Saturday 30 January 2016

Al Quran Indonesia. 019. Surah Maryam (Siti Maryam)...

Al Quran Indonesia. 019. Surah Maryam (Siti Maryam)...

BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

1@ Kaaf, Haa, Yaa, Ain, Saad.

2@ (Ini ialah) perihal limpahan rahmat Tuhanmu (wahai
Muhammad), kepada hambaNya Zakaria.

3@ (Ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Zakaria berdoa kepada
tuhannya dengan doa permohonan secara perlahan.

4@ Ia merayu dengan berkata, " Wahai Tuhanku ! Sesungguhnya
telah lemahlah tulang-tulangku, dan telah putih melepaklah
uban kepalaku, dan aku (wahai Tuhanku) tidak pernah merasa
hampa dengan doa permohonanku kepadaMu.

5@ Dan sesungguhnya aku merasa bimbang akan kecuaian kaum
kerabatku, menyempurnakan tugas-tugas ugama sepeninggalanku,
dan isteriku pula adalah seorang yang mandul, oleh itu,
kurniakanlah daku dari sisiMu seorang anak lelaki.

6@ Yang layak mewarisi daku, juga mewarisi keluarga Nabi
Yaakub, dan jadikanlah dia (wahai Tuhanku) seorang yang
diredhai serta disukai.”

7@ (Nabi Zakaria diseru setelah dikabulkan doanya), ” Wahai
Zakaria ! Sesungguhnya Kami memberikan khabar yang
mengembirakanmu dengan mengurniakan seorang anak lelaki
bernama Yahya, yang kami tidak pernah jadikan sebelum itu,
seorangpun yang senama dengannya.”

8@ Nabi Zakaria bertanya, “ Wahai Tuhanku ! Bagaimanakah
caranya aku akan beroleh seorang anak, sedang isteriku adalah
seorang yang mandul dan aku sendiri pula telah sampai had umur
yang setua-tuanya ?”

9@ Penyeru itu menjawab, " Demikian keadaannya (janganlah
dihairankan), Tuhanmu berfirman, “ Hal itu mudah bagiKu kerana
sesungguhnya Aku telah menciptakanmu dahulu, sedang engkau
pada masa itu belum ada sebarang apapun.”

10@ Nabi Zakaria merayu lagi, “ Wahai Tuhanku ! Jadikanlah
satu tanda bagiku (yang menunjukkan isteriku mengandung)”,
Allah Taala berfirman, ” Tandamu itu ialah engkau tidak akan
dapat berkata-kata dengan orang ramai selama tiga malam,
sedang engkau dalam keadaan sihat.”

11@ Maka dia pun keluar mendapatkan kaumnya dari Mihrab
(tempat sembahyangnya), lalu ia memberi isyarat kepada mereka,
“ Hendaklah kamu bertasbih (mengerjakan ibadat kepada Allah)
pagi dan petang.”

12@ “ Wahai Yahya, terimalah Kitab itu (serta amalkanlah)
dengan bersungguh-sungguh !" Dan Kami berikan kepadanya Hikmat
kebijaksanaan semasa ia masih kanak-kanak.

13@ Dan (Kami mengurniakannya) rahmat dari sisi Kami, serta
kelebihan yang kembang manfaatnya, dan ia seorang yang
bertaqwa.

14@ Dan ia taat serta berbuat baik kepada ibu bapanya, dan ia
pula tidak sombong angkuh atau derhaka.

15@ Dan (Kami limpahkan) kepadanya selamat sejahtera pada hari
ia diperanakkan, dan pada hari ia mati, serta pada hari ia
dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat).

16@ Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab Al Quran
ini perihal Maryam, ketika dia memencilkan diri dari
keluarganya di sebuah tempat sebelah timur.

17@ Kemudian Maryam membuat dinding untuk melindungi dirinya
dari mereka, maka Kami hantarkan kepadanya, " Roh dari kami
lalu ia menyamar diri kepadanya, sebagai seorang lelaki yang
sempurna bentuk kejadiannya.

18@ Maryam berkata, " Sesungguhnya aku berlindung kepada
(Allah) Ar Rahman daripada (gangguan) mu, kalaulah engkau
seorang yang bertaqwa."

19@ Ia berkata, “ Sesungguhnya aku pesuruh Tuhanmu, untuk
menyebabkanmu dikurniakan seorang anak yang suci.”

