, patutkah kamu
menjadikan benda-benda yang lain dari Allah sebagai Pelindung
dan Penolong, yang tidak dapat mendatangkan sebarang manfaat
bagi dirinya sendiri, dan tidak dapat menolak sesuatu
bahaya ?” Bertanyalah lagi, “ Adakah sama, orang yang buta
dengan orang yang celik ? Atau adakah sama, gelap-gelita
dengan terang ? Atau adakah makhluk-makhluk yang mereka
jadikan sekutu bagi Allah itu telah mencipta sesuatu seperti
ciptaanNya, sehingga ciptaan-ciptaan itu menjadi kesamaran
kepada mereka ?” Katakanlah, “ Allah jualah yang menciptakan
tiap-tiap sesuatu, dan Dialah Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa.”

17@ Ia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu membanjiri
tanah-tanah lembah (dengan airnya) menurut kadarnya yang
ditetapkan Tuhan untuk faedah makhlukNya, kemudian banjir itu
membawa buih yang terapung-apung. Dan dari benda-benda yang
dibakar di dalam api untuk dijadikan barang perhiasan atau
perkakas yang diperlukan, juga timbul buih seperti itu.
Demikianlah Allah memberi misal perbandingan tentang perkara
yang benar dan yang salah. Adapun buih itu maka akan hilang
lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala benda-benda yang
berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi.
Demikianlah Allah menerangkan misal-misal perbandingan.

18@ Bagi orang-orang yang menyahut seruan Tuhan mereka
sahajalah balasan yang sebaik-baiknya, dan orang-orang yang
ingkar yang tidak menyahut seruanNya, kalaulah mereka
mempunyai segala apa jua yang ada di bumi disertai dengan
sebanyak itu lagi, tentulah mereka rela menebus diri
dengannya. Mereka itu disediakan baginya hitungan hisab yang
seburuk-buruknya, serta tempat kembali mereka ialah neraka
jahanam, dan amatlah buruknya tempat tinggal itu.

19@ Maka adakah orang yang mengetahui bahawa Al Quran yang
diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itu (wahai Muhammad) perkara
yang benar, sama dengan orang yang buta matahatinya ?
Sesungguhnya orang-orang yang mahu memikirkan hal itu hanyalah
orang-orang yang berakal sempurna.

20@ Orang-orang yang menyempurnakan perjanjian Allah dan tidak
merombak (mencabuli) perjanjian yang telah diperteguhkan itu,

21@ Dan orang-orang yang menghubungkan perkara-perkara yang
disuruh oleh Allah supaya dihubungkan, dan yang menaruh
bimbang akan kemurkaan Tuhan mereka, serta takut kepada
kesukaran yang akan dihadapi semasa soal jawab dan hitungan
amal (pada hari kiamat),

22@ Dan orang-orang yang sabar kerana mengharapkan keredaan
Tuhan mereka semata-mata, dan mendirikan sembahyang, serta
mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara
bersembunyi atau secara terbuka, dan mereka pula menolak
kejahatan dengan cara yang baik. Mereka itu semuanya adalah
disediakan baginya balasan yang sebaik-baiknya pada hari
akhirat,

23@ Iaitu Syurga yang kekal yang mereka akan memasukinya
bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu
bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka,
sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari
tiap-tiap pintu,

24@ (Memberi hormat dengan berkata), “ Selamat sejahteralah
kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah
baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu."

25@ Dan (sebaliknya) orang-orang yang merombak (mencabuli)
perjanjian Allah sesudah diperteguhkannya dan memutuskan
perkara-perkara yang disuruh oleh Allah supaya dihubungkan,
serta mereka pula membuat kerosakan dan bencana di muka bumi,
mereka itu beroleh laknat, dan mereka pula beroleh balasan
hari akhirat yang seburuk-buruknya.

26@ Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya,
dan Ia juga yang menyempitkannya. Dan mereka (yang ingkar),
bergembira dengan kehidupan dunia, sedang kehidupan dunia itu
tidak lain, hanyalah kesenangan yang kecil dan tidak, kekal
berbanding dengan kesenangan hari akhirat.

