Saturday 30 January 2016

Al Quran Indonesia. 017. Surah Al Israa’ (Perjalanan Malam)...

Al Quran Indonesia. 017. Surah Al Israa’ (Perjalanan Malam)...

BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

1@ Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad)
pada malam hari dari Masjid Al Haraam (di Makkah) ke Masjid
Al Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk
memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran)
Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha
Mengetahui.

2@ Dan Kami telah memberikan Nabi Musa Kitab Taurat, dan Kami
jadikan Kitab itu petunjuk bagi Bani Israil (serta Kami
perintahkan mereka), “ Janganlah kamu jadikan yang lain
daripadaKu sebagai Tuhan (untuk menyerahkan urusan kamu
kepadanya).”

3@ (Wahai) keturunan orang-orang yang telah Kami bawa bersama-
sama dengan Nabi Nuh (di dalam bahtera) ! Sesungguhnya ia
adalah seorang hamba yang bersyukur.

4@ Dan Kami menyatakan kepada Bani Israil dalam Kitab itu,
“ Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi
(Palestin) dua kali, dan sesungguhnya kamu akan berlaku
sombong angkuh dengan melampau.

5@ Maka apabila sampai masa janji (membalas kederhakaan kamu)
kali yang pertama dari dua (kederhakaan) itu, Kami datangkan
kepada kamu, hamba-hamba Kami yang kuat gagah dan amat ganas
serangannya lalu mereka menjelajah di segala ceruk rantau
(membunuh dan membinasakan kamu), dan (sebenarnya peristiwa
itu) adalah satu janji yang tetap berlaku.

6@ Kemudian (setelah kamu bertaubat), Kami kembalikan kepada
kamu kekuasaan untuk mengalahkan mereka, dan Kami beri kepada
kamu dengan banyaknya harta kekayaan dan anak pinak, serta
Kami jadikan kamu kaum yang lebih ramai pasukannya.

7@ Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang
kamu lakukan adalah untuk diri kamu, dan jika kamu berbuat
kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri
kamu juga. Oleh itu, apabila sampai masa janji (membalas
perbuatan derhaka kamu) kali kedua, (Kami datangkan musuh-
musuh kamu) untuk memuramkan muka kamu (dengan penghinaan dan
keganasannya), dan untuk memasuki masjid (BaitulMaqdis)
sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali yang pertama,
dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai,
dengan sehancur-hancurnya.

8@ Mudah-mudahan Tuhan kamu akan mengasihani kamu (kalau kamu
bertaubat), dan jika kamu kembali (menderhaka), maka Kami pula
akan kembali (menyeksa kamu di dunia), dan kami telah jadikan
neraka, penjara bagi orang-orang kafir (pada hari akhirat).

9@ Sesungguhnya Al Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang
amat betul (ugama Islam), dan memberikan berita yang
mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-
amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.

10@ Dan bahawa orang-orang yang tidak beriman kepada hari
akhirat, Kami sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak
terperi sakitnya.

11@ Dan manusia berdoa dengan (memohon supaya ia ditimpa)
kejahatan sebagaimana ia berdoa dengan memohon kebaikan, dan
sememangnya manusia itu (bertabiat) terburu-buru.

12@ Dan Kami jadikan malam dan siang itu dua tanda (yang
membuktikan kekuasaan kami), maka Kami hapuskan tanda malam
itu (sehingga menjadi gelap-gelita), dan Kami jadikan tanda
siang itu terang-benderang supaya kamu mudah mencari rezeki
dari limpah kurnia Tuhan kamu, dan supaya kamu mengetahui
bilangan tahun dan hitungan hisab (bulan dan hari), dan
(ingatlah) tiap-tiap sesuatu (yang kamu perlukan untuk dunia
dan ugama kamu), Kami telah menerangkannya satu persatu
(dalam Al Quran) dengan sejelas-jelasnya.

