Saturday 16 January 2016

Al Quran Indonesia. 005. Surah Al Ma'idah (Hidangan)...

Al Quran Indonesia. 005. Surah Al Ma'idah (Hidangan)...

BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

1@ Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah
perjanjian-perjanjian. Dihalalkan bagi kamu (memakan)
binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang
akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu. (Halalnya
binatang-binatang ternak dan sebagainya itu) tidak pula
bererti kamu boleh menghalalkan perburuan ketika kamu dalam
keadaan berihram. Sesungguhnya Allah menetapkan hukum apa yang
Ia kehendaki.

2@ Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ingat halal
membuat sesuka hati mengenai syiar-syiar ugama Allah, dan
mengenai bulan-bulan yang dihormati, dan mengenai binatang-
binatang yang dihadiahkan (ke Makkah untuk korban), dan
mengenai kalong-kalong binatang hadiah itu, dan mengenai
orang-orang yang menuju ke Baitullah Al Haraam, yang bertujuan
mencari limpah kurnia dari Tuhan mereka (dengan jalan
perniagaan) dan mencari keredaanNya (dengan mengerjakan ibadat
Haji di Tanah Suci), dan apabila kamu telah selesai dari ihram
maka bolehlah kamu berburu. Dan jangan sekali-kali kebencian
kamu kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu
dari masjid Al Haraam itu (mendorong kamu menceroboh). Dan
hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan
bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan
dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah,
kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi
sesiapa yang melanggar perintahNya).

3@ Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang
tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan
daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang
disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati
tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari
tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati
dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih
(sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama
berhala, dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib dengan undi
batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan
fasik. Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa
(daripada memesongkan kamu) dari ugama kamu (setelah mereka
melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah
kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu
takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah
sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan
nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi
ugama untuk kamu. Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan
(memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak
cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya),
kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani.

4@ Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), “ Apakah
(makanan) yang dihalalkan bagi mereka ?” Bagi menjawabnya
katakanlah, “ Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat
serta baik, dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang-binatang
pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara
pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta
melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah
diajarkan Allah kepada kamu. Oleh itu makanlah dari apa yang
mereka tangkap untuk kamu dan sebutlah nama Allah atasnya
(ketika kamu melepaskannya berburu), dan bertaqwalah kepada
Allah (dengan memelihara diri dari memakan yang diharamkan
Allah), Sesungguhnya Allah Maha Cepat hitungan hisabNya.”

5@ Pada masa ini dihalalkan bagi kamu (memakan makanan) yang
lazat-lazat serta baik-baik. Dan makanan (sembelihan) orang-
orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu, dan
makanan (sembelihan) kamu adalah halal bagi mereka (tidak
salah kamu memberi makan kepada mereka). Dan (dihalalkan kamu
berkahwin) dengan perempuan-perempuan yang menjaga
kehormatannya (di antara perempuan-perempuan yang beriman),
dan juga perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya dari
kalangan orang-orang yang diberikan Kitab dahulu daripada kamu
apabila kamu beri mereka maskahwinnya, sedang kamu (dengan
cara yang demikian), bernikah bukan berzina, dan bukan pula
kamu mengambil mereka menjadi perempuan-perempuan simpanan.
Dan sesiapa yang ingkar (akan syariat Islam) sesudah ia
beriman, maka sesungguhnya gugurlah amalnya (yang baik) dan
adalah ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.

6@ Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak
mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka
(berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan
kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu,
dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali, dan
jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi
wajib, dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam
pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat
buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak
mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu
bertayamum dengan tanah (debu yang bersih), iaitu (sapulah
muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah) debu itu.
Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan
(kepayahan), tetapi Ia berkehendak membersihkan (mensucikan)
kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya
kamu bersyukur.

7@ Dan kenanglah nikmat Allah (yang telah dikurniakanNya)
kepada kamu serta ingatlah perjanjianNya yang telah diikatNya
dengan kamu, ketika kamu berkata, “ Kami dengar dan kami taat
(akan perintah-perintah Allah dan RasulNya).” Dan bertaqwalah
kamu kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui
akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada.

8@ Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua
sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana
Allah, lagi menerangkan kebenaran, dan jangan sekali-kali
kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada
tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada
sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa.
Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha
Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

9@ Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan
beramal soleh, mereka akan beroleh keampunan dan pahala yang
besar.

10@ Dan orang-orang yang kafir serta mendustakan ayat-ayat
Kami (Al Quran), merekalah ahli neraka.

11@ Wahai orang-orang yang beriman, kenanglah nikmat Allah
(yang telah dikurniakanNya) kepada kamu ketika kaum (kafir
yang memusuhi kamu) hendak menghulurkan tangannya (untuk
menyerang kamu), lalu Allah menahan tangan mereka daripada
(menyerang) kamu. Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah, dan
kepada Allah jualah (sesudah bertaqwa itu) hendaklah orang-
orang yang beriman berserah diri.

12@ Dan demi sesungguhnya ! Allah telah mengambil perjanjian
setia Bani Israil (supaya mereka menjunjung perintahNya dan
menjauhi laranganNya), dan Kami telah utuskan dari kalangan
mereka dua belas ketua (untuk memimpin golongan masing-
masing), dan Allah berfirman (kepada mereka), “ Bahawa Aku
adalah beserta kamu (memerhati segala-galanya). Demi
sesungguhnya jika kamu dirikan sembahyang, serta kamu tunaikan
zakat, dan kamu beriman dengan segala Rasul (utusanku) serta
menolong bantu mereka (dalam menegakkan ugama Allah), dan kamu
pinjamkan Allah (dengan sedekah dan berbuat baik pada
jalanNya) secara pinjaman yang baik (bukan kerana riak dan
mencari keuntungan dunia), sudah tentu Aku akan ampunkan dosa-
dosa kamu, dan Aku akan masukkan kamu ke dalam Syurga yang
mengalir di bawahnya beberapa sungai. Oleh itu, sesiapa yang
kufur ingkar di antara kamu sesudah yang demikian, maka
sesungguhnya sesatlah ia dari jalan yang betul.”

