Saturday 30 January 2016

Al Quran Indonesia. 015. Surah Al Hijr (Kawasan Berbatu)...

Al Quran Indonesia. 015. Surah Al Hijr (Kawasan Berbatu)...

BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

1@ Alif, Laam, Raa’. Ini ialah ayat-ayat Kitab (yang lengkap
sempurna) dan Al Quran yang memberi penjelasan.

2@ Ada masanya orang-orang yang kafir merasa ingin kalaulah
mereka telah menjadi orang-orang Islam.

3@ Biarkanlah mereka makan dan bersenang-lenang dengan
kemewahan dunia dan dilalaikan oleh angan-angan (daripada
bertaubat dan insaf), kemudian mereka akan mengetahui kelak
(bencana perbuatan mereka).

4@ Dan tiadalah Kami binasakan (penduduk) sesebuah negeri
melainkan ada baginya tempoh yang tertentu dan termaklum.

5@ Sesuatu umat itu tidak dapat mendahului tempohnya yang
telah ditentukan, dan mereka juga tidak dapat mengundurkannya.

6@ Dan mereka yang ingkar berkata (kepada Nabi Muhammad),
“ Wahai orang yang kepadanya diturunkan Al Quran, sesungguhnya
engkau adalah orang gila.”

7@ “ Sepatutnya engkau membawakan malaikat kepada kami (untuk
menjadi saksi tentang kerasulanmu), jika betul engkau dari
orang-orang yang benar !”

8@ Tiadalah Kami menurunkan Malaikat melainkan dengan cara
yang sungguh layak dan berhikmat, dan pada ketika itu mereka
(yang ingkar) tidak akan diberi tempoh lagi.

9@ Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al Quran, dan Kamilah
yang memelihara dan menjaganya.

10@ Dan demi sesungguhnya ! Kami telah utuskan Rasul-rasul
sebelummu (wahai Muhammad), dalam kalangan kaum-kaum yang
telah lalu.

11@ Dan tiadalah seseorang Rasul pun yang datang kepada
mereka, melainkan mereka mempersenda dan mengejek-ejeknya.

12@ (Sebagaimana hati kaum-kaum yang telah lalu dimasuki
perasaan mempersendakan Rasul-rasul) demikianlah pula Kami
masukkan perasaan yang seperti itu ke dalam hati orang-orang
yang berdosa (yang menentangmu).

13@ Mereka tidak percaya kepada Al Quran yang engkau bawa,
padahal telahpun berlaku undang-undang membinasakan orang-
orang yang telah lalu (yang mendustakan Rasul-rasulnya).

14@ Dan kalau Kami bukakan kepada mereka mana-mana pintu
langit, kemudian mereka dapat naik melalui pintu itu (pada
siang hari yang membolehkan mereka menyaksikan segala
kenyataan yang ada),

15@ Tentulah mereka akan (mengingkari kenyataan yang benar itu
dengan) berkata, “ Hanya mata kami telah disilapkan
penglihatannya bahkan kami adalah kaum yang telah disihirkan
(oleh Muhammad).”

16@ Dan demi sesungguhnya ! Kami telah menjadikan di langit,
bintang-bintang (yang berbagai bentuk dan keadaan) serta kami
hiasi langit itu bagi orang-orang yang melihatnya.

17@ Dan Kami pelihara (urusan) langit itu dari (masuk campur)
tiap-tiap Syaitan yang kena rejam.

18@ Kecuali Syaitan yang curi mendengar percakapan (malaikat
di langit), maka ia diburu dan diikuti (dengan rejaman) api
yang menyala, yang nyata kelihatan.

19@ Dan bumi ini Kami bentangkan, dan Kami letakkan padanya
gunung-ganang yang kukuh berdiri, serta Kami tumbuhkan padanya
tiap-tiap sesuatu yang tertentu timbangannya.

20@ Dan Kami jadikan untuk kamu pada bumi ini segala keperluan
hidup, juga Kami jadikan makhluk-makhluk, yang kamu bukanlah
orang yang sebenar menyediakan rezekinya.

21@ Dan tidak ada sesuatupun melainkan pada sisi Kami sahaja
perbendaharaannya dan Kami tidak menurunkannya melainkan
dengan menurut kadar dan masa yang tertentu.

