Saturday 30 January 2016

Al Quran Indonesia. 018. Surah Al Kahfi (Gua)...

Al Quran Indonesia. 018. Surah Al Kahfi (Gua)...

BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

1@ Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menurunkan
kepada hambaNya (Muhammad), Kitab suci Al Quran, dan tidak
menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong),

2@ (Bahkan keadaannya) tetap benar lagi menjadi pengawas,
turunnya Al Quran untuk memberi amaran (kepada orang-orang
yang ingkar) dengan azab yang seberat-beratnya dari sisi
Allah, dan memberi berita gembira kepada orang-orang yang
beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka akan
beroleh balasan yang baik.

3@ Mereka tinggal tetap dalam (balasan yang baik) itu selama-
lamanya.

4@ Dan juga Al Quran itu, memberi amaran kepada orang-orang
yang berkata, ” Allah mempunyai anak.”

5@ (Sebenarnya) mereka tiada mempunyai sebarang pengetahuan
mengenainya, dan tiada juga bagi datuk nenek mereka, besar
sungguh perkataan syirik yang keluar dari mulut mereka, mereka
hanya mengatakan perkara yang dusta.

6@ Maka jangan-jangan pula engkau (wahai Muhammad),
membinasakan dirimu disebabkan menanggung dukacita terhadap
kesan-kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan beriman
kepada keterangan Al Quran ini.

7@ Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi
sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka,
siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya.

8@ Dan sesungguhnya Kami akan jadikan apa yang ada di bumi itu
(punah-ranah) sebagai tanah yang tandus.

9@ Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah,
“Ashaabul Kahfi” dan “Ar Raqiim” itu sahaja yang menakjubkan
di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami ?

10@ (Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang
muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa, “ Wahai Tuhan kami !
Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-
kemudahan serta pimpinan kepada kami, untuk keselamatan ugama
kami.”

11@ Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya dalam gua itu,
bertahun-tahun, yang banyak bilangannya.

12@ Kemudian Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), untuk
Kami menguji, siapakah dari dua golongan di antara mereka yang
lebih tepat kiraannya, tentang lamanya mereka hidup (dalam gua
itu).

13@ Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka
dengan benar, sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang
beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan
hidayah petunjuk.

14@ Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan
keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid), lalu
berkata, “ Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan
mentadbirkan langit dan bumi, kami tidak sekali-kali akan
menyembah Tuhan yang lain dari padanya, jika kami menyembah
yang lainnya, bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu
yang jauh dari kebenaran.”

15@ (Mereka berkata pula sesama sendiri), “ Kaum kita itu,
menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah, sepatutnya
mereka mengemukakan keterangan yang nyata, yang membuktikan
ketuhanan makhluk-makhluk yang mereka sembah itu ?" (Tetapi
mereka tidak dapat berbuat demikian), Maka tidak ada yang
lebih zalim dari orang-orang yang berdusta terhadap Allah.

16@ Dan oleh kerana kamu telah mengasingkan diri dari mereka
dan dari apa yang mereka sembah yang lain dari Allah, maka
pergilah kamu berlindung di gua itu, supaya Tuhan kamu
melimpahkan dari rahmatnya kepada kamu, dan menyediakan
kemudahan-kemudahan untuk (menjayakan) urusan kamu dengan
memberikan bantuan yang berguna.”

17@ Dan engkau akan melihat matahari ketika terbit, cenderung
ke kanan dari gua mereka, dan apabila ia terbenam,
meninggalkan mereka ke arah kiri, sedang mereka berada dalam
satu lapangan gua itu. Yang demikian ialah dari tanda-tanda
(yang membuktikan kekuasaan) Allah. Sesiapa yang diberi
hidayah petunjuk oleh Allah, maka dialah yang berjaya mencapai
kebahagiaan, dan sesiapa yang disesatkanNya, maka engkau tidak
sekali-kali akan beroleh sebarang penolong yang dapat
menunjukkan (jalan yang benar) kepadanya.

18@ Dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur, dan
Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan
ke sebelah kiri, sedang anjing mereka menghulurkan dua kaki
depannya dekat pintu gua, jika engkau melihat mereka, tentulah
engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah
engkau akan merasa sepenuh-penuh gerun takut kepada mereka.

