Al Quran Indonesia. 002. Surah Al Baqarah (Lembu Betina)...
BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha By
1@ Alif, Laam, Miim.
2@ Kitab Al Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya
(tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya), ia
pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa,
3@ Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang
ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta
membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami
berikan kepada mereka.
4@ Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab " Al Quran"
yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab
yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan
(adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya).
5@ Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan
mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya.
6@ Sesungguhnya orang-orang kafir (yang tidak akan beriman),
sama sahaja kepada mereka, sama ada engkau beri amaran
kepadanya atau engkau tidak beri amaran, mereka tidak akan
beriman.
7@ (Dengan sebab keingkaran mereka), Allah mematerikan atas
hati mereka serta pendengaran mereka, dan pada penglihatan
mereka ada penutupnya, dan bagi mereka pula disediakan azab
seksa yang amat besar.
8@ Dan di antara manusia ada yang berkata, " Kami telah
beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat", padahal mereka
sebenarnya tidak beriman.
9@ Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang yang
beriman, padahal mereka hanya memperdaya dirinya sendiri,
sedang mereka tidak menyedarinya.
10@ Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat
penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi
penyakit itu kepada mereka, dan mereka pula akan beroleh azab
seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka
berdusta (dan mendustakan kebenaran).
11@ Dan apabila dikatakan kepada mereka, " Janganlah kamu
membuat bencana dan kerosakan di muka bumi", mereka menjawab,
" Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan".
12@ Ketahuilah ! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang
yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi
mereka tidak menyedarinya.
13@ Dan apabila dikatakan kepada mereka, " Berimanlah kamu
sebagaimana orang-orang itu telah beriman". Mereka menjawab,
" Patutkah kami ini beriman sebagaimana berimannya orang-orang
bodoh itu ?" Ketahuilah ! Sesungguhnya merekalah orang-orang
yang bodoh, tetapi mereka tidak mengetahui (hakikat yang
sebenarnya).
14@ Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang
beriman, mereka berkata, " Kami telah beriman", dan manakala
mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka berkata
pula, " Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami
hanya memperolok-olok (akan orang-orang yang beriman)".
15@ Allah (membalas) memperolok-olok, dan membiarkan mereka
meraba-raba dalam kesesatan mereka (yang melampaui batas itu).
16@ Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan
meninggalkan petunjuk, maka tiadalah beruntung perniagaan
mereka dan tidak pula mereka beroleh petunjuk hidayah.
17@ Perbandingan hal mereka (golongan yang munafik itu)
samalah seperti orang yang menyalakan api, apabila api itu
menerangi sekelilingnya, (tiba-tiba) Allah hilangkan cahaya
(yang menerangi) mereka, dan dibiarkannya mereka dalam gelap-
gelita, tidak dapat melihat (sesuatu pun).
18@ Mereka (seolah-olah orang yang) pekak, bisu dan buta,
dengan keadaan itu mereka tidak dapat kembali (kepada
kebenaran).
19@ Atau (bandingannya) seperti (orang-orang yang ditimpa)
hujan lebat dari langit, bersama dengan gelap-gelita, dan
guruh serta kilat, mereka menyumbat jarinya ke dalam telinga
masing-masing dari mendengar suara petir, kerana mereka takut
mati. (Masakan mereka boleh terlepas), sedang (pengetahuan dan
kekuasaan) Allah meliputi orang-orang yang kafir itu.
20@ Kilat itu pula hampir-hampir menyambar (menghilangkan)
penglihatan mereka, tiap-tiap kali kilat itu menerangi mereka
(dengan pancarannya), mereka berjalan dalam cahayanya. Dan
apabila gelap menyelubungi mereka, berhentilah mereka
(menunggu dengan bingungnya). Dan sekiranya Allah menghendaki,
nescaya dihilangkanNya pendengaran dan penglihatan mereka,
sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
21@ Wahai sekalian manusia ! Beribadatlah kepada Tuhan kamu
yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu
daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang)
bertaqwa.
22@ Dialah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai
hamparan, dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan
(yang dibina dengan kukuhnya), dan diturunkanNya air hujan
dari langit, lalu dikeluarkanNya dengan air itu berjenis-jenis
buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu, maka janganlah kamu
mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua
mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa).
23@ Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami
turunkan (Al Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah
buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan
Al Quran itu, dan panggillah orang-orang yang kamu percaya
boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-
orang yang benar.
24@ Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya, dan sudah tentu
kamu tidak dapat membuatnya, maka peliharalah diri kamu dari
api neraka yang bahan-bahan bakarannya, manusia dan batu-batu
(berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang-orang
kafir.
25@ Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman
dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang
mengalir di bawahnya beberapa sungai, tiap-tiap kali mereka
diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga itu,
mereka berkata, " Inilah yang telah diberikan kepada kami
dahulu", dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya
(tetapi berlainan hakikatnya), dan disediakan untuk mereka
dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang
sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya
selama-lamanya.
26@ Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan apa
sahaja, (seperti) nyamuk hingga ke suatu yang lebih
daripadanya (kerana perbuatan itu ada hikmatnya), iaitu kalau
orang-orang yang beriman maka mereka akan mengetahui bahawa
perbandingan itu benar dari Tuhan mereka, dan kalau orang-
orang kafir pula maka mereka akan berkata, " Apakah maksud
Allah membuat perbandingan dengan ini ?" (Jawabnya) Tuhan akan
menjadikan banyak orang sesat dengan sebab perbandingan itu,
dan akan menjadikan banyak orang mendapat petunjuk dengan
sebabnya, dan Tuhan tidak akan menjadikan sesat dengan sebab
perbandingan itu melainkan orang-orang yang fasik,
27@ (Iaitu) orang-orang yang merombak (mencabuli) perjanjian
Allah sesudah diperteguhkannya, dan memutuskan perkara yang
disuruh Allah supaya diperhubungkan, dan mereka pula membuat
kerosakan dan bencana di muka bumi. Mereka itu ialah orang-
orang yang rugi.
28@ Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal
kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan
kamu, setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan
kamu pula (pada hari akhirat), akhirnya kamu dikembalikan
kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu
kerjakan).
29@ Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada
di bumi, kemudian Ia menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-
bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna,
dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
30@ Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat,
" Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah
di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu
dengan berkata), " Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak
menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan
menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa
bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu ?". Tuhan
berfirman, " Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu
tidak mengetahuinya".
31@ Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama
benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada
malaikat lalu Ia berfirman, " Terangkanlah kepadaKu nama
benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar".
32@ Malaikat itu menjawab, " Maha suci Engkau (Ya Allah) !
Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau
ajarkan kepada kami, sesungguhnya Engkau jualah yang Maha
Mengetahui, lagi Maha Bijaksana".
33@ Allah berfirman, " Wahai Adam ! Terangkanlah nama benda-
benda ini semua kepada mereka". Maka setelah Nabi Adam
menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah
berfirman, " Bukankah Aku telah katakan kepada kamu,
bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan
Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu
sembunyikan ?".
34@ Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat,
" Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam". Lalu mereka
sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis, ia enggan
dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.
35@ Dan kami berfirman, " Wahai Adam ! Tinggallah engkau dan
isterimu dalam syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-
puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu
hampiri pokok ini, (jika kamu menghampirinya) maka akan
menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim ".
36@ Setelah itu maka Syaitan menggelincirkan mereka berdua
dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat
yang mereka telah berada di dalamnya dan Kami berfirman,
" Turunlah kamu ! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada
sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat
kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu
masa (mati)".
37@ Kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah
(kata-kata pengakuan taubat yang diamalkannya), lalu Allah
menerima taubatnya, sesungguhnya Allah, Dialah yang Maha
Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani.
38@ Kami berfirman lagi, " Turunlah kamu semuanya dari syurga
itu ! Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu
(melalui Rasul-rasul dan Kitab-kitab yang diturunkan kepada
mereka), maka sesiapa yang mengikuti petunjukKu itu nescaya
tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap
mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita".
39@ Dan orang-orang kafir yang mendustakan ayat-ayat
keterangan kami, mereka itu ialah ahli neraka, mereka kekal
di dalamnya.
40@ Wahai Bani Israil ! Kenangkanlah kamu akan segala nikmat
yang telah Kuberikan kepada kamu, dan sempurnakanlah
perjanjian (kamu) denganKu, supaya Aku sempurnakan
perjanjianKu dengan kamu, dan kepada Akulah sahaja hendaklah
kamu merasa gerun takut, (bukan kepada sesuatu yang lain).
41@ Dan berimanlah kamu dengan apa yang Aku turunkan
(Al Quran) yang mengesahkan benarnya Kitab yang ada pada kamu,
dan janganlah kamu menjadi orang-orang yang mula-mula kafir
(ingkar) akan dia, dan janganlah pula kamu menjadikan ayat-
ayatKu (sebagai harga untuk) membeli kelebihan-kelebihan yang
sedikit faedahnya, dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu
bertaqwa.
42@ Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan
yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal
kamu semua mengetahuinya.
43@ Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah
zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-
orang yang rukuk.
44@ Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan
sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri, padahal kamu semua
membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal ?
45@ Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar
dan mengerjakan sembahyang, dan sesungguhnya sembahyang itu
amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk,
46@ (Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka
akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali
kepadaNya.
47@ Wahai Bani Israil ! Kenangkanlah nikmat-nikmatKu yang Aku
telah kurniakan kepada kamu, dan (ingatlah) bahawasanya Aku
telah melebihkan (nenek-moyang) kamu (yang taat dahulu) atas
orang-orang (yang ada pada zamannya).
48@ Dan peliharalah diri kamu dari (azab sengsara) hari
(akhirat), yang padanya seseorang tidak dapat melepaskan orang
lain (yang berdosa) sedikitpun (dari balasan azab), dan tidak
diterima syafaat daripadanya, dan tidak pula diambil
daripadanya sebarang tebusan, dan mereka (yang bersalah itu)
tidak akan diberi sebarang pertolongan.
49@ Dan (kenangkanlah) ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun
dan orang-orangnya, yang sentiasa menyeksa kamu dengan seksa
yang seburuk-buruknya, mereka menyembelih anak-anak lelaki
kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu, sedang
kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan
yang besar dari Tuhan kamu.
50@ Dan (kenangkanlah) ketika kami belahkan laut (Merah) untuk
kamu lalui (kerana melarikan diri dari angkara Firaun), maka
Kami selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan Firaun bersama-sama
tenteranya, sedang kamu semua menyaksikannya.
51@ Dan (kenangkanlah) ketika kami berjanji kepada Nabi Musa
(untuk memberi Taurat kepadanya sesudah ia bersiap selama)
empat puluh malam. Kemudian, setelah ia pergi, kamu menyembah
(patung) anak lembu, dan kamu sebenarnya orang-orang yang
zalim (terhadap diri sendiri).
52@ Kemudian sesudah itu kami maafkan kesalahan kamu, supaya
kamu bersyukur.
53@ Dan (kenangkanlah) ketika Kami turunkan kepada Nabi Musa
kitab (Taurat) dan keterangan-keterangan (yang terkandung
di dalamnya, yang membezakan antara yang benar dengan yang
salah), supaya kamu mendapat petunjuk.
54@ Dan (kenangkanlah) ketika Nabi Musa berkata kepada
kaumnya, " Wahai kaumku ! Sesungguhnya kamu telah menganiaya
diri kamu sendiri dengan sebab kamu menyembah patung anak
lembu itu, maka bertaubatlah kamu kepada Allah yang menjadikan
kamu, iaitu bunuhlah diri kamu. Yang demikian itu lebih baik
bagi kamu di sisi Allah yang menjadikan kamu, supaya Allah
menerima taubat kamu itu. Sesungguhnya Dialah Yang Maha
Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani".
55@ Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata, " Wahai Musa !
