Saturday 30 January 2016

Al Quran Indonesia. 011. Surah Hud (Nabi Hud a.s.)...

Al Quran Indonesia. 011. Surah Hud (Nabi Hud a.s.)...

BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

1@ Alif, Laam, Raa’. Al Quran sebuah Kitab yang tersusun ayat-
ayatnya dengan tetap teguh, kemudian dijelaskan pula
kandungannya satu persatu. (Susunan dan penjelasan itu) adalah
dari sisi Allah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam
pengetahuanNya.

2@ (Al Quran yang demikian sifatnya diturunkan oleh Allah)
supaya janganlah kamu menyembah sesuatupun melainkan Allah.
(Katakanlah wahai Muhammad), “ Sesungguhnya aku diutus oleh
Allah kepada kamu, sebagai pemberi amaran (kepada orang-orang
yang ingkar), dan pembawa berita gembira (kepada orang-orang
yang (beriman).

3@ Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari
perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat
kepadaNya, supaya Ia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang
baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan
(di akhirat pula) Ia akan memberi kepada tiap-tiap seorang
yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal yang soleh) akan
pahala kelebihannya itu, dan jika kamu berpaling
(membelakangkan tiga perkara itu), maka sesungguhnya aku
bimbang kamu akan beroleh azab hari kiamat yang besar (huru-
haranya).

4@ Kepada Allah jualah kembalinya kamu, dan Ia Maha Kuasa atas
tiap-tiap sesuatu.”

5@ Ketahuilah ! Sesungguhnya mereka yang ingkar itu
membongkokkan badan mereka untuk menyembunyikan (perasaan
buruk yang ada dalam dada mereka) daripada Allah. Ketahuilah !
Semasa mereka berselubung dengan pakaian mereka sekalipun,
Allah mengetahui apa yang mereka sembunyikan dan apa yang
mereka zahirkan, sesungguhnya Ia Maha Mengetahui akan segala
(isi hati) yang ada di dalam dada.

6@ Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak
di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan
mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya
itu tersurat di dalam Kitab (Lauh mahfuz) yang nyata (kepada
malaikat-malaikat yang berkenaan).

7@ Dan Dialah yang menjadikan langit dan bumi dalam masa,
sedang “ ArasyNya", berada di atas air (Ia menjadikan semuanya
itu untuk menguji kamu, siapakah di antara kamu yang lebih
baik amalnya. Dan demi sesungguhnya ! Jika engkau (wahai
Muhammad) berkata, “ Bahawa kamu akan dibangkitkan hidup
kembali sesudah mati” tentulah orang-orang yang ingkar akan
berkata, “ Ini tidak lain, hanyalah seperti sihir yang nyata
(tipuannya)”.

8@ Dan demi sesungguhnya ! Jika kami tangguhkan azab daripada
menimpa mereka hingga ke suatu masa yang tertentu, tentulah
mereka akan berkata (secara mengejek), “ Apakah yang
menghalangnya ?” Ketahuilah ! Pada hari datangnya azab itu
kepada mereka, tidak akan dapat ditolak daripada menimpa
mereka, dan tentulah mereka akan diliputi oleh azab yang
mereka telah ejek-ejek itu.

9@ Dan demi sesungguhnya ! Jika Kami rasakan manusia sesuatu
pemberian rahmat dari Kami, kemudian Kami tarik balik
pemberian itu daripadanya, mendapati dia amat berputus asa,
lagi amat tidak bersyukur.

10@ Dan demi sesungguhnya ! Kalau Kami memberinya pula
kesenangan sesudah ia menderita kesusahan, tentulah ia akan
berkata, “ Telah hilang lenyaplah dariku segala kesusahan yang
menimpaku.” Sesungguhnya ia (dengan kesenangannya itu) riang
gembira, lagi bermegah-megah (kepada orang ramai).

11@ Kecuali orang-orang yang sabar dan mengerjakan amal soleh
maka mereka itu akan beroleh keampunan dan pahala yang besar.

12@ Jangan-jangan engkau (wahai Muhammad) tidak menyampaikan
sebahagian dari apa yang diwahyukan kepadamu serta merasa
sempit dada untuk menyampaikannya disebabkan orang-orang yang
ingkar itu berkata, “ Mengapa tidak diturunkan kepada
(Muhammad) perbendaharaan (harta benda yang banyak), ataupun
datang bersama-sama dengannya malaikat (untuk menolongnya
menyiarkan Islam) ?” Kerana sesungguhnya engkau hanyalah
seorang Rasul pemberi amaran kepada orang-orang yang ingkar,
dan Allah jualah Pentadbir yang menguruskan tiap-tiap sesuatu
(maka berserahlah diri kepadaNya).

13@ Bukan itu sahaja kata-kata mereka bahkan mereka menuduh
dengan mengatakan, “ Ia (Muhammad) yang mereka-reka Al Quran
itu !” katakanlah (wahai Muhammad), “ (Jika demikian tuduhan
kamu), maka cubalah buat serta datangkan sepuluh surah rekaan
yang sebanding dengan Al Quran itu, dan panggilah siapa sahaja
yang kamu sanggup memanggilnya, yang lain dari Allah, jika
betul kamu orang-orang yang benar.”