22@ Dan Kami hantarkan angin sebagai pembawa air dan pemindah
benih, maka dengan itu Kami menurunkan air (hujan) dari
langit, kemudian Kami berikan kamu meminumnya, dan bukanlah
kamu yang (berkuasa menurunkannya atau) menyimpannya.

23@ Dan sesungguhnya Kamilah yang menghidupkan dan yang
mematikan, dan Kamilah yang kekal memiliki segala-galanya.

24@ Dan sesungguhnya Kami telah mengetahui orang-orang yang
segera (berbakti) di antara kamu, dan sesungguhnya Kami telah
mengetahui orang-orang yang lambat.

25@ Dan sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang menghimpunkan mereka
semuanya, sesungguhnya Ia Maha Bijaksana, lagi Maha
Mengetahui.

26@ Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam)
dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental
yang berubah warna dan baunya.

27@ Dan jin pula, Kami jadikan dia sebelum itu, dari angin api
yang panasnya menyerap ke liang bulu roma.

28@ Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Tuhanmu berfirman
kepada malaikat, “ Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia
dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental
yang berubah warna dan baunya."

29@ “ Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku
tiupkan padanya roh dari (ciptaan) ku, maka hendaklah kamu
sujud kepadanya."

30@ (Setelah selesai kejadian Adam) maka sujudlah sekalian
malaikat, semuanya sekali,

31@ Melainkan Iblis, ia enggan turut bersama mereka yang
sujud.

32@ Allah berfirman, Hai Iblis, apa sebabnya engkau tidak
turut bersama mereka yang sujud itu ?”.

33@ Iblis menjawab, “ Aku tidak patut sujud kepada manusia
yang Engkau jadikan dia dari tanah liat yang kering, yang
berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya.”

34@ Allah berfirman, “ Kalau demikian, keluarlah engkau
daripadanya, kerana sesungguhnya engkau dari sekarang ke masa
depan adalah (satu makhluk yang) diusir."

35@ “ Dan sesungguhnya engkau ditimpa laknat terus-menerus
hingga ke hari kiamat.”

36@ Iblis berkata, ” Wahai Tuhanku ! Jika demikian, berilah
tempoh kepadaku hingga ke hari mereka dibangitkan (hari
kiamat).”

37@ Allah berfirman, “ Dengan permohonanmu itu, maka
sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh."

38@ “ Hingga ke hari (masa yang termaklum).”

39@ Iblis berkata, ” Wahai Tuhanku ! Kerana Engkau telah
menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan
memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya
di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya,

40@ Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu
yang dibersihkan dari sebarang syirik.”

41@ Allah berfirman, “ Inilah satu jalan yang lurus, yang
tetap Aku memeliharanya."

42@ “ Sesungguhnya hamba-hambaKu, tidaklah ada bagimu sebarang
kuasa untuk menyesatkan mereka, kecuali sesiapa yang menurutmu
dari orang-orang yang sesat (dengan pilihannya sendiri)."

43@ “ Dan sesungguhnya neraka Jahannam itu, tempat yang
dijanjikan bagi sekalian mereka (yang menurutmu)."

44@ “ Ia mempunyai tujuh pintu, bagi tiap-tiap sebuah pintu
ada bahagian yang tertentu dari mereka (yang sesat dan
menyesatkan itu).”

45@ Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa adalah ditempatkan
di dalam beberapa taman Syurga, dengan matair-matair terpancar
padanya.

46@ (Mereka dipersilakan oleh malaikat dengan berkata),
“ Masuklah kamu ke dalamnya dengan selamat sejahtera serta
beroleh aman.”

47@ Dan Kami cabut akan apa yang ada dihati mereka dari
perasaan hasad dengki sehingga menjadilah mereka bersaudara
(dalam suasana kasih mesra), serta mereka duduk berhadap-
hadapan di atas pelamin masing-masing.

48@ Mereka tidak akan disentuh susah payah dalam Syurga itu,
dan mereka pula tidak sekali-kali akan dikeluarkan
daripadanya.

49@ Khabarkanlah kepada hamba-hambaKu (wahai Muhammad), bahawa
Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (bagi mereka
yang bertaubat dan beramal soleh).

