Wednesday 20 January 2016

Al Quran Indonesia. 009. Surah At Taubah (Pengampunan)...

Al Quran Indonesia. 009. Surah At Taubah (Pengampunan)...

BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

1@ (Ini adalah) pemutusan tanggungjawab (pembatalan
perjanjian) dari Allah dan RasulNya terhadap kaum kafir
musyrik yang kamu mengikat perjanjian setia (dengan mereka).

2@ Oleh itu hendaklah kamu (hai kaum musyrik) bergerak di muka
bumi (dengan bebasnya) selama empat bulan, dan ketahuilah
bahawa kamu tidak terlepas dari (azab seksa) Allah. Dan
(ingatlah) sesungguhnya Allah akan menghina orang-orang yang
kafir (dengan bala bencana di dunia dan azab seksa
di akhirat).

3@ Dan inilah perisytiharan dari Allah dan RasulNya kepada
umat manusia, (diisytiharkan) pada Hari Raya Haji yang
terbesar, bahawa sesungguhnya Allah dan RasulNya memutuskan
tanggungjawab terhadap orang-orang musyrik, oleh itu jika kamu
(wahai kaum musyrik) bertaubat (dari kufur) maka yang demikian
adalah baik bagi kamu, dan jika kamu berpaling (ingkar), maka
ketahuilah sesungguhnya kamu tidak akan dapat melepaskan diri
dari (azab seksa) Allah. Dan khabarkanlah (wahai Muhammad)
kepada orang-orang kafir (bahawa mereka akan ditimpakan)
dengan azab yang tidak terperi sakitnya.

4@ Kecuali mereka yang kamu mengikat perjanjian setia
(dengannya) dari orang-orang musyrik, kemudian mereka tidak
mencabuli perjanjian kamu itu sedikitpun, dan mereka tidak
menolong seorangpun yang memusuhi kamu, maka sempurnakanlah
kepada mereka perjanjian mereka sehingga (habis) tempohnya.
Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa.

5@ Kemudian apabila habislah (masa) bulan-bulan yang dihormati
itu maka bunuhlah orang-orang musyrik itu di mana sahaja kamu
menemuinya, dan tawanlah mereka, dan juga keponglah mereka,
serta tunggulah mereka di tiap-tiap tempat mengintipnya.
Kemudian jika mereka bertaubat (dari kekufurannya) dan
mendirikan sembahyang serta memberi zakat, maka biarkanlah
mereka (jangan diganggu). Sesungguhnya Allah Maha Pengampun,
lagi Maha Mengasihani.

6@ Dan jika seseorang dari kaum musyrik meminta perlindungan
kepadamu (untuk memahami Islam), maka berilah perlindungan
kepadanya sehingga ia sempat mendengar keterangan-keterangan
Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia
ke mana-mana tempat yang ia beroleh aman. Perintah yang
tersebut ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui
(hakikat Islam).

7@ Bagaimanakah dapat diakui adanya perjanjian (keamanan)
di sisi Allah dan RasulNya bagi orang-orang musyrik (sedang
mereka mencabulinya) ? Kecuali orang-orang (musyrik) yang kamu
telah mengikat perjanjian setia dengan mereka dekat Masjid
Al Haraam. Maka selagi mereka berlaku lurus terhadap kamu,
hendaklah kamu berlaku lurus pula terhadap mereka,
sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa.

8@ Bagaimana (boleh dikekalkan perjanjian kaum kafir musyrik
itu) padahal kalau mereka dapat mengalahkan kamu, mereka tidak
akan menghormati perhubungan kerabat terhadap kamu, dan tidak
akan menghormati perjanjian setianya. Mereka menjadikan kamu
bersenang hati hanya dengan mulut mereka, sedang hati mereka
menolaknya, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang
fasik.

9@ Mereka menukarkan ayat-ayat Allah dengan harga yang sedikit
(dari faedah-faedah dunia), lalu mereka menghalangi (dirinya
dan orang-orang lain) dari ugama Allah, sesungguhnya amatlah
buruknya apa yang mereka telah kerjakan.

10@ Mereka tidak menghormati pertalian kerabat dan perjanjian
terhadap orang-orang yang beriman, dan merekalah orang-orang
yang menceroboh.

11@ Oleh itu, jika mereka bertaubat (dari kekufuran), dan
mendirikan sembahyang serta memberi zakat, maka mereka itu
adalah saudara kamu yang seugama, dan Kami menjelaskan ayat-
ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu
mengetahui.

12@ Dan jika mereka mencabuli sumpahnya sesudah mengikat
perjanjian setia, dan mereka pula mencela ugama kamu, maka
perangilah ketua-ketua dan pemimpin-pemimpin kaum yang kafir
itu, kerana sesungguhnya mereka tidak menghormati sumpah
janjinya, supaya mereka berhenti (dari kekufuran dan
bertaubat).

13@ Mengapa kamu tidak memerangi suatu kaum yang telah
mencabuli sumpah janjinya, dan mereka pula telah berazam
hendak mengusir Rasulullah, dan merekalah juga yang mula-mula
memerangi kamu ? Tidak patut kamu takut kepada mereka
(sehingga kamu tidak mahu memeranginya) kerana Allah jualah
yang berhak kamu takuti (melanggar perintahNya), jika betul
kamu orang-orang yang beriman ?

14@ Perangilah mereka, nescaya Allah akan menyeksa mereka
dengan (perantaraan) tangan kamu, dan Allah akan menghinakan
mereka serta menolong kamu menewaskan mereka, dan Ia akan
memuaskan hati orang-orang yang beriman.