13@ Maka dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia
mereka, Kami laknatkan mereka, dan Kami jadikan hati mereka
keras membatu (tidak mahu menerima kebenaran). Mereka sentiasa
mengubah Kalimah-kalimah (yang ada di dalam kitab Taurat
dengan memutarnya) dari tempat-tempatnya (dan maksudnya) yang
sebenar, dan mereka melupakan (meninggalkan) sebahagian dari
apa yang diperingatkan mereka mereka dengannya. Dan engkau
(wahai Muhammad) sentiasa dapat melihat perbuatan khianat yang
mereka lakukan, kecuali sedikit dari mereka (yang tidak
berlaku khianat). Oleh itu, maafkanlah mereka (jika mereka
sedia bertaubat) dan janganlah dihiraukan, kerana sesungguhnya
Allah suka kepada orang-orang yang berusaha supaya baik
amalannya.

14@ Dan di antara orang-orang yang berkata, ” Bahawa kami ini
orang-orang Nasrani,” Kami juga telah mengambil perjanjian
setia mereka, maka mereka juga melupakan (meninggalkan)
sebahagian dari apa yang diperingatkan mereka dengannya, lalu
Kami tanamkan perasaan permusuhan dan kebencian di antara
mereka, sampai ke hari kiamat, dan Allah akan memberitahu
mereka dengan apa yang telah mereka kerjakan.

15@ Wahai Ahli Kitab ! Sesungguhnya telah datang kepada kamu
Rasul Kami (Muhammad, s.a.w) dengan menerangkan kepada kamu
banyak dari (keterangan-keterangan dan hukum-hukum) yang telah
kamu sembunyikan dari Kitab Suci, dan ia memaafkan kamu
(dengan tidak mendedahkan) banyak perkara (yang kamu
sembunyikan). Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya
kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah, dan sebuah Kitab
(Al Quran) yang jelas nyata keterangannya.

16@ Dengan (Al Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan
keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut
keredaanNya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari
gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-
benderang, dengan izinNya, dan (dengannya juga) Tuhan
menunjukkan mereka ke jalan yang lurus.

17@ Demi sesungguhnya, kafirlah orang-orang yang berkata,
“ Bahawasanya Allah ialah Al Masih( Ibni Maryam)", katakanlah
(wahai Muhammad), “ Dakwaan itu tidak benar, kerana siapakah
yang dapat menahan (seksa) dari Allah sedikit jua pun kalau Ia
mahu membinasakan Al Masih Ibni Maryam beserta ibunya dan
orang-orang yang ada di muka bumi semuanya ?” Dan (ingatlah)
bagi Allah jualah kuasa pemerintahan langit dan bumi dan
segala yang ada di antara keduanya. Ia menciptakan apa jua
yang dikehendakiNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas
tiap-tiap sesuatu.

18@ Orang-orang Yahudi dan Nasrani berkata, “ Kami adalah
anak-anak Allah dan yang amat disayangiNya.” Katakanlah (wahai
Muhammad), “ (Kalau betul demikian), maka mengapakah Ia
menyeksa kamu dengan sebab dosa-dosa kamu ? (Sebenarnya
bukanlah sebagaimana yang kamu dakwakan) bahkan kamu semuanya
adalah manusia biasa di antara manusia-manusia lain yang
diciptakanNya. Ia mengampunkan bagi sesiapa yang
dikehendakiNya (menurut aturan serta hukum SyariatNya),
demikian juga Ia menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya. Dan
(ingatlah) bagi Allah jualah kuasa pemerintahan langit dan
bumi serta segala yang ada di antara keduanya, dan kepada
Allah jualah tempat kembali.”

19@ Wahai Ahli Kitab ! Sesungguhnya telah datang kepada kamu
Rasul kami (Muhammad s.a.w) yang menerangkan kepada kamu (akan
syariat Islam) ketika terputusnya (kedatangan) Rasul-rasul
(yang diutus), supaya kamu tidak (berdalih) dengan berkata
(pada hari kiamat), “ Tidak datang kepada kami seorang (Rasul)
pun pembawa berita gembira dan juga pembawa amaran (yang
mengingatkan kami).” Kerana sesungguhnya telah datang kepada
kamu seorang (rasul) pembawa berita gembira dan juga pembawa
amaran. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap
sesuatu.

20@ Dan (ingatkanlah mereka wahai Muhammad), ketika Nabi Musa
berkata kepada kaumnya, “ Wahai kaumku ! Kenanglah nikmat
Allah (Yang diberikan) kepada kamu ketika Ia menjadikan dalam
kalangan kamu beberapa orang Nabi, dan Ia menjadikan kamu
bebas merdeka (setelah kamu diperhamba oleh Firaun dan orang-
orangnya), dan Ia memberikan kepada kamu barang yang tidak
pernah diberikan kepada seseorang pun dari umat-umat (yang ada
pada masa itu).”

21@ (Nabi Musa berkata lagi), “ Wahai kaumku, masuklah ke
Tanah Suci (Palestin) yang telah diperintahkan oleh Allah
untuk kamu (memasukinya), dan janganlah kamu berbalik undur
ke belakang, (kalau kamu undur) maka kamu kelak menjadi orang-
orang yang rugi (di dunia dan di akhirat).”

22@ Mereka menjawab, “ Wahai Musa bahawasanya di negeri itu
ada kaum yang gagah perkasa, dan sesungguhnya kami tidak akan
memasukinya sehingga mereka keluar daripadanya, kemudian jika
mereka keluar daripadanya, maka sesungguhnya kami akan masuk
(ke negeri itu).”

23@ Berkatalah dua lelaki di antara orang-orang yang takut
(menyalahi perintah tuhan), lagi yang telah diberi nikmat
(taufik) oleh Allah kepada keduanya, “ Seranglah mereka
melalui pintu itu, kerana apabila kamu memasukinya maka sudah
tentu kamulah orang-orang yang menang, dan kepada Allah jualah
hendaklah kamu berserah (setelah kamu bertindak menyerang),
jika benar kamu orang-orang yang beriman.”

24@ Mereka (menolak dengan) berkata, “ Wahai Musa,
sesungguhnya kami tidak akan memasuki negeri itu selama-
lamanya selagi kaum itu masih berada di dalamnya, oleh itu
pergilah engkau bersama Tuhanmu dan perangilah mereka.
Sebenarnya kami di sinilah duduk menunggu.”

