Saturday 30 January 2016

Riwayat Nabi Yahya (023)...^^..

Riwayat Nabi Yahya (023)...^^..
 
Nabi Zakaria, ayahnya Nabi Yahya sedar dan mengetahui bahawa
anggota-anggota keluarganya, saudara-saudaranya, sepupu-
sepupunya dan anak-anak saudaranya adalah orang-orang jahat
Bani Israil yang tidak segan-segan melanggar hukum-hukum agama
dan berbuat maksiat, disebabkan iman dan rasa keagamaan mereka
belum meresap betul didalam hati mereka, sehingga dengan mudah
mereka tergoda dan terjerumus ke dalam lembah kemungkaran dan
kemaksiatan. Ia khuatir bila ajalnya tiba dan meninggalkan
mereka tanpa seorang waris yang dapat melanjutkan pimpinannya
atas kaumnya, bahawa mereka akan makin rusak dan makin berani
melakukan kejahatan dan kemaksiatan bahkan ada kemungkinan
mereka mengadakan perubahan-perubahan di dalam kitab suci
Taurat dan menyalahgunakan hukum-hukum agama.
 
Kekhuatiran itu selalu mengganggu fikiran Zakaria disamping
rasa sedih hatinya bahawa ia sejak kahwin hingga mencapai usia
sembilan puluh tahun, Tuhan belum mengurniakannya dengan
seorang anak yang ia idam-idamkan untuk menjadi penggantinya
memimpin dan mengimami Bani Isra'il. Ia agak terhibur dari
rasa sedih dan kekhuatirannya, semasa ia bertugas memelihara
dan mengawasi Maryam yang dapat dianggap sebagai anak
kandungnya sendiri. Akan tetapi rasa sedihnya dan keinginanya
yang kuat untuk memperolhi keturunan tergugah kembali ketika
ia menyaksikan mukjizat hidangan makanan dimihrabnya Maryam.
 
Ia berfikir didalam hatinya bahawa tiada sesuatu yang mustahil
di dalam kekuasaan Allah. Allah yang telah memberi rezeki
kepada Maryam dalam keadaan seorang diri tidak berdaya dan
berusaha, Dia pula berkuasa memberinya keturunan bila Dia
kehendaki walaupun usianya sudah lanjut dan rambutnya sudah
penuh uban.
 
Pada suatu malam yang sudah larut, duduklah Zakaria
di mihrabnya mengheningkan cipta memusatkan fikiran kepada
kebesaran Allah seraya bermunajat dan berdoa dengan khusyuk
dan keyakinan yang bulat. Dengan suara yang lemah lembut
berucaplah ia dalam doanya, " Ya Tuhanku, berikanlah aku
seorang putera yang akan mewarisiku dan mewarisi sebahagian
dari keluarga Ya'qub, yang akan meneruskan pimpinan dan
tuntunanku kepada Bani Isra'il. Aku khuatir bahawa
sepeninggalanku nanti anggota-anggota keluargaku akan rusak
kembali aqidah dan imannya bila aku tinggalkan mati tanpa
seorang pemimpin yang akan menggantikan aku. Ya Tuhanku,
tulangku telah menjadi lemah dan kepalaku telah dipenuhi uban,
sedang isteriku adalah seorang perempuan yang mandul namun
kekuasaanMu adalah diatas segala kekuasaan dan aku tidak jemu-
jemunya berdoa kepadamu memohon rahmatMu mengurniai aku
seorang putera yang soleh yang engkau redhai."
 
Allah berfirman memperkenankan permohonan Zakaria, " Hai
Zakaria, Kami memberi khabar gembira kepadamu, kamu akan
memperoleh seorang putera, bernama Yahya, yang soleh yang
membenarkan kitab-kitab Allah, menjadi pemimpin yang diikuti
bertahan diri dari hawa nafsu dan godaan syaitan serta akan
menjadi seorang nabi."
 
Berkata Zakaria, " Ya Tuhanku, bagaimana aku akan memperolehi
anak sedangkan isteriku adalah seorang perempuan yang mandul
dan aku sendiri sudah lanjut usianya."
 
Allah menjawab dengan firmanNya, " Demikian itu adalah suatu
hal yang mudah bagiKu. Tidakkah aku telah ciptakan engkau
padahal engkau di waktu itu belum ada sama sekali ?"
 
Berkata Zakaria, " Ya Tuhanku, berilah aku akan suatu tanda
bahawa isteri aku telah mengandung." Allah berfirman,
" Tandanya bagimu bahawa engkau tidak dapat berkata-kata
dengan manusia selama tiga hari berturut-turut kecuali dengan
isyarat. Dan sebutlah namaKu sebanyak-banyaknya serta
bertasbihlah diwaktu petang dan pagi hari."
 
Nabi Yahya bin Zakaria a.s. tidak banyak dikisahkan oleh
Al Quran kecuali bahawa ia diberi ilmu dan hikmah selagi ia
masih kanak-kanak dan bahawa ia seorang putera yang berbakti
kepada kedua orang tuanya dan bukanlah orang yang sombong
durhaka. Ia terkenal cerdik pandai, berfikiran tajam sejak ia
berusia muda, sangat tekun beribadah yang dilakukan siang dan
malam, sehingga berpengaruh kepada kesihatan badannya dan
menjadikannya kurus kering, wajahnya pucat dan matanya cekung.
 
Ia dikenal oleh kaumnya sebagai orang alim menguasai soal-soal
keagamaan, hafal kitab Taurat, sehingga ia menjadi tempat
bertanya tentang hukum-hukum agama. Ia memiliki keberanian
dalam mengambil sesuatu keputusan, tidak takut dicerca orang
dan tidak pula menghiraukan ancaman pihak penguasa dalam
usahanya menegakkan kebenaran dan melawan kebathilan.
 
Ia selalu menganjurkan orang-orang yang telah berdosa agar
bertaubat dari dosanya. Dan sebagai tanda taubatnya mereka
dipermandikan {dibaptiskan} di sungai Jordan, kebiasaan mana
hingga kini berlaku di kalangan orang-orang Kristian dan
kerana Nabi Yahya adalah orang pertama yang mengadakan upacara
itu, maka ia dijuluki "Yahya Pembaptis.". (Yohanes)
 
" 12@ “ Wahai Yahya, terimalah Kitab itu (serta amalkanlah)
dengan bersungguh-sungguh ! Dan Kami berikan kepadanya Hikmat
kebijaksanaan semasa ia masih kanak-kanak.
 
13@ Dan (Kami mengurniakannya) rahmat dari sisi Kami, serta
kelebihan yang kembang manfaatnya, dan ia seorang yang
bertaqwa.
 
14@ Dan ia taat serta berbuat baik kepada ibu bapanya, dan ia
pula tidak sombong angkuh atau derhaka.
 
15@ Dan (Kami limpahkan) kepadanya selamat sejahtera pada hari
ia diperanakkan, dan pada hari ia mati, serta pada hari ia
dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat). {Surah Maryam}
 
*** Nabi Yahya dan Nabi Zakaria Wafat.
 
Dikisahkan bahawa Hirodus, Penguasa Palestin pada waktu itu
mencintai anak saudaranya sendiri bernama Hirodia, seorang
gadis yang cantik, ayu, bertubuh lampai dan ramping dan
berhasrat ingin mengahwininya. Sang gadis berserta ibunya dan
seluruh anggota keluarga menyetujui rencana perkahwinan itu,
namun Nabi Yahya menentangnya dan mengeluarkan fakwa bahawa
perkahwinan itu tidak boleh dilaksanakan kerana bertentangan
dengan syariat Musa yang mengharamkan seorang mengahwini anak
saudaranya sendiri.
 
Berita rencana perkahwinan Hirodus dan Hirodia serta fatwa
Nabi Yahya yang melarangnya, tersiar di seluruh pelosok kota
dan menjadi pembicaraan orang di segala tempat di mana orang
berkumpul. Herodia si gadis cantik calon isteri itu, merasa
sedih bercampur marah terhadap Nabi Yahya yang telah
mengeluarkan fatwa mengharamkan perkahwinannya dengan bapa
saudaranya sendiri, fatwa mana telah membawa reaksi dan
pendapat dikalangan masyarakat yang luas. Ia khuatir bahawa
bapa saudaranya, Herodus calon suami dapat terpengaruh oleh
fatwa Nabi Yahya itu dan terpaksa membatalkan perkahwinan
yang sudah dinanti-nanti dan diidam-idamkan, bahkan bahkan
sudah menyiapkan segala sesuatu berupa pakaian mahupun
peralatan yang perlu untuk pesta perkahwinan yang telah
disepakati itu.
 
Menghadapi fatwa Nabi Yahya dan reaksi masyarakat itu, Herodia
tidak tinggal diam. Ia berusaha dengan bersenjatakan
kecantikkan dan parasnya yang ayu itu mempengaruhi bapa
saudaranya, calon suaminya agar rencana perkahwinan
dilaksanakan menurut rencana. Dengan merias diri dan
berpakaian yang merangsang, ia pergi mengunjungi bapa
saudaranya Herodus yang sedang dilanda mabuk asmara. Bertanya
Herodus kepada anak saudaranya calon isterinya yang nampak
lebih cantik daripada biasa, " Hai manisku, apakah yang dapat
aku berbuat untukmu. Katakanlah aku akan patuhi segala
permintaanmu, kedatanganmu kemari pada saat ini tentu didorong
oleh sesuatu hajat yang mendesak yang ingin engkau sampaikan
kepadaku. Sampaikanlah kepadaku tanpa ragu-ragu, hai sayangku,
aku sedia melayani segala keperluan dan keinginanmu."
 
Herodia menjawab, " Bila Tuan Raja berkenan, maka aku hanya
mempunyai satu permintaan yang mendorongku datang mengunjungi
Tuanku pada saat ini. Permintaanku yang tunggal itu ialah
kepala Yahya bin Zakaria, orang yang telah mengacau rencana
kita dan mencemarkan nama baik Tuan Raja dan namaku sekeluarga
di segala tempat dan penjuru. Supaya dia dipenggal kepalanya.
Alangkah puasnya hatiku dan besarnya terima kasihku, bila
Tuanku berkenan meluluskan permintaanku ini."
 
Herodus yang sudah tergila-gila dan tertawan hatinya oleh
kecantikan dan keelokan Herodia tidak berkulik menghadapi
permintaan calon isterinya itu dan tidak dapat berbuat selain
tunduk kepada kehendaknya dengan mengabaikan suara hati
nuraninya dan panggilan akal sihatnya. Demikianlah maka tidak
berapa lama dibawalah kepala Yahya bin Zakaria berlumuran
darah dan diletakkannya di depan kesayangannya Herodia yang
tersenyum tanda gembira dan puas hati bahawa hasratnya
membalas dendam terhadap Yahya telah terpenuhi dan rintangan
utama yang akan menghalangi rencana perkahwinannya telah
tersingkirkan, walaupun perbuatannya itu menurunkan laknat
Tuhan atas dirinya, diri rajanya dan Bani Isra'il seluruhnya.
 
Pada zaman kegemilangan Nabi Yahya terdapat seorang raja yang
berkeinginan untuk mengahwini anak tirinya sendiri. Pada
ketika Allah telahpun menentukan hukum tertib berhubung
larangan berkahwin dengan anak tiri. Nabi Yahya melarang
keinginan raja tersebut, kerana hukum Tuhan, menyebut bahawa
seseorang terlarang daripada mengahwini anak tirinya sendiri.
Mendengar kata-kata beliau, raja tersebut amat murka kepada
Yahya dan membunuhnya. Begitu juga ayah beliau yang dianggap
sebagai seorang yang berani menghalang kekuasaan di raja.
 
Nabi Yahya dan ayahnya Nabi Zakaria yang disifatkan sebagai
penghalang kehendak raja dibunuh. Nabi Yahya, dibunuh terlebih
dahulu. Dengan izin Allah, Zakaria memasuki ke dalam sebuah
pohon yang pada ketika itu terbelah menjadi dua. Zakaria
memasuki ke dalam pohon itu dan pohon tersebut kemudiannya,
bercantum seperti sediakala setelah menerima kemasukan beliau.
 
Petugas raja terburu-buru mencari Zakaria, di tempat
persembunyiannya, namun mereka tidak menjumpai beliau. Mereka
berpendapat bahawa Zakaria memiliki sihir, dan sudah pasti
berada di dalam pohon itu yang kelihatan seperti biasa. Mereka
menggergaji pohon tersebut kepada dua sehingga menyebabkan
kematian pada diri Zakaria. Demikianlah riwayat Rasul Allah
dalam mempertahankan hukum Allah. Kekerasan beliau
mempertahankan hukum Allah membolehkan beliau tersembunyi dan
wafat dalam keadaan syahid.
 
Cerita tentang Zakaria dan Yahya terurai di atas dikisahkan
oleh Al Quran,
 
" 39@ Lalu diseru oleh malaikat sedang ia berdiri sembahyang
di Mihrab, (katanya), “ Bahawasanya Allah memberi khabar yang
mengembirakanmu, dengan (mengurniakanmu seorang anak lelaki
bernama) Yahya, yang akan beriman kepada Kalimah dari Allah,
dan akan menjadi ketua, dan juga akan menahan diri dari
berkahwin, dan akan menjadi seorang Nabi dari orang-orang yang
soleh." {Surah Ali Imran}
 
" 89@ Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Zakaria, ketika ia
merayu kepada Tuhannya dengan berkata, “ Wahai Tuhanku !
Janganlah Engkau biarkan daku seorang diri (dengan tidak
meninggalkan zuriat), dan Engkaulah jua sebaik-baik yang
mewarisi.”
 
90@ Maka Kami perkenankan doanya, dan Kami kurniakan kepadanya
(anaknya) Yahya, dan Kami perelokkan keadaan isterinya yang
mandul, (untuk melahirkan anak) baginya. (Kami limpahkan
berbagai ihsan kepada Rasul-rasul itu ialah kerana)
sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan
kebaikan, dan sentiasa berdoa kepada kami dengan penuh harapan
serta gerun takut, dan mereka pula sentiasa khusyuk (dan taat)
kepada Kami." {Surah Al Anbiya'}

Al Quran Indonesia. 019. Surah Maryam (Siti Maryam)...

Al Quran Indonesia. 019. Surah Maryam (Siti Maryam)...

BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

1@ Kaaf, Haa, Yaa, Ain, Saad.

2@ (Ini ialah) perihal limpahan rahmat Tuhanmu (wahai
Muhammad), kepada hambaNya Zakaria.

3@ (Ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Zakaria berdoa kepada
tuhannya dengan doa permohonan secara perlahan.

4@ Ia merayu dengan berkata, " Wahai Tuhanku ! Sesungguhnya
telah lemahlah tulang-tulangku, dan telah putih melepaklah
uban kepalaku, dan aku (wahai Tuhanku) tidak pernah merasa
hampa dengan doa permohonanku kepadaMu.

5@ Dan sesungguhnya aku merasa bimbang akan kecuaian kaum
kerabatku, menyempurnakan tugas-tugas ugama sepeninggalanku,
dan isteriku pula adalah seorang yang mandul, oleh itu,
kurniakanlah daku dari sisiMu seorang anak lelaki.

6@ Yang layak mewarisi daku, juga mewarisi keluarga Nabi
Yaakub, dan jadikanlah dia (wahai Tuhanku) seorang yang
diredhai serta disukai.”