19@ Dan demikianlah pula Kami bangkitkan mereka (dari
tidurnya), supaya mereka bertanya-tanyaan sesama sendiri.
Salah seorang di antaranya bertanya, “ Berapa lama kamu
tidur ?” (sebahagian dari) mereka menjawab, “ Kita telah tidur
selama sehari atau sebahagian dari sehari.” (Sebahagian lagi
dari) mereka berkata, “ Tuhan kamu lebih mengetahui tentang
lamanya kamu tidur, sekarang utuslah salah seorang dari kamu,
membawa wang perak kamu ini ke bandar, kemudian biarlah dia
mencari dan memilih mana-mana jenis makanan yang lebih baik
lagi halal (yang dijual di situ), kemudian hendaklah ia
membawa untuk kamu sedikit habuan daripadanya, dan hendaklah
ia berlemah-lembut dengan bersungguh-sungguh (semasa
di bandar), dan janganlah dia melakukan sesuatu yang
menyebabkan sesiapapun menyedari akan hal kamu.

20@ “ Sesungguhnya, kalaulah mereka mengetahui hal kamu,
tentulah mereka akan merejam dengan membunuh kamu, atau mereka
akan mengembalikan kamu kepada ugama mereka (secara paksa),
dan jika berlaku demikian, kamu tidak sekali-kali akan berjaya
selama-lamanya.”

21@ Dan demikianlah Kami dedahkan hal mereka kepada orang
ramai, supaya orang-orang itu mengetahui bahawa janji Allah
menghidupkan semula orang mati adalah benar, dan bahawa hari
kiamat itu tidak ada sebarang syak padanya, pendedahan itu
berlaku semasa orang-orang itu berbantahan sesama sendiri
mengenai perkara hidupnya semula orang mati. Setelah itu maka
(sebahagian dari) mereka berkata, “ Dirikanlah sebuah bangunan
di sisi gua mereka, Allah jualah yang mengetahui akan hal
ehwal mereka.” orang-orang yang berkuasa atas urusan mereka
(pihak raja) pula berkata, “ Sebenarnya kami hendak membina
sebuah masjid di sisi gua mereka.”

22@ (Sebahagian dari) mereka akan berkata, “ Bilangan Ashaabul
Kahfi itu tiga orang, yang keempatnya ialah anjing mereka.“
dan setengahnya pula berkata, ” Bilangan mereka lima orang,
yang keenamnya ialah anjing mereka.” secara meraba-raba dalam
gelap akan sesuatu yang tidak diketahui, dan setengahnya yang
lain berkata, “ Bilangan mereka tujuh orang, dan yang
kedelapannya ialah anjing mereka.” Katakanlah (wahai
Muhammad), “ Tuhanku lebih mengetahui akan bilangan mereka,
tiada yang mengetahui bilangannya melainkan sedikit.” Oleh
itu, janganlah engkau berbahas dengan sesiapapun mengenai
mereka melainkan dengan bahasan (secara sederhana) yang nyata
(keterangannya di dalam Al Quran), dan janganlah engkau
meminta penjelasan mengenai hal mereka kepada seseorangpun
dari golongan (yang membincangkannya).

23@ Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu (yang hendak
dikerjakan), “ Bahawa aku akan lakukan yang demikian itu,
kemudian nanti.”

24@ Melainkan (hendaklah disertakan dengan berkata), “ In sya
Allah.” Dan ingatlah serta sebutlah akan Tuhanmu jika engkau
lupa, dan katakanlah, “ Mudah-mudahan Tuhanku memimpinku
ke jalan petunjuk yang lebih dekat dan lebih terang dari ini.”

25@ Dan mereka telah tinggal tidur dalam gua mereka, (Tiga
ratus tahun dengan kiraan Ahli Kitab), dan sembilan lagi
(dengan kiraan kamu).

26@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Allah jua yang mengetahui
tentang masa mereka tidur, bagiNyalah tertentu ilmu
pengetahuan segala rahsia langit dan bumi, terang sungguh
penglihatanNya (terhadap segala-galanya) ! Tidak ada bagi
penduduk langit dan bumi, pengurus selain daripadaNya dan Ia
tidak menjadikan sesiapapun masuk campur dalam hukumNya.

