Wednesday 20 January 2016

Al Quran Indonesia. 007. Surah Al A’raaf (Tempat Tertinggi)...

Al Quran Indonesia. 007. Surah Al A’raaf (Tempat Tertinggi)...

BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

1@ Alif, Laam, Miim, Saad.

2@ (Al Quran ini) sebuah Kitab yang diturunkan kepadamu (wahai
Muhammad dari Tuhanmu). Oleh itu, janganlah ada perasaan
bimbang dalam dadamu mengenainya, supaya engkau memberi amaran
dengan Al Quran itu (kepada orang-orang yang ingkar), dan
supaya menjadi peringatan bagi orang-orang yang beriman.

3@ (Katakanlah kepada mereka wahai Muhammad), “ Turutlah apa
yang telah diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu dan
janganlah kamu menurut pemimpin-pemimpin yang lain dari Allah,
(tetapi sayang) amatlah sedikit kamu mengambil peringatan.”

4@ Dan berapa banyak negeri yang Kami binasakan, iaitu datang
azab seksa Kami menimpa penduduknya pada malam hari, atau
ketika mereka berehat pada tengah hari.

5@ Maka tidak ada yang mereka katakan ketika datangnya azab
Kami kepada mereka, melainkan mereka (mengakui dengan)
berkata, “ Sebenarnya kami adalah orang-orang yang zalim.”

6@ Maka sesungguhnya Kami (Allah) akan menyoal umat-umat yang
telah diutuskan (Rasul-rasul) kepada mereka, dan sesungguhnya
Kami akan menyoal juga Rasul-rasul itu.

7@ Kemudian sesungguhnya Kami akan ceritakan kepada mereka
(Rasul-rasul dan umat-umatnya), dengan (berdasarkan)
pengetahuan (yang meliputi akan apa yang mereka lakukan), dan
sememangnya Kami tidak sekali-kali ghaib (bahkan sentiasa
Mendengar, Melihat dan Mengetahui akan hal ehwal mereka).

8@ Dan timbangan amal pada hari itu adalah benar, maka sesiapa
yang berat timbangan amalnya (yang baik), maka mereka itulah
orang-orang yang berjaya.

9@ Dan sesiapa yang ringan timbangan amalnya (yang baik), maka
mereka itulah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri,
dengan sebab mereka berlaku zalim terhadap ayat-ayat Kami
(dengan meletakkannya pada bukan tempatnya).

10@ Dan sesungguhnya Kami telah menetapkan kamu (dan memberi
kuasa) di bumi, dan Kami jadikan untuk kamu padanya (berbagai
jalan) penghidupan (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah
sedikit kamu bersyukur.

11@ Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu, lalu Kami
membentuk rupa kamu, kemudian Kami berfirman kepada malaikat-
malaikat, “ Sujudlah kamu kepada Adam”, lalu mereka sujud
melainkan Iblis, ia tidaklah termasuk dalam golongan yang
sujud.

12@ Allah berfirman, “ Apakah penghalangnya yang menyekatmu
daripada sujud ketika Aku perintahmu ?” Iblis menjawab, “ Aku
lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku
dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah.”

13@ Allah berfirman, “ Turunlah engkau dari Syurga ini, kerana
tidak patut engkau berlaku sombong di dalamnya, oleh sebab itu
keluarlah, sesungguhnya engkau dari golongan yang hina.”

14@ Iblis berkata, " Berilah tempoh kepadaku hingga hari
mereka dibangkitkan (hari kiamat).”

15@ Allah berfirman, “ Sesungguhnya engkau dari golongan yang
diberi tempoh (ke suatu masa yang tertentu)”.

16@ Iblis berkata, “ Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan)
menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan
mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu
yang lurus,"

17@ “ Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta
dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri
mereka, dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka
bersyukur”.

18@ Allah berfirman, “ Keluarlah engkau dari Syurga sebagai
makhluk yang terhina serta terusir. Sesungguhnya sesiapa
di antara mereka yang menurutmu, tetaplah aku akan memenuhi
neraka jahanam dengan (golongan) kamu (yang derhaka) semuanya,

19@ “ Dan wahai Adam ! Tinggalah engkau dan isterimu di dalam
Syurga serta makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa
sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok
ini, (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari
orang-orang yang zalim.”

20@ Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepada
mereka berdua supaya (dapatlah) ia menampakkan kepada mereka
akan aurat mereka yang (sekian lama) tertutup dari (pandangan)
mereka, sambil ia berkata, “ Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu
daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana Ia tidak
suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-
orang yang kekal (selama-lamanya di dalam Syurga).”

21@ Dan ia bersumpah kepada keduanya (dengan berkata),
“ Sesungguhnya aku adalah dari mereka yang memberi nasihat
kepada kamu berdua.”

22@ Dengan sebab itu dapatlah ia menjatuhkan mereka berdua
(ke dalam larangan) dengan tipu dayanya. Setelah mereka
memakan (buah) pohon itu, terdedahlah kepada mereka berdua
aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan
daun-daun (dari) Syurga. Serta Tuhan mereka menyeru mereka,
“ Bukankah Aku telah melarang kamu berdua dari pokok itu, dan
Aku katakan kepada kamu, bahawa Syaitan itu adalah musuh kamu
yang nyata ?”

23@ Mereka berdua merayu, “ Wahai Tuhan kami, kami telah
menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak
mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya
menjadilah kami dari orang-orang yang rugi.”

24@ Allah berfirman, “ Turunlah kamu semuanya, dengan keadaan
setengah kamu menjadi musuh bagi setengahnya yang lain, dan
bagi kamu disediakan tempat kediaman di bumi, dan juga diberi
kesenangan hingga ke suatu ketika (mati).”

25@ Allah berfirman lagi, “ Di bumi itu kamu hidup dan situ
juga kamu mati, dan daripadanya pula kamu akan dikeluarkan
(dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat)."

26@ Wahai anak-anak Adam ! Sesungguhnya Kami telah menurunkan
kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu,
dan pakaian perhiasan, dan pakaian yang berupa taqwa itulah
yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda
(limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya)
supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).

27@ Wahai anak-anak Adam ! Janganlah kamu diperdayakan oleh
Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu
dari Syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka
berdua untuk memperlihatkan kepada mereka, aurat mereka (yang
sebelum itu tertutup). Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya
melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat
mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan Syaitan-syaitan itu
teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman.

28@ Dan (orang-orang yang tidak beriman itu) apabila mereka
melakukan sesuatu perbuatan yang keji, mereka berkata, “ Kami
dapati datuk nenek kami mengerjakannya, dan Allah perintahkan
kami mengerjakannya.” Katakanlah (wahai Muhammad),
“ Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menyuruh mengerjakan
perbuatan yang keji. Patutkah kamu mengatakan terhadap Allah
apa yang kamu tidak mengetahuinya ?”

29@ Katakanlah, “ Tuhanku menyuruh berlaku adil (pada segala
perkara), dan (menyuruh supaya kamu) hadapkan muka (dan hati)
kamu (kepada Allah) dengan betul pada tiap-tiap kali
mengerjakan sembahyang, dan beribadatlah dengan mengikhlaskan
amal ugama kamu kepadaNya semata-mata, (kerana) sebagaimana Ia
telah menjadikan kamu pada mulanya, (demikian pula) kamu akan
kembali (kepadaNya).

30@ Sebahagian (dari umat manusia) diberi hidayah petunjuk
oleh Allah (dengan diberi taufiq untuk beriman dan beramal
soleh), dan sebahagian lagi (yang ingkar) berhaklah mereka
ditimpa kesesatan (dengan pilihan mereka sendiri), kerana
sesungguhnya mereka telah menjadikan Syaitan-syaitan itu
pemimpin-pemimpin (yang ditaati) selain Allah. Serta mereka
pula menyangka, bahawa mereka berada dalam petunjuk hidayah.

31@ Wahai anak-anak Adam ! Pakailah pakaian kamu yang indah
berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau
mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan
jangan pula kamu melampau, sesungguhnya Allah tidak suka akan
orang-orang yang melampaui batas.

32@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Siapakah yang (berani)
mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk
hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi
halal dari rezeki yang dikurniakanNya ?” Katakanlah,
“ Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang
beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia,
(nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang
beriman sahaja) pada hari kiamat.” Demikianlah Kami jelaskan
ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang
(mahu) mengetahui.