14@ Oleh itu, jika mereka (penolong-penolong kamu) tidak dapat
melaksanakan permintaan kamu (untuk membuat surah-surah yang
sebanding dengan Al Quran), maka ketahuilah bahawa Al Quran
itu diturunkan hanyalah menurut pengetahuan Allah, dan bahawa
tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah. Setelah
(terbukti hakikat yang demikian) maka adakah kamu mengakui
Islam dan menurut aturannya ?

15@ Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan
kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama
oleh Al Quran tentang sah batalnya), maka Kami akan
sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak
dikurangkan sedikitpun padanya.

16@ Merekalah orang-orang yang tidak ada baginya pada hari
akhirat kelak selain daripada azab neraka, dan pada hari itu
gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batallah apa
yang mereka telah kerjakan.

17@ Jika demikian, adakah sama mereka itu dengan orang-orang
yang keadaannya sentiasa berdasarkan bukti yang terdapat dari
(benda-benda yang diciptakan oleh) Tuhannya, dan diikuti oleh
Kitab Suci Al Quran memberi kenyataan (sebagai saksi dari
pihak Tuhan meneguhkan bukti yang tersebut) dan sebelum itu,
kenyataan yang serupa diberi oleh Kitab Nabi Musa yang menjadi
ikutan dan rahmat (kepada umatnya) ? Orang-orang yang
berkeadaan demikian, mengakui (menerima Al Quran), dan sesiapa
ingkar akan Al Quran itu dari kumpulan-kumpulan kaum kafir,
maka nerakalah dijanjikan menjadi tempatnya. Oleh itu,
janganlah engkau (wahai Muhammad) menaruh perasaan ragu-ragu
terhadap Al Quran, kerana sesungguhnya Al Quran itu adalah
perkara yang benar dari Tuhanmu, tetapi kebanyakan manusia
tidak percaya kepadanya.

18@ Dan tidak ada yang lebih zalim daripada orang-orang yang
mereka-reka perkara-perkara dusta terhadap Allah ! Orang-orang
yang demikian sifatnya akan dibawa mengadap Tuhan mereka, dan
pada hari itu akan berkatalah saksi-saksi (dari malaikat-
malaikat, Nabi-nabi, dan anggota-anggota tubuh mereka
sendiri), “ Inilah orang-orang yang membuat-buat dusta
terhadap Tuhan mereka.” Ketahuilah (sesungguhnya) laknat Allah
tertimpa kepada orang-orang yang zalim !

19@ Orang-orang yang menghalang dirinya sendiri dan orang lain
dari jalan ugama Allah dan berusaha supaya jalan itu menjadi
bengkok terpesong, sedang mereka pula ingkarkan hari akhirat,

20@ Mereka itu tidak akan dapat melemahkan kekuasaan Allah
daripada menimpakan mereka dengan azab di dunia, dan tidak ada
pula bagi mereka, yang lain dari Allah, sesiapapun yang dapat
menolong melepaskan mereka dari seksaNya. Azab untuk mereka
akan digandakan (kerana mereka sangat bencikan jalan ugama
Allah), sehingga mereka tidak tahan mendengarnya, dan tidak
pula suka melihat tanda-tanda kebenarannya.

21@ Merekalah orang-orang yang merugikan diri sendiri, dan
hilang lenyaplah dari mereka apa yang mereka ada-adakan.

22@ Tidak syak lagi, bahawa sesungguhnya merekalah yang paling
rugi, pada hari akhirat kelak.

23@ Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal
yang soleh, serta tunduk taat menunaikan ibadat kepada Tuhan
mereka dengan khusyuk, mereka itulah ahli Syurga, mereka kekal
di dalamnya.

24@ Bandingan dua golongan (yang kafir dan yang beriman) itu
samalah seperti orang yang buta serta pekak, dengan orang yang
celik serta mendengar, kedua-dua golongan itu tidaklah sama
keadaannya. (Setelah kamu mengetahui yang demikian) maka
tidakkah kamu mahu mengambil peringatan dan insaf ?

25@ Dan demi sesungguhnya ! Kami telah utuskan Nabi Nuh lalu
ia memberitahu kaumnya dengan berkata, “ Sesungguhnya aku ini
seorang Rasul pemberi amaran yang nyata kepada kamu."

26@ “ Iaitu janganlah kamu menyembah melainkan Allah,
sesungguhnya aku bimbang (jika kamu menyembah yang lainnya),
kamu akan ditimpa azab yang tidak terperi sakitnya pada hari
pembalasan.”

27@ Maka berkatalah ketua-ketua yang kafir dari kaumnya,
“ Kami tidak memandangmu (wahai Nuh) melainkan sebagai seorang
manusia seperti kami, dan kami tidak nampak golongan yang
mengikutmu melainkan orang-orang kami yang miskin hina, lagi
berfikiran singkat, dan kami juga tidak memandang kamu (semua)
mempunyai sebarang kelebihan yang mengatasi kami, bahkan kami
menganggap kamu orang-orang pendusta.”

28@ Nabi Nuh berkata, “ Wahai kaumku ! Jika keadaanku
berdasarkan bukti yang nyata dari Tuhanku, serta Ia
mengurniakan pangkat Nabi kepadaku dari sisiNya, kemudian
bukti yang nyata itu menjadi kabur pada pandangan kamu
(disebabkan keingkaran kamu yang telah sebati), maka adakah
kamu nampak ada gunanya Kami memaksa kamu menerima bukti itu
sedang kamu tidak suka kepadanya ?

