Saturday 30 January 2016

Al Quran Indonesia. 014. Surah Ibrahim (Nabi Ibrahim a.s.)...

Al Quran Indonesia. 014. Surah Ibrahim (Nabi Ibrahim a.s.)...

BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

1@ Alif, Laam, Raa’. Ini ialah Kitab (Al Quran) Kami turunkan
dia kepadamu (wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat
manusia seluruhnya dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman,
(dengan izin Tuhan mereka) ke jalan Allah Yang Maha Kuasa lagi
Maha Terpuji.

2@ Allah jua yang memiliki segala yang ada di langit serta
yang ada di bumi, dan kecelakaan besar bagi orang-orang yang
kufur ingkar (terhadap Al Quran) dari azab yang amat berat
(yang akan menimpa mereka kelak).

3@ Orang-orang yang mengutamakan dunia lebih daripada akhirat,
dan menghalangi manusia dari jalan ugama Allah, serta
menghendaki jalan itu menjadi bengkok terpesong, mereka itulah
orang-orang yang terjerumus ke dalam kesesatan yang jauh
terpesongnya.

4@ Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan
bahasa kaumnya supaya ia menjelaskan (hukum-hukum Allah)
kepada mereka. Maka Allah menyesatkan sesiapa yang
dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), juga
memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya
(menurut undang-undang peraturanNya), dan Dialah jua Yang Maha
Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

5@ Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Musa (pada
masa yang lalu) dengan membawa mukjizat-mukjizat Kami sambil
Kami berfirman, “ Hendaklah engkau mengeluarkan kaummu dari
gelap-gelita kufur kepada cahaya iman, dan ingatkanlah mereka
dengan Hari-hari Allah.“ Sesungguhnya yang demikian itu,
mengandungi tanda-tanda yang menunjukkan kekuasaan Allah bagi
tiap-tiap seorang yang kuat bersabar, lagi kuat bersyukur.

6@ Dan (ingatlah) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya,
“ Kenanglah nikmat Allah kepada kamu, semasa Ia menyelamatkan
kamu dari Firaun dan orang-orangnya yang sentiasa menyeksa
kamu dengan berbagai seksa yang buruk dan mereka pula
menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-
anak perempuan kamu, dan kejadian yang demikian itu
mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar dari Tuhan
kamu.”

7@ Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu, “ Demi
sesungguhnya ! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi
nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur
ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.”

8@ Dan Nabi Musa berkata, “ Kalau kamu dan sesiapa jua yang
ada di muka bumi seluruhnya berlaku kufur ingkar, maka (hal
yang demikian tidak merugikan Allah), kerana sesungguhnya
Allah adalah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji."

9@ (Mengapa kamu masih berdegil) bukankah telah datang kepada
kamu khabar berita orang-orang yang terdahulu daripada kamu,
iaitu kaum Nabi Nuh, dan Aad juga Thamud serta orang-orang
yang kemudian daripada mereka ? Tiada sesiapapun yang
mengetahui bilangan mereka melainkan Allah. Mereka telah
didatangi oleh rasul-rasul mereka dengan membawa keterangan-
keterangan yang nyata, lalu mereka meletakkan tangan mereka
ke mulut mereka sambil berkata, “ Sesungguhnya kami kufur
ingkarkan apa yang (mengikut dakwaan kamu) kamu diutus
membawanya, dan sesungguhnya kami adalah dalam keadaan yang
meragukan terhadap iman dan tauhid yang kamu ajak kami
kepadanya.”

10@ Rasul-rasul mereka bertanya, “ Patutkah berlakunya
sebarang keraguan tentang wujudnya Allah, yang menciptakan
langit dan bumi ? Ia menyeru kamu beriman kerana hendak
membersih dan melepaskan kamu dari dosa-dosa kamu, dan memberi
tempoh kepada kamu hingga ke suatu masa yang tertentu." Mereka
menjawab, “ Kamu tidak lain hanyalah manusia seperti kami.
Kamu bertujuan hendak menyekat kami daripada menyembah apa
yang telah disembah oleh datuk nenek kami. Oleh itu, bawalah
kepada kami satu bukti yang jelas nyata.”