13@ Dan tiap-tiap seorang manusia Kami kalongkan bahagian
nasibnya di lehernya, dan pada hari kiamat kelak Kami akan
keluarkan kepadanya kitab (suratan amalnya) yang akan
didapatinya terbuka (untuk di tatapnya).

14@ (Lalu Kami perintahkan kepadanya), “ Bacalah Kitab
(suratan amalmu), cukuplah engkau sendiri pada hari ini
menjadi penghitung terhadap dirimu (tentang segala yang telah
engkau lakukan).”

15@ Sesiapa yang beroleh hidayah petunjuk (menurut panduan
Al Quran), maka sesungguhnya faedah petunjuk yang didapatinya
itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang
sesat maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya
ditanggung oleh dirinya juga. Dan seseorang yang boleh
memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan
dosa usahanya sahaja). Dan tiadalah Kami mengazabkan
sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk
menerangkan yang benar dan yang salah).

16@ Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan
penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu)
orang-orang yang melampau dengan kemewahan di antara mereka
(supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat
padanya, maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu kami
menghancurkannya sehancur-hancurnya.

17@ Dan berapa banyak umat-umat yang kami telah binasakan
sesudah zaman Nabi Nuh, dan cukuplah Tuhanmu (wahai Muhammad)
mengetahui lagi melihat akan dosa-dosa hambaNya.

18@ Sesiapa yang menghendaki (kesenangan hidup) dunia, Kami
akan segerakan kepadanya dalam dunia apa yang Kami kehendaki,
bagi sesiapa yang Kami kehendaki, kemudian Kami sediakan
baginya neraka Jahannam (di akhirat kelak), untuk membakarnya
dalam keadaan yang hina lagi tersingkir dari rahmat Allah.

19@ Dan sesiapa yang menghendaki akhirat dan berusaha
mengerjakan amal-amal yang baik untuk akhirat dengan usaha
yang layak baginya, sedang ia beriman, maka mereka yang
demikian keadaannya, diberi pahala akan amal usahanya.

20@ Tiap-tiap golongan dari keduanya, golongan dunia dan
golongan akhirat Kami hulurkan kepada mereka dari pemberian
Tuhanmu (wahai Muhammad), dan tiadalah pemberian Tuhanmu itu
tersekat (dari sesiapapun).

21@ Lihatlah bagaimana Kami lebihkan sebahagian dari mereka
atas sebahagian yang lain (dalam rezeki pemberian Kami itu)
dan sesungguhnya pemberian di akhirat lebih besar tingkatan-
tingkatan perbezaannya dan lebih besar tambahan-tambahan
kelebihannya.

22@ Janganlah engkau adakan Tuhan yang lain bersama Allah
(dalam ibadatmu), kerana akibatnya engkau akan tinggal dalam
keadaan tercela dan kecewa dari mendapat pertolongan.

23@ Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak
menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah
engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari
keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua
dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata
kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan
“Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi
katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan
santun).

24@ Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana
belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka,
dengan berkata), “ Wahai Tuhanku ! Cucurilah rahmat kepada
mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih
sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”

25@ Tuhan kamu lebih mengetahui akan apa yang ada pada hati
kamu, kalaulah kamu orang-orang yang bertujuan baik mematuhi
perintahNya, maka sesungguhnya dia adalah Maha Pengampun bagi
orang-orang yang bertaubat.

26@ Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta
orang musafir akan haknya masing-masing, dan janganlah engkau
membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau.

27@ Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-
saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang
sangat kufur kepada Tuhannya.

28@ Dan jika engkau terpaksa berpaling tidak melayani mereka,
kerana menunggu rezeki dari Tuhanmu yang engkau harapkan, maka
katakanlah kepada mereka kata-kata yang menyenangkan hati.

29@ Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu
di lehermu, dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan
sehabis-habisnya, kerana akibatnya akan tinggalah engkau
dengan keadaan yang tercela serta kering keputusan.