7@ (Nabi Zakaria diseru setelah dikabulkan doanya), ” Wahai
Zakaria ! Sesungguhnya Kami memberikan khabar yang
mengembirakanmu dengan mengurniakan seorang anak lelaki
bernama Yahya, yang kami tidak pernah jadikan sebelum itu,
seorangpun yang senama dengannya.”

8@ Nabi Zakaria bertanya, “ Wahai Tuhanku ! Bagaimanakah
caranya aku akan beroleh seorang anak, sedang isteriku adalah
seorang yang mandul dan aku sendiri pula telah sampai had umur
yang setua-tuanya ?”

9@ Penyeru itu menjawab, " Demikian keadaannya (janganlah
dihairankan), Tuhanmu berfirman, “ Hal itu mudah bagiKu kerana
sesungguhnya Aku telah menciptakanmu dahulu, sedang engkau
pada masa itu belum ada sebarang apapun.”

10@ Nabi Zakaria merayu lagi, “ Wahai Tuhanku ! Jadikanlah
satu tanda bagiku (yang menunjukkan isteriku mengandung)”,
Allah Taala berfirman, ” Tandamu itu ialah engkau tidak akan
dapat berkata-kata dengan orang ramai selama tiga malam,
sedang engkau dalam keadaan sihat.”

11@ Maka dia pun keluar mendapatkan kaumnya dari Mihrab
(tempat sembahyangnya), lalu ia memberi isyarat kepada mereka,
“ Hendaklah kamu bertasbih (mengerjakan ibadat kepada Allah)
pagi dan petang.”

12@ “ Wahai Yahya, terimalah Kitab itu (serta amalkanlah)
dengan bersungguh-sungguh !" Dan Kami berikan kepadanya Hikmat
kebijaksanaan semasa ia masih kanak-kanak.

13@ Dan (Kami mengurniakannya) rahmat dari sisi Kami, serta
kelebihan yang kembang manfaatnya, dan ia seorang yang
bertaqwa.

14@ Dan ia taat serta berbuat baik kepada ibu bapanya, dan ia
pula tidak sombong angkuh atau derhaka.

15@ Dan (Kami limpahkan) kepadanya selamat sejahtera pada hari
ia diperanakkan, dan pada hari ia mati, serta pada hari ia
dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat).

16@ Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab Al Quran
ini perihal Maryam, ketika dia memencilkan diri dari
keluarganya di sebuah tempat sebelah timur.

17@ Kemudian Maryam membuat dinding untuk melindungi dirinya
dari mereka, maka Kami hantarkan kepadanya, " Roh dari kami
lalu ia menyamar diri kepadanya, sebagai seorang lelaki yang
sempurna bentuk kejadiannya.

18@ Maryam berkata, " Sesungguhnya aku berlindung kepada
(Allah) Ar Rahman daripada (gangguan) mu, kalaulah engkau
seorang yang bertaqwa."

19@ Ia berkata, “ Sesungguhnya aku pesuruh Tuhanmu, untuk
menyebabkanmu dikurniakan seorang anak yang suci.”

20@ Maryam bertanya (dengan cemas), " Bagaimanakah aku akan
beroleh seorang anak lelaki, padahal aku tidak pernah disentuh
oleh seorang lelaki pun, dan aku pula bukan perempuan jahat ?”

21@ Ia menjawab, “ Demikianlah keadaannya, tak usahlah
dihairankan, Tuhanmu berfirman, " Hal itu mudah bagiKu, dan
Kami hendak menjadikan pemberian anak itu sebagai satu tanda
(yang membuktikan kekuasaan Kami) untuk umat manusia dan
sebagai satu rahmat dari Kami, dan hal itu adalah satu perkara
yang telah ditetapkan berlakunya."

22@ Maka Maryam hamillah mengandungnya, lalu ia memencilkan
diri dengan kandungannya itu ke sebuah tempat yang jauh.

23@ (Ketika ia hendak bersalin) maka sakit beranak itu
memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar
(kurma), ia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum
ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak
dikenang-kenang !

24@ Lalu ia diseru dari sebelah bawahnya, ” Janganlah engkau
berdukacita (wahai Maryam), sesungguhnya Tuhanmu telah
menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai.

25@ Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya
gugur kepadamu buah tamar yang masak."

26@ “ Maka makanlah dan minumlah, serta bertenanglah hati dari
segala yang merunsingkan. Kemudian kalau engkau melihat
seseorang manusia, maka katakanlah, " Sesungguhnya aku
bernazar diam membisu kerana (Allah) Ar Rahman, (setelah aku
menyatakan yang demikian) maka aku tidak akan berkata-kata
kepada sesiapapun dari kalangan manusia pada hari ini.”

27@ Kemudian, baliklah ia kepada kaumnya dengan mendokong
anaknya, mereka pun menempelaknya dengan berkata, " Wahai
Maryam ! Sesungguhnya engkau telah melakukan suatu perkara
yang besar salahnya !

28@ ” Wahai saudara perempuan Harun, bapamu bukanlah seorang
yang buruk akhlaknya, dan ibumu pula bukanlah seorang
perempuan jahat !”

29@ Maka Maryam segera menunjuk kepada anaknya. Mereka berkata
(dengan hairannya), “ Bagaimana kami boleh berkata-kata dengan
seorang yang masih kanak-kanak dalam buaian ?”

30@ Ia menjawab, ” Sesungguhnya aku ini hamba Allah, Ia telah
memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan Ia telah menjadikan
daku seorang Nabi.

31@ Dan Ia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja
aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan
memberi zakat selagi aku hidup."

32@ ” Serta (diperintahkan daku) taat dan berbuat baik kepada
ibuku, dan Ia tidak menjadikan daku seorang yang sombong
takbur atau derhaka.

33@ Dan segala keselamatan serta kesejahteraan dilimpahkan
kepadaku pada hari aku diperanakkan dan pada hari aku mati,
serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula (pada hari
kiamat).”

34@ Yang demikian sifat-sifatnya, itulah Isa Ibni Maryam.
Keterangan yang tersebut ialah keterangan yang sebenar-
benarnya, yang mereka ragu-ragu dan berselisihan padanya.

35@ Tiadalah layak bagi Allah mempunyai anak. Maha Sucilah Ia.
Apabila menetapkan jadinya sesuatu perkara, maka hanyalah Ia
berfirman kepadanya, “ Jadilah engkau”, lalu menjadilah ia.

36@ Dan sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu, maka
sembahlah kamu akan Dia, inilah jalan yang betul lurus.“

37@ Kemudian, golongan-golongan (dari kaumnya) itu
berselisihan sesama sendiri. Maka kecelakaanlah bagi orang-
orang kafir (yang berselisihan) itu, dari apa yang disaksikan
pada hari yang besar huru-haranya.

38@ Sungguh jelas pendengaran dan penglihatan mereka yang
kafir itu, semasa mereka datang mengadap Kami pada hari
akhirat. Tetapi orang-orang yang zalim (dengan perbuatan kufur
dan maksiat) pada masa di dunia ini, berada dalam kesesatan
yang nyata.

39@ Dan berilah amaran (wahai Muhammad) kepada umat manusia
seluruhnya, tentang hari penyesalan, iaitu hari diselesaikan
perbicaraan perkara masing-masing pada masa mereka (yang
ingkar) di dunia ini berada dalam kelalaian, serta mereka pula
tidak mahu beriman.

40@ Sesungguhnya Kamilah yang mewarisi bumi dan segala makhluk
yang ada di atasnya, dan kepada Kamilah mereka akan
dikembalikan.

41@ Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al Quran)
ini, perihal Nabi Ibrahim, " Sesungguhnya adalah ia seorang
yang amat benar, lagi menjadi Nabi."

42@ Ketika ia berkata kepada bapanya, ” Wahai ayahku, mengapa
ayah menyembah benda yang tidak mendengar dan tidak melihat
serta tidak dapat menolongmu sedikitpun ?"

43@ ” Wahai ayahku, sesungguhnya telah datang kepadaku dari
ilmu pengetahuan yang tidak pernah datang kepadamu, oleh itu
ikutlah daku, aku akan memimpinmu ke jalan yang betul."

44@ ” Wahai ayahku, janganlah ayah menyembah Syaitan,
sesungguhnya Syaitan itu adalah menderhaka kepada Allah yang
melimpah-limpah rahmatNya."

45@ ” Wahai ayahku, sesungguhnya aku bimbang, bahawa ayah akan
kena azab dari (Allah) Ar Rahman, disebabkan ayah menyembah
yang lainnya, maka dengan sebab itu, akan menjadilah ayah
rakan bagi Syaitan di dalam neraka.”

46@ (Bapanya) menjawab, “ Patutkah engkau bencikan tuhan-
tuhanku, wahai Ibrahim ? Demi sesungguhnya jika engkau tidak
berhenti daripada menyeru dan menasihati daku sudah tentu aku
akan meluntarmu dengan batu, dan (ingatlah lebih baik) engkau
tinggalkan daku sepanjang masa.”

47@ Nabi Ibrahim berkata, ” Selamat tinggalah ayah, aku akan
memohon kepada Tuhanku mengampuni dosamu, sesungguhnya Ia
sentiasa melimpahkan kemurahan ihsanNya kepadaku."

48@ Dan aku akan membawa diri meninggalkan kamu semua serta
apa yang kamu sembah yang lain dari Allah, dan aku akan
beribadat kepada Tuhanku dengan ikhlas, mudah-mudahan aku
dengan ibadatku kepada Tuhanku itu tidak menjadi hampa (dan
derhaka seperti kamu).”

49@ Maka apabila ia berhijrah meninggalkan mereka dan apa yang
mereka sembah yang lain dari Allah kami kurniakan kepadanya,
Ishak (anaknya), dan Yaakub (cucunya), dan kedua-duanya Kami
jadikan berpangkat Nabi.

50@ Dan Kami kurniakan kepada mereka dari rahmat Kami, dan
Kami jadikan bagi mereka sebutan dan pujian yang tinggi dalam
kalangan umat manusia.



51@ Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al Quran)
ini perihal Nabi Musa, sesungguhnya ia adalah orang pilihan,
dan adalah ia seorang Rasul, lagi Nabi.

52@ Dan Kami telah menyerunya dari arah sebelah kanan Gunung
Tursina, dan Kami dampingkan dia dengan diberi penghormatan
berkata dengan Kami.

53@ Dan Kami kurniakan kepadanya dari rahmat Kami, saudaranya,
Harun, yang juga berpangkat Nabi.

54@ Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al Quran)
ini perihal Nabi Ismail, sesungguhnya ia adalah benar menepati
janji dan adalah ia seorang Rasul, lagi berpangkat Nabi.

55@ Dan adalah ia menyuruh keluarganya mengerjakan sembahyang
dan memberi zakat, dan ia pula adalah seorang yang diredhai
di sisi Tuhannya !

56@ Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al Quran)
ini perihal Nabi Idris, sesungguhnya adalah ia amat benar
(tutur katanya dan imannya), serta ia seorang Nabi.

57@ Dan Kami telah mengangkatnya ke tempat yang tinggi
darjatnya.

58@ Mereka itulah sebahagian dari Nabi-nabi yang telah
dikurniakan Allah nikmat yang melimpah-limpah kepada mereka
dari keturunan Nabi Adam, dan dari keturunan orang-orang yang
Kami bawa (dalam bahtera) bersama-sama Nabi Nuh, dan dari
keturunan Nabi Ibrahim, dan (dari keturunan) Israil, dan
mereka itu adalah dari orang-orang yang Kami beri hidayah
petunjuk dan Kami pilih. Apabila dibacakan kepada mereka ayat-
ayat (Allah) Ar Rahman, mereka segera sujud serta menangis.

59@ Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang
mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan
melakukan maksiat), maka mereka akan menghadapi azab (dalam
neraka),

60@ Kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman serta
beramal soleh, maka mereka itu akan masuk Syurga, dan mereka
pula tidak dikurangkan pahala sedikitpun,

61@ (Iaitu) Syurga ” Adn ” yang telah dijanjikan oleh (Allah)
Ar Rahman kepada hamba-hambaNya disebabkan kepercayaan mereka
akan perkara-perkara yang ghaib, sesungguhnya Tuhan itu,
janjiNya tetap berlaku.

62@ Mereka tidak akan mendengar di dalamnya perkataan yang
sia-sia tetapi mereka sentiasa mendengar perkataan yang baik-
baik, dan makan minum untuk mereka disediakan di dalamnya,
pagi dan petang (sepanjang masa).

63@ Itulah taman Syurga yang Kami akan berikan sebagai warisan
pusaka kepada orang-orang yang bertaqwa dari hamba-hamba Kami.

64@ Dan (berkatalah malaikat), “ Kami tidak turun dari semasa
ke semasa melainkan dengan perintah Tuhanmu (wahai Muhammad),
Dialah jua yang menguasai serta mentadbirkan apa yang
di hadapan kita dan apa yang di belakang kita serta apa yang
di antara itu, dan tiadalah Tuhanmu itu lupa,"

65@ “ Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi
serta segala yang ada di antara keduanya, oleh itu, sembahlah
engkau akan Dia dan bersabarlah dengan tekun tetap dalam
beribadat kepadaNya, adakah engkau mengetahui sesiapapun yang
senama dan sebanding denganNya ?”

66@ Dan manusia (yang kafir) berkata, “ Apa ! Apabila aku
mati, adakah aku akan dibangkitkan hidup semula ?”

67@ Patutkah manusia itu berkata demikian dan tidak memikirkan
bahawa Kami telah menciptakan dia dahulu sedang ia pada masa
itu belum ada sebarang apapun ?

68@ Oleh itu, demi Tuhanmu (wahai Muhammad) ! Sesungguhnya
Kami akan himpunkan mereka yang kafir itu beserta syaitan-
syaitan di Padang Mahsyar, kemudian Kami akan bawa mereka
duduk berlutut di keliling neraka Jahannam.

69@ Sesudah itu, sesungguhnya kami akan cabut dari tiap-tiap
golongan, mana-mana orang yang sangat derhaka kepada (Allah)
Ar Rahman, di antara mereka.

70@ Kemudian, sesungguhnya Kami lebih mengetahui akan orang-
orang yang lebih patut diseksa dan dibakar dangan api neraka
itu.

71@ Dan tiada seorangpun di antara kamu melainkan akan sampai
kepadanya, (yang demikian) adalah satu perkara yang mesti
(berlaku) yang telah ditetapkan oleh Tuhanmu.

72@ Kemudian Kami akan selamatkan orang-orang yang bertaqwa,
dan kami akan biarkan orang-orang yang zalim (dengan
kekufurannya dan maksiatnya) tinggal berlutut di dalam neraka
itu.

73@ Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang
jelas nyata, berkatalah orang-orang yang kafir kepada orang-
orang yang beriman, “ Puak yang manakah (dari kami dan kamu)
yang lebih baik tempat tinggalnya dan lebih elok majlis
perhimpunannya ?"

74@ Dan berapa banyak kaum-kaum (yang ingkar) sebelum mereka,
kami telah binasakan, sedang mereka lebih elok alat-alat
kesenangannya dan lebih elok keadaannya pada pandangan mata.

75@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Sesiapa yang berada
di dalam kesesatan, maka biarlah (Allah) Ar Rahman melanjutkan
baginya satu tempoh yang tertentu, hingga apabila mereka
melihat apa yang dijanjikan kepada mereka, sama ada azab
sengsara dunia ataupun azab kiamat, maka (pada saat itu)
mereka akan mengetahui siapakah orangnya yang lebih buruk
kedudukannya dan lebih lemah penyokong-penyokongnya.”

