Saturday 16 January 2016

Al Quran Indonesia. 003. Surah Ali ‘Imran (Keluarga Imran)...

Al Quran Indonesia. 003. Surah Ali ‘Imran (Keluarga Imran)...

BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

1@ Alif, Laam, Miim.

2@ Allah tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia,
Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan
sekalian makhlukNya.

3@ Ia menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci
(Al Quran) dengan mengandungi kebenaran, yang mengesahkan isi
Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripadanya, dan
Ia juga yang menurunkan Kitab-kitab Taurat dan Injil.

4@ Sebelum (Al Quran diturunkan), menjadi petunjuk bagi umat
manusia. Dan Ia juga yang menurunkan Al Furqaan (yang
membezakan antara yang benar dengan yang salah). Sesungguhnya
orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah
itu, bagi mereka azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah),
Allah Maha Kuasa, lagi berhak membalas dengan azab seksa
(kepada golongan yang bersalah).

5@ Sesungguhnya Allah tidak tersembunyi kepadaNya sesuatu pun
yang ada di bumi dan juga yang ada di langit.

6@ Dialah yang membentuk rupa kamu dalam rahim (ibu kamu)
sebagaimana yang dikehendakiNya. Tiada Tuhan (yang berhak
disembah) melainkan Dia, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

7@ Dialah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci
Al Quran. Sebahagian besar dari Al Quran itu ialah ayat-ayat
“ Muhkamaat” (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas
maksudnya), ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi
Al Quran. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat “ Mutasyaabihaat”
(yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu
(timbullah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-
masing), adapun orang-orang yang ada dalam hatinya
kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut
apa yang samar-samar dari Al Quran untuk mencari fitnah dan
mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang
disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui Takwilnya
(tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-
orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam
ilmu-ilmu ugama, berkata, ” Kami beriman kepadanya, semuanya
itu datangnya dari sisi Tuhan kami.” Dan tiadalah yang
mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang
berfikiran.

8@ (Mereka berdoa dengan berkata), “ Wahai Tuhan kami !
Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri
petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah
rahmat dari sisiMu, sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang
melimpah-limpah pemberianNya.

9@ Wahai Tuhan kami ! Sesungguhnya Engkaulah yang akan
menghimpunkan sekalian manusia, untuk (menerima balasan pada)
suatu hari (hari kiamat) yang tidak ada syak padanya."
Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janjiNya.

10@ Sebenarnya harta benda orang-orang kafir, dan juga anak-
pinak mereka tidak sekali-kali akan menyelamatkan mereka dari
(azab seksa) Allah sedikit juapun, dan mereka itulah bahan
bakaran api neraka.

11@ (Keadaan orang-orang kafir itu) sama seperti keadaan kaum
Firaun, dan orang-orang yang terdahulu dari mereka, mereka
mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, lalu Allah menyeksa
mereka disebabkan dosa-dosa mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha
berat azab seksaNya.

12@ Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang kafir itu,
“ Kamu akan dikalahkan (di dunia ini) dan akan dihimpunkan
(pada hari kiamat) ke dalam neraka Jahannam, dan itulah
seburuk-buruk tempat yang disediakan."

13@ Sesungguhnya telah ada satu tanda (bukti) bagi kamu pada
(peristiwa) dua pasukan yang telah bertemu (di medan perang),
satu pasukan (orang-orang Islam) berperang pada jalan Allah
(kerana mempertahankan ugama Allah), dan yang satu lagi dari
golongan kafir musyrik. Mereka (yang kafir itu) melihat orang-
orang Islam dengan pandangan mata biasa (dua kali ramainya
berbanding dengan mereka sendiri). Dan Allah sentiasa
menguatkan sesiapa yang dikehendakiNya, dengan memberikan
pertolonganNya. Sesungguhnya pada peristiwa itu terdapat satu
pengajaran yang memberi insaf bagi orang-orang yang berfikiran
(yang celik mata hatinya).

14@ Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia, kesukaan
kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-
perempuan dan anak-pinak, harta benda yang banyak bertimbun-
timbun, dari emas dan perak, kuda peliharaan yang bertanda
lagi terlatih, dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun
tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan
(ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-
baiknya (iaitu Syurga).

15@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Mahukah supaya aku
khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya
itu ? Iaitu bagi orang-orang yang bertaqwa disediakan di sisi
Tuhan mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya
sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga
pasangan-pasangan/isteri-isteri yang suci bersih, serta
(beroleh pula) keredaan dari Allah." Dan (ingatlah), Allah
sentiasa Melihat akan hamba-hambaNya,

16@ (Iaitu) orang-orang yang berdoa dengan berkata, “ Wahai
Tuhan kami ! Sesungguhnya kami telah beriman, oleh itu,
ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari azab
neraka”,

17@ (Dan juga) orang-orang yang sabar (dalam menjunjung
perintah Allah), dan orang-orang yang benar (perkataan dan
hatinya), dan orang-orang yang sentiasa taat (akan perintah
Allah), dan orang-orang yang membelanjakan hartanya (pada
jalan Allah), dan orang-orang yang beristighfar (memohon
ampun) pada waktu sahur.

18@ Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan
dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak
disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh
alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang
yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian),
tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha
Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

19@ Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah
ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang
diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai ugama Islam dan
enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka
pengetahuan yang sah tentang kebenarannya, (perselisihan itu
pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan
mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-
ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera
hitungan hisabNya.

20@ Oleh sebab itu jika mereka berhujah (menyangkal dan)
membantahmu (Wahai Muhammad), maka katakanlah, “ Aku telah
berserah diriku kepada Allah dan demikian juga orang-orang
yang mengikutku." Dan bertanyalah (Wahai Muhammad) kepada
orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberi Kitab, dan orang-
orang yang “ Ummi” (orang-orang musyrik Arab), “ Sudahkah kamu
mematuhi dan menurut (ugama Islam yang aku bawa itu) ?”
Kemudian jika mereka memeluk Islam, maka sebenarnya mereka
telah memperoleh petunjuk, dan jika mereka berpaling (tidak
mahu menerima Islam), maka sesungguhnya kewajipanmu hanyalah
menyampaikan (dakwah Islam itu). Dan (ingatlah), Allah
sentiasa Melihat (tingkah laku) sekalian hambaNya.

21@ Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat
keterangan Allah dan membunuh Nabi-nabi dengan jalan yang
tidak benar, serta membunuh orang-orang yang menyeru manusia
supaya berlaku adil maka sampaikanlah berita yang
mengembirakan mereka, dengan azab seksa yang tidak terperi
sakitnya.

22@ Mereka itulah orang-orang yang telah rosak amal
perbuatannya di dunia dan di akhirat, dan mereka tidak akan
memperoleh sesiapa pun yang dapat memberi pertolongan.

23@ Tidakkah engkau pelik memikirkan (wahai Muhammad) terhadap
sikap orang-orang (Yahudi) yang telah diberikan sebahagian
dari Kitab Taurat, mereka diseru kepada Kitab Allah supaya
Kitab itu dijadikan hakim (mengenai perkara-perkara yang
timbul) di antara mereka. Ahli-ahli satu puak dari mereka
berpaling ingkar sambil menolak (seruan dan hukum Kitab Allah
itu).

24@ Yang demikian ialah disebabkan mereka (mendakwa dengan)
berkata, “ Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api
neraka melainkan beberapa hari sahaja yang boleh dihitung."
Mereka (sebenarnya) telah diperdayakan dalam ugama mereka,
oleh dakwaan-dakwaan dusta yang mereka telah ada-adakan.

25@ Oleh itu, bagaimana pula (hal keadaan mereka) ketika Kami
himpunkan mereka pada hari (kiamat), yang tidak ada syak
padanya, dan (pada hari itu juga) disempurnakan kepada tiap-
tiap seorang, balasan apa yang ia telah usahakan, sedang
mereka masing-masing tidak akan dianiaya.