15@ Dan Ia juga akan menghapuskan kemarahan hati orang-orang
yang beriman itu, dan Allah akan menerima taubat orang-orang
yang dikehendakiNya, dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui,
lagi Maha Bijaksana.

16@ Adakah kamu menyangka, bahawa kamu akan dibiarkan (dalam
keadaan kamu yang ada itu), padahal belum lagi terbukti kepada
Allah (sebagaimana yang diketahuiNya) orang-orang yang
berjihad di antara kamu dan yang tidak mengambil teman-teman
rapat (untuk mencurahkan rahsia kepada mereka), selain
daripada Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman ?
Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa
yang kamu kerjakan.

17@ Tidaklah layak orang-orang kafir musyrik itu memakmurkan
(menghidupkan) masjid-masjid Allah, sedang mereka menjadi
saksi (mengakui) akan kekufuran diri mereka sendiri. Mereka
itu ialah orang-orang yang rosak binasa amal-amalnya dan
mereka pula kekal di dalam neraka.

18@ Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-
masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah
dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan
zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya
sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka
menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.

19@ Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada
orang-orang yang mengerjakan Haji, dan (hanya perbuatan)
memakmurkan Masjid Al Haraam itu sama seperti orang yang
beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada
jalan Allah ? Mereka (yang bersifat demikian) tidak sama
di sisi Allah, dan Allah tidak memberikan hidayah petunjuk
kepada kaum yang zalim.

20@ (Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah
serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa
mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah
(daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang
Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja), dan mereka
itulah orang-orang yang berjaya.

21@ Mereka digembirakan oleh Tuhan mereka dengan pemberian
rahmat daripadanya dan keredaan serta Syurga, mereka beroleh
di dalam Syurga itu nikmat kesenangan yang kekal.

22@ Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya
Allah, menyediakan di sisiNya pahala yang besar.

23@ Wahai orang-orang yang beriman ! Janganlah kamu menjadikan
bapa-bapa kamu dan saudara-saudara kamu sebagai orang-orang
yang didampingi jika mereka memilih kufur dengan meninggalkan
iman, dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka orang-
orang yang didampingi, maka merekalah orang-orang yang zalim.

24@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Jika bapa-bapa kamu, dan
anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri
(atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta
benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang
akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai,
(jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai
lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad
untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan
keputusanNya (azab seksaNya), kerana Allah tidak akan memberi
petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).

25@ Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan
dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain,
iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang
ramai, maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah
kepada kamu sedikitpun, dan (semasa kamu merasa) bumi yang
luas itu menjadi sempit kepada kamu, kemudian kamu berpaling
undur melarikan diri.

26@ Kemudian Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada
RasulNya dan kepada orang-orang yang beriman, dan Allah
menurunkan tentera yang kamu tidak melihatnya, serta Ia
menyeksa orang-orang kafir itu (dengan kekalahan yang membawa
kehancuran), dan yang demikian itu ialah balasan bagi orang-
orang yang kafir.

27@ Kemudian Allah menerima taubat orang-orang yang
dikehendaki (dengan memberi taufiq untuk memeluk Islam),
sesudah (orang-orang kafir itu ditimpakan dengan azab), dan
(ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

28@ Wahai orang-orang yang beriman ! Sesungguhnya
(kepercayaan) orang-orang kafir musyrik itu najis, oleh itu
janganlah mereka menghampiri Masjid Al Haraam sesudah tahun
ini, dan jika kamu bimbangkan kepapaan, maka Allah akan
memberi kekayaan kepada kamu dari limpah kurniaNya, jika dia
kehendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha
Bijaksana.

29@ Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan
tidak beriman kepada hari akhirat, dan mereka pula tidak
mengharamkan apa yang telah diharamkan oleh Allah dan
RasulNya, dan tidak berugama dengan ugama yang benar, iaitu
dari orang-orang yang diberikan Kitab (kaum Yahudi dan
Nasrani), sehingga mereka membayar “ Jizyah” dengan keadaan
taat dan merendah diri.

30@ Dan orang-orang Yahudi berkata, “ Uzair ialah anak Allah”
dan orang-orang Nasrani berkata, “ Al Masih ialah anak Allah”.
Demikianlah perkataan mereka dengan mulut mereka sendiri,
(iaitu) mereka menyamai perkataan orang-orang kafir dahulu,
semoga Allah binasakan mereka. Bagaimanakah mereka boleh
berpaling dari kebenaran ?

31@ Mereka menjadikan pendita-pendita dan ahli-ahli ugama
mereka sebagai pendidik-pendidik selain dari Allah, dan juga
(mereka mempertuhankan) Al Masih ibni Maryam, padahal mereka
tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha
Esa, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha
Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan.

32@ Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan
mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan
menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak
suka (akan yang demikian).

33@ Dialah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad) dengan
membawa petunjuk dan ugama yang benar (ugama Islam), untuk
dimenangkan dan ditinggikannya atas segala ugama yang lain,
walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.

34@ Wahai orang-orang yang beriman ! Sesungguhnya banyak
di antara pendita-pendita dan ahli-ahli ugama (Yahudi dan
Nasrani) memakan harta orang ramai dengan cara yang salah, dan
mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah (ugama Islam).
Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta
tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah
kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi
sakitnya.

35@ (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu
dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan
rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada
mereka), “ Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu
sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan
itu.

36@ Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah
ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab
Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya
empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah
ugama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri
kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar
laranganNya), dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya
sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya, dan ketahuilah
sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.

