Saturday 16 January 2016

Al Quran Indonesia. 004. Surah An Nisaa’ (Wanita)...

Al Quran Indonesia. 004. Surah An Nisaa’ (Wanita)...

BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

1@ Wahai sekalian manusia ! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang
telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam),
dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya
(isterinya, Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya
(zuriat keturunan) lelaki dan perempuan yang ramai. Dan
bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan
menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan
(silaturrahim) kaum kerabat, kerana sesungguhnya Allah
sentiasa memerhati (mengawas) kamu.

2@ Dan berikanlah kepada anak-anak yatim (yang telah baligh)
itu harta mereka, dan janganlah kamu tukar gantikan yang baik
dengan yang buruk, dan janganlah kamu makan harta mereka
(dengan menghimpunkannya) dengan harta kamu, kerana
sesungguhnya (yang demikian) itu adalah dosa yang besar.

3@ Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-
perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka
berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-
perempuan (lain), dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu
bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu)
maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah)
hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu
adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak
melakukan kezaliman.

4@ Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-
maskahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika
mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian
dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang
halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.

5@ Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang-orang
yang belum sempurna akalnya akan harta (mereka yang ada dalam
jagaan) kamu, (harta) yang Allah telah menjadikannya untuk
kamu semua sebagai asas pembangunan kehidupan kamu, dan
berilah mereka belanja dan pakaian dari pendapatan hartanya
(yang kamu niagakan), dan juga berkatalah kepada mereka dengan
kata-kata yang baik.

6@ Dan ujilah anak-anak yatim itu (sebelum baligh) sehingga
mereka cukup umur (dewasa). Kemudian jika kamu nampak dari
keadaan mereka (tanda-tanda yang menunjukkan bahawa mereka)
telah cerdik dan berkebolehan menjaga hartanya, maka
serahkanlah kepada mereka hartanya, dan janganlah kamu makan
harta anak-anak yatim itu secara yang melampaui batas dan
secara terburu-buru (merebut peluang) sebelum mereka dewasa.
Dan sesiapa (di antara penjaga harta anak-anak yatim itu) yang
kaya maka hendaklah ia menahan diri (dari memakannya), dan
sesiapa yang miskin maka bolehlah ia memakannya dengan cara
yang sepatutnya. Kemudian apabila kamu menyerahkan kepada
mereka hartanya, maka hendaklah kamu adakan saksi-saksi (yang
menyaksikan penerimaan) mereka. Dan cukuplah Allah sebagai
Pengawas (akan segala yang kamu lakukan).

7@ Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu
bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian
pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit
atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu, iaitu bahagian
yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).

8@ Dan apabila kerabat (yang tidak berhak mendapat pusaka),
dan anak-anak yatim serta orang-orang miskin hadir ketika
pembahagian (harta pusaka) itu, maka berikanlah kepada mereka
sedikit daripadanya, dan berkatalah kepada mereka dengan kata-
kata yang baik.

9@ Dan hendaklah takut (kepada Allah daripada melakukan aniaya
kepada anak-anak yatim oleh) orang-orang (yang menjadi
penjaganya), yang jika ditakdirkan mereka pula meninggalkan
anak-anak yang daif (yatim) di belakang mereka, (tentulah)
mereka akan merasa bimbang terhadap (masa depan dan
keselamatan) anak-anak mereka, oleh itu hendaklah mereka
bertaqwa kepada Allah, dan hendaklah mereka mengatakan
perkataan yang betul (menepati kebenaran).

10@ Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak
yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api
ke dalam perut mereka, dan mereka pula akan masuk ke dalam api
neraka yang menyala-nyala.

11@ Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka
untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki
menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika anak-
anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah
dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh si mati. Dan
jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah
satu perdua (separuh) harta itu. Dan bagi ibu bapa (si mati),
tiap-tiap seorang dari keduanya, satu perenam dari harta yang
ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak.
Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang
mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya, maka bahagian ibunya
ialah satu pertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa
orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah satu
perenam. (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat
yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan
hutangnya. Ibu-bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak
mengetahui siapa di antaranya yang lebih dekat serta banyak
manfaatnya kepada kamu (Pembahagian harta pusaka dan penentuan
bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah)
ketetapan dari Allah, sesungguhnya Allah adalah Maha
Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

12@ Dan bagi kamu satu perdua dari harta yang ditinggalkan
oleh isteri-isteri kamu jika mereka tidak mempunyai anak.
Tetapi jika mereka mempunyai anak maka kamu beroleh satu
perempat dari harta yang mereka tinggalkan, sesudah ditunaikan
wasiat yang mereka wasiatkan dan sesudah dibayarkan hutangnya.
Dan bagi mereka (isteri-isteri) pula satu perempat dari harta
yang kamu tinggalkan, jika kamu tidak mempunyai anak. Tetapi
kalau kamu mempunyai anak maka bahagian mereka (isteri-isteri
kamu) ialah satu perlapan dari harta yang kamu tinggalkan,
sesudah ditunaikan wasiat yang kamu wasiatkan, dan sesudah
dibayarkan hutang kamu. Dan jika si mati yang diwarisi itu,
lelaki atau perempuan, yang tidak meninggalkan anak atau bapa,
dan ada meninggalkan seorang saudara lelaki (seibu) atau
saudara perempuan (seibu) maka bagi tiap-tiap seorang dari
keduanya ialah satu perenam. Kalau pula mereka (saudara-
saudara yang seibu itu) lebih dari seorang, maka mereka
bersekutu pada satu pertiga (dengan mendapat sama banyak
lelaki dengan perempuan), sesudah ditunaikan wasiat yang
diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya,
wasiat-wasiat yang tersebut hendaknya tidak mendatangkan
mudarat (kepada waris-waris). (Tiap-tiap satu hukum itu) ialah
ketetapan dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui,
lagi Maha Penyabar.

13@ Segala hukum yang tersebut adalah batas-batas (Syariat)
Allah. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, akan
dimasukkan oleh Allah ke dalam Syurga yang mengalir dari
bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya, dan itulah
kejayaan yang amat besar.

14@ Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan RasulNya, dan
melampaui batas-batas SyariatNya, akan dimasukkan oleh Allah
ke dalam api neraka, kekallah dia di dalamnya, dan baginya
azab seksa yang amat menghina.

15@ Dan sesiapa yang melakukan perbuatan keji (zina) di antara
perempuan-perempuan kamu, maka carilah empat orang lelaki
di antara kamu yang menjadi saksi terhadap perbuatan mereka.
Kemudian kalau keterangan-keterangan saksi itu mengesahkan
perbuatan tersebut, maka kurunglah mereka (perempuan yang
berzina itu) dalam rumah hingga mereka sampai ajal matinya,
atau hingga Allah mengadakan untuk mereka jalan keluar (dari
hukuman itu).

16@ Dan (mana-mana) dua orang di antara kamu yang melakukan
perbuatan yang keji itu, (setelah sabit kesalahannya) maka
hendaklah kamu menyakiti keduanya, kemudian jika mereka
bertaubat dan memperbaiki keadaan diri mereka (yang buruk
itu), maka biarkanlah mereka, kerana sesungguhnya Allah adalah
sentiasa Menerima taubat, lagi Maha Luas rahmatNya.

17@ Sesungguhnya penerimaan taubat itu disanggup oleh Allah
hanya bagi orang-orang yang melakukan kejahatan disebabkan
(sifat) kejahilan kemudian mereka segera bertaubat, maka
(dengan adanya dua sebab itu) mereka diterima Allah taubatnya,
dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

18@ Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang-orang yang
selalu melakukan kejahatan, hingga apabila salah seorang dari
mereka hampir mati, berkatalah ia, “ Sesungguhnya aku
bertaubat sekarang ini,” (sedang taubatnya itu sudah
terlambat), dan (demikian juga halnya) orang-orang yang mati
sedang mereka tetap kafir. Orang-orang yang demikian, Kami
telah sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi
sakitnya.

19@ Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu
mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan, dan
janganlah kamu menyakiti mereka (dengan menahan dan
menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik
sebahagian dari apa yang kamu telah berikan kepadanya, kecuali
(apabila) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan
bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan
cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada
mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-
buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu,
sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu
kebaikan yang banyak (untuk kamu).