25@ Nabi Musa (merayu kepada Allah), katanya, “ Wahai Tuhan !
Sesungguhnya aku tidak dapat menguasai selain daripada diriku
sendiri dan saudaraku (Harun), oleh itu pisahkanlah antara
kami dengan kaum yang fasik itu.”

26@ Allah berfirman, “ Sesungguhnya negeri itu diharamkan
kepada mereka memasukinya (selama empat puluh tahun), mereka
akan merayau-rayau dengan bingungnya (di sepanjang masa yang
tersebut) di padang pasir (Sinai), maka janganlah engkau
berdukacita terhadap kaum yang fasik itu.”

27@ Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah
(mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku
dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan
satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada
Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya
(Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil).
Berkata (Qabil), ” Sesungguhnya aku akan membunuhmu !”.
(Habil) menjawab, “ Hanyasanya Allah menerima (korban) dari
orang-orang yang bertaqwa,"

28@ “ Demi sesungguhnya ! Jika engkau hulurkan tanganmu
kepadaku untuk membunuhku, aku tidak sekali-kali akan
menghulurkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Kerana
sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan Yang mentadbirkan
sekalian alam,"

29@ “ Sesungguhnya aku mahu supaya engkau kembali dengan
(membawa) dosa (membunuhku) dan dosamu sendiri. Maka dengan
itu menjadilah engkau dari ahli neraka, dan itulah dia balasan
orang-orang yang zalim.”

30@ Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya (sehingga ia
tergamak) membunuh saudaranya, lalu ia membunuhnya. Oleh itu
menjadilah dia dari golongan orang-orang yang rugi.

31@ Kemudian Allah hantarkan seekor burung gagak (menyuruhnya)
mengorek-ngorek di bumi supaya, diperlihatkan kepada (Qabil)
bagaimana cara menimbus mayat saudaranya. (Qabil) berkata,
“ Wahai celakanya aku ! Alangkah lemah serta bodohnya aku, aku
tidak tahu berbuat seperti burung gagak ini, supaya aku dapat
menimbuskan mayat saudaraku ?”. Kerana itu menjadilah ia dari
golongan orang-orang yang menyesal.

32@ Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) yang demikian itu
kami tetapkan atas Bani Israil, bahawasanya sesiapa yang
membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan
membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka
bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya,
dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia,
maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia
semuanya. Dan demi sesungguhnya, telah datang kepada mereka
Rasul-rasul kami dengan membawa keterangan yang cukup terang,
kemudian, sesungguhnya kebanyakan dari mereka sesudah itu,
sungguh-sungguh menjadi orang-orang yang melampaui batas
(melakukan kerosakan) di muka bumi.

33@ Hanyasanya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan
RasulNya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi ialah
dengan dibalas bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan
tidak merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh dan
merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka bersilang
(kalau mereka merampas sahaja), atau dibuang negeri (kalau
mereka hanya mengganggu ketenteraman umum). Hukuman yang
demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan
di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang amat besar.

34@ Kecuali orang-orang yang bertaubat sebelum kamu dapat
menangkapnya, (mereka terlepas dari hukuman itu). Maka
ketahuilah, bahawasanya Allah Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani.

35@ Wahai orang-orang yang beriman ! Bertaqwalah kepada Allah
dan carilah yang boleh menyampaikan kepadaNya (dengan mematuhi
perintahNya dan meninggalkan laranganNya), dan berjuanglah
pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh
kejayaan.

36@ Sesungguhnya orang-orang yang kafir, kalau (tiap-tiap
seorang dari) mereka mempunyai segala yang ada di muka bumi
atau sebanyak itu lagi bersamanya, untuk mereka menjadikannya
penebus diri mereka dari azab seksa hari kiamat, nescaya
tebusan itu tidak akan diterima dari mereka, dan mereka akan
beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

37@ Mereka sentiasa berharap hendak keluar dari api neraka
itu, padahal mereka tidak sekali-kali akan dapat keluar
daripadanya, dan bagi mereka azab seksa yang tetap kekal.

38@ Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang
mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu
balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga
sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah)
Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

39@ Maka sesiapa yang bertaubat sesudah ia melakukan kejahatan
(curi) itu dan memperbaiki amal usahanya, sesungguhnya Allah
menerima taubatnya, kerana Allah Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani.

40@ Tidakkah engkau mengetahui bahawa Allah menguasai
pemerintahan langit dan bumi ? Ia menyeksakan sesiapa yang
dikehendakiNya (menurut aturan dan hukum SyariatNya), dan
mengampunkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan dan
hukum SyariatNya). Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-
tiap sesuatu.

41@ Wahai Rasul Allah ! Janganlah engkau menanggung dukacita
disebabkan orang-orang yang segera menceburkan diri dalam
kekufuran, iaitu dari orang-orang yang berkata dengan
mulutnya, “ Kami tetap beriman”, padahal hatinya tidak
beriman, demikian juga dari orang-orang Yahudi, mereka orang-
orang yang sangat suka mendengar berita-berita dusta, mereka
sangat suka mendengar perkataan golongan lain (pendita-pendita
Yahudi) yang tidak pernah datang menemuimu, mereka ini
mengubah serta meminda perkataan-perkataan (dalam Kitab
Taurat) itu dari tempat-tempatnya yang sebenar. Mereka
berkata, “ Jika disampaikan kepada kamu hukum seperti ini maka
terimalah dia, dan jika tidak disampaikannya kepada kamu, maka
jagalah diri baik-baik.” Dan sesiapa yang dikehendaki Allah
kesesatannya, maka engkau tidak berkuasa sama sekali (menolak)
sesuatu apapun (yang datang) dari Allah untuknya. Mereka ialah
orang-orang yang Allah tidak mahu membersihkan hati mereka,
bagi mereka kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka
beroleh azab seksa yang besar.

42@ Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat
suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya). Oleh
itu kalau mereka datang kepadamu, maka hukumlah di antara
mereka (dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah), atau
berpalinglah dari mereka, dan kalau engkau berpaling dari
mereka maka mereka tidak akan dapat membahayakanmu sedikitpun,
dan jika engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka
dengan adil, kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang
yang berlaku adil.

