Wednesday 20 January 2016

Al Quran Indonesia. 008. Surah Al Anfaal (Rampasan Perang)...

Al Quran Indonesia. 008. Surah Al Anfaal (Rampasan Perang)...

BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

1@ Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang harta
rampasan perang. Katakanlah, “ Harta rampasan perang itu
(terserah) bagi Allah dan bagi RasulNya (untuk menentukan
pembahagiannya). Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah dan
perbaikilah keadaan perhubungan di antara kamu, serta taatlah
kepada Allah dan RasulNya, jika betul kamu orang-orang yang
beriman.”

2@ Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna
imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan
sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan
kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman,
dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.

3@ Iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang dan yang
mendermakan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada
mereka.

4@ Merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya.
Mereka akan mendapat pangkat-pangkat yang tinggi di sisi Tuhan
mereka dan keampunan serta limpah kurnia yang mulia
(di Syurga).

5@ Sebagaimana (harta rampasan perang ditentukan
pembahagiannya dengan kebenaran, maka) Tuhanmu (wahai
Muhammad) mengeluarkanmu dari rumahmu (untuk pergi berperang)
dengan kebenaran juga, sedang sebahagian dari orang-orang yang
beriman itu (sebenarnya) tidak suka (turut berjuang).

6@ Mereka membantahmu tentang kebenaran (berjihad) setelah
nyata (kepada mereka kemenangan yang engkau janjikan), seolah-
olah mereka dihalau kepada kematian, sedang mereka melihat
(sebab-sebabnya).

7@ Dan (ingatlah) ketika Allah menjanjikan kepada kamu salah
satu dari dua angkatan, menjadi untuk kamu (menghadapinya),
sedang kamu suka kiranya (angkatan perniagaan) bukan angkatan
(perang) yang mempunyai kekuatan itu yang dijadikan untuk kamu
(menghadapinya). Padahal Allah menghendaki untuk menetapkan
yang benar (ugama Islam) dengan Kalimah-kalimahNya, dan untuk
membinasakan kaum yang kafir seluruhnya,

8@ Supaya Allah menegakkan yang benar itu dan menghapuskan
yang salah (kufur dan syirik), sekalipun golongan (kafir
musyrik) yang berdosa itu tidak menyukainya.

9@ (Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada tuhan
kamu, lalu Ia perkenankan permohonan kamu (dengan firmanNya),
“ Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu (bala
tentera) dari malaikat yang datang berturut-turut."

10@ Dan Allah tidak menjadikan (bantuan malaikat) itu
melainkan sebagai berita gembira dan supaya hati kamu tenang
tenteram dengannya. Dan kemenangan itu pula hanyalah dari sisi
Allah. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

11@ (Ingatlah) ketika kamu diliputi perasaan mengantuk sebagai
satu (pemberian) aman dari Allah (untuk menghapuskan kecemasan
kamu). Dan (ingatlah ketika) Ia menurunkan kepada kamu hujan
dari langit untuk mensucikan kamu dengannya dan menghapuskan
dari kamu gangguan Syaitan, dan juga untuk menguatkan hati
kamu dan menetapkan dengannya tapak pendirian (kamu di medan
perjuangan).

12@ (Ingatlah) ketika Tuhanmu wahyukan kepada malaikat,
“ Sesungguhnya Aku menyertai kamu (memberi pertolongan), maka
tetapkanlah (hati) orang-orang yang beriman. Aku akan mengisi
hati orang-orang yang kafir dengan perasaan gerun, oleh itu,
pancunglah leher mereka (musuh) dan potonglah tiap-tiap
anggota mereka.”

13@ (Perintah) yang demikian ialah kerana sesungguhnya mereka
menentang Allah dan RasulNya, dan sesiapa yang menentang Allah
dan RasulNya, maka sesungguhnya Allah Maha berat azab
seksaNya.

14@ Itulah (azab dunia) maka rasalah dia (hai orang-orang
kafir). Sesungguhnya orang-orang yang kafir disediakan baginya
azab neraka (di akhirat).