76@ Dan Allah akan menambahi hidayah petunjuk bagi orang-orang
yang menurut jalan petunjuk, dan amal-amal yang baik yang
tetap kekal faedah-faedahnya itu, lebih baik balasan pahalanya
di sisi Tuhanmu dan lebih baik kesudahannya.

77@ Maka tidakkah engkau merasa hairan memikirkan (wahai
Muhammad), akan orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat
keterangan Kami serta ia berkata, “ Demi sesungguhnya aku akan
diberikan harta kekayaan dan anak-pinak pada hari akhirat ?”

78@ Adakah ia telah mengetahui akan perkara yang ghaib, atau
adakah ia telah membuat perjanjian dengan (Allah) Ar Rahman
mengenainya ?

79@ Tidak sekali-kali ! Kami akan menulis apa yang
dikatakannya, dan Kami akan tambahi baginya dari azab seksa,
berganda-ganda.

80@ Dan Kami akan warisi (harta benda dan anak-pinak) yang
dikatakannya itu, dan ia akan datang kepada kami dengan
seorang diri.

81@ Dan mereka yang kafir menyembah benda-benda yang lain dari
Allah sebagai tuhan-tuhan, supaya benda-benda yang mereka
sembah itu menjadi penolong-penolong yang memberi kemuliaan
dan pengaruh kepada mereka.

82@ Tidak sekali-kali ! Bahkan benda-benda yang mereka
pertuhankan itu mengingkari perbuatan mereka menyembahnya, dan
akan menjadi musuh yang membawa kehinaan kepada mereka.

83@ Tidakkah engkau mengetahui (Wahai Muhammad) bahawa Kami
telah menghantarkan Syaitan-syaitan kepada orang-orang kafir,
untuk menggalakkan mereka mengerjakan perbuatan kufur dan
maksiat dengan bersungguh-sungguh ?

84@ Oleh itu, janganlah engkau segera marah terhadap mereka
yang ingkar itu, kerana sesungguhnya kami hanya menghitung
hari yang sedikit sahaja bilangannya untuk mereka.

85@ (Ingatlah) hari Kami himpunkan orang-orang yang bertaqwa
untuk mengadap (Allah) Ar Rahman, dengan berpasukan-pasukan.

86@ Dan Kami akan menghalau orang-orang yang bersalah
ke neraka Jahannam, dalam keadaan dahaga.

87@ Mereka tidak berhak mendapat dan memberi syafaat, kecuali
orang yang telah mengikat perjanjian (dengan iman dan amal
yang soleh) di sisi Allah yang melimpah-limpah rahmatNya !

88@ Dan mereka yang kafir berkata, “ (Allah) Ar Rahman,
mempunyai anak.”

89@ Demi sesungguhnya, kamu telah melakukan satu perkara yang
besar salahnya !

90@ Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan (anggapan mereka)
yang demikian, dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah, serta
gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap,

91@ Kerana mereka mendakwa mengatakan, (Allah) Ar Rahman
mempunyai anak.

92@ Padahal tiadalah layak bagi (Allah) Ar Rahman, bahawa Ia
mempunyai anak.

93@ Tidak ada sesiapapun di langit dan di bumi melainkan ia
akan datang kepada (Allah) Ar Rahman, sebagai hamba.

94@ Demi sesungguhnya ! Allah telah mengira mereka (dengan
pengetahuanNya) serta menghitung mereka satu persatu.

95@ Dan mereka masing-masing akan datang mengadapNya pada hari
kiamat dengan seorang diri.

96@ Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh,
Allah yang melimpah-limpah rahmatnya akan menanamkan bagi
mereka dalam hati orang ramai perasaan kasih sayang.

97@ Maka sesungguhnya Kami memudahkan turunnya Al Quran ini
dengan bahasamu (wahai Muhammad), ialah supaya engkau memberi
khabar gembira dengannya kepada orang-orang yang bertaqwa, dan
supaya engkau memberi amaran dengannya kepada kaum yang degil
dalam kekufurannya.

98@ Dan amatlah banyaknya kaum-kaum kafir yang Kami telah
binasakan sebelum mereka, engkau tidak menyedari ataupun
mendengar suara yang sayup bagi seseorangpun dari orang-orang
yang telah dibinasakan itu.

Riwayat Nabi Zakaria (022)...^^..

Riwayat Nabi Zakaria (022)...^^..
 
Nabi Zakaria merupakan anak Azir bin Muslim yang berketurunan
silsilah ringkas, Nabi Sulaiman bin Nabi Daud bin Nabi Yaakub
a.s. Isterinya bernama Isya yang bersaudara perempuan kepada
Hannah, iaitu isteri Imran bin Matsan. Imran bin Matsan
merupakan ayah Maryam. Nabi Zakaria adalah ayah dari Nabi
Yahya, putera tunggalnya yang lahir setelah ia mencapai usia
sembilan puluh tahun. Zakaria mendambakan mendapat anak yang
akan menjadi pewarisnya. Siang dan malam tiada henti-hentinya,
ia memanjatkan doanya dan permohonan kepada Allah agar
dikurniai seorang putera yang akan dapat meneruskan tugasnya
memimpin Bani Israil. Ia khuatir, bahawa bila ia mati tanpa
meninggalkan seorang pengganti, kaumnya akan kehilangan
pemimpin dan akan kembali kepada cara-cara hidup mereka yang
penuh dengan mungkar dan kemaksiatan dan bahkan mungkin mereka
akan mengubah syariat Musa dengan menambah atau mengurangi isi
kitab Taurat sekehendak hati mereka.
 
Selain itu, ia sebagai manusia, ingin pula agar keturunannya
tidak terputus dan terus bersambung dari generasi sepanjang
Allah mengizinkannya dan memperkenankan. Nabi Zakaria tiap
hari sebagai tugas rutin pergi ke mihrab besar, melakukan
sembahyang serta menjenguk Maryam, anak iparnya yang
diserahkan kepada mihrab oleh ibunya sesuai dengan nadzarnya
sewaktu ia masih dalam kandungan. Dan memang Zakarialah yang
ditugaskan oleh para pengurus mihrab untuk mengawasi Maryam
sejak ia diserahkan oleh ibunya. Tugas pengawasan atas diri
Maryam diterima oleh Zakaria melalui undian yang dilakukan
oleh para pengurus mihrab, di kala menerima bayi Maryam yang
diserahkan pengawasannya kepadanya itu adalah anak saudara
isterinya sendiri, yang hingga saat itu belum dikurniai
seorang anak pun oleh Tuhan.
 
Suatu peristiwa yang sangat menakjubkan dan menghairankan
Zakaria telah terjadi pada suatu hari, ketika ia datang
ke mihrab sebagaimana biasa. Ia melihat Maryam disalah satu
sudut mihrab sedang tenggelam dalam sembahyangnya sehingga
tidak menghiraukan bapa saudaranya yang datang menjenguknya.
Di depan Maryam yang sedang asyik bersembahyang itu terlihat
oleh Zakaria berbagai jenis buah-buahan musim panas. Bertanya-
tanya Nabi Zakaria dalam hatinya, dari mana datangnya buah-
buahan musim panas ini, padahal mereka masih berada dalam
musim dingin. Ia tidak sabar menanti anak saudaranya selesai
sembahyang, ia lalu mendekatinya dan menegur bertanya
kepadanya,
 
" Wahai Maryam, dari manakah engkau dapat ini semua ?" Maryam
menjawab, " Ini adalah pemberian Allah yang aku dapat tanpa
kucari dan aku minta. Diwaktu pagi dikala matahari terbit aku
mendapatkan rezekiku ini sudah berada didepan mataku, demikian
pula bila matahari terbenam di waktu senja. Mengapa engkau,
bapa saudaraku merasa hairan dan takjub ? Bukankah Allah
berkuasa memberikan rezekinya kepada siapa yang Dia kehendaki
tanpa perhitungan ?"
 
*** Maryam binti Imran.
 
Maryam yang disebut-sebut dalam kisah Zakaria adalah anak
tunggal dari Imran, seorang daripada pemuka-pemuka dan ulama
Bani Isra'il. Ibunya bersaudara, juga ipar kepada Nabi Zakaria
adalah seorang perempuan yang mandul yang sejak bersuamikan
Imran belum merasa berbahagia jika belum memperoleh anak. Ia
merasa hidup tanpa anak adalah sunyi dan membosankan. Ia
sangat mendambakan keturunan untuk menjadi pengikat yang kuat
dalam kehidupan bersuami isteri, penglipur duka dan pembawa
suka di dalam kehidupan keluarga. Ia sangat berkeinginan akan
keturunan sehingga bila ia melihat seorang ibu menggandung
bayinya atau burung memberi makan kepada anaknya, ia merasa
iri hati dan terus menjadikan kenangan yang tak kunjung lepas
dari ingatannya.
 
Tahun demi tahun berlalu, usia makin hari makin lanjut, namun
keinginan tetap tinggal keinginan dan idam-idaman tetap tidak
menjelma menjadi kenyataan. Berbagai cara dicubanya dan
berbagai nasihat dan petunjuk orang diterapkannya, namun belum
juga membawa hasil. Dan setelah segala daya upaya yang
bersumber dari kepandaian dan kekuasaan manusia tidak membawa
buah yang diharapkan, sedarlah isteri Imran, bahawa hanya
Allah tempat satu-satunya yang berkuasa memenuhi keinginannya
dan sanggup mengurniainya dengan seorang anak yang didambakan
walaupun rambutnya sudah beruban dan usianya sudah lanjut.
 
Maka ia bertekad membulatkan harapannya hanya kepada Allah
bersujud siang dan malam dengan penuh khusyuk dan kerendahan
hati bernadzar dan berjanji kepada Allah bila permohonannya
dikabulkan, akan menyerahkan dan menghibahkan anaknya
ke Baitul Maqdis untuk menjadi pelayan, penjaga dan memelihara
rumah suci itu dan sesekali tidak akan mengambil manfaat dari
anaknya untuk kepentingan dirinya atau kepentingan
keluarganya.
 
Harapan isteri Imran yang dibulatkan kepada Allah tidak
tersia-sia. Allah telah menerima permohonannya dan
mempersembahkan doanya sesuai dengan apa yang telah disuratkan
dalam takdirNya, bahwa dari suami isteri Imran akan diturunkan
seorang Nabi besar. Maka tanda-tanda permulaan kehamilan yang
dirasakan oleh setiap perempuan yang mengandung tampak pada
isteri Imran yang lama-kelamaan merasa gerakan janin di dalam
perutnya yang makin membesar. Alangkah bahagia si isteri yang
sedang hamil itu, bahawa idam-idamannya itu akan menjadi
kenyataan dan kesunyian rumah tangganya akan terpecahlah bila
bayi yang dikandungkan itu lahir.
 
Ia bersama suami mulai merancang apa yang akan diberikan
kepada bayi yang akan datang itu. Jika mereka sedang duduk
berduaan tidak ada yang diperbincangkan selain soal bayi yang
akan dilahirkan. Suasana suram sedih yang selalu meliputi
rumah tangga Imran berbalik menjadi riang gembira, wajah
sepasang suami isteri Imran menjadi berseri-seri tanda suka
cita dan bahagia dan rasa putus asa yang mencekam hati mereka
berdua berbalik menjadi rasa penuh harapan akan hari kemudian
yang baik dan cemerlang.
 
Akan tetapi sangat benarlah kata mutiara yang berbunyi,
" Manusia merancang, Tuhan menentukan." Imran yang sangat
dicintai dan sayangi oleh isterinya dan diharapkan akan
menerima putera pertamanya serta mendampinginya dikala ia
melahirkan, tiba-tiba direnggut nyawanya oleh Izra'il dan
meninggallah isterinya seorang diri dalam keadaan hamil tua,
pada saat mana biasanya rasa cinta kasih sayang antara suami
isteri menjadi makin mesra.
 
Rasa sedih yang ditinggalkan oleh suami yang disayangi
bercampur dengan rasa sakit dan letih yang didahului kelahiran
si bayi, menimpa isteri Imran di saat-saat dekatnya masa
melahirkan. Maka setelah segala persiapan untuk menyambut
kedatangan bayi telah dilakukan dengan sempurna, lahirlah ia
dari kandungan ibunya yang malang menghirup udara bebas. Agak
kecewalah si ibu janda Imran, setelah mengetahui bahawa bayi
yang lahir itu adalah seorang puteri sedangkan ia menanti
seorang putera yang telah dijanjikan dan bernadzar untuk
dihibahkan kepada Baitulmaqdis. Dengan nada kecewa dan suara
sedih berucaplah ia seraya menghadapkan wajahnya ke atas,
 
" Wahai Tuhanku, aku telah melahirkan seorang puteri,
sedangkan aku bernadzar akan menyerahkan seorang putera yang
lebih layak menjadi pelayan dan pengurus Baitulmaqdis. Allah
akan mendidik puterinya itu dengan pendidikan yang baik dan
akan menjadikan Zakaria, iparnya dan bapa saudara Maryam
sebagai pengawas dan pemeliharanya."
 
Demikianlah maka tatkala Maryam diserahkan oleh ibunya kepada
pengurus Baitulmaqdis, para rahib berebutan masing-masing
ingin ditunjuk sebagai wali yang bertanggungjawab atas
pengawasan dan pemeliharaan Maryam. Dan kerana tidak ada yang
mahu mengalah, maka terpaksalah diundi diantara mereka yang
akhirnya undian jatuh kepada Zakaria, sebagaimana dijanjikan
oleh Allah kepada ibunya.
 
Tindakan pertama yang diambil oleh Zakaria sebagai petugas
yang diwajibkan menjaga keselamatan Maryam ialah menjauhkannya
dari keramaian sekeliling dan dari jangkauan para pengunjung
yang tiada henti-hentinya berdatangan ingin melihat dan
menjenguknya. Ia ditempatkan oleh Zakaria di sebuah kamar
diatas loteng Baitulmaqdis yang tinggi yang tidak dapat
dicapai melainkan dengan menggunakan sebuah tangga. Zakaria
merasa bangga dan bahagia beruntung memenangkan undian
memperolehi tugas mengawasi dan memelihara Maryam secara sah
adalah anak saudaranya sendiri.
 
Ia mencurahkan cinta dan kasih sayangnya sepenuhnya kepada
Maryam untuk menggantikan anak kandungnya yang tidak kunjung
datang. Tiap ada kesempatan ia datang menjenguknya, melihat
keadaannya, mengurus keperluannya dan menyediakan segala
sesuatu yang membawa ketenangan dan kegembiraan baginya. Tidak
satu hari pun, Zakaria pernah meninggalkan tugasnya menjenguk
Maryam.
 
Rasa cinta dan kasih sayang Zakaria terhadap Maryam sebagai
anak saudara isterinya yang ditinggalkan ayahnya meningkat
menjadi rasa hormat dan takzim tatkala terjadi suatu peristiwa
yang menandakan bahawa Maryam bukanlah gadis biasa sebagaimana
gadis-gadis yang lain, tetapi ia adalah wanita pilihan Allah
untuk suatu kedudukan dan peranan besar di kemudian hari.
 
Pada suatu hari tatkala, Zakaria datang sebagaimana biasa,
mengunjungi Maryam, ia mendapatinya lagi berada di mihrabnya
tenggelam dalam ibadah berzikir dan bersujud kepada Allah. Ia
terperanjat ketika pandangan matanya menangkap hidangan
makanan berupa buah-buahan musim panas terletak di depan
Maryam yang lagi bersujud. Ia lalu bertanya dalam hatinya,
dari manakah gerangan buah-buahan itu datang, padahal mereka
masih lagi berada pada musim dingin dan setahu Zakaria tidak
seorang pun selain dari dirinya yang datang mengunjungi
Maryam.
 