43@ Dan (sungguh menghairankan), bagaimana mereka meminta
keputusan hukum kepadamu, padahal di sisi mereka ada Kitab
Taurat yang mengandungi hukum Allah, kemudian mereka berpaling
pula sesudah itu (dari hukumanmu) ? Dan (sebenarnya) mereka
itu bukanlah orang-orang yang beriman.

44@ Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab Taurat, yang
mengandungi petunjuk dan cahaya yang menerangi, dengan Kitab
itu nabi-nabi yang menyerah diri (kepada Allah) menetapkan
hukum bagi orang-orang Yahudi, dan (dengannya juga) ulama
mereka dan pendita-penditanya (menjalankan hukum Allah), sebab
mereka diamanahkan memelihara dan menjalankan hukum-hukum dari
Kitab Allah (Taurat) itu, dan mereka pula adalah menjadi
penjaga dan pengawasnya (dari sebarang perubahan). Oleh itu
janganlah kamu takut kepada manusia tetapi hendaklah kamu
takut kepadaKu (dengan menjaga diri dari melakukan maksiat dan
patuh akan perintahKu), dan janganlah kamu menjual
(membelakangkan) ayat-ayatKu dengan harga yang sedikit (kerana
mendapat rasuah, pangkat dan lain-lain keuntungan dunia), dan
sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan
oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-
orang kafir.

45@ Dan kami telah tetapkan atas mereka di dalam kitab Taurat
itu, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan
mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas
dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi, dan luka-luka
hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan
hak membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa baginya, dan
sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan
Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

46@ Dan Kami utuskan Nabi Isa Ibni Maryam mengikuti jejak
langkah mereka (Nabi-nabi Bani Israil), untuk membenarkan
Kitab Taurat yang diturunkan sebelumnya, dan Kami telah
berikan kepadanya Kitab Injil, yang mengandungi petunjuk
hidayah dan cahaya yang menerangi, sambil mengesahkan benarnya
apa yang telah ada di hadapannya dari Kitab Taurat, serta
menjadi petunjuk dan nasihat pengajaran bagi orang-orang yang
(hendak) bertaqwa.

47@ Dan hendaklah Ahli Kitab Injil menghukum dengan apa yang
telah diturunkan oleh Allah di dalamnya, dan sesiapa yang
tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah,
maka mereka itulah orang-orang yang fasik.

48@ Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab
(Al Quran) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan
benarnya Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan sebelumnya dan
untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum
di antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah
diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau
mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari
apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran. Bagi tiap-tiap
umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu
Syariat dan jalan ugama (yang wajib diikuti oleh masing-
masing). Dan kalau Allah menghendaki nescaya Ia menjadikan
kamu satu umat (yang bersatu dalam ugama yang satu), tetapi Ia
hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah
disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu
membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah
jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Ia akan memberitahu
kamu apa yang kamu berselisihan padanya.

49@ Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka
dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah
engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah
supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang
telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka
berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah,
hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah
dari dosa-dosa mereka, dan sesungguhnya kebanyakan dari umat
manusia itu adalah orang-orang yang fasik.

50@ Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada
hukum-hukum jahiliyah ? Padahal (kepada orang-orang yang penuh
keyakinan) tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang
lebih pada daripada Allah.



51@ Wahai orang-orang yang beriman ! Janganlah kamu mengambil
orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana
setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang
lain, dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman
rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu
mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk
kepada kaum yang berlaku zalim.

52@ Dalam pada itu, engkau lihat orang-orang (munafik) yang
ada penyakit dalam hatinya segera berusaha mendampingkan diri
kepada mereka (Yahudi dan Nasrani), sambil berkata, “ Kami
takut bahawa kami akan ditimpa bencana (yang memaksa kami
meminta pertolongan mereka)”. Mudah-mudahan Allah akan
mendatangkan kemenangan (kepada RasulNya dan umat Islam) atau
mendatangkan sesuatu hukuman dari sisiNya (terhadap golongan
yang munafik itu), maka sebab itu mereka akan menyesal
mengenai apa yang telah mereka sembunyikan dalam hatinya.

53@ Dan (telatah kaum munafik itu menjadikan) orang-orang yang
beriman berkata, “ Adakah mereka ini orang-orang yang
bersumpah dengan nama Allah, dengan sebenar-benar sumpahnya,
bahawa mereka benar-benar menyertai dan menolong kamu ?” Telah
gugurlah amal-amal mereka, lalu menjadilah mereka, orang-orang
yang rugi.

54@ Wahai orang-orang yang beriman ! Sesiapa di antara kamu
berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan
mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka
juga kasihkan Dia, mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap
orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap
orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh
pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang
yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah
yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya, kerana
Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi
PengetahuanNya.

55@ Sesungguhnya Penolong kamu hanyalah Allah, dan RasulNya,
serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang,
dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung
perintah Allah).

56@ Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan rasulnya serta
orang-orang yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah
dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada
ugama) Allah, itulah yang tetap menang.

57@ Wahai orang-orang yang beriman ! Janganlah kamu mengambil
orang-orang yang menjadikan ugama kamu sebagai ejek-ejekan dan
permainan (dari orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum
kamu), dan orang-orang kafir musyrik itu, menjadi penolong-
penolong, dan bertaqwalah kepada Allah, jika kamu benar-benar
orang yang beriman.

58@ Dan apabila kamu menyeru (azan) untuk mengerjakan
sembahyang, mereka menjadikan sembahyang itu sebagai ejek-
ejekan dan permainan. Yang demikian itu ialah kerana mereka
suatu kaum yang tidak berakal.

59@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Wahai Ahli Kitab ! Kamu
tidak mencela dan menyalahkan kami melainkan kerana kami
beriman kepada Allah dan beriman kepada apa yang diturunkan
kepada kami, serta beriman kepada apa yang diturunkan sebelum
itu, dan kerana kebanyakkan kamu sesungguhnya adalah orang-
orang yang fasik.”

