Saturday 30 January 2016

Riwayat Nabi Yahya (023)...^^..

Riwayat Nabi Yahya (023)...^^..
 
Nabi Zakaria, ayahnya Nabi Yahya sedar dan mengetahui bahawa
anggota-anggota keluarganya, saudara-saudaranya, sepupu-
sepupunya dan anak-anak saudaranya adalah orang-orang jahat
Bani Israil yang tidak segan-segan melanggar hukum-hukum agama
dan berbuat maksiat, disebabkan iman dan rasa keagamaan mereka
belum meresap betul didalam hati mereka, sehingga dengan mudah
mereka tergoda dan terjerumus ke dalam lembah kemungkaran dan
kemaksiatan. Ia khuatir bila ajalnya tiba dan meninggalkan
mereka tanpa seorang waris yang dapat melanjutkan pimpinannya
atas kaumnya, bahawa mereka akan makin rusak dan makin berani
melakukan kejahatan dan kemaksiatan bahkan ada kemungkinan
mereka mengadakan perubahan-perubahan di dalam kitab suci
Taurat dan menyalahgunakan hukum-hukum agama.
 
Kekhuatiran itu selalu mengganggu fikiran Zakaria disamping
rasa sedih hatinya bahawa ia sejak kahwin hingga mencapai usia
sembilan puluh tahun, Tuhan belum mengurniakannya dengan
seorang anak yang ia idam-idamkan untuk menjadi penggantinya
memimpin dan mengimami Bani Isra'il. Ia agak terhibur dari
rasa sedih dan kekhuatirannya, semasa ia bertugas memelihara
dan mengawasi Maryam yang dapat dianggap sebagai anak
kandungnya sendiri. Akan tetapi rasa sedihnya dan keinginanya
yang kuat untuk memperolhi keturunan tergugah kembali ketika
ia menyaksikan mukjizat hidangan makanan dimihrabnya Maryam.
 
Ia berfikir didalam hatinya bahawa tiada sesuatu yang mustahil
di dalam kekuasaan Allah. Allah yang telah memberi rezeki
kepada Maryam dalam keadaan seorang diri tidak berdaya dan
berusaha, Dia pula berkuasa memberinya keturunan bila Dia
kehendaki walaupun usianya sudah lanjut dan rambutnya sudah
penuh uban.
 
Pada suatu malam yang sudah larut, duduklah Zakaria
di mihrabnya mengheningkan cipta memusatkan fikiran kepada
kebesaran Allah seraya bermunajat dan berdoa dengan khusyuk
dan keyakinan yang bulat. Dengan suara yang lemah lembut
berucaplah ia dalam doanya, " Ya Tuhanku, berikanlah aku
seorang putera yang akan mewarisiku dan mewarisi sebahagian
dari keluarga Ya'qub, yang akan meneruskan pimpinan dan
tuntunanku kepada Bani Isra'il. Aku khuatir bahawa
sepeninggalanku nanti anggota-anggota keluargaku akan rusak
kembali aqidah dan imannya bila aku tinggalkan mati tanpa
seorang pemimpin yang akan menggantikan aku. Ya Tuhanku,
tulangku telah menjadi lemah dan kepalaku telah dipenuhi uban,
sedang isteriku adalah seorang perempuan yang mandul namun
kekuasaanMu adalah diatas segala kekuasaan dan aku tidak jemu-
jemunya berdoa kepadamu memohon rahmatMu mengurniai aku
seorang putera yang soleh yang engkau redhai."
 
Allah berfirman memperkenankan permohonan Zakaria, " Hai
Zakaria, Kami memberi khabar gembira kepadamu, kamu akan
memperoleh seorang putera, bernama Yahya, yang soleh yang
membenarkan kitab-kitab Allah, menjadi pemimpin yang diikuti
bertahan diri dari hawa nafsu dan godaan syaitan serta akan
menjadi seorang nabi."
 
Berkata Zakaria, " Ya Tuhanku, bagaimana aku akan memperolehi
anak sedangkan isteriku adalah seorang perempuan yang mandul
dan aku sendiri sudah lanjut usianya."
 
Allah menjawab dengan firmanNya, " Demikian itu adalah suatu
hal yang mudah bagiKu. Tidakkah aku telah ciptakan engkau
padahal engkau di waktu itu belum ada sama sekali ?"
 
Berkata Zakaria, " Ya Tuhanku, berilah aku akan suatu tanda
bahawa isteri aku telah mengandung." Allah berfirman,
" Tandanya bagimu bahawa engkau tidak dapat berkata-kata
dengan manusia selama tiga hari berturut-turut kecuali dengan
isyarat. Dan sebutlah namaKu sebanyak-banyaknya serta
bertasbihlah diwaktu petang dan pagi hari."
 