20@ Dan jika kamu hendak mengambil isteri (baharu)
menggantikan isteri (lama yang kamu ceraikan) sedang kamu
telahpun memberikan kepada seseorang di antaranya (isteri yang
diceraikan itu) harta yang banyak, maka janganlah kamu
mengambil sedikitpun dari harta itu. Patutkah kamu
mengambilnya dengan cara yang tidak benar dan (yang
menyebabkan) dosa yang nyata ?

21@ Dan bagaimana kamu tergamak mengambil balik pemberian itu
padahal kasih mesra kamu telah terjalin antara satu dengan
yang lain, dan mereka pula (isteri-isteri kamu itu) telahpun
mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu ?

22@ Dan janganlah kamu berkahwin (dengan perempuan-perempuan)
yang telah diperisterikan oleh bapa kamu kecuali apa yang
telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya perbuatan itu
adalah satu perkara yang keji, dan dibenci (oleh Allah), serta
menjadi seburuk-buruk jalan (yang dilalui dalam perkahwinan).

23@ Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-
perempuan yang berikut), ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan
saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan
saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang
lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu
kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan
kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang dalam
pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri,
tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan
kamu telahpun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu
(berkahwin dengannya). Dan (haram juga kamu berkahwin dengan)
bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih
kamu. Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali
(untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku
pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun,
lagi Maha Mengasihani.

24@ Dan (diharamkan juga kamu berkahwin dengan) perempuan-
perempuan isteri orang, kecuali hamba sahaya yang kamu miliki.
(Haramnya segala yang tersebut itu) ialah suatu ketetapan
hukum Allah (yang diwajibkan) atas kamu. Dan (sebaliknya)
dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan yang lain daripada
yang tersebut itu, untuk kamu mencari (isteri) dengan harta
kamu secara bernikah, bukan secara berzina. Kemudian mana-mana
perempuan yang kamu nikmati percampuran dengannya (setelah ia
menjadi isteri kamu), maka berikanlah kepada mereka
maskahwinnya (dengan sempurna), sebagai suatu ketetapan (yang
diwajibkan oleh Allah). Dan tiadalah kamu berdosa mengenai
sesuatu persetujuan yang telah dicapai bersama oleh kamu
(suami isteri), sesudah ditetapkan maskahwin itu (tentang cara
dan kadar pembayarannya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui,
lagi Maha Bijaksana.

25@ Dan sesiapa di antara kamu yang tidak mempunyai kemampuan
yang cukup untuk berkahwin dengan perempuan-perempuan yang
baik-baik (yang merdeka, yang terpelihara kehormatannya) lagi
beriman, maka bolehlah kamu berkahwin dengan hamba-hamba
perempuan yang beriman yang kamu miliki. Dan Allah lebih
mengetahui akan iman kamu, kamu masing-masing (suami yang
merdeka dan isteri dari hamba abdi itu) adalah berasal sama
(dari Adam, dan seugama pula). Oleh itu berkahwinlah dengan
mereka dengan izin walinya serta berikanlah maskahwinnya
menurut yang patut. Mereka (hamba-hamba perempuan yang akan
dijadikan isteri, hendaklah) yang sopan bukan perempuan-
perempuan lacur, dan bukan pula yang mengambil lelaki sebagai
teman simpanan. Kemudian setelah mereka (hamba-hamba perempuan
itu) berkahwin, lalu mereka melakukan perbuatan keji (zina),
maka mereka dikenakan separuh dari (hukuman) seksa yang
ditetapkan ke atas perempuan-perempuan yang merdeka. (Hukum
perkahwinan) yang demikian (yang membolehkan seseorang
berkahwin dengan hamba-hamba perempuan) itu ialah bagi orang-
orang yang bimbang melakukan zina di antara kamu, dan sabarnya
kamu (tidak berkahwin dengan hamba-hamba perempuan) itu adalah
lebih baik bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun,
lagi Maha Mengasihani.

26@ Allah menghendaki (dengan apa yang telah diharamkan dan
dihalalkan dari kaum perempuan itu) ialah untuk menerangkan
(SyariatNya) dan untuk menunjukkan kepada kamu jalan-jalan
aturan orang-orang yang dahulu daripada kamu (Nabi-nabi dan
orang-orang yang soleh, supaya kamu mengikutinya), dan juga
untuk menerima taubat kamu. Dan (ingatlah) Allah Maha
Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

27@ Dan Allah hendak (membersihkan kamu dari dosa dengan)
menerima taubat kamu, sedang orang-orang (yang fasik) yang
menurut keinginan hawa nafsu (yang diharamkan oleh Allah itu)
hendak mendorong kamu supaya kamu menyeleweng (dari kebenaran)
dengan penyelewengan yang besar bahayanya.

28@ Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya)
daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah.

29@ Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan
(gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah
(tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan
yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan
janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya
Allah sentiasa Mengasihani kamu.

30@ Dan sesiapa berbuat demikian dengan menceroboh dan aniaya,
maka kami akan masukkan dia ke dalam api neraka, dan balasan
yang sedemikian itu adalah mudah bagi Allah, (tidak ada
sesiapapun yang dapat menghalangnya).

31@ Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu
melakukannya, Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (dosa
kecil) kamu, dan kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia
(syurga).

32@ Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat)
limpah kurnia, yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari
kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain
(tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat
kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada
bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang
perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan,
(maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan
limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan
tiap-tiap sesuatu.

33@ Dan bagi tiap-tiap (lelaki dan perempuan yang telah mati),
kami telah tetapkan orang-orang yang berhak mewarisi
peninggalannya iaitu ibu bapa dan kerabat yang dekat. Dan
mana-mana orang yang kamu telah membuat ikatan setia dengan
mereka (untuk bantu-membantu dalam masa kecemasan dan
kesusahan) maka berikanlah kepada mereka bahagiannya.
Sesungguhnya Allah sentiasa Menyaksikan tiap-tiap sesuatu.

34@ Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang
bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah
telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa
keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana
orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah)
sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang
soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan
yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib
dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan
pemuliharaan Allah dan pertolonganNya. Dan perempuan-perempuan
yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz)
hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil)
pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka
masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang
bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu,
maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan
mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar.

35@ Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka
berdua (suami isteri) maka lantiklah “ orang tengah” (untuk
mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan
seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua “ orang
tengah” itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan,
nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu)
berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi
Amat mendalam pengetahuanNya.

36@ Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah
kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua, dan hendaklah kamu
berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan
anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga
yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat,
dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu
miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang
sombong takbur dan membangga-banggakan diri,

37@ Iaitu orang-orang yang bakhil dan menyuruh manusia supaya
bakhil serta menyembunyikan apa-apa jua yang Allah berikan
kepada mereka dari limpah kurnianya. Dan (sebenarnya) Kami
telah sediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang amat
menghina,

38@ Dan juga orang-orang yang membelanjakan hartanya dengan
menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan mereka tidak pula
beriman kepada Allah dan tidak juga beriman kepada hari
akhirat. Dan sesiapa yang (mengambil) Syaitan itu menjadi
kawannya, maka seburuk-buruk kawan ialah syaitan.

39@ Dan apakah (kerugian) yang akan menimpa mereka jika mereka
beriman kepada Allah dan hari akhirat, serta mereka
mendermakan sebahagian dari apa yang telah dikurniakan Allah
kepada mereka ? Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mengetahui akan
keadaan mereka.

40@ Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya
(seseorang) sekalipun seberat zarah (debu). Dan kalaulah (amal
yang seberat zarrah) itu amal kebajikan, nescaya akan
menggandakannya dan akan memberi, dari sisiNya, pahala yang
amat besar.

41@ Maka bagaimanakah (keadaan orang-orang kafir pada hari
akhirat kelak), apabila Kami datangkan dari tiap-tiap umat
seorang saksi (iaitu Rasul mereka sendiri menjadi saksi
terhadap perbuatan mereka), dan Kami juga datangkan engkau
(wahai Muhammad) sebagai saksi terhadap umatmu ini ?

42@ Pada hari itu orang-orang yang kafir dan menderhaka kepada
Rasulullah, suka jika mereka disama ratakan dengan tanah
(ditelan bumi), dan (ketika itu) mereka tidak dapat
menyembunyikan sepatah kata pun dari pengetahuan Allah.

43@ Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri
sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk,
hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan.
Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan
Junub (berhadas besar, kecuali kamu hendak melintas sahaja)
hingga kamu mandi bersuci. Dan jika kamu sakit, atau sedang
dalam musafir, atau salah seorang di antara kamu datang dari
tempat buang air, atau kamu bersentuh dengan perempuan,
kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk),
maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah (debu, yang suci,
iaitu sapukanlah ke muka kamu dan kedua tangan kamu).
Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.