33@ Katakanlah, “ Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan
perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang
tersembunyi, dan perbuatan dosa, dan perbuatan menceroboh
dengan tidak ada alasan yang benar, dan (diharamkanNya) kamu
mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedang Allah tidak
menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya), dan
(diharamkanNya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang
kamu tidak mengetahuinya.

34@ Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah
ditetapkan), maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka
dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka
didahulukan.

35@ Wahai anak-anak Adam ! Jika datang kepada kamu Rasul-rasul
dari kalangan kamu yang menceritakan kepada kamu ayat-ayat
(perintah) Ku, maka sesiapa yang bertaqwa dan memperbaiki
amalnya, tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang
tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan
berdukacita.

36@ Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat (perintah) Kami
dan yang angkuh (merasa dirinya lebih) daripada mematuhinya,
merekalah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.

37@ Maka tidak ada yang lebih zalim daripada orang yang
berdusta terhadap Allah atau yang mendustakan ayat-ayatNya.
Orang-orang itu akan mendapat bahagian mereka (di dunia) dari
apa yang telah tersurat (bagi mereka), hingga apabila datang
kepada mereka utusan-utusan Kami (malaikat) yang mengambil
nyawa mereka, bertanyalah malaikat itu (kepada mereka),
“ Manakah (makhluk-makhluk dan benda-benda) yang kamu sembah
selain Allah ?” Mereka menjawab, “ Semuanya itu telah hilang
lenyap daripada kami”, dan mereka pula menjadi saksi terhadap
diri mereka sendiri, bahawa mereka adalah orang-orang yang
ingkar.

38@ Allah berfirman, “ Masuklah kamu ke dalam neraka bersama-
sama umat-umat yang terdahulu daripada kamu, dari jin dan
manusia. Tiap-tiap satu umat yang masuk, mengutuk akan
saudaranya (golongannya sendiri), hingga apabila mereka semua
berhimpun di dalamnya, berkatalah golongan yang akhir mengenai
golongan yang pertama di antara mereka, “ Wahai Tuhan kami,
mereka inilah yang telah menyesatkan kami, oleh itu berilah
kepada mereka azab seksa yang berlipat ganda dari (azab)
neraka”. Allah berfirman, “ Kamu masing-masing disediakan
(azab seksa) yang berlipat ganda tetapi kamu tidak
mengetahui.”

39@ Dan berkatalah golongan pertama (ketua-ketua), di antara
mereka, kepada golongan yang akhir (pengikut-pengikutnya),
“ (Jika demikianlah hukuman Tuhan), maka tidak ada bagi kamu
sebarang kelebihan atas kami.” (Allah berfirman), “ Oleh itu
rasalah kamu azab seksa disebabkan apa yang kamu telah
usahakan.”

40@ Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat
(perintah) Kami dan yang angkuh (merasa dirinya lebih)
daripada mematuhinya, tidak sekali-kali akan dibukakan bagi
mereka pintu-pintu langit dan mereka tidak akan masuk Syurga
sehingga unta masuk di lubang jarum dan demikianlah Kami
membalas orang-orang yang melakukan kesalahan.

41@ Disediakan untuk mereka hamparan-hamparan dari api neraka,
dan di atas mereka lapisan-lapisan penutup (dari api neraka)
dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang zalim
(disebabkan keingkarannya).

42@ Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh (dengan
tidak menjadi keberatan kepada mereka, kerana) Kami tidak
memberati diri seseorang (dengan kewajipan) melainkan sekadar
yang terdaya olehnya, merekalah ahli Syurga, mereka kekal
di dalamnya.

43@ Dan Kami cabutkan segala dendam dan hasad dengki dari hati
mereka, (di dalam Syurga) yang mengalir beberapa sungai
di bawah (tempat) masing-masing, dan mereka pula bersyukur
dengan berkata, “ Segala puji tertentu bagi Allah yang telah
memberi hidayah petunjuk untuk (mendapat nikmat-nikmat) ini,
padahal Kami tidak sekali-kali akan memperoleh petunjuk kalau
Allah tidak memimpin kami (dengan taufiqNya), sesungguhnya
telah datang Rasul-rasul Tuhan kami dengan membawa kebenaran.”
Dan mereka diseru, “ Itulah Syurga yang diberikan kamu
mewarisinya dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan.”

44@ Dan (apabila ahli-ahli Syurga itu berada di tempat masing-
masing), berserulah mereka kepada ahli neraka dengan berkata,
“ Sesungguhnya kami telah dapati apa yang telah dijanjikan
kepada kami oleh Tuhan kami, semuanya betul. Maka adakah kamu
juga telah dapati apa yang telah dijanjikan oleh Tuhan kamu
itu semuanya betul ?”. Mereka menjawab, “ Benar ada”. Kemudian
berserulah penyeru (malaikat) di antara mereka (kedua-dua puak
itu) menyatakan, “ Bahawa laknat Allah tertimpa ke atas orang-
orang yang zalim.”

45@ Iaitu mereka yang menghalang (dirinya sendiri dan juga
orang lain) dari menurut jalan Allah, dan mencari helah
menjadikan jalan itu bengkok terpesong, sedang mereka pula
tidak percayakan hari akhirat.

46@ Dan di antara keduanya (Syurga dan neraka) ada tembok
“ Al A’raaf“ (yang menjadi) pendinding, dan di atas tembok
Al A’raaf itu ada sebilangan orang-orang lelaki yang mengenal
tiap-tiap seorang (dari ahli-ahli Syurga dan neraka) itu,
dengan tanda masing-masing. Dan mereka pun menyeru ahli Syurga
(dengan memberi salam, katanya), “ Salaamun Alaikum” (salam
sejahtera kepada kamu). Sedang mereka, sendiri belum lagi
masuk Syurga, padahal mereka ingin sangat memasukinya.

47@ Dan apabila dialihkan pandangan mereka ke arah ahli
neraka, mereka (berdoa dengan) berkata, “ Wahai Tuhan kami !
Janganlah Engkau jadikan kami bersama orang-orang yang zalim.”

48@ Dan orang-orang yang berada di atas tembok Al A’raaf
menyeru beberapa orang (Ketua kaum kafir) yang mereka kenal
dengan tandanya, dengan berkata, “ Nampaknya kumpulan kamu
yang ramai (atau kekayaan kamu yang besar) dan juga segala apa
yang kamu sombongkan dahulu (tidak dapat menolong kamu).”

49@ (Mereka bertanya pula kepada Ketua-ketua kaum kafir itu
dengan berkata), “ Itukah orang-orang yang kamu ejek-ejek
dahulu dan kamu bersumpah bahawa mereka tidak akan beroleh
rahmat dari Allah ? (Sekarang dikatakan kepada mereka),
" Masuklah kamu ke dalam Syurga, tidak ada kebimbangan (dari
berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap kamu, dan kamu
pula tidak akan berdukacita.”

50@ Dan (Tuhan menerangkan pula kehinaan ahli neraka dengan
firmannya), ahli neraka menyeru ahli Syurga (dengan berkata),
“ Limpahkanlah kepada kami sedikit dari air atau dari rezeki
(makanan) yang telah dikurniakan Allah kepada kamu.” Mereka
(ahli Syurga) menjawab, “ Sesungguhnya Allah telah haramkan
kedua-duanya atas orang-orang kafir.”



51@ (Tuhan berfirman, Orang-orang kafir itu ialah) orang-orang
yang menjadikan perkara-perkara ugama mereka sebagai hiburan
yang melalaikan dan permainan, dan orang-orang yang telah
terpedaya dengan kehidupan dunia (segala kemewahannya dan
kelazatannya). Oleh itu, pada hari ini (hari kiamat), Kami
lupakan (tidak hiraukan) mereka sebagaimana mereka telah lupa
(tidak hiraukan persiapan-persipan untuk) menemui hari mereka
ini, dan juga kerana mereka selalu mengingkari ayat-ayat
keterangan Kami.

52@ Dan sesungguhnya Kami telah datangkan kepada mereka,
sebuah Kitab (Al Quran) yang Kami telah menjelaskannya satu
persatu berdasarkan pengetahuan (Kami yang meliputi segala-
galanya), untuk menjadi hidayah petunjuk dan rahmat, bagi
orang-orang yang (mahu) beriman.