26@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Wahai Tuhan yang mempunyai
kuasa pemerintahan ! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan
kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang
mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau
kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau
kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau
kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala
kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap
sesuatu.

27@ “ Engkaulah (wahai Tuhan) yang memasukkan waktu malam
ke dalam waktu siang, dan Engkaulah yang memasukkan waktu
siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga yang mengeluarkan
sesuatu yang hidup dari benda yang mati, dan Engkaulah yang
mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup. Engkau
jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau
kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya."

28@ Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang
kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang
beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian
maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam
sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada
sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir
itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat
terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah
jualah tempat kembali.

29@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Jika kamu sembunyikan apa
yang ada dalam dada kamu atau kamu melahirkannya, nescaya
Allah mengetahuinya, dan Ia mengetahui segala yang ada
di langit dan yang ada di bumi. Dan Allah Maha Kuasa atas
tiap-tiap sesuatu.

30@ (Ingatlah) hari (kiamat yang padanya) tiap-tiap seorang
akan mendapati apa sahaja kebaikan yang telah dikerjakannya,
sedia (dibentangkan kepadanya dalam surat-surat amalnya), dan
demikian juga apa sahaja kejahatan yang telah dikerjakannya.
(Ketika itu tiap-tiap orang yang bersalah) ingin kalau ada
jarak yang jauh di antaranya dengan amalnya yang jahat itu.
Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap
kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan (ingatlah juga), Allah
Amat belas kasihan kepada hamba-hambaNya.

31@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Jika benar kamu mengasihi
Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta
mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

32@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Taatlah kamu kepada Allah
dan RasulNya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka
sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir.

33@ Sesungguhnya Allah telah memilih Nabi Adam, dan Nabi Nuh,
dan juga keluarga Nabi Ibrahim dan keluarga Imran, melebihi
segala umat (yang ada pada zaman mereka masing-masing).

34@ (Mereka kembang biak sebagai) satu keturunan (zuriat) yang
setengahnya berasal dari setengahnya yang lain. Dan
(ingatlah), Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa
Mengetahui.

35@ (Ingatlah) ketika isteri Imran berkata, ” Tuhanku !
Sesungguhnya aku nazarkan kepadaMu anak yang ada dalam
kandunganku sebagai seorang yang bebas (dari segala urusan
dunia untuk berkhidmat kepadaMu semata-mata), maka terimalah
nazarku, sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha
Mengetahui.”

36@ Maka apabila ia melahirkannya, berkatalah ia, “ Wahai
Tuhanku ! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak
perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki),
(dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu)
dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan,
dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam, dan aku
melindungi dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat
keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang
dikutuk dan disingkirkan)."

37@ Maka ia (Maryam yang dinazarkan oleh ibunya) diterima oleh
Tuhannya dengan penerimaan yang baik, dan dibesarkannya dengan
didikan yang baik, serta diserahkannya untuk dipelihara oleh
Nabi Zakaria. Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui
Maryam di Mihrab, ia dapati rezeki (buah-buahanan yang luar
biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya, ” Wahai Maryam dari
mana engkau dapati (buah-buahan) ini ?” Maryam menjawab,
“ Ialah dari Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki
kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak dikira."

38@ Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya,
” Wahai Tuhanku ! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat
keturunan yang baik, sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar
(menerima) doa permohonan."

39@ Lalu ia diseru oleh malaikat sedang ia berdiri sembahyang
di Mihrab, (katanya), “ Bahawasanya Allah memberi khabar yang
mengembirakanmu, dengan (mengurniakanmu seorang anak lelaki
bernama) Yahya, yang akan beriman kepada Kalimah dari Allah,
dan akan menjadi ketua, dan juga akan menahan diri dari
berkahwin, dan akan menjadi seorang Nabi dari orang-orang yang
soleh."

40@ Nabi Zakaria berkata, ” Wahai Tuhanku ! Bagaimanakah aku
akan beroleh seorang anak, padahal sebenarnya aku telah tua
dan isteriku pula mandul ?”, Allah berfirman, “ Demikianlah
keadaannya, Allah melakukan apa yang dikehendakiNya."

41@ Nabi Zakaria berkata lagi, “ Wahai Tuhanku ! Jadikanlah
bagiku satu tanda (yang menunjukkan isteriku mengandung)."
Allah berfirman, “ Tandamu itu ialah engkau tidak akan dapat
berkata-kata dengan orang ramai selama tiga hari (tiga malam)
melainkan dengan isyarat sahaja, dan ingatlah kepada Tuhanmu
(dengan berzikir) banyak-banyak, dan bertasbihlah memuji Allah
(dengan mengerjakan sembahyang), pada waktu malam dan pada
waktu pagi."

42@ Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika malaikat berkata,
“ Wahai Maryam ! Sesungguhnya Allah telah memilihmu, dan
mensucikanmu, dan telah memilihmu (beroleh kemuliaan) melebihi
perempuan-perempuan seluruh alam (yang sezaman denganmu).

43@ “ Wahai Maryam ! Taatlah kepada Tuhanmu, dan sujudlah
serta rukuklah (mengerjakan sembahyang) bersama-sama orang-
orang yang rukuk."

44@ Peristiwa yang demikian ialah sebahagian dari berita-
berita ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad),
sedang engkau tidak ada bersama-sama mereka ketika mereka
mencampakkan qalam masing-masing (untuk mengundi) siapakah
di antara mereka yang akan memelihara Maryam. Dan engkau juga
(wahai Muhammad) tidak ada bersama-sama mereka ketika mereka
berkelahi (tentang perkara menjaga dan memelihara Maryam).

45@ (Ingatlah) ketika malaikat berkata, “ Wahai Maryam !
Bahawasanya Allah memberikan khabar yang mengembirakanmu,
dengan (mengurniakan seorang anak yang engkau akan kandungkan
semata-mata dengan) Kalimah daripada Allah, nama anak itu,
Al Masih, Isa Ibni Maryam, seorang yang terkemuka di dunia dan
di akhirat, dan ia juga dari orang-orang yang didampingkan
(diberi kemuliaan di sisi Allah)."

46@ “ Dan ia akan berkata-kata kepada orang ramai semasa ia
masih kecil dalam buaian, dan semasa ia dewasa, dan ia adalah
dari orang-orang yang soleh.”

47@ Maryam berkata, ” Wahai Tuhanku ! Bagaimanakah aku akan
beroleh seorang anak, padahal aku tidak pernah disentuh oleh
seorang lelaki pun ?” Allah berfirman, “ Demikianlah
keadaannya, Allah menjadikan apa yang dikehendakiNya, apabila
Ia berkehendak melaksanakan sesuatu perkara, maka Ia hanyalah
berfirman kepadanya, " Jadilah engkau", lalu menjadilah ia.”

48@ Dan Allah akan mengajarnya ilmu menulis, dan hukum-hukum
aturan ugama, dan juga kandungan kitab-kitab Taurat dan Injil.

49@ Dan (akan melantiknya) menjadi seorang Rasul kepada Bani
Israil, (dengan menegaskan kepada mereka), “ Sesungguhnya aku
telah datang kepada kamu, dengan membawa satu tanda (mukjizat)
dari tuhan kamu, iaitu aku boleh membuat untuk kamu dari tanah
liat seperti bentuk burung, kemudian aku tiup padanya lalu
menjadilah ia seekor burung (yang hidup) dengan izin Allah,
dan juga aku boleh menyembuhkan orang yang buta dan orang yang
sopak, dan aku boleh menghidupkan kembali orang-orang yang
mati dengan izin Allah, dan juga aku boleh memberitahu kepada
kamu tentang apa yang kamu makan dan apa yang kamu simpan
di rumah kamu. Sesungguhnya perkara-perkara yang demikian itu,
mengandungi satu tanda (mukjizat) bagi kamu (yang membuktikan
kebenaran bahawa aku seorang Rasul yang diutus oleh Allah
kepada kamu), jika kamu orang-orang yang (mahu) beriman.