27@ Dan baca serta turutlah apa yang diwahyukan kepadamu dari
kitab Tuhanmu, tiada sesiapa yang dapat mengubah kalimah-
kalimahNya, dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat tempat
perlindungan selain daripadaNya.

28@ Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan
orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka, pada waktu
pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata,
dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka
hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia, dan
janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya
lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami
di dalam Al Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan
tingkah lakunya pula adalah melampaui kebenaran.

29@ Dan katakanlah (wahai Muhammad), “ Kebenaran itu ialah
yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman,
hendaklah ia beriman, dan sesiapa yang mahu kufur ingkar,
biarlah dia mengingkarinya.” Kerana Kami telah menyediakan
bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang
meliputi mereka laksana khemah, dan jika mereka meminta
pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan
air yang seperti tembaga cair yang membakar muka, amatlah
buruknya minuman itu, dan amatlah buruknya neraka sebagai
tempat bersenang-senang.

30@ Sebenarnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh,
sudah tetap Kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang
yang berusaha memperbaiki amalnya.

31@ Mereka itu, disediakan baginya syurga yang kekal, yang
mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka dihiaskan
di dalamnya dengan gelang-gelang tangan emas, dan memakai
pakaian hijau dari sutera yang nipis dan sutera tebal yang
bersulam, mereka berehat di dalamnya dengan berbaring di atas
pelamin-pelamin (yang berhias). Demikian itulah balasan yang
sebaik-baiknya dan demikian itulah Syurga, tempat berehat yang
semolek-moleknya.

32@ Dan berikanlah kepada mereka satu contoh, " Dua orang
lelaki, Kami adakan bagi salah seorang di antaranya, dua buah
kebun anggur, dan Kami kelilingi kebun-kebun itu dengan pohon-
pohon tamar, serta Kami jadikan di antara keduanya, jenis-
jenis tanaman yang lain.

33@ Kedua-dua kebun itu mengeluarkan hasilnya, dan tiada
mengurangi sedikitpun dari hasil itu, dan kami juga
mengalirkan di antara keduanya sebatang sungai.

34@ Tuan kebun itu pula, ada mempunyai harta (yang lain), lalu
berkatalah ia kepada rakannya, semasa ia berbincang dengannya,
“ Aku lebih banyak harta daripadamu, dan lebih berpengaruh
dengan pengikut-pengikutku yang ramai.”

35@ Dan ia pun masuk ke kebunnya (bersama-sama rakannya),
sedang ia berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan sebab
kufurnya), sambil ia berkata, “ Aku tidak fikir, kebun ini
akan binasa selama-lamanya.

36@ Dan aku tidak fikir, hari kiamat akan berlaku, dan
kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhanku (sebagaimana
kepercayaanmu), tentulah aku akan mendapat tempat kembali yang
lebih baik daripada ini.

37@ Berkatalah rakannya kepadanya, semasa ia berbincang
dengannya, “ Patutkah engkau kufur ingkar kepada Allah yang
menciptakan engkau dari tanah, kemudian dari air benih,
kemudian Ia membentukmu dengan sempurna sebagai seorang
lelaki ?

38@ Tetapi aku sendiri percaya dan yakin dengan sepenuhnya
bahawa Dialah Allah, Tuhanku, dan aku tidak sekutukan sesuatu
pun dengan Tuhanku.

39@ Dan sepatutnya, semasa engkau masuk ke kebunmu, berkata,
" (Semuanya ialah barang yang dikehendaki Allah) ! (tiada daya
dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah) ? Kalau engkau
memandangku sangat kurang tentang harta dan anak, berbanding
denganmu,

40@ Maka mudah-mudahan Tuhanku akan mengurniakan daku lebih
baik daripada kebunmu, dan (aku bimbang) dia akan
menimpakannya dengan bala, bencana dari langit, sehinggalah
menjadilah kebunmu itu tanah yang licin tandus.

41@ Ataupun air kebun itu akan menjadi kering ditelan bumi,
maka dengan yang demikian, engkau tidak akan dapat mencarinya
lagi.”