Maka ditegurlah Maryam tatkala setelah selesai ia bersujud dan
mengangkat kepala, " Wahai Maryam, dari manakah engkau
memperolehi rezeki ini, padahal tidak seorang pun
mengunjungimu dan tidak pula engkau pernah meninggalkan
mihrabmu ? Selain itu buah-buahan ini adalah buah-buahan musim
panas yang tidak dapat dibeli di pasar dalam musim dingin
ini."
 
Maryam menjawab, " Inilah pemberian Allah kepadaku tanpa aku
berusaha atau minta. Dan mengapa engkau merasa hairan dan
takjub ? Bukankah Allah Yang Maha Berkuasa memberikan
rezekinya kepada sesiapa yang Dia kehendaki dalam bilangan
yang tidak ternilai besarnya ?"
 
Demikianlah Allah telah memberikan tanda pertamanya sebagai
mukjizat bagi Maryam, gadis suci, yang dipersiapkan olehNya
untuk melahirkan seorang nabi besar yang bernama Isa Al Masih
a.s.
 
Kisah lahirnya Maryam dan pemeliharaan Zakaria kepadanya dapat
dibaca dalam Al Quran surah Ali Imran,
 
" 33@ Sesungguhnya Allah telah memilih Nabi Adam, dan Nabi
Nuh, dan juga keluarga Nabi Ibrahim dan keluarga Imran,
melebihi segala umat (yang ada pada zaman mereka masing-
masing).
 
34@ (Mereka kembang biak sebagai) satu keturunan (zuriat) yang
setengahnya berasal dari setengahnya yang lain. Dan
(ingatlah), Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa
Mengetahui.
 
35@ (Ingatlah) ketika isteri Imran berkata, ” Tuhanku !
Sesungguhnya aku nazarkan kepadaMu anak yang ada dalam
kandunganku sebagai seorang yang bebas (dari segala urusan
dunia untuk berkhidmat kepadaMu semata-mata), maka terimalah
nazarku, sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha
Mengetahui.”
 
36@ Maka apabila ia melahirkannya, berkatalah ia, “ Wahai
Tuhanku ! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak
perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki),
(dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu)
dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan,
dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam, dan aku
melindungi dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat
keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang
dikutuk dan disingkirkan)."
 
37@ Maka ia (Maryam yang dinazarkan oleh ibunya) diterima oleh
Tuhannya dengan penerimaan yang baik, dan dibesarkannya dengan
didikan yang baik, serta diserahkannya untuk dipelihara oleh
Nabi Zakaria. Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui
Maryam di Mihrab, ia dapati rezeki (buah-buahan yang luar
biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya, ” Wahai Maryam dari
mana engkau dapati (buah-buahan) ini ?” Maryam menjawab,
“ Ialah dari Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki
kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak dikira."
 
38@ Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya,
” Wahai Tuhanku ! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat
keturunan yang baik, sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar
(menerima) doa permohonan."
 
39@ Lalu ia diseru oleh malaikat sedang ia berdiri sembahyang
di Mihrab, (katanya), “ Bahawasanya Allah memberi khabar yang
mengembirakanmu, dengan (mengurniakanmu seorang anak lelaki
bernama) Yahya, yang akan beriman kepada Kalimah dari Allah,
dan akan menjadi ketua, dan juga akan menahan diri dari
berkahwin, dan akan menjadi seorang Nabi dari orang-orang yang
soleh."
 
40@ Nabi Zakaria berkata, ” Wahai Tuhanku ! Bagaimanakah aku
akan beroleh seorang anak, padahal sebenarnya aku telah tua
dan isteriku pula mandul ?”, Allah berfirman, “ Demikianlah
keadaannya, Allah melakukan apa yang dikehendakiNya."
 
41@ Nabi Zakaria berkata lagi, “ Wahai Tuhanku ! Jadikanlah
bagiku satu tanda (yang menunjukkan isteriku mengandung)."
Allah berfirman, “ Tandamu itu ialah engkau tidak akan dapat
berkata-kata dengan orang ramai selama tiga hari (tiga malam)
melainkan dengan isyarat sahaja, dan ingatlah kepada Tuhanmu
(dengan berzikir) banyak-banyak, dan bertasbihlah memuji Allah
(dengan mengerjakan sembahyang), pada waktu malam dan pada
waktu pagi."
 
42@ Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika malaikat berkata,
“ Wahai Maryam ! Sesungguhnya Allah telah memilihmu, dan
mensucikanmu, dan telah memilihmu (beroleh kemuliaan) melebihi
perempuan-perempuan seluruh alam (yang sezaman denganmu).
 
43@ “ Wahai Maryam ! Taatlah kepada Tuhanmu, dan sujudlah
serta rukuklah (mengerjakan sembahyang) bersama-sama orang-
orang yang rukuk."
 
44@ Peristiwa yang demikian ialah sebahagian dari berita-
berita ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad),
sedang engkau tidak ada bersama-sama mereka ketika mereka
mencampakkan qalam masing-masing (untuk mengundi) siapakah
di antara mereka yang akan memelihara Maryam. Dan engkau juga
(wahai Muhammad) tidak ada bersama-sama mereka ketika mereka
berkelahi (tentang perkara menjaga dan memelihara Maryam).
 
45@ (Ingatlah) ketika malaikat berkata, “ Wahai Maryam !
Bahawasanya Allah memberikan khabar yang mengembirakanmu,
dengan (mengurniakan seorang anak yang engkau akan kandungkan
semata-mata dengan) Kalimah daripada Allah, nama anak itu,
Al Masih, Isa Ibni Maryam, seorang yang terkemuka di dunia dan
di akhirat, dan ia juga dari orang-orang yang didampingkan
(diberi kemuliaan di sisi Allah)."
 
46@ “ Dan ia akan berkata-kata kepada orang ramai semasa ia
masih kecil dalam buaian, dan semasa ia dewasa, dan ia adalah
dari orang-orang yang soleh.”
 
47@ Maryam berkata, ” Wahai Tuhanku ! Bagaimanakah aku akan
beroleh seorang anak, padahal aku tidak pernah disentuh oleh
seorang lelaki pun ?” Allah berfirman, “ Demikianlah
keadaannya, Allah menjadikan apa yang dikehendakiNya, apabila
Ia berkehendak melaksanakan sesuatu perkara, maka Ia hanyalah
berfirman kepadanya, " Jadilah engkau", lalu menjadilah ia.”
 
48@ Dan Allah akan mengajarnya ilmu menulis, dan hukum-hukum
aturan ugama, dan juga kandungan kitab-kitab Taurat dan Injil.
 
49@ Dan (akan melantiknya) menjadi seorang Rasul kepada Bani
Israil, (dengan menegaskan kepada mereka), “ Sesungguhnya aku
telah datang kepada kamu, dengan membawa satu tanda (mukjizat)
dari tuhan kamu, iaitu aku boleh membuat untuk kamu dari tanah
liat seperti bentuk burung, kemudian aku tiup padanya lalu
menjadilah ia seekor burung (yang hidup) dengan izin Allah,
dan juga aku boleh menyembuhkan orang yang buta dan orang yang
sopak, dan aku boleh menghidupkan kembali orang-orang yang
mati dengan izin Allah, dan juga aku boleh memberitahu kepada
kamu tentang apa yang kamu makan dan apa yang kamu simpan
di rumah kamu. Sesungguhnya perkara-perkara yang demikian itu,
mengandungi satu tanda (mukjizat) bagi kamu (yang membuktikan
kebenaran bahawa aku seorang Rasul yang diutus oleh Allah
kepada kamu), jika kamu orang-orang yang (mahu) beriman.
 
50@ “ Dan juga (aku datang kepada kamu ialah untuk)
mengesahkan kebenaran Kitab Taurat yang diturunkan dahulu
daripadaku, dan untuk menghalalkan bagi kamu sebahagian (dari
perkara-perkara) yang telah diharamkan kepada kamu, dan juga
aku datang kepada kamu dengan membawa satu mukjizat dari Tuhan
kamu. Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah dan taatlah
kepadaku."
 
51@ “ Sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu, oleh
itu, beribadatlah kamu kepadaNya. Inilah jalan yang lurus.”
 
52@ Maka ketika Nabi Isa merasa (serta mengetahui dengan
yakin) akan kekufuran dari mereka (kaum Yahudi), berkatalah
ia, ” Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada
Allah (dengan menegakkan ugamaNya) ?”. Orang-orang
“ Hawariyyuun” (Penyokong-penyokong Nabi Isa) berkata,
“ Kamilah penolong-penolong (utusan) Allah. Kami telah beriman
kepada Allah, dan saksikanlah (wahai Nabi Allah) sesungguhnya
kami ialah orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada
Allah)."
 
53@ “ Wahai Tuhan kami ! Kami telah beriman kepada apa yang
telah Engkau turunkan, dan kami mengikut RasulMu, oleh itu
suratkanlah kami beserta orang-orang yang menjadi saksi (yang
mengakui keesaanMu dan kebenaran RasulMu).”
 
54@ Dan orang-orang (Yahudi yang kafir) itupun merancangkan
tipu daya (hendak membunuh Nabi Isa), dan Allah pula membalas
tipu daya (mereka), dan (ingatlah), Allah sebijak-bijak yang
membalas (dan menggagalkan segala jenis) tipu daya.
 
55@ (Ingatlah) ketika Allah berfirman, “ Wahai Isa !
Sesungguhnya Aku akan mengambilmu dengan sempurna, dan akan
mengangkatmu ke sisiKu, dan akan membersihkanmu dari orang-
orang kafir, dan juga akan menjadikan orang-orang yang
mengikutmu mengatasi orang-orang kafir (yang tidak beriman
kepadamu), hingga ke hari kiamat. Kemudian kepada Akulah
tempat kembalinya kamu, lalu Aku menghukum (memberi keputusan)
tentang apa yang kamu perselisihkan.”
 
56@ Adapun orang-orang kafir, maka Aku (Allah) akan menyeksa
mereka dengan azab yang amat berat di dunia dan di akhirat,
dan mereka pula tidak akan beroleh sesiapa pun yang dapat
menolong.
 
57@ Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal
soleh, maka Allah akan menyempurnakan pahala mereka, dan
(ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.
 
58@ Demikianlah (perihal Nabi Isa), yang Kami membacakannya
kepadamu (wahai Muhammad, adalah ia) sebahagian dari hujah-
hujah keterangan (yang membuktikan kebenarannya), dan dari
Al Quran yang penuh dengan hikmat-hikmat (pengetahuan yang
tepat, lagi sentiasa terpelihara).
 
59@ Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi
Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam. Allah telah
menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya,
“ Jadilah engkau !” maka menjadilah ia." {Surah Ali Imran}
 
" 2@ (Ini ialah) perihal limpahan rahmat Tuhanmu (wahai
Muhammad), kepada hambaNya Zakaria.
 
3@ (Ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Zakaria berdoa kepada
tuhannya dengan doa permohonan secara perlahan.
 
4@ Ia merayu dengan berkata, " Wahai Tuhanku ! Sesungguhnya
telah lemahlah tulang-tulangku, dan telah putih melepaklah
uban kepalaku, dan aku (wahai Tuhanku) tidak pernah merasa
hampa dengan doa permohonanku kepadaMu.
 
5@ Dan sesungguhnya aku merasa bimbang akan kecuaian kaum
kerabatku menyempurnakan tugas-tugas ugama sepeninggalanku,
dan isteriku pula adalah seorang yang mandul, oleh itu,
kurniakanlah daku dari sisiMu seorang anak lelaki.
 
6@ Yang layak mewarisi daku, juga mewarisi keluarga Nabi
Yaakub, (dan jadikanlah dia) wahai Tuhanku, seorang yang
diredhai serta disukai.”
 
7@ (Nabi Zakaria diseru setelah dikabulkan doanya), ” Wahai
Zakaria ! Sesungguhnya Kami memberikan khabar yang
mengembirakanmu dengan mengurniakan seorang anak lelaki
bernama Yahya, yang kami tidak pernah jadikan sebelum itu,
seorangpun yang senama dengannya.”
 
8@ Nabi Zakaria bertanya, “ Wahai Tuhanku ! Bagaimanakah
caranya aku akan beroleh seorang anak, sedang isteriku adalah
seorang yang mandul dan aku sendiri pula telah sampai had umur
yang setua-tuanya ?”
 
9@ Penyeru itu menjawab, (Demikian keadaannya) janganlah
dihairankan, Tuhanmu berfirman, “ Hal itu mudah bagiKu kerana
sesungguhnya Aku telah menciptakanmu dahulu, sedang engkau
pada masa itu belum ada sebarang apapun.”
 
10@ Nabi Zakaria merayu lagi, “ Wahai Tuhanku ! Jadikanlah
satu tanda bagiku (yang menunjukkan isteriku mengandung).”,
Allah Taala berfirman, ” Tandamu itu ialah engkau tidak akan
dapat berkata-kata dengan orang ramai selama tiga malam,
sedang engkau dalam keadaan sihat.”
 
11@ Maka dia pun keluar mendapatkan kaumnya dari Mihrab
(tempat sembahyangnya), lalu ia memberi isyarat kepada mereka,
“ Hendaklah kamu bertasbih (mengerjakan ibadat kepada Allah)
pagi dan petang.”
 
Nabi Zakaria wafat kerana akibat pembunuhan. Kedua-dua beranak
dibunuh kejam oleh raja mereka dan mati syahid, yakni kematian
yang membawa kepada kebahagiaan di akhirat.

Riwayat Nabi Sulaiman (021)...^^..

Riwayat Nabi Sulaiman (021)...^^..

Nabi Sulaiman adalah salah seorang putera Nabi Daud. Sejak ia
masih kanak-kanak berusia sebelas tahun, ia sudah menampakkan
tanda-tanda kecerdasan, ketajaman otak, kepandaian berfikir
serta ketelitian di dalam mempertimbangkan dan mengambil
sesuatu keputusan.

*** Nabi Sulaiman Seorang Juri.

Sewaktu Daud, ayahnya menduduki tahta kerajaan Bani Isra'il ia
selalu mendampinginya dalam tiap-tiap sidang peradilan yang
diadakan untuk menangani perkara-perkara perselisihan dan
sengketa yang terjadi di dalam masyarakat. Ia memang sengaja
dibawa oleh Daud, ayahnya menghadiri sidang-sidang peradilan
serta menyekutuinya di dalam menangani urusan-urusan kerajaan
untuk melatihnya serta menyiapkannya sebagai putera mahkota
yang akan menggantikanya memimpin kerajaan, bila tiba saatnya
ia harus memenuhi panggilan Ilahi meninggalkan dunia yang fana
ini. Dan memang Sulaimanlah yang terpandai di antara sesama
saudara yang bahkan lebih tua usia daripadanya.

Suatu peristiwa yang menunjukkan kecerdasan dan ketajaman
otaknya iaitu terjadi pada salah satu sidang peradilan yang ia
turut menghadirinya. Dalam persidangan itu dua orang datang
mengadu meminta Nabi Daud mengadili perkara sengketa mereka,
iaitu bahawa kebun tanaman salah seorang dari kedua lelaki itu
telah dimasuki oleh kambing-kambing ternak kawannya di waktu
malam yang mengakibatkan rusak binasanya perkarangannya yang
sudah dirawatnya begitu lama sehingga mendekati masa
menuainya. Kawan yang diadukan itu mengakui kebenaran
pengaduan kawannya dan bahawa memang haiwan ternakannyalah
yang merusak binasakan kebun dan perkarangan kawannya itu.