50@ “ Dan juga (aku datang kepada kamu ialah untuk)
mengesahkan kebenaran Kitab Taurat yang diturunkan dahulu
daripadaku, dan untuk menghalalkan bagi kamu sebahagian (dari
perkara-perkara) yang telah diharamkan kepada kamu, dan juga
aku datang kepada kamu dengan membawa satu mukjizat dari Tuhan
kamu. Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah dan taatlah
kepadaku.



51@ “ Sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu, oleh
itu, beribadatlah kamu kepadaNya. Inilah jalan yang lurus.”

52@ Maka ketika Nabi Isa merasa (serta mengetahui dengan
yakin) akan kekufuran dari mereka (kaum Yahudi), berkatalah
ia, ” Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada
Allah (dengan menegakkan ugamaNya) ?”. Orang-orang
“ Hawariyyuun” (Penyokong-penyokong Nabi Isa) berkata,
“ Kamilah penolong-penolong (utusan) Allah. Kami telah beriman
kepada Allah, dan saksikanlah (wahai Nabi Allah) sesungguhnya
kami ialah orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada
Allah)."

53@ “ Wahai Tuhan kami ! Kami telah beriman kepada apa yang
telah Engkau turunkan, dan kami mengikut RasulMu, oleh itu
suratkanlah kami beserta orang-orang yang menjadi saksi (yang
mengakui keesaanMu dan kebenaran RasulMu).”

54@ Dan orang-orang (Yahudi yang kafir) itupun merancangkan
tipu daya (hendak membunuh Nabi Isa), dan Allah pula membalas
tipu daya (mereka), dan (ingatlah), Allah sebijak-bijak yang
membalas (dan menggagalkan segala jenis) tipu daya.

55@ (Ingatlah) ketika Allah berfirman, “ Wahai Isa !
Sesungguhnya Aku akan mengambilmu dengan sempurna, dan akan
mengangkatmu ke sisiKu, dan akan membersihkanmu dari orang-
orang kafir, dan juga akan menjadikan orang-orang yang
mengikutmu mengatasi orang-orang kafir (yang tidak beriman
kepadamu), hingga ke hari kiamat. Kemudian kepada Akulah
tempat kembalinya kamu, lalu Aku menghukum (memberi keputusan)
tentang apa yang kamu perselisihkan.”

56@ Adapun orang-orang kafir, maka Aku (Allah) akan menyeksa
mereka dengan azab yang amat berat di dunia dan di akhirat,
dan mereka pula tidak akan beroleh sesiapa pun yang dapat
menolong.

57@ Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal
soleh, maka Allah akan menyempurnakan pahala mereka, dan
(ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.

58@ Demikianlah (perihal Nabi Isa), yang Kami membacakannya
kepadamu (wahai Muhammad, adalah ia) sebahagian dari hujah-
hujah keterangan (yang membuktikan kebenarannya), dan dari
Al Quran yang penuh dengan hikmat-hikmat (pengetahuan yang
tepat, lagi sentiasa terpelihara).

59@ Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi
Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam. Allah telah
menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya,
“ Jadilah engkau !” maka menjadilah ia.

60@ Perkara yang benar ialah yang datang dari Tuhanmu. Maka
jangan sekali-kali engkau menjadi dari orang-orang yang ragu-
ragu.

61@ Kemudian sesiapa yang membantahmu (wahai Muhammad)
mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar,
maka katakanlah kepada mereka, “ Marilah kita menyeru anak-
anak kami serta anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan kami
serta perempuan-perempuan kamu, dan diri kami serta diri kamu,
kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh,
serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada
orang-orang yang berdusta."

62@ Sesungguhnya ini ialah kisah-kisah yang benar, dan
tiadalah Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah, dan
(ingatlah), sesungguhnya Allah, Dialah jua Yang Maha Kuasa,
lagi Maha Bijaksana.

63@ Kemudian kalau mereka berpaling (enggan menurut), maka
sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan orang-orang yang
berbuat kerosakan.

64@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Wahai Ahli Kitab, marilah
kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu,
iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita
tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun, dan jangan pula
sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk
dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain
dari Allah." Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) barpaling
(enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka,
“ Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang
Islam."

65@ Wahai Ahli Kitab ! Mengapa kamu berani memperdebatkan
tentang (ugama) Nabi Ibrahim, padahal Taurat dan Injil tidak
diturunkan melainkan kemudian daripada (zaman) Ibrahim,
patutkah (kamu berdegil sehingga) kamu tidak mahu menggunakan
akal ?

66@ Ingatlah ! Kamu ini orang-orang (bodoh), kamu telah
memajukan bantahan tentang perkara yang kamu ada pengetahuan
mengenainya (yang diterangkan perihalnya dalam Kitab Taurat),
maka mengapa kamu membuat bantahan tentang perkara yang tidak
ada pada kamu sedikit pengetahuan pun bersabit dengannya ? Dan
(ingatlah), Allah mengetahui (hakikat yang sebenarnya) sedang
kamu tidak mengetahuinya.

67@ Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk ugama Yahudi,
dan bukanlah ia seorang pemeluk ugama Kristian, tetapi ia
seorang yang tetap di atas dasar Tauhid sebagai seorang Muslim
(yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah), dan ia pula
bukanlah dari orang-orang musyrik.

68@ Sesungguhnya orang-orang yang hampir sekali kepada Nabi
Ibrahim (dan berhak mewarisi ugamanya) ialah orang-orang yang
mengikutinya dan juga Nabi (Muhammad) ini serta orang-orang
yang beriman (umatnya, umat Islam). Dan (ingatlah), Allah
ialah Pelindung dan Penolong sekalian orang-orang yang
beriman.

69@ Segolongan dari Ahli Kitab suka dan berangan-angan kiranya
mereka dapat menyesatkan kamu, padahal mereka tidak akan
menyesatkan melainkan dirinya sendiri, dan mereka pula tidak
menyedari (akibat yang buruk itu).

70@ Wahai Ahli Kitab ! Mengapa kamu kufurkan (ingkarkan) ayat-
ayat keterangan Allah padahal kamu menyaksikan kebenaranNya ?

71@ Wahai Ahli Kitab ! Mengapa kamu campur adukkan yang benar
dengan yang salah, dan kamu pula menyembunyikan kebenaran
padahal kamu mengetahuinya ?

72@ Dan berkatalah segolongan dari Ahli Kitab (sesama
sendiri), “ Berimanlah kamu kepada Al Quran yang diturunkan
kepada orang-orang yang beriman itu, pada sebelah pagi, dan
kufurlah (ingkarlah) pada petangnya, supaya mereka (merasa
ragu-ragu, lalu) kembali menjadi kafir semula."

73@ Dan (mereka berkata lagi), “ Janganlah kamu percaya
melainkan kepada orang-orang yang mengikut ugama kamu."
Katakanlah (wahai Muhammad), “ Sesungguhnya petunjuk yang
sebenar benarnya ialah petunjuk Allah." Mereka berkata pula,
“ Janganlah kamu percaya bahawa akan diberi kepada sesiapa
seperti apa yang telah diberikan kepada kamu, atau mereka akan
dapat mengalahkan hujah kamu di sisi Tuhan kamu”. Katakanlah
(wahai Muhammad), “ Sesungguhnya limpah kurnia itu adalah
di tangan Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang
dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi
Meliputi pengetahuanNya."

74@ Allah menentukan pemberian rahmatNya itu kepada sesiapa
yang dikehendakiNya, dan (ingatlah), Allah mempunyai limpah
kurnia yang besar.