42@ Dan segala tanaman serta hartabendanya itupun dibinasakan,
lalu jadilah ia membalik-balikkan kedua tapak tangannya
(kerana menyesal) terhadap segala perbelanjaan yang telah
dibelanjakannya pada kebun-kebunnya, sedang kebun-kebun itu
runtuh junjung-junjung tanamannya, sambil dia berkata,
“ Alangkah baiknya kalau aku tidak sekutukan sesuatupun dengan
Tuhanku !”

43@ Dan ia tidak mendapat sebarang golongan yang boleh
menolongnya, selain dari Allah, dan ia pula tidak dapat
membela dirinya sendiri.

44@ Pada saat yang sedemikian itu, kekuasaan memberi
pertolongan hanya tertentu bagi Allah, Tuhan yang sebenar-
benarnya, Dialah sebaik-baik pemberi pahala, dan sebaik-baik
pemberi kesudahan yang berbahagia (kepada hamba-hambaNya yang
taat).

45@ Dan kemukakanlah kepada mereka misal perbandingan,
" Kehidupan dunia ini, samalah seperti air yang Kami turunkan
dari langit, lalu bercampur aduklah tanaman di bumi antara
satu sama lain (dan kembang suburlah ia) disebabkan air itu,
kemudian menjadilah ia kering hancur ditiup angin, dan
(ingatlah) adalah Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

46@ Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup
di dunia, dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih
baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik
sebagai asas yang memberi harapan.

47@ Dan (ingatkanlah) hari Kami bongkar dan terbangkan gunung-
ganang dan engkau akan melihat (seluruh) muka bumi terdedah
nyata, dan Kami himpunkan mereka (di padang Mahsyar) sehingga
Kami tidak akan tinggalkan seorangpun dari mereka.

48@ Dan mereka tetap akan dibawa mengadap Tuhanmu dengan
berbaris teratur, (sambil dikatakan kepada mereka), “ Kamu
sekarang telah datang kepada Kami, (berseorangan) sebagaimana
Kami telah jadikan kamu pada mulanya, bahkan kamu dahulu
menyangka, bahawa kami tidak akan menjadikan bagi kamu masa
yang tertentu (untuk melaksanakan apa yang Kami telah
janjikan).”

49@ Dan “ Kitab-kitab Amal” juga tetap akan dibentangkan, maka
engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut
akan apa yang tersurat di dalamnya, dan mereka akan berkata,
” Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian
keadaannya ? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar,
melainkan semua dihitungnya !” Dan mereka dapati segala yang
mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya), dan
(ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun.

50@ Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada
malaikat, “ Sujudlah kamu kepada Adam," lalu mereka sujud
melainkan iblis, ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia
menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu
hendak menjadikan iblis dan keturunannya sebagai sahabat-
sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripadaku ? Sedang
mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amatlah buruknya bagi orang-
orang yang zalim, pengganti yang mereka pilih itu.



51@ Aku tidak memanggil mereka menyaksi atau membantuKu
menciptakan langit dan bumi, dan tidak juga meminta bantuan
setengahnya untuk menciptakan setengahnya yang lain, dan tidak
sepatutnya Aku mengambil makhluk-makhluk yang menyesatkan itu
sebagai pembantu.

52@ Dan (ingatkanlah) masa Allah berfirman, “ Panggilah
sekutu-sekutuKu yang kamu katakan itu (untuk menolong kamu),
lalu mereka memanggilnya, tetapi sia-sia sahaja, kerana
makhluk-makhluk itu tidak menyahut seruan mereka, dan kami
jadikan untuk mereka bersama sebuah tempat azab yang
membinasakan.

53@ Dan orang-orang yang berdosa itu tetap akan melihat
neraka, maka yakinlah mereka, bahawa mereka akan jatuh
ke dalamnya dan mereka tidak akan mendapati sebarang jalan
untuk mengelakkan diri daripadanya.

54@ Dan demi sesungguhnya, Kami telah huraikan dengan
berbagai-bagai cara di dalam Al Quran ini untuk umat manusia,
dari segala jenis contoh bandingan, dan sememangnya manusia
itu, sejenis makhluk yang banyak sekali bantahannya.