30@ Sesungguhnya Tuhanmu lah yang meluaskan rezeki bagi
sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang
peraturanNya), dan Ia juga yang menyempitkannya (menurut yang
demikian). Sesungguhnya Ia Maha Mendalam pengetahuanNya, lagi
Maha Melihat akan hamba-hambaNya.

31@ Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan
kepapaan, Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada
kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu
kesalahan yang besar.

32@ Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu
adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat
(yang membawa kerosakan).

33@ Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang
diharamkan oleh Allah membunuhnya, kecuali dengan alasan yang
benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka
sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa
menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam
menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah
mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syarak).

34@ Dan janganlah kamu menghampiri harta anak yatim melainkan
dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya),
sehingga ia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya
dengan sendiri), dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah
dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.

35@ Dan sempurnakanlah sukatan apabila kamu menyukat, dan
timbanglah dengan timbangan yang adil. Yang demikian itu baik
(kesannya bagi kamu di dunia) dan sebaik baik kesudahan (yang
mendatangkan pahala di akhirat kelak).

36@ Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak
mempunyai pengetahuan mengenainya, sesungguhnya pendengaran
dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap
akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.

37@ Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak
sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi
bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-
ganang.

38@ Tiap-tiap satu perintah itu, menyalahinya adalah kejahatan
yang dibenci di sisi Tuhanmu.

39@ Perintah yang demikian itu ialah sebahagian dari hikmat
yang telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) oleh Tuhanmu.
Dan (ingatlah) janganlah engkau jadikan bersama-sama Allah
sesuatu yang lain yang disembah, kerana akibatnya engkau akan
dicampakkan ke dalam neraka Jahannam dengan keadaan tercela
dan tersingkir (dari rahmat Allah).

40@ (Jika demikian wajibnya mengesakan Allah, maka patutkah
kamu mendakwa bahawa Tuhan mempunyai anak, dan anak itu pula
dari jenis yang kamu tidak sukai ?). Adakah Tuhan kamu telah
memilih anak-anak lelaki untuk kamu dan Ia mengambil untuk
diriNya anak-anak perempuan dari kalangan malaikat ?
Sesungguhnya kamu adalah memperkatakan dusta yang amat besar.

41@ Dan sesungguhnya Kami telah menerangkan jalan-jalan
menetapkan iktiqad dan tauhid dengan berbagai cara di dalam
Al Quran ini supaya mereka beringat (memahami dan mematuhi
kebenaran), dalam pada itu, penerangan yang berbagai cara itu
tidak menjadikan mereka melainkan bertambah liar.

42@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Kalaulah ada tuhan-tuhan
yang lain bersama-sama Allah, sebagaimana yang mereka katakan
itu, tentulah tuhan-tuhan itu akan mencari jalan kepada Allah
yang mempunyai Arasy (dan kekuasaan yang mutlak)."

43@ Maha Sucilah Allah dan tertinggilah Ia setinggi-tingginya,
jauh dari apa yang mereka katakan itu.

44@ Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada
padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah, dan tiada
sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya, akan tetapi
kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah
Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.

45@ Dan apabila engkau membaca Al Quran (wahai Muhammad), Kami
jadikan perasaan ingkar dan hasad dengki orang-orang yang
tidak beriman kepada hari akhirat itu sebagai dinding yang
tidak dapat dilihat, yang menyekat mereka daripada memahami
bacaanmu.

46@ Dan Kami jadikan (perasaan itu sebagai) tutupan yang
berlapis-lapis atas hati mereka, juga sebagai penyumbat pada
telinga mereka, yang menghalang mereka dari memahami dan
mendengar kebenaran Al Quran, dan sebab itulah apabila engkau
menyebut nama Tuhanmu sahaja di dalam Al Quran, mereka
berpaling undur melarikan diri.