37@ Sesungguhnya perbuatan mengundurkan (kehormatan itu dari
satu bulan ke satu bulan yang lain) adalah menambah kekufuran
yang menjadikan orang-orang kafir itu tersesat kerananya.
Mereka menghalalkannya pada satu tahun dan mengharamkannya
pada tahun yang lain, supaya mereka dapat menyesuaikan
bilangan (bulan-bulan yang empat) yang telah diharamkan Allah
(berperang di dalamnya), dengan itu mereka menghalalkan apa
yang telah diharamkan oleh Allah. Perbuatan buruk mereka itu
dihias dan dijadikan indah (oleh Syaitan) untuk dipandang baik
oleh mereka. Dan (ingatlah) Allah tidak memberi hidayah
petunjuk kepada orang-orang yang kafir.

38@ Wahai orang-orang yang beriman ! Mengapa kamu, apabila
dikatakan kepada kamu, “ Pergilah beramai-ramai untuk
berperang pada jalan Allah.” kamu merasa keberatan (dan suka
tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing) ?
Adakah kamu lebih suka dengan kehidupan dunia daripada
akhirat ? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup
di dunia ini hanya sedikit jua berbanding dengan (kesenangan
hidup) di akhirat kelak.

39@ Jika kamu tidak pergi beramai-ramai (untuk berperang pada
jalan Allah, membela ugamaNya), Allah akan menyeksa kamu
dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya dan Ia akan
menggantikan kamu dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan
dapat mendatangkan bahaya sedikitpun kepadaNya. Dan (ingatlah)
Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

40@ Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka
sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum
kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah)
sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka
berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya,
“ Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama
kita.” Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada
(Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera
(malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan
seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan
sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang
tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha
Bijaksana.

41@ Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan
Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak)
ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai
tanggungjawab), dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa
kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian
amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.

42@ Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai
Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang sudah didapati, dan satu
perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka
(yang munafik itu) akan mengikutmu, tetapi tempat yang hendak
dituju itu jauh bagi mereka. Dan mereka akan bersumpah dengan
nama Allah dengan berkata, “ Kalau kami sanggup, tentulah kami
akan pergi bersama kamu.” (Dengan sumpah dusta itu) mereka
membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui
bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta
(tentang tidak sanggupnya mengikutmu).

43@ Allah memaafkanmu (wahai Muhammad), mengapa engkau izinkan
mereka (tidak turut berperang) sebelum nyata bagimu orang-
orang yang benar dan (sebelum) engkau mengetahui orang-orang
yang berdusta ?

44@ Orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat,
tidak akan meminta izin kepadamu untuk (tidak turut) berjihad
dengan harta benda dan jiwa mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha
Mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa.

45@ Sesungguhnya yang akan meminta izin kepadamu hanyalah
orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat,
dan yang hati mereka (sangat) ragu-ragu. Oleh itu mereka
sentiasa bingung teragak-agak dalam keraguannya.

46@ Dan kalaulah mereka mahu keluar (untuk turut berperang),
tentulah mereka menyediakan persiapan untuknya, tetapi Allah
tidak suka pemergian mereka, lalu dilemahkanNya semangat
mereka, dan dikatakan (oleh Syaitan), “ Tinggalah kamu
bersama-sama orang-orang yang tinggal.”

47@ Kalaulah mereka keluar bersama kamu, tidaklah mereka
menambahkan kamu melainkan kerosakan, dan tentulah mereka
segera menjalankan hasutan di antara kamu, (dengan tujuan)
hendak menimbulkan fitnah (kekacauan) dalam kalangan kamu,
sedang di antara kamu ada orang yang suka mendengar hasutan
mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan orang-orang
yang zalim.

48@ Sesungguhnya mereka telah lakukan fitnah semenjak dahulu
lagi, dan mereka merancangkan terhadapmu (wahai Muhammad)
berbagai tipu daya, sehingga datanglah kebenaran, dan nyatalah
(kemenangan) ugama Allah (Islam), sedang mereka tidak suka
kepadanya.

49@ Dan di antara mereka (yang munafik itu) ada yang berkata,
“ Izinkanlah aku (supaya tidak pergi berperang) dan janganlah
engkau menjadikan daku dipengaruhi oleh fitnah.“ Ketahuilah,
mereka telah pun tercebur ke dalam fitnah (dengan dalihan yang
dusta itu). Dan sesungguhnya azab Jahannam meliputi orang-
orang yang kafir.

50@ Jika engkau (wahai Muhammad) beroleh sesuatu kebaikan,
(maka) kebaikan itu menyebabkan mereka sakit hati, dan jika
engkau ditimpa sesuatu bencana, mereka berkata, “ Sesungguhnya
kami telahpun mengambil keputusan (tidak turut berperang)
sebelum itu,” dan mereka berpaling (meninggalkanmu) sambil
mereka bergembira.



51@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Tidak sekali-kali akan
menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan
Allah bagi kami. Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan
(dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya
orang-orang yang beriman bertawakal.”

52@ Katakanlah, “ (Sebenarnya) tidak ada yang kamu tunggu-
tunggu untuk kami melainkan salah satu dari dua perkara yang
sebaik-baiknya (iaitu kemenangan atau mati syahid), dan kami
menunggu-nunggu pula untuk kamu bahawa Allah akan menimpakan
kamu dengan azab dari sisiNya, atau dengan perantaraan tangan
kami. Oleh itu tunggulah, sesungguhnya kami juga menunggu
bersama-sama kamu.”