55@ Dan tiada yang menghalang manusia daripada beriman, ketika
datang petunjuk Al Quran kepada mereka, dan daripada memohon
ampun kepada Tuhan mereka, melainkan (kerana kedegilan mereka
dan kerana mereka) menunggu didatangi azab yang memusnahkan
yang telah menimpa orang-orang dahulu, atau di datangi azab
yang dilihat dan dihadapi.

56@ Dan tidak Kami mengutus Rasul-rasul, melainkan sebagai
pemberi berita gembira dan pemberi amaran, dan orang-orang
yang kafir membantah dengan alasan yang salah untuk
menghapuskan kebenaran dengan bantahan itu, dan mereka jadikan
ayat-ayatku, dan amaran yang diberikan kepada mereka sebagai
ejek-ejekan.

57@ Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang
diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, lalu ia berpaling
daripadanya dan lupa akan apa yang telah dilakukan oleh kedua
tangannya, sesungguhnya (disebabkan bawaan mereka yang buruk
itu) Kami jadikan tutupan berlapis-lapis atas hati mereka,
menghalang mereka daripada memahaminya, dan (Kami jadikan)
pada telinga mereka penyumbat (yang menyebabkan mereka pekak).
Dan jika engkau menyeru mereka kepada petunjuk, maka dengan
keadaan yang demikian, mereka tidak sekali-kali akan beroleh
hidayah petunjuk selama-lamanya.

58@ Dan Tuhanmu Maha Pengampun, lagi melimpah-limpah
rahmatnya. Jika Ia mahu menyeksa mereka (di dunia) disebabkan
apa yang mereka telah usahakan, tentulah Ia akan menyegerakan
azab itu menimpa mereka, (tetapi Ia tidak berbuat demikian)
bahkan ditentukan bagi mereka satu masa, yang mereka tidak
sekali-kali akan dapat sebarang tempat perlindungan, yang
ialah daripadanya.

59@ Dan penduduk negeri-negeri (yang derhaka) itu, Kami telah
binasakan ketika mereka melakukan kezaliman, dan Kami telah
tetapkan satu masa yang tertentu bagi kebinasaan mereka.

60@ Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata
kepada temannya, “ Aku tidak akan berhenti berjalan sehingga
aku sampai di tempat pertemuan dua laut itu atau aku berjalan
terus bertahun-tahun.”

61@ Maka apabila mereka berdua sampai ke tempat pertemuan dua
laut itu, lupalah mereka akan hal ikan mereka, lalu ikan itu
menggelunsur menempuh jalannya di laut, yang merupakan lorong
di bawah tanah.

62@ Setelah mereka melampaui (tempat itu), berkatalah Nabi
Musa kepada temannya, “ Bawalah makan tengah hari, kita
sebenarnya kita telah mengalami penat lelah dalam perjalanan
kita ini.”

63@ Temannya berkata, “ Tahukah apa yang telah terjadi ketika
kita berehat di batu besar itu ? Sebenarnya aku lupakan hal
ikan itu, dan tiadalah yang menyebabkan aku lupa daripada
menyebutkan halnya kepadamu melainkan Syaitan, dan ikan itu
telah menggelunsur menempuh jalannya di laut, dengan cara yang
menakjubkan.”

64@ Nabi Musa berkata, “ Itulah yang kita kehendaki.“
merekapun balik semula ke situ, dengan menurut jejak mereka.

65@ Lalu mereka dapati, seorang dari hamba-hamba Kami yang
telah kami kurniakan kepadanya rahmat dari Kami, dan Kami
telah mengajarnya sejenis ilmu, dari sisi Kami.

66@ Nabi Musa berkata kepadanya, " Bolehkah aku mengikutmu,
dengan syarat engkau mengajarku dari apa yang telah diajarkan
oleh Allah kepadamu, ilmu yang menjadi petunjuk bagiku ?”

67@ Ia menjawab, “ Sesungguhnya engkau (wahai Musa), tidak
sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku.

68@ Dan bagaimana engkau akan sabar terhadap perkara yang
engkau tidak mengetahuinya secara meliputi ?

69@ Nabi Musa berkata, “ Engkau akan dapati aku, In syaa
Allah, orang yang sabar, dan aku tidak akan membantah sebarang
perintahmu.”

70@ Ia menjawab, “ Sekiranya engkau mengikutku, maka janganlah
engkau bertanya kepadaku akan sesuatupun sehingga aku
ceritakan halnya kepadamu.”