47@ Kami lebih mengetahui akan tujuan mereka mendengar
Al Quran semasa mereka mendengar bacaanmu (wahai Muhammad),
dan semasa mereka berbisik-bisik iaitu ketika orang-orang yang
zalim itu berkata (sesama sendiri), “ Kamu tidak menurut
melainkan seorang yang kena sihir.”

48@ Lihatlah (wahai Muhammad) bagaimana mereka menyifatkan
engkau dengan yang bukan-bukan, maka dengan sebab itu mereka
sesat, sehingga mereka tidak dapat mencari jalan kebenaran.

49@ Dan mereka berkata, “ Adakah sesudah kita menjadi tulang
dan benda yang reput, adakah kita akan dibangkitkan semula
dengan kejadian yang baharu ?”

50@ Katakanlah (wahai Muhammad), ” Jadilah kamu batu atau besi



51@ Atau lain-lain makhluk yang terlintas di hati kamu sukar
hidupnya, (maka Allah berkuasa menghidupkannya) !” Mereka pula
akan bertanya, “ Siapakah yang akan mengembalikan kita hidup
semula ?” Katakanlah, “ Ialah Allah yang menjadikan kamu pada
mulanya !” Maka mereka akan menganggukkan kepala mereka
kepadamu sambil bertanya secara mengejek, " Bila berlakunya ?”
Katakanlah, “ Dipercayai akan berlaku tidak lama lagi !”

52@ (Ingatlah akan) hari Ia menyeru kamu lalu kamu menyahut
sambil memuji kekuasaanNya, dan kamu menyangka, bahawa kamu
tinggal (dalam kubur) hanya sebentar.

53@ Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-hambaKu (yang
beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat
baik (kepada orang-orang yang menentang kebenaran),
sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka
(yang mukmin dan yang menentang), sesungguhnya Syaitan itu
adalah musuh yang amat nyata bagi manusia.

54@ Tuhan kamu lebih mengetahui akan keadaan kamu, jika Ia
kehendaki, Ia akan memberi rahmat kepada kamu, atau jika Ia
kehendaki, Ia akan menyeksa kamu. Dan Kami tidak mengutusmu
kepada mereka (wahai Muhammad), sebagai wakil yang menguasai
urusan mereka.

55@ Dan Tuhanmu (wahai Muhammad) lebih mengetahui akan
sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, dan
sesungguhnya Kami telah melebihkan setengah Nabi-nabi atas
setengahnya yang lain, dan Kami telah memberikan Kitab Zabur
kepada Nabi Daud.

56@ Katakanlah (wahai Muhammad kepada kaum musyrik),
“ Serukanlah orang-orang yang kamu dakwa (boleh memberi
pertolongan) selain dari Allah, maka sudah tentu mereka tidak
berkuasa menghapuskan bahaya daripada kamu dan tidak dapat
memindahkannya.”

57@ Orang-orang yang mereka seru itu, masing-masing mencari
jalan mendampingkan diri kepada Tuhannya (dengan berbuat
ibadat), sekali pun orang yang lebih dekat kepada Tuhannya,
serta mereka pula mengharapkan rahmatNya dan gerun takut akan
azabNya, sesungguhnya azab Tuhanmu itu, adalah (perkara yang
semestinya) ditakuti.

58@ Dan tiada sesebuah negeri pun melainkan Kami akan
membinasakannya sebelum hari kiamat, atau Kami menyeksa
penduduknya dengan azab seksa yang berat, yang demikian itu
adalah tertulis di dalam Kitab (Lauh Mahfuz).

59@ Dan tiada yang menghalang Kami dari menghantar turun
mukjizat yang mereka minta itu melainkan kerana jenis mukjizat
itu telah didustakan oleh kaum-kaum yang telah lalu, dan
di antaranya Kami telahpun memberikan kepada kaum Thamud, unta
betina sebagai mukjizat yang menjadi keterangan yang nyata,
lalu mereka berlaku zalim kepadanya, dan biasanya Kami tidak
menghantar turun mukjizat-mukjizat itu melainkan untuk menjadi
amaran (bagi kebinasaan orang-orang yang memintanya kalau
mereka tidak beriman).