Dalam perkara sengketa tersebut, Daud memutuskan bahawa
sebagai ganti rugi yang dideritai oleh pemilik kebun akibat
pengrusakan kambing-kambing peliharaan tetangganya, maka
pemilik kambing-kambing itu harus menyerahkan binatang
peliharaannya kepada pemilik kebun sebagai ganti rugi yang
disebabkan oleh kecuaiannya menjaga binatang ternakannya. Akan
tetapi Sulaiman yang mendengar keputusan itu yang dijatuhkan
oleh ayahnya itu yang dirasa kurang tepat berkata kepada
si ayah, " Wahai ayahku, menurut pertimbanganku keputusan itu
sepatut berbunyi sedemikian, " Kepada pemilik perkarangan yang
telah binasa tanamannya, serahkanlah haiwan ternak jirannya
untuk dipelihara, diambil hasilnya dan dimanfaatkan bagi
keperluannya, sedang perkarangannya yang telah binasa itu
diserahkan kepada tetangganya pemilik peternakan untuk dipugar
dan dirawatnya sampai kembali kepada keadaan asalnya, kemudian
masing-masing menerima kembali miliknya, sehingga dengan cara
demikian masing-masing pihak tidak ada yang mendapat
keuntungan atau kerugian lebih daripada yang sepatutnya."

Keputusan yang diusulkan oleh Sulaiman itu diterima baik oleh
kedua orang yang menggugat dan digugat dan disambut oleh para
orang yang menghadiri sidang dengan rasa kagum terhadap
kecerdasan dan kepandaian Sulaiman yang walaupun masih muda
usianya telah menunjukkan kematangan berfikir dan keberanian
melahirkan pendapat walaupun tidak sesuai dengan pendapat
ayahnya.

Peristiwa ini merupakan permulaan dari sejarah hidup Nabi
Sulaiman yang penuh dengan mukjizat kenabian dan kurnia Allah
yang dilimpahkan kepadanya dan kepada ayahnya Nabi Daud.

*** Sulaiman Menduduki Tahta Kerajaan Ayahnya.

Sejak masih berusia muda, Sulaiman telah disiapkan oleh Daud
untuk menggantikannya untuk menduduki tahta singgahsana
kerajaan Bani Isra'il.

Abang Sulaiman yang bernama Absyalum tidak merelakan dirinya
dilangkahi oleh adiknya. Ia beranggapan bahawa dialah yang
sepatutnya menjadi putera mahkota dan bukan adiknya yang lebih
lemah fizikalnya dan lebih muda usianya serta belum banyak
mempunyai pengalaman hidup seperti dia. Kerananya ia menaruh
dendam terhadap ayahnya yang menurut anggapannya tidak berlaku
adil dan telah memperkosa haknya sebagai pewaris pertama dari
tahta kerajaan Bani Isra'il.

Absyalum berketetapan hati akan memberontak terhadap ayahnya
dan akan berjuang bermati-matian untuk merebut kekuasaan dari
tangan ayahnya atau adiknya, apa pun yang harus ia korbankan
untuk mencapai tujuan itu. Dan sebagai persiapan bagi
rancangan pemberontakannya itu, dari jauh-jauh ia berusaha
mendekati rakyat, menunjukkan kasih sayang dan cintanya kepada
mereka menolong menyelesaikan masalah-masalah yang mereka
hadapi serta mempersatukan mereka di bawah pengaruh dan
pimpinannya. Ia tidak jarang bagi memperluaskan pengaruhnya,
berdiri didepan pintu istana mencegat orang-orang yang datang
ingin menghadap raja dan ditanganinya sendiri masalah-masalah
yang mereka minta penyelesaian.

Setelah merasa bahawa pengaruhnya sudah meluas di kalangan
rakyat Bani Isra'il dan bahawa ia telah berhasil memikat hati
sebahagian besar dari mereka, Absyalum menganggap bahawa
saatnya telah tiba untuk melaksanakan rencana rampasan kuasa
dan mengambil alih kekuasaan dari tangan ayahnya dengan paksa.
Lalu ia menyebarkan mata-matanya ke seluruh pelosok negeri
menghasut rakyat dan memberi tanda kepada penyokong-penyokong
rencananya, bahawa bila mereka mendengar suara bunyi terompet,
maka haruslah mereka segera berkumpul, mengerumuninya kemudian
mengumumkan pengangkatannya sebagai raja Bani Isra'il
menggantikan Daud, ayahnya.

Syahdan pada suatu pagi hari, di kala Daud duduk di serambi
istana berbincang-bincang dengan para pembesar dan para
penasihat pemerintahannya, terdengarlah suara bergemuruh
rakyat bersorak-sorai meneriakkan pengangkatan Absyalum
sebagai raja Bani Isra'il menggantikan Daud yang dituntut
turun dari tahtanya. Keadaan kota menjadi kacau-bilau dilanda
huru-hara keamanan tidak terkendalikan dan perkelahian terjadi
di mana-mana antara orang yang pro dan yang kontra dengan
kekuasaan Absyalum.

Nabi Daud merasa sedih melihat keributan dan kekacauan yang
melanda negerinya, akibat perbuatan puteranya sendiri. Namun
ia berusaha menguasai emosinya dan menahan diri dari perbuatan
dan tindakan yang dapat menambah parahnya keadaan. Ia
mengambil keputusan untuk menghindari pertumpahan darah yang
tidak diinginkan, keluar meninggalkan istana dan lari bersama-
sama pekerjanya menyeberang sungai Jordan menuju bukit Zaitun.
Dan begitu Daud keluar meninggalkan kota Jerusalem, masuklah
Absyalum diiringi oleh para pengikutnya ke kota dan segera
menduduki istana kerajaan. Sementara Nabi Daud melakukan
istikharah dan munajat kepada Tuhan di atas bukit Zaitun
memohon taufiq dan pertolonganNya agar menyelamatkan kerajaan
dan negaranya dari malapetaka dan keruntuhan akibat perbuatan
puteranya yang durhaka itu.

Setelah mengadakan istikharah dan munajat yang tekun kepada
Allah, akhirnya Daud mengambil keputusan untuk segera
mengadakan kontra aksi terhadap puteranya dan dikirimkanlah
sepasukan tentera dari para pengikutnya yang masih setia
kepadanya ke Jerusalem untuk merebut kembali istana kerajaan
Bani Isra'il dari tangan Absyalum. Beliau berpesan kepada
komandan pasukannya yang akan menyerang dan menyerbu istana,
agar bertindak bijaksana dan sedapat mungkin menghindari
pertumpahan darah dan pembunuhan yang tidak perlu, teristimewa
mengenai Absyalum, puteranya, ia berpesan agar diselamatkan
jiwanya dan ditangkapnya hidup-hidup. Akan tetapi takdir telah
menentukan lain daripada apa yang si ayah inginkan bagi
puteranya. Komandan yang berhasil menyerbu istana tidak dapat
berbuat lain kecuali membunuh Absyalum yang melawan dan enggan
menyerahkan diri setelah ia terkurung dan terkepung.

Dengan terbunuhnya Absyalum kembalilah Daud menduduki tahtanya
dan kembalilah ketenangan meliputi kota Jerusalem sebagaimana
sediakala. Dan setelah menduduki tahta kerajaan Bani Isra'il
selama empat puluh tahun, wafatlah Nabi Daud dalam usia yang
lanjut dan dinobatkanlah sebagai pewarisnya, Sulaiman
sebagaimana telah diwasiatkan oleh ayahnya.

*** Kekuasaan Sulaiman Atas Jin dan Makhluk Lain.

Nabi Sulaiman yang telah berkuasa penuh atas kerajaan Bani
Isra'il yang makin meluas dan melebar, Allah telah menundukkan
baginya makhluk-makhluk lain, iaitu Jin, angin dan burung-
burung yang kesemuanya berada di bawah perintahnya melakukan
apa yang dikehendakinya dan melaksanakan segala komandonya.
Di samping itu Allah memberinya pula suatu kurnia berupa
mengalirnya cairan tembaga dari bawah tanah untuk
dimanfaatkannya bagi karya pembangunan gedung-gedung,
perbuatan piring-piring sebesar kolam air, periuk-periuk yang
tetap berada diatas tungku yang dikerjakan oleh pasukan
JinNya. Beliau pergi ke mana jua dengan menggunakan angin
sebagai pengangkutannya.

Sebagai salah satu mukjizat yang diberikan oleh Allah kepada
Sulaiman ialah kesanggupan beliau menangkap maksud yang
terkandung dalam suara binatang-binatang dan sebaliknya
binatang-binatang dapat pula mengerti apa yang ia perintahkan
dan ucapkan.

Demikianlah maka tatkala Nabi Sulaiman berpergian dalam
rombongan kafilah yang besar terdiri dari manusia, jin dan
binatang-binatang lain, menuju ke sebuah tempat bernama
Asgalan ia melalui sebuah lembah yang disebut lembah semut.
Disitu ia mendengar seekor semut berkata kepada kawan-
kawannya, " Hai semut-semut, masuklah kamu semuanya ke dalam
sarangmu, agar supaya kamu selamat dan tidak menjadi binasa
diinjak oleh Sulaiman dan tenteranya tanpa ia sedar dan
sengaja.

Nabi Sulaiman tersenyum tertawa mendengar suara semut yang
ketakutan itu. Ia memberitahu hal itu kepada para pengikutnya
seraya bersyukur kepada Allah atas kurniaNya yang menjadikan
ia dapat mendengar serta menangkap maksud yang terkandung
dalam suara semut itu. Ia merasa takjud bahawa binatang pun
mengerti bahawa nabi-nabi Allah tidak akan mengganggu sesuatu
makhluk dengan sengaja dan dalam keadaan sedar.

*** Sulaiman dan Ratu Balqis.

Setelah Nabi Sulaiman membangunkan Baitulmaqdis dan melakukan
ibadah haji sesuai dengan nadzarnya pergilah ia meneruskan
perjalannya ke Yeman. Setibanya di San'a, ibu kota Yeman, ia
memanggil burung hud-hud sejenis burung pelatuk untuk disuruh
mencari sumber air di tempat yang kering tandus itu. Ternyata
bahawa burung hud-hud yang dipanggilnya itu tidak berada
diantara kawasan burung yang selalu berada di tempat untuk
melakukan tugas dan perintah Nabi Sulaiman. Nabi Sulaiman
marah dan mengancam akan mengajar burung Hud-hud yang tidak
hadir itu bila ia datang tanpa alasan dan uzur yang nyata.

Berkata burung Hud-hud yang hinggap didepan Sulaiman sambil
menundukkan kepala ketakutan, " Aku telah melakukan
penerbangan pengintaian dan menemukan sesuatu yang sangat
penting untuk diketahui oleh paduka Tuan. Aku telah menemukan
sebuah kerajaan yang besar dan mewah di negeri Saba yang
dikuasai dan diperintah oleh seorang ratu. Aku melihat seorang
ratu itu duduk di atas sebuah tahta yang megah bertaburkan
permata yang berkilauan. Aku melihat ratu dan rakyatnya tidak
mengenal Tuhan Pencipta alam semesta yang telah mengurniakan
mereka kenikmatan dan kebahagian hidup. Mereka tidak menyembah
dan sujud kepadaNya, tetapi kepada matahari. Mereka bersujud
kepadanya dikala terbit dan terbenam. Mereka telah disesatkan
oleh syaitan dari jalan yang lurus dan benar."

Berkata Sulaiman kepada Hud-hud, " Baiklah, kali ini aku
ampuni dosamu kerana berita yang engkau bawakan ini yang aku
anggap penting untuk diperhatikan dan untuk mengesahkan
kebenaran beritamu itu, bawalah suratku ini ke Saba dan
lemparkanlah ke dalam istana ratu yang engkau maksudkan itu,
kemudian kembalilah secepat-cepatnya, sambil kami menanti
perkembangan selanjutnya bagaimana jawapan ratu Saba atas
suratku ini."

Hud-hud terbang kembali menuju Saba dan setibanya di atas
istana kerajaan Saba dilemparkanlah surat Nabi Sulaiman tepat
di depan ratu Balqis yang sedang duduk dengan megah di atas
tahtanya. Ia terkejut melihat sepucuk surat jatuh dari udara
tepat di depan wajahnya. Ia lalu mengangkat kepalanya melihat
ke atas, ingin mengetahui dari manakah surat itu datang dan
siapakah yang secara kurang hormat melemparkannya tepat
di depannya. Kemudian diambillah surat itu oleh ratu, dibuka
dan baca isinya yang berbunyi, " Dengan Nama Allah Yang Maha
Pengasih lagi Penyayang, surat ini adalah daripadaku,
Sulaiman. Janganlah kamu bersikap sombong terhadapku dan
menganggap dirimu lebih tinggi daripadaku. Datanglah sekalian
kepadaku berserah diri."

Setelah dibacanya berulang kali surat Nabi Sulaiman, Ratu
Balqis memanggil para pembesarnya dan para penasihat kerajaan
berkumpul untuk memusyawarahkan tindakan apa yang harus
diambil sehubungan dengan surat Nabi Sulaiman yang diterimanya
itu.

Berkatalah para pembesar itu ketika diminta petimbangannya,
" Wahai paduka tuan ratu, kami adalah putera-putera yang
dibesarkan dan dididik untuk berperang dan bertempur dan bukan
untuk menjadi ahli pemikir atau perancang yang patut memberi
pertimbangan atau nasihat kepadamu. Kami menyerahkan kepadamu
untuk mengambil keputusan yang akan membawa kebaikan bagi
kerajaan dan kami akan tunduk dan melaksanakan segala perintah
dan keputusanmu tanpa ragu. Kami tidak akan gentar menghadapi
segala ancaman dari mana pun datangnya demi menjaga
keselamatanmu dam keselamatan kerajaanmu."

Ratu Balqis menjawab, " Aku memperoleh kesan dari uraianmu
bahwa kamu mengutamakan cara kekerasan dan kalau perlu kamu
tidak akan gentar masuk medan perang melawan musuh yang akan
menyerbu. Aku sangat berterima kasih atas kesetiaanmu kepada
kerajaan dan kesediaanmu menyabung nyawa untuk menjaga
keselamatanku dan keselamatan kerajaanku. Akan tetapi aku
tidak sependirian dengan kamu sekalian. Menurut
pertimbanganku, lebih bijaksana bila kami menempuh jalan damai
dan menghindari cara kekerasan dan peperangan. Sebab bila kami
menentang secara kekerasan dan sampai terjadi perang dan musuh
kami berhasil menyerbu masuk kota-kota kami, maka nescaya akan
berakibat kerusakan dan kehancuran yang sangat menyedihkan.
Mereka akan menghancur binasakan segala bangunan,
memperhambakan rakyat dan merampas segala harta milik dan
peninggalan nenek moyang kami.

Hal yang demikian itu adalah merupakan akibat yang wajar dari
tiap peperangan yang dialami oleh sejarah manusia dari masa
ke semasa. Maka menghadapi surat Sulaiman yang mengandung
ancaman itu, aku akan cuba melunakkan hatinya dengan
mengirimkan sebuah hadiah kerajaan yang akan terdiri dari
barang-barang yang berharga dan bermutu tinggi yang dapat
mempesonakan hatinya dan menyilaukan matanya dan aku akan
melihat bagaimana ia memberi tanggapan dan reaksi terhadap
hadiahku itu dan bagaimana ia menerima utusanku di istananya.