71@ Lalu berjalanlah keduanya sehingga apabila mereka naik
ke sebuah perahu, ia membocorkannya. Nabi Musa berkata,
“ Patutkah engkau membocorkannya sedang akibat perbuatan itu
menenggelamkan penumpang-penumpangnya ? Sesungguhnya engkau
telah melakukan satu perkara yang besar.”

72@ Ia menjawab, “ Bukankah aku telah katakan, bahawa engkau
tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku ?”

73@ Nabi Musa berkata, “ Janganlah engkau marah akan daku
disebabkan aku lupa (akan syaratmu), dan janganlah engkau
memberati daku dengan sebarang kesukaran dalam urusanku
(menuntut ilmu).”

74@ Kemudian keduanya berjalan lagi, sehingga apabila mereka
bertemu dengan seorang pemuda, lalu ia membunuhnya. Nabi Musa
berkata, “ Patutkah engkau membunuh satu jiwa yang bersih,
yang tidak berdosa membunuh orang ? Sesungguhnya engkau telah
melakukan satu perbuatan yang mungkar !”

75@ Ia menjawab, “ Bukankah, aku telah katakan kepadamu,
bahawa engkau tidak sekali-kali akan dapat bersabar
bersamaku ?”

76@ Nabi Musa berkata, “ Jika aku bertanya kepadamu tentang
sebarang perkara sesudah ini, maka janganlah engkau jadikan
daku sahabatmu lagi, sesungguhnya engkau telah cukup mendapat
alasan-alasan berbuat demikian disebabkan pertanyaan-
pertanyaan dan bantahanku.”

77@ Kemudian keduanya berjalan lagi, sehingga apabila mereka
sampai kepada penduduk sebuah bandar, mereka meminta makan
kepada orang-orang di situ, lalu orang-orang itu enggan
menjamu mereka. Kemudian mereka dapati di situ sebuah tembok
yang hendak runtuh, lalu ia membinanya. Nabi Musa berkata,
“ Jika engkau mahu, tentulah engkau berhak mengambil upah
mengenainya !”

78@ Ia menjawab, “ Inilah masanya perpisahan antaraku
denganmu, aku akan terangkan kepadamu maksud (kejadian-
kejadian yang dimusykilkan) yang engkau tidak dapat bersabar
mengenainya.

79@ Adapun perahu itu, adalah ia dipunyai oleh orang-orang
miskin yang bekerja di laut, oleh itu, aku bocorkan dengan
tujuan hendak mencacatkannya, kerana di belakang mereka nanti
ada seorang raja yang merampas tiap-tiap sebuah perahu yang
tidak cacat.

80@ Adapun pemuda itu, kedua ibu bapanya adalah orang-orang
yang beriman, maka kami bimbang bahawa ia akan mendesak mereka
melakukan perbuatan yang zalim dan kufur.

81@ Oleh itu, kami ingin dan berharap, supaya Tuhan mereka
gantikan bagi mereka anak yang lebih baik daripadanya tentang
kebersihan jiwa, dan lebih mesra kasih sayangnya.

82@ Adapun tembok itu pula, adalah ia dipunyai oleh dua orang
anak yatim di bandar itu, dan di bawahnya ada “harta
terpendam” kepunyaan mereka, dan bapa mereka pula adalah orang
yang soleh. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur
dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu,
sebagai satu rahmat dari Tuhanmu (kepada mereka). Dan
(ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri.
Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-
perkara yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya.”

83@ Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai
Zulkarnain. Katakanlah, “ Aku akan bacakan kepada kamu (wahyu
dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya”,

84@ Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan
memerintah di bumi, dan Kami beri kepadanya jalan bagi
menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya.

85@ Lalu ia menurut jalan (yang menyampaikan maksudnya).

86@ Sehingga apabila ia sampai ke daerah matahari terbenam, ia
mendapatinya terbenam di sebuah matair yang hitam berlumpur,
dan ia dapati di sisinya satu kaum (yang kufur ingkar). Kami
berfirman (dengan mengilhamkan kepadanya), “ Wahai
Zulkarnain ! Pilihlah sama ada engkau hendak menyeksa mereka
atau engkau bertindak secara baik terhadap mereka.”