60@ Dan (ingatlah) ketika Kami wahyukan kepadamu (wahai
Muhammad), bahawa sesungguhnya Tuhanmu meliputi akan manusia
(dengan ilmuNya dan kekuasaanNya), dan tiadalah Kami
menjadikan pandangan (pada malam Mikraj) yang telah kami
perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu ujian bagi
manusia, dan (demikian juga Kami jadikan) pokok yang dilaknat
di dalam Al Quran, dan Kami beri mereka takut (dengan
berbagai-bagai amaran) maka semuanya itu tidak menambahkan
mereka melainkan dengan kekufuran yang melampau.

61@ Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada
malaikat, “ Sujudlah kamu kepada Adam.” maka mereka sujudlah
melainkan iblis, ia berkata, “ Patutkah aku sujud kepada
(makhluk) yang Engkau jadikan dari tanah (yang di adun) ?”

62@ Ia berkata lagi, “ Khabarkanlah kepadaku, inikah orangnya
yang Engkau muliakan mengatasiku ? Jika Engkau beri tempoh
kepadaku hingga hari kiamat, tentulah aku akan memancing
menyesatkan zuriat keturunannya, kecuali sedikit
(di antaranya).”

63@ Allah berfirman (kepada iblis), “ Pergilah (lakukanlah apa
yang engkau rancangkan) ! Kemudian siapa yang menurutmu
di antara mereka, maka sesungguhnya neraka Jahannamlah balasan
kamu semua, sebagai balasan yang cukup.

64@ Dan desak serta pujuklah sesiapa yang engkau dapat
memujuknya dengan suaramu, dan kerahlah penyokong-penyokongmu
yang berkuda serta yang berjalan kaki untuk mengalahkan
mereka, dan turut campurlah dengan mereka dalam menguruskan
harta-benda dan anak-anak (mereka), dan janjikanlah mereka
(dengan janji-janjimu).” Padahal tidak ada yang dijanjikan
oleh Syaitan itu melainkan tipu daya semata-mata.

65@ Sesungguhnya hamba-hambaKu (yang beriman dengan ikhlas),
tiadalah engkau (hai iblis) mempunyai sebarang kuasa terhadap
mereka (untuk menyesatkannya), cukuplah Tuhanmu (wahai
Muhammad) menjadi Pelindung (bagi mereka).

66@ Tuhan kamulah yang menjalankan untuk kamu kapal-kapal
di laut, supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah
kurniaNya, sesungguhnya Ia adalah Maha Mengasihani kepada
kamu.

67@ Dan apabila kamu terkena bahaya di laut, (pada saat itu)
hilang lenyaplah (dari ingatan kamu) makhluk-makhluk yang kamu
seru selain dari Allah, maka apabila Allah selamatkan kamu
ke darat, kamu berpaling tadah (tidak mengingatiNya), dan
memanglah manusia itu sentiasa kufur (akan nikmat-nikmat
Allah).

68@ Adakah kamu (sesudah diselamatkan ke darat) merasa aman
(dan tidak memikirkan), bahawa Allah akan menggempakan
sebahagian dari daratan itu menimbus kamu, atau dia akan
menghantarkan kepada kamu angin ribut yang menghujani kamu
dengan batu, kemudian kamu tidak beroleh sesiapapun yang
menjadi pelindung kamu ?

69@ Atau adakah kamu merasa aman (dan tidak memikirkan) bahawa
Allah akan mengembalikan kamu sekali lagi ke laut, kemudian Ia
menghantarkan kepada kamu angin ribut yang memecah belahkan
segala yang dirempuhnya, lalu Ia mengaramkan kamu dengan sebab
kekufuran kamu, kemudian kamu tidak beroleh sesiapapun yang
boleh menuntut bela tentang itu terhadap Kami ?