44@ Tidakkah engkau memerhatikan (wahai Muhammad) orang-orang
yang telah diberikan sebahagian dari Kitab, mereka memilih
kesesatan (dengan meninggalkan pertunjuk Tuhan), dan mereka
pula berkehendak supaya kamu juga sesat jalan.

45@ Dan Allah lebih mengetahui berkenaan dengan musuh-musuh
kamu, (oleh itu awasilah angkara musuh kamu itu). Dan cukuplah
Allah sebagai Pengawal yang melindungi, dan cukuplah Allah
sebagai Penolong (yang menyelamatkan kamu dari angkara
mereka).

46@ Di antara orang-orang Yahudi ada yang mengubah (atau
menukar ganti) Kalamullah (isi Kitab Taurat), dari tempat dan
maksudnya yang sebenar, dan berkata (kepada Nabi Muhammad),
“ Kami dengar”, (sedang mereka berkata dalam hati), “ Kami
tidak akan menurut.” (Mereka juga berkata), “ Tolonglah
dengar, tuan tidak diperdengarkan sesuatu yang buruk”, serta
(mereka mengatakan), “ Raaeina”, (Tujuan kata-kata mereka yang
tersebut) hanya memutar belitkan perkataan mereka dan mencela
ugama Islam. Dan kalaulah mereka berkata, “ Kami dengar dan
kami taat, dan dengarlah serta berilah perhatian kepada
kami”, tentulah yang demikian itu lebih baik bagi mereka dan
lebih betul. Akan tetapi Allah melaknat mereka dengan sebab
kekufuran mereka. Oleh itu, mereka tidak beriman kecuali
sedikit sahaja (di antara mereka).

47@ Wahai orang-orang yang telah diberikan Kitab, berimanlah
kamu dengan apa yang telah Kami turunkan (Al Quran), yang
mengesahkan Kitab-Kitab yang ada pada kamu, sebelum Kami
menyeksa dengan menghapuskan bentuk muka kamu (sehingga
berubah menjadi rata, tidak bermulut, berhidung dan bermata),
lalu Kami menjadikannya sama seperti rupa sebelah belakangnya,
atau Kami melaknatkan mereka sebagaimana Kami telah
melaknatkan orang-orang (dari kaum mereka, Yahudi) yang
melanggar larangan bekerja pada hari Sabtu. Dan (ingatlah)
perintah Allah itu tetap berlaku.

48@ Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik
mempersekutukanNya (dengan sesuatu apa jua), dan akan
mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang
dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang
mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka
sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.

49@ Tidakkah engkau perhatikan (dan merasa pelik wahai
Muhammad) kepada orang-orang yang membersihkan (memuji) diri
sendiri ? (Padahal perkara itu bukan hak manusia) bahkan Allah
jualah yang berhak membersihkan (memuji) sesiapa yang
dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya), dan mereka pula
tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasan mereka)
sedikitpun.

50@ Lihatlah (wahai Muhammad) betapa beraninya mereka mengada-
adakan perkara-perkara dusta terhadap Allah ? Dan cukuplah
perbuatan itu menjadi dosa yang terang nyata.



51@ Tidakkah engkau perhatikan (dan merasa pelik wahai
Muhammad) kepada orang-orang yang telah diberikan sebahagian
dari Kitab (Taurat) ? Mereka percaya kepada benda-benda yang
disembah yang lain dari Allah, dan kepada Taghut, dan mereka
pula berkata kepada orang-orang kafir (kaum musyrik di Makkah)
bahawa mereka (kaum musyrik itu) lebih betul jalan ugamanya
daripada orang-orang yang beriman (kepada Nabi Muhammad
s.a.w).

52@ (Kaum Yahudi yang demikian sikapnya) mereka itulah orang-
orang yang dilaknat oleh Allah, dan sesiapa yang dilaknat oleh
Allah, maka engkau tidak sekali-kali akan mendapati sesiapa
pun yang boleh menolongnya.

53@ Patutkah ada bagi mereka (kaum Yahudi itu) sesuatu
bahagian dari kekuasaan memerintah ? (Tidak, bahkan kalau ada)
maka sudah tentu mereka tidak akan memberikan sedikitpun
kebaikan kepada manusia.

54@ Atau patutkah mereka dengki kepada manusia (Nabi Muhammad
dan umatnya) disebabkan nikmat (pangkat Nabi dan ugama Islam)
yang telah diberikan oleh Allah kepada mereka dari limpah
kurniaNya ? Kerana sesungguhnya Kami telahpun memberi kepada
keluarga Ibrahim, Kitab (ugama) dan hikmat (pangkat Nabi), dan
kami telah memberi kepada mereka kerajaan yang besar.

55@ Maka di antara mereka (kaum Yahudi yang dengki itu) ada
yang beriman kepada (apa yang telah di kurniakan oleh Allah
kepada keluarga Nabi Ibrahim) itu, dan ada pula di antara
mereka yang berpaling daripadanya (tidak beriman). Dan
cukuplah dengan neraka jahanam yang sentiasa menyala-nyala itu
(menjadi tempat seksa mereka).

56@ Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-
ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api
neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami
gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat
merasa azab sengsara itu. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah
adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

57@ Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, Kami
akan masukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya
beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.
Mereka beroleh dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-
isteri yang suci bersih, serta Kami masukkan mereka ke tempat
yang teduh yang sentiasa dinaungi.

58@ Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala
jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan
apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah
menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah
dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya
kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi
sentiasa Melihat.

59@ Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah
dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “ Ulil-Amri”
(orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika
kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara,
maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah
(Al Quran) dan (Sunnah) RasulNya, jika kamu benar beriman
kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik
(bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.

60@ Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad) orang-
orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman
kepada Al Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada
(Kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu ? Mereka
suka hendak berhakim kepada Taghut, padahal mereka telah
diperintahkan supaya kufur ingkar kepada Taghut itu. Dan
Syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan
kesesatan yang amat jauh.

61@ Dan apabila dikatakan kepada mereka, “ Marilah berhakim
kepada hukum Al Quran yang telah diturunkan oleh Allah dan
kepada hukum Rasulullah,” nescaya engkau melihat orang-orang
munafik itu berpaling serta menghalang (manusia) dengan
bersungguh-sungguh daripada menghampirimu.

62@ Maka bagaimana halnya apabila mereka ditimpa sesuatu
kemalangan disebabkan (kesalahan) yang telah dibuat oleh
tangan mereka sendiri, kemudian mereka datang kepadamu sambil
bersumpah, “ Demi Allah, kami tidak sekali-kali menghendaki
melainkan kebaikan dan perdamaian (bagi kedua pihak yang
berbalah).”

63@ Mereka itulah orang-orang yang diketahui oleh Allah akan
apa yang ada dalam hati mereka, oleh itu berpalinglah engkau
daripada mereka, dan nasihatilah mereka, serta katakanlah
kepada mereka kata-kata yang boleh memberi kesan pada hati
mereka.

64@ Dan Kami tidak mengutus seseorang Rasul pun melainkan
supaya ia ditaati dengan izin Allah. Dan kalaulah mereka
ketika menganiaya diri mereka sendiri datang kepadamu (wahai
Muhammad) lalu memohon ampun kepada Allah, dan Rasulullah juga
memohon ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah
Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.

65@ Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad) ! Mereka tidak
disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim
dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka,
kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu
keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka
menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.

66@ Dan sesungguhnya kalau Kami wajibkan kepada mereka (dengan
perintah), “ Bunuhlah diri kamu sendiri, atau keluarlah dari
tempat kediaman kamu”, nescaya mereka tidak akan melakukannya,
kecuali sedikit di antara mereka. Dan sesungguhnya kalau
mereka amalkan nasihat pengajaran (meliputi suruh dan tegah)
yang telah diberikan kepada mereka, tentulah yang demikian itu
lebih baik bagi mereka dan lebih meneguhkan (iman mereka).

67@ Dan (setelah mereka berkeadaan demikian), tentulah Kami
akan berikan kepada mereka (dari sisi Kami) pahala balasan
yang amat besar,

68@ Dan tentulah Kami pimpin mereka ke jalan yang lurus.

69@ Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka
mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang
yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu
Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang
Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya
mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat).