87@ Ia berkata, “ Adapun orang yang melakukan kezaliman (kufur
derhaka), maka kami akan menyeksanya, kemudian ia akan
dikembalikan kepada Tuhannya, lalu diazabkannya dengan azab
seksa yang seburuk-buruknya.

88@ Adapun orang yang beriman serta beramal soleh, maka
baginya balasan yang sebaik-baiknya, dan kami akan perintahkan
kepadanya perintah-perintah kami yang tidak memberati.”

89@ Kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain.

90@ Sehingga apabila ia sampai di daerah matahari terbit, ia
mendapatinya terbit, kepada suatu kaum yang kami tidak
menjadikan bagi mereka sebarang perlindungan daripadanya.

91@ Demikianlah halnya, dan sesungguhnya Kami mengetahui
secara meliputi akan segala yang ada padanya.

92@ Kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain.

93@ Sehingga apabila ia sampai di antara dua gunung, ia dapati
di sisinya satu kaum yang hampir-hampir mereka tidak dapat
memahami perkataan.

94@ Mereka berkata, “ Wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum
Yakjuj dan Makjuj, sentiasa melakukan kerosakan di bumi, oleh
itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran
kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau
membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka ?”

95@ Dia menjawab, “ (Kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku
jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu),
oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai), aku
akan bina antara kamu dengan mereka, sebuah tembok penutup
yang kukuh.

96@ Bawalah kepadaku ketul-ketul besi.” Sehingga apabila ia
terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung
itu, dia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata,
“ Tiuplah dengan alat-alat kamu.”, sehingga apabila ia
menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia,
“ Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya.”

97@ Maka mereka tidak dapat memanjat tembok itu, dan mereka
juga tidak dapat menebuknya.

98@ (Setelah itu) berkatalah Zulkarnain, “ Ini ialah suatu
rahmat dari Tuhanku, dalam pada itu, apabila sampai janji
Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur, dan
adalah janji Tuhanku itu benar.”

99@ Dan Kami biarkan mereka pada hari itu (keluar beramai-
ramai) bercampur-baur antara satu dengan yang lain, dan
(kemudiannya) akan ditiup sangkakala, lalu Kami himpunkan
makhluk-makhluk seluruhnya di Padang Mahsyar.

100@ Dan Kami perlihatkan neraka Jahannam, pada hari itu
kepada orang-orang kafir, dengan pendedahan yang jelas nyata,



101@ (Iaitu) Orang-orang yang matanya telah tertutup daripada
melihat tanda-tanda yang membawa kepada mengingatiKu, dan
mereka pula tidak dapat mendengar sama sekali.

102@ Maka adakah orang-orang kafir menyangka bahawa mereka
mengambil hamba-hambaKu sebagai makhluk-makhluk yang disembah,
selain daripadaKu, dapat menolong mereka ? Sesungguhnya Kami
telah sediakan neraka Jahannam bagi orang-orang kafir itu
sebagai tempat tetamu.

103@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Mahukah Kami khabarkan
kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal
perbuatannya ?

104@ (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya
dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa
mereka sentiasa betul dan baik, pada apa sahaja yang mereka
lakukan.”

105@ Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat
Tuhan mereka dan akan pertemuan denganNya, oleh itu gugurlah
amal-amal mereka, maka akibatya Kami tidak akan memberi
sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat
kelak.

106@ (Mereka yang bersifat) demikian, balasannya neraka
Jahannam, disebabkan mereka kufur ingkar, dan mereka pula
menjadikan ayat-ayatKu dan Rasul-rasulKu sebagai ejek-ejekan.

107@ Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh,
disediakan bagi mereka Syurga-syurga Firdaus, sebagai tempat
tetamu (yang serba mewah).

108@ Mereka kekal di dalamnya, (dan) tidak ingin berpindah
daripadanya.

109@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Kalaulah semua jenis
lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku,
sudah tentu akan habis kering lautan itu, sebelum habis
Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan
lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan.”

110@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Sesungguhnya aku hanyalah
seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan
kamu hanyalah Tuhan Yang Satu, Oleh itu, sesiapa yang percaya
dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia
mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan
sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya.”

No comments:

Post a Comment