70@ Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam, dan
Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan
di darat dan di laut, dan Kami telah memberikan rezeki kepada
mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah
lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-
makhluk yang telah Kami ciptakan.

71@ (Ingatlah) hari Kami menyeru tiap-tiap kumpulan manusia
dengan nama imamnya, kemudian sesiapa diberikan Kitabnya
di tangan kanannya, maka mereka itu akan membacanya (dengan
sukacita), dan mereka tidak dikurangkan (pahala amal-amalnya
yang baik) sedikitpun.

72@ Dan (sebaliknya) sesiapa yang berada di dunia ini (dalam
keadaan) buta (matahatinya), maka ia juga buta di akhirat dan
lebih sesat lagi jalannya.

73@ Dan sesungguhnya nyaris-nyaris mereka dapat memesongkanmu
(wahai Muhammad) dari apa yang Kami telah wahyukan kepadamu,
supaya engkau ada-adakan atas nama Kami perkara yang lainnya,
dan (kalau engkau melakukan yang demikian) baharulah mereka
menjadikan engkau sahabat karibnya.

74@ Dan kalaulah tidak Kami menetapkan engkau (berpegang teguh
kepada kebenaran), tentulah engkau sudah mendekati dengan
menyetujui sedikit kepada kehendak mereka.

75@ Jika (engkau melakukan yang) demikian, tentulah Kami akan
merasakanmu kesengsaraan yang berganda semasa hidup dan
kesengsaraan yang berganda juga semasa mati, kemudian engkau
tidak beroleh seseorang penolong pun terhadap hukuman Kami.

76@ Dan sesungguhnya mereka hampir-hampir berjaya mengganggumu
daripada tinggal aman di bumi (Makkah) dengan tujuan mereka
dapat mengusirmu dari negeri itu, dan jika berlaku demikian,
maka mereka tidak akan tinggal di situ sesudahmu melainkan
sedikit masa sahaja.

77@ (Demikianlah) peraturan (Kami yang tetap mengenai) orang-
orang yang telah Kami utuskan sebelummu dari Rasul-rasul Kami,
dan engkau tidak akan dapati sebarang perubahan bagi peraturan
Kami yang tetap itu.

78@ Dirikanlah olehmu sembahyang ketika gelincir matahari
hingga waktu gelap malam, dan (dirikanlah) sembahyang subuh
sesungguhnya sembahyang subuh itu adalah disaksikan
(keistimewaannya).

79@ Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam, serta
kerjakanlah “ sembahyang tahajjud” padanya, sebagai sembahyang
tambahan bagimu, semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu
pada hari akhirat di tempat yang terpuji.

80@ Dan pohonkanlah (wahai Muhammad, dengan berdoa), “ Wahai
Tuhanku ! Masukkanlah daku ke dalam urusan ugamaku dengan
kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah daku
daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia, dan
berikanlah kepadaku dari sisiMu hujah keterangan serta
kekuasaan yang menolongku.”

81@ Dan katakanlah, ” Telah datang kebenaran (Islam), dan
hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik),
sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang
tetap lenyap.”

82@ Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al Quran,
ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi
orang-orang yang beriman kepadanya, dan (sebaliknya) Al Quran
tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan
keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.

83@ Dan apabila Kami kurniakan nikmat kepada manusia,
berpalinglah ia, serta menjauhkan diri (dari bersyukur), dan
apabila ia merasai kesusahan, jadilah ia berputus asa.

84@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Tiap-tiap seorang beramal
menurut pembawaan jiwanya sendiri, maka Tuhan kamu lebih
mengetahui siapakah (di antara kamu) yang lebih betul
jalannya.”

85@ Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan, “ Roh
itu dari perkara urusan Tuhanku, dan kamu tidak diberikan ilmu
pengetahuan melainkan sedikit sahaja.”