27@ Dan orang-orang yang kafir berkata, “ Mengapa tidak
diturunkan kepada (Muhammad) satu mukjizat dari Tuhannya ?“
Katakanlah (wahai Muhammad), “ Sesungguhnya Allah menyesatkan
sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang
peraturanNya), dan memberi petunjuk ke jalan ugamanya, sesiapa
yang rujuk kepadaNya,

28@ (Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati
mereka dengan zikrullah.” Ketahuilah dengan “ zikrullah” itu,
tenang tenteramlah hati manusia.

29@ Orang-orang yang beriman dan beramal soleh, beroleh
kebahagiaan yang amat mengembirakan dan tempat kembali yang
sebaik-baiknya.

30@ Demikianlah, Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) kepada
satu umat yang telah lalu sebelumnya beberapa umat yang lain,
supaya engkau membacakan kepada mereka Al Quran yang Kami
wahyukan kepadamu, sedang mereka kufur kepada (Allah)
Ar Rahman. Katakanlah, “ Dialah Tuhanku, tiada Tuhan (yang
berhak disembah) melainkan Dia. KepadaNyalah aku berserah
diri, dan kepadaNyalah tempat kembaliku (dan kamu semuanya).”

31@ Dan kalaulah ada mana-mana Kitab Suci yang dengan sebabnya
gunung-ganang terbongkar bergerak dari tempatnya, atau dengan
sebabnya bumi dipecah-belah mengeluarkan isi kandungannya,
atau dengan sebabnya orang-orang yang telah mati dapat
menjawab kata-kata yang dihadapkan kepadanya, maka Al Quran
ialah Kitab Suci yang mengandungi mukjizat. (Tetapi lahirnya
sesuatu mukjizat itu adalah menurut kehendak Allah), bahkan
segala urusan tertentu bagi Allah. Maka tidakkah orang-orang
yang beriman mengetahui bahawa kalaulah Allah menghendaki
tentulah Ia memberi petunjuk kepada umat manusia seluruhnya,
(lalu menjadikan mereka semuanya beriman). Dan orang-orang
yang kafir itu (dengan sebab kekufuran mereka) sentiasa
ditimpa bala bencana (ke atas diri atau harta benda mereka),
atau pun bala bencana itu turun menimpa tempat-tempat yang
berhampiran dengan tempat tinggal mereka (lalu menjadikan
mereka gempar kecemasan), sehinggalah datang janji Allah (hari
kiamat dan azabnya). Sesungguhnya Allah tidak memungkiri
janjiNya.

32@ Dan sesungguhnya telahpun diejek-ejekkan Rasul-rasul yang
diutus sebelummu (wahai Muhammad), lalu aku biarkan orang-
orang yang tidak percayakan Rasul-rasul itu ke suatu masa yang
tertentu, kemudian Aku menimpakan mereka dengan azab, maka
tidaklah terperi seksanya azabKu itu.

33@ Setelah diketahui demikian maka tidaklah patut disamakan
Allah Tuhan yang berkuasa mengawas, tiap-tiap diri dan
mengetahui akan apa yang telah diusahakan oleh diri-diri itu,
(dengan makhluk yang tidak bersifat demikian). Dalam pada itu,
mereka yang kafir telah menjadikan beberapa makhluk sebagai
sekutu bagi Allah. Katakanlah (wahai Muhammad), “ Namakanlah
kamu akan mereka (yang kamu sembah itu). Atau adakah kamu
hendak memberitahu kepada Allah akan apa yang tidak
diketahuiNya di bumi ? Atau adakah kamu menamakannya dengan
kata-kata yang lahir (sedang pada hakikatnya tidak
demikian) ?” Bahkan sebenarnya telah diperhiaskan oleh Iblis
bagi orang-orang yang kafir itu akan kekufuran dan tipu daya
mereka (terhadap Islam), dan mereka pula disekat oleh hawa
nafsu mereka daripada menurut jalan yang benar. Dan (ingatlah)
sesiapa yang disesatkan oleh Allah (dengan pilihannya yang
salah) maka tidak ada sesiapapun yang dapat memberi hidayah
petunjuk kepadanya.