Kami tidak akan beriman kepadamu sehingga kami dapat melihat
Allah dengan terang (dengan mata kepala kami)". Maka kerana
itu kamu disambar petir, sedang kamu semua melihatnya.
56@ Kemudian kami bangkitkan kamu sesudah kamu mati (atau
pengsan dari sambaran petir itu), supaya kamu bersyukur.
57@ Dan Kami telah menaungi kamu dengan awan (dari panas
matahari di padang pasir) dan Kami turunkan kepada kamu
" Mann" dan " Salwa", (serta Kami berfirman), " Makanlah dari
makanan-makanan yang baik yang Kami telah kurniakan kepada
kamu". Dan tidaklah mereka menganiaya Kami (sebab mereka
kufurkan nikmat itu), tetapi sebenarnya mereka adalah
menganiaya diri sendiri.
58@ Dan (kenangkanlah) ketika Kami berfirman, " Masuklah kamu
ke bandar ini, kemudian makanlah dari benda-benda yang ada
di dalamnya dengan sepuas-puasnya, apa sahaja yang kamu sukai.
Dan masuklah kamu melalui pintunya dengan tunduk (merendah
diri), dan (mintalah ampun dengan) berkata, " Ya Allah
ampunilah dosa kami", supaya kami ampunkan kesalahan-kesalahan
kamu, dan Kami akan tambah pula pahala orang-orang yang
berbuat baik".
59@ Kemudian orang-orang yang zalim (penderhaka) itu mengubah
perkataan (perintah kami) yang dikatakan kepada mereka dengan
melakukan sebaliknya, maka Kami turunkan ke atas orang-orang
yang zalim itu bala bencana dari langit, dengan sebab mereka
sentiasa berlaku fasik (menderhaka).
60@ Dan (ingatlah) ketika Nabi Musa memohon supaya diberi air
untuk kaumnya, maka Kami berfirman, " Pukullah batu itu dengan
tongkatmu", (ia pun memukulnya), lalu terpancutlah dari batu
itu dua belas mata air, sesungguhnya tiap-tiap satu puak
(di antara mereka) telah mengetahui tempat minumnya masing-
masing. (Dan Kami berfirman), " Makanlah dan minumlah kamu
dari rezeki Allah itu, serta janganlah kamu bertebaran di muka
bumi ini dengan melakukan kerosakan".
61@ Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata, " Wahai Musa, kami
tidak sabar (sudah jemu) dengan makanan yang semacam sahaja,
maka pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya dikeluarkan
bagi kami sebahagian dari apa yang tumbuh di bumi, dari sayur-
sayurannya, dan mentimunnya, dan bawang putihnya, dan adas
(kacang dalnya), serta bawang merahnya". Nabi Musa menjawab,
" Adakah kamu mahu menukar sesuatu yang kurang baik dengan
meninggalkan yang lebih baik ? Turunlah kamu ke bandar kerana
di sana kamu boleh dapati apa yang kamu minta itu". Dan mereka
ditimpakan dengan kehinaan dan kepapaan, dan sudah sepatutnya
mereka mendapat kemurkaan dari Allah. Yang demikian itu ialah
disebabkan mereka kufur (mengingkari) ayat-ayat Allah
(perintah-perintah dan mukjizat-mukjizat yang membuktikan
kebesaranNya), dan mereka pula membunuh Nabi-nabi dengan tidak
ada alasan yang benar. Yang demikian itu ialah disebabkan
mereka menderhaka dan mereka pula sentiasa menceroboh.
62@ Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang
Yahudi dan orang-orang Nasora (Nasrani), dan orang-orang
Saabien sesiapa di antara mereka itu beriman kepada Allah dan
(beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka bagi
mereka pahala balasannya di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada
kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada
mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.
63@ Dan (ingatlah), ketika Kami mengambil perjanjian setia
kamu semasa Kami angkatkan Gunung Tursina di atas kamu (sambil
Kami berfirman), " Terimalah Taurat yang telah Kami berikan
kepada kamu (serta amalkanlah) dengan bersungguh-sungguh, dan
ingatlah (jangan lupakan) apa yang tersebut di dalamnya,
supaya kamu bertaqwa."
64@ Kemudian sesudah itu kamu membelakangkan perjanjian setia
kamu itu (tidak menyempurnakannya), maka kalau tidaklah kerana
limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu (dengan
membuka pintu taubat), nescaya menjadilah kamu dari golongan
orang-orang yang rugi.
65@ Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui (bagaimana buruknya
akibat) orang-orang di antara kamu yang melanggar (larangan)
pada hari Sabtu, lalu Kami berfirman kepada mereka, " Jadilah
kamu kera yang hina".
66@ Maka Kami jadikan apa yang berlaku itu sebagai suatu
hukuman pencegah bagi orang-orang yang ada pada masa itu dan
orang-orang yang datang kemudian, dan suatu pengajaran bagi
orang-orang yang (hendak) bertaqwa.
67@ Dan (ingatlah), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya,
" Sesungguhnya Allah menyuruh supaya kamu menyembelih seekor
lembu betina". Mereka berkata, " Adakah engkau hendak
menjadikan kami ini permainan ?" Nabi Musa menjawab, " Aku
berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang dari
golongan yang jahil (yang melakukan sesuatu yang tidak
patut)".
68@ Mereka berkata pula, " Berdoalah kepada Tuhanmu untuk
kami, supaya diterangkanNya kepada kami bagaimana (sifat-
sifat) lembu itu ?" Nabi Musa menjawab, " Bahawasanya Allah
berfirman, Bahawa (lembu betina) itu ialah seekor lembu yang
tidak terlalu tua dan tidak terlalu muda, pertengahan
(umurnya) di antara itu, maka kerjakanlah apa yang
diperintahkan kepada kamu melakukannya".
69@ Mereka berkata lagi, " Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk
kami, supaya diterangkanNya kepada kami apa warnanya ?" Nabi
Musa menjawab, " Bahawasanya Allah berfirman, Bahawa (lembu
betina) itu ialah seekor lembu kuning, kuning tua warnanya,
lagi menyukakan orang-orang yang melihatnya".
70@ Mereka berkata lagi, " Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk
kami, supaya diterangkanNya kepada kami lembu betina yang mana
satu ? Kerana sesungguhnya lembu yang dikehendaki itu
kesamaran kepada kami (susah kami memilihnya), dan kami insya
Allah akan mendapat petunjuk (untuk mencari dan menyembelih
lembu itu)".
71@ Nabi Musa menjawab, " Bahawasanya Allah berfirman,
" Sebenarnya (lembu yang dikehendaki itu) ialah lembu betina
yang tidak pernah digunakan untuk membajak tanah (sawah
bendang), dan tidak pula (digunakan mengangkut air) untuk
menyiram tanaman, ia juga tidak cacat dan tidak ada belang
pada warnanya". Mereka berkata, " Sekarang baharulah engkau
dapat menerangkan sifat-sifatnya yang sebenar". Maka mereka
pun menyembelih lembu yang tersebut, dan hampir-hampir mereka
tidak dapat menunaikan (perintah Allah) itu.
72@ Dan (ingatlah), ketika kamu membunuh seorang manusia,
kemudian kamu tuduh-menuduh sesama sendiri tentang pembunuhan
itu, padahal Allah tetap melahirkan apa yang kamu sembunyikan.
73@ Maka Kami (Allah) berfirman, " Pukullah si mati dengan
sebahagian anggota lembu yang kamu sembelih itu" (Mereka pun
memukulnya dan ia kembali hidup). Demikianlah Allah
menghidupkan orang-orang yang telah mati, dan memperlihatkan
kepada kamu tanda-tanda kekuasaanNya, supaya kamu memahaminya.
74@ Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti
batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu
ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya, dan
ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar
mata air daripadanya, dan ada juga di antaranya yang jatuh
ke bawah kerana takut kepada Allah, sedang Allah tidak sekali-
kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan.
75@ (Sesudah kamu, wahai Muhammad dan pengikut-pengikutmu,
mengetahui tentang kerasnya hati orang-orang Yahudi itu) maka
bolehkah kamu menaruh harapan bahawa mereka akan beriman
kepada seruan Islam yang kamu sampaikan itu, padahal
sesungguhnya telah ada satu puak dari mereka yang mendengar
Kalam Allah (Taurat), kemudian mereka mengubah dan memutarkan
maksudnya sesudah mereka memahaminya, sedang mereka mengetahui
(bahawa perbuatan itu salah) ?
76@ Dan apabila mereka (orang-orang Yahudi pada zaman
Rasulullah) bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka
berkata, " Kami telah beriman", dan apabila mereka berjumpa
sesama sendiri, mereka berkata, " Patutkah kamu ceritakan
kepada mereka (orang-orang Islam) dengan apa yang telah
diterangkan oleh Allah kepada kamu (di dalam Kitab Taurat
mengenai kebenaran Nabi Muhammad) untuk menjadikannya hujah
(bukti) yang dapat mengalahkah kamu di sisi Tuhan kamu ?
Tidakkah kamu berakal ?"
77@ (Mereka berani berkata demikian) dan tidakkah mereka
ketahui bahawasanya Allah mengetahui apa yang mereka rahsiakan
dan apa yang mereka lahirkan ?
78@ Dan di antara mereka pula ada orang-orang yang buta huruf,
mereka tidak mengetahui akan isi Kitab Taurat selain dari
penerangan-penerangan bohong (dari ketua-ketua mereka), dan
mereka hanyalah berpegang kepada sangkaan-sangkaan sahaja.
79@ Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis Kitab
Taurat dengan tangan mereka (lalu mengubah Kalam Allah dengan
rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata, " Ini ialah
dari sisi Allah", supaya mereka dengan perbuatan itu dapat
membeli keuntungan dunia yang sedikit. Maka kecelakaan besar
bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka,
dan kecelakaan besar bagi mereka dari apa yang mereka usahakan
itu.
80@ Dan mereka berkata, " Kami tidak sekali-kali akan disentuh
oleh api neraka kecuali beberapa hari yang tertentu".
Katakanlah (wahai Muhammad), " Adakah kamu sudah mendapat
janji dari Allah supaya (dengan itu) Allah tidak akan
menyalahi janjiNya, atau hanya kamu mengatakan atas nama Allah
sesuatu yang tidak kamu mengetahuinya ?"
81@ (Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar), sesungguhnya
sesiapa yang berbuat kejahatan dan ia diliputi
(ditenggelamkan) oleh kesalahannya itu, maka merekalah ahli
neraka, mereka kekal di dalamnya.
82@ Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh,
merekalah ahli syurga, mereka kekal di dalamnya.
83@ Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat
perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman),
" Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat
baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak
yatim, serta orang-orang miskin, dan katakanlah kepada sesama
manusia perkataan-perkataan yang baik, dan dirikanlah
sembahyang serta berilah zakat". Kemudian kamu berpaling
membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian
kecil dari kamu, dan sememangnya kamu orang-orang yang tidak
menghiraukan perjanjian setianya.
84@ Dan (ingatlah), ketika Kami mengikat perjanjian setia
dengan kamu, " (Bahawa) janganlah kamu menumpahkan darah
(berbunuh-bunuhan) sesama sendiri, dan janganlah kamu usir-
mengusir sesama sendiri dari kampung masing-masing". Kemudian
kamu telah berikrar mematuhi perjanjian setia itu, dan kamu
sendiri pula menjadi saksi (yang mengakui kebenarannya).
85@ Kemudian kamu ini (wahai Bani Israil), kamu berbunuh-
bunuhan sesama sendiri dan kamu usir satu puak dari kaum kamu
keluar dari kampungnya, kamu pula saling bantu-membantu
(dengan orang lain) untuk menentang mereka dengan melakukan
dosa dan penganiayaan, padahal kalau mereka datang kepada kamu
sebagai orang tawanan, kamu tebus mereka, sedang perbuatan
mengusir mereka diharamkan juga atas kamu. Sesudah itu maka
patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab
Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain ? Maka
tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari
antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan
pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang
amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan
apa yang kamu lakukan.