86@ Dan sesungguhnya jika Kami kehendaki, tentulah Kami akan
hapuskan apa yang Kami telah wahyukan kepadamu, kemudian
engkau tidak akan beroleh sebarang pembela terhadap Kami untuk
mengembalikannya.

87@ (Tetapi kekalnya Al Quran itu) hanyalah sebagai rahmat
dari tuhanmu, sesungguhnya limpah kurnianya kepadamu (wahai
Muhammad) amatlah besar.

88@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Sesungguhnya jika sekalian
manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan
mendatangkan sebanding dengan Al Quran ini, mereka tidak akan
dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya,
walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri.”

89@ Dan sesungguhnya Kami telah menerangkan berulang-ulang
kepada manusia, di dalam Al Quran ini, dengan berbagai-bagai
contoh perbandingan (yang mendatangkan iktibar), dalam pada
itu, kebanyakan manusia tidak mahu menerima selain dari
kekufuran.

90@ Dan mereka berkata, “ Kami tidak sekali-kali akan beriman
kepadamu (wahai Muhammad), sehingga engkau memancarkan matair
dari bumi, bagi Kami.

91@ Atau (sehingga) engkau mempunyai kebun dari pohon-pohon
tamar dan anggur, kemudian engkau mengalirkan sungai-sungai
dari celah-celahnya dengan aliran yang terpancar terus-
menerus.

92@ Atau (sehingga) engkau gugurkan langit berkeping-keping
atas kami, sebagaimana yang engkau katakan (akan berlaku),
atau (sehingga) engkau bawakan Allah dan malaikat untuk kami
menyaksikannya.

93@ Atau (sehingga) engkau mempunyai sebuah rumah terhias dari
emas, atau (sehingga) engkau naik ke langit, dan kami tidak
sekali-kali akan percaya tentang kenaikanmu ke langit sebelum
engkau turunkan kepada kami sebuah kitab yang dapat kami
membacanya.” Katakanlah (wahai Muhammad), ” Maha Suci
Tuhanku ! Bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi
Rasul ?"

94@ Dan tiadalah yang menghalang orang-orang musyrik itu dari
beriman ketika datang kepada mereka hidayah petunjuk,
melainkan (keingkaran mereka tentang manusia menjadi Rasul,
sehingga) mereka berkata dengan hairan, “ Patutkah Allah
mengutus seorang manusia menjadi Rasul ?”

95@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Kalau ada di bumi, malaikat
yang berjalan serta tinggal mendiaminya, tentulah kami akan
turunkan kepada mereka dari langit, malaikat yang menjadi
rasul.”

96@ Katakanlah lagi, “ Cukuplah Allah menjadi saksi antaraku
dengan kamu, sesungguhnya adalah Ia Amat Mendalam
pengetahuanNya, lagi Amat Melihat akan keadaan hamba-
hambaNya.”

97@ Dan sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah, maka
dialah yang sebenar-benarnya berjaya mencapai kebahagiaan, dan
sesiapa yang disesatkanNya, maka engkau tidak sekali-kali akan
mendapati bagi mereka, penolong-penolong yang lain
daripadaNya. Dan Kami akan himpunkan mereka pada hari kiamat
(dengan menyeret mereka masing-masing) atas mukanya, dalam
keadaan buta, bisu dan pekak, tempat kediaman mereka, neraka
Jahannam, tiap-tiap kali malap julangan apinya, Kami tambahi
mereka dengan api yang menjulang-julang.

98@ Balasan mereka yang sedemikian, ialah kerana mereka kufur
ingkarkan ayat-ayat Kami, dan mereka berkata, “ Adakah sesudah
Kami menjadi tulang dan benda yang reput, adakah Kami akan
dibangkitkan semula dalam kejadian yang baharu ?”