53@ Tidak ada perkara yang mereka tunggu-tunggukan melainkan
akibat atau kesudahan (apa yang telah dijanjikan oleh Allah
di dalam Al Quran), pada hari datangnya apa yang telah
dijanjikan dalam Al Quran itu (pada hari kiamat kelak),
berkatalah orang-orang yang telah melupakannya (yang tidak
menghiraukannya dalam dunia) dahulu, “ Sesungguhnya telah
datang Rasul-rasul Tuhan kami dengan membawa kebenaran, maka
adakah untuk kami pemberi syafaat supaya mereka memberi
syafaat bagi kami atau (bolehkah) kami dikembalikan (ke dunia)
supaya kami dapat beramal, lain daripada apa yang kami telah
kerjakan ?” Sesungguhnya mereka telah merugikan diri mereka
sendiri, dan telah lenyaplah dari mereka perkara-perkara yang
mereka ada-adakan dahulu.

54@ Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan
langit dan bumi dalam enam masa lalu Ia bersemayam di atas
Arasy, Ia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya
dengan deras (silih berganti) dan (Ia pula yang menciptakan)
matahari dan bulan serta bintang-bintang, (semuanya) tunduk
kepada perintahNya. Ingatlah, kepada Allah jualah tertentu
urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan.
Maha Suci Allah yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam.

55@ Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan
(dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka
kepada orang-orang yang melampaui batas.

56@ Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah
menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan
berdoalah kepadaNya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak
diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan
(supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada
orang-orang yang memperbaiki amalannya.

57@ Dan Dialah (Allah) yang menghantarkan angin sebagai
pembawa berita yang mengembirakan sebelum kedatangan rahmatnya
(iaitu hujan), hingga apabila angin itu membawa awan mendung,
Kami halakan dia ke negeri yang mati (ke daerah yang kering
kontang), lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu, kemudian
Kami keluarkan dengan air hujan itu berbagai-bagai jenis buah-
buahan. Demikianlah pula Kami mengeluarkan (menghidupkan
semula) orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat
(mengambil pelajaran daripadanya).

58@ Dan negeri yang baik (tanahnya), tanaman-tanamannya tumbuh
(subur) dengan izin Allah, dan negeri yang tidak baik
(tanahnya) tidak tumbuh tanamannya melainkan dengan keadaan
bantut. Demikianlah Kami menerangkan tanda-tanda (kemurahan
dan kekuasaan) Kami dengan berbagai cara bagi orang-orang yang
(mahu) bersyukur.

59@ Sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Nuh kepada
kaumnya, lalu berkatalah ia, “ Wahai kaumku ! Sembahlah kamu
akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain
daripadaNya. Sesungguhnya aku bimbang, kamu akan ditimpa azab
hari yang besar (hari kiamat).”

60@ Ketua-ketua dari kaumnya berkata, “ Sesungguhnya kami
nampakmu (wahai Nuh) berada dalam kesesatan yang nyata.”

61@ Nabi Nuh menjawab, “ Wahai KaumKu ! Tidak ada padaku
sebarang kesesatan, tetapi aku adalah seorang Rasul dari Tuhan
sekalian alam."

62@ “ (Tugasku) menyampaikan kepada kamu perintah-perintah
yang (diutuskan oleh) Tuhanku, serta aku memberi nasihat
kepada kamu, sedang aku mengetahui (melalui wahyu) dari Allah
akan apa yang kamu tidak mengetahuinya."

63@ “ Adakah kamu merasa ragu-ragu dan hairan tentang
datangnya kepada kamu nasihat pengajaran dari Tuhan kamu
melalui seorang lelaki dari golongan kamu, untuk memberi
peringatan kepada kamu, dan supaya kamu bertaqwa dan juga
supaya kamu beroleh rahmat ?”.

64@ Mereka terus mendustakannya, lalu Kami selamatkan dia dan
orang-orang yang bersamanya di dalam bahtera, dan Kami
karamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami.
Sesungguhnya mereka adalah kaum yang buta (matahatinya
daripada melihat kebenaran),

65@ Dan kepada kaum Aad, (Kami utuskan) saudara mereka, Nabi
Hud. Ia berkata, “ Wahai kaumku ! Sembahlah kamu akan Allah,
(sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya.
Oleh itu, tidakkah kamu mahu bertaqwa kepadaNya ?”

66@ Ketua-ketua yang kafir dari kaumnya berkata,
“ Sesungguhnya kami (wahai Hud) nampakmu berada dalam
kebodohan, dan sesungguhnya kami fikir engkau adalah dari
orang-orang yang berdusta.”

67@ Nabi Hud menjawab, “ Wahai kaumku ! Tidak ada padaku
sebarang kebodohan, tetapi aku adalah seorang Rasul dari Tuhan
sekalian alam."

68@ “ (Tugasku) menyampaikan kepada kamu akan perintah-
perintah (yang diutuskan oleh) Tuhanku, dan aku adalah pemberi
nasihat yang amanah, bagi kamu."

69@ “ Adakah kamu merasa ragu-ragu dan hairan tentang
datangnya kepada kamu nasihat pengajaran dari Tuhan kamu,
melalui seorang lelaki dari golongan kamu, untuk memberi
peringatan kepada kamu ? Dan kenanglah ketika Allah menjadikan
kamu khalifah-khalifah sesudah kaum Nabi Nuh, dan Allah telah
menambahkan kamu kelebihan (dan kekuatan) pada bentuk kejadian
tubuh kamu. Maka kenanglah akan nikmat-nikmat Allah supaya
kamu berjaya.”

70@ Mereka berkata, “ Adakah engkau datang kepada kami supaya
kami hanya menyembah Allah semata-mata, dan meninggalkan apa
yang pernah disembah oleh datuk nenek kami ? (Kami tidak akan
menurut) maka datangkanlah azab yang engkau janjikan kepada
kami, jika betul engkau dari orang-orang yang benar.”

71@ Nabi Hud menjawab, “ Sesungguhnya telah tetaplah kamu akan
ditimpa azab dan kemurkaan dari Tuhan kamu. Adakah kamu hendak
berbahas denganku mengenai nama-nama yang hanya kamu dan nenek
moyang kamu menamakannya, sedang Allah tidak sekali-kali
menurunkan sebarang bukti yang membenarkannya ? Maka tunggulah
(kedatangan azab itu), sesungguhnya aku juga dari orang-orang
yang turut menunggu bersama-sama kamu.”

72@ Maka Kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersamanya,
dengan rahmat dari Kami, dan Kami (binasakan serta) putuskan
keturunan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, dan
mereka bukanlah orang-orang yang beriman.

73@ Dan kepada kaum Thamud (Kami utuskan) saudara mereka, Nabi
Soleh. Ia berkata, “ Wahai kaumku ! Sembahlah kamu akan Allah,
(sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya.
Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata
(mukjizat) dari Tuhan kamu, ini adalah seekor unta betina
(dari) Allah sebagai keterangan bagi kamu (membuktikan
kebenaranku). Oleh itu, biarkanlah unta itu mencari makan
di bumi Allah, dan janganlah kamu menyentuhnya dengan sesuatu
yang menyakitinya, (kalau kamu menyentuhnya) maka kamu akan
ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya."

74@ “ Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu khalifah-
khalifah sesudah kaum Aad, dan di tempatkannya kamu di bumi,
(dengan diberi kemudahan) untuk kamu mendirikan istana-istana
di tanahnya yang rata, dan kamu memahat gunung-ganangnya untuk
dijadikan rumah. Maka kenangkanlah nikmat-nikmat Allah itu dan
janganlah kamu bermaharajalela melakukan kerosakan di muka
bumi.”

75@ Ketua-ketua yang sombong takbur dari kaumnya berkata
kepada orang-orang yang dipandang lemah iaitu orang-orang yang
telah beriman di antara mereka, “ Tahukah kamu bahawa Soleh
itu diutus dari Tuhannya ?” Mereka menjawab, “ Sesungguhnya
kami beriman kepada apa yang ia diutus untuk menyampaikannya.”

76@ Orang-orang yang sombong takbur itu berkata,
“ Sesungguhnya kami tetap ingkar akan orang yang kamu beriman
kepadanya.”