86@ Mereka itulah orang-orang yang membeli (mengutamakan)
kehidupan dunia (dan kesenangannya) dengan (meninggalkan
perintah-perintah Allah yang membawa kebahagiaan dalam
kehidupan) akhirat, maka tidak akan diringankan azab seksa
mereka (pada hari kiamat), dan mereka pula tidak akan
diberikan pertolongan.
87@ Dan sesungguhnya Kami telah memberikan kepada Nabi Musa
Kitab Taurat, dan Kami iringi kemudian daripadanya dengan
beberapa orang Rasul, dan Kami berikan kepada Nabi Isa Ibni
Maryam beberapa mukjizat serta Kami teguhkan kebenarannya
dengan Ruhul Qudus (Jibril). Maka patutkah, tiap-tiap kali
datang kepada kamu seorang Rasul membawa sesuatu (kebenaran)
yang tidak disukai oleh hawa nafsu kamu, kamu (dengan) sombong
takbur (menolaknya), sehingga sebahagian dari Rasul-rasul itu
kamu dustakan, dan sebahagian yang lain pula kamu
membunuhnya ?
88@ Dan mereka (kaum Yahudi) berkata pula, " Hati kami
tertutup (tidak dapat menerima Islam)". (Sebenarnya hati
mereka tidak tertutup) bahkan Allah telah melaknatkan mereka
disebabkan kekufuran mereka, oleh itu maka sedikit benar
mereka yang beriman.
89@ Dan ketika datang kepada mereka sebuah Kitab dari Allah
(Al Quran), yang mengesahkan apa yang ada pada mereka (Kitab
Taurat), sedang mereka sebelum itu sentiasa memohon (kepada
Allah) kemenangan atas kaum kafir musyrik (dengan kedatangan
seorang Nabi pembawa Kitab itu). Setelah datang kepada mereka
apa yang mereka sedia mengetahui kebenarannya (Nabi Muhammad
dan Al Quran), mereka mengingkarinya, maka (dengan yang
demikian), laknat Allah menimpa orang-orang yang kafir ingkar
itu.
90@ Sejahat-jahat perkara (yang mereka lakukan) ialah
perbuatan mereka membeli kesenangan dirinya sendiri dengan
mengingkari Al Quran yang telah diturunkan oleh Allah, kerana
dengki bahawa Allah menurunkan dari limpah kurniaNya (wahyu)
kepada sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya
(iaitu Nabi Muhammad s.a.w). Dengan sebab itu sudah sepatutnya
mereka mendapat kemurkaan Allah bertalu-talu, dan orang-orang
yang kafir itu akan beroleh azab sengsara yang menghinakan.
91@ Dan apabila dikatakan kepada mereka, " Berimanlah kamu
kepada apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepada Nabi
Muhammad)", mereka menjawab, " Kami hanya beriman kepada apa
yang telah diturunkan kepada kami (Taurat)". Dan mereka
ingkarkan (Kitab) yang lain yang diturunkan kemudian
daripadanya, padahal Al Quran itu benar lagi mengesahkan Kitab
Taurat yang ada pada mereka. Katakanlah (wahai Muhammad),
" Jika demikian mengapa kamu membunuh Nabi-nabi Allah pada
masa yang lalu, kalaulah kamu benar-benar orang-orang yang
beriman ?".
92@ Dan sesungguhnya telah datang kepada kamu Nabi Musa
membawa keterangan-keterangan (mukjizat) kemudian kamu
menyembah (patung) anak lembu sepeninggalannya, dan kamu
(dengan perbuatan itu) adalah orang-orang yang zalim.
93@ Dan (ingatlah) ketika Kami mengikat perjanjian setia
dengan kamu semasa Kami angkatkan bukit Tursina itu ke atas
kamu (sambil kami berfirman). " Ambilah (dan amalkanlah ajaran
Kitab Taurat) yang Kami berikan kepada kamu itu dengan
bersungguh-sungguh, dan dengarlah (apa yang diperintahkan
kepada kamu dengan mematuhinya)". Mereka menjawab, " Kami
dengar, dan kami menderhaka". Sedang kegemaran menyembah
(patung) anak lembu itu telah mesra dan sebati di dalam hati
mereka, dengan sebab kekufuran mereka. Katakanlah (wahai
Muhammad), " Amatlah jahatnya apa yang disuruh oleh iman kamu
itu kalaulah kamu orang-orang yang beriman".
94@ Katakanlah (wahai Muhammad kepada kaum Yahudi), " Kalau
syurga negeri akhirat itu telah menjadi hak istimewa untuk
kamu pada sisi hukum Allah, tidak boleh dicampuri oleh orang-
orang lain (seperti yang kamu dakwakan itu), maka cita-
citakanlah mati (supaya kamu dimatikan sekarang juga), jika
betul kamu orang-orang yang benar".
95@ Dan sudah tentu mereka tidak akan mencita-citakan mati itu
selama-lamanya, dengan sebab dosa-dosa yang telah mereka
lakukan, dan Allah sentiasa mengetahui akan orang-orang yang
zalim itu.
96@ Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati
mereka itu setamak-tamak manusia kepada hidup (yang lanjut
masanya), dan (lobanya mereka kepada hidup itu) melebihi loba
orang-orang kafir musyrik. Tiap-tiap seorang dari mereka suka
kiranya ia boleh hidup seribu tahun, padahal umur panjang yang
demikian, tidak akan dapat melepaskannya dari azab (yang
disediakan oleh Allah). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat
akan apa yang mereka lakukan.
97@ Katakanlah (wahai Muhammad), " Sesiapa memusuhi Jibril
maka sebabnya ialah kerana Jibril itu menurunkan Al Quran
ke dalam hatimu dengan izin Allah, yang mengesahkan kebenaran
Kitab-kitab yang ada di hadapannya (yang diturunkan
sebelumnya), serta menjadi petunjuk dan memberi khabar gembira
kepada orang-orang yang beriman".
98@ Sesiapa memusuhi Allah (dengan mengingkari segala petunjuk
dan perintahNya) dan memusuhi Malaikat-malaikatNya dan Rasul-
rasulNya, khasnya malaikat Jibril dan Mikail, (maka ia akan
diseksa oleh Allah) kerana sesungguhnya Allah adalah musuh
bagi orang-orang kafir.
99@ Dan sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu (wahai
Muhammad) ayat-ayat keterangan yang jelas nyata (Al Quran),
dan tidak ada yang akan mengingkarinya melainkan orang-orang
yang fasik.
100@ Patutkah (mereka ingkarkan ayat-ayat keterangan itu) dan
patutkah tiap-tiap kali mereka mengikat perjanjian setia,
dibuang dan dicabuli oleh segolongan dari mereka ? Bahkan
kebanyakan mereka tidak beriman.
101@ Dan apabila datang kepada mereka seorang Rasul dari sisi
Allah (Nabi Muhammad s.a.w), yang mengesahkan apa yang ada
pada mereka, sebahagian dari orang-orang yang telah diberikan
Kitab itu melemparkan Kitab Allah ke belakang mereka, seolah-
olah mereka tidak mengetahui (kebenarannya).
102@ Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-
ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan dalam masa
pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak
mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi
puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya),
kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa
yang diturunkan kepada dua malaikat, Harut dan Marut,
di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar
seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan
berkata, " Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk
menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir
(dengan mempelajarinya)". Dalam pada itu ada juga orang-orang
mempelajari dari mereka berdua, ilmu sihir yang boleh
menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal
mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau
membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan
izin Allah. Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang
hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada
mereka. Dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu)
telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu
tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi
sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri
mereka, kalaulah mereka mengetahui.
103@ Dan kalau sebenarnya mereka itu tetap beriman dan
bertaqwa (nescaya mereka akan mendapat pahala), sesungguhnya
pahala dari sisi Allah itu adalah lebih baik, kalau mereka
mengetahui.
104@ Wahai orang-orang yang beriman ! Janganlah kamu
mengatakan, " raaina", (ketika kamu berkata-kata dengan Nabi
Muhammad), sebaliknya katakanlah, " unzurna", dan dengarlah
kamu (segala perintah dengan sebulat hati menerimanya), dan
(ingatlah, bahawa) orang-orang kafir itu akan beroleh azab
seksa yang tidak terperi sakitnya.
105@ Orang-orang kafir dari Ahli kitab, dan juga dari orang-
orang musyrik, tidak suka kiranya diturunkan kepada kamu
sedikit dari kebaikan (atau wahyu) dari Tuhan kamu Padahal
Allah berhak menentukan rahmatNya kepada sesiapa yang
dikehendakiNya, dan Allah (jualah Yang) mempunyai limpah
kurnia yang amat besar.
106@ Apa sahaja ayat keterangan yang Kami mansukhkan
(batalkan), atau yang Kami tinggalkan (atau tangguhkan), Kami
datangkan ganti yang lebih baik daripadanya, atau yang
sebanding dengannya. Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya
Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu ?
107@ Tidakkah engkau mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Yang
Menguasai segala alam langit dan bumi ? Dan tiadalah bagi kamu
selain Allah sesiapapun yang dapat melindungi dan yang dapat
memberi pertolongan.
108@ Adakah kamu pula hendak meminta dari Rasul kamu
sebagaimana diminta dari Nabi Musa (oleh kaumnya) dahulu ? Dan
sesiapa yang menukar iman dengan mengambil kekufuran, maka
sesungguhnya ia telah sesat dari jalan yang lurus.
109@ Banyak di antara Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka
kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir
setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri
mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi
Muhammad s.a.w). Oleh itu, maafkanlah dan biarkanlah oleh kamu
(akan mereka), sehingga Allah datangkan perintahNya.
Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
110@ Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah
zakat dan apa jua yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri
kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi
Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa Melihat segala yang kamu
kerjakan.
111@ Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula, " Tidak
sekali-kali akan masuk Syurga melainkan orang-orang yang
berugama Yahudi atau Nasrani". Yang demikian itu hanyalah
angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad),
" Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan
kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-
orang yang benar".
112@ (Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar) bahkan sesiapa
yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintahNya)
sedang ia pula berusaha supaya baik amalannya, maka ia akan
beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan tidaklah ada
kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik)
terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.
113@ Dan orang-orang Yahudi berkata, " Orang-orang Nasrani itu
tidak mempunyai sesuatu pegangan (ugama yang benar)", dan
orang-orang Nasrani pula berkata, " Orang-orang Yahudi tidak
mempunyai sesuatu pegangan (ugama yang benar)", padahal mereka
membaca Kitab Suci masing-masing (Taurat dan Injil). Demikian
juga orang-orang (musyrik dari kaum Jahiliyah) yang tidak
berilmu pengetahuan, mengatakan seperti yang dikatakan oleh
mereka itu. Maka Allah akan menghukum (mengadili) di antara
mereka pada hari kiamat mengenai apa yang mereka berselisihan
padanya.
114@ Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang
menyekat dan menghalangi dari menggunakan masjid-masjid Allah
untuk (sembahyang dan) menyebut nama Allah di dalamnya, dan ia
berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu ? Orang-
orang yang demikian, tidak sepatutnya masuk ke dalam masjid-
masjid itu melainkan dengan rasa penuh hormat dan takut kepada
Allah (bukan secara yang mereka lakukan itu). Mereka (dengan
perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat
kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar.
115@ Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat, maka
ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk mengadap
Allah) maka di situlah arah yang diredhai Allah, sesungguhnya
Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi
sentiasa Mengetahui.