75@ Dan di antara Ahli Kitab, ada orang yang kalau engkau
amanahkan dia menyimpan sejumlah besar harta sekalipun, ia
akan mengembalikannya (dengan sempurna) kepadamu, dan ada pula
di antara mereka yang kalau engkau amanahkan menyimpan sedinar
pun, ia tidak akan mengembalikannya kepadamu kecuali kalau
engkau selalu menuntutnya. Yang demikian itu ialah kerana
mereka mengatakan, “ Tidak ada jalannya kami menanggung dosa
mengenai orang-orang yang Ummi dan, mereka pula selalu berkata
dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka
adalah berdusta).

76@ Bahkan (mereka berdosa memakan hak orang, kerana), sesiapa
yang menyempurnakan janjinya (mengenai hak orang lain) dan
bertaqwa, maka sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang
bertaqwa.

77@ Sesungguhnya orang-orang yang mengutamakan keuntungan
dunia yang sedikit dengan menolak janji Allah dan mencabuli
sumpah mereka, mereka tidak akan mendapat bahagian yang baik
pada hari akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan
mereka dan tidak akan memandang kepada mereka pada hari
Kiamat, dan tidak akan membersihkan mereka (dari dosa), dan
mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi
sakitnya.

78@ Dan sesungguhnya, di antara mereka (Ahli Kitab itu) ada
(Ketua-ketua ugamanya) yang memutar-mutar lidahnya semasa
membaca Kitab Taurat (dengan mengubah maknanya), supaya kamu
menyangkanya sebahagian dari Kitab Taurat, padahal ia bukanlah
dari Kitab itu. Dan mereka pula berkata, “ (bahawa) Ia adalah
(datangnya) dari sisi Allah”, padahal ia bukanlah dari sisi
Allah, dan mereka pula tergamak berkata dusta terhadap Allah
sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta).

79@ Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan
kepadanya Kitab ugama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian
ia tergamak mengatakan kepada orang ramai, “ Hendaklah kamu
menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan
perbuatan menyembah Allah”. Tetapi (sepatutnya ia berkata),
“ Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya
menyembah Allah Taala, dengan ilmu dan amal yang sempurna),
kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan
kerana kamu selalu mempelajarinya.

80@ Dan ia tidak pula patut menyuruh kamu menjadikan malaikat
dan Nabi-nabi sebagai tuhan-tuhan. Patutkah ia menyuruh kamu
dengan kekufuran sesudah kamu menjadi orang Islam ?

81@ Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia
dari Nabi-nabi (dengan firmanNya), “ Sesungguhnya apa jua
Kitab dan Hikmat yang Aku berikan kepada kamu, kemudian datang
pula kepada Kamu seorang Rasul yang mengesahkan apa yang ada
pada kamu, hendaklah kamu beriman sungguh-sungguh kepadanya,
dan hendaklah kamu bersungguh-sungguh menolongnya.” Allah
berfirman lagi (bertanya kepada mereka), “ Sudahkah kamu
mengakui dan sudahkah kamu menerima akan ikatan janjiku secara
yang demikian itu ?” Mereka menjawab, “ Kami berikrar
(mengakui dan menerimanya)”. Allah berfirman lagi, “ Jika
demikian, maka saksikanlah kamu, dan Aku juga menjadi saksi
bersama-sama kamu.”

82@ Kemudian sesiapa yang berpaling ingkar sesudah mengakui
perjanjian setia itu, maka mereka itulah orang-orang yang
fasik.

83@ Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu,
mereka mencari lain dari ugama Allah ? Padahal kepadaNyalah
tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi,
sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepadaNyalah
mereka dikembalikan.

84@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Kami beriman kepada Allah,
dan kepada apa yang telah diturunkan kepada kami, dan kepada
apa yang telah diturunkan kepada Nabi-nabi, Ibrahim, dan
Ismail, dan Ishak, dan Yaakub, dan keturunannya, dan kepada
apa yang telah diberikan kepada Nabi-nabi, Musa dan Isa, dan
sekalian Nabi-nabi dari Tuhan mereka. Kami tidak membeza-
bezakan seseorang pun di antara mereka, dan kepada Allah
jualah kami berserah diri (Islam).”

85@ Dan sesiapa yang mencari ugama selain ugama Islam, maka
tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat
kelak dari orang-orang yang rugi.

86@ Bagaimana Allah akan memberi petunjuk hidayah kepada
sesuatu kaum yang kufur ingkar sesudah mereka beriman, dan
juga sesudah mereka menyaksikan bahawa Rasulullah (Nabi
Muhammad) itu adalah benar, dan telah datang pula kepada
mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata. Dan (ingatlah),
Allah tidak akan memberikan petunjuk hidayahNya kepada kaum
yang zalim.

87@ Mereka itu balasannya ialah bahawa mereka ditimpa laknat
Allah dan malaikatNya sekalian orang-orang (yang beriman).

88@ Mereka kekal di dalamnya, tidak diringankan azab seksa
daripada mereka dan mereka pula tidak diberi tempoh atau
perhatian,

89@ Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah (ingkar) itu,
serta memperbaiki keburukan mereka, maka sesungguhnya Allah
Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

90@ Sesungguhnya orang-orang yang kafir sesudah mereka
beriman, kemudian mereka bertambah kufur lagi, tidak sekali-
kali akan diterima taubat mereka, dan mereka itulah orang-
orang yang sesat.

91@ Sesungguhnya orang-orang yang kafir, lalu mati sedang
mereka tetap kafir, maka tidak sekali-kali akan diterima dari
seseorang di antara mereka, emas sepenuh bumi, walaupun ia
menebus dirinya dengan (emas yang sebanyak) itu. Mereka itu
akan mendapat azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dan
mereka pula tidak akan beroleh seorang penolong pun.

92@ Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat)
kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan
sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua
yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.

93@ Segala jenis makanan dahulu adalah halal bagi Bani Israil,
kecuali makanan yang diharamkan oleh Israil (Nabi Yaakub)
kepada dirinya sendiri sebelum diturunkan Kitab Taurat.
Katakanlah (wahai Muhammad), “ (Jika ada makanan yang
diharamkan kepada kamu (wahai Bani Israil) sebelum Kitab
Taurat diturunkan) maka bawalah kamu Kitab Taurat itu kemudian
bacalah akan dia, kalau betul kamu orang-orang yang benar.

94@ (Jika tidak) maka sesiapa yang mereka-reka kata-kata dusta
terhadap Allah sesudah yang demikian itu, maka mereka itulah
orang-orang yang zalim.

95@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Benarlah (apa yang
difirmankan oleh) Allah, maka ikutilah kamu akan ugama Nabi
Ibrahim yang ikhlas (berdasarkan Tauhid), dan bukanlah ia dari
orang-orang musyrik."

96@ Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk
manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang
di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi
umat manusia.

97@ Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang
menunjukkan kemuliaannya, di antaranya ialah) Makam Nabi
Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah
dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji
dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai
kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat
Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak
berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.

98@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Wahai Ahli Kitab ! Mengapa
kamu ingkarkan keterangan-keterangan Allah, padahal Allah
sentiasa menyaksikan apa yang kamu lakukan ?”

99@ Katakanlah, “ Wahai Ahli Kitab ! Mengapa kamu menghalangi
orang-orang yang beriman daripada menurut jalan jalan (ugama
Islam), kamu hendak menjadikan jalan Allah itu bengkok
terpesong, padahal kamu menyaksikan (kebenarannya) ?“ Dan
(ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu
lakukan.

100@ Wahai orang-orang yang beriman ! Jika kamu taat akan
sesuatu puak dari orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang
diberikan Kitab itu, nescaya mereka akan mengembalikan kamu
menjadi orang-orang kafir sesudah kamu beriman.