77@ Maka mereka pun menyembelih unta itu, dan mereka
menderhaka terhadap perintah Tuhan mereka, sambil berkata,
“ Hai Soleh ! Datangkanlah azab yang engkau telah janjikan
kepada kami, jika betul engkau dari Rasul-rasul yang diutus
(oleh Allah).”

78@ Oleh itu, mereka pun dibinasakan oleh gempa bumi, lalu
menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat
tinggal masing-masing.

79@ Maka Nabi Soleh pun meninggalkan mereka sambil berkata,
“ Wahai kaumku ! Aku telah menyampaikan kepada kamu perutusan
Tuhanku, dan aku telah memberi nasihat kepada kamu, tetapi
kamu tidak suka kepada orang-orang yang memberi nasihat.”

80@ Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia
berkata kepada kaumnya, “ Patutkah kamu melakukan perbuatan
yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari
penduduk alam ini sebelum kamu ?"

81@ “ Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan
nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu
ini adalah kaum yang melampaui batas.”

82@ Dan tidak ada jawab dari kaumnya selain daripada berkata,
“ Usirlah mereka (Nabi Lut dan pengikut-pengikutnya yang taat)
dari bandar kamu ini, sesungguhnya mereka adalah orang-orang
yang (mendakwa) mensucikan diri.”

83@ Maka Kami selamatkan dia dan keluarganya (serta pengikut-
pengikutnya) melainkan isterinya, adalah ia dari orang-orang
yang dibinasakan.

84@ Dan Kami telah menghujani mereka dengan hujan (batu yang
membinasakan). Oleh itu, lihatlah, bagaimana akibat orang-
orang yang melakukan kesalahan.

85@ Dan kepada penduduk Madyan (Kami utuskan) saudara mereka
Nabi Syuaib. Ia berkata, “ Wahai kaum sembahlah kamu akan
Allah, (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya.
Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata
dari Tuhan kamu. Oleh itu, sempurnakanlah sukatan dan
timbangan, dan janganlah kamu kurangkan bagi manusia akan
benda-benda dan perkara-perkara yang menjadi haknya, dan
janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi sesudah Allah
menjadikannya (makmur teratur) dengan sebaik-baiknya. Yang
demikian itu lebih baik bagi kamu jika betul kamu orang-orang
yang beriman."

86@ “ Dan janganlah kamu duduk pada tiap-tiap jalan lalu-
lalang, dengan menakut-nakutkan dan menghalangi orang-orang
yang beriman dari melalui jalan Allah, dan kamu pula
menghendaki supaya jalan Allah itu bengkok terpesong. Dan
ingatlah semasa kamu dahulu sedikit bilangannya lalu Allah
menjadikan kamu kembang ramai, serta perhatikanlah bagaimana
akibat orang-orang yang berbuat kerosakan."

87@ “ Dan jika ada segolongan dari kamu beriman kepada wahyu
(perintah-perintah Allah) yang aku telah diutuskan untuk
menyampaikannya, dan segolongan lagi tidak beriman, maka
sabarlah sehingga Allah menjalankan hukumNya di antara kita
semua, dan Dialah jua sebaik-baik hakim.”

88@ Ketua-ketua yang sombong takbur dari kaum Nabi Syuaib
berkata, “ Sesungguhnya kami akan mengusirmu wahai Syuaib dan
orang-orang yang beriman yang menjadi pengikut-pengikutmu dari
negeri kami ini, atau kamu berpindah kepada ugama kami.” Nabi
Syuaib menjawab, “ Adakah (kamu hendak melakukan yang
demikian) sekalipun kami tidak menyukainya ?"

89@ “ Sesungguhnya (bermakna) kami berdusta terhadap Allah,
jika kami berpindah kepada ugama kamu sesudah Allah
menyelamatkan kami daripadanya. Dan tidaklah harus kami
berpindah kepadanya sama sekali, kecuali jika Allah Tuhan
kami, menghendakinya. Pengetahuan Tuhan kami meliputi akan
tiap-tiap sesuatu. Kepada Allah jualah kami bertawakal. Wahai
Tuhan kami, hukumkanlah antara kami dan kaum kami dengan
kebenaran (keadilan), kerana Engkau jualah sebaik-baik Hakim.”

90@ Dan berkatalah pula Ketua-ketua yang kafir dari kaum Nabi
Syuaib (kepada orang ramai), “ Sesungguhnya jika kamu mengikut
Syuaib nescaya kamu dengan perbuatan yang demikian menjadilah
orang-orang yang rugi.”

91@ Maka mereka dibinasakan oleh gempa, lalu menjadilah mereka
mayat-mayat yang tersungkur di tempat masing-masing.

92@ Orang-orang yang mendustakan Nabi Syuaib (punah-ranah)
seolah-olah mereka tidak pernah mendiami negeri itu. Orang-
orang yang mendustakan Nabi Syuaib, merekalah orang-orang yang
rugi.

93@ Kemudian Nabi Syuaib meninggalkan mereka sambil berkata,
“ Wahai kaumku ! Sesungguhnya aku telah menyampaikan kepada
kamu perintah-perintah Tuhanku, dan aku telah memberi nasihat
kepada kamu. Oleh itu, tidaklah aku merasa sedih terhadap
orang-orang kafir (yang telah binasa itu).”

94@ Dan (Tuhan berfirman), " Kami tidak mengutus dalam
sesebuah negeri seorang Nabi (yang didustakan oleh
penduduknya), melainkan Kami timpakan mereka dengan kesusahan
(kesempitan hidup) dan penderitaan (penyakit), supaya mereka
tunduk merendah diri (insaf dan tidak berlaku sombong takbur).

95@ Setelah (mereka tidak juga insaf) Kami gantikan kesusahan
itu dengan kesenangan hingga mereka kembang biak (serta
senang-lenang) dan berkata (dengan angkuhnya), “ Sesungguhnya
nenek moyang kita juga pernah merasai kesusahan dan kesenangan
(sebagaimana yang kita rasakan).” Lalu Kami timpakan mereka
(dengan azab seksa) secara mengejut, dan mereka tidak
menyedarinya.

96@ Dan (Tuhan berfirman lagi), " Sekiranya penduduk negeri
itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada
mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya,
dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami),
lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa
yang mereka telah usahakan."

97@ Patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta
merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada
malam hari, semasa mereka sedang tidur ?

98@ Atau patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati)
serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka
pada siang hari, semasa mereka sedang leka bermain-main ?

99@ Patutkah mereka (bersukaria) sehingga mereka merasa aman
akan rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah ?
Kerana sebenarnya tidak ada yang merasa aman dari rancangan
buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah itu melainkan
orang-orang yang rugi.

100@ Adakah (yang demikian itu tersembunyi dan) tidak jelas
kepada orang-orang yang mewarisi negeri itu sesudah
penduduknya (hilang lenyap kerana ditimpa bencana), bahawa
kalau Kami kehendaki tentulah Kami akan menimpakan mereka pula
dengan azab disebabkan dosa-dosa mereka, dan Kami meteraikan
di atas hati mereka sehingga mereka tidak dapat mendengar
(nasihat-nasihat pengajaran) ?



101@ Negeri-negeri (yang telah Kami binasakan) itu, Kami
ceritakan sebahagian dari khabar beritanya kepadamu (wahai
Muhammad), dan sesungguhnya telah datang kepada mereka Rasul-
rasul mereka dengan keterangan-keterangan yang nyata
(mukjizat), sesudah itu mereka tidak juga beriman kepada apa
yang mereka telah mendustakannya dahulu. Demikianlah Allah
meteraikan di atas hati orang-orang yang kafir.

102@ Dan Kami tidak mendapati bagi kebanyakan mereka sebarang
janji (yang ditepati), dan Kami tidak mendapati kebanyakan
mereka melainkan orang-orang yang fasik.

103@ Kemudian Kami mengutuskan Nabi Musa selepas Rasul-rasul
itu, dengan membawa ayat-ayat Kami kepada Firaun dan Ketua-
ketua kaumnya, lalu mereka berlaku zalim (ingkar) akan ayat-
ayat itu. Maka perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang
yang berbuat kerosakan.

104@ Dan berkatalah Nabi Musa, “ Hai Firaun ! Sesungguhnya aku
ini adalah seorang Rasul dari Tuhan sekalian alam."