53@ Katakanlah, “ Dermakanlah harta kamu sama ada dengan
sukarela atau kerana terpaksa, tidak sekali-kali akan diterima
daripada kamu, (kerana) sesungguhnya kamu adalah orang-orang
yang fasik.”

54@ Dan tidak ada yang menghalangi mereka, untuk diterima
derma-derma mereka melainkan kerana mereka kufur kepada Allah
dan RasulNya, dan (kerana) mereka tidak mengerjakan sembahyang
melainkan dengan keadaan malas dan mereka pula tidak
mendermakan hartanya melainkan dengan perasaan benci.

55@ Oleh itu, janganlah engkau tertarik hati kepada harta
benda dan anak-anak mereka, (kerana) sesungguhnya Allah hanya
hendak menyeksa mereka dengan harta benda dan anak-anak itu
dalam kehidupan dunia, dan hendak menjadikan nyawa mereka
tercabut sedang mereka berkeadaan kafir (untuk mendapat azab
akhirat pula).

56@ Dan mereka (yang munafik itu) bersumpah dengan nama Allah
bahawa sesungguhnya mereka dari golongan kamu, padahal mereka
bukanlah dari golongan kamu, tetapi mereka ialah suatu kaum
yang pengecut.

57@ Kalau mereka dapat tempat perlindungan, atau gua-gua, atau
lubang-lubang dalam tanah, nescaya mereka segera menuju
ke arahnya serta melompat masuk ke dalamnya.

58@ Dan di antara mereka ada yang mencelamu (wahai Muhammad)
mengenai (pembahagian) sedekah-sedekah (zakat), oleh itu jika
mereka diberikan sebahagian daripadanya (menurut kehendak
mereka), mereka suka (dan memandangnya adil), dan jika mereka
tidak diberikan dari zakat itu (menurut kehendaknya), (maka)
dengan serta merta mereka marah.

59@ Dan (amatlah baiknya) kalau mereka berpuas hati dengan apa
yang diberikan oleh Allah dan RasulNya kepada mereka, sambil
mereka berkata, “ Cukuplah Allah bagi kami, Allah akan memberi
kepada kami dari limpah kurniaNya, demikian juga RasulNya,
sesungguhnya kami sentiasa berharap kepada Allah.”

60@ Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk
orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang
mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya,
dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan
orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada)
jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam
perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai
satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah)
Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

61@ Dan di antara mereka (yang munafik itu) ada orang-orang
yang menyakiti Nabi sambil mereka berkata, “ Bahawa dia (Nabi
Muhammad) orang yang suka mendengar (dan percaya pada apa yang
didengarnya).” Katakanlah, “ Dia mendengar (dan percaya) apa
yang baik bagi kamu, ia beriman kepada Allah dan percaya
kepada orang mukmin, dan ia pula menjadi rahmat bagi orang-
orang yang beriman di antara kamu.” Dan orang-orang yang
menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab seksa yang tidak
terperi sakitnya.

62@ Mereka bersumpah kepada kamu dengan nama Allah untuk
mendapat keredaan kamu, padahal Allah dan RasulNya jualah yang
lebih berhak mereka mendapat keredaanNya, jika betul mereka
orang-orang yang beriman.

63@ Tidakkah mereka mengetahui bahawa sesiapa yang menentang
(perintah-perintah) Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya
adalah baginya neraka Jahannam serta ia kekal di dalamnya ?
Balasan yang demikian adalah kehinaan yang besar.

64@ Orang-orang munafik itu takut kalau diturunkan satu surah
Al Quran yang menerangkan kepada mereka (dan kepada ramai)
akan apa yang ada dalam hati mereka (dari kekufuran).
Katakanlah (wahai Muhammad), “ Ejek-ejeklah (seberapa yang
kamu suka), sesungguhnya Allah akan mendedahkan apa yang kamu
takut (terdedah untuk pengetahuan ramai).”

65@ Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-
ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab, “ Sesungguhnya kami
hanyalah berbual dan bermain-main.” Katakanlah, “ Patutkah
nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-
olok dan mengejeknya ?”

66@ Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta),
kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan)
iman. Jika Kami maafkan sepuak dari kamu (kerana mereka
bertaubat), maka Kami akan menyeksa puak yang lain, kerana
mereka adalah orang-orang yang terus bersalah.

67@ Orang-orang munafik lelaki dan perempuan, setengahnya
adalah sama dengan setengahnya yang lain, mereka masing-masing
menyuruh dengan perbuatan yang jahat, dan melarang dari
perbuatan yang baik, dan mereka pula menggenggam tangannya
(bakhil kedekut). Mereka telah melupakan (tidak menghiraukan
perintah) Allah dan Allah juga melupakan (tidak menghiraukan)
mereka. Sesungguhnya orang-orang munafik itu, merekalah orang-
orang yang fasik.

68@ Allah menjanjikan orang-orang munafik lelaki dan perempuan
serta orang-orang kafir dengan neraka Jahannam, mereka kekal
di dalamnya. Cukuplah neraka itu menjadi balasan mereka, dan
Allah melaknatkan mereka, dan bagi mereka azab seksa yang
kekal.

69@ (Nasib kamu hai orang-orang munafik) adalah sama dengan
nasib orang-orang sebelum kamu (yang telah dibinasakan),
mereka lebih kuat serta lebih banyak harta benda dan anak
pinak daripada kamu, seterusnya mereka telah bersenang-senang
dengan bahagian mereka, maka kamu pula telah bersenang-senang
dengan bahagian kamu sebagaimana orang-orang yang sebelum kamu
itu bersenang-senang dengan bahagiannya, dan kamu pula telah
memperkatakan (perkara yang salah dan dusta) sebagaimana
mereka memperkatakannya. Mereka yang demikian, rosak binasalah
amal-amalnya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan
merekalah orang-orang yang rugi.