101@ Dan bagaimana kamu akan menjadi kafir padahal kepada kamu
dibacakan ayat-ayat Allah (Al Quran), dan dalam kalangan kamu
ada RasulNya (Muhammad, s.a.w) ? Dan sesiapa berpegang teguh
kepada (ugama) Allah, maka sesungguhnya ia telah beroleh
petunjuk hidayah ke jalan yang betul (lurus).

102@ Wahai orang-orang yang beriman ! Bertaqwalah kamu kepada
Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu
mati melainkan dalam keadaan Islam.

103@ Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah
(ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai, dan
kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-
musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan
di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat
Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-
orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada
di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa
jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu
(disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan
kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat
petunjuk hidayahNya.

104@ Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru
(berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan
menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang
daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang
bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.

105@ Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi
dan Nasrani) yang telah bercerai-berai dan berselisihan (dalam
ugama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-
keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi
Allah), Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab
seksa yang besar.

106@ (Ingatlah akan) hari (kiamat yang padanya) ada muka
(orang-orang) menjadi putih berseri, dan ada muka (orang-
orang) menjadi hitam legam. Adapun orang-orang yang telah
hitam legam mukanya, (mereka akan ditanya secara menempelak),
“ Patutkah kamu kufur ingkar sesudah kamu beriman ? Oleh itu
rasalah azab seksa neraka disebabkan kekufuran kamu itu.”

107@ Adapun orang-orang yang telah putih berseri mukanya, maka
mereka berada dalam limpah rahmat Allah (Syurga), mereka kekal
di dalamnya.

108@ Itulah ayat-ayat keterangan Allah, kami bacakan dia
kepadamu (wahai Muhammad) dengan benar. Dan (ingatlah), Allah
tidak berkehendak melakukan kezaliman kepada sekalian
makhlukNya.

109@ Dan bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit
dan yang ada di bumi, dan kepada Allah jualah dikembalikan
segala urusan.

110@ Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang
dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh
berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala
perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman
kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli
Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang
semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka.
(Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan
mereka orang-orang yang fasik.

111@ Mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) tidak sekali-kali akan
membahayakan kamu, kecuali menyakiti (perasaan kamu dengan
ejekan dan tuduhan yang tidak berasas). Dan jika mereka
memerangi kamu, mereka akan berpaling lari membelakangkan kamu
(kalah dengan sehina-hinanya), sesudah itu mereka tidak akan
mencapai kemenangan.

112@ Mereka ditimpakan kehinaan (dari segala jurusan) di mana
sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab dari Allah
dan adanya sebab dari manusia. Dan sudah sepatutnya mereka
beroleh kemurkaan dari Allah, dan mereka ditimpakan kemiskinan
(dari segala jurusan). Yang demikian itu, disebabkan mereka
sentiasa kufur ingkar akan ayat-ayat Allah (perintah-
perintahNya), dan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tiada
alasan yang benar. Semuanya itu disebabkan mereka derhaka dan
mereka sentiasa mencerobohi (hukum-hukum Allah).

113@ Ahli-ahli Kitab itu tidaklah sama. Di antaranya ada
golongan yang (telah memeluk Islam dan) tetap (berpegang
kepada ugama Allah yang benar) mereka membaca ayat-ayat Allah
(Al Quran) pada waktu malam, semasa mereka sujud (mengerjakan
sembahyang).

114@ Mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan
menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang
daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), dan
mereka pula segera-segera pada mengerjakan berbagai-bagai
kebajikan. Mereka (yang demikian sifatnya), adalah dari orang-
orang yang soleh.

115@ Dan apa sahaja kebajikan yang mereka kerjakan, maka
mereka tidak sekali-kali akan diingkari (atau disekat dari
mendapat pahalanya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui
akan keadaan orang-orang yang bertaqwa.

116@ Sesungguhnya orang-orang yang kafir, harta benda mereka
dan anak-anak mereka, tidak sekali-kali akan dapat
menyelamatkan mereka dari (azab) Allah sedikitpun, dan mereka
itu ialah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.

117@ Bandingan apa yang mereka belanjakan dalam kehidupan
dunia ini (sekalipun untuk amal-amal yang baik), samalah
seperti angin yang membawa udara yang amat sejuk, yang menimpa
tanaman kaum yang menganiaya diri mereka sendiri, lalu
membinasakannya, dan (ingatlah), Allah tidak menganiaya
mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.

118@ Wahai orang-orang yang beriman ! Janganlah kamu mengambil
orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi “ orang
dalam” (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti
berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa
yang menyusahkan kamu. Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka
pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati
mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah kami jelaskan
kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu)
memahaminya.

119@ Awaslah ! Kamu ini adalah orang-orang (yang melanggar
larangan), kamu sahajalah yang suka (dan percayakan mereka,
sedang mereka tidak suka kepada kamu. Kamu juga beriman kepada
segala Kitab Allah (sedang mereka tidak beriman kepada
Al Quran). Dan apabila mereka bertemu dengan kamu mereka
berkata, “ Kami beriman”, tetapi apabila mereka berkumpul
sesama sendiri, mereka menggigit hujung jari kerana geram
marah (kepada kamu), katakanlah (wahai Muhammad), “ Matilah
kamu dengan kemarahan kamu itu.” Sesungguhnya Allah sentiasa
mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada.

120@ Kalau kamu beroleh kebaikan (kemakmuran dan kemenangan,
maka yang demikian) menyakitkan hati mereka, dan jika kamu
ditimpa bencana, mereka bergembira dengannya. Dan kalau kamu
sabar dan bertaqwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan
membahayakan kamu sedikitpun. Sesungguhnya Allah meliputi
pengetahuanNya akan apa yang mereka lakukan.

121@ Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika engkau keluar pada
pagi hari dari rumah ahlimu (di Madinah), dengan tujuan
menempatkan orang-orang yang beriman pada tempat masing-masing
untuk berperang (di medan perang Uhud). Dan (ingatlah), Allah
Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

122@ (Ingatlah) ketika dua puak dari kamu (pada hari
peperangan Uhud itu) terasa lemah semangat (untuk meneruskan
perjuangan) kerana takut, padahal Allah Penolong dan Pelindung
mereka, dan (jika sudah demikian) kepada Allah sahajalah
hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal.

123@ Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai
kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan
lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat
perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu
bersyukur (akan kemenangan itu).

124@ (Ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada
orang-orang yang beriman (untuk menguatkan semangat mereka),
“ Tidakkah cukup bagi kamu, bahawa Allah membantu kamu dengan
tiga ribu tentera dari malaikat yang diturunkan ?,”

125@ Bahkan (mencukupi. Dalam pada itu) jika kamu bersabar dan
bertaqwa, dan mereka (musuh) datang menyerang kamu dengan
serta-merta, nescaya Allah membantu kamu dengan lima ribu
malaikat yang bertanda masing-masing.

126@ Dan Allah tidak menjadikan bantuan tentera malaikat itu
melainkan kerana memberi khabar gembira kepada kamu, dan
supaya kamu tenteram dengan bantuan itu. Dan (ingatlah bahawa)
pertolongan yang membawa kemenangan itu hanya dari Allah Yang
Maha kuasa, lagi Maha Bijaksana.

127@ (Kemenangan Badar itu) kerana Allah hendak membinasakan
satu golongan dari orang-orang kafir atau menghina mereka
(dengan kekalahan), supaya mereka kembali dengan hampa kecewa.

128@ Engkau tidak berhak sedikitpun (wahai Muhammad) dalam
urusan (orang-orang yang ingkar) itu, (kerana urusan mereka
tertentu bagi Allah), sama ada dia menerima taubat mereka
ataupun Ia menyeksa mereka, kerana sesungguhnya mereka itu
orang-orang yang zalim.