20@ Maryam bertanya (dengan cemas), " Bagaimanakah aku akan
beroleh seorang anak lelaki, padahal aku tidak pernah disentuh
oleh seorang lelaki pun, dan aku pula bukan perempuan jahat ?”

21@ Ia menjawab, “ Demikianlah keadaannya, tak usahlah
dihairankan, Tuhanmu berfirman, " Hal itu mudah bagiKu, dan
Kami hendak menjadikan pemberian anak itu sebagai satu tanda
(yang membuktikan kekuasaan Kami) untuk umat manusia dan
sebagai satu rahmat dari Kami, dan hal itu adalah satu perkara
yang telah ditetapkan berlakunya."

22@ Maka Maryam hamillah mengandungnya, lalu ia memencilkan
diri dengan kandungannya itu ke sebuah tempat yang jauh.

23@ (Ketika ia hendak bersalin) maka sakit beranak itu
memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar
(kurma), ia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum
ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak
dikenang-kenang !

24@ Lalu ia diseru dari sebelah bawahnya, ” Janganlah engkau
berdukacita (wahai Maryam), sesungguhnya Tuhanmu telah
menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai.

25@ Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya
gugur kepadamu buah tamar yang masak."

26@ “ Maka makanlah dan minumlah, serta bertenanglah hati dari
segala yang merunsingkan. Kemudian kalau engkau melihat
seseorang manusia, maka katakanlah, " Sesungguhnya aku
bernazar diam membisu kerana (Allah) Ar Rahman, (setelah aku
menyatakan yang demikian) maka aku tidak akan berkata-kata
kepada sesiapapun dari kalangan manusia pada hari ini.”

27@ Kemudian, baliklah ia kepada kaumnya dengan mendokong
anaknya, mereka pun menempelaknya dengan berkata, " Wahai
Maryam ! Sesungguhnya engkau telah melakukan suatu perkara
yang besar salahnya !

28@ ” Wahai saudara perempuan Harun, bapamu bukanlah seorang
yang buruk akhlaknya, dan ibumu pula bukanlah seorang
perempuan jahat !”

29@ Maka Maryam segera menunjuk kepada anaknya. Mereka berkata
(dengan hairannya), “ Bagaimana kami boleh berkata-kata dengan
seorang yang masih kanak-kanak dalam buaian ?”

30@ Ia menjawab, ” Sesungguhnya aku ini hamba Allah, Ia telah
memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan Ia telah menjadikan
daku seorang Nabi.

31@ Dan Ia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja
aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan
memberi zakat selagi aku hidup."

32@ ” Serta (diperintahkan daku) taat dan berbuat baik kepada
ibuku, dan Ia tidak menjadikan daku seorang yang sombong
takbur atau derhaka.

33@ Dan segala keselamatan serta kesejahteraan dilimpahkan
kepadaku pada hari aku diperanakkan dan pada hari aku mati,
serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula (pada hari
kiamat).”

34@ Yang demikian sifat-sifatnya, itulah Isa Ibni Maryam.
Keterangan yang tersebut ialah keterangan yang sebenar-
benarnya, yang mereka ragu-ragu dan berselisihan padanya.

35@ Tiadalah layak bagi Allah mempunyai anak. Maha Sucilah Ia.
Apabila menetapkan jadinya sesuatu perkara, maka hanyalah Ia
berfirman kepadanya, “ Jadilah engkau”, lalu menjadilah ia.

36@ Dan sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu, maka
sembahlah kamu akan Dia, inilah jalan yang betul lurus.“

37@ Kemudian, golongan-golongan (dari kaumnya) itu
berselisihan sesama sendiri. Maka kecelakaanlah bagi orang-
orang kafir (yang berselisihan) itu, dari apa yang disaksikan
pada hari yang besar huru-haranya.

38@ Sungguh jelas pendengaran dan penglihatan mereka yang
kafir itu, semasa mereka datang mengadap Kami pada hari
akhirat. Tetapi orang-orang yang zalim (dengan perbuatan kufur
dan maksiat) pada masa di dunia ini, berada dalam kesesatan
yang nyata.

39@ Dan berilah amaran (wahai Muhammad) kepada umat manusia
seluruhnya, tentang hari penyesalan, iaitu hari diselesaikan
perbicaraan perkara masing-masing pada masa mereka (yang
ingkar) di dunia ini berada dalam kelalaian, serta mereka pula
tidak mahu beriman.