11@ Rasul-rasul mereka berkata kepada mereka, “ Kami ini tidak
lain hanyalah manusia seperti kamu juga, tetapi Allah
melimpahkan kurniaNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dari
hamba-hambaNya, dan kami tiadalah berkuasa membawa kepada kamu
sebarang bukti (mukjizat) melainkan dengan izin Allah. Dan
dengan yang demikian maka kepada Allah jualah hendaknya orang-
orang yang beriman berserah diri."

12@ “ Dan mengapa pula kami tidak berserah diri kepada Allah
padahal Ia telah menunjukkan jalan untuk tiap-tiap seorang
dari kami menjalaninya ? Dan demi sesungguhnya, kami akan
bersabar terhadap segala perbuatan kamu menyakiti kami. Dan
dengan yang demikian, maka kepada Allah jualah hendaknya
berserah diri orang-orang yang mahu berserah.”

13@ Dan berkatalah pula orang-orang yang kafir itu kepada
Rasul-rasul mereka, “ Demi sesungguhnya, kami akan
mengeluarkan kamu dari negeri kami atau kamu menjadi seugama
dengan kami.” Lalu Tuhan wahyukan, kepada Rasul-rasulNya,
“ Demi sesungguhnya ! Kami akan membinasakan orang-orang yang
zalim."

14@ “ Dan demi sesungguhnya ! Kami akan tempatkan kamu
di negeri itu sesudah binasanya kaum yang zalim itu, balasan
baik yang demikian, adalah bagi orang-orang yang takut akan
sikap keadilanKu (menghitung amalnya), dan takut akan janji-
janji azabKu.”

15@ Dan (Rasul-rasul serta umatnya yang beriman) memohon
pertolongan (kepada Allah, untuk mendapat kemenangan), dan
terkecewalah tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi
bersikap degil (dalam keingkarannya).

16@ Di belakangnya disediakan neraka Jahannam, dan ia akan
diberi minum dari air danur (yang keluar dari tubuh ahli
neraka).

17@ Ia meminumnya dengan terpaksa dan hampir-hampir tidak
dapat diterima oleh tekaknya (kerana busuknya), dan ia
didatangi (penderitaan) maut dari segala arah, sedang ia tidak
pula mati (supaya terlepas dari azab seksa itu), dan selain
dari itu, ada lagi azab seksa yang lebih berat.

18@ Bandingan (segala kebaikan amal dan usaha) orang-orang
yang kufur ingkar terhadap Tuhannya ialah seperti abu yang
diterbangkan angin pada hari ribut yang kencang, mereka tidak
memperoleh sesuatu faedah pun dari apa yang mereka telah
usahakan itu. Sia-sianya amalan itu ialah kesan kesesatan yang
jauh dari dasar kebenaran.

19@ Tidakkah engkau telah nampak dan mengetahui bahawa Allah
telah menciptakan langit dan bumi dengan cara yang sungguh
layak dan berhikmat ? Jika Ia kehendaki nescaya dibinasakanNya
kamu (dengan sebab kekufuran kamu) dan didatangkan pula dengan
makhluk-makhluk yang baharu.

20@ Dan yang demikian itu tidaklah sukar bagi Allah
melakukannya.

21@ Dan mereka sekalian tetap akan berhimpun mengadap Allah
(untuk dihisab pada hari kiamat), kemudian orang-orang yang
lemah (yang menjadi pengikut) kepada orang-orang yang sombong
takbur itu akan berkata kepada mereka (yang menjadi
pemimpinnya), “ Sesungguhnya kami telah menjadi pengikut kamu,
maka adakah kamu dapat menolak daripada kami sedikit dari azab
Allah ?” Mereka menjawab, “ Kalaulah Allah menunjukkan jalan
selamat kepada kami, tentulah kami tunjukkan jalan itu kepada
kamu. (Sekarang) sama sahaja kepada kita, sama ada kita
menggelisah dan mengeluh atau kita bersabar, tiadalah sebarang
jalan bagi kita untuk melepaskan diri (dari azab itu).”