129@ Dan bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang
ada di bumi. Ia mengampunkan sesiapa yang dikehendakiNya, dan
dia menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya. Dan (ingatlah),
Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

130@ Wahai orang-orang yang beriman ! Janganlah kamu makan
atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda, dan hendaklah
kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu berjaya.

131@ Dan peliharalah diri kamu dari api neraka, yang
disediakan bagi orang-orang kafir.

132@ Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, supaya kamu
diberi rahmat.

133@ Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang
baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat)
Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang
disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa,

134@ Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa
senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya,
dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan
(ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-
perkara yang baik,

135@ Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan
keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada
Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka (dan sememangnya
tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah), dan
mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah
lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan
akibatnya).

136@ Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah
keampunan dari Tuhan mereka, dan Syurga-syurga yang mengalir
di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya, dan
yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang
yang beramal.

137@ Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu (contoh kejadian-
kejadian berdasarkan) peraturan-peraturan Allah yang tetap,
oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian
perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan
(Rasul-rasul).

138@ (Al Quran) ini ialah penerangan kepada seluruh umat
manusia, dan petunjuk serta pengajaran bagi orang-orang yang
(hendak) bertaqwa.

139@ Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan
mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu
berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal
kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan
mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-
sungguh) beriman.

140@ Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka
(tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi
kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendapat luka yang sama
(dalam peperangan Badar). Dan demikian itulah keadaan hari-
hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau
kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya
menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah
tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya),
dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu
orang-orang yang mati Syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka
kepada orang-orang yang zalim.

141@ Dan juga supaya Allah membersihkan orang-orang yang
beriman (dari dosa-dosa mereka) dan membinasakan orang-orang
yang kafir.

142@ Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga
padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang
yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh)
di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang
yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan) ?

143@ Dan sesungguhnya kamu telah mengharap-harapkan mati
Syahid (dalam perang Sabil) sebelum kamu menghadapinya. Maka
sesungguhnya kamu (sekarang) telahpun menyaksikannya dan kamu
sedang melihatnya (dengan mata kepala sendiri).

144@ Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang
sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati
atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau
terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi
kafir) ? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir)
maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah
sedikitpun, dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala
kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang
tidak ada bandingannya itu).

145@ Dan (tiap-tiap) makhluk yang bernyawa tidak akan mati
melainkan dengan izin Allah, iaitu ketetapan (ajal) yang
tertentu masanya (yang telah ditetapkan oleh Allah). Dan
(dengan yang demikian) sesiapa yang menghendaki balasan dunia,
kami berikan bahagiannya dari balasan dunia itu, dan sesiapa
yang menghendaki balasan akhirat, kami berikan bahagiannya
dari balasan akhirat itu, dan Kami pula akan beri balasan
pahala kepada orang-orang yang bersyukur.

146@ Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang
dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah,
maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah
menimpa mereka pada jalan (ugama) Allah dan mereka juga tidak
lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). Dan
(ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar.

147@ Dan tidaklah ada yang mereka ucapkan (semasa berjuang),
selain daripada berdoa dengan berkata, “ Wahai Tuhan kami !
Ampunkanlah dosa-dosa kami dan perbuatan kami yang melampau
dalam urusan kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami (dalam
perjuangan), dan tolonglah kami mencapai kemenangan terhadap
kaum yang kafir."

148@ Oleh itu, Allah memberikan mereka pahala dunia
(kemenangan dan nama yang harum), dan pahala akhirat yang
sebaik-baiknya (nikmat Syurga yang tidak ada bandingannya).
Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang
berbuat kebaikan.

149@ Wahai orang-orang yang beriman ! Jika kamu taatkan orang-
orang yang kafir nescaya mereka akan menolak kamu kembali
kepada kekufuran, lalu menjadilah kamu orang-orang yang rugi.

150@ (Janganlah kamu taatkan mereka !) Bahkan (taatlah kepada)
Allah Pelindung kamu, dan Dialah sebaik-baik Penolong.



151@ Kami akan isikan hati orang-orang kafir itu dengan
perasaan gerun, disebabkan mereka mempersekutukan Allah dengan
benda-benda (yang mereka sembah) yang Allah tidak menurunkan
sebarang keterangan yang membenarkannya. Dan (dengan yang
demikian) tempat kembali mereka ialah neraka, dan itulah
seburuk-buruk tempat tinggal bagi orang-orang zalim.

152@ Dan demi sesungguhnya, Allah telah menepati janjiNya
(memberikan pertolongan) kepada kamu ketika kamu (berjaya)
membunuh mereka (beramai-ramai) dengan izinNya, sehingga
ke masa kamu lemah (hilang semangat untuk meneruskan
perjuangan) dan kamu berbalah dalam urusan (perang) itu, serta
kamu pula menderhaka (melanggar perintah Rasulullah) sesudah
Allah perlihatkan kepada kamu akan apa yang kamu sukai
(kemenangan dan harta rampasan perang). Di antara kamu ada
yang menghendaki keuntungan dunia semata-mata, dan di antara
kamu ada yang menghendaki akhirat, kemudian Allah memalingkan
kamu daripada menewaskan mereka untuk menguji (iman dan
kesabaran) kamu, dan sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu,
(semata-mata dengan limpah kurniaNya). Dan (ingatlah), Allah
sentiasa melimpahkan kurniaNya kepada orang-orang yang
beriman.

153@ (Ingatlah) ketika kamu berundur lari dan tidak menoleh
kepada sesiapa pun, sedang Rasulullah (yang masih berjuang
dengan gagahnya) memanggil kamu dari kumpulan yang tinggal
di belakang kamu (untuk berjuang terus tetapi kamu tidak
mematuhinya). Oleh sebab itu Allah membalas kamu (dengan
peristiwa) yang mendukacitakan (kekalahan), dengan sebab
perbuatan (kamu menderhaka) yang mendukacitakan (Rasulullah)
itu, supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput
dari kamu, dan tidak (pula bersedih) akan apa yang menimpa
kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam
akan apa jua yang kamu lakukan.

154@ Kemudian sesudah (kamu mengalami kejadian) yang
mendukacitakan itu, Allah menurunkan kepada kamu perasaan aman
tenteram, iaitu rasa mengantuk yang meliputi segolongan dari
kamu (yang teguh imannya lagi ikhlas), sedang segolongan yang
lain yang hanya mementingkan diri sendiri, menyangka terhadap
Allah dengan sangkaan yang tidak benar, seperti sangkaan
orang-orang jahiliyah. Mereka berkata, “ Adakah bagi kita
sesuatu bahagian dari pertolongan kemenangan yang dijanjikan
itu ?” Katakanlah (wahai Muhammad), “ Sesungguhnya perkara
(yang telah dijanjikan) itu semuanya tertentu bagi Allah,
(Dialah sahaja yang berkuasa melakukannya menurut peraturan
yang ditetapkanNya)”. Mereka sembunyikan dalam hati mereka apa
yang mereka tidak nyatakan kepadamu. Mereka berkata (sesama
sendiri), “ Kalaulah ada sedikit bahagian kita dari
pertolongan yang dijanjikan itu, tentulah (orang-orang) kita
tidak terbunuh di tempat ini?” Katakanlah (wahai Muhammad),
“ Kalau kamu berada di rumah kamu sekalipun nescaya keluarlah
juga orang-orang yang telah ditakdirkan (oleh Allah) akan
terbunuh itu ke tempat mati masing-masing.” Dan (apa yang
berlaku di medan perang Uhud itu) dijadikan oleh Allah untuk
menguji apa yang ada dalam dada kamu, dan untuk membersihkan
apa yang ada dalam hati kamu. Dan (ingatlah), Allah sentiasa
mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada.