29@ Dan (ketahuilah) wahai kaumku ! Aku tidak meminta kepada
kamu sebarang harta benda sebagai upah menyampaikan ugama
Allah itu, tiadalah aku harapkan upahku melainkan dari Allah
semata-mata, dan aku tidak akan menghalau orang-orang yang
beriman (sebagaimana yang kamu minta itu), kerana sesungguhnya
mereka akan menemui Tuhan mereka (dan pada hari itu mereka
akan menuntut dan menerima hak masing-masing), tetapi aku
nampak kamu semua, kaum yang tidak mengetahui apa yang mesti
diketahui.

30@ Dan lagi wahai kaumku ! Siapakah yang akan menolongku dari
azab Allah jika aku menghalau mereka ? Maka mengapa kamu tidak
mahu ingatkan kekuasaan Allah ?

31@ Dan aku tidak pernah berkata kepada kamu, " Di sisiku ada
perbendaharaan Allah, dan tidaklah aku mendakwa mengetahui
perkara-perkara yang ghaib dan aku tidak mengatakan bahawa aku
ini malaikat, dan aku juga tidak berkata terhadap orang-orang
yang beriman yang kamu pandang hina itu, bahawa Allah tidak
akan memberi kebaikan kepada mereka. Allah lebih mengetahui
akan apa yang ada di dalam hati mereka. Sesungguhnya aku jika
bertindak demikian, nescaya menjadilah aku dari orang-orang
yang zalim.”

32@ Mereka berkata, “ Wahai Nuh ! Sesungguhnya engkau telah
bertikam lidah membantah kami lalu engkau banyakkan sangat
hujjah-hujjah semasa mengemukakan bantahanmu kepada kami, oleh
itu, datangkanlah azab Allah yang engkau janjikan kepada kami,
jika betul engkau dari orang-orang yang benar.”

33@ Nabi Nuh menjawab, “ Sesungguhnya Allah jualah yang akan
mendatangkan azabNya itu kepada kamu jika Ia kehendaki, dan
kamu tidak sekali-kali akan dapat melemahkan kuasa Allah !

34@ Dan tidak ada gunanya nasihatku kepada kamu, jika aku
hendak menasihati kamu, kalau Allah hendak menyesatkan kamu
(kerana kamu tetap berdegil), Dialah Tuhan kamu dan kepadaNya
kamu akan kembali.”

35@ (Mereka terus berdegil), bahkan mereka menuduh dengan
mengatakan Nabi Nuh sengaja mengada-adakan secara dusta,
bahawa Tuhan mengurniakan pangkat Nabi kepadanya. Nabi Nuh
diperintahkan menjawab dengan berkata, “ Kalau aku yang
mereka-reka wahyu itu maka akulah yang akan menanggung dosa
perbuatanku itu, dan sebenarnya aku bersih dari dosa kesalahan
kamu menuduhku.”

36@ Dan (setelah itu) diwahyukan kepada Nabi Nuh, “ Bahawa
sesungguhnya tidak akan beriman lagi dari kaummu melainkan
orang-orang yang telah sedia beriman. Oleh itu, janganlah
engkau berdukacita tentang apa yang mereka sentiasa lakukan.

37@ Dan buatlah bahtera dengan pengawasan serta kawalan Kami,
dan dengan panduan wahyu Kami (tentang cara membuatnya), dan
janganlah engkau merayu kepadaKu untuk menolong kaum yang
zalim itu, kerana sesungguhnya mereka akan ditenggelamkan
(dengan taufan)."

38@ Dan Nabi Nuh pun membuat bahtera itu, dan tiap-tiap kali
sepuak dari kaumnya melalui tempat ia membina bahteranya,
mereka mengejek-ejeknya. Nabi Nuh pun menjawab, “ Jika kamu
memandang kami bodoh (kerana membuat bahtera ini), maka
sesungguhnya kami juga memandang kamu bodoh (kerana keingkaran
kamu), sebagai (balasan) ejekan kamu.

39@ Maka kamu akan mengetahui siapakah yang akan didatangi
azab yang menghinakannya di dunia, dan yang akan ditimpakan
pula dengan azab yang kekal pada hari akhirat kelak.”

40@ (Nabi Nuh terus bekerja) sehingga apabila datang hukum
Kami untuk membinasakan mereka dan air memancut-mancut dari
muka bumi (yang menandakan kedatangan taufan), Kami berfirman
kepada Nabi Nuh, “ Bawalah dalam bahtera itu dua dari tiap-
tiap sejenis haiwan (jantan dan betina), dan bawalah ahlimu
kecuali orang yang telah ditetapkan hukuman azab atasnya
(disebabkan kekufurannya), juga bawalah orang-orang beriman.”
Dan tidak ada orang-orang yang beriman yang turut bersama-
samanya, melainkan sedikit sahaja.

41@ Dan (ketika itu) berkatalah Nabi Nuh (kepada pengikut-
pengikutnya yang beriman), “ Naiklah kamu ke bahtera itu
sambil berkata, " Dengan nama Allah bergerak lajunya dan
berhentinya." Sesungguhnya Tuhanku adalah Maha Pengampun, lagi
Maha Mengasihani.”

42@ (Mereka semua naik) dan bahtera itupun bergerak laju
membawa mereka dalam ombak yang seperti gunung-ganang, dan
(sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada
di tempat yang terpisah daripadanya, “ Wahai anakku, naiklah
bersama-sama kami, dan janganlah engkau tinggal dengan orang-
orang yang kafir.”