Selagi Ratu Balqis siap-siap mengatur hadiah kerajaan yang
akan dikirim kepada Sulaiman dan memilih orang-orang yang akan
menjadi utusan kerajaan membawa hadiah, tibalah hinggap
di depan Nabi Sulaiman, burung pengintai Hud-hud memberitakan
kepadanya rancangan Balqis untuk mengirim utusan membawa
hadiah baginya sebagai jawaban atas surat beliau kepadanya.
Setelah mendengar berita yang dibawa oleh Hud-hud itu, Nabi
Sulaiman mengatur rencana penerimaan utusan Ratu Balqis dan
memerintahkan kepada pasukan Jinnya agar menyediakan dan
membangunkan sebuah bangunan yang megah yang tiada taranya,
yang akan menyilaukan mata perutusan Balqis bila mereka tiba.

Tatkala perutusan Ratu Balqis datang, diterimalah mereka
dengan ramah tamah oleh Sulaiman dan setelah mendengar uraian
mereka tentang maksud dan tujuan kedatangan mereka dengan
hadiah kerajaan yang dibawanya, berkatalah Nabi Sulaiman,

" Kembalilah kamu dengan hadiah-hadiah ini kepada ratumu.
Katakanlah kepadanya bahawa Allah telah memberiku rezeki dan
kekayaan yang melimpah ruah dan mengurniaiku dengan kurnia dan
nikmat yang tidak diberikannya kepada seseorang daripada
makhlukNya. Di samping itu aku telah diutuskan sebagai nabi
dan rasulNya dan dianugerahi kerajaan yang luas yang
kekuasaanku tidak sahaja berlaku atas manusia tetapi mencakup
juga jenis makhluk Jin dan binatang-binatang. Maka bagaimana
aku akan dapat dibujuk dengan harta benda dan hadiah serupa
ini ? Aku tidak dapat dilalaikan dari kewajiban dakwah
kenabianku oleh harta benda dan emas walaupun sepenuh bumi
ini. Kamu telah disilaukan oleh benda dan kemegahan duniawi,
sehingga kamu memandang besar hadiah yang kamu bawakan ini dan
mengira bahawa akan tersilaulah mata kami dengan hadiah
Ratumu. Pulanglah kamu kembali dan sampaikanlah kepadanya
bahawa kami akan mengirimkan bala tentera yang sangat kuat
yang tidak akan terkalahkan ke negeri Saba dan akan
mengeluarkan ratumu dan pengikut-pengikutnya dari negerinya
sebagai (orang-orang yang hina-dina yang kehilangan kerajaan
dan kebesarannya), jika ia tidak segera memenuhi tuntutanku
dan datang berserah diri kepadaku."

Perutusan Balqis kembali melaporkan kepada Ratunya apa yang
mereka alami dan apa yang telah diucapkan oleh Nabi Sulaiman.
Balqis berfikir, jalan yang terbaik untuk menyelamatkan diri
dan kerajaannya ialah menyerah saja kepada tuntutan Sulaiman
dan datang menghadap dia di istananya.

Nabi Sulaiman berhasrat akan menunjukkan kepada Ratu Balqis
bahawa ia memiliki kekuasaan ghaib di samping kekuasaan
lahirnya dan bahwa apa yang dia telah ancamkan melalui
rombongan perutusan bukanlah ancaman yang kosong. Maka
bertanyalah beliau kepada pasukan Jinnya, siapakah diantara
mereka yang sanggup mendatangkan tahta Ratu Balqis sebelum
orangnya datang berserah diri.

Berkata Ifrit, seorang Jin yang tercerdik, " Aku sanggup
membawa tahta itu dari istana Ratu Balqis sebelum engkau
sempat berdiri dari tempat dudukimu. Aku adalah pesuruhmu yang
kuat dan dapat dipercayai. Seorang lain yang mempunyai ilmu
dan hikmah nyeletuk berkata, " Aku akan membawa tahta itu
ke sini sebelum engkau sempat memejamkan matamu."

Ketika Nabi Sulaiman melihat tahta Balqis sudah berada
didepannya, berkatalah ia, " Ini adalah salah satu kurnia
Tuhan kepadaku untuk mencuba apakah aku bersyukur atas
kurniaNya itu atau mengingkariNya, kerana barang siapa
bersyukur, maka itu adalah semata-mata untuk kebaikan dirinya
sendiri dan barangsiapa mengingkari nikmat dan kurnia Allah,
ia akan rugi di dunia dan di akhirat dan sesungguhnya Allah
Maha Kaya lagi Maha Mulia."

Menyonsong kedatangan Ratu Balqis, Nabi Sulaiman memerintahkan
orang-orangnya agar mengubah sedikit bentuk dan warna tahta
Ratu itu yang sudah berada di depannya kemudian setelah Ratu
itu tiba berserta pengiring-pengiringnya, bertanyalah Nabi
Sulaiman seraya menundingkan kepada tahtanya, " Serupa inikah
tahtamu ?" Balqis menjawab, " Seakan-akan ini adalah tahtaku
sendiri," seraya bertanya-tanya dalam hatinya, bagaimana
mungkin bahawa tahtanya berada di sini padahal ia yakin bahawa
tahta itu berada di istana tatkala ia bertolak meninggalkan
Saba.

Selagi Balqis berada dalam keadaan kacau fikiran, kehairanan
melihat tahta kerajaannya sudah berpindah ke istana Sulaiman,
ia dibawa masuk ke dalam sebuah ruangan yang sengaja dibangun
untuk penerimaannya. Lantai dan dinding-dindingnya terbuat
dari kaca putih. Balqis segera menyingkapkan pakaiannya
ke atas betisnya ketika berada dalam ruangan itu, mengira
bahawa ia berada di atas sebuah kolam air yang dapat membasahi
tubuh dan pakaiannya.

Berkata Nabi Sulaiman kepadanya, " Engkau tidak usah
menyingkap pakaianmu. Engkau tidak berada di atas kolam air.
Apa yang engkau lihat itu adalah kaca-kaca putih yang menjadi
lantai dan dinding ruangan ini."

" Oh, Tuhanku," Balqis berkata menyedari kelemahan dirinya
terhadap kebesaran dan kekuasaan Tuhan yang dipertunjukkan
oleh Nabi Sulaiman, " Aku telah lama tersesat berpaling
daripadaMu, melalaikan nikmat dan kurniaMu, merugikan dan
menzalimi diriku sendiri sehingga terjatuh dari cahaya dan
rahmatMu. Ampunilah aku. Aku berserah diri kepada Sulaiman
NabiMu dengan ikhlas dan keyakinan penuh. Kasihanilah diriku
wahai Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang."

Demikianlah kisah Nabi Sulaiman dan Balqis Ratu Saba. Dan
menurut sementara ahli tafsir dan ahli sejarah nabi-nabi,
bahawa Nabi Sulaiman pada akhirnya kahwin dengan Balqis dan
dari perkahwinannya itu lahirlah seorang putera. Menurut
pengakuan maharaja Ethiopia Abessinia, mereka adalah keturunan
Nabi Sulaiman dari putera hasil perkahwinannya dengan Balqis
itu. Wallahu alam bisshawab.

*** Wafatnya Nabi Sulaiman.

Al Quran mengisahkan bahawa tidak ada tanda-tanda yang
menunjukkan kematian Sulaiman kecuali anai-anai yang memakan
tongkatnya yang ia sandar kepadanya ketika Tuhan mengambil
rohnya. Para Jin yang sedang mengerjakan bangunan atas
perintahnya tidak mengetahui bahawa Nabi Sulaiman telah mati
kecuali setelah mereka melihat Nabi Sulaiman tersungkur jatuh
di atas lantai, akibat jatuhnya tongkat sandarannya yang
dimakan oleh anai-anai. Sekiranya para Jin sudah mengetahui
sebelumnya, pasti mereka tidak akan tetap meneruskan pekerjaan
yang mereka anggap sebagai seksaan yang menghinakan.

Berbagai cerita yang dikaitkan orang pada ayat yang
mengisahkan matinya Nabi Sulaiman, namun kerana cerita-cerita
itu tidak ditunjang dikuatkan oleh sebuah hadis sahih yang
muktamad, maka sebaiknya kami berpegang saja dengan apa yang
dikisahkan oleh Al Quran dan selanjutnya, Allahlah yang lebih
Mengetahui dan kepadaNya kami berserah diri.

Kisah Nabi Sulaiman dapat dibaca di dalam Al Quran, surah
An Naml ayat 15 sehingga ayat 44 sebagaimana maksudnya,

" 15@ Dan sesungguhnya Kami telah memberi ilmu kepada Daud dan
Sulaiman dan keduanya mengucapkan, " Segala puji bagi Allah
yang melebihkan kami dan banyak hamba-hambanya yang beriman."

16@ Dan Sulaiman telah mewarisi Daud dan dia berkata, " Hai
manusia, kami telah diberi pengertian tentang suara burung dan
kami diberi segala sesuatu. Sesungguhnya semua ini benar-benar
satu kurnia yang nyata."

17@ Dan dihimpunkan untuk Sulaiman tenteranya dari Jin,
manusia dan burung, lalu mereka itu diatur dengan tertib
{dalam barisan}.

18@ Hingga apabila mereka sampai di lembah semut berkatalah
seekor semut. " Hai semut-semut, masuklah ke dalam sarang-
sarangmu agar kamu tidak diinjak oleh Sulaiman dan tenteranya
sedangkan mereka tidak menyedari."

19@ Maka dia tersenyum dengan tertawa {mendengar} perkataan
semut itu dan dia berdoa, " Ya Tuhanku, berilah aku ilham
untuk tetap mensyukuri nikmatMu yang engkau telah anugerahkan
kepadaku dan kepada kedua orang ibu bapaku dan masukkanlah aku
dengan rahmatMu ke dalam golongan hamba-hambaMu yang soleh."

20@ Dan dia memeriksa burung-burung lalu berkata, " Mengapa
aku tidak melihat hud-hud ? Apakah dia termasuk yang tidak
hadir ?"

21@ " Sungguh benar-benar aku akan mengazabnya dengan azab
yang keras atau benar-benar menyembelihnya kecuali kalau
benar-benar dia datang kepadaku dengan alasan yang terang."

22@ Maka tidak lama kemudian {datanglah hud-hud} lalu ia
berkata, " Aku telah mengetahui sesuatu yang belum kamu
mengetahuinya dan kubawa kepadamu dari negeri Saba' suatu
berita penting yang diyakini.

23@ Sesungguhnya aku menjumpai seorang wanita yang memerintah
mereka dan dia dianugerahi segala sesuatu serta mempunyai
singgahsana yang besar.

24@ Aku mendapati dia dan kaumnya menyembah matahari selain
Allah dan syaitan telah menjadikan mereka memandang indah
perbuatan-perbuatan mereka, lalu menghalangi mereka dari jalan
{Allah} sehingga mereka tidak dapat petunjuk,

25@ Agar mereka tidak menyembah Allah yang mengeluarkan apa
yang terpendam di langit dan di bumi dan yang mengetahui apa
yang kamu sembunyikan dan apa yang kamu nyatakan.

26@ Allah tiada Tuhan yang patut disembah kecuali Dia, Tuhan
yang mempunyai 'Arasy yang besar."

27@ Berkata Sulaiman, " Akan kami lihat apa kamu benar ataukah
kamu termasuk orang-orang yang berdusta."

28@ " Pergilah dengan {membawa} suratku ini, lalu jatuhkan
kepada mereka, kemudian berpaling dari mereka, lalu
perhatikanlah apa yang mereka bicarakan."

29@ Berkata ia {Balqis}, " Hai pembesar-pembesar, sesungguhnya
telah dijatuhkan kepadaku sebuah surat yang mulia.

30@ Sesungguhnya surat itu dari Sulaiman dan sesungguhnya
{isinya}, " Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah dan
Maha Penyayang.

31@ Bahawa janganlah kamu sekalian berlaku sombong terhadapku
dan datanglah kepadaku sebagai orang-orang yang berserah
diri."

32@ Berkata dia {Balqis}, " Hai para pembesar, berilah aku
pertimbangan dalam urusanku {ini}, aku tidak pernah memutuskan
sesuatu persoalan sebelum kamu berada dalam {majlis} ku."

33@ Mereka menjawab, " Kita adalah orang-orang yang memiliki
kekuatan dan {juga} memiliki keberanian yang sangat {dalam
peperangan} dan keputusan berada ditanganmu, maka
pertimbangankanlah apa yang akan kamu perintahkan."

34@ Dia {Balqis} berkata, " Sesungguhnya raja-raja apabila
memasuki sesuatu negeri, nescaya mereka akan membinasakannya
dan menjadikan penduduknya yang mulia jadi hina dan demikian
pulalah yang akan mereka perbuat.

35@ Dan sesungguhnya aku akan mengirimkan utusan kepada mereka
dengan {membawa} hadiah dan {aku akan} menunggu apa yang akan
dibawa kembali oleh utusan-utusan itu."

36@ Maka tatkala utusan itu sampai kepada Sulaiman berkatalah
ia, " Apakah kamu patut menolong aku dengan harta ? Maka apa
yang diberikan Allah kepadaku lebih baik dari apa yang
diberikannya kepadamu, tetapi kamu merasa bangga dengan
hadiahmu.

37@ Kembalilah kepada mereka, sungguh kami akan mendatangi
mereka dengan bala tentera yang mereka tidak berkuasa
melawannya dan pasti kami akan mengusir mereka dari negeri itu
{Saba'} dengan terhina dan mereka akan menjadi {tawanan-
tawanan} yang tidak berharga."

38@ Berkata Sulaiman, " Hai pembesar-pembesar, siapakah
diantara kamu sekalian yang sanggup membawa singgahsananya
{Balqis} kepadaku sebelum mereka datang kepadaku sebagai
orang-orang yang berserah diri."

39@ Berkata "Ifrit", {yang cerdik} dari golongan jin, " Aku
akan datang kepadamu sebelum kamu berdiri dari tempat
dudukmu, sesungguhnya aku benar-benar kuat untuk membawanya
{lagi} dapat dipercaya."

40@ Berkatalah seorang yang mempunyai ilmu dari Al kitab,
" Aku akan membawa singgahsana itu kepadamu sebelum matamu
berkedip." Maka tatkala Sulaiman melihat singgahsana itu
terletak di hadapannya, ia pun berkata, " Ini termasuk kurnia
Tuhanku untuk mencuba aku apakah aku bersyukur atau
mengingkari {akan nikmatNya}. Dan barang siapa bersyukur untuk
{kebaikan} dirinya sendiri dan barang siapa yang ingkar, maka
sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Mulia."

41@ Dan berkata {Sulaiman}, " Ubahlah baginya singgahsananya,
maka kita akan melihat apakah dia mengenal {singgahsananya
sendiri} ataukah dia termasuk orang-orang yang tidak
mengenal."

42@ Dan ketika Balqis datang ditanyakanlah kepadanya, " Serupa
inikah singgahsanamu ?" Dia menjawab, " Seakan-akan
singgahsana ini singgahsanaku, kami telah diberi pengetahuan
sebelumnya dan kami adalah orang-orang yang berserah diri."

43@ Dan apa yang disembahnya selama ini selain Allah
mencegahnya {utk melahirkan keislamannya}, kerana sesungguhnya
dia dahulunya termasuk orang-orang yang kafir.