40@ Sesungguhnya Kamilah yang mewarisi bumi dan segala makhluk
yang ada di atasnya, dan kepada Kamilah mereka akan
dikembalikan.

41@ Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al Quran)
ini, perihal Nabi Ibrahim, " Sesungguhnya adalah ia seorang
yang amat benar, lagi menjadi Nabi."

42@ Ketika ia berkata kepada bapanya, ” Wahai ayahku, mengapa
ayah menyembah benda yang tidak mendengar dan tidak melihat
serta tidak dapat menolongmu sedikitpun ?"

43@ ” Wahai ayahku, sesungguhnya telah datang kepadaku dari
ilmu pengetahuan yang tidak pernah datang kepadamu, oleh itu
ikutlah daku, aku akan memimpinmu ke jalan yang betul."

44@ ” Wahai ayahku, janganlah ayah menyembah Syaitan,
sesungguhnya Syaitan itu adalah menderhaka kepada Allah yang
melimpah-limpah rahmatNya."

45@ ” Wahai ayahku, sesungguhnya aku bimbang, bahawa ayah akan
kena azab dari (Allah) Ar Rahman, disebabkan ayah menyembah
yang lainnya, maka dengan sebab itu, akan menjadilah ayah
rakan bagi Syaitan di dalam neraka.”

46@ (Bapanya) menjawab, “ Patutkah engkau bencikan tuhan-
tuhanku, wahai Ibrahim ? Demi sesungguhnya jika engkau tidak
berhenti daripada menyeru dan menasihati daku sudah tentu aku
akan meluntarmu dengan batu, dan (ingatlah lebih baik) engkau
tinggalkan daku sepanjang masa.”

47@ Nabi Ibrahim berkata, ” Selamat tinggalah ayah, aku akan
memohon kepada Tuhanku mengampuni dosamu, sesungguhnya Ia
sentiasa melimpahkan kemurahan ihsanNya kepadaku."

48@ Dan aku akan membawa diri meninggalkan kamu semua serta
apa yang kamu sembah yang lain dari Allah, dan aku akan
beribadat kepada Tuhanku dengan ikhlas, mudah-mudahan aku
dengan ibadatku kepada Tuhanku itu tidak menjadi hampa (dan
derhaka seperti kamu).”

49@ Maka apabila ia berhijrah meninggalkan mereka dan apa yang
mereka sembah yang lain dari Allah kami kurniakan kepadanya,
Ishak (anaknya), dan Yaakub (cucunya), dan kedua-duanya Kami
jadikan berpangkat Nabi.

50@ Dan Kami kurniakan kepada mereka dari rahmat Kami, dan
Kami jadikan bagi mereka sebutan dan pujian yang tinggi dalam
kalangan umat manusia.



51@ Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al Quran)
ini perihal Nabi Musa, sesungguhnya ia adalah orang pilihan,
dan adalah ia seorang Rasul, lagi Nabi.

52@ Dan Kami telah menyerunya dari arah sebelah kanan Gunung
Tursina, dan Kami dampingkan dia dengan diberi penghormatan
berkata dengan Kami.

53@ Dan Kami kurniakan kepadanya dari rahmat Kami, saudaranya,
Harun, yang juga berpangkat Nabi.

54@ Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al Quran)
ini perihal Nabi Ismail, sesungguhnya ia adalah benar menepati
janji dan adalah ia seorang Rasul, lagi berpangkat Nabi.

55@ Dan adalah ia menyuruh keluarganya mengerjakan sembahyang
dan memberi zakat, dan ia pula adalah seorang yang diredhai
di sisi Tuhannya !

56@ Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al Quran)
ini perihal Nabi Idris, sesungguhnya adalah ia amat benar
(tutur katanya dan imannya), serta ia seorang Nabi.

57@ Dan Kami telah mengangkatnya ke tempat yang tinggi
darjatnya.

58@ Mereka itulah sebahagian dari Nabi-nabi yang telah
dikurniakan Allah nikmat yang melimpah-limpah kepada mereka
dari keturunan Nabi Adam, dan dari keturunan orang-orang yang
Kami bawa (dalam bahtera) bersama-sama Nabi Nuh, dan dari
keturunan Nabi Ibrahim, dan (dari keturunan) Israil, dan
mereka itu adalah dari orang-orang yang Kami beri hidayah
petunjuk dan Kami pilih. Apabila dibacakan kepada mereka ayat-
ayat (Allah) Ar Rahman, mereka segera sujud serta menangis.