70@ Yang demikian itu adalah limpah kurnia dari Allah, dan
cukuplah Allah Yang Maha Mengetahui (akan balasan pahalanya).

71@ Wahai orang-orang yang beriman, bersedialah dan berjaga-
jagalah (sebelum kamu menghadapi musuh), kemudian (bila
dikehendaki) maralah (ke medan perang) sepuak demi sepuak,
atau (jika perlu) maralah serentak beramai-ramai.

72@ Dan sesungguhnya ada di antara kamu, orang-orang yang
sengaja memberat-beratkan dirinya (juga orang lain, daripada
turut mara ke medan perang). Kemudian kalau kamu ditimpa
kemalangan (tercedera atau terbunuh) ia berkata,
“ Sesungguhnya Allah telah mengurniakan nikmat kepadaku,
kerana aku tidak turut berperang bersama-sama mereka.”

73@ Dan demi sesungguhnya kalau kamu beroleh limpah kurnia
(kemenangan) dari Allah, sudah tentu ia mengatakan (dengan
sesalnya), seolah-olah tidak ada hubungan kasih mesra antara
kamu dengannya, “ Alangkah baiknya kalau aku turut serta
bersama-sama mereka, supaya aku juga beroleh kemenangan yang
amat besar ?”

74@ Oleh itu, orang-orang (yang beriman) yang mengutamakan
kebahagiaan akhirat daripada (kesenangan) kehidupan dunia,
hendaklah mereka berperang pada jalan Allah (untuk membela
Islam). Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu ia
mati (gugur Syahid) atau beroleh kemenangan, maka Kami akan
memberi kepadanya pahala yang besar.

75@ Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu
berperang pada jalan Allah (untuk menegakkan ugama Islam) dan
(untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas dari kaum
lelaki, perempuan dan kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu
(berdoa dengan) berkata, “ Wahai Tuhan kami ! Keluarkanlah
kami dari negeri (Makkah) ini, yang penduduknya (kaum kafir
musyrik) yang zalim, dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu
seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan ugama kami), dan
jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang
membela kami (dari ancaman musuh).”

76@ Orang-orang yang beriman, berperang pada jalan Allah, dan
orang-orang yang kafir pula berperang pada jalan Taghut
(Syaitan). Oleh sebab itu, perangilah kamu akan pengikut-
pengikut Syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya Syaitan
itu adalah lemah.

77@ Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad), akan
orang-orang yang (pernah) dikatakan kepada mereka, “ Tahanlah
tangan kamu (daripada bertindak melancarkan perang yang belum
diizinkan), dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat.”
(Mereka meminta juga hendak berperang), kemudian apabila
mereka diperintahkan berperang, tiba-tiba sepuak di antara
mereka merasa gerun kepada manusia sama seperti mereka merasa
gerun kepada (azab) Allah atau lebih gerun lagi. Lalu mereka
(merayu kepada Allah dengan) berkata, “ Wahai Tuhan kami,
mengapa Engkau wajibkan kami berperang (pada saat ini) ?
Mengapa Engkau tidak biarkan kami hingga ke tempoh yang
singkat (iaitu akhir hayat kami) ?” Katakanlah (wahai
Muhammad), “ Harta benda yang menjadi kesenangan di dunia ini
adalah sedikit sahaja, (dan akhirnya akan lenyap), dan
(balasan) hari akhirat itu lebih baik lagi bagi orang-orang
yang bertaqwa (kerana ia lebih mewah dan kekal selama-
lamanya), dan kamu pula tidak akan dianiaya sedikit pun."

78@ Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila
sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang
tinggi lagi kukuh. Dan kalau mereka beroleh kebaikan
(kemewahan hidup), mereka berkata, “ Ini adalah dari sisi
Allah”, dan kalau pula mereka ditimpa bencana, mereka berkata,
” Ini adalah dari (sesuatu nahas) yang ada padamu.” Katakanlah
(wahai Muhammad), “ Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah
(berpunca) dari sisi Allah.” Maka apakah yang menyebabkan kaum
itu hampir-hampir tidak memahami perkataan (nasihat dan
pengajaran) ?

79@ Apa jua kebaikan (nikmat kesenangan) yang engkau dapati
maka ia adalah dari Allah, dan apa jua bencana yang menimpamu
maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri. Dan Kami telah
mengutus engkau (wahai Muhammad) kepada seluruh umat manusia
sebagai seorang Rasul (yang membawa rahmat). Dan cukuplah
Allah menjadi saksi (yang membuktikan kebenaran hakikat ini).

80@ Sesiapa yang taat kepada Rasulullah, maka sesungguhnya ia
telah taat kepada Allah, dan sesiapa yang berpaling ingkar,
maka (janganlah engkau berdukacita wahai Muhammad), kerana
Kami tidak mengutusmu untuk menjadi pengawal (yang memelihara
mereka dari melakukan kesalahan).

81@ Dan mereka (golongan munafik) berkata, “ (Kami) taat”,
kemudian apabila mereka keluar dari majlismu, segolongan dari
mereka memutuskan pada malam hari satu rancangan yang lain
daripada (pengakuan taat) yang mereka katakan (kepadamu).
Sedang Allah (perintahkan malaikat) menulis apa yang mereka
rancangkan itu, maka berpalinglah (wahai Muhammad) daripada
mereka, (janganlah dihiraukan apa yang mereka rancangkan),
serta berserahlah kepada Allah, kerana cukuplah Allah menjadi
Pembela (yang memeliharamu dari angkara mereka).

82@ Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan
isi Al Quran ? Kalaulah Al Quran itu (datangnya) bukan dari
sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang
banyak di dalamnya.

83@ Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai
keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya, padahal
kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan
kepada “ Ulil Amri” (orang-orang yang berkuasa) di antara
mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang
layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka, dan
jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya
kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut Syaitan kecuali
sedikit sahaja (iaitu orang-orang yang teguh imannya dan luas
ilmunya di antara kamu).

84@ Oleh itu, berperanglah (wahai Muhammad) pada jalan Allah
(untuk membela Islam dari pencerobohan musuh), engkau tidak
diberati selain daripada kewajipanmu sendiri. Dan berilah
peransang kepada orang-orang yang beriman (supaya turut
berjuang dengan gagah berani). Mudah-mudahan Allah menahan
bahaya serangan orang-orang yang kafir itu. Dan (ingatlah)
Allah Amatlah besar kekuatanNya dan Amatlah berat azab
seksaNya.

85@ Sesiapa yang memberikan syafaat yang baik nescaya ia akan
memperoleh bahagian (pahala) daripadanya, dan sesiapa yang
memberikan syafaat yang buruk, nescaya ia akan mendapat
bahagian (dosa) daripadanya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa
atas tiap-tiap sesuatu.

86@ Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu
ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah
penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau
balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah
sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu.

87@ Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia.
Sesungguhnya Ia akan menghimpunkan kamu pada hari kiamat,
(hari) yang tidak ada syak padanya. Dan siapakah pula yang
lebih benar perkataannya daripada Allah ?

88@ Maka apakah yang menyebabkan kamu (berpecah) menjadi dua
golongan terhadap kaum munafik itu, padahal Allah telah
menjerumuskan mereka (ke dalam kekufuran) disebabkan apa yang
telah mereka usahakan ? Adakah kamu pula hendak memberi
pertunjuk kepada orang-orang yang telah disesatkan oleh
Allah ? Padahal sesiapa yang telah disesatkan oleh Allah, maka
engkau tidak sekali-kali akan mendapat jalan untuk
menyelamatkannya.

89@ Mereka suka kalau kamu pula menjadi kafir sebagaimana
mereka telah menjadi kafir, maka (dengan yang demikian)
menjadilah kamu sama seperti mereka. Oleh itu janganlah kamu
mengambil (seorang pun) di antara mereka menjadi teman rapat
kamu, sehingga mereka berhijrah pada jalan Allah (untuk
menegakkan Islam). Kemudian kalau mereka sengaja berpaling
ingkar, maka tawanlah mereka dan bunuhlah mereka di mana
sahaja kamu menemuinya, dan jangan sekali-kali kamu mengambil
(seorang pun) di antara mereka menjadi teman rapat atau
penolong,

90@ Kecuali orang-orang yang pergi (meminta perlindungan)
kepada suatu kaum yang ada ikatan perjanjian setia antara kamu
dengan mereka, atau orang-orang yang datang kepada kamu sedang
hati mereka merasa berat hendak memerangi kamu atau memerangi
kaumnya. Dan jika Allah menghendaki, nescaya Ia menjadikan
mereka berkuasa melawan kamu, kemudian tentulah mereka
memerangi kamu. Dalam pada itu, jika mereka membiarkan kamu
(dengan tidak mengancam atau mengganggu), serta mereka tidak
memerangi kamu dan mereka menawarkan perdamaian kepada kamu,
maka Allah tidak menjadikan bagi kamu sesuatu jalan (yang
membolehkan kamu memerangi atau menawan) mereka.