105@ “ Sudah semestinya aku tidak mengatakan sesuatu terhadap
Allah melainkan yang benar. Sesungguhnya aku datang kepada
kamu dengan membawa keterangan yang nyata dari Tuhan kamu.
Oleh itu, bebaskanlah Kaum Bani Israil menyertai aku
(ke Palestin)."

106@ Firaun menjawab, “ Kalau betul engkau datang dengan
membawa sesuatu mukjizat maka bawalah dia (supaya aku
melihatnya), jika betul engkau dari orang-orang yang benar.”

107@ Nabi Musa pun mencampakkan tongkatnya, maka tiba-tiba
tongkatnya itu menjadi seekor ular yang jelas nyata.

108@ Dan Nabi Musa mengeluarkan tangannya, tiba-tiba tangannya
(menjadi) putih (bersinar-sinar) bagi orang-orang yang
melihatnya.

109@ Berkatalah Ketua-ketua dari kaum Firaun, “ Sesungguhnya
orang ini (Musa) ialah seorang ahli sihir yang mahir."

110@ “ Ia bertujuan hendak mengeluarkan kamu dari negeri
kamu.” (Firaun bertanya), “ Oleh itu, apa yang kamu syorkan ?”

111@ Mereka berkata, “ Tangguhkanlah dia dan saudaranya
(daripada dijatuhkan sebarang hukuman) serta utuslah
ke bandar-bandar (di merata-rata negeri Mesir untuk)
mengumpulkan (ahli-ahli sihir)."

112@ “ Yang kelak akan membawa kepadamu segala ahli sihir yang
mahir.”

113@ Dan datanglah ahli-ahli sihir itu kepada Firaun lalu
berkata, “ Sungguhkah kami akan beroleh upah, kalau kami dapat
mengalahkannya ?”

114@ Firaun menjawab, “ Benar, (kamu akan mendapat upah) dan
kamu sesungguhnya (akan menjadi) dari orang-orang yang damping
(denganku).”

115@ Mereka berkata, “ Hai Musa ! Engkaukah yang akan
mencampakkan (tongkatmu lebih dahulu) atau kamikah yang akan
mencampakkan (lebih dahulu) ?”

116@ Nabi Musa menjawab, “ Campakkanlah kamu (dahulu) !” Maka
apabila mereka mencampakkan (tongkat-tongkat dan tali masing-
masing), mereka menyilap mata orang ramai dan menjadikan
orang-orang itu merasa gerun, serta mereka melakukan sihir
yang besar (keadaan dan caranya).

117@ Dan Kami wahyukan kepada Nabi Musa, “ Campakkanlah
tongkatmu !” Maka tiba-tiba tongkat itu menelan apa yang
mereka pura-pura adakan (dengan sihir mereka).

118@ Maka sabitlah kebenaran (mukjizat Nabi Musa), dan
batallah (sihir) yang mereka telah lakukan.

119@ Oleh itu, kalahlah Firaun dan Ketua-ketua kaumnya di situ
dan kembalilah mereka dengan keadaan yang hina.

120@ Dan (kemenangan Nabi Musa menjadikan) ahli-ahli sihir itu
dengan sendirinya merebahkan diri mereka sujud,

121@ Sambil berkata, “ Kami beriman kepada Tuhan sekalian
alam."

122@ “ (Iaitu) Tuhan bagi Nabi Musa dan Nabi Harun.”

123@ Firaun berkata, “ Patutkah kamu beriman kepadanya sebelum
aku memberi izin kepada kamu ? Sesungguhnya ini adalah
perbuatan tipu daya yang kamu lakukan dalam bandar ini kerana
kamu hendak mengeluarkan penduduknya daripadanya. Oleh itu,
kamu akan mengetahui (akibatya)."

124@ “ Demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki
kamu dengan bersilang, kemudian aku akan memalang kamu
semuanya.”

125@ Mereka menjawab, “ Sesungguhnya kami (tidak gentar)
kerana kepada Tuhan kamilah kembalinya kami (dan kepadaNyalah
kami mengharapkan keampunan dan rahmatNya)."

126@ “ Dan tidaklah engkau (hai Firaun) marah (dan bertindak
menyeksa) kami melainkan kerana kami beriman kepada ayat-ayat
Tuhan kami, ketika sampainya kepada kami.” (Mereka berdoa),
“ Wahai Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami, dan
matikanlah kami dalam keadaan Islam (berserah bulat-bulat
kepadaMu).”

127@ Dan berkatalah pula Ketua-ketua dari kaum Firaun,
“ Adakah engkau (wahai Firaun) hendak membiarkan Musa dan
kaumnya untuk melakukan kerosakan di bumi (Mesir) dan
meninggalkanmu serta apa-apa yang dipuja olehmu ?” Firaun
menjawab, “ Kita akan membunuh anak-anak lelaki mereka dan
kita biarkan hidup anak-anak perempuan mereka, dan kita tetap
menguasai (menundukkan) mereka.”

128@ (Pengikut-pengikut Nabi Musa merayu, lalu) Musa berkata
kepada kaumnya, “ Mintalah pertolongan kepada Allah dan
bersabarlah, sesungguhnya bumi ini kepunyaan Allah,
diwariskannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-
hambaNya, dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang
bertaqwa.”

129@ Mereka berkata, “ Kami telah dianiaya dan diperhambakan
(oleh Firaun) sebelum engkau datang kepada kami dan sesudah
engkau datang kepada kami.” Nabi Musa menjawab, “ Mudah-
mudahan Tuhan kamu akan membinasakan musuh kamu dan menjadikan
kamu khalifah di bumi, kemudian Ia akan memerhati bagaimana
pula perbuatan kamu ?”

130@ Dan sesungguhnya Kami telah menimpakan Firaun dan kaumnya
dengan musim kemarau dan kekurangan buah-buahan, supaya mereka
insaf mengambil pelajaran.

131@ Kemudian apabila datang kepada mereka kesenangan mereka
berkata, “ Ini ialah hasil usaha kami”, dan jika mereka
ditimpa kesusahan, mereka mengatakan nahas dan malang itu
disebabkan oleh Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya. (Tuhan
berfirman), " Ketahuilah, sesungguhnya nahas dan malang mereka
itu hanya di tetapkan di sisi Allah, akan tetapi kebanyakan
mereka tidak mengetahui."

132@ Dan mereka berkata, “ Walau apa sahaja (jenis-jenis)
keterangan (mukjizat) yang engkau bawa kepada kami, (wahai
Musa), untuk menjalankan sihirmu kepada kami, maka kami tidak
sekali-kali akan beriman kepadamu.”

133@ (Allah berfirman), " Kami pun menghantarkan kepada mereka
taufan, dan belalang, dan kutu, dan katak, dan darah, sebagai
tanda-tanda dan bukti yang jelas nyata, maka mereka juga tetap
berlaku sombong takbur dan menjadi kaum yang menderhaka."

134@ Dan apabila azab yang tersebut itu menimpa mereka, mereka
(merayu dengan) berkata, “ Wahai Musa ! Pohonkanlah kepada
Tuhanmu untuk kami dengan (kehormatan) pangkat Nabi yang
diberikanNya kepadamu (yang menjadikan permohonanmu sentiasa
makbul). Sesungguhnya jika engkau hapuskan azab itu daripada
kami, tentulah kami akan beriman kepadamu, dan sudah tentu
kami akan membebaskan kaum Bani Israil (pergi) bersamamu.”

135@ (Tuhan berfirman), " Setelah Kami hapuskan azab itu
daripada mereka, hingga ke suatu masa yang tertentu yang
mereka sampai kepadanya, tiba-tiba mereka mencabuli janjinya."

136@ Maka Kami pun membalas mereka, lalu Kami menenggelamkan
mereka di laut dengan sebab mereka mendustakan ayat-ayat Kami
dan mereka sentiasa lalai daripadanya.

137@ Dan Kami wariskan kepada kaum (Bani Israil) yang telah
tertindas itu akan daerah-daerah timur bumi (Palestin) dan
daerah-daerah baratnya, yang Kami telah melimpahkan berkat
padanya. Dan telah sempurnalah Kalimah Allah (janjiNya) yang
baik kepada kaum Bani Israil kerana kesabaran mereka (semasa
mereka ditindas oleh Firaun), dan Kami telah hancurkan apa
yang telah dibuat oleh Firaun dan kaumnya dan apa yang mereka
telah dirikan (dari bangunan-bangunan yang tinggi).