116@ Dan mereka (orang-orang musyrik) berkata, " Allah
mempunyai anak". Maha Suci Allah (dari apa yang mereka katakan
itu), bahkan Dialah Yang memiliki segala yang di langit dan
di bumi, semuanya itu tunduk di bawah kekuasaanNya.
117@ Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi (dengan
segala keindahannya), dan apabila Ia berkehendak (untuk
menjadikan) suatu, maka Ia hanya berfirman kepadanya,
" Jadilah engkau !" Lalu menjadilah ia.
118@ Dan (orang-orang musyrik) yang tidak berilmu pengetahuan,
berkata, " Alangkah eloknya kalau Allah berkata-kata dengan
kami (mengenai kebenaran Muhammad) atau datang kepada kami
sesuatu keterangan (mukjizat) ?" Demikian pula orang-orang
(kafir) yang terdahulu dari mereka pernah berkata seperti yang
dikatakan oleh mereka, hati mereka (sekaliannya) adalah
bersamaan (degil dan kufur). Sesungguhnya Kami telah pun
menerangkan ayat-ayat keterangan (yang menjadi dalil dan
bukti) kepada kaum yang mahu percaya dengan yakin.
119@ Sesungguhnya Kami telah mengutuskan engkau (wahai
Muhammad) dengan kebenaran, (serta menjadi) pembawa khabar
gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pembawa amaran
(kepada orang-orang yang ingkar). Dan (setelah engkau
sampaikan semuanya itu), engkau tidak akan diminta
(bertanggungjawab) tentang ahli neraka.
120@ Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan
bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau
menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah
(kepada mereka), " Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam
itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau
menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu
yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka
tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang
dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.
121@ Orang-orang yang Kami berikan Kitab kepada mereka, sedang
mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan (tidak mengubah
dan memutarkan maksudnya), mereka itulah orang-orang yang
beriman kepadanya, dan sesiapa yang mengingkarinya maka mereka
itulah orang-orang yang rugi.
122@ Wahai Bani Israil, kenanglah akan limpah kurnia nikmatKu
yang telah Kuberikan kepada kamu, dan Aku telah melebihkan
(datuk nenek) kamu (yang taat dahulu) atas umat-umat yang lain
(yang ada pada zamannya).
123@ Dan peliharalah diri kamu dari (huru-hara) hari kiamat
(yang padanya) seseorang tidak dapat mengganti atau melepaskan
orang lain sedikitpun, dan tidak akan diterima daripadanya
sebarang tebusan, dan tidak akan memberi manfaat kepadanya
sebarang syafaat, dan orang-orang yang salah itu tidak akan
ditolong (dari azab sengsara).
124@ Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya
dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi
Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman,
" Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (Pemimpin ikutan)
bagi umat manusia". Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata,
" (Ya Tuhanku !) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari
keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)". Allah berfirman,
" (Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan
didapati oleh orang-orang yang zalim."
125@ Dan (ingatlah) ketika Kami jadikan Rumah Suci (Baitullah)
itu tempat tumpuan bagi umat manusia (untuk Ibadat Haji) dan
tempat yang aman, dan jadikanlah oleh Kamu Makam Ibrahim itu
tempat sembahyang. Dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim
dan Nabi Ismail (dengan berfirman), " Bersihkanlah Rumahku
(Kaabah dan Masjid Al Haraam dari segala perkara yang
dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf, dan orang-orang
yang beriktikaf (yang tetap tinggal padanya), dan orang-orang
yang rukuk dan sujud".
126@ Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata,
" Wahai Tuhanku ! Jadikanlah (negeri Makkah) ini, negeri yang
aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-
buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman
kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka". Allah
berfirman, " (Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang
kufur dan ingkar, maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang
menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku
memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah)
seburuk-buruk tempat kembali".
127@ Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi
Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah)
itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata, " Wahai Tuhan
kami ! Terimalah daripada kami (amal kami), sesungguhnya
Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui,
128@ " Wahai Tuhan kami ! Jadikanlah kami berdua, orang-orang
Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan jadikanlah daripada
keturunan kami, umat Islam (yang berserah diri) kepadamu, dan
tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami,
dan terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkaulah Maha
Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani,
129@ " Wahai Tuhan Kami ! Utuslah kepada mereka seorang Rasul
dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada
mereka ayat-ayat (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi
kandungan Kitab (Al Quran) serta Hikmat kebijaksanaan dan
membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat).
Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana".
130@ Tidak ada orang yang membenci ugama Nabi Ibrahim selain
dari orang yang membodohkan dirinya sendiri, kerana
sesungguhnya Kami telah memilih Ibrahim (menjadi nabi)
di dunia ini, dan sesungguhnya ia pada hari akhirat kelak
tetaplah dari orang-orang yang soleh yang (tertinggi
martabatnya).
131@ (Ingatlah) ketika Tuhannya berfirman kepadanya,
" Serahkanlah diri (kepadaKu wahai Ibrahim) !" Nabi Ibrahim
menjawab, " Aku serahkan diri (tunduk taat) kepada Tuhan Yang
Memelihara dan mentadbirkan sekalian alam".
132@ Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan ugama itu kepada
anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat
kepada anak-anaknya) katanya, " Wahai anak-anakku !
Sesungguhnya Allah telah memilih ugama (Islam) ini menjadi
ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam
keadaan Islam".
133@ (Demikianlah wasiat Nabi Yaakub, bukan sebagaimana yang
kamu katakan itu wahai orang-orang Yahudi)! Kamu tiada hadir
ketika Nabi Yaakub hampir mati, ketika ia berkata kepada anak-
anaknya, " Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati ?"
Mereka menjawab, " Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk
nenekmu Ibrahim dan Ismail dan Ishak, iaitu Tuhan yang Maha
Esa, dan kepadaNyalah sahaja kami berserah diri (dengan penuh
iman)".
134@ Mereka itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya,
bagi mereka (balasan) apa yang mereka telah usahakan, dan bagi
kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan, dan kamu tidak
akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang
telah mereka lakukan.
135@ Dan mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) berkata, " Jadilah
kamu pemeluk ugama Yahudi atau pemeluk ugama Nasrani, nescaya
kamu akan mendapat petunjuk". Katakanlah (wahai Muhammad,
" Kami orang-orang Islam tidak akan menurut apa yang kamu
katakan itu) bahkan kami mengikut ugama Nabi Ibrahim yang
tetap di atas dasar Tauhid, dan bukanlah ia dari orang-orang
musyrik".
136@ Katakanlah (wahai orang-orang yang beriman), " Kami
beriman kepada Allah, dan kepada apa yang diturunkan kepada
kami (Al Quran), dan kepada apa yang diturunkan kepada Nabi
Ibrahim dan Nabi Ismail dan Nabi Ishak dan Nabi Yaakub serta
anak-anaknya, dan juga kepada apa yang diberikan kepada Nabi
Musa (Taurat) dan Nabi Isa (Injil), dan kepada apa yang
diberikan kepada Nabi-nabi dari Tuhan mereka, kami tidak
membeza-bezakan antara seseorang dari mereka (sebagaimana yang
kamu [Yahudi dan Nasrani] membeza-bezakannya), dan kami semua
adalah Islam (berserah diri, tunduk taat) kepada Allah semata-
mata".
137@ Maka kalau mereka beriman sebagaimana kamu beriman
(dengan Kitab-kitab Allah dan Rasul-rasulnya), maka
sesungguhnya mereka telah beroleh petunjuk, dan jika mereka
berpaling (serta tidak mahu beriman dengan sebenar-benar iman)
maka sesungguhnya mereka akan tinggal berkekalan dalam
perbalahan dan permusuhan (dengan kamu), oleh itu (janganlah
engkau khuatir, wahai Muhammad) kerana Allah akan memeliharamu
(dan umatmu) dari kejahatan mereka, dan Dialah jua Yang Maha
Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
138@ (Katakanlah wahai orang-orang yang beriman, " Ugama
Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah), celupan Allah
(yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam),
dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah ? (Kami
tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat".
139@ Katakanlah (wahai Muhammad), " Patutkah kamu (hai kaum
Yahudi dan Nasrani) membuat bantahan terhadap kami mengenai
pilihan Allah dan pengurniaanNya ? Padahal Dialah Tuhan kami
dan Tuhan kamu. Bagi kami (faedah) amal kami dan bagi kamu
pula (faedah) amal kamu (kalau diikhlaskan), dan kami adalah
(mengerjakan amal dengan) ikhlas kepadaNya,
140@ " Atau patutkah kamu mengatakan, bahawa Nabi Ibrahim, dan
Nabi Ismail, dan Nabi Ishak, dan Nabi Yaakub beserta anak-
anaknya, mereka semua adalah orang-orang Yahudi atau Nasrani,
(padahal ugama mereka telahpun ada sebelum adanya ugama Yahudi
atau ugama Kristian itu) ?" Katakanlah (wahai Muhammad),
" Adakah kamu yang lebih mengetahui atau Allah ? Dan siapakah
yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan keterangan
(saksi dan bukti) yang telah diberikan Allah kepadanya ?" Dan
(ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang telah
kamu lakukan.
141@ Mereka itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya,
bagi mereka (balasan) apa yang telah mereka usahakan, dan bagi
kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan, dan kamu tidak
akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang
mereka telah lakukan.
142@ Orang-orang bodoh (yang kurang akal pertimbangannya) akan
berkata, " Apa sebabnya yang menjadikan orang-orang Islam
berpaling dari kiblat yang mereka mengadapnya selama ini ?"
Katakanlah (wahai Muhammad), " Timur dan barat adalah
kepunyaan Allah (maka ke pihak mana sahaja kita diarahkan
Allah mengadapnya, wajiblah kita mematuhiNya), Allah yang
memberikan petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang
dikehendakiNya ke jalan yang lurus".
143@ Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu
ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad)
satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi
orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang
yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan
menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.
(Sebenarnya kiblat kamu ialah Kaabah) dan tiadalah Kami
jadikan kiblat yang engkau mengadapnya dahulu itu (wahai
Muhammad), melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan
pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar mengikut
Rasul serta membenarkannya dan siapa pula yang berpaling tadah
(berbalik kepada kekufurannya) dan sesungguhnya (soal
peralihan arah kiblat) itu adalah amat berat (untuk diterima)
kecuali kepada orang-orang yang telah diberikan Allah petunjuk
hidayah dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu.
Sesungguhnya Allah Amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya
kepada orang-orang (yang beriman).
144@ Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad),
berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau
berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu
palingkanlah mukamu ke arah masjid Al Haraam (tempat letaknya
Kaabah), dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka
kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan
Nasrani) yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa
perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar
dari Tuhan mereka, dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa
yang mereka lakukan.
145@ Dan demi sesungguhnya ! Jika engkau bawakan kepada orang-
orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, akan
segala keterangan (yang menunjukkan kebenaran perintah
berkiblat ke Kaabah itu), mereka tidak akan menurut kiblatmu,
dan engkau pula tidak sekali-kali akan menurut kiblat mereka,
dan sebahagian dari mereka juga tidak akan menurut kiblat
sebahagian yang lain. Demi sesungguhnya ! Kalau engkau menurut
kehendak hawa nafsu mereka setelah datang kepadamu pengetahuan
(yang telah diwahyukan kepadamu), sesungguhnya engkau, jika
demikian, adalah dari golongan orang-orang yang zalim.
146@ Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan Kitab
itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan
kebenarannya) sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka
sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian dari mereka berusaha
menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui
(salahnya perbuatan yang demikian).
147@ Kebenaran (yang datangnya kepadamu dan disembunyikan oleh
kaum Yahudi dan Nasrani) itu (wahai Muhammad), adalah
datangnya dari Tuhanmu, oleh itu jangan sekali-kali engkau
termasuk dalam golongan orang-orang yang ragu-ragu.
148@ Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-
masing menujunya, oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan
kebaikan, kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap
akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk
menerima balasan), sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-
tiap sesuatu.