91@ Kamu juga akan dapati golongan-golongan yang lain (yang
pura-pura Islam) supaya mereka beroleh aman dari pihak kamu,
dan (sebaliknya mereka melahirkan kekufurannya) supaya mereka
beroleh aman dari pihak kaumnya (yang masih kafir). Tiap-tiap
kali mereka diajak kepada fitnah (pencerobohan), mereka segera
terjerumus ke dalamnya. Oleh itu, jika mereka tidak membiarkan
kamu (dan terus mengganggu atau berpihak kepada musuh), dan
(tidak pula) menawarkan perdamaian kepada kamu dan juga
(tidak) menahan tangan mereka (daripada memerangi kamu), maka
hendaklah kamu bertindak menawan mereka dan membunuh mereka
di mana sahaja kamu menemuinya, kerana merekalah orang-orang
yang Kami jadikan bagi kamu alasan yang terang nyata untuk
bertindak terhadapnya.

92@ Dan tidak harus sama sekali bagi seseorang mukmin membunuh
seorang mukmin yang lain, kecuali dengan tidak sengaja. Dan
sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan tidak sengaja,
maka (wajiblah ia membayar kaffarah) dengan memerdekakan
seorang hamba yang beriman serta membayar “ diah” (denda ganti
nyawa) yang diserahkan kepada ahlinya (keluarga si mati),
kecuali jika mereka sedekahkan (memaafkannya). Tetapi jika ia
(yang terbunuh dengan tidak sengaja) dari kaum (kafir) yang
memusuhi kamu, sedang ia sendiri beriman, maka (wajiblah
si pembunuh membayar kaffarah sahaja dengan) memerdekakan
seorang hamba yang beriman. Dan jika ia (orang yang terbunuh
dengan tidak sengaja itu) dari kaum (kafir) yang ada ikatan
perjanjian setia di antara kamu dengan mereka, maka wajiblah
membayar “ diah” (denda ganti nyawa) kepada keluarganya serta
memerdekakan seorang hamba yang beriman. Dalam pada itu,
sesiapa yang tidak dapat (mencari hamba yang akan
dimerdekakannya), maka hendaklah ia berpuasa dua bulan
berturut-turut, (hukum yang tersebut) datangnya dari Allah
untuk menerima taubat (membersihkan diri kamu). Dan (ingatlah)
Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

93@ Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja,
maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal ia di dalamnya,
dan Allah murka kepadanya, dan melaknatkannya serta
menyediakan baginya azab seksa yang besar.

94@ Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu pergi
(berperang) pada jalan Allah (untuk membela Islam), maka
hendaklah kamu menyelidik (apa jua perkara dengan sebaik-
baiknya), dan janganlah kamu (terburu-buru) mengatakan kepada
orang yang menunjukkan kepada kamu sikap damai (dengan memberi
salam atau mengucap dua Kalimah Syahadat), “ Engkau bukan
orang yang beriman.” (lalu kamu membunuhnya) dengan tujuan
hendak (mendapat harta bendanya yang merupakan) harta benda
kehidupan dunia (yang tidak kekal). (Janganlah kamu gelap mata
kepada daki dunia itu) kerana di sisi Allah ada disediakan
limpah kurnia yang banyak. Demikianlah juga keadaan kamu
dahulu (dapat diketahui oleh orang lain akan keIslaman kamu
dengan memberi salam atau mengucap kalimah Syahadat), lalu
Allah mengurniakan nikmatNya kepada kamu. Oleh itu selidikilah
(apa-apa jua lebih dahulu, dan janganlah bertindak dengan
terburu-buru). Sesungguhnya Allah sentiasa memerhati dengan
mendalam akan segala yang kamu lakukan.

95@ Tidaklah sama keadaan orang-orang yang duduk (tidak turut
berperang) dari kalangan orang-orang yang beriman (selain
daripada orang-orang yang ada keuzuran) dengan orang-orang
yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah (untuk membela
Islam) dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang
yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-
orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang kerana uzur)
dengan kelebihan satu darjat. Dan tiap-tiap satu (dari dua
golongan itu) Allah menjanjikan dengan balasan yang baik
(Syurga), dan Allah melebihkan orang-orang yang berjuang atas
orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang dan
tidak ada sesuatu uzur) dengan pahala yang amat besar,

96@ Iaitu beberapa darjat kelebihan daripadaNya, dan keampunan
serta rahmat belas kasihan. Dan (ingatlah) adalah Allah Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

97@ Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh
malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana
enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh
kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan
berkata, “ Apakah yang kamu telah lakukan mengenai ugama
kamu ?” Mereka menjawab, “ Kami dahulu adalah orang-orang yang
tertindas di bumi.” Malaikat bertanya lagi, “ Tidakkah bumi
Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas
padanya ?” Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya,
tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam
itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.

98@ Kecuali orang-orang yang lemah (lagi uzur) dari kaum
lelaki dan perempuan serta kanak-kanak, yang tidak berdaya
upaya mencari helah (untuk melepaskan diri) dan tidak pula
mengetahui sesuatu jalan (untuk berhijrah).

99@ Maka mereka (yang demikian sifatnya), mudah-mudahan Allah
maafkan mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Pemaaf, lagi Maha
Pengampun.

100@ Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk
membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka
bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur,
dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah
kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam
perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya
di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani.



101@ Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah
berdosa “ mengqasarkan” (memendekkan) sembahyang jika kamu
takut diserang oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-
orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu.

102@ Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan
mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang
dengan (menjadi imam) mereka, maka hendaklah sepuak dari
mereka berdiri (mengerjakan sembahyang) bersama-samamu, dan
hendaklah mereka menyandang senjata masing-masing, kemudian
apabila mereka telah sujud, maka hendaklah mereka berundur
ke belakang (untuk menjaga serbuan musuh), dan hendaklah
datang pula puak yang lain (yang kedua) yang belum sembahyang
(kerana menjaga serbuan musuh), maka hendaklah mereka
bersembahyang (berjamaah) bersama-samamu, dan hendaklah mereka
mengambil langkah berjaga-jaga serta menyandang senjata
masing-masing. Orang-orang kafir memang suka kalau kamu cuai
lalai akan senjata dan harta benda kamu, supaya dengan jalan
itu mereka dapat menyerbu kamu beramai-ramai dengan serentak.
Dan tidaklah kamu berdosa meletakkan senjata masing-masing,
jika kamu dihalangi sesuatu yang menyusahkan disebabkan hujan
atau kamu sakit. Dan hendaklah kamu mengambil langkah berjaga-
jaga. Sesungguhnya Allah telah menyediakan bagi orang-orang
kafir itu azab seksa yang amat menghina.

103@ Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan
sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah
semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring.
Kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada dalam
keadaan aman) maka dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna
sebagaimana biasa). Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu
ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang
tertentu waktunya.

104@ Dan janganlah kamu lemah (hilang semangat) dalam memburu
musuh (yang menceroboh) itu, kerana kalau kamu menderita sakit
(luka atau mati) maka sesungguhnya mereka pun menderita
sakitnya seperti penderitaan kamu, sedang kamu mengharapkan
dari Allah apa yang mereka tidak harapkan (iaitu balasan yang
baik pada hari akhirat kelak). Dan (ingatlah) Allah Maha
Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

105@ Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad)
Kitab (Al Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau
menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah
tunjukkan kepadamu (melalui wahyuNya), dan janganlah engkau
menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat.

106@ Dan hendaklah engkau memohon ampun kepada Allah, kerana
sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani.

107@ Dan janganlah engkau berbahas untuk membela orang-orang
yang mengkhianati diri mereka sendiri. Sesungguhnya Allah
tidak suka kepada orang-orang yang selalu melakukan khianat,
lagi sentiasa berdosa.