22@ Dan berkatalah pula Syaitan setelah selesai perkara itu,
“ Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kamu dengan janji yang
benar dan aku telah menjanjikan kamu lalu aku mungkiri janjiku
itu kepada kamu, dan tiadalah bagiku sebarang alasan dan kuasa
mempengaruhi kamu selain daripada aku telah mengajak kamu lalu
kamu terburu-buru menurut ajakanku itu, maka janganlah kamu
salahkan daku tetapi salahkan diri kamu sendiri. Aku tidak
dapat menyelamatkan kamu dan kamu juga tidak dapat
menyelamatkan daku. Sesungguhnya dari dahulu lagi aku telah
kufur ingkarkan (perintah Tuhan) yang kamu sekutukan daku
denganNya.” Sesungguhnya orang-orang yang zalim (yang
meletakkan sesuatu pada bukan tempatnya) beroleh azab yang
tidak terperi sakitnya.

23@ Dan dimasukkanlah orang-orang yang beriman dan beramal
soleh, ke dalam Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya
beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya dengan izin Tuhan
mereka, ucapan selamat sentiasa mereka dapati (dari malaikat)
di dalam Syurga-syurga itu.

24@ Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah
mengemukakan satu perbandingan, iaitu, kalimah yang baik
adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar
tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang
ke langit.

25@ Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin
Tuhannya. Dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu
untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran).

26@ Dan bandingan Kalimah yang jahat dan buruk samalah seperti
sebatang pohon yang tidak berguna yang mudah tercabut akar-
akarnya dari muka bumi, tidak ada tapak baginya untuk tetap
hidup.

27@ Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman
dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan
akhirat, dan Allah menyesatkan orang-orang yang berlaku zalim
(kepada diri mereka sendiri), dan Allah berkuasa melakukan apa
yang dikehendakiNya.

28@ Tidakkah engkau melihat (dan merasa ajaib) terhadap orang-
orang kafir yang telah menukar kesyukuran nikmat Allah dengan
kekufuran, dan yang telah menempatkan kaum mereka dalam
kebinasaan ?

29@ (Iaitu) neraka Jahannam yang mereka akan menderita
bakarannya, dan (ingatlah), seburuk-buruk tempat tetap ialah
neraka Jahannam.

30@ Dan mereka mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah untuk
menyesatkan manusia dari jalanNya. Katakanlah (wahai
Muhammad), “ Bersenang-senanglah kamu (bagi sementara
di dunia), kerana sesungguhnya kesudahan kamu ke neraka.”

31@ Katakanlah kepada hamba-hambaKu yang beriman hendaklah
mereka mendirikan sembahyang dan mendermakan dari apa yang
kami kurniakan kepada mereka, sama ada dengan merahsiakan
pemberiannya itu atau dengan terbuka, sebelum datangnya hari
yang tidak ada jual beli padanya, dan tidak ada sahabat handai
(yang dapat memberikan pertolongan).

32@ Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi, dan
menurunkan hujan dari langit lalu mengeluarkan dengan air
hujan itu buah-buahan untuk menjadi makanan bagi kamu, dan Ia
yang memberi kemudahan kepada kamu menggunakan kapal-kapal
untuk belayar di laut dengan perintahNya, juga yang memudahkan
sungai-sungai untuk kamu (mengambil manfaat darinya).

33@ Dan Ia juga yang menjadikan matahari dan bulan sentiasa
beredar, untuk kepentingan kemudahan kamu, dan yang menjadikan
malam dan siang bagi faedah hidup kamu.

34@ Dan Ia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap
apa jua yang kamu hajati. Dan jika kamu menghitung nikmat
Allah, nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya.
Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan
sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai
nikmat Tuhannya.

35@ Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata,
“ Wahai Tuhanku ! Jadikanlah negeri Makkah ini negeri yang
aman, dan jauhkanlah daku dan anak-anakku dari perbuatan
menyembah berhala."

36@ Wahai Tuhanku, berhala-berhala itu telah menyebabkan sesat
banyak di antara umat manusia. Oleh itu, sesiapa yang
menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka ia adalah
dari golonganku, dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan
menyalahi ugamaku), maka sesungguhnya engkau Maha Pengampun,
lagi Maha Mengasihani (kiranya ia insaf dan bertaubat).

37@ “ Wahai Tuhan kami ! Sesungguhnya aku telah menempatkan
sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah
Suci Makkah) yang tiada tanaman padanya, di sisi rumahMu yang
diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka
ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan
memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati
sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya
datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada
mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman,
semoga mereka bersyukur."