15@ Wahai orang-orang yang beriman ! Apabila kamu bertemu
dengan orang-orang kafir yang sedang mara menyerang, maka
janganlah kamu berpaling undur dari menentang mereka.

16@ Dan sesiapa berpaling undur dari menentang mereka pada
ketika itu, kecuali ia bergerak ke arah lain (untuk
menjalankan tipu muslihat) peperangan, atau hendak menyatukan
diri dengan pasukan yang lain, maka sesungguhnya ia tetaplah
mendapat kemurkaan dari Allah, dan tempatnya ialah neraka
jahanam, sedang neraka jahanam ialah seburuk-buruk tempat
kembali.

17@ Maka bukanlah kamu yang membunuh mereka, akan tetapi Allah
jualah yang menyebabkan pembunuhan mereka. Dan bukanlah engkau
(wahai Muhammad) yang melempar ketika engkau melempar, akan
tetapi Allah jualah yang melempar (untuk membinasakan orang-
orang kafir), dan untuk mengurniakan orang-orang yang beriman
dengan pengurniaan yang baik (kemenangan) daripadaNya.
Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

18@ Demikianlah (caranya nikmat yang dikurniakanNya kepada
kamu), dan sesungguhnya Allah sentiasa melumpuhkan tipu daya
orang-orang yang kafir.

19@ Jika kamu (hai orang-orang musyrik) memohon supaya diberi
kemenangan (bagi pihak yang benar) maka sesungguhnya
kemenangan (yang kamu pohonkan) itu telah datang (dan
disaksikan oleh) kamu, dan jika kamu berhenti (daripada
memusuhi Nabi Muhammad, s.a.w) maka yang demikian amat baik
bagi kamu, dan jika kamu kembali (memusuhinya), Kami juga
kembali (menolongnya mengalahkan kamu), dan golongan (angkatan
perang) kamu tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkan kamu
sedikitpun, sekalipun ia lebih ramai, dan (yang demikian itu
adalah kerana) sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang
beriman.

20@ Wahai orang-orang yang beriman ! Taatlah kepada Allah dan
RasulNya dan janganlah kamu berpaling daripadanya, sedang kamu
mendengar (Al Quran yang mewajibkan taatnya).

21@ Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (kafir dan
munafik) yang berkata, “ Kami dengar”, padahal mereka tidak
mendengar (tidak mahu menerima dan mematuhinya).

22@ Sesungguhnya sejahat-jahat makhluk yang melata, pada sisi
(hukum dan ketetapan) Allah, ialah orang-orang yang pekak lagi
bisu, yang tidak mahu memahami sesuatupun (dengan akal
fikirannya).

23@ Dan kalaulah Allah mengetahui ada kebaikan pada mereka,
tentulah Ia menjadikan mereka dapat mendengar, dan kalau Allah
menjadikan mereka dapat mendengar juga (dengan keadaan yang
demikian), nescaya mereka tidak menerimanya sambil memalingkan
diri.

24@ Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan
Allah dan seruan RasulNya apabila Ia menyeru kamu kepada
perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna, dan
ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau
menyekat di antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya,
dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan.

25@ Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang
membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-
orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan
menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha
berat azab seksaNya.

26@ Dan ingatlah ketika kamu sedikit bilangannya serta
tertindas di bumi, kamu takut orang-orang menangkap dan
melarikan kamu, maka Allah memberi kamu tempat bermustautin
dan diperkuatkanNya kamu dengan pertolonganNya, serta
dikurniakanNya kamu dari rezeki yang baik-baik, supaya kamu
bersyukur.

27@ Wahai orang-orang yang beriman ! Janganlah kamu
mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu
mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui
(salahnya).

28@ Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu
itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah
jualah pahala yang besar.

29@ Wahai orang-orang yang beriman ! Jika kamu bertaqwa kepada
Allah, nescaya Ia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang
membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan
menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan
(dosa-dosa) kamu. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah
kurnia yang besar.