108@ Mereka menyembunyikan (kejahatan mereka) daripada
manusia, dalam pada itu mereka tidak menyembunyikan (kejahatan
mereka) daripada Allah. Padahal Allah ada bersama-sama mereka,
ketika mereka merancangkan pada malam hari, kata-kata yang
tidak diredhai oleh Allah. Dan (ingatlah) Allah sentiasa
Meliputi PengetahuanNya akan apa yang mereka lakukan.

109@ Sedarlah ! Kamu ini adalah orang-orang (yang telah
menyimpang dari kebenaran), kamu telah berhujah membela mereka
(yang bersalah) dalam kehidupan dunia ini, maka siapakah yang
akan berhujah kepada Allah untuk membela mereka itu pada hari
kiamat kelak ? Atau siapakah yang akan menjadi pelindung
mereka (dari azab seksa yang disediakan oleh Allah) ?

110@ Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya
dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian ia memohon
ampun kepada Allah, nescaya ia akan mendapati Allah Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

111@ Dan sesiapa yang mengerjakan sesuatu dosa maka
sesungguhnya ia hanya mengerjakannya untuk (menjadi bala
bencana yang) menimpa dirinya sendiri. Dan (ingatlah) Allah
Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

112@ Dan sesiapa yang melakukan suatu kesalahan atau suatu
dosa, kemudian ia menuduhnya kepada orang yang tidak bersalah,
maka sesungguhnya ia telah memikul kesalahan berbuat dusta,
dan melakukan dosa yang amat nyata.

113@ Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan
rahmatNya kepadamu (wahai Muhammad), nescaya berhasillah cita-
cita segolongan dari mereka yang bertujuan hendak
menyesatkanmu, padahal mereka tidak akan menyesatkan melainkan
dirinya sendiri, dan juga mereka tidak akan dapat mendatangkan
mudarat kepadamu sedikitpun, dan (selain itu) Allah telah
menurunkan kepadamu Kitab (Al Quran) serta Hikmah (pengetahuan
yang mendalam), dan telah mengajarkanmu apa yang engkau tidak
mengetahuinya. Dan adalah kurnia Allah yang dilimpahkanNya
kepadamu amatlah besar.

114@ Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka,
kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau
berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia. Dan
sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan
Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat
besar.

115@ Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah
terang nyata kepadanya kebenaran pertunjuk (yang dibawanya),
dan ia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang
yang beriman, Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan
(kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak)
Kami akan memasukkannya ke dalam neraka jahanam, dan neraka
jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.

116@ Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang
yang mempersekutukanNya dengan sesuatu (apa jua), dan akan
mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi
sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan hukum-
hukumNya), dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan
sesuatu (apa jua), maka sesungguhnya ia telah sesat dengan
kesesatan yang amat jauh.

117@ Apa yang mereka sembah yang lain dari Allah itu, hanyalah
berhala-berhala (makhluk-makhluk yang lemah), dan mereka
(dengan yang demikian) tidak menyembah melainkan Syaitan yang
derhaka,

118@ Yang telah dilaknat oleh Allah, dan yang telah
mengatakan, “ Demi sesungguhnya, aku akan mengambil dari
kalangan hamba-hambaMu, bahagian yang tertentu (untuk menjadi
pengikutku),

119@ “ Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka
(dari kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan
mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku
akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak),
lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu, dan aku
akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah.” Dan (ingatlah)
sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati
selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan
kerugian yang terang nyata.

120@ Syaitan sentiasa menjanjikan mereka (dengan janji-janji
indah) serta memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong,
dan apa yang dijanjikan oleh Syaitan itu tidak lain hanyalah
tipu daya semata-mata.

121@ Mereka itu, tempat akhirnya ialah neraka jahanam, dan
mereka pula tidak akan dapat melarikan diri daripadanya.

122@ Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, Kami
akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya
beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya,
sebagai janji Allah yang benar. Dan siapakah yang lebih benar
perkataannya daripada Allah ?

123@ (Balasan yang baik yang dijanjikan oleh Allah itu) tidak
akan didapati hanya dengan angan-angan kamu semata-mata, dan
tidak pula dengan angan-angan ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani).
Sesiapa yang melakukan kejahatan, ia akan dibalas dengan
kejahatan itu, dan ia pula tidak akan mendapat (selain dari
Allah) seorang pun yang akan melindunginya, dan tidak ada juga
yang dapat menolongnya.

124@ Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau
perempuan, sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk
Syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan
balasannya) sedikitpun.

125@ Dan tidak ada yang lebih baik ugamanya daripada orang
yang menyerahkan dirinya kepada Allah (dengan ikhlas), sedang
ia berusaha mengerjakan kebaikan, dan ia pula mengikut ugama
Nabi Ibrahim yang lurus (yang tetap di atas dasar tauhid), dan
(kerana itulah) Allah menjadikan Nabi Ibrahim kesayanganNya.

126@ Dan bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang
ada di bumi, dan Allah sentiasa Meliputi (pengetahuanNya dan
kekuasaanNya) akan tiap-tiap sesuatu.

127@ Dan mereka meminta fatwa kepadamu (wahai Muhammad),
mengenai (hak dan kewajipan) kaum perempuan. Katakanlah
olehmu, “ Allah akan memberi keterangan (fatwa) kepada kamu
mengenai mereka dan juga (ada difatwakan dalam) apa yang
selalu dibacakan kepada kamu dalam Kitab (Al Quran) ini
mengenai perempuan-perempuan yatim yang kamu tidak memberi
kepadanya apa yang telah ditetapkan menjadi hak mereka, dan
yang kamu suka berkahwin dengan mereka, dan juga mengenai
anak-anak yang lemah (yang masih kecil lagi). Dan (kamu juga
diwajibkan) supaya menguruskan (hak dan keperluan) anak-anak
yatim dengan adil. Dan (ingatlah) apa jua kebaikan yang kamu
lakukan (kepada mereka), maka sesungguhnya Allah sentiasa
Mengetahuinya.”

128@ Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul dari
suaminya “ nusyuz” (kebencian), atau tidak melayaninya, maka
tiadalah salah bagi mereka (suami isteri) membuat perdamaian
di antara mereka berdua (secara yang sebaik-baiknya), kerana
perdamaian itu lebih baik (bagi mereka daripada bercerai-
berai), sedang sifat bakhil kedekut (tidak suka memberi atau
bertolak ansur) itu memang tabiat semula jadi yang ada pada
manusia. Dan jika kamu berlaku baik (dalam pergaulan), dan
mencegah diri (daripada melakukan kezaliman), maka
sesungguhnya Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan apa yang
kamu lakukan.

129@ Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-
isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak
melakukannya), oleh itu janganlah kamu cenderung dengan
melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi)
sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang
tergantung (di awan-awan), dan jika kamu memperbaiki (keadaan
yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan
yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani.

130@ Dan jika keduanya bercerai, maka Allah akan cukupkan
(keperluan) masing-masing dari limpah kurniaNya. Dan
(ingatlah) Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Maha
Bijaksana.

131@ Dan bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang
ada di bumi, dan demi sesungguhnya, Kami telah perintahkan
orang-orang yang diberi Kitab dahulu daripada kamu, dan juga
(perintahkan) kamu, iaitu hendaklah bertaqwa kepada Allah, dan
jika kamu kufur ingkar, maka (ketahuilah) sesungguhnya Allah
jualah yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada
di bumi, dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kaya, lagi Maha
Terpuji.

132@ Dan bagi Allah jualah apa yang ada di langit dan yang ada
di bumi, dan cukuplah Allah sebagai Pengawal (yang
mentadbirkan dan menguasai segala-galanya).

133@ Jika Allah menghendaki, nescaya Ia musnahkan kamu wahai
umat manusia dan Ia datangkan gantinya dengan umat-umat yang
lain. Dan adalah Allah Maha Kuasa melakukan yang demikian itu.

134@ Sesiapa yang mahukan pahala (balasan) dunia sahaja (maka
rugilah ia), kerana di sisi Allah disediakan pahala (balasan)
dunia dan akhirat. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar,
lagi sentiasa Melihat.

135@ Wahai orang-orang yang beriman ! Hendaklah kamu menjadi
orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi
saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun
terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat
kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka
janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang
memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa),
kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu,
janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak
menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan
keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka
sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan
apa yang kamu lakukan.