149@ Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan
sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al Haraam
(Kaabah), dan sesungguhnya perintah berkiblat ke Kaabah itu
adalah benar dari Tuhanmu. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-
kali lalai akan segala apa yang kamu lakukan.
150@ Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan
sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al Haraam
(Kaabah), dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka
kamu ke arahnya, supaya tidak ada lagi (sebarang) alasan bagi
orang-orang (yang menyalahi kamu), kecuali orang-orang yang
zalim di antara mereka (ada sahaja yang mereka jadikan
alasan). Maka janganlah kamu takut kepada (cacat cela) mereka,
dan takutlah kamu kepadaKu (semata-mata), dan supaya Aku
sempurnakan nikmatKu kepada kamu, dan juga supaya kamu beroleh
petunjuk hidayah (mengenai perkara yang benar).
151@ (Nikmat berkiblatkan Kaabah yang Kami berikan kepada kamu
itu), samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu
seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang
membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu
(dari amalan syirik dan maksiat), dan yang mengajarkan kamu
kandungan Kitab (Al Quran) serta Hikmat kebijaksanaan, dan
mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui.
152@ Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum
dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan
kebaikan, dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu
kufur (akan nikmatKu).
153@ Wahai sekalian orang-orang yang beriman ! Mintalah
pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan
sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan
(mengerjakan) sembahyang, kerana sesungguhnya Allah menyertai
(menolong) orang-orang yang sabar.
154@ Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang
terbunuh dalam perjuangan membela Ugama Allah itu, orang-orang
mati, bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan
hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya.
155@ Demi sesungguhnya ! Kami akan menguji kamu dengan sedikit
perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan,
dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa
serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-
orang yang sabar,
156@ (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh
sesuatu kesusahan, mereka berkata, " Sesungguhnya kami adalah
kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."
157@ Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan
berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya, dan
mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.
158@ Sesungguhnya " Safa" dan " Marwah" itu ialah sebahagian
daripada Syiar (lambang) ugama Allah, maka sesiapa yang
menunaikan ibadat Haji ke Baitullah atau mengerjakan Umrah,
maka tiadalah menjadi salah ia bersaie (berjalan dengan
berulang-alik) di antara keduanya. Dan sesiapa yang
bersukarela mengerjakan perkara kebajikan, maka sesungguhnya
Allah memberi balasan pahala, lagi Maha Mengetahui.
159@ Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang
telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk
hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam
Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh
sekalian makhluk.
160@ Kecuali orang-orang yang bertaubat, dan memperbaiki (amal
buruk mereka) serta menerangkan (apa yang mereka sembunyikan),
maka orang-orang itu, Aku terima taubat mereka, dan Akulah
Yang Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.
161@ Sesungguhnya orang-orang yang kafir, dan mereka mati
sedang mereka tetap dalam keadaan kafir, mereka itulah orang-
orang yang ditimpa laknat Allah dan malaikat serta manusia
sekaliannya.
162@ Mereka kekal di dalam laknat itu, tidak diringankan azab
sengsara dari mereka dan mereka pula tidak diberikan tempoh
atau perhatian.
163@ Dan Tuhan kamu ialah Tuhan yang Maha Esa, tiada Tuhan
(Yang berhak disembah) selain dari Allah, yang Maha Pemurah,
lagi Maha Mengasihani.
164@ Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan (pada)
pertukaran malam dan siang, dan (pada) kapal-kapal yang
belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat
kepada manusia, demikian juga (pada) air hujan yang Allah
turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-
tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Ia biakkan padanya
dari berbagai-bagai jenis binatang, demikian juga (pada)
peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah)
terapung-apung di antara langit dengan bumi, sesungguhnya
(pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan
Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, dan keluasan rahmatNya)
bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran.
165@ (Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang
mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu
(Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya)
sebagaimana mereka mencintai Allah, sedang orang-orang yang
beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah. Dan kalaulah
orang-orang yang melakukan kezaliman (syirik) itu mengetahui
ketika mereka melihat azab pada hari akhirat kelak, bahawa
sesungguhnya kekuatan dan kekuasaan itu semuanya tertentu bagi
Allah, dan bahawa sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya,
(nescaya mereka tidak melakukan kezaliman itu).
166@ (Iaitu) ketika ketua-ketua yang menjadi ikutan itu
berlepas diri dari orang-orang yang mengikutnya, sedang kedua-
dua pihak melihat betapa ngerinya azab seksa itu, dan (ketika)
terputusnya segala hubungan di antara mereka.
167@ Dan (pada masa yang mengecewakan itu) berkatalah orang-
orang yang menjadi pengikut, " Alangkah eloknya kalau kami
(dengan itu dapat kami berlepas diri daripada mereka
sebagaimana mereka berlepas diri daripada kami (pada saat
ini)!" Demikianlah Allah perlihatkan kepada mereka amal-amal
mereka (dengan rupa yang mendatangkan) penyesalan yang amat
sangat kepada mereka, dan mereka pula tidak akan dapat keluar
dari neraka.
168@ Wahai sekalian manusia ! Makanlah dari apa yang ada
di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak
langkah Syaitan, kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh
yang terang nyata bagi kamu.
169@ Ia hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara-
perkara yang keji, dan (menyuruh) supaya kamu berkata (dusta)
terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui (salah benarnya).
170@ Dan apabila dikatakan kepada mereka, " Turutlah akan apa
yang telah diturunkan oleh Allah." Mereka menjawab, " (Tidak),
bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek
kami melakukannya". Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun
datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang
perkara-perkara ugama), dan tidak pula mendapat petunjuk
hidayah (dari Allah) ?
171@ Dan bandingan (orang-orang yang menyeru) orang-orang
kafir (yang tidak mahu beriman itu), samalah seperti orang
yang berteriak memanggil binatang yang tidak dapat memahami
selain dari mendengar suara panggilan sahaja, mereka itu ialah
orang-orang yang pekak, bisu dan buta, oleh sebab itu mereka
tidak dapat menggunakan akalnya.
172@ Wahai orang-orang yang beriman ! Makanlah dari benda-
benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada
kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya
beribadat kepadanya.
173@ Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan
bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang
yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa
(memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan
tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan
itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
174@ Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan (meminda
atau mengubah) apa-apa keterangan Kitab Suci yang telah
diturunkan oleh Allah, dan membeli dengannya keuntungan dunia
yang sedikit faedahnya, mereka itu tidak mengisi dalam perut
mereka selain dari api neraka, dan Allah tidak akan berkata-
kata kepada mereka pada hari kiamat, dan Ia tidak membersihkan
mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa
yang tidak terperi sakitnya.
175@ Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan
meninggalkan petunjuk (ugama Allah), dan (membeli) azab seksa
neraka dengan meninggalkan keampunan Tuhan. Maka sungguh ajaib
kesanggupan mereka menanggung seksa api neraka itu.
176@ (Segala balasan yang buruk) itu adalah dengan sebab Allah
telah menurunkan Kitab dengan mengandungi kebenaran (tetapi
mereka berselisih padanya), dan sesungguhnya orang-orang yang
berselisihan mengenai (kebenaran) kitab, itu sebenarnya mereka
adalah dalam keadaan berpecah-belah yang jauh (dari mendapat
petunjuk hidayah Allah).
177@ Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan
muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah
berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan
segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi, dan
mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya,
(kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang
miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada
orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba
abdi, dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta
mengeluarkan zakat, dan perbuatan orang-orang yang
menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian, dan
ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan
dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam
perjuangan perang Sabil. orang-orang yang demikian sifatnya),
mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan
kebajikan), dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa.
178@ Wahai orang-orang yang beriman ! Diwajibkan kamu
menjalankan hukuman " Qisas" (balasan yang seimbang) dalam
perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu, orang merdeka
dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan
dengan perempuan. Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat
sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh),
maka hendaklah orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang
baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan (si pembunuh pula)
hendaklah menunaikan bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-
baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan
kamu serta suatu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang
melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab
seksa yang tidak terperi sakitnya.
179@ Dan di dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi
kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu
bertaqwa.
180@ Kamu diwajibkan, apabila seseorang dari kamu hampir mati,
jika ia ada meninggalkan harta, (hendaklah ia) membuat wasiat
untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut
peraturan ugama), sebagai suatu kewajipan atas orang-orang
yang bertaqwa.
181@ Kemudian sesiapa yang mengubah mana-mana wasiat sesudah
ia mendengarnya, maka sesungguhnya dosanya hanya ditanggung
oleh orang-orang yang mengubahnya, sesungguhnya Allah Maha
Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
182@ Tetapi sesiapa yang mengetahui bahawa orang yang
berwasiat itu tidak adil atau melakukan dosa (dalam
wasiatnya), lalu ia mendamaikan antara mereka (waris-waris,
dengan membetulkan wasiat itu menurut aturan ugama), maka
tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi
Maha Mengasihani.
183@ Wahai orang-orang yang beriman ! Kamu diwajibkan berpuasa
sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada
kamu, supaya kamu bertaqwa.
184@ (Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang
tertentu, maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam
musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa
sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain, dan
wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua
dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang
miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran
fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu
kebaikan baginya, dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih
baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu
mengetahui.
185@ (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan
Ramadan yang padanya diturunkan Al Quran, menjadi petunjuk
bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang
menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang
benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu
yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka
hendaklah ia berpuasa bulan itu, dan sesiapa yang sakit atau
dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia
berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari
yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah
menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki
kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan
bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan
Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.
186@ Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku
maka (beritahu kepada mereka), sesungguhnya Aku (Allah)
sentiasa hampir (kepada mereka), Aku perkenankan permohonan
orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah
mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan
hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik
serta betul.
187@ Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur
(bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu
adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian
bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati
diri sendiri, lalu Ia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu.
Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-
apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu, dan makanlah
serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya
siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar.
Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam
(maghrib), dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu
ketika kamu sedang beriktikaf di masjid. Itulah batas-batas
larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. Demikian
Allah menerangkan ayat-ayat hukumNya kepada sekalian manusia
supaya mereka bertaqwa.
188@ Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-
orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan
pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada
hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian
dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu
mengetahui (salahnya).
189@ Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai
(peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah, " (peredaran) Anak-
anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan)
manusia, khasnya ibadat Haji. Dan bukanlah perkara kebajikan,
kamu memasuki rumah dari bahagian belakangnya (ketika kamu
berihram) akan tetapi kebajikan itu ialah perbuatan orang yang
bertaqwa, dan masuklah ke rumah (Kamu) itu melalui pintunya,
serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya."
190@ Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan)
ugama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan
janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan),
kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang
menceroboh.
191@ Dan bunuhlah mereka (musuh yang memerangi kamu) di mana
sahaja kamu dapati mereka, dan usirlah mereka dari tempat yang
mereka telah mengusir kamu, dan (ingatlah bahawa angkara)
fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan dan
janganlah kamu memerangi mereka di sekitar masjid Al Haraam
sehingga mereka memerangi kamu di situ. Oleh itu kalau mereka
memerangi kamu (di situ), maka bunuhlah mereka. Demikianlah
balasan bagi orang-orang yang kafir.
192@ Kemudian jika mereka berhenti memerangi kamu (maka
berhentilah kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun,
lagi Maha Mengasihani.
193@ Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan
(sehingga) menjadilah ugama itu semata-mata kerana Allah.
Kemudian jika mereka berhenti maka tidaklah ada permusuhan
lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim.
194@ (Mencabuli) bulan yang dihormati itu ialah dengan (sebab
membalas pencabulan dalam) bulan yang dihormati, dan tiap-tiap
perkara yang dihormati itu (jika dicabuli), ada balasannya
yang seimbang. Oleh itu sesiapa yang melakukan pencerobohan
terhadap kamu maka balaslah pencerobohannya itu seimbang
dengan pencerobohan yang dilakukannya kepada kamu, dan
bertaqwalah kamu kepada Allah serta ketahuilah, Sesungguhnya
Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.