59@ Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang
mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan
melakukan maksiat), maka mereka akan menghadapi azab (dalam
neraka),

60@ Kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman serta
beramal soleh, maka mereka itu akan masuk Syurga, dan mereka
pula tidak dikurangkan pahala sedikitpun,

61@ (Iaitu) Syurga ” Adn ” yang telah dijanjikan oleh (Allah)
Ar Rahman kepada hamba-hambaNya disebabkan kepercayaan mereka
akan perkara-perkara yang ghaib, sesungguhnya Tuhan itu,
janjiNya tetap berlaku.

62@ Mereka tidak akan mendengar di dalamnya perkataan yang
sia-sia tetapi mereka sentiasa mendengar perkataan yang baik-
baik, dan makan minum untuk mereka disediakan di dalamnya,
pagi dan petang (sepanjang masa).

63@ Itulah taman Syurga yang Kami akan berikan sebagai warisan
pusaka kepada orang-orang yang bertaqwa dari hamba-hamba Kami.

64@ Dan (berkatalah malaikat), “ Kami tidak turun dari semasa
ke semasa melainkan dengan perintah Tuhanmu (wahai Muhammad),
Dialah jua yang menguasai serta mentadbirkan apa yang
di hadapan kita dan apa yang di belakang kita serta apa yang
di antara itu, dan tiadalah Tuhanmu itu lupa,"

65@ “ Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi
serta segala yang ada di antara keduanya, oleh itu, sembahlah
engkau akan Dia dan bersabarlah dengan tekun tetap dalam
beribadat kepadaNya, adakah engkau mengetahui sesiapapun yang
senama dan sebanding denganNya ?”

66@ Dan manusia (yang kafir) berkata, “ Apa ! Apabila aku
mati, adakah aku akan dibangkitkan hidup semula ?”

67@ Patutkah manusia itu berkata demikian dan tidak memikirkan
bahawa Kami telah menciptakan dia dahulu sedang ia pada masa
itu belum ada sebarang apapun ?

68@ Oleh itu, demi Tuhanmu (wahai Muhammad) ! Sesungguhnya
Kami akan himpunkan mereka yang kafir itu beserta syaitan-
syaitan di Padang Mahsyar, kemudian Kami akan bawa mereka
duduk berlutut di keliling neraka Jahannam.

69@ Sesudah itu, sesungguhnya kami akan cabut dari tiap-tiap
golongan, mana-mana orang yang sangat derhaka kepada (Allah)
Ar Rahman, di antara mereka.

70@ Kemudian, sesungguhnya Kami lebih mengetahui akan orang-
orang yang lebih patut diseksa dan dibakar dangan api neraka
itu.

71@ Dan tiada seorangpun di antara kamu melainkan akan sampai
kepadanya, (yang demikian) adalah satu perkara yang mesti
(berlaku) yang telah ditetapkan oleh Tuhanmu.

72@ Kemudian Kami akan selamatkan orang-orang yang bertaqwa,
dan kami akan biarkan orang-orang yang zalim (dengan
kekufurannya dan maksiatnya) tinggal berlutut di dalam neraka
itu.

73@ Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang
jelas nyata, berkatalah orang-orang yang kafir kepada orang-
orang yang beriman, “ Puak yang manakah (dari kami dan kamu)
yang lebih baik tempat tinggalnya dan lebih elok majlis
perhimpunannya ?"

74@ Dan berapa banyak kaum-kaum (yang ingkar) sebelum mereka,
kami telah binasakan, sedang mereka lebih elok alat-alat
kesenangannya dan lebih elok keadaannya pada pandangan mata.

75@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Sesiapa yang berada
di dalam kesesatan, maka biarlah (Allah) Ar Rahman melanjutkan
baginya satu tempoh yang tertentu, hingga apabila mereka
melihat apa yang dijanjikan kepada mereka, sama ada azab
sengsara dunia ataupun azab kiamat, maka (pada saat itu)
mereka akan mengetahui siapakah orangnya yang lebih buruk
kedudukannya dan lebih lemah penyokong-penyokongnya.”