136@ Wahai orang-orang yang beriman ! Tetapkanlah iman kamu
kepada Allah dan RasulNya, dan kepada Kitab Al Quran yang
telah diturunkan kepada RasulNya (Muhammad, s.a.w), dan juga
kepada Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripada
itu. Dan sesiapa yang kufur ingkar kepada Allah, dan Malaikat-
malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya dan juga
Hari Akhirat, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan
kesesatan yang amat jauh.

137@ Sesungguhnya orang-orang yang beriman, kemudian mereka
kafir, kemudian mereka beriman semula, kemudian mereka kafir
sekali lagi, kemudian mereka bertambah-tambah lagi dengan
kekufuran, Allah tidak sekali-kali akan memberi ampun kepada
mereka, dan tidak akan memberi pertunjuk hidayah kepada mereka
ke jalan yang benar.

138@ Sampaikanlah khabar berita kepada orang-orang munafik,
bahawa sesungguhnya disediakan untuk mereka azab seksa yang
tidak terperi sakitnya,

139@ (Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir
menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang
beriman. Tidaklah patut mereka (orang-orang munafik) mencari
kekuatan dan kemuliaan di sisi orang-orang kafir itu, kerana
sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan itu semuanya ialah milik
Allah, (diberikannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya).

140@ Dan sesungguhnya Allah telahpun menurunkan kepada kamu
(perintahNya) di dalam Kitab (Al Quran), iaitu, apabila kamu
mendengar ayat-ayat keterangan Allah diingkari dan diejek-ejek
(oleh kaum kafir dan munafik), maka janganlah kamu duduk
(bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada
memperkatakan soal yang lain, kerana sesungguhnya (jika kamu
melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka.
Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan sekalian orang munafik
dan orang kafir di dalam neraka jahannam.

141@ (Mereka yang munafik itu ialah) orang-orang yang sentiasa
menunggu-nunggu (berlakunya sesuatu) kepada kamu, maka kalau
kamu mendapat kemenangan dari Allah (dalam sesuatu
peperangan), berkatalah mereka (kepada kamu), “ Bukankah kami
turut berjuang bersama-sama kamu ? (Oleh itu kami juga berhak
menerima bahagian dari harta rampasan perang).” Dan jika
orang-orang kafir pula mendapat bahagian (yang menguntungkan
dalam peperangan), berkatalah mereka (kepada orang-orang kafir
itu), “ Bukankah kami turut membantu kamu dan mempertahankan
kamu dari (serang balas) orang-orang yang beriman (dengan
mendedahkan rahsia perpaduannya) ?” Maka Allah akan menghakimi
di antara kamu semua pada hari kiamat, dan Allah tidak sekali-
kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk
membinasakan orang-orang yang beriman.

142@ Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya
(terhadap ugama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman
sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap
membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam
keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak
sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya
bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia
(supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka
pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang)
melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).

143@ Mereka berkeadaan “ muzabzab” (tidak mempunyai pendirian
yang tetap) antara (iman dan kufur) itu, mereka tidak berpihak
terus kepada golongan (kafir) dan tidak pula berpihak kepada
golongan (yang beriman). Dan sesiapa yang disesatkan oleh
Allah, maka engkau (wahai Muhammad) tidak sekali-kali akan
mendapat jalan untuk menyelamatkannya.

144@ Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil
orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan
orang-orang yang beriman. Adakah kamu hendak mengadakan alasan
yang terang nyata bagi Allah untuk (menyeksa) kamu ?

145@ Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada
tingkatan yang terkebawah sekali dari (lapisan-lapisan dalam)
neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun
yang boleh menolong mereka.

146@ Kecuali orang-orang yang bertaubat (dari perbuatan
munafik itu) dan memperbaiki amalan mereka (yang salah), dan
mereka pula berpegang teguh kepada (ugama) Allah, serta
mengerjakan ugama mereka dengan ikhlas kerana Allah, maka
mereka yang demikian itu ditempatkan bersama-sama orang-orang
yang beriman (di dalam Syurga), dan Allah akan memberikan
orang-orang yang beriman itu pahala yang amat besar.

147@ Apa gunanya Allah menyeksa kamu sekiranya kamu bersyukur
(akan nikmatNya) serta kamu beriman (kepadaNya) ? Dan
(ingatlah) Allah sentiasa Membalas dengan sebaik-baiknya (akan
orang-orang yang bersyukur kepadaNya), lagi Maha Mengetahui
(akan hal keadaan mereka).

148@ Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang
dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan
orang), kecuali oleh orang yang dianiayakan. Dan (ingatlah)
Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

149@ Jika kamu melahirkan sesuatu kebaikan, atau
menyembunyikannya, atau kamu memaafkan kesalahan (yang
dilakukan terhadap kamu), maka sesungguhnya Allah adalah Maha
Pemaaf lagi Maha Kuasa.

150@ Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada Allah
dan Rasul-rasulNya, dan (orang-orang yang) hendak membeza-
bezakan iman mereka di antara Allah dan Rasul-rasulNya, dan
(orang-orang yang) berkata, “ Kami beriman kepada setengah
Rasul-rasul itu dan kufur ingkar kepada setengahnya yang
lain”, serta bertujuan hendak mengambil jalan lain antara iman
dan kufur itu,



151@ Mereka itulah orang-orang yang kafir dengan sebenar-
benarnya. Dan Kami telah menyediakan bagi orang-orang kafir
itu azab seksa yang menghina.

152@ Dan orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-
rasulNya dan mereka pula tidak membeza-bezakan (imannya
terhadap) seseorang pun di antara Rasul-rasul itu, (maka)
mereka yang demikian, Allah akan memberi mereka pahala mereka.
Dan (ingatlah) adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani.

153@ Ahli Kitab (kaum Yahudi) meminta kepadamu (wahai
Muhammad) supaya engkau menurunkan kepada mereka sebuah Kitab
dari langit. (Janganlah engkau merasa pelik), kerana
sesungguhnya mereka telah meminta kepada Nabi Musa lebih besar
dari itu. Mereka berkata, “ (Wahai Musa) perlihatkanlah Allah
kepada kami dengan nyata (supaya kami dapat melihatNya dan
percaya kepadaNya).” Lalu mereka disambar oleh petir dengan
sebab kezaliman mereka (menderhaka kepada Allah), kemudian
mereka pula menyembah (patung) anak lembu sesudah datang
kepada mereka keterangan-keterangan (mukjizat), lalu Kami
maafkan mereka dari perbuatan yang sedemikian itu (ketika
mereka bertaubat). Dan Kami telah memberi kepada Nabi Musa
kekuasaan yang nyata (untuk mengalahkan kaum yang kafir itu).

154@ Dan Kami telah mengangkat “ Gunung Tursina” ke atas
mereka disebabkan (mereka ingkar akan) perjanjian setia mereka
(mematuhi hukum-hukum Taurat), dan Kami perintahkan mereka,
“ Masuklah kamu melalui pintu (negeri) itu dengan merendah
diri” dan Kami juga perintahkan mereka, “ Janganlah kamu
melanggar perintah larangan yang ditentukan pada hari Sabtu”,
dan Kami telah mengambil daripada mereka perjanjian setia yang
teguh (yang mewajibkan mereka mengerjakan suruhan Allah dan
meninggalkan laranganNya).

155@ Maka (Kami laknatkan mereka) dengan sebab mereka
mencabuli perjanjian setia mereka, dan mereka kufur ingkar
akan ayat-ayat keterangan Allah, dan mereka pula membunuh
Nabi-nabi dengan tiada sesuatu alasan yang benar, dan mereka
juga mengatakan, “ Hati kami tertutup (tidak dapat menerima
ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad)”. (Sebenarnya
hati mereka tidak tertutup), bahkan Allah telah memeteraikan
hati mereka disebabkan kekufuran mereka. Oleh itu mereka tidak
beriman kecuali sedikit sahaja (di antaranya).

156@ Demikian juga (Kami laknatkan mereka) dangan sebab
kekufuran mereka dan tuduhan mereka terhadap Maryam (dengan
tuduhan yang amat dustanya.

157@ Dan juga (disebabkan) dakwaan mereka dengan mengatakan,
“ Sesungguhnya kami telah membunuh Al Masih Isa Ibni Maryam,
Rasul Allah”. Padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak
memalangnya (di kayu palang, salib), tetapi diserupakan bagi
mereka (orang yang mereka bunuh itu seperti Nabi Isa). Dan
Sesungguhnya orang-orang yang telah berselisih faham, mengenai
Nabi Isa, sebenarnya mereka berada dalam keadaan syak (ragu-
ragu) tentang menentukan (pembunuhannya). Tiada sesuatu
pengetahuan pun bagi mereka mengenainya selain daripada
mengikut sangkaan semata-mata, dan mereka tidak membunuhnya
dengan yakin.