70@ Bukankah telah datang kepada mereka berita orang-orang
yang terdahulu daripada mereka, iaitu kaum Nabi Nuh dan Aad
dan Thamud dan kaum Nabi Ibrahim, dan penduduk negeri Madyan
serta negeri-negeri yang telah dibinasakan ? (Semuanya) telah
datang kepada mereka Rasul-rasul mereka dengan membawa
keterangan yang jelas nyata, (lalu mereka mendustakannya dan
Tuhan pula membinasakan mereka), Allah tidak sekali-kali
menganiaya mereka tetapi merekalah yang menganiaya diri
sendiri.

71@ Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan,
setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain,
mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada
berbuat kejahatan, dan mereka mendirikan sembahyang dan
memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka
itu akan diberi rahmat oleh Allah, sesungguhnya Allah Maha
Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

72@ Allah menjanjikan orang-orang yang beriman, lelaki dan
perempuan, (akan beroleh) Syurga-syurga yang mengalir
di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya dan
beroleh tempat-tempat yang baik di dalam “ Syurga Adn” serta
keredaan dari Allah yang lebih besar kemuliaannya, (balasan)
yang demikian itulah kejayaan yang besar.

73@ Wahai Nabi, berjihadlah menentang orang-orang kafir dan
orang-orang munafik, dan bertindak keras terhadap mereka. Dan
(sebenarnya) tempat mereka ialah neraka Jahannam, dan itulah
seburuk-buruk tempat kembali.

74@ Mereka bersumpah dengan nama Allah, bahawa mereka tidak
mengatakan (sesuatu yang buruk terhadapmu), padahal
sesungguhnya mereka telah mengatakan perkataan kufur, dan
mereka pula menjadi kafir sesudah melahirkan Islam, serta
mereka berazam untuk melakukan apa yang mereka tidak akan
dapat mencapainya (iaitu membunuhmu). Dan tidaklah mereka
mencaci dan mencela (Islam) melainkan setelah Allah dan
RasulNya memberi kesenangan kepada mereka dari limpah
kurniaNya. Oleh itu, jika mereka bertaubat, mereka akan
beroleh kebaikan, dan jika mereka berpaling (ingkar), Allah
akan menyeksa mereka dengan azab seksa yang tidak terperi
sakitnya di dunia dan di akhirat, dan mereka tidak akan
mendapat sesiapa pun di bumi ini, yang akan menjadi pelindung
dan juga yang menjadi penolong.

75@ Dan di antara mereka ada yang membuat janji dengan Allah
dengan berkata, “ Sesungguhnya jika Allah memberi kepada kami
dari limpah kurniaNya, tentulah kami akan bersedekah, dan
tentulah kami akan menjadi dari orang-orang yang soleh.”

76@ Kemudian setelah Allah memberi kepada mereka dari limpah
kurniaNya, mereka bakhil dengan pemberian Allah itu, serta
mereka membelakangkan janjinya, dan sememangnya mereka orang-
orang yang sentiasa membelakangkan (kebajikan).

77@ Akibatnya Allah menimbulkan perasaan munafik dalam hati
mereka (berkekalan) hingga ke masa mereka menemui Allah,
kerana mereka telah memungkiri apa yang mereka janjikan kepada
Allah dan juga kerana mereka sentiasa berdusta.

78@ Tidakkah mereka mengetahui bahawa Allah sentiasa
mengetahui apa yang mereka rahsiakan serta apa yang mereka
bisikkan, dan bahawasanya Allah Maha Mengetahui akan perkara-
perkara yang ghaib ?

79@ Orang-orang (munafik) yang mencela sebahagian dari orang-
orang yang beriman mengenai sedekah-sedekah yang mereka
berikan dengan sukarela, dan (mencela) orang-orang yang tidak
dapat (mengadakan apa-apa untuk disedekahkan) kecuali sedikit
sekadar kemampuannya, serta mereka mengejek-ejeknya, Allah
akan membalas ejek-ejekan mereka, dan bagi mereka (disediakan)
azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

80@ (Orang-orang manufik itu) sama sahaja engkau meminta ampun
untuk mereka atau engkau tidak meminta ampun bagi mereka. Jika
engkau (wahai Muhammad) meminta ampun bagi mereka tujuh puluh
kali (sekalipun) maka Allah tidak sekali-kali mengampunkan
mereka, yang demikian itu, kerana mereka telah kufur kepada
Allah dan RasulNya, dan Allah tidak akan memberi hidayah
petunjuk kepada kaum yang fasik.

81@ Orang-orang (munafik) yang ditinggalkan (tidak turut
berperang) itu, bersukacita disebabkan mereka tinggal
di belakang Rasulullah (di Madinah), dan mereka (sememangnya)
tidak suka berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada
jalan Allah (dengan sebab kufurnya), dan mereka pula
(menghasut dengan) berkata, “ Janganlah kamu keluar beramai-
ramai (untuk berperang) pada musim panas ini.” Katakanlah
(wahai Muhammad), “ Api neraka Jahannam lebih panas membakar”,
kalaulah mereka itu orang-orang yang memahami.

82@ Oleh itu bolehlah mereka ketawa sedikit (di dunia ini) dan
mereka akan menangis banyak (di akhirat kelak), sebagai
balasan bagi apa yang mereka telah usahakan.