43@ Anaknya menjawab, “ Aku akan pergi berlindung ke sebuah
gunung yang dapat menyelamatkan aku daripada ditenggelamkan
oleh air.” Nabi Nuh berkata, “ Hari ini tidak ada sesuatupun
yang akan dapat melindungi dari azab Allah, kecuali orang yang
dikasihani olehNya.” Dan dengan serta-merta ombak itu pun
memisahkan antara keduanya, lalu menjadilah ia (anak yang
derhaka itu) dari orang-orang yang ditenggelamkan oleh taufan.

44@ Dan (setelah binasanya kaum kafir itu) diperintahkan
kepada bumi dan langit dengan berkata, “ Wahai bumi telanlah
airmu, dan wahai langit berhentilah dari curahan hujanmu.” Dan
(ketika itu) surutlah air, serta terlaksanalah perintah
(Allah) itu. Dan bahtera Nabi Nuh itupun berhenti di atas
gunung “ Judi” serta diingatkan (kepada kaum kafir umumnya
bahawa), “ Kebinasaanlah akhirnya bagi orang-orang yang
zalim.”

45@ Dan Nabi Nuh merayu kepada Tuhannya dengan berkata,
“ Wahai Tuhanku ! Sesungguhnya anakku itu dari keluargaku
sendiri, dan bahawa janjiMu itu adalah benar, dan Engkau
adalah sebijak-bijak Hakim yang menghukum dengan seadil-
adilnya.”

46@ Allah berfirman, “ Wahai Nuh ! Sesungguhnya anakmu itu
bukanlah dari keluargamu (kerana ia telah terputus hubungan
denganmu disebabkan kekufurannya), sesungguhnya bawaannya
bukanlah amal yang soleh, maka janganlah engkau memohon
kepadaKu sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan
mengenainya. Sebenarnya Aku melarangmu dari menjadi orang yang
jahil.”

47@ Nabi Nuh berkata, “ Wahai Tuhanku ! Sesungguhnya aku
berlindung kepadaMu daripada memohon sesuatu yang aku tidak
mempunyai pengetahuan mengenainya, dan jika Engkau tidak
mengampunkan dosaku, dan memberi rahmat kepadaku, nescaya
menjadilah aku dari orang-orang yang rugi.”

48@ Allah berfirman, " Wahai Nuh ! Turunlah (dari bahtera itu)
dengan selamat dan berkat dari Kami kepadamu dan kepada umat-
umat yang bersama-samamu. Dan (dalam pada itu) ada umat-umat
dari keturunan mereka yang Kami akan beri kesenangan kepadanya
(dalam kehidupan dunia), kemudian mereka akan dikenakan azab
dari Kami yang tidak terperi sakitnya.”

49@ (Kisah Nabi Nuh) itu adalah dari perkara-perkara yang
ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), yang
engkau dan kaum engkau tidak mengetahuinya sebelum ini. Oleh
itu, bersabarlah. Sesungguhnya kesudahan yang baik (yang
membawa kejayaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat) adalah
bagi orang-orang yang bertaqwa.

50@ Dan kepada kaum Aad, Kami utuskan saudara mereka, Nabi hud
ia berkata, “ Wahai kaumku ! Sembahlah kamu akan Allah !
Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Kamu
hanyalah orang-orang yang mengada-adakan perkara-perkara yang
dusta (terhadap Allah).



51@ Wahai kaumku ! Tiadalah aku meminta sebarang upah daripada
kamu tentang (ajaran yang aku sampaikan) itu. Upahku hanyalah
dari Allah yang menciptakan daku, maka mengapa kamu tidak mahu
menggunakan akal (untuk mengetahui kebenaran) ?

52@ Dan wahai kaumku ! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu,
kemudian kembalilah taat kepadaNya, supaya Ia menghantarkan
kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan
di samping kekuatan kamu yang sedia ada, dan janganlah kamu
membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa !

53@ Mereka berkata, “ Wahai Hud ! Engkau tidak membawa kepada
kami sebarang keterangan yang membuktikan kebenaranmu, dan
kami tidak akan meninggalkan penyembahan tuhan-tuhan kami
dengan sebab kata-katamu itu ! Dan kami tidak sekali-kali
percaya kepadamu !

54@ ” Kami hanya boleh berkata bahawa setengah dari tuhan-
tuhan kami telah mengenakanmu sesuatu penyakit gila
(disebabkan engkau selalu mencaci penyembahan kami itu).”
Nabi Hud menjawab, “ Sesungguhnya aku menyeru Allah menjadi
saksi tentang kebenaranku, dan kamu juga saksikanlah bahawa
aku bersih dari dosa perbuatan syirik kamu."

55@ ” Menyembah yang lain dari Allah. Maka rancangkanlah tipu
helah kamu semua terhadapku, kemudian jalankan terus,
janganlah kamu beri tempoh kepadaku mempertahankan diri."

56@ ” Kerana sesungguhnya aku telah berserah diri kepada
Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu ! Tiadalah sesuatupun dari
makhluk-makhluk yang bergerak di muka bumi melainkan Allah
jualah yang menguasainya. Sesungguhnya Tuhanku tetap di atas
jalan yang lurus.