158@ Bahkan Allah telah mengangkat Nabi Isa kepadaNya, dan
adalah Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

159@ Dan tidak ada seorang pun dari kalangan ahli Kitab
melainkan ia akan beriman kepada Nabi Isa sebelum matinya dan
pada hari kiamat kelak Nabi Isa akan menjadi saksi terhadap
mereka.

160@ Maka disebabkan kezaliman yang amat besar dari perbuatan
orang-orang Yahudi, Kami haramkan atas mereka makanan yang
baik-baik yang pernah dihalalkan bagi mereka, dan disebabkan
mereka banyak menghalang manusia dari jalan Allah.

161@ Dan juga (disebabkan) mereka mengambil riba padahal
mereka telah dilarang melakukannya, dan (disebabkan) mereka
memakan harta orang dengan jalan yang salah (tipu, judi dan
sebagainya). Dan (ingatlah) Kami telah menyediakan bagi orang-
orang yang kafir di antara mereka, azab seksa yang tidak
terperi sakitnya.

162@ Tetapi orang-orang yang teguh serta mendalam ilmu
pengetahuannya di antara mereka dan orang-orang yang beriman,
sekaliannya beriman dengan apa yang telah diturunkan kepadamu
(Al Quran), dan kepada apa yang telah diturunkan dahulu
daripadamu, khasnya orang-orang yang mendirikan sembahyang,
dan orang-orang yang menunaikan zakat, serta yang beriman
kepada Allah dan hari akhirat, mereka itulah yang Kami akan
berikan kepadanya pahala (balasan) yang amat besar.

163@ Sungguhnya Kami telah memberikan wahyu kepadamu (wahai
Muhammad), sebagaimana Kami telah memberikan wahyu kepada Nabi
Nuh, dan Nabi-nabi yang diutus kemudian daripadanya, dan Kami
juga telah memberikan wahyu kepada Nabi Ibrahim, dan Nabi
Ismail, dan Nabi Ishak, dan Nabi Yaakub, serta Nabi-nabi
keturunannya, dan Nabi Isa, dan Nabi Ayub, dan Nabi Yunus, dan
Nabi Harun, dan Nabi Sulaiman, dan juga Kami telah memberikan
kepada Nabi Daud, Kitab Zabur.

164@ Dan (Kami telah mengutuskan) beberapa orang Rasul yang
telah Kami ceritakan kepadamu dahulu sebelum ini, dan Rasul-
rasul yang tidak Kami ceritakan hal mereka kepadamu. Dan Allah
telah berkata-kata kepada Nabi Musa dengan kata-kata (secara
langsung, tidak ada perantaraan malaikat Jibril).

165@ Rasul-rasul (yang Kami telah utuskan itu semuanya)
pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan
pembawa amaran (kepada orang-orang yang kafir dan yang berbuat
maksiat), supaya tidak ada bagi manusia sesuatu hujah (atau
sebarang alasan untuk berdalih pada hari kiamat kelak)
terhadap Allah sesudah mengutuskan Rasul-rasul itu. Dan
(ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

166@ (Orang-orang kafir itu tidak mahu mengakui apa yang telah
diturunkan Allah kepadamu wahai Muhammad), tetapi Allah
sentiasa menjadi saksi akan kebenaran Al Quran yang telah
diturunkanNya kepadamu. Allah menurunkannya dengan ilmuNya,
dan malaikat juga turut menjadi saksi. Dan cukuplah Allah
menjadi saksi (akan kebenaran Al Quran ini).

167@ Sesungguhnya orang-orang yang kafir serta menghalang
orang-orang lain dari jalan Allah (ugama Islam), sebenarnya
mereka telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.

168@ Sesungguhnya orang-orang yang kafir serta berlaku zalim,
Allah tidak sekali-kali akan mengampunkan mereka dan tidak
akan menunjukkan jalan kepada mereka,

169@ Selain dari jalan neraka jahanam, yang mereka akan kekal
di dalamnya selama-lamanya, dan balasan yang demikian itu
adalah mudah bagi Allah.

170@ Wahai sekalian umat manusia ! Sesungguhnya telah datang
kepada kamu Rasul Allah (Muhammad s.a.w) dengan membawa
kebenaran dari Tuhan kamu, maka berimanlah kamu (kerana yang
demikian itu) amatlah baiknya bagi kamu. Dan jika kamu kufur
ingkar (maka kekufuran kamu itu tidak mendatangkan kerugian
apa-apa kepada Allah), kerana sesungguhnya bagi Allah jualah
segala yang ada di langit dan di bumi, dan Allah sentiasa
Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

171@ Wahai Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) ! Janganlah kamu
melampaui batas dalam perkara ugama kamu, dan janganlah kamu
mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar,
sesungguhnya Al Masih Isa ibni Maryam itu hanya seorang
pesuruh Allah dan Kalimah Allah yang telah disampaikanNya
kepada Maryam, dan (ia juga tiupan) roh daripadaNya. Maka
berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasulNya, dan janganlah
kamu mengatakan, “ (Tuhan itu) tiga.”. Berhentilah (daripada
mengatakan yang demikian), supaya menjadi kebaikan bagi kamu.
Hanyasanya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci Allah
daripada mempunyai anak. Bagi Allah jualah segala yang ada
di langit dan yang ada di bumi. Dan cukuplah menjadi Pengawal
(Yang Mentadbirkan sekalian makhlukNya).

172@ (Nabi Isa) Al Masih tidak sekali-kali enggan dan angkuh
daripada menjadi hamba bagi Allah, demikian juga (sikap)
malaikat yang sentiasa berdamping (dengan Allah). Dan sesiapa
yang enggan dan angkuh daripada beribadat (menyembah dan
memperhambakan diri) kepada Allah, serta ia berlaku sombong
takbur, maka Allah akan menghimpunkan mereka semua kepadaNya.

173@ Sesudah itu, orang-orang yang beriman beramal soleh,
Allah akan menyempurnakan bagi mereka pahala (balasan) mereka,
dan Ia akan menambahkan lagi limpah kurniaNya kepada mereka.
Sebaliknya orang-orang yang enggan beribadat kepada Allah dan
berlaku sombong takbur, maka Allah akan menyeksa mereka dengan
azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dan mereka pula tidak
akan memperoleh sesiapa pun (yang lain dari Allah) yang akan
menjadi pelindung atau penolong bagi mereka.

174@ Wahai sekalian umat manusia ! Sesungguhnya telah datang
kepada kamu, Bukti dari Tuhan kamu, dan Kami pula telah
menurunkan kepada kamu (Al Quran sebagai) Nur (cahaya) yang
menerangi (segala apa jua yang membawa kejayaan di dunia ini
dan kebahagiaan yang kekal di akhirat kelak).

175@ Oleh itu, orang-orang yang beriman kepada Allah dan
berpegang teguh kepada (ajaran Al Quran) ini, maka Allah akan
memasukkan mereka ke dalam rahmatNya (yang khas iaitu Syurga)
dan limpah kurniaNya (yang tidak terkira), dan Allah akan
menunjukkan mereka ke jalan yang lurus (jalan ugama Islam),
yang membawa kepadaNya.

176@ Mereka (orang-orang Islam umatmu) meminta fatwa kepadamu
(Wahai Muhammad mengenai masalah Kalaalah). Katakanlah,
“ Allah memberi fatwa kepada kamu di dalam perkara Kalaalah
itu, iaitu jika seseorang mati yang tidak mempunyai anak dan
ia mempunyai seorang saudara perempuan, maka bagi saudara
perempuan itu satu perdua dari harta yang ditinggalkan oleh
si mati, dan ia pula (saudara lelaki itu) mewarisi (semua
harta) saudara perempuannya, jika saudara perempuannya tidak
mempunyai anak. Kalau pula saudara perempuannya itu dua orang,
maka keduanya mendapat dua pertiga dari harta yang
di tinggalkan oleh si mati. Dan sekiranya mereka (saudara-
saudaranya itu) ramai, lelaki dan perempuan, maka bahagian
seorang lelaki menyamai bahagian dua orang perempuan”. Allah
menerangkan (hukum ini) kepada kamu supaya kamu tidak sesat.
Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

No comments:

Post a Comment