83@ Maka jika Allah mengembalikan engkau kepada segolongan
dari mereka (orang-orang yang munafik itu di Madinah),
kemudian mereka meminta izin kepadamu untuk keluar (turut
berperang), maka katakanlah, “ Kamu tidak sekali-kali akan
keluar bersama-samaku selama-lamanya, dan kamu tidak sekali-
kali akan memerangi musuh bersama-samaku, sesungguhnya kamu
telah bersetuju tinggal pada kali yang pertama, oleh itu
duduklah kamu bersama-sama orang-orang yang tinggal.”

84@ Dan janganlah engkau sembahyangkan seorang pun yang mati
dari orang-orang munafik itu selama-lamanya, dan janganlah
engkau berada di (tepi) kuburnya, kerana sesungguhnya mereka
telah kufur kepada Allah dan RasulNya, dan mereka mati sedang
mereka dalam keadaan fasik (derhaka).

85@ Dan janganlah engkau tertarik hati kepada harta benda dan
anak-anak mereka, (kerana) sesungguhnya Allah hanya hendak
menyeksa mereka dengannya di dunia, dan hendak menjadikan
nyawa mereka tercabut sedang mereka dalam keadaan kafir (untuk
mendapat azab akhirat pula).

86@ Dan apabila diturunkan satu surah Al Quran (yang menyuruh
mereka), “ Berimanlah kamu kepada Allah, dan berjihadlah
bersama-sama dengan RasulNya”, nescaya orang-orang yang kaya
di antara mereka meminta izin kepadamu dengan berkata,
“ Biarkanlah kami tinggal bersama-sama orang-orang yang
tinggal (tidak turut berperang).”

87@ Mereka suka tinggal bersama-sama orang-orang yang
ditinggalkan (kerana uzur), dan (dengan sebab itu) hati mereka
dimeteraikan atasnya, sehingga mereka tidak dapat memahami
sesuatu.

88@ (Mereka tetap tinggal) tetapi Rasulullah dan orang-orang
yang beriman bersamanya, berjihad dengan harta benda dan jiwa
mereka, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat kebaikan,
dan mereka itulah juga yang berjaya.

89@ Allah telah menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang
mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal
di dalamnya, yang demikian itulah kemenangan yang besar.

90@ Dan datanglah pula orang-orang yang menyatakan uzurnya
dari orang-orang “ A’raab”, memohon supaya mereka diizinkan
(tidak turut berperang), sedang orang-orang (munafik di antara
mereka) yang mendustakan Allah dan RasulNya, duduk (mendiamkan
diri). (Oleh itu) orang-orang yang kafir di antara mereka,
akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

91@ Orang-orang yang lemah dan orang-orang yang sakit, dan
juga orang-orang yang tidak mempunyai sesuatu yang akan
dibelanjakan, tidaklah menanggung dosa (kerana tidak turut
berperang) apabila mereka berlaku ikhlas kepada Allah dan
RasulNya. Tidak ada jalan sedikitpun bagi menyalahkan orang-
orang yang berusaha memperbaiki amalannya, dan Allah Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

92@ Dan tidak juga berdosa orang-orang yang ketika mereka
datang kepadamu (memohon) supaya engkau memberi kenderaan
kepada mereka, engkau berkata, “ Tidak ada padaku kenderaan
yang hendak kuberikan untuk membawa kamu”, mereka kembali
sedang mata mereka mengalirkan airmata yang bercucuran, kerana
sedih bahawa mereka tidak mempunyai sesuatupun yang hendak
mereka belanjakan (untuk pergi berjihad pada jalan Allah).

93@ Sesungguhnya jalan (untuk menyalahkan dan mengenakan
seksa) hanyalah terhadap orang-orang yang meminta izin
kepadamu sedang mereka kaya dan mampu. Mereka suka tinggal
bersama-sama orang yang ditinggalkan (kerana uzur) dan (dengan
sebab itu) Allah meteraikan atas hati mereka, sehingga mereka
tidak dapat mengetahui (perkara yang baik).

94@ Mereka akan menyatakan uzur kepada kamu, apabila kamu
kembali kepada mereka (dari medan perang). Katakanlah (wahai
Muhammad), “ Janganlah kamu menyatakan uzur lagi, kami tidak
sekali-kali akan percaya kepada kamu. Kerana sesungguhnya
Allah telah menerangkan kepada kami akan berita-berita perihal
kamu, dan Allah serta RasulNya akan melihat amal kamu (sama
ada kamu kembali beriman atau tetap kufur), kemudian kamu akan
dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara
yang ghaib dan yang nyata (untuk menerima balasan), lalu Ia
menyatakan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.”

95@ Mereka akan bersumpah dengan nama Allah kepada kamu
apabila kamu kembali kepada mereka (dari medan perang), supaya
kamu berpaling dari mereka (tidak menempelak mereka), oleh itu
berpalinglah dari mereka kerana sesungguhnya mereka itu kotor
(disebabkan mereka telah sebati dengan kufur), dan tempat
kembali mereka pula ialah neraka Jahannam, sebagai balasan
bagi apa yang mereka telah usahakan.

96@ Mereka bersumpah kepada kamu supaya kamu reda akan mereka,
oleh itu jika kamu reda akan mereka, maka sesungguhnya Allah
tidak reda akan kaum yang fasik.

97@ Orang-orang A’raab lebih keras kufurnya dan sikap
munafiknya, dan sangatlah patut mereka tidak mengetahui batas-
batas (dan hukum-hukum Syarak) yang diturunkan oleh Allah
kepada RasulNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi
Maha Bijaksana.