57@ Dalam pada itu, jika kamu membelakangkan juga seruanku,
maka tidaklah menjadi hal kepadaku kerana aku telah sampaikan
kepada kamu apa yang telah diutus oleh Allah untuk
menyampaikannya, dan Tuhanku akan menggantikan kamu dengan
suatu kaum yang lain (setelah kamu dibinasakan), dan kamu pula
tidak akan dapat membahayakanNya sedikitpun. Sesungguhnya
Tuhanku Maha Pengawal dan Pemulihara tiap-tiap sesuatu.”

58@ Dan apabila datang azab Kami, Kami selamatkan Nabi Hud
beserta dengan umatnya yang beriman, dengan rahmat dari Kami,
dan Kami selamatkan mereka dari azab yang keras.

59@ Dan itulah peristiwa kaum Aad, mereka mengingkari ayat-
ayat keterangan Tuhan mereka, serta mereka menderhaka kepada
Rasul-rasulnya, dan mereka menurut perintah tiap-tiap ketua
yang bermaharajalela, lagi degil dalam keingkarannya.

60@ Dan mereka ditimpa laknat (yang tidak putus-putus) dalam
dunia ini dan pada hari kiamat. Ketahuilah Sesungguhnya kaum
Aad itu telah kufur ingkar kepada Tuhan mereka. Ketahuilah !
Sesungguhnya kebinasaanlah akhirnya bagi Aad, kaum Nabi Hud.

61@ Dan kepada kaum Thamud, kami utuskan saudara mereka, Nabi
Soleh. Ia berkata, “ Wahai kaumku ! Sembahlah kamu akan
Allah ! Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya.
Dialah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta
menghendaki kamu memakmurkannya. Oleh itu mintalah ampun
kepada Allah dari perbuatan syirik, kemudian kembalilah
kepadaNya dengan taat dan tauhid. Sesungguhnya Tuhanku
sentiasa dekat, lagi sentiasa memperkenankan permohonan
hambaNya.”

62@ Mereka menjawab dengan berkata, “ Wahai Soleh,
sesungguhnya engkau sebelum ini adalah orang yang diharap
dalam kalangan kami (untuk memimpin kami), patutkah engkau
melarang kami daripada menyembah apa yang disembah oleh datuk
nenek kami ? Dan (ketahuilah) sesungguhnya kami berada dalam
keadaan ragu-ragu yang merunsingkan tentang apa yang engkau
serukan kami kepadanya.”

63@ Nabi Soleh berkata, “ Wahai kaumku ! Bagaimana fikiran
kamu, jika aku berada dalam kebenaran yang berdasarkan bukti
yang nyata (mukjzat) dari Tuhanku, dan Ia pula mengurniakan
rahmat (pangkat Nabi) kepadaku sebagai pemberian daripadaNya,
maka siapakah yang akan menolongku dari azab Allah kalau aku
menderhaka kepadaNya ? Oleh itu, kamu tidak menambah sesuatu
kebaikan pun bagiku selain daripada perkara yang merugikan.

64@ ” Dan wahai kaumku ! Ini adalah unta betina dari Allah
untuk kamu sebagai tanda (mukjizat) yang membuktikan
kebenaranku. Oleh itu, biarkanlah dia mencari makan di bumi
Allah dan janganlah kamu menyentuhnya dengan sesuatu yang
menyakitinya, (kalau kamu menyakitinya) maka kamu akan ditimpa
azab seksa yang dekat masa datangnya.”

65@ Mereka kemudiannya menyembelih unta itu, lalu berkatalah
Nabi Soleh kepada mereka, " Bersenang-senanglah kamu di tempat
masing-masing selama tiga hari, tempoh yang demikian itu,
ialah suatu janji yang tidak dapat didustakan.”

66@ Maka ketika datang azab kami, kami selamatkan Soleh
beserta umatnya yang beriman, dengan rahmat dari Kami, dan
Kami selamatkan mereka dari azab serta kehinaan hari itu.
Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.

67@ Dan orang-orang yang zalim itu, dibinasakan oleh satu
letusan suara yang menggempakan bumi, lalu menjadilah mereka
mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing.

68@ (Mereka punah-ranah) seolah-olah mereka tidak pernah
tinggal di situ. Ketahuilah ! Sesungguhnya kaum Thamud itu
kufurkan Tuhan mereka. Ketahuilah ! Sesungguhnya kebinasaanlah
akhirnya bagi kaum Thamud.

69@ Dan sesungguhnya telah datang malaikat utusan-utusan kami
kepada Nabi Ibrahim, dengan membawa berita yang mengembirakan.
Lalu mereka memberi salam dengan berkata, “ Salam sejahtera
kepadamu (wahai Ibrahim).” Nabi Ibrahim menjawab, “ Salam
sejahtera kepada kamu.” Maka tidak berapa lama selepas itu, ia
membawa jamuan untuk mereka, seekor anak lembu yang
dipanggang.

70@ Maka apabila ia melihat tangan mereka tidak menyentuh
hidangan itu, ia merasa pelik akan hal mereka serta merasa
takut dari keadaan mereka. (Melihat kecemasannya) mereka
berkata, “ Janganlah engkau takut wahai Ibrahim, sebenarnya
kami ini diutus kepada kaum Lut (untuk membinasakan mereka).”

71@ Dan isterinya pada ketika itu berdiri (mendengar), lalu ia
ketawa (kerana hilang perasaan takutnya). Maka Kami pun
memberikan berita yang mengembirakan kepadanya (melalui
malaikat itu), bahawa ia akan mendapat seorang anak, Ishak,
dan sesudah Ishak, (ia pula akan mendapat seorang cucu),
Yaakub.