Nabi Yahya bin Zakaria a.s. tidak banyak dikisahkan oleh
Al Quran kecuali bahawa ia diberi ilmu dan hikmah selagi ia
masih kanak-kanak dan bahawa ia seorang putera yang berbakti
kepada kedua orang tuanya dan bukanlah orang yang sombong
durhaka. Ia terkenal cerdik pandai, berfikiran tajam sejak ia
berusia muda, sangat tekun beribadah yang dilakukan siang dan
malam, sehingga berpengaruh kepada kesihatan badannya dan
menjadikannya kurus kering, wajahnya pucat dan matanya cekung.
 
Ia dikenal oleh kaumnya sebagai orang alim menguasai soal-soal
keagamaan, hafal kitab Taurat, sehingga ia menjadi tempat
bertanya tentang hukum-hukum agama. Ia memiliki keberanian
dalam mengambil sesuatu keputusan, tidak takut dicerca orang
dan tidak pula menghiraukan ancaman pihak penguasa dalam
usahanya menegakkan kebenaran dan melawan kebathilan.
 
Ia selalu menganjurkan orang-orang yang telah berdosa agar
bertaubat dari dosanya. Dan sebagai tanda taubatnya mereka
dipermandikan {dibaptiskan} di sungai Jordan, kebiasaan mana
hingga kini berlaku di kalangan orang-orang Kristian dan
kerana Nabi Yahya adalah orang pertama yang mengadakan upacara
itu, maka ia dijuluki "Yahya Pembaptis.". (Yohanes)
 
" 12@ “ Wahai Yahya, terimalah Kitab itu (serta amalkanlah)
dengan bersungguh-sungguh ! Dan Kami berikan kepadanya Hikmat
kebijaksanaan semasa ia masih kanak-kanak.
 
13@ Dan (Kami mengurniakannya) rahmat dari sisi Kami, serta
kelebihan yang kembang manfaatnya, dan ia seorang yang
bertaqwa.
 
14@ Dan ia taat serta berbuat baik kepada ibu bapanya, dan ia
pula tidak sombong angkuh atau derhaka.
 
15@ Dan (Kami limpahkan) kepadanya selamat sejahtera pada hari
ia diperanakkan, dan pada hari ia mati, serta pada hari ia
dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat). {Surah Maryam}
 
*** Nabi Yahya dan Nabi Zakaria Wafat.
 
Dikisahkan bahawa Hirodus, Penguasa Palestin pada waktu itu
mencintai anak saudaranya sendiri bernama Hirodia, seorang
gadis yang cantik, ayu, bertubuh lampai dan ramping dan
berhasrat ingin mengahwininya. Sang gadis berserta ibunya dan
seluruh anggota keluarga menyetujui rencana perkahwinan itu,
namun Nabi Yahya menentangnya dan mengeluarkan fakwa bahawa
perkahwinan itu tidak boleh dilaksanakan kerana bertentangan
dengan syariat Musa yang mengharamkan seorang mengahwini anak
saudaranya sendiri.
 
Berita rencana perkahwinan Hirodus dan Hirodia serta fatwa
Nabi Yahya yang melarangnya, tersiar di seluruh pelosok kota
dan menjadi pembicaraan orang di segala tempat di mana orang
berkumpul. Herodia si gadis cantik calon isteri itu, merasa
sedih bercampur marah terhadap Nabi Yahya yang telah
mengeluarkan fatwa mengharamkan perkahwinannya dengan bapa
saudaranya sendiri, fatwa mana telah membawa reaksi dan
pendapat dikalangan masyarakat yang luas. Ia khuatir bahawa
bapa saudaranya, Herodus calon suami dapat terpengaruh oleh
fatwa Nabi Yahya itu dan terpaksa membatalkan perkahwinan
yang sudah dinanti-nanti dan diidam-idamkan, bahkan bahkan
sudah menyiapkan segala sesuatu berupa pakaian mahupun
peralatan yang perlu untuk pesta perkahwinan yang telah
disepakati itu.
 
Menghadapi fatwa Nabi Yahya dan reaksi masyarakat itu, Herodia
tidak tinggal diam. Ia berusaha dengan bersenjatakan
kecantikkan dan parasnya yang ayu itu mempengaruhi bapa
saudaranya, calon suaminya agar rencana perkahwinan
dilaksanakan menurut rencana. Dengan merias diri dan
berpakaian yang merangsang, ia pergi mengunjungi bapa
saudaranya Herodus yang sedang dilanda mabuk asmara. Bertanya
Herodus kepada anak saudaranya calon isterinya yang nampak
lebih cantik daripada biasa, " Hai manisku, apakah yang dapat
aku berbuat untukmu. Katakanlah aku akan patuhi segala
permintaanmu, kedatanganmu kemari pada saat ini tentu didorong
oleh sesuatu hajat yang mendesak yang ingin engkau sampaikan
kepadaku. Sampaikanlah kepadaku tanpa ragu-ragu, hai sayangku,
aku sedia melayani segala keperluan dan keinginanmu."
 