30@ Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir
musyrik (Makkah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk
menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka
menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya
(mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu
daya.

31@ Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami, mereka
berkata, “ Sesungguhnya kami telah mendengarnya. Kalau kami
mahu, nescaya kami dapat mengatakan (kata-kata) seperti
(Al Quran) ini. (Al Quran) ini tidak lain hanyalah cerita
cerita dongeng orang-orang dahulu kala.”

32@ Dan (ingatlah) ketika mereka (kaum musyrik Makkah)
berkata, “ Wahai tuhan kami ! Jika betul (Al Quran) itu ialah
yang benar dari sisimu, maka hujanilah kami dengan batu dari
langit, atau datangkanlah kepada kami azab seksa yang tidak
terperi sakitnya.”

33@ Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka, sedang
engkau (wahai Muhammad) ada di antara mereka, dan Allah tidak
akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar (meminta
ampun).

34@ Dan mengapa mereka tidak patut diseksa oleh Allah, sedang
mereka menyekat (orang-orang Islam) dari masjid Al Haraam,
padahal mereka bukanlah orang-orang yang berhak menguasainya
(kerana mereka kafir musyrik) ? Sebenarnya orang-orang yang
berhak menguasainya hanyalah orang-orang yang bertaqwa, tetapi
kebanyakan mereka tidak mengetahui.

35@ Dan tiadalah sembahyang mereka di sisi Baitullah itu
melainkan bersiul-siul dan bertepuk tangan. Oleh itu rasalah
kamu (wahai orang kafir) akan azab seksa dengan sebab
kekufuran kamu.

36@ Sesungguhnya orang-orang kafir yang selalu membelanjakan
harta mereka untuk menghalangi (manusia) dari jalan Allah,
maka mereka tetap membelanjakannya kemudian (harta yang
dibelanjakan) itu menyebabkan penyesalan kepada mereka,
tambahan pula mereka dikalahkan. Dan (ingatlah) orang-orang
kafir itu (akhirnya) dihimpunkan dalam neraka jahanam.

37@ Kerana Allah hendak membezakan yang jahat (golongan yang
ingkar) dari yang baik (golongan yang beriman), dan menjadikan
(golongan) yang jahat itu setengahnya bersatu dengan
setengahnya yang lain, lalu ditimbunkannya kesemuanya, serta
dimasukkannya ke dalam neraka Jahanam. Mereka itulah orang-
orang yang rugi.

38@ Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang kafir
itu, jika mereka berhenti (dari kekufurannya), nescaya akan
diampunkan dosa mereka yang telah lalu, dan jika mereka
kembali lagi (ingkar maka Kami akan menyeksa mereka), kerana
sesungguhnya telah berlakulah kebinasaan orang-orang (yang
kufur ingkar) dahulu kala.

39@ Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan
(sehingga) menjadilah ugama itu seluruhnya (bebas) bagi Allah
semata-mata. Kemudian jika mereka berhenti (dari kekufurannya
dan gangguannya, nescaya mereka diberikan balasan yang baik)
kerana sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang mereka
kerjakan.

40@ Dan jika mereka berpaling (enggan beriman dan tidak
berhenti daripada menceroboh) maka ketahuilah bahawasanya
Allah Pelindung kamu, Dialah sebaik-baik Pelindung dan sebaik-
baik Penolong (yang menyelamatkan dan menjayakan kamu).