76@ Dan Allah akan menambahi hidayah petunjuk bagi orang-orang
yang menurut jalan petunjuk, dan amal-amal yang baik yang
tetap kekal faedah-faedahnya itu, lebih baik balasan pahalanya
di sisi Tuhanmu dan lebih baik kesudahannya.

77@ Maka tidakkah engkau merasa hairan memikirkan (wahai
Muhammad), akan orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat
keterangan Kami serta ia berkata, “ Demi sesungguhnya aku akan
diberikan harta kekayaan dan anak-pinak pada hari akhirat ?”

78@ Adakah ia telah mengetahui akan perkara yang ghaib, atau
adakah ia telah membuat perjanjian dengan (Allah) Ar Rahman
mengenainya ?

79@ Tidak sekali-kali ! Kami akan menulis apa yang
dikatakannya, dan Kami akan tambahi baginya dari azab seksa,
berganda-ganda.

80@ Dan Kami akan warisi (harta benda dan anak-pinak) yang
dikatakannya itu, dan ia akan datang kepada kami dengan
seorang diri.

81@ Dan mereka yang kafir menyembah benda-benda yang lain dari
Allah sebagai tuhan-tuhan, supaya benda-benda yang mereka
sembah itu menjadi penolong-penolong yang memberi kemuliaan
dan pengaruh kepada mereka.

82@ Tidak sekali-kali ! Bahkan benda-benda yang mereka
pertuhankan itu mengingkari perbuatan mereka menyembahnya, dan
akan menjadi musuh yang membawa kehinaan kepada mereka.

83@ Tidakkah engkau mengetahui (Wahai Muhammad) bahawa Kami
telah menghantarkan Syaitan-syaitan kepada orang-orang kafir,
untuk menggalakkan mereka mengerjakan perbuatan kufur dan
maksiat dengan bersungguh-sungguh ?

84@ Oleh itu, janganlah engkau segera marah terhadap mereka
yang ingkar itu, kerana sesungguhnya kami hanya menghitung
hari yang sedikit sahaja bilangannya untuk mereka.

85@ (Ingatlah) hari Kami himpunkan orang-orang yang bertaqwa
untuk mengadap (Allah) Ar Rahman, dengan berpasukan-pasukan.

86@ Dan Kami akan menghalau orang-orang yang bersalah
ke neraka Jahannam, dalam keadaan dahaga.

87@ Mereka tidak berhak mendapat dan memberi syafaat, kecuali
orang yang telah mengikat perjanjian (dengan iman dan amal
yang soleh) di sisi Allah yang melimpah-limpah rahmatNya !

88@ Dan mereka yang kafir berkata, “ (Allah) Ar Rahman,
mempunyai anak.”

89@ Demi sesungguhnya, kamu telah melakukan satu perkara yang
besar salahnya !

90@ Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan (anggapan mereka)
yang demikian, dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah, serta
gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap,

91@ Kerana mereka mendakwa mengatakan, (Allah) Ar Rahman
mempunyai anak.

92@ Padahal tiadalah layak bagi (Allah) Ar Rahman, bahawa Ia
mempunyai anak.

93@ Tidak ada sesiapapun di langit dan di bumi melainkan ia
akan datang kepada (Allah) Ar Rahman, sebagai hamba.

94@ Demi sesungguhnya ! Allah telah mengira mereka (dengan
pengetahuanNya) serta menghitung mereka satu persatu.

95@ Dan mereka masing-masing akan datang mengadapNya pada hari
kiamat dengan seorang diri.

96@ Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh,
Allah yang melimpah-limpah rahmatnya akan menanamkan bagi
mereka dalam hati orang ramai perasaan kasih sayang.

97@ Maka sesungguhnya Kami memudahkan turunnya Al Quran ini
dengan bahasamu (wahai Muhammad), ialah supaya engkau memberi
khabar gembira dengannya kepada orang-orang yang bertaqwa, dan
supaya engkau memberi amaran dengannya kepada kaum yang degil
dalam kekufurannya.

98@ Dan amatlah banyaknya kaum-kaum kafir yang Kami telah
binasakan sebelum mereka, engkau tidak menyedari ataupun
mendengar suara yang sayup bagi seseorangpun dari orang-orang
yang telah dibinasakan itu.

No comments:

Post a Comment