195@ Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana
(menegakkan) ugama Allah, dan janganlah kamu sengaja
mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan
bersikap bakhil), dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala
usaha dan) perbuatan kamu, kerana sesungguhnya Allah mengasihi
orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.
196@ Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah,
maka sekiranya kamu dikepong (dan dihalang daripada
menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, maka kamu
bolehlah bertahallul serta) sembelihlah Dam yang mudah
didapati, dan janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk
bertahallul), sebelum binatang Dam itu sampai (dan disembelih)
di tempatnya. Maka sesiapa di antara kamu sakit atau terdapat
sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu ia mencukur
rambutnya), hendaklah ia membayar fidyah. Iaitu berpuasa, atau
bersedekah, atau menyembelih Dam. Kemudian apabila kamu berada
kembali dalam keadaan aman, maka sesiapa yang mahu menikmati
kemudahan dengan mengerjakan Umrah, (dan terus menikmati
kemudahan itu) hingga masa (mengerjakan) ibadat Haji,
(bolehlah ia melakukannya kemudian wajiblah ia) menyembelih
Dam yang mudah didapati. Kalau ia tidak dapat (mengadakan
Dam), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari dalam masa
mengerjakan Haji dan tujuh hari lagi apabila kamu kembali
(ke tempat masing-masing), semuanya itu sepuluh (hari) cukup
sempurna. Hukum ini ialah bagi orang yang tidak tinggal
menetap (di sekitar) masjid Al Haraam (Makkah). Dan hendaklah
kamu bertaqwa kepada Allah, dan ketahuilah bahawasanya Allah
Maha berat balasan seksaNya (terhadap orang-orang yang
melanggar perintahNya).
197@ (Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa
bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah
mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu,
maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat
maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan
ibadat Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah
diketahui oleh Allah, dan hendaklah kamu membawa bekal dengan
cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah
memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah), dan
bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang
dapat memikir dan memahaminya).
198@ Tidaklah menjadi salah, kamu mencari limpah kurnia dari
Tuhan kamu (dengan meneruskan perniagaan ketika mengerjakan
Haji). Kemudian apabila kamu bertolak turun dari padang Arafah
(menuju ke Muzdalifah) maka sebutlah nama Allah (dengan doa,
" talbiah" dan tasbih) di tempat Masy’ar Al Haraam
(di Muzdalifah), dan ingatlah kepada Allah dengan menyebutnya
sebagaimana Ia telah memberikan petunjuk hidayah kepadamu, dan
sesungguhnya kamu sebelum itu adalah dari golongan orang-orang
yang salah jalan ibadatnya.
199@ Selain dari itu hendaklah kamu bertolak turun dari
(Arafah) tempat bertolaknya orang ramai, dan beristighfarlah
kamu kepada Allah (dengan memohon ampun), sesungguhnya Allah
Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
200@ Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan
ibadat Haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan
mengingati Allah (dengan membesarkanNya) sebagaimana kamu
dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan
dengan sebutan yang lebih lagi. Dalam pada itu, ada di antara
manusia yang (berdoa dengan) berkata, " Wahai Tuhan kami !
Berilah kami kebaikan) di dunia". (orang-orang ini diberikan
kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan
di akhirat.
201@ Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan)
berkata, " Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia
dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab
neraka".
202@ Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik dari
apa yang telah mereka usahakan, dan Allah amat cepat
hitunganNya.
203@ Dan sebutlah kamu akan Allah (dengan takbir semasa
mengerjakan Haji) dalam beberapa hari yang tertentu
bilangannya. Kemudian sesiapa yang segera (meninggalkan Mina)
pada hari yang kedua, maka ia tidaklah berdosa dan sesiapa
yang melambatkan (meninggalkan Mina) maka ia juga tidaklah
berdosa, (ketiadaan dosa itu ialah) bagi orang yang bertaqwa
dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dan ketahuilah
sesungguhnya kamu akan dihimpunkan kepadanya.
204@ Dan di antara manusia ada orang yang tutur katanya
mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati
(mendengarnya), dan ia (bersumpah dengan mengatakan bahawa)
Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal
ia adalah orang yang amat keras permusuhannya (kepadamu).
205@ Kemudian apabila ia pergi (dengan mendapat hajatnya),
berusahalah ia di bumi, untuk melakukan bencana padanya, dan
membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang ternak
dan manusia, sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan.
206@ Dan apabila dikatakan kepadanya, " Bertaqwalah engkau
kepada Allah", timbullah kesombongannya dengan (meneruskan)
dosa (yang dilakukannya itu). Oleh itu padanlah ia (menerima
balasan azab) neraka jahannam dan demi sesungguhnya, (neraka
jahannam itu) adalah seburuk-buruk tempat tinggal.
207@ Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya
kerana mencari keredaan Allah semata-mata, dan Allah pula Amat
belas kasihan akan hamba-hambanya.
208@ Wahai orang-orang yang beriman ! Masuklah kamu ke dalam
Ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya, dan
janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan, sesungguhnya
Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.
209@ Maka kalau kamu tergelincir (dan jatuh ke dalam kesalahan
disebabkan tipu daya Syaitan itu), sesudah datang keterangan-
keterangan yang jelas kepada kamu, maka ketahuilah bahawasanya
Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
210@ (Orang-orang yang ingkar itu) tidak menunggu melainkan
kedatangan (azab) Allah kepada mereka dalam lindungan-
lindungan awan, bersama-sama dengan malaikat (yang
menjalankannya), padahal telahpun diputuskan perkara itu
(balasan azab yang menimpa mereka), dan kepada Allah jua
kembalinya segala urusan.
211@ Bertanyalah kepada Bani Israil, berapa banyak keterangan-
keterangan yang telah Kami berikan kepada mereka (sedang
mereka masih ingkar) ? Dan sesiapa menukar nikmat keterangan
Allah (dengan mengambil kekufuran sebagai gantinya) sesudah
nikmat itu sampai kepadaNya, maka (hendaklah ia mengetahui)
sesungguhnya Allah amat berat azab seksaNya.
212@ Kehidupan dunia (dan kemewahannya) diperhiaskan (dan
dijadikan amat indah) pada (pandangan) orang-orang kafir,
sehingga mereka (berlagak sombong dan) memandang rendah kepada
orang-orang yang beriman. Padahal orang-orang yang bertaqwa
(dengan imannya) lebih tinggi (martabatnya) daripada mereka
(yang kafir itu) pada hari kiamat kelak. Dan (ingatlah), Allah
memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak
terkira (menurut undang-undang peraturanNya).
213@ Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut
ugama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan),
maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar
gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan
Syurga), dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar
dengan balasan azab neraka), dan Allah menurunkan bersama
Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang (mengandungi keterangan-
keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara
manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan dan
(sebenarnya) tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan
orang-orang yang telah diberi kepada mereka Kitab-kitab Suci
itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan
yang jelas nyata, (mereka berselisih semata-mata kerana hasad
dengki sesama sendiri). Maka Allah memberikan petunjuk kepada
orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang
diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan
izinNya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada
sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus (menurut
undang-undang peraturanNya).
214@ Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk
syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan)
seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu
daripada kamu ? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan
hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh
ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-
orang yang beriman yang ada bersamanya, " Bilakah (datangnya)
pertolongan Allah ?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah
itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada
ugama Allah)."
215@ Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), " Apakah yang
akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)?" Katakanlah,
" Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka
berikanlah kepada, Kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-
anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang-orang yang
terlantar dalam perjalanan. Dan (ingatlah), apa jua yang kamu
buat dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah
sentiasa mengetahuiNya (dan akan membalas dengan sebaik-
baiknya)."
216@ Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan)
sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci, dan boleh
jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan
boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi
kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya
itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.
217@ Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai
(hukum) berperang dalam bulan yang dihormati. Katakanlah,
" Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi
perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah dan
perbuatan kufur kepadaNya, dan juga perbuatan menyekat (orang-
orang Islam) ke Masjid Al Haraam (di Makkah), serta mengusir
penduduknya dari situ, (semuanya itu) adalah lebih besar lagi
dosanya di sisi Allah. Dan (ingatlah), angkara fitnah itu
lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang dalam
bulan yang dihormati). Dan mereka (orang-orang kafir itu)
sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu
dari ugama kamu kalau mereka sanggup (melakukan yang
demikian), dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling
tadah) dari ugamanya (ugama Islam), lalu ia mati sedang ia
tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah
amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka
itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya).
218@ Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang
yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk
menegakkan ugama Islam), mereka itulah orang-orang yang
mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
219@ Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak
dan judi. Katakanlah, " Pada keduanya ada dosa besar dan ada
pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih
besar daripada manfaatnya," dan mereka bertanya pula kepadamu,
" Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)?" Katakanlah,
" Dermakanlah (apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu).
Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya
(keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir,
220@ Mengenai (urusan-urusan kamu) di dunia dan di akhirat dan
mereka bertanya lagi kepadamu (wahai Muhammad), mengenai
(masalah) anak-anak yatim. Katakanlah, " Memperbaiki keadaan
anak-anak yatim itu amatlah baiknya", dan jika kamu bercampur
gaul dengan mereka (maka tidak ada salahnya) kerana mereka itu
ialah saudara-saudara kamu (yang seugama), dan Allah
mengetahui akan orang yang merosakkan (harta benda mereka)
daripada orang yang hendak memperbaikinya. Dan jika Allah
menghendaki tentulah Ia memberatkan kamu (dengan mengharamkan
bercampur gaul dengan mereka). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa,
lagi Maha Bijaksana.
221@ Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan
kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam),
dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu
lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun
keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah kamu (kahwinkan
perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik
sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam) dan sesungguhnya
seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang
lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. (Yang
demikian ialah kerana orang-orang kafir itu mengajak ke neraka
sedang Allah mengajak ke Syurga dan memberi keampunan dengan
izinNya. Dan Allah menjelaskan ayat-ayatNya (keterangan-
keterangan hukumNya) kepada umat manusia, supaya mereka dapat
mengambil pelajaran (daripadanya).
222@ Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai
(hukum) haid. Katakanlah, " Darah haid itu satu benda yang
(menjijikkan dan) mendatangkan mudarat". Oleh sebab itu
hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan
bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid
itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh)
sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci
maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh
Allah kepada kamu. SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang
yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa
mensucikan diri.
223@ Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu,
oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu
sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu,
dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah sesungguhnya
kamu akan menemuiNya (pada hari akhirat kelak) dan berilah
khabar gembira wahai Muhammad) kepada orang-orang yang
beriman.
224@ (Dan janganlah kamu jadikan nama) Allah dalam sumpah kamu
sebagai benteng yang menghalangi kamu daripada berbuat baik
dan bertaqwa, serta mendamaikan perbalahan antara sesama
manusia. Dan (ingatlah), Allah sentiasa mendengar, lagi
sentiasa mengetahui.
225@ Allah tidak mengira kamu bersalah tentang sumpah kamu
yang tidak dimaksudkan (untuk bersumpah), tetapi Ia mengira
kamu bersalah (dan akan mengenakan hukuman) dengan sebab
sumpah yang diusahakan (disengajakan) oleh hati kamu (dengan
niat bersumpah). Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi
Maha Penyabar.
226@ Kepada orang-orang yang bersumpah tidak akan mencampuri
isteri-isteri mereka, diberikan tempoh empat bulan. Setelah
itu jika mereka kembali (mencampurinya), maka sesungguhnya
Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
227@ Dan jika mereka berazam hendak menjatuhkan talak
(menceraikan isteri), maka sesungguhnya Allah Maha Mendengar,
lagi Maha mengetahui.