41@ Dan ketahuilah, bahawa apa sahaja yang kamu dapati sebagai
harta rampasan perang, maka sesungguhnya satu perlimanya
(dibahagikan) untuk (jalan) Allah, dan untuk RasulNya, dan
untuk kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-
orang miskin, serta ibnus sabil (orang musafir yang
keputusan), jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang
telah diturunkan oleh Kami (Allah) kepada hamba Kami
(Muhammad) pada “ Hari Al Furqaan”, iaitu hari bertemunya dua
angkatan tentera (Islam dan kafir, di medan perang Badar). Dan
(ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

42@ (Iaitu) ketika kamu berada di tepi lembah yang dekat
(ke Madinah) dan mereka (pihak musuh) berada di tepi lembah
yang jauh (dari Madinah), sedang Kafilah (pembawa dagangan
musuh) berada di tempat yang rendah dari tempat kamu (di tepi
laut). Dan kalaulah kamu berjanji (dengan mereka mengenai
peperangan itu) nescaya kamu akan berselisih pada menentukan
harinya. Akan tetapi (pertemuan angkatan kamu dengan angkatan
mereka yang tidak disangka-sangka itu) ialah supaya Allah
melakukan suatu perkara (kemenangan Islam) yang telah
ditetapkan berlakunya, iaitu supaya orang (kafir musyrik) yang
binasa itu, binasa dengan keterangan (yang membuktikan
kesalahannya), dan supaya orang (Islam) yang hidup itu, hidup
dengan keterangan (yang membuktikan kebenarannya), kerana
sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

43@ (Ingatlah wahai Muhammad) ketika Allah memperlihatkan
mereka kepadamu dalam mimpimu sedikit bilangannya, dan
kalaulah Ia perlihatkan mereka kepadamu ramai bilangannya,
tentulah kamu akan merasa gerun dan tentulah kamu akan
berbantah-bantahan dalam urusan (perang) itu. Akan tetapi
Allah telah menyelamatkan kamu. Sesungguhnya Allah Maha
Mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada.

44@ Dan (ingatlah) ketika Kami memperlihatkan mereka kepada
kamu (wahai umat Islam) semasa kamu bertemu dengan mereka,
sedikit bilangannya pada pandangan mata kamu, dan kamu pula
diperlihatkanNya, sedikit bilangannya pada pandangan mata
mereka, kerana Allah hendak melakukan sesuatu perkara
(kemenangan Islam) yang telah ditetapkan berlakunya. Dan
(ingatlah) kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan.

45@ Wahai orang-orang yang beriman ! Apabila kamu bertemu
dengan sesuatu pasukan (musuh) maka hendaklah kamu tetap teguh
menghadapinya, dan sebutlah serta ingatilah Allah (dengan doa)
banyak-banyak, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan).

46@ Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah
kamu berbantah-bantahan, kalau tidak nescaya kamu menjadi
lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah
(menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati), sesungguhnya
Allah beserta orang-orang yang sabar.

47@ Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang keluar
dari negerinya dengan berlagak sombong dan menunjuk-nunjuk
(kekuatan mereka) kepada orang ramai (kerana hendak meminta
dipuji), serta mereka pula menghalang manusia dari jalan Allah
dan (ingatlah) Allah Maha Meliputi pengetahuanNya akan apa
yang mereka kerjakan.

48@ Dan (ingatlah) ketika Syaitan memperhiaskan kepada mereka
perbuatan mereka (yang salah itu, untuk dipandang elok dan
diteruskan), serta menghasut mereka dengan berkata, “ Pada
hari ini tidak ada sesiapa pun dari umat manusia yang dapat
mengalahkan kamu, dan sesungguhnya aku adalah pelindung dan
penolong kamu.” Maka apabila kedua-dua puak (angkatan tentera
Islam dan kafir musyrik) masing-masing kelihatan (berhadapan),
Syaitan itu berundur ke belakang sambil berkata, “ Aku
berlepas diri dari kamu, kerana aku dapat melihat apa yang
kamu tidak dapat melihatnya, sesungguhnya aku takut kepada
Allah, dan Allah sangat berat azab seksaNya.”