50@ Dan bahawa azabKu, ialah azab yang tidak terperi sakitnya,
(bagi mereka yang tetap dalam kederhakaannya).



51@ Dan khabarkanlah kepada mereka perihal tetamu Nabi
Ibrahim.

52@ Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam
dengan berkata, “ Selamat sejahtera kepadamu !” Ia berkata,
“ Sesungguhnya kami berasa takut kepada kamu.”

53@ Mereka menjawab, “ Janganlah engkau takut, sebenarnya kami
hendak mengembirakanmu dengan berita bahawa engkau akan
beroleh seorang anak lelaki yang bakal menjadi seorang yang
berilmu.”

54@ Nabi Ibrahim berkata, “ Betulkah kamu mengembirakan daku
(dengan berita yang demikian), padahal aku telah tua, maka
dengan jalan apakah kamu mengembirakan daku ?”

55@ Mereka menjawab, “ Kami mengembirakanmu dengan jalan yang
sungguh benar, oleh itu janganlah engkau menjadi dari orang-
orang yang berputus asa.”

56@ Nabi Ibrahim berkata, “ Dan tiadalah sesiapa yang berputus
asa dari rahmat Tuhannya melainkan orang-orang yang sesat.”

57@ Nabi Ibrahim bertanya pula, “ Apa hal kamu wahai Utusan
Tuhan ?”

58@ Mereka menjawab, “ Kami diutus kepada suatu kaum yang
berdosa (untuk membinasakan mereka).”

59@ “ Melainkan keluarga Nabi Lut, sesungguhnya kami akan
menyelamatkan mereka semuanya,

60@ “ Kecuali isterinya, kami telah tentukan (menurut
keputusan Tuhan) sesungguhnya ia dari orang-orang yang tinggal
(menerima kebinasaan).”

61@ Maka apabila (malaikat-malaikat) utusan itu datang kepada
kaum Nabi Lut,

62@ Nabi Lut berkata, “ Sesungguhnya kamu suatu kaum yang
tidak dikenali (serta tidak diketahui baiknya kedatangan
kamu).”

63@ Mereka menjawab, “ (Kedatangan kami bukan untuk
mendukacitakanmu) bahkan kami datang kepadamu untuk membawa
azab yang mereka ragu-ragukan kebenarannya."

64@ “ Juga membawa kepadamu perkara yang benar (tentang
kebinasaan mereka), dan sesungguhnya kami adalah orang-orang
yang benar.“

65@ “ Oleh itu, bawalah pergi keluargamu pada waktu malam
serta ikutlah di belakang mereka, dan janganlah seseorang pun
di antara kamu berpaling (ke belakang), serta pergilah terus
ke arah yang diperintahkan kamu menujunya.”

66@ Dan Kami wahyukan kepadanya tentang kesudahan perkara itu,
iaitu mereka akan dibinasakan pada waktu pagi, sehingga mereka
punah ranah dan terputus keturunannya.

67@ Dan (semasa kedatangan mereka) datanglah penduduk bandar
itu dengan gembira.

68@ Nabi Lut berkata, “ Sesungguhnya mereka ini tetamuku, maka
janganlah kamu memberi malu kepadaku.”

69@ “ Dan takutlah kamu kepada Allah serta janganlah kamu
menghinakan daku.”

70@ Mereka menjawab, “ Bukankah kami telah melarangmu jangan
menerima sebarang tetamu dari orang ramai (atau memberi
perlindungan kepada mereka) ?”

71@ Nabi Lut berkata, “ Di sini ada anak-anak perempuanku,
kalaulah kamu mahu melakukan (secara halal)."

72@ Demi umurmu (wahai Muhammad), sesungguhnya mereka membuta
tuli dalam kemabukan maksiat mereka.

73@ Akhirnya merekapun dibinasakan oleh letusan suara yang
menggempakan bumi, ketika matahari terbit.

74@ Maka Kami jadikan negeri kaum Lut itu tunggang balik
(tertimbus segala yang ada di muka buminya), dan kami hujani
atasnya dengan batu dari tanah yang dibakar.

75@ Sesungguhnya balasan azab yang demikian itu, mengandungi
tanda-tanda bagi orang-orang yang kenalkan sesuatu serta
memerhati dan memikirkannya.