34@ Mereka beroleh azab dalam kehidupan dunia, dan
sesungguhnya azab hari akhirat lebih menyeksakan lagi, dan
tiadalah bagi mereka, sesiapapun yang dapat melindungi mereka
dari azab Allah itu.

35@ Sifat Syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang
bertaqwa itu ialah air sungai-sungainya sentiasa mengalir
di sekitar tamannya, makanannya kekal tidak putus-putus dan
naungannya sentiasa teduh. Itulah kesudahan usaha orang-orang
yang bertaqwa, sedang kesudahan usaha orang-orang yang kafir
pula ialah neraka.

36@ Dan orang-orang yang Kami berikan Kitab, mereka
bersukacita dengan apa yang Kami turunkan kepadamu (wahai
Muhammad) dan di antara beberapa kumpulan dari orang-orang itu
ada yang mengingkari sebahagiannya. Katakanlah, “ Sesungguhnya
aku hanya diperintahkan supaya menyembah Allah, dan supaya aku
tidak mempersekutukanNya dengan sesuatu yang lain,
kepadaNyalah aku menyeru (manusia semuanya untuk
menyembahNya), dan kepadaNyalah tempat kembaliku (dan kamu
semuanya untuk menerima balasan).”

37@ Dan demikianlah Kami menurunkan Al Quran sebagai hukum
dalam bahasa Arab. Dan demi sesungguhnya, jika engkau (wahai
Muhammad) menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya
kepadamu wahyu pengetahuan (tentang kebenaran), maka tiadalah
engkau peroleh dari Allah sesuatupun yang dapat mengawal dan
memberi perlindungan kepadamu (dari perkara-perkara yang tidak
diingini).

38@ Dan demi sesungguhnya ! Kami telah mengutus Rasul-rasul
sebelummu, dan Kami jadikan untuk mereka isteri-isteri dan
zuriat keturunan. Dan tiadalah sebarang kuasa bagi seseorang
Rasul untuk mendatangkan sesuatu mukjizat melainkan dengan
izin Allah. Tiap-tiap satu tempoh dan waktu ada baginya
perkara dan hukum yang telah ditentukan oleh “Suratan Azali”.

39@ Allah menghapuskan apa jua yang dikehendakiNya dan Ia juga
menetapkan apa jua yang dikehendakinya. Dan (ingatlah) pada
sisiNya ada “Ibu segala suratan”.

40@ Sama ada Kami perlihatkan kepadamu (wahai Muhammad)
sebahagian dari azab yang Kami janjikan untuk mereka (yang
ingkar) atau kami wafatkanmu sebelum melihatnya maka tidaklah
menjadi hal kerana tanggunganmu hanyalah menyampaikan hukum-
hukum yang kami turunkan kepadamu, dan urusan Kami menghitung
dan membalas amal mereka.

41@ Mengapa mereka yang kafir itu masih berdegil dan tidak
mahu memerhatikan bahawa kekuasaan kami sentiasa menakluk bumi
(yang mereka diami) dengan menjadikan dia kurang sedikit demi
sedikit dari kebaikannya dan kemuliaannya ? Dan (ingatlah)
Allah menghukum menurut apa yang dikehendakiNya, tiada
sesiapapun yang dapat menghalang hukumNya, dan dialah juga
yang amat cepat hitungan hisabNya.

42@ Dan sesungguhnya orang-orang kafir yang sebelum mereka
telah melancarkan rancangan jahat (terhadap Nabi-nabi mereka),
oleh itu, (janganlah engkau bimbang kerana) bagi Allah jualah
kuasa menggagalkan segala jenis rancangan jahat. Ia mengetahui
apa yang diusahakan oleh tiap-tiap diri, dan orang-orang yang
kafir akan mengetahui bagi siapakah balasan (yang baik dan
yang buruk) pada hari akhirat kelak.

43@ Dan orang-orang yang kafir itu berkata, “ Engkau bukanlah
seorang Rasul dari Allah.” Katakanlah (kepada mereka),
“ Cukuplah Allah menjadi saksi antaraku dengan kamu, dan juga
disaksikan oleh orang-orang yang ada ilmu pengetahuan mengenai
Kitab Allah.”

No comments:

Post a Comment