98@ Dan sebahagian dari orang-orang A’raab (yang munafik) itu
memandang apa yang mereka belanjakan (dermakan pada jalan
Allah) sebagai satu bayaran yang memberatkan, sambil menunggu
peredaran zaman (yang membawa bala bencana) menimpa kamu, atas
merekalah (tertimpanya bala bencana yang dibawa oleh)
peredaran zaman yang buruk itu. Dan (ingatlah), Allah Maha
Mendengar lagi Maha Mengetahui.

99@ Dan sebahagian dari orang-orang A’raab itu ada yang
beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan memandang apa yang
mereka dermakan (pada jalan Allah itu) sebagai amal-amal bakti
(yang mendampingkan) di sisi Allah dan sebagai (satu jalan
untuk mendapat) doa dari Rasulullah (yang membawa rahmat
kepada mereka). Ketahuilah, sesungguhnya apa yang mereka
dermakan itu adalah menjadi amal bakti bagi mereka (yang
mendampingkan mereka kepada Allah), Allah akan masukkan mereka
ke dalam rahmatNya, sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi
Maha Mengasihani.

100@ Dan orang-orang yang terdahulu yang mula-mula (berhijrah
dan memberi bantuan) dari orang-orang “Muhajirin” dan “Ansar”,
dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan
kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka
pula reda akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-
syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal
di dalamnya selama-lamanya, itulah kemenangan yang besar.



101@ Dan di antara orang-orang yang di sekeliling kamu dari
orang-orang “ A’raab” ada yang bersifat munafik dan (demikian
juga) sebahagian dari penduduk Madinah, mereka telah berkeras
dengan sifat munafik, engkau tidak mengetahui mereka (bahkan)
Kamilah yang mengetahui mereka. Kami akan azabkan mereka
berulang-ulang, kemudian mereka dikembalikan kepada azab yang
besar.

102@ Dan (sebahagian) yang lain mengakui dosa-dosa mereka.
Mereka telah mencampur adukkan amal yang baik dengan amal yang
lain, yang buruk. Mudah-mudahan Allah akan menerima taubat
mereka, sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani.

103@ Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah
(zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari
dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk), dan
doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi
ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar,
lagi Maha Mengetahui.

104@ Tidakkah mereka mengetahui bahawa Allah Dialah yang
menerima taubat dari hamba-hambaNya, dan juga menerima
sedekah-sedekah (dan zakat serta membalasnya), dan bahawa
sesungguhnya Allah Dialah Penerima taubat, lagi Maha
Mengasihani ?

105@ Dan katakanlah (wahai Muhammad), " Beramallah kamu (akan
segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta
orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan,
dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui
perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia
menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.”

106@ Dan segolongan yang lain (dari orang-orang yang tidak
turut berperang), ditempohkan keputusan mengenai mereka kerana
menunggu perintah Allah, sama ada dia mengazabkan mereka
ataupun Ia menerima taubat mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha
Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

107@ Dan (di antara orang-orang munafik juga ialah) orang-
orang yang membina masjid dengan tujuan membahayakan
(keselamatan orang-orang Islam), dan (menguatkan) keingkaran
(mereka sendiri) serta memecah-belahkan perpaduan orang-orang
yang beriman, dan juga untuk (dijadikan tempat) intipan bagi
orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya sebelum itu. Dan
(apabila tujuan mereka yang buruk itu ketara), mereka akan
bersumpah dengan berkata, ” Tidaklah yang kami kehendaki
(dengan mendirikan masjid ini) melainkan untuk kebaikan
semata-mata.“ Padahal Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya
mereka adalah berdusta.

108@ Jangan engkau sembahyang di masjid itu selama-lamanya,
kerana sesungguhnya masjid (Qubaa’ yang engkau bina wahai
Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula
(wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya.
Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka
(mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya, dan Allah
Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan
batin).

109@ Maka adakah orang yang membangunkan masjid yang
didirikannya di atas dasar taqwa kepada Allah dan (untuk
mencari) keredaan Allah itu lebih baik, ataukah orang yang
membangunkan masjid yang didirikannya di tepi jurang yang
(hampir) runtuh, lalu runtuhlah ia dengan yang membangunkannya
ke dalam api neraka ? Dan (ingatlah) Allah tidak akan memberi
hidayah petunjuk kepada orang-orang yang zalim.

110@ (Keruntuhan masjid) yang dibina oleh mereka yang munafik
itu sentiasa menjadi penyakit syak dan keluh-kesah (lebih
daripada yang sedia ada) dalam hati mereka, (dan tidak akan
habis) kecuali (apabila) hati mereka hancur luluh (dalam
tanah). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha
Bijaksana.

111@ Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang
beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan
(balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan)
mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada
yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian
ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah
di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al Quran, dan
siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada
Allah ? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu
jalankan jual belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual beli
(yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.

112@ (Mereka itu ialah) orang-orang yang bertaubat, yang
beribadat, yang memuji Allah, yang mengembara (untuk menuntut
ilmu dan mengembangkan Islam), yang rukuk, yang sujud, yang
menyuruh berbuat kebaikan dan yang melarang daripada
kejahatan, serta yang menjaga batas-batas hukum Allah. Dan
gembirakanlah orang-orang yang beriman (yang bersifat
demikian).

113@ Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang
beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun
orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka
bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka.