138@ Dan Kami bawakan Bani Israil ke sebarang Laut (Merah) itu
lalu mereka sampai kepada suatu kaum yang sedang menyembah
berhala-berhalanya. (Melihatkan yang demikian) mereka (Bani
Israil) berkata, “ Wahai Musa, buatlah untuk kami suatu tuhan
(berhala) sebagaimana mereka mempunyai beberapa tuhan.” Nabi
Musa menjawab, “ Sesungguhnya kamu ini adalah kaum yang
jahil."

139@ “ Sesungguhnya mereka (penyembah-penyembah berhala itu),
akan dihancurkan apa yang mereka berada di dalamnya (dari
perbuatan syirik), dan tetaplah salahnya apa yang mereka
kerjakan itu.”

140@ Nabi Musa berkata lagi, “ Patutkah aku mencari tuhan
untuk kamu selain dari Allah, padahal Ia telah melebihkan kamu
atas sekalian manusia (yang sezaman dengan kamu, dengan
berbagai nikmat yang telah dikurniakanNya kepada kamu) ?”

141@ Dan (Tuhan berfirman), " Ingatlah ketika Kami selamatkan
kamu dari Firaun dan kaumnya, yang menyeksa kamu dengan azab
seksa yang seberat-berat dan seburuk-buruknya, mereka membunuh
anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan
kamu, dan (ingatlah bahawa) yang demikian itu mengandungi
cubaan yang besar dari Tuhan kamu."

142@ Dan kami telah janjikan masa kepada Nabi Musa (untuk
memberikan Taurat) selama tiga puluh malam, serta Kami
genapkan jumlahnya dengan sepuluh malam lagi, lalu sempurnalah
waktu yang telah ditentukan oleh Tuhannya empat puluh malam.
Dan berkatalah Nabi Musa kepada saudaranya Nabi Harun (semasa
keluar menerima Taurat), “ Gantikanlah aku dalam (urusan
memimpin) kaumku dan perbaikilah (keadaan mereka
sepeninggalanku), dan janganlah engkau menurut jalan orang-
orang yang melakukan kerosakan.”

143@ Dan ketika Nabi Musa datang pada waktu yang Kami telah
tentukan itu, dan Tuhannya berkata-kata dengannya, maka Nabi
Musa (merayu dengan) berkata, “ Wahai Tuhanku ! Perlihatkanlah
kepadaku (ZatMu Yang Maha Suci) supaya aku dapat melihatMu.”
Allah berfirman, “ Engkau tidak sekali-kali akan sanggup
melihatKu, tetapi pandanglah ke gunung itu, maka kalau ia
tetap berada di tempatnya, nescaya engkau akan dapat
melihatKu.” Setelah Tuhannya “ Tajalla” (menzahirkan
kebesaranNya) kepada gunung itu, (maka) “ TajalliNya”
menjadikan gunung itu hancur lebur dan Nabi Musa pun jatuh
pengsan. Setelah ia sedar semula, berkatalah ia, “ Maha Suci
Engkau (wahai Tuhanku), aku bertaubat kepadaMu, dan akulah
orang yang awal pertama beriman (pada zamanku)."

144@ Allah berfirman, “ Wahai Musa ! Sesungguhnya Aku
memilihmu melebihi umat manusia (yang ada pada zamanmu),
dengan membawa perutusanKu (Kitab Taurat) dan dengan KalamKu,
oleh itu, terimalah apa yang Aku kurniakan kepadamu, dan
jadikanlah dirimu dari orang-orang yang bersyukur.”

145@ Dan Kami telah menuliskan bagi Nabi Musa pada Lauh-lauh
(Taurat) itu, dari pelbagai jenis nasihat pengajaran dan
penjelasan bagi tiap-tiap sesuatu (dasar Syariat dan hukum-
hukumnya). Oleh itu, terimalah dia (dan amalkanlah wahai Musa)
dengan bersungguh-sungguh, dan suruhlah kaummu berpegang
(serta mengamalkan) yang sebaik-baiknya (iaitu suruhan-
suruhannya). Aku akan perlihatkan kepada kamu akan negeri
orang-orang yang fasik (derhaka).”

146@ Aku akan memalingkan (hati) orang-orang yang sombong
takbur di muka bumi dengan tiada alasan yang benar dari
(memahami) ayat-ayatKu (yang menunjukkan kekuasaanKu), dan
mereka (yang bersifat demikian) jika mereka melihat sebarang
keterangan (bukti), mereka tidak beriman kepadanya, dan jika
mereka melihat jalan yang (membawa kepada) hidayah petunjuk,
mereka tidak mengambilnya sebagai jalan yang dilalui. Dan
sebaliknya jika mereka melihat jalan kesesatan, mereka terus
mengambilnya sebagai jalan yang dilalui. Yang demikian itu,
kerana mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka sentiasa
lalai daripadanya.

147@ Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan
pertemuan hari akhirat, gugurlah amal-amal mereka (yang baik).
Mereka tidak diberikan balasan (pada hari akhirat) melainkan
(bagi) apa yang mereka telah kerjakan (dari perbuatan kufur
dan maksiat).

148@ Dan kaum Nabi Musa, sesudah ia (pergi ke Gunung Tursina),
mereka membuat dari barang-barang emas perhiasan mereka,
(patung) anak lembu yang bertubuh dan bersuara (Allah
berfirman), “ Tidakkah mereka memikirkan bahawa patung itu
tidak dapat berkata-kata dengan mereka dan tidak dapat juga
menunjukkan jalan kepada mereka ? Mereka menjadikannya
(berhala yang disembah) dan sememangnya mereka adalah orang-
orang yang melakukan kezaliman.”

149@ Dan setelah mereka menyesal (akan apa yang mereka
lakukan) dan mengetahui bahawa mereka telah sesat, berkatalah
mereka, “ Sesungguhnya jika Tuhan kami tidak memberi rahmat
kepada kami dan mengampunkan kami, nescaya menjadilah kami
dari orang-orang yang rugi.”

150@ Dan apabila Nabi Musa kembali kepada kaumnya dengan marah
dan dukacita, berkatalah ia, “ Amatlah buruknya apa yang telah
kamu lakukan sepeninggalanku, mengapa kamu terburu-buru (tidak
menunggu) perintah Tuhan kamu ?” Dan ia meletakkan Lauh-lauh
(yang mengandungi tulisan Taurat) itu serta ia memegang
(rambut) kepala saudaranya (Nabi Harun) sambil menariknya
kepadanya. Nabi Harun berkata, “ Wahai anak ibuku !
Sesungguhnya kaum (Bani Israil) memandangku lemah dan nyaris-
nyaris mereka membunuhku (ketika aku melarang mereka), oleh
itu, janganlah engkau menjadikan musuh bergembira melihat
(tempelakmu) terhadapku, dan janganlah engkau jadikan daku
termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim.”



151@ Nabi Musa berdoa dengan berkata, “ Wahai Tuhanku,
ampunkanlah bagiku dan bagi saudaraku, dan masukkanlah kami
ke dalam rahmatMu, kerana Engkaulah sahaja Yang Maha
Mengasihani dari segala yang lain mengasihani.”

152@ Sesungguhnya orang-orang yang menyembah (patung) anak
lembu itu, akan ditimpa kemurkaan dari Tuhan mereka dan
kehinaan dalam kehidupan dunia. Dan demikianlah kami membalas
orang-orang yang mengada-adakan perkara yang tidak benar.

153@ Dan orang-orang yang melakukan kejahatan kemudian mereka
bertaubat sesudah itu dan beriman, (maka) sesungguhnya Tuhanmu
sesudah itu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

154@ Dan apabila kemarahan Nabi Musa itu reda, dia pun
mengambil Lauh-lauh Taurat itu yang dalam naskhahnya
terkandung petunjuk dan rahmat, bagi orang-orang yang
bersungguh-sungguh takut kepada Tuhan mereka (daripada
melanggar perintahNya).