Herodia menjawab, " Bila Tuan Raja berkenan, maka aku hanya
mempunyai satu permintaan yang mendorongku datang mengunjungi
Tuanku pada saat ini. Permintaanku yang tunggal itu ialah
kepala Yahya bin Zakaria, orang yang telah mengacau rencana
kita dan mencemarkan nama baik Tuan Raja dan namaku sekeluarga
di segala tempat dan penjuru. Supaya dia dipenggal kepalanya.
Alangkah puasnya hatiku dan besarnya terima kasihku, bila
Tuanku berkenan meluluskan permintaanku ini."
 
Herodus yang sudah tergila-gila dan tertawan hatinya oleh
kecantikan dan keelokan Herodia tidak berkulik menghadapi
permintaan calon isterinya itu dan tidak dapat berbuat selain
tunduk kepada kehendaknya dengan mengabaikan suara hati
nuraninya dan panggilan akal sihatnya. Demikianlah maka tidak
berapa lama dibawalah kepala Yahya bin Zakaria berlumuran
darah dan diletakkannya di depan kesayangannya Herodia yang
tersenyum tanda gembira dan puas hati bahawa hasratnya
membalas dendam terhadap Yahya telah terpenuhi dan rintangan
utama yang akan menghalangi rencana perkahwinannya telah
tersingkirkan, walaupun perbuatannya itu menurunkan laknat
Tuhan atas dirinya, diri rajanya dan Bani Isra'il seluruhnya.
 
Pada zaman kegemilangan Nabi Yahya terdapat seorang raja yang
berkeinginan untuk mengahwini anak tirinya sendiri. Pada
ketika Allah telahpun menentukan hukum tertib berhubung
larangan berkahwin dengan anak tiri. Nabi Yahya melarang
keinginan raja tersebut, kerana hukum Tuhan, menyebut bahawa
seseorang terlarang daripada mengahwini anak tirinya sendiri.
Mendengar kata-kata beliau, raja tersebut amat murka kepada
Yahya dan membunuhnya. Begitu juga ayah beliau yang dianggap
sebagai seorang yang berani menghalang kekuasaan di raja.
 
Nabi Yahya dan ayahnya Nabi Zakaria yang disifatkan sebagai
penghalang kehendak raja dibunuh. Nabi Yahya, dibunuh terlebih
dahulu. Dengan izin Allah, Zakaria memasuki ke dalam sebuah
pohon yang pada ketika itu terbelah menjadi dua. Zakaria
memasuki ke dalam pohon itu dan pohon tersebut kemudiannya,
bercantum seperti sediakala setelah menerima kemasukan beliau.
 
Petugas raja terburu-buru mencari Zakaria, di tempat
persembunyiannya, namun mereka tidak menjumpai beliau. Mereka
berpendapat bahawa Zakaria memiliki sihir, dan sudah pasti
berada di dalam pohon itu yang kelihatan seperti biasa. Mereka
menggergaji pohon tersebut kepada dua sehingga menyebabkan
kematian pada diri Zakaria. Demikianlah riwayat Rasul Allah
dalam mempertahankan hukum Allah. Kekerasan beliau
mempertahankan hukum Allah membolehkan beliau tersembunyi dan
wafat dalam keadaan syahid.
 
Cerita tentang Zakaria dan Yahya terurai di atas dikisahkan
oleh Al Quran,
 
" 39@ Lalu diseru oleh malaikat sedang ia berdiri sembahyang
di Mihrab, (katanya), “ Bahawasanya Allah memberi khabar yang
mengembirakanmu, dengan (mengurniakanmu seorang anak lelaki
bernama) Yahya, yang akan beriman kepada Kalimah dari Allah,
dan akan menjadi ketua, dan juga akan menahan diri dari
berkahwin, dan akan menjadi seorang Nabi dari orang-orang yang
soleh." {Surah Ali Imran}
 
" 89@ Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Zakaria, ketika ia
merayu kepada Tuhannya dengan berkata, “ Wahai Tuhanku !
Janganlah Engkau biarkan daku seorang diri (dengan tidak
meninggalkan zuriat), dan Engkaulah jua sebaik-baik yang
mewarisi.”
 
90@ Maka Kami perkenankan doanya, dan Kami kurniakan kepadanya
(anaknya) Yahya, dan Kami perelokkan keadaan isterinya yang
mandul, (untuk melahirkan anak) baginya. (Kami limpahkan
berbagai ihsan kepada Rasul-rasul itu ialah kerana)
sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan
kebaikan, dan sentiasa berdoa kepada kami dengan penuh harapan
serta gerun takut, dan mereka pula sentiasa khusyuk (dan taat)
kepada Kami." {Surah Al Anbiya'}

No comments:

Post a Comment