49@ (Ingatlah) ketika orang-orang munafik dan orang-orang yang
ada penyakit (syak) dalam hatinya berkata, “ Orang-orang
(Islam) itu telah diperdayakan oleh ugama mereka (sehingga
mereka berani menentang kami yang lebih besar bilangannya).”
Dan (yang sebenarnya) sesiapa yang bertawakal kepada Allah
(dengan sepenuh-penuh yakin, maka Allah akan menolongnya untuk
mengalahkan musuh yang lebih besar bilangannya), kerana Allah
Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

50@ Dan (amatlah ngerinya) kalau engkau melihat (wahai orang
yang memandang), ketika malaikat mengambil nyawa orang-orang
kafir dengan memukul muka dan belakang mereka (sambil
berkata), “ Rasalah kamu azab seksa neraka yang membakar.”



51@ (Azab seksa) yang demikian itu ialah disebabkan apa yang
telah dilakukan oleh tangan kamu sendiri, kerana sesungguhnya
Allah tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya.

52@ (Keadaan orang-orang kafir itu) samalah seperti keadaan
Firaun dan kaumnya serta orang-orang yang terdahulu dari
mereka. Mereka kufur ingkar akan ayat-ayat Allah, lalu Allah
menyeksa mereka dengan sebab dosa-dosa mereka. Sesungguhnya
Allah Maha Kuat, lagi Maha berat seksaNya.

53@ (Balasan) yang demikian itu, ialah kerana sesungguhnya
Allah tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang telah
dikurniakanNya kepada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah
apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan (ingatlah)
sesungguhnya Allah Maha mendengar, lagi Maha Mengetahui.

54@ (Keadaan mereka) samalah seperti keadaan Firaun dan
kaumnya serta orang-orang yang terdahulu dari mereka. Mereka
mendustakan ayat-ayat Tuhan mereka, lalu Kami binasakan mereka
dengan sebab dosa-dosa mereka, dan Kami tenggelamkan Firaun
serta pengikut-pengikutnya (di laut), kerana kesemuanya adalah
orang-orang yang zalim.

55@ Sesungguhnya sejahat-jahat (makhluk) yang melata di sisi
(hukum dan ketetapan) Allah ialah orang-orang yang kafir (yang
degil dengan kekufurannya). Sebab itu mereka tidak (mahu)
beriman.

56@ (Iaitu) orang-orang yang engkau telah mengikat perjanjian
setia dengan mereka, kemudian mereka mencabuli perjanjian
setianya pada tiap-tiap kali, sedang mereka tidak mahu
memelihara dirinya (dari keaiban mencabuli perjanjian itu).

57@ Oleh itu, jika engkau menemui mereka dalam peperangan maka
hancurkanlah mereka (supaya dengan itu) orang-orang yang
di belakang mereka (gerun gentar), mudah-mudahan orang-orang
itu pula beringat (insaf).

58@ Dan jika engkau mengetahui adanya perbuatan khianat dari
sesuatu kaum (yang mengikat perjanjian setia denganmu) maka
campakkanlah (perjanjian itu) kepada mereka dengan cara terus
terang dan adil. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-
orang yang khianat.

59@ Dan janganlah orang-orang yang kafir itu menyangka
(bahawa) mereka telah terlepas (dari kekuasaan dan balasan
Kami), sesungguhnya mereka tidak akan dapat melemahkan
(kekuasaan Kami).

60@ Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang
menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan
dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk
menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu
serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak
mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang
kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya
kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.

61@ Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian,
maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta
bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya Ia Maha Mendengar,
lagi Maha Mengetahui.

62@ Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka
sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan
perlindungan) kepadamu. Dialah yang menguatkanmu dengan
pertolonganNya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman.

63@ Dan (Dialah) yang menyatupadukan di antara hati mereka
(yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta
benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga
menyatupadukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah
menyatupadukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha
Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

64@ Wahai Nabi, cukuplah Allah menjadi Penolongmu, dan juga
pengikut-pengikutmu dari orang-orang yang beriman.