44@ Dikatakan kepadanya, " Masukkanlah kedalam istana." Maka
tatkala dia melihat lantai istana itu, dikiranya kolam air
yang besar dan disingkapkannya kedua betisnya. Berkatalah
Sulaiman kepada Balqis, " Sesungguhnya ia adalah istana licin
terbuat dari kaca." Berkatalah Balqis, " Ya Tuhanku,
sesungguhnya aku telah berbuat zalim terhadap diriku dan aku
berserah diri bersama Sulaiman kepada Allah, Tuhan semesta
alam." {Surah An Naml: 15 ~ 44}

Kisah Nabi Sulaiman juga diceritakan didalam surah Saba' dari
ayat 12 sehingga 14 sebagaimana maksudnya,

" 12@ Dan kami {tundukkan} angin bagi Sulaiman yang
perjalanannya di waktu petang sama dengan perjalanan sebulan
{pula} dan Kami alirkan cairan tembaga baginya. Dan sebahagian
dari jin ada yang bekerja di hadapannya {dibawah kekuasaannya}
dengan izin Tuhannya. Dan siapa yang menyimpang di antara
mereka dari perintah Kami, Kami rasakan kepadanya azab neraka
yang apinya menyala-nyala.

13@ Para jin itu membuat untuk Sulaiman apa yang
dikehendakinya dari gedung-gedung yang tinggi dan patung-
patung dan piring-piring yang {besarnya} seperti kolam dan
periuk yang tetap {berada di atas tungku}. Bekerjalah hai
keluarga Daud, untuk bersyukur {kepada Allah}. Dan sedikit
sekali hamba-hambaKu yang berterima kasih.

14@ Maka tatkala Kami telah menetapkan kematian Sulaiman,
tidak ada yang menunjukkan kepada mereka kematiannya itu
kecuali anai-anai yang memakan tongkatnya. Maka tatkala ia
telah tersungkur, tahulah jin bahawa kalau sekiranya mereka
mengetahui yang ghaib tentulah mereka tidak akan tetap dalam
seksa yang menghinakan." {Surah Saba': 12 ~ 14}

Demikianlah kisah Nabi Sulaiman a.s. dan kerajaannya dan
segala macam nikmat dan kelebihan yang dikurniakan oleh Allah
s.w.t. kepadanya. Nabi Sulaiman telah meminta dari Allah
s.w.t. agar dikurniakan dengan sebuah kerajaan yang tidak
pernah dikurniakan kepada sesiapapun sebelumnya dan
sesudahnya. Allah s.w.t. menerima permohonan Sulaiman a.s. dan
memudahkan baginya barang apa yang ada di langit dan di bumi
untuknya.

Al Quran Indonesia. 018. Surah Al Kahfi (Gua)...

Al Quran Indonesia. 018. Surah Al Kahfi (Gua)...

BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

1@ Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menurunkan
kepada hambaNya (Muhammad), Kitab suci Al Quran, dan tidak
menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong),

2@ (Bahkan keadaannya) tetap benar lagi menjadi pengawas,
turunnya Al Quran untuk memberi amaran (kepada orang-orang
yang ingkar) dengan azab yang seberat-beratnya dari sisi
Allah, dan memberi berita gembira kepada orang-orang yang
beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka akan
beroleh balasan yang baik.

3@ Mereka tinggal tetap dalam (balasan yang baik) itu selama-
lamanya.

4@ Dan juga Al Quran itu, memberi amaran kepada orang-orang
yang berkata, ” Allah mempunyai anak.”

5@ (Sebenarnya) mereka tiada mempunyai sebarang pengetahuan
mengenainya, dan tiada juga bagi datuk nenek mereka, besar
sungguh perkataan syirik yang keluar dari mulut mereka, mereka
hanya mengatakan perkara yang dusta.

6@ Maka jangan-jangan pula engkau (wahai Muhammad),
membinasakan dirimu disebabkan menanggung dukacita terhadap
kesan-kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan beriman
kepada keterangan Al Quran ini.

7@ Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi
sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka,
siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya.

8@ Dan sesungguhnya Kami akan jadikan apa yang ada di bumi itu
(punah-ranah) sebagai tanah yang tandus.

9@ Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah,
“Ashaabul Kahfi” dan “Ar Raqiim” itu sahaja yang menakjubkan
di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami ?

10@ (Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang
muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa, “ Wahai Tuhan kami !
Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-
kemudahan serta pimpinan kepada kami, untuk keselamatan ugama
kami.”

11@ Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya dalam gua itu,
bertahun-tahun, yang banyak bilangannya.

12@ Kemudian Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), untuk
Kami menguji, siapakah dari dua golongan di antara mereka yang
lebih tepat kiraannya, tentang lamanya mereka hidup (dalam gua
itu).

13@ Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka
dengan benar, sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang
beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan
hidayah petunjuk.

14@ Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan
keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid), lalu
berkata, “ Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan
mentadbirkan langit dan bumi, kami tidak sekali-kali akan
menyembah Tuhan yang lain dari padanya, jika kami menyembah
yang lainnya, bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu
yang jauh dari kebenaran.”

15@ (Mereka berkata pula sesama sendiri), “ Kaum kita itu,
menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah, sepatutnya
mereka mengemukakan keterangan yang nyata, yang membuktikan
ketuhanan makhluk-makhluk yang mereka sembah itu ?" (Tetapi
mereka tidak dapat berbuat demikian), Maka tidak ada yang
lebih zalim dari orang-orang yang berdusta terhadap Allah.

16@ Dan oleh kerana kamu telah mengasingkan diri dari mereka
dan dari apa yang mereka sembah yang lain dari Allah, maka
pergilah kamu berlindung di gua itu, supaya Tuhan kamu
melimpahkan dari rahmatnya kepada kamu, dan menyediakan
kemudahan-kemudahan untuk (menjayakan) urusan kamu dengan
memberikan bantuan yang berguna.”

17@ Dan engkau akan melihat matahari ketika terbit, cenderung
ke kanan dari gua mereka, dan apabila ia terbenam,
meninggalkan mereka ke arah kiri, sedang mereka berada dalam
satu lapangan gua itu. Yang demikian ialah dari tanda-tanda
(yang membuktikan kekuasaan) Allah. Sesiapa yang diberi
hidayah petunjuk oleh Allah, maka dialah yang berjaya mencapai
kebahagiaan, dan sesiapa yang disesatkanNya, maka engkau tidak
sekali-kali akan beroleh sebarang penolong yang dapat
menunjukkan (jalan yang benar) kepadanya.

18@ Dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur, dan
Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan
ke sebelah kiri, sedang anjing mereka menghulurkan dua kaki
depannya dekat pintu gua, jika engkau melihat mereka, tentulah
engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah
engkau akan merasa sepenuh-penuh gerun takut kepada mereka.

19@ Dan demikianlah pula Kami bangkitkan mereka (dari
tidurnya), supaya mereka bertanya-tanyaan sesama sendiri.
Salah seorang di antaranya bertanya, “ Berapa lama kamu
tidur ?” (sebahagian dari) mereka menjawab, “ Kita telah tidur
selama sehari atau sebahagian dari sehari.” (Sebahagian lagi
dari) mereka berkata, “ Tuhan kamu lebih mengetahui tentang
lamanya kamu tidur, sekarang utuslah salah seorang dari kamu,
membawa wang perak kamu ini ke bandar, kemudian biarlah dia
mencari dan memilih mana-mana jenis makanan yang lebih baik
lagi halal (yang dijual di situ), kemudian hendaklah ia
membawa untuk kamu sedikit habuan daripadanya, dan hendaklah
ia berlemah-lembut dengan bersungguh-sungguh (semasa
di bandar), dan janganlah dia melakukan sesuatu yang
menyebabkan sesiapapun menyedari akan hal kamu.

20@ “ Sesungguhnya, kalaulah mereka mengetahui hal kamu,
tentulah mereka akan merejam dengan membunuh kamu, atau mereka
akan mengembalikan kamu kepada ugama mereka (secara paksa),
dan jika berlaku demikian, kamu tidak sekali-kali akan berjaya
selama-lamanya.”

21@ Dan demikianlah Kami dedahkan hal mereka kepada orang
ramai, supaya orang-orang itu mengetahui bahawa janji Allah
menghidupkan semula orang mati adalah benar, dan bahawa hari
kiamat itu tidak ada sebarang syak padanya, pendedahan itu
berlaku semasa orang-orang itu berbantahan sesama sendiri
mengenai perkara hidupnya semula orang mati. Setelah itu maka
(sebahagian dari) mereka berkata, “ Dirikanlah sebuah bangunan
di sisi gua mereka, Allah jualah yang mengetahui akan hal
ehwal mereka.” orang-orang yang berkuasa atas urusan mereka
(pihak raja) pula berkata, “ Sebenarnya kami hendak membina
sebuah masjid di sisi gua mereka.”

22@ (Sebahagian dari) mereka akan berkata, “ Bilangan Ashaabul
Kahfi itu tiga orang, yang keempatnya ialah anjing mereka.“
dan setengahnya pula berkata, ” Bilangan mereka lima orang,
yang keenamnya ialah anjing mereka.” secara meraba-raba dalam
gelap akan sesuatu yang tidak diketahui, dan setengahnya yang
lain berkata, “ Bilangan mereka tujuh orang, dan yang
kedelapannya ialah anjing mereka.” Katakanlah (wahai
Muhammad), “ Tuhanku lebih mengetahui akan bilangan mereka,
tiada yang mengetahui bilangannya melainkan sedikit.” Oleh
itu, janganlah engkau berbahas dengan sesiapapun mengenai
mereka melainkan dengan bahasan (secara sederhana) yang nyata
(keterangannya di dalam Al Quran), dan janganlah engkau
meminta penjelasan mengenai hal mereka kepada seseorangpun
dari golongan (yang membincangkannya).

23@ Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu (yang hendak
dikerjakan), “ Bahawa aku akan lakukan yang demikian itu,
kemudian nanti.”

24@ Melainkan (hendaklah disertakan dengan berkata), “ In sya
Allah.” Dan ingatlah serta sebutlah akan Tuhanmu jika engkau
lupa, dan katakanlah, “ Mudah-mudahan Tuhanku memimpinku
ke jalan petunjuk yang lebih dekat dan lebih terang dari ini.”

25@ Dan mereka telah tinggal tidur dalam gua mereka, (Tiga
ratus tahun dengan kiraan Ahli Kitab), dan sembilan lagi
(dengan kiraan kamu).

26@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Allah jua yang mengetahui
tentang masa mereka tidur, bagiNyalah tertentu ilmu
pengetahuan segala rahsia langit dan bumi, terang sungguh
penglihatanNya (terhadap segala-galanya) ! Tidak ada bagi
penduduk langit dan bumi, pengurus selain daripadaNya dan Ia
tidak menjadikan sesiapapun masuk campur dalam hukumNya.

27@ Dan baca serta turutlah apa yang diwahyukan kepadamu dari
kitab Tuhanmu, tiada sesiapa yang dapat mengubah kalimah-
kalimahNya, dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat tempat
perlindungan selain daripadaNya.

28@ Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan
orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka, pada waktu
pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata,
dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka
hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia, dan
janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya
lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami
di dalam Al Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan
tingkah lakunya pula adalah melampaui kebenaran.

29@ Dan katakanlah (wahai Muhammad), “ Kebenaran itu ialah
yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman,
hendaklah ia beriman, dan sesiapa yang mahu kufur ingkar,
biarlah dia mengingkarinya.” Kerana Kami telah menyediakan
bagi orang-orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang
meliputi mereka laksana khemah, dan jika mereka meminta
pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan
air yang seperti tembaga cair yang membakar muka, amatlah
buruknya minuman itu, dan amatlah buruknya neraka sebagai
tempat bersenang-senang.

30@ Sebenarnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh,
sudah tetap Kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang
yang berusaha memperbaiki amalnya.

31@ Mereka itu, disediakan baginya syurga yang kekal, yang
mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka dihiaskan
di dalamnya dengan gelang-gelang tangan emas, dan memakai
pakaian hijau dari sutera yang nipis dan sutera tebal yang
bersulam, mereka berehat di dalamnya dengan berbaring di atas
pelamin-pelamin (yang berhias). Demikian itulah balasan yang
sebaik-baiknya dan demikian itulah Syurga, tempat berehat yang
semolek-moleknya.

32@ Dan berikanlah kepada mereka satu contoh, " Dua orang
lelaki, Kami adakan bagi salah seorang di antaranya, dua buah
kebun anggur, dan Kami kelilingi kebun-kebun itu dengan pohon-
pohon tamar, serta Kami jadikan di antara keduanya, jenis-
jenis tanaman yang lain.

33@ Kedua-dua kebun itu mengeluarkan hasilnya, dan tiada
mengurangi sedikitpun dari hasil itu, dan kami juga
mengalirkan di antara keduanya sebatang sungai.

34@ Tuan kebun itu pula, ada mempunyai harta (yang lain), lalu
berkatalah ia kepada rakannya, semasa ia berbincang dengannya,
“ Aku lebih banyak harta daripadamu, dan lebih berpengaruh
dengan pengikut-pengikutku yang ramai.”

35@ Dan ia pun masuk ke kebunnya (bersama-sama rakannya),
sedang ia berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan sebab
kufurnya), sambil ia berkata, “ Aku tidak fikir, kebun ini
akan binasa selama-lamanya.

36@ Dan aku tidak fikir, hari kiamat akan berlaku, dan
kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhanku (sebagaimana
kepercayaanmu), tentulah aku akan mendapat tempat kembali yang
lebih baik daripada ini.

37@ Berkatalah rakannya kepadanya, semasa ia berbincang
dengannya, “ Patutkah engkau kufur ingkar kepada Allah yang
menciptakan engkau dari tanah, kemudian dari air benih,
kemudian Ia membentukmu dengan sempurna sebagai seorang
lelaki ?

38@ Tetapi aku sendiri percaya dan yakin dengan sepenuhnya
bahawa Dialah Allah, Tuhanku, dan aku tidak sekutukan sesuatu
pun dengan Tuhanku.

39@ Dan sepatutnya, semasa engkau masuk ke kebunmu, berkata,
" (Semuanya ialah barang yang dikehendaki Allah) ! (tiada daya
dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah) ? Kalau engkau
memandangku sangat kurang tentang harta dan anak, berbanding
denganmu,

40@ Maka mudah-mudahan Tuhanku akan mengurniakan daku lebih
baik daripada kebunmu, dan (aku bimbang) dia akan
menimpakannya dengan bala, bencana dari langit, sehinggalah
menjadilah kebunmu itu tanah yang licin tandus.

41@ Ataupun air kebun itu akan menjadi kering ditelan bumi,
maka dengan yang demikian, engkau tidak akan dapat mencarinya
lagi.”

42@ Dan segala tanaman serta hartabendanya itupun dibinasakan,
lalu jadilah ia membalik-balikkan kedua tapak tangannya
(kerana menyesal) terhadap segala perbelanjaan yang telah
dibelanjakannya pada kebun-kebunnya, sedang kebun-kebun itu
runtuh junjung-junjung tanamannya, sambil dia berkata,
“ Alangkah baiknya kalau aku tidak sekutukan sesuatupun dengan
Tuhanku !”

43@ Dan ia tidak mendapat sebarang golongan yang boleh
menolongnya, selain dari Allah, dan ia pula tidak dapat
membela dirinya sendiri.

44@ Pada saat yang sedemikian itu, kekuasaan memberi
pertolongan hanya tertentu bagi Allah, Tuhan yang sebenar-
benarnya, Dialah sebaik-baik pemberi pahala, dan sebaik-baik
pemberi kesudahan yang berbahagia (kepada hamba-hambaNya yang
taat).