99@ Tidakkah mereka mahu memikirkan dan meyakini bahawa Allah
yang menciptakan langit dan bumi, berkuasa menciptakan orang
orang yang seperti mereka (dalam bentuk yang baharu), padahal
Ia telahpun menentukan bagi mereka tempoh yang tidak ada syak
padanya ? Dalam pada itu, orang orang yang zalim enggan
menerima melainkan kekufuran.

100@ Katakanlah (wahai muhammad), “ Jika kamu memiliki
perbendaharaan rahmat Tuhanku pada ketika itu, tentulah kamu
akan berlaku bakhil kedekut kerana takut kehabisan, dan
sememangnya manusia itu bertabiat bakhil kedekut.”



101@ Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Nabi Musa,
sembilan mukjizat yang jelas nyata (membuktikan kebenarannya),
maka bertanyalah (wahai Muhammad) kepada Bani Israil (tentang
itu), Ketika Nabi Musa datang kepada Firaun dan kaumnya (serta
menunjukkan mukjizatnya), lalu berkatalah Firaun kepadanya,
“ Sesungguhnya aku fikir, engkau ini wahai Musa, seorang yang
terkena sihir.”

102@ Nabi Musa menjawab, “ Sebenarnya engkau (hai Firaun)
telah pun mengetahui, tiadalah yang menurunkan mukjizat-
mukjizat ini, melainkan Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan
langit dan bumi, sebagai bukti-bukti yang menerangkan
kebenaran, dan sebenarnya aku fikir, engkau hai Firaun, akan
binasa.”

103@ Maka Firaun pun berkira hendak mengusir mereka dari bumi
(Mesir), lalu Kami tenggelamkan dia bersama-sama pengikut-
pengikutnya seluruhnya.

104@ Dan Kami katakan kepada Bani Israil, sesudah Firaun
(dibinasakan), “ Tinggalah kamu di negeri itu kemudian apabila
datang tempoh hari akhirat, Kami datangkan kamu (ke Padang
Mahsyar) dengan bercampur-aduk.

105@ Dan dengan cara yang sungguh layak serta berhikmat, Kami
turunkan Al Quran, dan dengan meliputi segala kebenaran, ia
diturunkan, dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad)
melainkan sebagai pembawa berita gembira (bagi orang-orang
yang beriman) dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang
ingkar).

106@ Dan Al Quran itu, Kami bahagi-bahagikan supaya engkau
membacakannya kepada manusia dengan lambat tenang, dan Kami
menurunkannya beransur-ansur.

107@ Katakanlah (wahai Muhammad kepada orang-orang yang ingkar
itu), “ Sama ada kamu beriman kepada Al Quran atau kamu tiada
beriman, (tidaklah menjadi hal), kerana sesungguhnya orang-
orang yang diberi ilmu sebelum itu, apabila dibacakan Al Quran
kepada mereka, mereka segera tunduk sujud (dalam keadaan hiba
dan khusyuk),

108@ Serta mereka menegaskan (dalam sujudnya), “ Maha Suci
Tuhan kami ! Sesungguhnya janji Tuhan kami tetap terlaksana.”

109@ Dan mereka itu, segera tunduk sujud sambil menangis,
sedang Al Quran menambahkan mereka khusyuk.

110@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Serulah nama ” Allah” atau
nama “ Ar Rahman”, yang mana sahaja kamu serukan (dari kedua-
dua nama itu adalah baik belaka), kerana Allah mempunyai
banyak nama-nama yang baik serta mulia.” Dan janganlah engkau
nyaringkan bacaan doa atau sembahyangmu, juga janganlah engkau
perlahankannya, dan gunakanlah sahaja, satu cara yang
sederhana antara itu.

111@ Dan katakanlah, “ Segala puji tertentu bagi Allah yang
tiada mempunyai anak, dan tiada bagiNya sekutu dalam urusan
kerajaanNya, dan tiada bagiNya penolong disebabkan sesuatu
kelemahanNya, dan hendaklah engkau membesarkan serta
memuliakanNya dengan bersungguh-sungguh !”

No comments:

Post a Comment