72@ Isterinya berkata, “ Sungguh ajaib keadaanku ! Adakah aku
akan melahirkan anak padahal aku sudah tua dan suamiku ini
juga sudah tua ? Sesungguhnya kejadian ini suatu perkara yang
menghairankan.”

73@ Malaikat-malaikat itu berkata, “ Patutkah engkau merasa
hairan tentang perkara yang telah ditetapkan oleh Allah ?
Memanglah rahmat Allah dan berkatNya melimpah-limpah kepada
kamu, wahai ahli rumah ini. Sesungguhnya Allah Maha terpuji,
lagi Maha Melimpah kebaikan dan kemurahanNya.”

74@ Maka apabila hilang perasaan takut dari hati Nabi Ibrahim,
dan sampai kepadanya berita yang mengembirakan itu, (mulailah)
ia membantah (utusan-utusan) kami tentang (azab yang akan
menimpa) kaum Nabi Lut.

75@ Sesungguhnya Nabi Ibrahim, penyabar, lembut hati
(bertimbang rasa) lagi suka kembali kepada Allah dengan
mengerjakan amal bakti.

76@ (Malaikat-malaikat itu berkata), “ Wahai Ibrahim !
Janganlah dihiraukan hal ini. Sesungguhnya telah datang
perintah Tuhanmu (menghukum mereka), dan sesungguhnya mereka
akan didatangi azab yang tidak akan dapat ditolak (oleh
bantahan atau doa permohonan).”

77@ Dan apabila datang utusan-utusan Kami kepada Nabi Lut ia
merasa dukacita dengan kedatangan mereka, dan merasa tidak
terdaya untuk mengawal mereka (dari gangguan kaumnya), sambil
berkata, “ Ini adalah hari yang amat mencemaskan.”

78@ Dan kaumnya pun datang meluru kepadanya (dengan tujuan
hendak mengganggu tetamunya), sedang mereka sebelum itu sudah
biasa melakukan kejahatan. Nabi Lut berkata, “ Wahai kaumku !
Di sini ada anak-anak perempuanku, mereka lebih suci bagi kamu
(maka berkahwinlah dengan mereka). Oleh itu takutlah kamu
kepada Allah, dan janganlah kamu memberi malu kepadaku
mengenai tetamu-tetamuku. Tidakkah ada di antara kamu seorang
lelaki yang bijak berakal (yang dapat memberi nasihat) ?”

79@ Mereka menjawab, “ Sesungguhnya engkau telahpun mengetahui
bahawa kami tidak ada sebarang hajat kepada anak-anak
perempuanmu, dan sebenarnya engkau sedia mengetahui akan apa
yang kami kehendaki.”

80@ Nabi Lut berkata, “ Kalaulah aku ada kekuatan untuk
menentang kamu, atau aku dapat bertumpu ke sesuatu tempat
bertahan yang kuat (dari penyokong-penyokong, tentulah aku
akan membinasakan kamu).”

81@ (Mendengarkan yang demikian tetamunya berkata), “ Wahai
Lut ! Sesungguhnya kami (adalah malaikat) utusan Tuhanmu. Kaum
engkau yang jahat itu tidak sekali-kali akan dapat melakukan
kepadamu (sebarang bencana). Oleh itu, pergilah berundur dari
sini bersama-sama dengan keluargamu pada tengah malam, dan
janganlah seorangpun di antara kamu menoleh ke belakang.
Kecuali isterimu, sesungguhnya ia akan ditimpa azab yang akan
menimpa mereka (kerana ia memihak kepada mereka). Sesungguhnya
masa yang dijanjikan untuk menimpakan azab kepada mereka ialah
waktu subuh, bukankah waktu subuh itu sudah dekat ?”

82@ Maka apabila datang (masa perlaksanaan) perintah Kami,
Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus
segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya dengan
batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu.

83@ Batu-batu itu ditandakan di sisi Tuhanmu (untuk
membinasakan mereka), dan Ia pula tidaklah jauh dari orang-
orang yang zalim itu.

84@ Dan kepada penduduk “ Madyan” Kami utuskan saudara mereka,
Nabi Syuaib. Ia berkata, “ Wahai kaumku ! Sembahlah kamu akan
Allah ! (Sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya.
Dan janganlah kamu mengurangi sukatan dan timbangan.
Sesungguhnya aku melihat kamu berada dalam kemewahan, dan
sesungguhnya aku bimbang, kamu akan ditimpa azab hari yang
meliputi (orang-orang yang bersalah).

85@ Dan wahai kaumku ! Sempurnakanlah sukatan dan timbangan
dengan adil dan janganlah kamu kurangkan manusia akan benda-
benda yang menjadi haknya, dan janganlah kamu merebakkan
bencana kerosakan di muka bumi.

86@ Limpah kurnia Allah kepada kamu lebih baik bagi kamu
(daripada yang kamu ambil secara haram itu), jika betul kamu
orang-orang yang beriman. Dan aku bukanlah orang yang menjaga
dan mengawas perbuatan kamu.”

87@ Mereka berkata, “ Wahai Syuaib ! Adakah sembahyangmu (yang
banyak itu) menyuruhmu perintahkan kami supaya meninggalkan
apa yang disembah oleh datuk nenek kami, atau supaya kami
lakukannya apa yang kami suka melakukannya dalam menguruskan
harta kami ? Sesungguhnya engkau (wahai Syuaib) adalah orang
yang penyabar, lagi bijak berakal (maka bagaimana pula engkau
menyuruh kami melakukan perkara yang bertentangan dengan
kebiasaan kami) ?”