228@ Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu
dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali
suci (dari haid). Dan tidaklah halal bagi mereka
menyembunyikan (tidak memberitahu tentang) anak yang dijadikan
oleh Allah dalam kandungan rahim mereka, jika betul mereka
beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan suami-suami mereka
berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu dalam
masa idah mereka jika suami-suami bertujuan hendak berdamai.
Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti
kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan
cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak), dalam
pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu
darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). Dan
(ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
229@ Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali.
Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya
itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan
(menceraikannya) dengan cara yang baik dan tidaklah halal bagi
kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan
kepada mereka (isteri-isteri yang diceraikan itu) kecuali jika
keduanya (suami isteri) takut tidak dapat menegakkan aturan-
aturan hukum Allah. Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-
duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka
tidaklah mereka berdosa (mengenai bayaran (tebus talak) yang
diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai
pengambilan suami akan bayaran itu). Itulah aturan-aturan
hukum Allah, maka janganlah kamu melanggarnya, dan sesiapa
yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah
orang-orang yang zalim.
230@ Sesudah (diceraikan dua kali), itu jika diceraikan pula
(bagi kali yang ketiga) maka perempuan itu tidak halal lagi
baginya sesudah itu, sehingga ia berkahwin dengan suami yang
lain. Setelah itu kalau ia diceraikan (oleh suami baharu itu
dan habis idahnya), maka mereka berdua (suami lama dan bekas
isterinya) tidaklah berdosa untuk kembali (maskahwin semula),
jika mereka kuat menyangka akan dapat menegakkan aturan-aturan
hukum Allah dan itulah aturan-aturan hukum Allah,
diterangkannya kepada kaum yang (mahu) mengetahui dan
memahaminya.
231@ Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu)
kemudian mereka (hampir) habis tempoh idahnya, maka bolehlah
kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik atau lepaskan
mereka dengan cara yang baik. Dan janganlah kamu pegang mereka
(rujuk semula dengan maksud memberi mudarat), kerana kamu
hendak melakukan kezaliman (terhadap mereka), dan sesiapa yang
melakukan demikian maka sesungguhnya dia menganiaya dirinya
sendiri. Dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat hukum Allah
itu sebagai ejek-ejekan (dan permainan). Dan kenanglah nikmat
Allah yang diberikan kepada kamu, (dan kenanglah) apa yang
diturunkan kepada kamu iaitu Kitab (Al Quran) dan ilmu hikmat,
untuk memberi pengajaran kepada kamu dengannya. Dan
bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah, sesungguhnya Allah
Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
232@ Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu), lalu
habis masa idah mereka, maka janganlah kamu (wahai wali-wali
nikah) menahan mereka daripada berkahwin semula dengan (bekas)
suami mereka, apabila mereka (lelaki dan perempuan itu)
bersetuju sesama sendiri dengan cara yang baik (yang
dibenarkan oleh Syarak). Demikianlah diberi ingatan dan
pengajaran dengan itu kepada sesiapa di antara kamu yang
beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah
lebih baik bagi kamu dan lebih suci. Dan (ingatlah), Allah
mengetahui (akan apa jua yang baik untuk kamu) sedang kamu
tidak mengetahuinya.
233@ Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama
dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan
penyusuan itu, dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan
pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah
diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah
menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan
(jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana
anaknya, dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut
(jika si bapa tiada). kemudian jika keduanya (suami isteri
mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah
dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua
tidaklah salah (melakukannya). Dan jika kamu hendak beri anak-
anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya
bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu
dengan cara yang patut. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah,
serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa
jua yang kamu lakukan.
234@ Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu,
sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-
isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan
sepuluh hari. Kemudian apabila telah habis masa idahnya itu
maka tidak ada salahnya bagi kamu mengenai apa yang dilakukan
mereka pada dirinya menurut cara yang baik (yang diluluskan
oleh Syarak). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui dengan
mendalam akan apa jua yang kamu lakukan.
235@ Dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu
bayangkan (secara sindiran), untuk meminang perempuan (yang
kematian suami dan masih dalam idah), atau tentang kamu
menyimpan dalam hati (keinginan berkahwin dengan mereka).
Allah mengetahui bahawa kamu akan menyebut-nyebut atau
mengingati) mereka, (yang demikian itu tidaklah salah), akan
tetapi janganlah kamu membuat janji dengan mereka di dalam
sulit, selain dari menyebutkan kata-kata (secara sindiran)
yang sopan. Dan janganlah kamu menetapkan dengan bersungguh-
sungguh (hendak melakukan) akad nikah sebelum habis idah yang
ditetapkan itu. Dan ketahuilah sesungguhnya Allah mengetahui
apa yang ada dalam hati kamu, maka beringat-ingatlah kamu akan
kemurkaanNya, dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha
Pengampun, lagi Maha Penyabar.
236@ Tidaklah kamu bersalah dan tidaklah kamu menanggung
bayaran maskahwin) jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu
sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka atau (sebelum)
kamu menetapkan maskahwin untuk mereka. Walaupun demikian,
hendaklah kamu memberi " Mut’ah" (pemberian saguhati) kepada
mereka (yang diceraikan itu). Iaitu, suami yang senang
(hendaklah memberi saguhati itu) menurut ukuran kemampuannya,
dan suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya, sebagai
pemberian saguhati menurut yang patut, lagi menjadi satu
kewajipan atas orang-orang (yang mahu) berbuat kebaikan.
237@ Dan jika kamu ceraikan mereka sebelum kamu sentuh
(bercampur) dengan mereka, padahal kamu sudah menetapkan kadar
maskahwin untuk mereka, maka mereka berhak mendapat separuh
dari maskahwin yang telah kamu tetapkan itu, kecuali jika
mereka memaafkannya tidak menuntutnya), atau (pihak) yang
memegang ikatan nikah itu memaafkannya (memberikan maskahwin
itu dengan sepenuhnya). Dan perbuatan kamu bermaaf-maafan
(halal menghalalkan) itu lebih hampir kepada taqwa. Dan
janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama
sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang
kamu kerjakan.
238@ Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna
pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang
Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam
sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.
239@ Dan jika kamu takuti (sesuatu bahaya) maka sembahyanglah
sambil berjalan atau berkenderaan, kemudian apabila kamu telah
aman sentosa, maka hendaklah kamu mengingati Allah (dengan
mengerjakan sembahyang secara yang lebih sempurna),
sebagaimana Allah telah mengajar kamu apa yang kamu tidak
mengetahuinya.
240@ Dan orang-orang yang (hampir) mati di antara kamu serta
meninggalkan isteri, hendaklah berwasiat untuk isteri-isteri
mereka, iaitu diberi nafkah saguhati (makan, pakai dan tempat
tinggal) hingga setahun lamanya, dengan tidak disuruh pindah
dari tempat tinggalnya. Kemudian jika mereka keluar (dari
tempat tinggalnya dengan kehendaknya sendiri) maka tidaklah
kamu bersalah (wahai wali waris si mati) mengenai apa yang
mereka (isteri-isteri itu) lakukan pada diri mereka dari
perkara yang patut yang tidak dilarang Syarak) itu dan
ingatlah, Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
241@ Dan isteri-isteri yang diceraikan berhak mendapat Mut’ah
(pemberian saguhati) dengan cara yang patut, sebagai satu
tanggungan yang wajib atas orang-orang yang taqwa.
242@ Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu hukum-hukumnya
supaya kamu memahaminya.
243@ Tidakkah engkau ketahui (wahai Muhammad) tentang orang-
orang yang keluar (melarikan diri) dari kampung halamannya
kerana takutkan mati, sedang mereka beribu-ribu ramainya ?
Maka Allah berfirman kepada mereka, " Matilah kamu." kemudian
Allah menghidupkan mereka. Sesungguhnya Allah sentiasa
melimpah-limpah kurniaNya kepada manusia (seluruhnya), tetapi
kebanyakan manusia tidak bersyukur.
244@ Dan berperanglah kamu pada jalan Allah (kerana
mempertahankan kebenaran ugamaNya), dan ketahuilah,
sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
245@ Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada
Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah
melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya ?
Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan
(pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.
246@ Tidakkah engkau ketahui (wahai muhammad), tentang (kisah)
ketua-ketua dari Bani Israil sesudah (wafatnya) Nabi Musa,
ketika mereka berkata kepada seorang Nabi mereka, " Lantiklah
seorang raja untuk kamu, supaya boleh kami berperang (bersama-
sama dengannya) pada jalan Allah." Nabi mereka menjawab,
" Tidakkah harus, jika kamu kelak diwajibkan berperang, kamu
tidak akan berperang ?," Mereka berkata, " Mengapa pula kami
tidak akan berperang pada jalan Allah, sedang kami telah
diusir dari kampung halaman kami, dan (dari) anak-anak kami ?"
Maka apabila perang itu diwajibkan atas mereka, mereka
membelakangkan kewajipan itu, kecuali sebahagian kecil dari
mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan orang-orang
yang zalim.
247@ Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka, " Bahawasanya
Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. Mereka
menjawab, " Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami
sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu
daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta
kekayaan ?" Nabi mereka berkata, " Sesungguhnya Allah telah
memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah
mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan
kegagahan tubuh badan". Dan (ingatlah), Allah jualah yang
memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang
dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan
pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya.
248@ Dan Nabi mereka, berkata lagi kepada mereka,
" Sesungguhnya tanda kerajaan Talut itu (yang menunjukkan
benarnya dari Allah) ialah datangnya kepada kamu peti Tabut
yang mengandungi (sesuatu yang memberi) ketenteraman jiwa dari
Tuhan kamu, dan (berisi) sebahagian dari apa yang telah
ditinggalkan oleh keluarga Nabi-nabi Musa dan Harun, peti
Tabut itu dibawa oleh malaikat. Sesungguhnya peristiwa
kembalinya Tabut itu mengandungi satu tanda keterangan bagi
kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman".
249@ Kemudian apabila Talut keluar bersama-sama tenteranya,
berkatalah ia, " Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan
sebatang sungai, oleh itu sesiapa di antara kamu yang meminum
airnya maka bukanlah ia dari pengikutku, dan sesiapa yang
tidak merasai airnya maka sesungguhnya ia dari pengikutku,
kecuali orang yang menceduk satu cedukan dengan tangannya".
(Sesudah diingatkan demikian) mereka meminum juga dari sungai
itu (dengan sepuas-puasnya), kecuali sebahagian kecil dari
mereka. Setelah Talut bersama-sama orang-orang yang beriman
menyeberangi sungai itu, berkatalah orang-orang yang meminum
(sepuas-puasnya), " Kami pada hari ini tidak terdaya menentang
Jalut dan tenteranya". Berkata pula orang-orang yang yakin
bahawa mereka akan menemui Allah, " Berapa banyak (yang pernah
terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan
yang banyak dengan izin Allah, dan Allah (sentiasa) bersama-
sama orang-orang yang sabar".
250@ Dan apabila mereka (yang beriman itu) keluar menentang
Jalut dan tenteranya, mereka berdoa dengan berkata, " Wahai
Tuhan kami ! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah
tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum
yang kafir."
251@ Oleh sebab itu, mereka dapat mengalahkan tentera Jalut
dengan izin Allah, dan Nabi Daud (yang turut serta dalam
tentera Talut) membunuh Jalut. Dan (sesudah itu) Allah
memberikan kepadanya (Nabi Daud) kuasa pemerintahan, dan
hikmat (pangkat kenabian) serta diajarkannya apa yang
dikehendakiNya. Dan kalaulah Allah tidak menolak setengah
manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan setengahnya yang lain
(yang beriman dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini,
akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurniaNya kepada sekalian
alam.