60@ Katakanlah, “ Mahukah, aku khabarkan kepada kamu tentang
yang lebih buruk balasannya di sisi Allah daripada yang
demikian itu ? Ialah orang-orang yang dilaknat oleh Allah dan
dimurkaiNya, dan orang-orang yang dijadikan di antara mereka
sebagai kera dan babi, dan penyembah Taghut. Mereka inilah
yang lebih buruk kedudukannya dan yang lebih sesat dari jalan
yang betul.”

61@ Dan apabila mereka (orang-orang Yahudi atau munafik itu)
datang kepada kamu, mereka berkata, “ Kami telah beriman.”
Padahal sesungguhnya mereka itu masuk menemui kamu dengan
kekufurannya, dan sesungguhnya mereka keluar (dari sisi kamu)
dengan kekufurannya juga, dan (hendaklah mereka ingat), Allah
lebih mengetahui akan apa yang mereka sembunyikan.

62@ Dan engkau lihat kebanyakan dari mereka berlumba-lumba
pada melakukan dosa dan pencerobohan serta memakan yang haram.
Demi sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah lakukan.

63@ Alangkah baiknya kalau ketua-ketua ugama dan pendita-
pendita mereka melarang mereka dari mengeluarkan perkataan-
perkataan yang dusta dan dari memakan yang haram ?
Sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah kerjakan.

64@ Dan orang-orang Yahudi itu berkata, “ Tangan Allah
terbelenggu (bakhil, kikir)”, tangan merekalah yang
terbelenggu dan mereka pula dilaknat dengan sebab apa yang
mereka telah katakan itu, bahkan kedua tangan Allah sentiasa
terbuka (nikmat dan kurniaNya luas melimpah-limpah). Ia
belanjakan (limpahkan) sebagaimana yang Ia kehendaki, dan demi
sesungguhnya, apa yang telah diturunkan kepadamu dari tuhanmu
itu akan menjadikan kebanyakkan dari mereka bertambah derhaka
dan kufur, dan Kami tanamkan perasaan permusuhan dan kebencian
di antara mereka hingga hari kiamat. Tiap-tiap kali mereka
menyalakan api peperangan, Allah memadamkannya, dan mereka
pula terus-menerus melakukan kerosakan di muka bumi, sedang
Allah tidak suka kepada orang-orang yang melakukan kerosakan.

65@ Dan sekiranya Ahli Kitab itu beriman dan bertaqwa tentulah
Kami akan hapuskan dari mereka kejahatan-kejahatan mereka, dan
tentulah Kami akan masukkan mereka ke dalam Syurga-syurga yang
penuh nikmat.

66@ Dan kalau mereka bersungguh-sungguh menegakkan
(menjalankan perintah-perintah Allah dalam) Taurat dan Injil
dan apa yang diturunkan kepada mereka dari Tuhan mereka
(Al Quran), nescaya mereka akan makan (yang mewah) dari atas
mereka (langit) dan dari bawah kaki mereka (bumi). Di antara
mereka ada sepuak yang adil, dan kebanyakan dari mereka, buruk
keji amal perbuatannya.

67@ Wahai Rasul Allah ! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan
kepadamu dari Tuhanmu, dan jika engkau tidak melakukannya
(dengan menyampaikan semuanya), maka bermakna tiadalah engkau
menyampaikan perutusanNya, dan Allah jualah akan memeliharamu
dari (kejahatan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi
hidayah petunjuk kepada kaum yang kafir.

68@ Katakanlah, “ Wahai Ahli Kitab ! Kamu tidak dikira
mempunyai sesuatu ugama sehingga kamu tegakkan ajaran Kitab-
kitab Taurat dan Injil (yang membawa kamu percaya kepada Nabi
Muhammad) dan apa yang diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu
(iaitu Al Quran)” Dan demi sesungguhnya, apa yang diturunkan
kepadamu (wahai Muhammad) dari Tuhanmu itu, akan menambahkan
kederhakaan dan kekufuran kepada kebanyakan mereka. Oleh itu
janganlah engkau berdukacita terhadap kaum yang kafir itu.

69@ Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang
Yahudi, dan orang-orang Saabiein, dan orang-orang Nasrani
(sesiapa sahaja di antara mereka yang beriman kepada Allah,
dan segala RasulNya meliputi Nabi Muhammad s.a.w) dan
(beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka
tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak
baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

70@ Demi sesungguhnya ! Kami telah mengambil perjanjian setia
dari Bani Israil dan Kami telah utuskan kepada mereka beberapa
orang Rasul. (Tetapi) tiap-tiap kali datang, seorang Rasul
kepada mereka dengan membawa apa yang tidak disukai oleh hawa
nafsu mereka, mereka dustakan sebahagian dari Rasul-rasul itu,
dan mereka bunuh yang sebahagian lagi.

71@ Dan mereka juga menyangka bahawa tidak akan berlaku
sebarang bencana, lalu mereka membutakan mata dan memekakkan
telinga, kemudian Allah menerima taubat mereka, setelah itu
kebanyakkan dari mereka membutakan mata dan memekakkan telinga
lagi. Padahal Allah Maha Melihat akan apa yang mereka lakukan.

72@ Demi sesungguhnya ! Telah kafirlah orang-orang yang
berkata, “ Bahawasanya Allah ialah Al Masih Ibni Maryam”.
Padahal Al Masih sendiri berkata, ” Wahai Bani Israil !
Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, Bahawasanya sesiapa
yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka
sesungguhnya Allah haramkan kepadanya Syurga, dan tempat
kembalinya ialah neraka, dan tiadalah seorang penolong pun
bagi orang-orang yang berlaku zalim.”

73@ Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata,
“ Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga tuhan." Padahal
tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan yang Maha
Esa. Dan jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka
katakan itu, sudah tentu orang-orang yang kafir dari antara
mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

74@ Oleh itu tidakkah mereka mahu bertaubat kepada Allah dan
memohon keampunannya (sesudah mereka mendengar keterangan-
keterangan tentang kepercayaan mereka yang salah dan balasan
seksanya) ? Padahal Allah Maha pengampun, lagi Maha
Mengasihani.