88@ Nabi Syuaib berkata, “ Wahai kaumku ! Bagaimana fikiran
kamu, jika aku berdasarkan bukti yang nyata dari Tuhanku, dan
Ia pula mengurniakan aku pangkat Nabi sebagai pemberian
daripadaNya, (patutkah aku berdiam diri dari melarang kamu)
sedang aku tidak bertujuan hendak melakukan sesuatu yang aku
melarang kamu daripada melakukannya ? Aku hanya bertujuan
hendak memperbaiki sedaya upayaku, dan tiadalah aku akan
beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan
pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan
kepadaNyalah aku kembali.

89@ Dan wahai kaumku ! Janganlah permusuhan kamu terhadapku
menyebabkan kamu ditimpa bala bencana sebagaimana yang telah
menimpa kaum Nabi Nuh, atau kaum Nabi Hud, atau kaum Nabi
Soleh. Dan kaum Nabi Lut pun tidaklah jauh dari kamu (kamu
sedia mengetahui apa yang telah menimpa mereka).

90@ Dan mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah
taat kepadaNya. Sesungguhnya Tuhanku Maha Mengasihani, lagi
Maha Pengasih.”

91@ Mereka berkata, “ Wahai Syuaib ! Kami tidak mengerti
kebanyakan dari apa yang engkau katakan itu, dan sesungguhnya
kami melihat engkau orang yang lemah dalam kalangan kami, dan
kalaulah tidak kerana kaum keluargamu, tentulah kami telah
melemparmu (dengan batu hingga mati). Dan engkau pula bukanlah
orang yang dipandang mulia dalam kalangan kami !”

92@ Nabi Syuaib berkata, “ Wahai kaumku ! (Mengapa kamu
bersikap demikian) ? Patutkah kaum keluargaku kamu pandang
lebih mulia daripada Allah serta kamu pula jadikan perintahNya
sebagai sesuatu yang dibuang dan dilupakan di belakang kamu ?
Sesungguhnya Tuhanku Amat Meliputi pengetahuanNya akan apa
yang kamu lakukan."

93@ ” Dan wahai kaumku, buatlah sedaya upaya kamu (untuk
menentang ugama Allah yang aku sampaikan itu), sesungguhnya
aku juga tetap berusaha dengan bersungguh-sungguh (untuk
mengembangkannya). Kamu akan ketahui siapakah yang akan
didatangi azab yang menghinakannya, dan siapa pula yang
berdusta. Dan tunggulah, sesungguhnya aku juga turut menunggu
bersama-sama kamu.”

94@ Dan ketika datang (masa perlaksanaan) perintah Kami, Kami
selamatkan Nabi Syuaib beserta dengan umatnya yang beriman,
dengan rahmat dari Kami, dan orang-orang yang zalim itu
dibinasakan oleh letusan suara yang menggempakan bumi, lalu
menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat
masing-masing.

95@ (Mereka punah-ranah) seolah-olah mereka tidak pernah
tinggal di situ. Ketahuilah ! Kebinasaanlah akhirnya bagi
penduduk Madyan, sebagaimana binasanya kaum Thamud.

96@ Dan sesungguhnya kami telah mengutuskan Nabi Musa dengan
membawa ayat-ayat keterangan Kami, dan bukti (mukjizat) yang
nyata,

97@ Kepada Firaun dan kaumnya, lalu kaum Firaun menurut
perintah Firaun, sedang perintahnya itu bukanlah perintah yang
betul.

98@ Firaun akan mengetuai kaumnya pada hari kiamat kemudian
tetaplah ia akan membawa mereka masuk ke neraka. Dan seburuk-
buruk tempat yang dimasuki ialah neraka.

99@ Dan mereka diiringi oleh laknat yang tidak putus-putus
di dunia ini, dan pada hari kiamat. (Sebenarnya) laknat itu
adalah seburuk-buruk pemberian yang diberikan.

100@ Yang demikian, ialah sebahagian dari khabar berita
penduduk negeri-negeri (yang telah dibinasakan), kami
ceritakan perihalnya kepadamu (wahai Muhammad). Di antaranya
ada yang masih wujud (sisanya yang dapat disaksikan), dan ada
pula yang telah hancur lebur (dan hilang lenyap).



101@ Dan tiadalah Kami menganiaya mereka, tetapi merekalah
yang menganiaya diri sendiri. Maka berhala-berhala yang mereka
sembah selain dari Allah itu, tidak dapat menolong mereka
sedikitpun pada masa datangnya azab Tuhanmu, dan penyembahan
yang mereka lakukan itu hanya menambahkan kerugian sahaja
kepada mereka.

102@ Dan demikianlah azab Tuhanmu, apabila ia menimpa
(penduduk) negeri-negeri yang berlaku zalim. Sesungguhnya
azabNya itu tidak terperi sakitnya, lagi amat keras
serangannya.

103@ Sesungguhnya pada kejadian yang demikian, ada tanda (yang
mendatangkan iktibar) bagi orang yang takut kepada azab
akhirat, iaitu hari yang dihimpunkan manusia padanya. Dan hari
yang demikian ialah hari yang dihadiri oleh sekalian makhluk.