252@ Itulah ayat-ayat keterangan Allah yang kami bacakan dia
kepadamu (wahai Muhammad) dengan benar, dan sesungguhnya
engkau adalah salah seorang dari Rasul-rasul (yang diutuskan
oleh) Allah.
253@ Rasul-rasul, Kami lebihkan sebahagian daripada mereka
atas sebahagian yang lain (dengan kelebihan-kelebihan yang
tertentu). Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata
dengannya, dan ditinggikanNya (pangkat) sebahagian daripada
mereka beberapa darjat kelebihan. Dan Kami berikan Nabi Isa
ibni Maryam beberapa keterangan kebenaran (mukjizat), serta
Kami kuatkan dia dengan Ruhul Qudus (Jibril). Dan sekiranya
Allah menghendaki nescaya orang-orang yang datang kemudian
daripada Rasul-rasul itu tidak berbunuh-bunuhan sesudah datang
kepada mereka keterangan-keterangan (yang dibawa oleh Rasul
mereka). Tetapi mereka bertelingkah, maka timbullah di antara
mereka, orang yang beriman, dan orang yang kafir. Dan kalaulah
Allah menghendaki tentulah mereka tidak berbunuh-bunuhan,
tetapi Allah melakukan apa yang dikehendakiNya.
254@ Wahai orang-orang yang beriman ! Sebarkanlah sebahagian
dari apa yang telah Kami berikan kepada kamu, sebelum tibanya
hari (kiamat) yang tidak ada jual-beli padanya, dan tidak ada
kawan teman (yang memberi manfaat), serta tidak ada pula
pertolongan syafaat. Dan orang-orang kafir, mereka itulah
orang-orang yang zalim.
255@ [Ayatul Kursi (The Throne Verse)] Allah, tiada Tuhan
(yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang
Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang
tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada
di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat
memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan
izinNya. Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan
apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak
mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan
apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya
Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan
bumi, dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga
serta memelihara keduanya. Dan Dialah Yang Maha Tinggi (darjat
kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya).
256@ Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana
sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan
(kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan
ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah
berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak
akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha
Mengetahui.
257@ Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang
yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur)
kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, penolong-
penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari
cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli
neraka, mereka kekal di dalamnya.
258@ Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad)
tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan
sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang
itu kuasa pemerintahan ? Ketika Nabi Ibrahim berkata,
" Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan". Ia
menjawab, " Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan". Nabi
Ibrahim berkata lagi, " Sesungguhnya Allah menerbitkan
matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah dia dari barat ?"
Maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu).
Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada
kaum yang zalim.
259@ Atau (tidakkah engkau pelik memikirkan wahai Muhammad)
tentang orang yang melalui sebuah negeri yang telah runtuh
segala bangunannya, orang itu berkata, " Bagaimana Allah akan
menghidupkan (membina semula) negeri ini sesudah matinya
(rosak binasanya) ? " Lalu ia dimatikan oleh Allah (dan
dibiarkan tidak berubah) selama seratus tahun, kemudian Allah
hidupkan dia semula lalu bertanya kepadanya, " Berapa lama
engkau tinggal (di sini) ?" Ia menjawab, " Aku telah tinggal
(di sini) sehari atau setengah hari". Allah berfirman,
" (Tidak benar), bahkan engkau telah tinggal (berkeadaan
demikian) selama seratus tahun. Oleh itu, perhatikanlah kepada
makanan dan minumanmu, masih tidak berubah keadaannya, dan
perhatikanlah pula kepada keldaimu (hanya tinggal tulang-
tulangnya bersepah), dan Kami (lakukan ini ialah untuk)
menjadikan engkau sebagai tanda (kekuasaan Kami) bagi umat
manusia, dan lihatlah kepada tulang-tulang (keldai) itu,
bagaimana Kami menyusunnya kembali kemudian Kami menyalutnya
dengan daging." Maka apabila telah jelas kepadanya (apa yang
berlaku itu), berkatalah dia, " Sekarang aku mengetahuinya
(dengan yakin), sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap
sesuatu".
260@ Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim (merayu dengan)
berkata, " Wahai Tuhanku ! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana
Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang mati ?" Allah
berfirman, " Adakah engkau belum percaya (kepada
kekuasaanku) ?" Nabi Ibrahim menjawab, " Bahkan (aku percaya
dan yakin), akan tetapi (aku memohon yang demikian ialah)
supaya tenteram hatiku (yang amat ingin menyaksikannya)".
Allah berfirman, " (Jika demikian), ambilah empat ekor burung,
kemudian kumpulkanlah olehmu (dan cincanglah semuanya).
Setelah itu letakkanlah di atas tiap-tiap sebuah bukit
sebahagian daripadanya. Kemudian serulah burung-burung itu
nescaya semuanya akan datang kepadamu dengan segera". Dan
ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
261@ Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya
pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh
menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula
mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan
melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan
Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu
pengetahuanNya.
262@ Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan
(ugama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang
mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit
(pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti
(pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan
mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian
yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan
berdukacita.
263@ (Menolak peminta-peminta sedekah) dengan perkataan yang
baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik
daripada sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan
atau perkataan yang) menyakitkan hati. Dan (ingatlah), Allah
Maha Kaya, lagi Maha Penyabar.
264@ Wahai orang-orang yang beriman ! Jangan rosakkan (pahala
amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan
(kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal
sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak
menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak
beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang
itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya,
kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya
bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya
orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan
mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan.
Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum
yang kafir.
265@ Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya
kerana mencari keredaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan
perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti
sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat,
lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak
ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk
menyiraminya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan apa
yang kamu lakukan.
266@ Adakah seseorang di antara kamu suka mempunyai sebuah
kebun dari pokok tamar (kurma) dan anggur, yang mengalir
di bawahnya beberapa sungai, ia juga mempunyai dalam kebun itu
segala jenis buah-buahan, sedang ia sudah tua dan mempunyai
banyak anak cucu yang masih kecil, lalu kebun itu diserang
oleh angin taufan yang membawa api sehingga terbakarlah ia ?
Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu keterangan-
keterangan, supaya kamu berfikir (dan mengambil iktibar).
267@ Wahai orang-orang yang beriman ! Belanjakanlah (pada
jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik,
dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk
kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk
daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian
zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil
yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan
memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah
Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.
268@ Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan
kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma),
dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat
bakhil kedekut), sedang Allah menjanjikan kamu (dengan)
keampunan daripadaNya serta kelebihan kurniaNya. Dan
(ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa
Meliputi PengetahuanNya.
269@ Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna)
kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang
ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka
sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan
tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan)
melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.
270@ Dan (ketahuilah), apa sahaja yang kamu belanjakan
(dermakan) atau apa sahaja yang kamu nazarkan maka
sesungguhnya Allah mengetahuiNya dan (ingatlah), orang-orang
yang zalim itu tidak ada sesiapa pun yang dapat menolongnya.
271@ Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang),
maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang
baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu
serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu
adalah baik bagi kamu, dan Allah akan menghapuskan dari kamu
sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah),
Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu
lakukan.
272@ Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Muhammad) menjadiKan
mereka (yang kafir) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu
hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah yang
memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa yang
dikehendakinya (menurut undang-undang peraturanNya). Dan apa
jua harta yang halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah)
maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri
dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana
menuntut keredaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan dari
harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya)
kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak
dikurangkan.
273@ Pemberian sedekah itu ialah bagi orang-orang fakir
miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan
khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang
tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan
sebagainya), mereka itu disangka, orang kaya (oleh orang yang
tidak mengetahui halnya), kerana mereka menahan diri daripada
meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) sifat-
sifat dan keadaan masing-masing, mereka tidak meminta kepada
orang ramai dengan mendesak-desak. Dan (ketahuilah), apa jua
yang kamu belanjakan dari harta yang halal maka sesungguhnya
Allah sentiasa Mengetahuinya.
274@ Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya
pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka,
maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada
kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik)
terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita.
275@ Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat
berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk
Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu.
Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan, " Bahawa
sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba". Padahal
Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan
mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai
kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti
(dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu
(sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan
perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang
mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah
ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.
276@ Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan
mengambil) riba dan Ia pula mengembangkan (berkat harta yang
dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak
suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran,
dan selalu melakukan dosa.
277@ Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh,
dan mengerjakan sembahyang serta memberikan zakat, mereka
beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan
(dari berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan
mereka pula tidak akan berdukacita.
278@ Wahai orang-orang yang beriman ! Bertaqwalah kamu kepada
Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba
(yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar
kamu orang- orang yang beriman.
279@ Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah
mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu, akan adanya
peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak
menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang
sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang
demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu
juga tidak dizalimi oleh sesiapa.
280@ Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami
kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang
hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu
(kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu
mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).
281@ Dan peliharalah diri kamu dari huru-hara hari (kiamat)
yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah. Kemudian
akan disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut apa yang
telah diusahakannya, sedang mereka tidak dikurangkan
balasannya sedikitpun.
282@ Wahai orang-orang yang beriman ! Apabila kamu menjalankan
sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga
ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis
(hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis
di antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah
seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah
mengajarkannya. Oleh itu, hendaklah ia menulis dan hendaklah
orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu
dengan jelas). Dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah
Tuhannya, dan janganlah ia mengurangkan sesuatu pun dari
hutang itu. Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau
lemah atau ia sendiri tidak dapat hendak merencanakan (isi
itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil
benar), dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki
dari kalangan kamu. Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang
lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan
dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika
yang seorang lupa dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu
maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi. Dan jangan
saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi.
Dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh
masanya itu, sama ada kecil atau besar jumlahnya. Yang
demikian itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih membetulkan
(menguatkan) keterangan saksi, dan juga lebih hampir kepada
tidak menimbulkan keraguan kamu. Kecuali perkara itu mengenai
perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama sendiri, maka
tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya. Dan adakanlah saksi
apabila kamu berjual-beli. Dan janganlah mana-mana jurutulis
dan saksi itu disusahkan. Dan kalau kamu melakukan (apa yang
dilarang itu), maka sesungguhnya yang demikian adalah
perbuatan fasik (derhaka) yang ada pada kamu. Oleh itu
hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah, dan (ingatlah), Allah
(dengan keterangan ini) mengajar kamu, dan Allah sentiasa
Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
283@ Dan jika kamu berada dalam musafir (lalu kamu berhutang
atau memberi hutang yang bertempoh), sedang kamu tidak
mendapati jurutulis, maka hendaklah diadakan barang gadaian
untuk dipegang (oleh orang yang memberi hutang). Kemudian
kalau yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang
(dengan tidak payah bersurat, saksi dan barang gadaian), maka
hendaklah orang (yang berhutang) yang dipercayai itu
menyempurnakan bayaran hutang yang diamanahkan kepadanya, dan
hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya. Dan janganlah
kamu (wahai orang-orang yang menjadi saksi) menyembunyikan
perkara yang dipersaksikan itu. Dan sesiapa yang
menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang
berdosa hatinya. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengetahui
akan apa yang kamu kerjakan.
284@ Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah
kepunyaan Allah. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada
di dalam hati kamu atau kamu memyembunyikannya, nescaya Allah
akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu. Kemudian Ia
mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan menyeksa
sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang
peraturanNya) Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap
sesuatu.
285@ Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan
kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman,
semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan
Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya. (Mereka berkata), " Kami
tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-
rasulnya". Mereka berkata lagi, " Kami dengar dan kami taat
(kami pohonkan) keampunanMu wahai Tuhan kami, dan kepadaMu
jualah tempat kembali".
286@ Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang
terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang
diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang
diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata), " Wahai Tuhan
kami ! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa
atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau
bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah
Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada
kami. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami
apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah
kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah
rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami, oleh itu,
tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum
yang kafir".
No comments:
Post a Comment