155@ Dan Nabi Musa memilih tujuh puluh orang lelaki dari
kaumnya (untuk di bawa bersama ke Gunung Tursina) pada waktu
yang telah kami tentukan. Maka ketika mereka digegar oleh
gempa, Nabi Musa merayu dengan berkata, “ Wahai Tuhanku ! Jika
Engkau kehendaki, Engkau boleh binasakan mereka bersama-sama
denganku sebelum ini. Adakah Engkau hendak membinasakan kami
disebabkan apa yang telah dilakukan oleh orang-orang yang
bodoh di antara kami ? (Apa yang mereka telah lakukan) itu
hanyalah cubaanMu. Dengan cubaan itu Engkau sesatkan sesiapa
yang Engkau kehendaki dan Engkau beri petunjuk kepada sesiapa
yang Engkau kehendaki. Engkau jualah Pelindung kami, oleh itu
ampunkanlah kami dan berilah rahmat kepada kami, kerana Engkau
jualah sebaik-baik Pemberi ampun."

156@ “ Dan tetapkanlah untuk Kami kebaikan dalam dunia ini dan
juga di akhirat, sesungguhnya kami kembali (bertaubat)
kepadaMu.” Allah berfirman, “ AzabKu akan Aku timpakan kepada
sesiapa yang Aku kehendaki, dan rahmatKu meliputi tiap-tiap
sesuatu, maka Aku akan menentukannya bagi orang-orang yang
bertaqwa, dan yang memberi zakat, serta orang-orang yang
beriman kepada ayat-ayat Kami."

157@ “ Iaitu orang-orang yang mengikut Rasulullah (Muhammad
s.a.w) Nabi yang Ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya
dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi
mereka. Ia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik,
dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang
keji, dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik,
dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk, dan ia
juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-
belenggu yang ada pada pada mereka. Maka orang-orang yang
beriman kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta
mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (Al Quran),
mereka itulah orang-orang yang berjaya."

158@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Wahai sekalian manusia !
Sesungguhnya aku adalah Pesuruh Allah kepada kamu semuanya,
(di utus oleh Allah) yang menguasai langit dan bumi, tiada
Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang menghidupkan
dan mematikan. Oleh itu, berimanlah kamu kepada Allah dan
RasulNya, Nabi yang Ummi yang beriman kepada Allah dan
Kalimah-kalimahNya (Kitab-kitabNya), dan ikutilah dia, supaya
kamu beroleh hidayah petunjuk.”

159@ Dan di antara kaum Nabi Musa, ada satu golongan yang
memberi petunjuk (kepada orang ramai) dengan perkara-perkara
yang hak, dan dengannya mereka menjalankan keadilan.

160@ Dan kami membahagikan mereka (Bani Israil) menjadi dua
belas suku, sebagai golongan-golongan besar, dan Kami wahyukan
kepada Nabi Musa, ketika kaumnya meminta air kepadanya,
“ Pukullah batu itu dengan tongkatmu.” Maka terpancarlah
daripadanya dua belas mata air. Tiap-tiap golongan (di antara
mereka) mengetahui tempat masing-masing. Dan Kami naungi
mereka dengan awan, dan Kami turunkan kepada mereka “ Mann”
dan “ Salwa”. (Lalu Kami berfirman), “ Makanlah dari baik-baik
yang kami telah kurniakan kepada kamu.” Dan tidaklah mereka
menganiaya Kami (dengan kekufuran mereka), tetapi mereka
adalah menganiaya diri mereka sendiri.

161@ Dan (ingatlah) ketika dikatakan kepada mereka,
“ Tinggallah dalam bandar ini dan makanlah dari makanannya apa
sahaja yang kamu sukai, dan berdoalah dengan berkata, " (Wahai
Tuhan kami), gugurkanlah (dosa kami)," dan masuklah melalui
pintu (bandar) itu dengan tunduk merendah diri, supaya Kami
mengampunkan dosa-dosa kamu. Kami akan menambah (balasan) bagi
orang-orang yang berbuat kebaikan.”

162@ Maka orang-orang yang zalim di antara mereka menukarkan
perintah itu dengan perkataan yang tidak dikatakan kepada
mereka. Oleh itu, Kami turunkan azab dari langit menimpa
mereka, dengan sebab kezaliman yang mereka lakukan.

163@ Dan bertanyalah kepada mereka (wahai Muhammad) mengenai
(penduduk) bandar yang letaknya di tepi laut, semasa mereka
melanggar larangan pada hari Sabtu, ketika datang kepada
mereka pada hari Sabtu itu ikan-ikan (yang menjadi cubaan
kepada) mereka, yang kelihatan timbul di muka air, sedang pada
hari-hari lain, ikan-ikan itu tidak pula datang kepada mereka.
Demikianlah kami menguji mereka (dengan cubaan itu) kerana
mereka sentiasa berlaku fasik.

164@ Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka
berkata, “ Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan
membinasakan mereka atau mengazabkan mereka dengan azab yang
amat berat ?” Orang-orang (yang memberi nasihat) itu menjawab,
“ (Nasihat itu ialah) untuk melepaskan diri dari bersalah
kepada Tuhan kamu, dan supaya mereka bertaqwa.”

165@ Maka ketika mereka melupakan (tidak menghiraukan) apa
yang telah diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-
orang yang melarang daripada perbuatan jahat itu, dan Kami
timpakan orang-orang yang zalim dengan azab seksa yang amat
berat, disebabkan mereka berlaku fasik (derhaka).

166@ Maka setelah mereka berlaku sombong takbur (tidak
mengambil indah) kepada apa yang telah dilarang mereka
melakukannya, Kami katakan kepada mereka, “ Jadilah kamu kera
yang hina.”

167@ Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu memberitahu,
" Bahawa sesungguhnya Ia akan menghantarkan kepada kaum Yahudi
itu, (terus menerus) hingga hari kiamat, kaum-kaum yang akan
menimpakan mereka dengan azab sengsara yang seburuk-buruknya
(disebabkan kejahatan dan kekufuran mereka). Sesungguhnya
Tuhanmu amat cepat azab seksaNya, dan sesungguhnya Dia juga
Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

168@ Dan Kami pecah-pecahkan mereka (kaum Yahudi itu) berpuak-
puak (yang bertaburan di merata-rata) dunia ini. Di antara
mereka ada yang soleh dan di antaranya juga yang tidak
demikian. Dan kami uji mereka dengan nikmat pemberian yang
baik-baik dan bala bencana yang buruk, supaya mereka kembali
(bertaubat).

169@ Maka mereka kemudiannya digantikan oleh keturunan-
keturunan yang jahat yang mewarisi Kitab (Taurat). Mereka
mengambil kebendaan yang hina di dunia ini sambil berkata,
“ Akan diampunkan kelak dosa kami.” Padahal jika datang kepada
mereka kebendaan yang hina seperti itu mereka akan
mengambilnya lagi. Bukankah telah diambil perjanjian setia
daripada mereka di dalam kitab Taurat bahawa mereka tidak
memperkatakan terhadap Allah melainkan yang benar ? Dan mereka
pula telah mempelajari apa yang terkandung di dalamnya ? Dan
juga (mereka mengetahui bahawa) negeri akhirat itu lebih baik
bagi orang-orang yang bertaqwa. Tidakkah kamu mahu mengerti ?

170@ Dan orang-orang yang berpegang teguh dengan Kitab Allah
serta mendirikan sembahyang, sesungguhnya Kami tidak akan
menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki
(keadaan hidupnya).

171@ Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Kami mengangkat
gunung (Tursina) ke atas mereka (Bani Israil) seolah-olah
gunung itu awan (yang menaungi mereka) dan mereka yakin bahawa
gunung itu akan jatuh menimpa mereka, (sambil Kami berfirman
kepada mereka), “ Terimalah dengan bersungguh-sungguh (Kitab
Taurat) yang telah Kami berikan kepada kamu dan ingatlah
(amalkanlah) apa yang terkandung di dalamnya, supaya kamu
menjadi orang-orang yang bertaqwa.”

172@ Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan
zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang
mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka
sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNya), “ Bukankah Aku
tuhan kamu ?” Mereka semua menjawab, “ Benar (Engkaulah Tuhan
kami), kami menjadi saksi.” Yang demikian supaya kamu tidak
berkata pada hari kiamat kelak, “ Sesungguhnya kami adalah
lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini.”

173@ Atau supaya kamu tidak mengatakan, ” Sesungguhnya ibu
bapa kamilah yang melakukan syirik dahulu sedang kami ialah
keturunan (mereka) yang datang kemudian daripada mereka. Oleh
itu, patutkah Engkau (wahai Tuhan kami) hendak membinasakan
kami disebabkan perbuatan orang-orang yang sesat itu ?”