104@ Dan tiadalah Kami lambatkan hari kiamat itu melainkan
untuk suatu tempoh yang tertentu.

105@ (Pada) masa datangnya (hari kiamat itu), tiadalah
seorangpun dapat berkata-kata (untuk membela dirinya atau
memohon pertolongan) melainkan dengan izin Allah. Maka
di antara mereka ada yang celaka, dan ada pula yang
berbahagia.

106@ Adapun orang-orang yang celaka (disebabkan keingkaran dan
maksiatnya), maka di dalam nerakalah tempatnya. Bagi mereka
di situ, hanyalah suara memekik-mekik dan mendayu-dayu
(seperti suara keldai).

107@ Mereka kekal di dalamnya selagi ada langit dan bumi
kecuali apa yang dikehendaki oleh Tuhanmu. Sesungguhnya
Tuhanmu, Maha Kuasa melakukan apa yang dikehendakiNya.

108@ Adapun orang-orang yang berbahagia (disebabkan imannya
dan taatnya), maka di dalam Syurgalah tempatnya. Mereka kekal
di dalamnya selagi ada langit dan bumi kecuali apa yang
dikehendaki oleh Tuhanmu sebagai pemberian nikmat yang tidak
putus-putus.

109@ Maka janganlah engkau (wahai Muhammad) menaruh perasaan
ragu-ragu tentang sia-sianya apa yang disembah oleh mereka
yang musyrik itu. Mereka tidak menyembah melainkan sama
seperti yang disembah oleh datuk nenek mereka yang musyrik
dahulu. Dan sesungguhnya Kami akan menyempurnakan bagi mereka
bahagian mereka (dari azab yang telah ditentukan) dengan tidak
dikurangi.

110@ (Janganlah engkau merasa bimbang wahai Muhammad tentang
keingkaran kaummu) kerana sesungguhnya Kami telah memberikan
kepada Nabi Musa Kitab Taurat, lalu berlaku pertentangan
mengenainya. Dan kalau tidaklah kerana telah terdahulu kalimah
ketetapan dari Tuhanmu (untuk menangguhkan hukuman hingga
ke suatu masa yang tertentu), tentulah dijatuhkan hukuman azab
dengan serta-merta kepada mereka. Dan sesungguhnya mereka
masih menaruh perasaan ragu-ragu tentang (kebenaran Al Quran)
itu.

111@ Dan sesungguhnya tiap-tiap seorang akan disempurnakan
oleh Tuhanmu balasan amal mereka, sesungguhnya Allah Amat
Mendalam pengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.

112@ Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa
tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang
diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk
kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian, dan
janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah, sesungguhnya
Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.

113@ Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang
berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka
akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolongpun
yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan
kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.

114@ Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan
umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada
waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam.
Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu
menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian
adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.

115@ Dan sabarlah (wahai Muhammad, engkau dan umatmu, dalam
mengerjakan suruhan Allah), kerana sesungguhnya Allah tidak
akan menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan.

116@ Maka sepatutnya ada di antara umat yang telah dibinasakan
dahulu daripada kamu itu, orang-orang yang berkelebihan akal
fikiran yang melarang kaumnya dari perbuatan-perbuatan jahat
di muka bumi tetapi sayang ! Tidak ada yang melarang melainkan
sedikit sahaja, iaitu orang-orang yang Kami telah selamatkan
di antara mereka. Dan orang-orang yang tidak melarang itu
telah menitik beratkan segala kemewahan yang diberikan kepada
mereka dan menjadilah mereka orang-orang yang berdosa.

117@ Dan Tuhanmu tidak sekali-kali hendak membinasakan mana-
mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya, selagi mereka
sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri.

118@ Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki,
tentulah Ia menjadikan umat manusia semuanya menurut ugama
yang satu. (Tetapi Ia tidak berbuat demikian) dan kerana
itulah mereka terus-menerus berselisihan.

119@ Tetapi orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu,
(mereka bersatu di dalam ugama Allah), dan untuk (perselisihan
dan rahmat) itulah Allah menjadikan manusia. Dan dengan yang
demikian sempurnalah janji Tuhanmu, “ Sesungguhnya Aku akan
memenuhi neraka jahannam dengan sekalian jin dan manusia (yang
berdosa).”

120@ Dan tiap-tiap berita dari berita Rasul-rasul itu, kami
ceritakan kepadamu (wahai Muhammad), untuk menguatkan hatimu
dengannya. Dan telah datang kepadamu dalam berita ini
kebenaran dan pengajaran serta peringatan bagi orang-orang
yang beriman.

121@ Dan katakanlah kepada orang-orang yang tidak beriman,
“ Buatlah apa yang kamu sanggup melakukannya (dari perbuatan
ingkar itu). Sesungguhnya kami juga tetap mengerjakan (nasihat
pengajaran yang Tuhan berikan kepada kami).

122@ Dan tunggulah (akibat yang buruk yang akan menimpa
kamu) ! Sesungguhnya kami juga menunggu (akan kemenangan dan
kejayaan yang dijanjikan oleh Allah kepada kami).”

123@ Dan Allah jualah yang mengetahui rahsia langit dan bumi
dan kepadaNyalah dikembalikan segala urusan. Oleh itu,
sembahlah akan Dia serta berserahlah kepadaNya. Dan
(ingatlah), Tuhanmu tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu
lakukan.

No comments:

Post a Comment