38@ “ Wahai Tuhan kami ! Sesungguhnya Engkau mengetahui akan
apa yang kami sembunyikan dan apa yang kami zahirkan, dan
tiada sesuatupun di langit dan di bumi, yang tersembunyi
kepada Allah !"

39@ “ Segala puji tertentu bagi Allah Yang telah mengurniakan
kepadaku semasa aku tua, Ismail dan Ishak. Sesungguhnya
Tuhanku Maha Mendengar dan Memperkenan doa permohonan."

40@ “ Wahai Tuhanku ! Jadikanlah daku orang yang mendirikan
sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai
Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku."

41@ “ Wahai Tuhan kami ! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua
ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa
berlakunya hitungan amal dan pembalasan.”

42@ Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah
lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim,
sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga
ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka,
(kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku).

43@ (Dalam pada itu) mereka terburu-buru (menyahut panggilan
ke padang Mahsyar) sambil mendongakkan kepala mereka dengan
mata tidak berkelip, dan hati mereka tidak bersemangat (kerana
bingung dan cemas).

44@ Dan berilah amaran (wahai Muhammad) kepada manusia yang
ingkar itu, jangan mereka lupakan hari kiamat yang padanya
mereka akan didatangi azab, kerana pada saat itu, orang-orang
yang berlaku zalim akan merayu dengan berkata, “ Wahai Tuhan
kami, (kembalikanlah kami ke dunia dan) berilah tempoh kepada
kami hingga ke suatu masa yang dekat, supaya kami menyahut
seruanMu (untuk mengesakanMu dan mentaati perintahMu), dan
supaya kami menurut ugama yang disampaikan oleh Rasul-rasul
itu.” Dan (rayuan mereka akan ditolak dengan dikatakan kepada
mereka), “ Tidakkah kamu telah diberikan tempoh untuk berbuat
demikian, dan bukankah kamu telah bersumpah (semasa kamu dalam
dunia) dahulu, bahawa keadaan kamu tidak akan mengalami
sebarang perubahan ?"

45@ “ Padahal kamu telah mendiami tempat-tempat tinggal orang-
orang yang berlaku zalim kepada diri mereka sendiri, serta
telah ternyata kepada kamu dengan bukti-buKti yang jelas
bagaimana Kami telah mengubah keadaan mereka (dengan
menimpakan mereka berbagai bencana), dan Kami pula telah
nyatakan kepada kamu berbagai contoh perbandingan (di dalam
Al Quran dan melalui sabda Rasul).”

46@ Dan sesungguhnya mereka telah menjalankan rancangan jahat
mereka (untuk menentang Islam), sedang di sisi Allah ada
balasan bagi rancangan jahat mereka, walau rancangan jahat
mereka itu, dapat melenyapkan gunung-ganang sekalipun.

47@ Oleh itu, janganlah engkau menyangka Allah memungkiri
janjiNya kepada Rasul-rasulNya, sesungguhnya Allah Maha Kuasa,
lagi Sedia Membalas (orang-orang yang menderhaka kepadaNya).

48@ (Ingatlah) masa hari bumi ini diganti dengan yang lain,
demikian juga langit, dan manusia semuanya keluar berhimpun
mengadap Allah, Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa.

49@ Dan engkau akan melihat orang-orang yang berdosa pada
ketika itu diberkas dengan belenggu.

50@ Pakaian mereka dari belangkin (minyak tar), dan muka
(serta seluruh badan) mereka diliputi oleh jilatan api neraka.



51@ (Keluarnya manusia dari kubur masing-masing itu ialah)
kerana Allah akan membalas tiap-tiap seorang apa yang ia telah
usahakan, sesungguhnya Allah amat cepat hitungan hisabNya.

52@ (Al Quran) ini disampaikan kepada manusia supaya mereka
diberi ingat dan diberi nasihat dengannya, dan supaya mereka
mengetahui (dengan hujjah-hujjah yang tersebut di dalamnya)
bahawa sesungguhnya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa, dan
supaya orang-orang yang mempunyai fikiran, beringat dan insaf.

No comments:

Post a Comment