75@ Tiadalah Al Masih Ibni Maryam itu melainkan seorang Rasul
yang telah terdahulu sebelumnya beberapa orang Rasul, dan
ibunya seorang perempuan yang amat benar, mereka berdua adalah
memakan makanan (seperti kamu juga). Lihatlah bagaimana kami
jelaskan kepada mereka (ahli kitab itu) keterangan-keterangan
(yang tegas yang menunjukkan kesesatan mereka), kemudian
lihatlah bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsu mereka
dari menerima kebenaran yang jelas nyata itu).

76@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Patutkah kamu menyembah
sesuatu yang lain dari Allah, yang tidak berkuasa memberi
mudarat kepada kamu dan tidak juga berkuasa memberi manfaat ?
Padahal Allah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

77@ Katakanlah, “ Wahai Ahli Kitab ! Janganlah kamu melampau
dalam ugama kamu secara yang tidak benar, dan janganlah kamu
menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan
telah menyesatkan banyak manusia, dan juga (sekarang) mereka
telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul.”

78@ Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat
(di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud
dan Nabi Isa ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka
menderhaka dan selalu menceroboh.

79@ Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri)
dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereka
lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka
telah lakukan.

80@ Engkau melihat banyak dari mereka menjadikan orang-orang
kafir (musyrik) teman rapat mereka. Demi sesungguhnya amatlah
buruknya apa yang mereka sediakan bagi diri mereka (pada hari
akhirat kelak) iaitu kemurkaan Allah menimpa mereka, dan
mereka pula tetap kekal di dalam azab (neraka).

81@ Sekiranya mereka beriman kepada Allah dan kepada Nabi
serta apa yang diturunkan kepadanya, nescaya mereka tidak
menjadikan orang-orang (musyrik) sebagai teman rapat, akan
tetapi kebanyakan dari mereka adalah orang-orang fasik.

82@ Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati
manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang
yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik.
Dan demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang
dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman
ialah orang-orang yang berkata, “ Bahawa kami ini ialah orang-
orang Nasrani.” yang demikian itu, disebabkan ada di antara
mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka
pula tidak berlaku sombong.

83@ Dan apabila mereka mendengar Al Quran yang diturunkan
kepada Rasulullah (Muhammad, s.a.w), engkau melihat mata
mereka mencucurkan air mata disebabkan apa yang mereka ketahui
(melalui Kitab mereka) dari kebenaran (Al Quran), sambil
mereka berkata, “ Wahai Tuhan kami, kami beriman (kepada Nabi
Muhammad dan Kitab Suci Al Quran), oleh itu tetapkanlah kami
bersama-sama orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui
kebenaran Nabi Muhammad s.a.w)."

84@ “ Dan tidak ada sebab bagi kami tidak beriman kepada Allah
dan kepada kebenaran (Al Quran) yang sampai kepada kami,
padahal kami ingin (dengan sepenuh-penuh harapan), supaya
Tuhan kami memasukkan kami (ke dalam Syurga) bersama-sama
orang-orang yang soleh.”

85@ Lalu Allah memberikan pahala kepada mereka disebabkan
(pengakuan iman yang ikhlas) yang telah mereka ucapkan, (iaitu
mereka dibalas dengan) Syurga yang mengalir di bawahnya
beberapa sungai, mereka pula tetap kekal di dalamnya. Dan yang
demikian itu, adalah balasan orang-orang yang berusaha berbuat
kebaikan.

86@ Dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir serta mendustakan
ayat-ayat keterangan Kami, mereka itulah ahli neraka.

87@ Wahai orang-orang yang beriman ! Janganlah kamu haramkan
benda-benda yang baik-baik yang telah dihalalkan oleh Allah
bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang
telah ditetapkan halalnya itu), kerana sesungguhnya Allah
tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.

88@ Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada
kamu, iaitu yang halal lagi baik, dan bertaqwalah kepada Allah
yang kepadaNya sahaja kamu beriman.

89@ Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah
kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi
kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang sengaja
kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya
ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan
yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu,
atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang
hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda
yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang
demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu
bersumpah. Dan jagalah (peliharalah sumpah kamu). Demikianlah
Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum
ugamaNya) supaya kamu bersyukur.

90@ Wahai orang-orang yang beriman ! Bahawa sesungguhnya arak,
dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan
batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari
perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya
kamu berjaya.

91@ Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu
menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan
sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada
mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh
itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara
yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil) ?

92@ Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasul
Allah, dan awaslah (janganlah sampai menyalahi perintah Allah
dan RasulNya). Oleh itu, jika kamu berpaling (enggan menurut
apa yang diperintahkan itu), maka ketahuilah, bahawa
sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan
(perintah-perintah) dengan jelas nyata.

93@ Tidak ada dosa bagi orang-orang yang beriman serta
mengerjakan amal yang soleh pada apa yang telah mereka makan
dahulu, apabila mereka bertaqwa dan beriman serta mengerjakan
amal yang soleh, kemudian mereka tetap bertaqwa dan beriman,
kemudian mereka tetap bertaqwa dan berbuat kebajikan, kerana
Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki
amalannya.

94@ Wahai orang-orang yang beriman ! Demi sesungguhnya Allah
akan menguji kamu (semasa kamu berihram) dengan sesuatu dari
binatang buruan yang mudah ditangkap oleh tangan kamu dan
(mudah terkena) tikaman lembing-lembing kamu, supaya Allah
ketahui wujudnya sesiapa yang takut kepadaNya semasa ia tidak
melihatNya semasa ia tidak dilihat orang. Oleh itu, sesiapa
yang melampaui batas sesudah yang demikian maka baginya azab
yang tidak terperi sakitnya.

95@ Wahai orang-orang yang beriman ! Janganlah kamu membunuh
binatang-binatang buruan ketika kamu sedang berihram. Dan
sesiapa di antara kamu yang membunuhnya dengan sengaja, maka
dendanya (menggantinya) dengan binatang ternak yang sama
dengan binatang buruan yang dibunuh itu, yang ditetapkan
hukumnya oleh dua orang yang adil di antara kamu, sebagai
hadiah yang disampaikan ke Kaabah (untuk disembelih dan
dibahagikan kepada fakir miskin di Tanah Suci), atau bayaran
kaffarah, iaitu memberi makan orang-orang miskin, atau
berpuasa sebanyak bilangan cupak yang diberikan kepada orang
miskin, supaya dapat ia merasai kesan yang buruk dari
perbuatannya. Allah maafkan apa yang telah lalu, dan sesiapa
yang mengulangi (kesalahan itu) maka Allah akan menyeksanya,
dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Berkuasa membalas dengan
azab seksa.