114@ Dan bukanlah istighfar Nabi Ibrahim bagi bapanya (dibuat)
melainkan kerana adanya janji yang dijanjikan kepadanya, dan
apabila ternyata kepada Nabi Ibrahim bahawa bapanya musuh bagi
Allah, ia pun berlepas diri daripadanya. Sesungguhnya Nabi
Ibrahim itu lembut hati lagi penyabar.

115@ Dan Allah tidak sekali-kali menjadikan sesuatu kaum itu
sesat sesudah Ia memberi hidayah petunjuk kepada mereka,
sebelum Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka wajib
memelihara dan melindungi diri daripadanya, sesungguhnya Allah
Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

116@ Sesungguhnya Allah jualah yang menguasai segala alam
langit dan bumi, Ia menghidupkan dan mematikan, dan tidaklah
ada bagi kamu selain dari Allah sesiapa pun yang menjadi
pelindung dan juga yang menjadi penolong.

117@ Sesungguhnya Allah telah menerima taubat Nabi dan orang-
orang Muhajirin dan Ansar yang mengikutnya (berjuang) dalam
masa kesukaran, sesudah hampir-hampir terpesong hati
segolongan dari mereka (daripada menurut Nabi untuk berjuang),
kemudian Allah menerima taubat mereka, sesungguhnya Allah Amat
belas, lagi Maha Mengasihani terhadap mereka.

118@ Dan (Allah menerima pula taubat) tiga orang yang
ditangguhkan (penerimaan taubat mereka) hingga apabila bumi
yang luas ini (terasa) sempit kepada mereka (kerana mereka
dipulaukan), dan hati mereka pula menjadi sempit (kerana
menanggung dukacita), serta mereka yakin bahawa tidak ada
tempat untuk mereka lari dari (kemurkaan) Allah melainkan
(kembali bertaubat) kepadaNya, kemudian Allah (memberi taufiq
serta) menerima taubat mereka supaya mereka kekal bertaubat.
Sesungguhnya Allah Dialah Penerima taubat lagi Maha
Mengasihani.

119@ Wahai orang-orang yang beriman ! Bertaqwalah kamu kepada
Allah, dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang-orang yang
benar.

120@ Tidaklah patut bagi penduduk Madinah dan orang-orang yang
di sekeliling mereka dari orang-orang “ A’raab” ketinggalan
daripada (turut berperang bersama) Rasulullah, dan tidaklah
patut mereka mengasihi diri mereka sendiri dengan tidak
menghiraukan Rasulullah. Yang demikian kerana sesungguhnya
(tiap-tiap kali) mereka merasai dahaga, dan merasai penat
lelah, dan juga merasai lapar (dalam perjuangan) pada jalan
Allah, dan (tiap-tiap kali) mereka menjejak sesuatu tempat
yang menimbulkan kemarahan orang-orang kafir, dan juga (tiap-
tiap kali) mereka menderita sesuatu yang mencederakan dari
pihak musuh (melainkan semuanya itu ditulis bagi mereka),
(pahala) amal yang soleh. Sesungguhnya Allah tidak
menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki
amalannya.

121@ Dan tidak pula mereka membelanjakan sesuatu perbelanjaan
yang kecil, atau yang besar, dan tidak mereka melintas sesuatu
lembah, melainkan ditulis pahala bagi mereka, supaya Allah
membalas dengan balasan yang lebih baik dari apa yang mereka
telah kerjakan.

122@ Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman
keluar semuanya (pergi berperang), oleh itu, hendaklah keluar
sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya
orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam
ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat
mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang
itu kembali kepada mereka, mudah-mudahan mereka dapat berjaga-
jaga (dari melakukan larangan Allah).

123@ Wahai orang-orang yang beriman ! Perangilah orang-orang
kafir musyrik yang berdekatan dengan kamu, dan biarlah mereka
merasai sikap kekerasan (serta ketabahan hati) yang ada pada
kamu, dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang
yang bertaqwa (dengan memberikan pertolonganNya).

124@ Dan apabila diturunkan sesuatu surah (dari Al Quran) maka
di antara mereka (yang munafik) ada yang bertanya (secara
mengejek), “ Siapakah di antara kamu yang imannya bertambah
disebabkan oleh surah ini ?” Adapun orang-orang yang beriman,
maka surah itu menambahkan iman mereka, sedang mereka
bergembira (dengan turunnya).

125@ Adapun orang-orang yang ada penyakit (kufur) dalam hati
mereka maka surah Al Quran itu menambahkan kekotoran (kufur)
kepada kekotoran (kufur) yang ada pada mereka, dan mereka
mati, sedang mereka berkeadaan kafir.

126@ Dan (patutkah) mereka (berdegil) tidak mahu
memperhatikan, bahawa mereka dicuba (dengan berbagai-bagai
bencana) pada tiap-tiap tahun, sekali atau dua kali, kemudian
mereka tidak juga bertaubat, dan tidak pula mereka mahu
beringat (dan insaf) ?

127@ Dan apabila diturunkan satu surah dari Al Quran
(mendedahkan keburukan orang-orang munafik itu) setengah
mereka memandang kepada setengahnya yang lain sambil berkata,
“ Adakah sesiapa nampak kamu (kalau kita undur dari sini) ?”
Kemudian mereka berpaling pergi (dengan meninggalkan majlis
Nabi), Allah memalingkan hati mereka (daripada iman),
disebabkan mereka kaum yang tidak (mahu) mengerti.

128@ Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari
golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang
menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang
ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan
bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta
kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.

129@ Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka katakanlah
(wahai Muhammad), “ Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan
memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan
Dia, kepadaNya aku berserah diri, dan Dialah yang mempunyai
Arasy yang besar.”

No comments:

Post a Comment