76@ Dan sesungguhnya negeri kaum Lut yang telah dibinasakan
itu, terletak di jalan yang tetap (dilalui orang).

77@ Sesungguhnya keadaan yang demikian, mengandungi satu tanda
yang memberi kesedaran kepada orang-orang yang beriman.

78@ Dan sebenarnya penduduk kampung “ Aikah” adalah orang-
orang yang berlaku zalim.

79@ Maka Kami membalas kezaliman mereka itu dengan azab yang
membinasakan, dan sesungguhnya kedua-duanya itu terletak
di jalan yang terang (yang masih dilalui orang).

80@ Dan demi sesungguhnya penduduk “Al Hijr” telah mendustakan
Rasul-rasul.

81@ Dan Kami telah berikan kepada mereka tanda-tanda (yang
membuktikan kebenaran ugama dan Rasul Kami), dalam pada itu,
mereka terus juga berpaling (mengingkarinya).

82@ Dan mereka memahat sebahagian dari gunung-ganang, sebagai
tempat tinggal dengan keadaan aman (dari sesuatu bahaya).

83@ Meskipun demikian, mereka dibinasakan juga oleh letusan
suara yang menggempakan pada bumi waktu pagi.

84@ Maka apa yang mereka telah usahakan itu, tidak dapat
menolong mereka sedikit pun.

85@ Dan (ingatlah) tiadalah Kami mencipta langit dan bumi
serta segala yang ada di antara keduanya itu, melainkan dengan
cara yang sungguh layak dan berhikmat, dan sesungguhnya hari
kiamat itu tetap akan datang, oleh itu biarkanlah (golongan
kafir yang mendustakanmu itu wahai Muhammad) serta layanlah
mereka dengan cara yang elok.

86@ Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang menciptakan sekalian
makhluk, lagi Yang Maha Mengetahui (akan hal mereka).

87@ Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepadamu (wahai
Muhammad) tujuh ayat yang diulang-ulang bacaannya dan seluruh
Al Quran yang amat besar kemuliaan dan faedahnya.

88@ Janganlah engkau menujukan pandanganmu (serta menaruh
hati) kepada nikmat kesenangan yang kami berikan kepada
beberapa golongan di antara mereka (yang kafir itu) dan
janganlah engkau merasa dukacita terhadap mereka (kerana
mereka tidak beriman dan tidak dapat menguatkan Islam
sebagaimana yang engkau harapkan), dan sebaliknya hendaklah
engkau merendah diri kepada orang-orang yang beriman
(sekalipun mereka dari golongan fakir miskin).

89@ Dan katakanlah, “ Sesungguhnya aku ini, adalah seorang
Rasul pemberi amaran dengan bukti-bukti yang nyata (tentang
turunnya azab ke atas orang-orang yang ingkar).”

90@ (Kami berikan kepadamu Al Faatihah dan Al Quran) samalah
seperti Kami menurunkan (Kitab-kitab) kepada orang-orang yang
membahagi-bahagi.

91@ (Iaitu) mereka yang menjadikan Al Quran terbahagi kepada
beberapa bahagian (lalu mereka percaya kepada sebahagian dan
menolak sebahagian yang lain).

92@ Demi Tuhanmu ! Kami akan menyoal mereka (yang kafir itu)
semuanya (pada hari kiamat kelak),

93@ Mengenai apa yang mereka telah lakukan.

94@ Oleh itu, sampaikanlah secara berterus-terang apa yang
diperintahkan kepadamu (wahai Muhammad), dan janganlah engkau
hiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir musyrik itu.

95@ Sesungguhnya Kami tetap memelihara dan mengawalmu dari
kejahatan orang-orang yang mengejek-ejek dan mempersendakanmu,

96@ (Iaitu) mereka yang mengadakan tuhan yang lain bersama-
sama Allah, maka mereka akan mengetahui kelak (akibatnya).

97@ Dan demi sesungguhnya Kami mengetahui, bahawa engkau
bersusah hati dengan sebab apa yang mereka katakan.

98@ Oleh itu, bertasbihlah engkau dengan memuji Tuhanmu, serta
jadilah dari orang-orang yang sujud.

99@ Dan sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepadamu (perkara
yang tetap) yakin.

No comments:

Post a Comment