155@ Bahawasanya orang-orang yang telah berpaling (melarikan
diri) di antara kamu pada hari bertemu dua angkatan tentera
(Islam dan kafir dalam perang Uhud) itu, sesungguhnya mereka
telah digelincirkan oleh Syaitan dengan sebab sebahagian dari
perbuatan-perbuatan (yang salah) yang mereka telah lakukan
(pada masa yang lalu), dan demi sesungguhnya Allah telah
memaafkan mereka, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun,
lagi Maha Penyabar.

156@ Wahai orang-orang yang beriman ! Janganlah kamu menjadi
seperti orang-orang (munafik) yang telah kufur dan berkata
kepada saudara-saudaranya apabila mereka pergi mengembara
di muka bumi untuk berniaga, atau keluar berperang (lalu mati
atau terbunuh), “ Kalau mereka tinggal bersama-sama kita,
tentulah mereka tidak mati dan tidak terbunuh.” (Apa yang
mereka katakan itu tidak ada faedahnya) bahkan akibatnya Allah
menjadikan (kesan perkataan dan kepercayaan mereka) yang
demikian itu, penyesalan dalam hati mereka. Dan (ingatlah),
Allah yang menghidupkan dan yang mematikan, dan Allah sentiasa
melihat akan segala yang kamu lakukan.

157@ Demi sesungguhnya ! Jika kamu terbunuh pada jalan Allah
(dalam perang Sabil), atau kamu mati (mati biasa, semasa
mengerjakan kebajikan umum), sesungguhnya keampunan dari Allah
dan rahmatNya adalah lebih baik (bagi kamu) dari apa yang
mereka (orang-orang kafir dan munafik) itu himpunkan (meliputi
segala jenis kesenangan hidup).

158@ Demi sesungguhnya ! Jika kamu mati atau terbunuh, sudah
tentu kepada Allah jualah kamu akan dihimpunkan (untuk
menerima balasan).

159@ Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari
Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-
lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan
kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah
mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka
(mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan
pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan
mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu.
Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat,
untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah,
sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal
kepadaNya.

160@ Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak
ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu, dan jika Ia
mengalahkan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu
sesudah Allah (menetapkan yang demikian) ? Dan (ingatlah),
kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu
berserah diri.

161@ Dan tiadalah patut bagi seseorang Nabi itu (disangkakan)
berkhianat (menggelapkan harta rampasan perang), dan sesiapa
yang berkhianat (menggelapkan sesuatu), ia akan bawa bersama
pada hari kiamat kelak apa yang dikhianatinya itu, kemudian
tiap-tiap seorang akan disempurnakan (balasan bagi) apa yang
telah diusahakannya, sedang mereka tidak akan dikurangkan
sedikitpun (balasannya).

162@ Adakah orang yang menurut keredaan Allah itu sama seperti
orang yang kesudahannya mendapat kemurkaan dari Allah ? Sedang
tempat kembalinya ialah neraka Jahannam, dan itulah seburuk-
buruk tempat kembali.

163@ Mereka itu (yang menurut keredaan Allah, dan yang
mendapat kemurkaanNya), mempunyai tingkatan-tingkatan (pahala
atau dosa yang berlainan) di sisi Allah, dan Allah Maha
Melihat akan segala yang mereka kerjakan.

164@ Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmatNya) kepada
orang-orang yang beriman, setelah Ia mengutuskan dalam
kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang
membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (kandungan Al Quran
yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan
membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajar
mereka Kitab Allah (Al Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang
mendalam mengenai hukum-hukum Syariat). Dan sesungguhnya
mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam
kesesatan yang nyata.

165@ (Patutkah kamu melanggar perintah Rasulullah) ? Dan
(kemudiannya) apabila kamu ditimpa kemalangan (dalam
peperangan Uhud), yang kamu telahpun memenangi seperti itu
sebanyak dua kali ganda (dengan menimpakan kemalangan kepada
musuh dalam peperangan Badar), kamu berkata, “ Dari mana
datangnya (kemalangan) ini ?“ Katakanlah (wahai Muhammad),
“ Kemalangan) itu ialah dari kesalahan diri kamu sendiri
(melanggar perintah Rasulullah)”. Sesungguhnya Allah Maha
Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

166@ Dan apa yang telah menimpa kamu pada hari bertemu dua
kumpulan (angkatan tentera, di medan perang Uhud) itu, maka
(adalah ia) dengan izin Allah, dan dengan tujuan Allah hendak
melahirkan dengan nyata akan orang-orang yang (sebenar-
benarnya) beriman.

167@ Dan juga dengan tujuan Ia hendak melahirkan dengan nyata
akan dikatakan kepada mereka, “ Marilah berperang pada jalan
Allah (untuk membela Islam), atau pertahankanlah (diri,
keluarga dan harta benda kamu)”. Mereka menjawab, “ Kalaulah
kami faham ada peperangan (dengan sebenar-benarnya), tentulah
kami mengikut kamu (turut berperang)”. Mereka ketika
(mengeluarkan perkataan) itu lebih dekat kepada kufur dari
dekatnya kepada iman. Mereka selalu menyebut dengan mulutnya
apa yang tidak ada dalam hatinya. Dan (ingatlah), Allah Maha
Mengetahui akan apa yang mereka sembunyikan.

168@ Merekalah juga yang mengatakan tentang hal saudara-
saudaranya (yang telah terbunuh di medan perang Uhud), sedang
mereka sendiri tidak turut berperang, “ Kalaulah mereka
taatkan kami (turut menarik diri) tentulah mereka tidak
terbunuh.” Katakanlah (wahai Muhammad), “ Jika demikian,
hindarkanlah maut dari diri kamu, jika betul kamu orang-orang
yang benar.”

169@ Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang
terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati,
(mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara
istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki,

170@ (Dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan Allah
(balasan mati Syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka,
dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai (saudara-
saudaranya) orang-orang (Islam yang sedang berjuang), yang
masih tinggal di belakang, yang belum (mati dan belum) sampai
kepada mereka, (iaitu) bahawa tidak ada kebimbangan (dari
berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan
mereka pula tidak akan berdukacita.

171@ Mereka bergembira dengan balasan nikmat dari Allah dan
limpah kurniaNya, dan (ingatlah), bahawa Allah tidak
menghilangkan pahala orang-orang yang beriman.

172@ Iaitu orang-orang yang menjunjung perintah Allah dan
RasulNya (supaya keluar menentang musuh yang menceroboh),
sesudah mereka mendapat luka (tercedera di medan perang Uhud).
Untuk orang-orang yang telah berbuat baik di antara mereka dan
yang bertaqwa, ada balasan yang amat besar.

173@ Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang
(pembawa berita) kepada mereka, “ Bahawa kaum (kafir musyrik)
telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu
hendaklah kamu gerun kepadanya.” Maka berita itu makin
menambahkan iman mereka lalu berkata, “ Cukuplah untuk
(menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah
kepadaNya segala urusan kami).”

174@ Setelah (pergi mengejar musuh), mereka kembali dengan
mendapat nikmat dan limpah kurnia dari Allah, mereka tidak
disentuh oleh sesuatu bencana pun, serta mereka pula menurut
keredaan Allah. (Dan ingatlah), Allah mempunyai limpah kurnia
yang amat besar.

175@ Sesungguhnya (pembawa berita) yang demikian itu ialah
syaitan yang (bertujuan) menakut-nakutkan (kamu terhadap)
pengikut-pengikutnya (kaum kafir musyrik). Oleh itu, janganlah
kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepadaKu (jangan
cuaikan perintahKu), jika betul kamu orang-orang yang beriman.

176@ Dan janganlah engkau berdukacita (wahai Muhammad),
disebabkan orang-orang yang segera menceburkan diri dalam
kekufuran, kerana sesungguhnya mereka tidak sekali-kali akan
dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun. Allah
menetapkan tidak memberi kepada mereka (balasan baik syurga)
pada hari akhirat kelak, dan mereka pula beroleh azab seksa
yang amat besar.