96@ Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan
yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk
dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam
pelayaran, tetapi diharamkan atas kamu memburu binatang buruan
darat selama kamu sedang berihram. Oleh itu, bertaqwalah
kepada Allah, yang kepadaNya kamu akan dihimpunkan.

97@ Allah menjadikan Kaabah, rumah yang mulia itu, sebagai
tempat tumpuan manusia (untuk menjalankan ibadat dan hal-hal
hidup), demikian juga bulan-bulan yang mulia, dan binatang-
binatang korban, dan kalong-kalong binatang korban itu. Yang
demikian itu, supaya kamu ketahui bahawa sesungguhnya Allah
mengetahui apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi,
dan bahawa sesungguhnya Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap
sesuatu.

98@ Ketahuilah oleh kamu, bahawasanya Allah Maha berat azab
seksaNya (kepada orang yang kufur dan derhaka), dan
bahawasanya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (bagi
orang yang mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan
laranganNya).

99@ Tidak ada kewajipan yang ditugaskan kepada Rasulullah
selain daripada menyampaikan (perintah-perintah Allah) sahaja,
dan Allah sentiasa mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa
yang kamu sembunyikan.

100@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Tidak sama yang buruk
dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu menarik
hatimu. Oleh itu bertaqwalah kepada Allah wahai orang-orang
yang berakal fikiran, supaya kamu berjaya."



101@ Wahai orang-orang yang beriman ! Janganlah kamu
bertanyakan (kepada Nabi) perkara-perkara yang jika
diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu, dan jika kamu
bertanya mengenainya ketika diturunkan Al Quran, tentulah akan
diterangkan kepada kamu. Allah maafkan (kamu) dari (kesalahan
bertanyakan) perkara-perkara itu (yang tidak dinyatakan
di dalam Al Quran), kerana Allah Maha pengampun, lagi Maha
penyabar.

102@ Sesungguhnya perkara-perkara yang serupa itu pernah
ditanyakan (kepada Nabi mereka) oleh suatu kaum dahulu sebelum
kamu, kemudian mereka menjadi kafir dengan sebab pertanyaan
itu (kerana setelah diterangkan, mereka tidak menerimanya).

103@ Allah tidak sekali-kali mensyariatkan Bahirah, tidak juga
Saa’ibah, tidak juga Wasilah dan tidak juga Haam. Akan tetapi
orang-orang kafir itu sentiasa mengada-adakan perkara dusta
terhadap Allah, dan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal
fikirannya.

104@ Dan apabila dikatakan kepada mereka, “ Marilah menurut
kepada apa yang telah diturunkan oleh Allah (Al Quran), dan
kepada RasulNya (yang menyampaikannya)”, mereka menjawab,
“ Cukuplah bagi kami apa yang kami dapati datuk nenek kami
mengerjakannya.” Adakah (mereka akan menurut juga) sekalipun
datuk nenek mereka tidak mengetahui apa-apa dan tidak pula
mendapat hidayah petunjuk ?

105@ Wahai orang-orang yang beriman ! Jagalah sahaja diri kamu
(dari melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah). Orang-orang
yang sesat tidak akan mendatangkan mudarat kepada kamu apabila
kamu sendiri telah mendapat hidayah petunjuk (taat mengerjakan
suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya). Kepada Allah
jualah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Ia akan
menerangkan kepada kamu (balasan) apa yang kamu telah lakukan.

106@ Wahai orang-orang yang beriman ! Apabila salah seorang
di antara kamu hampir mati, ketika (ia mahu) berwasiat,
hendaklah wasiatnya itu disaksikan oleh dua orang yang adil
di antara kamu, atau dua orang lain (yang bukan seugama)
dengan kamu, jika kamu dalam pelayaran di muka bumi lalu kamu
ditimpa bencana sakit yang membawa maut. Kalau kamu ragu-ragu
tentang kejujuran kedua saksi itu, hendaklah) kamu tahan
mereka sesudah selesai sembahyang, kemudian mereka (disuruh)
bersumpah dengan nama Allah (dengan berkata, “ Demi Allah")
kami tidak akan menjual sumpah kami untuk mendapat sesuatu
harta benda, walaupun orang itu dari kaum kerabat, dan kami
tidak menyembunyikan (keterangan yang kami ketahui) sebagai
saksi (sebagaimana yang diperintahkan oleh) Allah, (kerana
jika kami menyembunyikannya) tentulah kami dengan itu termasuk
dalam golongan orang-orang yang berdosa.”

107@ Kemudian jika didapati bahawa kedua saksi itu (sesudah
bersumpah) ada melakukan dosa (kerana berdusta atau
mengkhianati dalam perkara yang mereka menjadi saksi itu),
maka hendaklah dua orang yang lain menggantikan tempat mereka
dari waris-waris si mati lebih dekat, yang lebih berhak
(menuntut dan memberi keterangan yang sebenarnya), kemudian
mereka bersumpah dengan nama Allah (dengan berkata), “ Demi
sesungguhnya, persaksian kami lebih berhak diterima daripada
persaksian kedua saksi itu (yang telah nyata berdusta), dan
kami tidak melampaui batas, (kerana jika kami berbuat
demikian) tentulah kami dengan itu termasuk dalam golongan
orang-orang yang zalim."

108@ (Hukum-hukum dan peraturan menjadi saksi) yang tersebut
itu adalah jalan yang lebih dekat untuk mereka memberi
keterangan persaksian menurut cara yang sebenarnya, atau untuk
mereka merasa takut akan ditolak sumpah mereka (kepada waris-
waris si mati) sesudah mereka bersumpah (yang akan mendedahkan
kecurangan mereka). Oleh itu bertaqwalah kepada Allah, dan
dengarlah dengan patuh (segala perintahNya), dan (ingatlah)
Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang fasik.