174@ Dan demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan
Kami satu persatu (supaya nyata segala kebenaran), dan supaya
mereka kembali (kepada kebenaran).

175@ Dan bacakanlah kepada mereka (wahai Muhammad), khabar
berita seorang yang kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai)
ayat-ayat (Kitab) Kami. kemudian ia menjadikan dirinya
terkeluar dari mematuhinya, lalu ia diikuti oleh Syaitan
(dengan godaannya), maka menjadilah dari orang-orang yang
sesat.

176@ Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan
pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi ia
bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya,
maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau
menghalaunya, ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan
jika engkau membiarkannya, ia juga menghulurkan lidahnya
termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang
mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu
supaya mereka berfikir.

177@ Amatlah buruknya bandingan orang-orang yang mendustakan
ayat-ayat Kami, dan mereka pula berlaku zalim kepada diri
mereka sendiri.

178@ Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah (dengan sebab
persediaannya) maka dialah yang beroleh petunjuk, dan sesiapa
yang disesatkan oleh Allah (dengan sebab keingkarannya) maka
merekalah orang-orang yang rugi.

179@ Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak
dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu
memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata
(tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah)
dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar
dengannya (ajaran dan nasihat), mereka itu seperti binatang
ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi, mereka itulah orang-
orang yang lalai.

180@ Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia),
maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-
nama itu, dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling dari
kebenaran dalam masa menggunakan nama-namaNya. Mereka akan
mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan.

181@ Dan di antara orang-orang yang Kami ciptakan itu, ada
satu umat yang memberi petunjuk dengan kebenaran, dan
dengannya mereka menjalankan keadilan.

182@ Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, Kami
akan menarik menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang
kebinasaan), menurut cara yang mereka tidak mengetahuinya.

183@ Dan Aku memberi tempoh kepada mereka, sesungguhnya
rancangan balasanKu amatlah teguh.

184@ Patutkah mereka (ingkar dan) tidak mahu memikirkan
(dengan fikiran yang siuman bahawa) sahabat mereka (Muhammad)
tidak sekali-kali mengidap penyakit gila (sebagaimana yang
mereka tuduh itu), bahkan ia hanyalah seorang (Pesuruh Allah)
yang memberi amaran yang jelas.

185@ Patutkah mereka (membutakan mata) tidak mahu
memperhatikan alam langit dan bumi dan segala yang diciptakan
oleh Allah, dan (memikirkan) bahawa harus telah dekat ajal
kebinasaan mereka ? Maka kepada perkataan yang mana lagi
sesudah (datangnya Kalamullah Al Quran) itu mereka mahu
beriman ?

186@ Sesiapa yang disesatkan oleh Allah (kerana
keingkarannya), maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat
memberi petunjuk kepadanya, dan Allah membiarkan mereka
meraba-raba (dengan bingung) dalam kesesatan mereka.

187@ Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari
kiamat, “ Bilakah masa datangnya ?” Katakanlah, “ Sesungguhnya
pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak
ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada
waktunya melainkan Dia. (Huru-hara) hari kiamat itu amatlah
berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) di langit dan
di bumi, ia tidak datang kepada kamu melainkan secara
mengejut.” Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia
mengetahuinya. Katakanlah, “ Sesungguhnya pengetahuan mengenai
hari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan
manusia tidak mengetahui.”

188@ Katakanlah, “ Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat
bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang
dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara
yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya
benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak
ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah)
yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa
berita gembira bagi orang-orang yang beriman."

189@ Dialah (Allah) yang menciptakan kamu semua dari (hakikat)
diri yang satu, dan Ia mengadakan daripada hakikat itu
pasangannya (diri suami isteri), untuk bersenang hati dan
hidup mesra yang satu kepada yang lain. Ketika suami
mencampuri isterinya, mengandunglah ia dengan kandungan yang
ringan, serta teruslah ia dengan keadaan itu (ke suatu waktu).
Kemudian ketika ia merasa berat (dan menaruh bimbang)
berdoalah suami isteri itu kepada Tuhan mereka (dengan
berkata), ” Sesungguhnya jika Engkau (wahai Tuhan kami)
mengurniakan kami nikmat yang baik, tentulah kami menjadi
orang-orang yang bersyukur.”

190@ Kemudian ketika Allah mengurniakan kepada keduanya nikmat
yang baik (sebagaimana yang mereka pohonkan), mereka berdua
menjadikan sekutu bagi Allah dalam urusan wujudnya nikmat yang
dikurniakan Allah kepada mereka. Maha Suci Allah dari apa yang
mereka sekutukan itu.

191@ Patutkah mereka sekutukan Allah dengan benda-benda yang
tidak dapat menciptakan sesuatupun, sedang benda-benda itu
sendiri diciptakan ?

192@ Dan benda-benda itu tidak dapat menolong mereka, dan
tidak juga dapat menolong dirinya sendiri.

193@ Dan jika kamu (hai kaum musyrik) menyeru benda-benda itu
untuk memperoleh petunjuk (daripadanya), mereka tidak dapat
menurut (menyampaikan hajat) kamu, sama sahaja bagi kamu, sama
ada kamu menyerunya atau mendiamkan diri.

194@ Sesungguhnya benda-benda yang kamu seru selain Allah
adalah makhluk-makhluk seperti kamu. Oleh itu, (cubalah)
menyerunya supaya benda-benda itu dapat memperkenankan
permohonan kamu, kalau betul kamu orang-orang yang benar.

195@ Adakah benda-benda (yang kamu sembah) itu mempunyai kaki
yang mereka dapat berjalan dengannya, atau adakah mereka
mempunyai tangan yang mereka dapat memegang (menyeksa)
dengannya, atau adakah mereka mempunyai mata yang mereka dapat
melihat dengannya, atau adakah mereka mempunyai telinga yang
mereka dapat mendengar dengannya ? Katakanlah (wahai
Muhammad), “ Panggillah benda-benda yang kamu jadikan sekutu
Allah, kemudian kamu semua jalankan tipu daya terhadapku,
serta jangan pula kamu bertangguh lagi."

196@ “ Sesungguhnya pelindungku ialah Allah yang telah
menurunkan kitab (Al Quran), dan Dialah jua yang menolong dan
memelihara orang-orang yang berbuat kebaikan.”

197@ Dan benda-benda yang kamu sembah selain Allah, tidak akan
dapat menolong kamu, bahkan tidak dapat menolong dirinya
sendiri.

198@ Dan jika kamu menyeru benda-benda (yang kamu sembah) itu
untuk mendapat petunjuk (daripadanya), mereka tidak dapat
mendengarnya, dan engkau nampak benda-benda itu memandangmu
padahal mereka tidak melihat.

199@ Terimalah apa yang mudah engkau lakukan, dan suruhlah
dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan
dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan
kejahilannya).

200@ Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari
Syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya
Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.



201@ Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, apabila mereka
disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari Syaitan, mereka
ingat (kepada ajaran Allah) maka dengan itu mereka nampak
(jalan yang benar).

202@ Sedang saudara (pengikut) Syaitan-syaitan, dibantu oleh
Syaitan-syaitan itu dalam melakukan kesesatan, kemudian mereka
tidak berhenti-henti (melakukan perbuatan yang sesat lagi
menyesatkan itu).

203@ Dan apabila engkau (wahai Muhammad) tidak membawa kepada
mereka sesuatu ayat Al Quran (sebagaimana yang mereka
kehendaki), berkatalah mereka (secara mengejek), “ Mengapa
engkau tidak bersusah payah membuat sendiri akan ayat itu ?”
Katakanlah, “ Sesungguhnya aku hanya menurut apa yang
diwahyukan kepadaku dari Tuhanku. Al Quran ini ialah panduan-
panduan (yang membuka hati) dari Tuhan kamu, dan petunjuk
serta menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman.”

204@ Dan apabila Al Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan
dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk
mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.

205@ Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu,
dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar
perintahnya), dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada
waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-
orang yang lalai.

206@ Sesungguhnya mereka (malaikat) yang ada di sisi Tuhanmu
tidak bersikap angkuh (ingkar) daripada beribadat kepadaNya,
dan mereka pula bertasbih bagiNya, dan kepadaNyalah jua mereka
sujud.

No comments:

Post a Comment