177@ Sesungguhnya orang-orang yang membeli (memilih) kufur
dengan meninggalkan iman tidak sekali-kali mereka akan dapat
mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun, dan mereka pula
beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

178@ Dan jangan sekali-kali orang-orang kafir menyangka bahawa
Kami membiarkan (mereka hidup lama) itu baik bagi diri mereka,
kerana sesungguhnya Kami biarkan mereka hanyalah supaya mereka
bertambah dosa (di dunia), dan mereka pula beroleh azab seksa
yang menghina (di akhirat kelak).

179@ Allah tidak sekali-kali akan membiarkan orang-orang yang
beriman dalam keadaan yang kamu ada seorang (bercampur aduk
mukmin dan munafik, bahkan Ia tetap menguji kamu) sehingga Ia
memisahkan yang buruk (munafik) daripada yang baik (beriman).
Dan Allah tidak sekali-kali akan memperlihatkan kepada kamu
perkara-perkara yang Ghaib akan tetapi Allah memilih dari
RasulNya sesiapa yang dikehendakiNya (untuk memperlihatkan
kepadanya perkara-perkara yang Ghaib). Oleh itu berimanlah
kamu kepada Allah dan Rasul-rasulNya, dan kamu beriman dan
bertaqwa, maka kamu akan beroleh pahala yang besar.

180@ Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan
harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari
kemurahanNya (menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi
mereka). Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan
dikalongkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu
pada hari kiamat kelak. Dan bagi Allah jualah hak milik segala
warisan (isi) langit dan bumi. Dan (ingatlah), Allah Maha
Mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerjakan.

181@ Sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan orang-orang
(Yahudi) yang mengatakan, Bahawasanya Allah miskin dan kami
ialah orang-orang kaya. Kami (Allah) akan menuliskan perkataan
mereka itu dan perbuatan mereka membunuh Nabi-nabi dengan
tidak ada alasan yang membenarkannya, dan Kami akan katakan
kepada mereka, “ Rasalah kamu azab seksa yang sentiasa
membakar,

182@ (Azab seksa) yang demikian itu ialah disebabkan perbuatan
yang, telah dilakukan oleh tangan kamu sendiri. Dan
(ingatlah), sesungguhnya Allah tidak sekali-kali berlaku zalim
kepada hamba-hambanya.”

183@ Orang-orang (Yahudi itulah) yang berkata, “ Sebenarnya
Allah telah perintahkan kami, supaya kami jangan beriman
kepada seseorang Rasul sehingga ia membawa kepada kami korban
yang dimakan api.“ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Sesungguhnya
telah datang kepada kamu beberapa Rasul dahulu daripadaku
dengan membawa keterangan-keterangan (mukjizat) yang nyata dan
dengan (korban) yang kamu membunuh mereka, jika kamu orang-
orang yang benar (dalam yang kamu dakwakan itu) ?"

184@ Oleh itu, jika mereka mendustakanmu (wahai Muhammad, maka
janganlah engkau berdukacita), kerana sesungguhnya Rasul-rasul
yang terdahulu daripadamu telah didustakan juga, mereka telah
membawa keterangan-keterangan (mukjizat) yang nyata dan Kitab-
kitab (nasihat pengajaran), serta Kitab (Syariat) yang terang
jelas.

185@ Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan
bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan
balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka
dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya.
Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala
kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah
kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.

186@ Demi sesungguhnya, kamu akan diuji pada harta benda dan
diri kamu. Dan demi sesungguhnya, kamu akan mendengar dari
orang-orang yang telah diberikan Kitab dahulu daripada kamu
dan orang-orang yang musyrik, banyak (tuduhan-tuduhan dan
cacian) yang menyakitkan hati. Dalam pada itu, jika kamu
bersabar dan bertaqwa maka sesungguhnya yang demikian itu
adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat
(melakukannya).

187@ Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia
dari orang-orang yang telah diberikan Kitab (iaitu), “ Demi
sesungguhnya ! Hendaklah kamu menerangkan isi Kitab itu kepada
umat manusia, dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya.”
Kemudian mereka membuang (perjanjian setia) itu ke belakang
mereka, serta mereka menukarnya dengan mengambil faedah dunia
yang sedikit. Maka amatlah buruknya apa yang mereka dapati
dari penukaran (Kalamullah dan janjiNya) itu.

188@ Jangan sekali-kali engkau menyangka (wahai Muhammad,
bahawa) orang-orang yang bergembira dengan apa yang mereka
telah lakukan, dan mereka pula suka dipuji dengan apa yang
mereka tidak lakukan (jangan sekali-kali engkau menyangka
mereka akan terselamat dari seksa), dan mereka pula akan
beroleh azab yang tidak terperi sakitnya.

189@ Dan bagi Allah jualah kuasa pemerintah langit dan bumi,
dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

190@ Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada
pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan,
kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang
yang berakal,

191@ (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah
semasa mereka berdiri dan duduk, dan semasa mereka berbaring
mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit
dan bumi (sambil berkata), “ Wahai Tuhan kami ! Tidaklah
Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci
Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.

192@ Wahai Tuhan kami ! Sebenarnya sesiapa yang Engkau
masukkan ke dalam neraka maka sesungguhnya Engkau telah
menghinakannya, dan orang-orang yang zalim tidak akan beroleh
seorang penolong pun,

193@ Wahai Tuhan kami ! Sesungguhnya kami telah mendengar
seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada iman, katanya,
" Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu", maka kami pun beriman.
Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah
daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami
bersama orang-orang yang berbakti,

194@ Wahai Tuhan kami ! Berikanlah kepada kami pahala yang
telah Engkau janjikan kepada kami melalui Rasul-rasulMu, dan
janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat, sesungguhnya
Engkau tidak memungkiri janji.”

195@ Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan
firmanNya), “ Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal
orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki
atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari
setengahnya yang lain, maka orang-orang yang berhijrah (kerana
menyelamatkan ugamanya), dan yang diusir ke luar dari tempat
tinggalnya, dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai
gangguan) kerana menjalankan ugamaKu, dan yang berperang
(untuk mempertahankan Islam), dan yang terbunuh (gugur Syahid
dalam perang Sabil), sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-
kesalahan mereka, dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka
ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai,
sebagai pahala dari sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah
pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh).”

196@ Jangan sekali-kali engkau (wahai Muhammad) terpedaya oleh
usaha gerakan orang-orang yang kafir di dalam negeri (yang
membawa keuntungan-keuntungan kepada mereka).

197@ (Semuanya) itu hanyalah kesenangan yang sedikit,
(akhirnya akan lenyap), kemudian tempat kembali mereka neraka
Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat ketetapan.

198@ Tetapi orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka,
mereka beroleh Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya
beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya, sebagai tempat
sambutan tetamu (yang meriah dengan nikmat pemberian) dari
Allah. Dan (ingatlah) apa jua yang ada di sisi Allah adalah
lebih bagi orang-orang yang berbakti (yang taat, yang banyak
berbuat kebajikan).

199@ Dan sesungguhnya di antara Ahli Kitab, ada orang yang
beriman kepada Allah dan (kepada) apa yang diturunkan kepada
kamu (Al Quran) dan juga (kepada) apa yang diturunkan kepada
mereka, sedang mereka khusyuk kepada Allah dengan tidak
menukarkan ayat-ayat Allah untuk mengambil keuntungan dunia
yang sedikit. Mereka itu beroleh pahalanya di sisi Tuhan
mereka. Sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.

200@ Wahai orang-orang yang beriman ! Bersabarlah kamu
(menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara
yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih
daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan
bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah
sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu
berjaya (mencapai kemenangan).

No comments:

Post a Comment