109@ (Ingatlah) hari (kiamat yang padanya) Allah menghimpunkan
Rasul-rasulNya lalu bertanya, “ Apakah penerimaan yang
diberikan kepada kamu (oleh umat-umat kamu dahulu, ketika kamu
menyampaikan seruan ugama Allah) ?” Rasul-rasul itu menjawab,
“ Tidak ada bagi kami pengetahuan yang sah tentang itu,
(pengetahuan yang tepat adalah tertentu bagiMu), kerana
sesungguhnya Engkaulah sahaja yang Maha Mengetahui akan segala
perkara yang ghaib.”

110@ (Ingatlah) ketika Allah berfirman, “ Wahai Isa ibni
Maryam ! Kenanglah nikmatKu kepadamu dan kepada ibumu, ketika
Aku menguatkanmu dengan Ruhul Qudus (Jibril), iaitu engkau
dapat berkata-kata dengan manusia (semasa engkau masih kecil)
dalam buaian dan sesudah dewasa, dan (ingatlah) ketika Aku
mengajarmu menulis membaca, dan hikmat pengetahuan, khasnya
Kitab Taurat dan Kitab Injil, dan (ingatlah) ketika engkau
jadikan dari tanah seperti bentuk burung dengan izinKu,
kemudian engkau tiupkan padanya, lalu menjadilah ia seekor
burung dengan izinku, dan (ingatlah ketika) engkau
menyembuhkan orang buta dan orang sopak dengan izinku, dan
(ingatlah) ketika engkau menghidupkan orang-orang yang mati
dengan izinKu, dan (ingatlah) ketika Aku menghalangi Bani
Israil daripada membunuhmu, ketika engkau datang kepada mereka
dengan membawa keterangan-keterangan (mukjizat), lalu orang-
orang yang kafir di antara mereka berkata, “ Bahawa ini
hanyalah sihir yang terang nyata.”

111@ Dan (ingatlah) ketika Aku ilhamkan kepada orang-orang
Hawariyyiin (sahabat-sahabat karib nabi Isa), “ Berimanlah
kamu kepadaku dan kepada RasulKu !” Mereka menjawab, “ Kami
telah beriman, dan saksikanlah, bahawa sesungguhnya kami
orang-orang Islam (yang menyerah diri kepada Allah).”

112@ Dan (ingatlah) ketika orang orang Hawariyyiin berkata,
“ Wahai Isa Ibni Maryam ! Dapatkah kiranya Tuhanmu berkenan
menurunkan kepada kami satu hidangan dari langit ?” Nabi Isa
menjawab, “ Bertaqwalah kamu kepada Allah jika benar kamu
orang-orang yang beriman.”

113@ Mereka berkata, “ Kami hanya ingin hendak makan dari
hidangan itu (untuk mengambil berkat), dan supaya tenang
tenteram hati kami, dan juga supaya kami ketahui dengan yakin,
bahawa sesungguhnya engkau telah berkata benar kepada kami,
dan supaya menjadilah kami orang-orang yang menyaksikannya
sendiri.”

114@ Isa ibni Maryam (pun berdoalah ke hadrat Allah dengan)
berkata, " Ya Allah, Tuhan kami ! Turunkanlah kiranya kepada
kami satu hidangan dari langit, untuk menjadi hari raya bagi
kami, iaitu bagi kami yang ada hari ini dan bagi orang-orang
kami yang datang kemudian, dan sebagai satu tanda (mukjizat)
daripadamu (yang menunjukkan kebesaran dan kekuasaanMu), dan
kurniakanlah rezeki kepada kami, kerana Engkau jualah sebaik-
baik Pemberi rezeki.”

115@ Allah berfirman, “ Sesungguhnya Aku akan menurunkan
hidangan itu berulang-ulang kepada kamu, kemudian sesiapa
di antara kamu kufur ingkar sesudah (turunnya hidangan itu),
maka sesungguhnya Aku akan menyeksanya dengan azab sengsara
yang tidak pernah Aku seksakan seseorang pun dari sekalian
makhluk.”

116@ Dan (ingatlah) ketika Allah berfirman, “ Wahai Isa ibni
Maryam ! Engkaukah yang berkata kepada manusia, " Jadikanlah
daku dan ibuku dua tuhan selain dari Allah ?” Nabi `Isa
menjawab, “ Maha Suci Engkau (wahai Tuhan) ! Tidaklah layak
bagiku mengatakan sesuatu yang aku tidak berhak
(mengatakannya). Jika aku ada mengatakannya, maka tentulah
Engkau telah mengetahuinya. Engkau mengetahui apa yang ada
pada diriku, sedang aku tidak mengetahui apa yang ada pada
diriMu, kerana sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui
perkara-perkara yang ghaib."

117@ “ Aku tidak mengatakan kepada mereka melainkan apa yang
Engkau perintahkan kepadaku mengatakannya, iaitu, " Sembahlah
kamu akan Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu." dan adalah aku
menjadi pengawas terhadap mereka (dengan membenarkan yang
benar dan menyalahkan yang salah) selama aku berada dalam
kalangan mereka, kemudian apabila Engkau sempurnakan tempohku,
menjadilah Engkau sendiri yang mengawasi keadaan mereka, dan
Engkau jualah yang menjadi Saksi atas tiap-tiap sesuatu."

118@ “ Jika Engkau menyeksa mereka, (maka tidak ada yang
menghalanginya) kerana sesungguhnya mereka adalah hamba-
hambaMu, dan jika Engkau mengampunkan mereka, maka
sesungguhnya Engkaulah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha
Bijaksana.”

119@ Allah berfirman, “ Inilah hari (kiamat) yang (padanya)
orang-orang yang benar (pada tutur kata dan amal perbuatan)
mendapat manfaat dari kebenaran mereka, mereka beroleh Syurga-
syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal
di dalamnya selama-lamanya. Allah reda akan mereka dan mereka
pula reda akan Dia. Itulah kejayaan yang amat besar.”

120@ Allah jualah yang menguasai alam langit dan bumi serta
segala yang ada padanya, dan Dialah jua yang Maha Kuasa atas
tiap-tiap sesuatu.

No comments:

Post a Comment