45@ Dan kemukakanlah kepada mereka misal perbandingan,
" Kehidupan dunia ini, samalah seperti air yang Kami turunkan
dari langit, lalu bercampur aduklah tanaman di bumi antara
satu sama lain (dan kembang suburlah ia) disebabkan air itu,
kemudian menjadilah ia kering hancur ditiup angin, dan
(ingatlah) adalah Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

46@ Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup
di dunia, dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih
baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik
sebagai asas yang memberi harapan.

47@ Dan (ingatkanlah) hari Kami bongkar dan terbangkan gunung-
ganang dan engkau akan melihat (seluruh) muka bumi terdedah
nyata, dan Kami himpunkan mereka (di padang Mahsyar) sehingga
Kami tidak akan tinggalkan seorangpun dari mereka.

48@ Dan mereka tetap akan dibawa mengadap Tuhanmu dengan
berbaris teratur, (sambil dikatakan kepada mereka), “ Kamu
sekarang telah datang kepada Kami, (berseorangan) sebagaimana
Kami telah jadikan kamu pada mulanya, bahkan kamu dahulu
menyangka, bahawa kami tidak akan menjadikan bagi kamu masa
yang tertentu (untuk melaksanakan apa yang Kami telah
janjikan).”

49@ Dan “ Kitab-kitab Amal” juga tetap akan dibentangkan, maka
engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut
akan apa yang tersurat di dalamnya, dan mereka akan berkata,
” Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian
keadaannya ? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar,
melainkan semua dihitungnya !” Dan mereka dapati segala yang
mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya), dan
(ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun.

50@ Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada
malaikat, “ Sujudlah kamu kepada Adam," lalu mereka sujud
melainkan iblis, ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia
menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu
hendak menjadikan iblis dan keturunannya sebagai sahabat-
sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripadaku ? Sedang
mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amatlah buruknya bagi orang-
orang yang zalim, pengganti yang mereka pilih itu.



51@ Aku tidak memanggil mereka menyaksi atau membantuKu
menciptakan langit dan bumi, dan tidak juga meminta bantuan
setengahnya untuk menciptakan setengahnya yang lain, dan tidak
sepatutnya Aku mengambil makhluk-makhluk yang menyesatkan itu
sebagai pembantu.

52@ Dan (ingatkanlah) masa Allah berfirman, “ Panggilah
sekutu-sekutuKu yang kamu katakan itu (untuk menolong kamu),
lalu mereka memanggilnya, tetapi sia-sia sahaja, kerana
makhluk-makhluk itu tidak menyahut seruan mereka, dan kami
jadikan untuk mereka bersama sebuah tempat azab yang
membinasakan.

53@ Dan orang-orang yang berdosa itu tetap akan melihat
neraka, maka yakinlah mereka, bahawa mereka akan jatuh
ke dalamnya dan mereka tidak akan mendapati sebarang jalan
untuk mengelakkan diri daripadanya.

54@ Dan demi sesungguhnya, Kami telah huraikan dengan
berbagai-bagai cara di dalam Al Quran ini untuk umat manusia,
dari segala jenis contoh bandingan, dan sememangnya manusia
itu, sejenis makhluk yang banyak sekali bantahannya.

55@ Dan tiada yang menghalang manusia daripada beriman, ketika
datang petunjuk Al Quran kepada mereka, dan daripada memohon
ampun kepada Tuhan mereka, melainkan (kerana kedegilan mereka
dan kerana mereka) menunggu didatangi azab yang memusnahkan
yang telah menimpa orang-orang dahulu, atau di datangi azab
yang dilihat dan dihadapi.

56@ Dan tidak Kami mengutus Rasul-rasul, melainkan sebagai
pemberi berita gembira dan pemberi amaran, dan orang-orang
yang kafir membantah dengan alasan yang salah untuk
menghapuskan kebenaran dengan bantahan itu, dan mereka jadikan
ayat-ayatku, dan amaran yang diberikan kepada mereka sebagai
ejek-ejekan.

57@ Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang
diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, lalu ia berpaling
daripadanya dan lupa akan apa yang telah dilakukan oleh kedua
tangannya, sesungguhnya (disebabkan bawaan mereka yang buruk
itu) Kami jadikan tutupan berlapis-lapis atas hati mereka,
menghalang mereka daripada memahaminya, dan (Kami jadikan)
pada telinga mereka penyumbat (yang menyebabkan mereka pekak).
Dan jika engkau menyeru mereka kepada petunjuk, maka dengan
keadaan yang demikian, mereka tidak sekali-kali akan beroleh
hidayah petunjuk selama-lamanya.

58@ Dan Tuhanmu Maha Pengampun, lagi melimpah-limpah
rahmatnya. Jika Ia mahu menyeksa mereka (di dunia) disebabkan
apa yang mereka telah usahakan, tentulah Ia akan menyegerakan
azab itu menimpa mereka, (tetapi Ia tidak berbuat demikian)
bahkan ditentukan bagi mereka satu masa, yang mereka tidak
sekali-kali akan dapat sebarang tempat perlindungan, yang
ialah daripadanya.

59@ Dan penduduk negeri-negeri (yang derhaka) itu, Kami telah
binasakan ketika mereka melakukan kezaliman, dan Kami telah
tetapkan satu masa yang tertentu bagi kebinasaan mereka.

60@ Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata
kepada temannya, “ Aku tidak akan berhenti berjalan sehingga
aku sampai di tempat pertemuan dua laut itu atau aku berjalan
terus bertahun-tahun.”

61@ Maka apabila mereka berdua sampai ke tempat pertemuan dua
laut itu, lupalah mereka akan hal ikan mereka, lalu ikan itu
menggelunsur menempuh jalannya di laut, yang merupakan lorong
di bawah tanah.

62@ Setelah mereka melampaui (tempat itu), berkatalah Nabi
Musa kepada temannya, “ Bawalah makan tengah hari, kita
sebenarnya kita telah mengalami penat lelah dalam perjalanan
kita ini.”

63@ Temannya berkata, “ Tahukah apa yang telah terjadi ketika
kita berehat di batu besar itu ? Sebenarnya aku lupakan hal
ikan itu, dan tiadalah yang menyebabkan aku lupa daripada
menyebutkan halnya kepadamu melainkan Syaitan, dan ikan itu
telah menggelunsur menempuh jalannya di laut, dengan cara yang
menakjubkan.”

64@ Nabi Musa berkata, “ Itulah yang kita kehendaki.“
merekapun balik semula ke situ, dengan menurut jejak mereka.

65@ Lalu mereka dapati, seorang dari hamba-hamba Kami yang
telah kami kurniakan kepadanya rahmat dari Kami, dan Kami
telah mengajarnya sejenis ilmu, dari sisi Kami.

66@ Nabi Musa berkata kepadanya, " Bolehkah aku mengikutmu,
dengan syarat engkau mengajarku dari apa yang telah diajarkan
oleh Allah kepadamu, ilmu yang menjadi petunjuk bagiku ?”

67@ Ia menjawab, “ Sesungguhnya engkau (wahai Musa), tidak
sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku.

68@ Dan bagaimana engkau akan sabar terhadap perkara yang
engkau tidak mengetahuinya secara meliputi ?

69@ Nabi Musa berkata, “ Engkau akan dapati aku, In syaa
Allah, orang yang sabar, dan aku tidak akan membantah sebarang
perintahmu.”

70@ Ia menjawab, “ Sekiranya engkau mengikutku, maka janganlah
engkau bertanya kepadaku akan sesuatupun sehingga aku
ceritakan halnya kepadamu.”

71@ Lalu berjalanlah keduanya sehingga apabila mereka naik
ke sebuah perahu, ia membocorkannya. Nabi Musa berkata,
“ Patutkah engkau membocorkannya sedang akibat perbuatan itu
menenggelamkan penumpang-penumpangnya ? Sesungguhnya engkau
telah melakukan satu perkara yang besar.”

72@ Ia menjawab, “ Bukankah aku telah katakan, bahawa engkau
tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku ?”

73@ Nabi Musa berkata, “ Janganlah engkau marah akan daku
disebabkan aku lupa (akan syaratmu), dan janganlah engkau
memberati daku dengan sebarang kesukaran dalam urusanku
(menuntut ilmu).”

74@ Kemudian keduanya berjalan lagi, sehingga apabila mereka
bertemu dengan seorang pemuda, lalu ia membunuhnya. Nabi Musa
berkata, “ Patutkah engkau membunuh satu jiwa yang bersih,
yang tidak berdosa membunuh orang ? Sesungguhnya engkau telah
melakukan satu perbuatan yang mungkar !”

75@ Ia menjawab, “ Bukankah, aku telah katakan kepadamu,
bahawa engkau tidak sekali-kali akan dapat bersabar
bersamaku ?”

76@ Nabi Musa berkata, “ Jika aku bertanya kepadamu tentang
sebarang perkara sesudah ini, maka janganlah engkau jadikan
daku sahabatmu lagi, sesungguhnya engkau telah cukup mendapat
alasan-alasan berbuat demikian disebabkan pertanyaan-
pertanyaan dan bantahanku.”

77@ Kemudian keduanya berjalan lagi, sehingga apabila mereka
sampai kepada penduduk sebuah bandar, mereka meminta makan
kepada orang-orang di situ, lalu orang-orang itu enggan
menjamu mereka. Kemudian mereka dapati di situ sebuah tembok
yang hendak runtuh, lalu ia membinanya. Nabi Musa berkata,
“ Jika engkau mahu, tentulah engkau berhak mengambil upah
mengenainya !”

78@ Ia menjawab, “ Inilah masanya perpisahan antaraku
denganmu, aku akan terangkan kepadamu maksud (kejadian-
kejadian yang dimusykilkan) yang engkau tidak dapat bersabar
mengenainya.

79@ Adapun perahu itu, adalah ia dipunyai oleh orang-orang
miskin yang bekerja di laut, oleh itu, aku bocorkan dengan
tujuan hendak mencacatkannya, kerana di belakang mereka nanti
ada seorang raja yang merampas tiap-tiap sebuah perahu yang
tidak cacat.

80@ Adapun pemuda itu, kedua ibu bapanya adalah orang-orang
yang beriman, maka kami bimbang bahawa ia akan mendesak mereka
melakukan perbuatan yang zalim dan kufur.

81@ Oleh itu, kami ingin dan berharap, supaya Tuhan mereka
gantikan bagi mereka anak yang lebih baik daripadanya tentang
kebersihan jiwa, dan lebih mesra kasih sayangnya.

82@ Adapun tembok itu pula, adalah ia dipunyai oleh dua orang
anak yatim di bandar itu, dan di bawahnya ada “harta
terpendam” kepunyaan mereka, dan bapa mereka pula adalah orang
yang soleh. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur
dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu,
sebagai satu rahmat dari Tuhanmu (kepada mereka). Dan
(ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri.
Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-
perkara yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya.”

83@ Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai
Zulkarnain. Katakanlah, “ Aku akan bacakan kepada kamu (wahyu
dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya”,

84@ Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan
memerintah di bumi, dan Kami beri kepadanya jalan bagi
menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya.

85@ Lalu ia menurut jalan (yang menyampaikan maksudnya).

86@ Sehingga apabila ia sampai ke daerah matahari terbenam, ia
mendapatinya terbenam di sebuah matair yang hitam berlumpur,
dan ia dapati di sisinya satu kaum (yang kufur ingkar). Kami
berfirman (dengan mengilhamkan kepadanya), “ Wahai
Zulkarnain ! Pilihlah sama ada engkau hendak menyeksa mereka
atau engkau bertindak secara baik terhadap mereka.”

87@ Ia berkata, “ Adapun orang yang melakukan kezaliman (kufur
derhaka), maka kami akan menyeksanya, kemudian ia akan
dikembalikan kepada Tuhannya, lalu diazabkannya dengan azab
seksa yang seburuk-buruknya.

88@ Adapun orang yang beriman serta beramal soleh, maka
baginya balasan yang sebaik-baiknya, dan kami akan perintahkan
kepadanya perintah-perintah kami yang tidak memberati.”

89@ Kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain.

90@ Sehingga apabila ia sampai di daerah matahari terbit, ia
mendapatinya terbit, kepada suatu kaum yang kami tidak
menjadikan bagi mereka sebarang perlindungan daripadanya.

91@ Demikianlah halnya, dan sesungguhnya Kami mengetahui
secara meliputi akan segala yang ada padanya.

92@ Kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain.

93@ Sehingga apabila ia sampai di antara dua gunung, ia dapati
di sisinya satu kaum yang hampir-hampir mereka tidak dapat
memahami perkataan.

94@ Mereka berkata, “ Wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum
Yakjuj dan Makjuj, sentiasa melakukan kerosakan di bumi, oleh
itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran
kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau
membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka ?”

95@ Dia menjawab, “ (Kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku
jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu),
oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai), aku
akan bina antara kamu dengan mereka, sebuah tembok penutup
yang kukuh.

96@ Bawalah kepadaku ketul-ketul besi.” Sehingga apabila ia
terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung
itu, dia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata,
“ Tiuplah dengan alat-alat kamu.”, sehingga apabila ia
menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia,
“ Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya.”

97@ Maka mereka tidak dapat memanjat tembok itu, dan mereka
juga tidak dapat menebuknya.

98@ (Setelah itu) berkatalah Zulkarnain, “ Ini ialah suatu
rahmat dari Tuhanku, dalam pada itu, apabila sampai janji
Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur, dan
adalah janji Tuhanku itu benar.”

99@ Dan Kami biarkan mereka pada hari itu (keluar beramai-
ramai) bercampur-baur antara satu dengan yang lain, dan
(kemudiannya) akan ditiup sangkakala, lalu Kami himpunkan
makhluk-makhluk seluruhnya di Padang Mahsyar.

100@ Dan Kami perlihatkan neraka Jahannam, pada hari itu
kepada orang-orang kafir, dengan pendedahan yang jelas nyata,



101@ (Iaitu) Orang-orang yang matanya telah tertutup daripada
melihat tanda-tanda yang membawa kepada mengingatiKu, dan
mereka pula tidak dapat mendengar sama sekali.

102@ Maka adakah orang-orang kafir menyangka bahawa mereka
mengambil hamba-hambaKu sebagai makhluk-makhluk yang disembah,
selain daripadaKu, dapat menolong mereka ? Sesungguhnya Kami
telah sediakan neraka Jahannam bagi orang-orang kafir itu
sebagai tempat tetamu.

103@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Mahukah Kami khabarkan
kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal
perbuatannya ?

104@ (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya
dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa
mereka sentiasa betul dan baik, pada apa sahaja yang mereka
lakukan.”

105@ Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat
Tuhan mereka dan akan pertemuan denganNya, oleh itu gugurlah
amal-amal mereka, maka akibatya Kami tidak akan memberi
sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat
kelak.

106@ (Mereka yang bersifat) demikian, balasannya neraka
Jahannam, disebabkan mereka kufur ingkar, dan mereka pula
menjadikan ayat-ayatKu dan Rasul-rasulKu sebagai ejek-ejekan.

107@ Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh,
disediakan bagi mereka Syurga-syurga Firdaus, sebagai tempat
tetamu (yang serba mewah).

108@ Mereka kekal di dalamnya, (dan) tidak ingin berpindah
daripadanya.

109@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Kalaulah semua jenis
lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku,
sudah tentu akan habis kering lautan itu, sebelum habis
Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan
lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan.”

110@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Sesungguhnya aku hanyalah
seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan
kamu hanyalah Tuhan Yang Satu, Oleh itu, sesiapa yang percaya
dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia
mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan
sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya.”