65@ Wahai Nabi, peransangkanlah orang-orang yang beriman itu
untuk berperang. Jika ada di antara kamu dua puluh yang sabar,
nescaya mereka dapat menewaskan dua ratus orang (dari pihak
musuh yang kafir itu), dan jika ada di antara kamu seratus
orang, nescaya mereka dapat menewaskan seribu orang dari
golongan yang kafir, disebabkan mereka (yang kafir itu) orang-
orang yang tidak mengerti.

66@ Sekarang Allah telah meringankan daripada kamu (apa yang
telah diwajibkan dahulu) kerana Ia mengetahui bahawa pada kamu
ada kelemahan, oleh itu jika ada di antara kamu seratus orang
yang sabar, nescaya mereka akan dapat menewaskan dua ratus
orang, dan jika ada di antara kamu seribu orang, nescaya
mereka dapat menewaskan dua ribu orang dengan izin Allah. Dan
(ingatlah) Allah beserta orang-orang yang sabar.

67@ Tidaklah patut bagi seseorang Nabi mempunyai orang-orang
tawanan sebelum ia dapat membunuh sebanyak-banyaknya di muka
bumi. Kamu menghendaki harta benda dunia (yang tidak kekal),
sedang Allah menghendaki (untuk kamu pahala) akhirat. Dan
(ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

68@ Kalaulah tidak (kerana) adanya ketetapan dari Allah yang
telah terdahulu, tentulah kamu ditimpa azab seksa yang besar
disebabkan (penebus diri) yang kamu ambil (dari orang-orang
tawanan) itu.

69@ Maka makanlah dari apa yang kamu telah dapat (dalam
peperangan) itu, sebagai benda yang halal lagi baik, serta
bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun,
lagi Maha Mengasihani.

70@ Wahai Nabi, katakanlah kepada orang-orang tawanan yang ada
dalam tangan kamu, “ Jika Allah mengetahui ada kebaikan (iman)
dalam hati kamu, nescaya Ia akan memberi kepada kamu (balasan)
yang lebih baik daripada (harta benda penebus diri) yang telah
diambil dari kamu, dan Ia akan mengampunkan dosa kamu, kerana
Allah Maha Pengampun, lagi maha Mengasihani.

71@ Dan jika mereka (orang-orang tawanan itu) bertujuan hendak
melakukan khianat kepadamu, maka sesungguhnya mereka telahpun
melakukan khianat kepada Allah (dengan kekufuran mereka)
sebelum itu, lalu Allah menjadikan (engkau) mengalahkan dan
menundukkan mereka, kerana Allah Maha Mengetahui, lagi Maha
Bijaksana.

72@ Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta
berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah,
dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan
pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu),
mereka semuanya menjadi penyokong dan pembela antara satu
dengan yang lain. Dan orang-orang yang beriman yang belum
berhijrah, maka kamu tidak bertanggungjawab sedikitpun untuk
membela mereka sehingga mereka berhijrah. Dan jika mereka
meminta pertolongan kepada kamu dalam perkara (menentang musuh
untuk membela) ugama, maka wajiblah kamu menolongnya, kecuali
terhadap kaum yang ada perjanjian setia di antara kamu dengan
mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Melihat akan apa yang kamu
lakukan.

73@ Dan orang-orang yang kafir, setengahnya menjadi penyokong
dan pembela bagi setengahnya yang lain. Jika kamu (wahai umat
Islam) tidak menjalankan (dasar bantu-membantu sesama sendiri
yang diperintahkan oleh Allah) itu, nescaya akan berlakulah
fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang besar.

74@ Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad
pada jalan Allah (untuk membela Islam), dan orang-orang
(Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada
orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang-orang
yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan
dan limpah kurnia yang mulia.

75@ Dan orang-orang yang beriman sesudah itu, kemudian mereka
berhijrah dan berjihad bersama-sama kamu, maka adalah mereka
dari golongan kamu. Dalam pada itu, orang-orang yang mempunyai
pertalian kerabat, setengahnya lebih berhak atas setengahnya
yang (lain) menurut (hukum) Kitab Allah, sesungguhnya Allah
Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

No comments:

Post a Comment