Wednesday 2 March 2016

Al Quran Indonesia. 022. Surah Al Hajj (Haji)...

Al Quran Indonesia. 022. Surah Al Hajj (Haji)...

BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

1@ Wahai umat manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu !
Sesungguhnya gempa hari kiamat itu suatu perkara yang amat
besar.

2@ Pada hari kamu melihat (peristiwa-peristiwa yang
mengerikan) itu, tiap-tiap ibu penyusu akan melupakan anak
yang disusukannya, dan tiap-tiap perempuan yang mengandung
akan gugurkan anak yang dikandungnya, dan engkau akan melihat
manusia mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi
azab Allah amatlah berat, mengerikan.

3@ Dan ada di antara manusia yang membantah perkara-perkara
yang berhubung dengan Allah dengan tidak berdasarkan sebarang
pengetahuan, dan ia menurut tiap-tiap syaitan yang telah
sebati dengan kejahatan.

4@ Yang telah ditetapkan kepada (tiap-tiap) syaitan itu,
bahawa sesiapa yang berketuakan dia, maka sesungguhnya ia akan
menyesatkannya dan memimpinnya kepada azab neraka.

5@ Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu)
tentang kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat),
maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana
sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian
dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku,
kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya
dan yang tidak disempurnakan, (Kami jadikan secara yang
demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu
(kekuasaan Kami), dan Kami pula menetapkan dalam kandungan
rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan
hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya, kemudian Kami
mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak, kemudian (kamu
dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa, dan (dalam
pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau
semasa dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan umurnya
ke peringkat tua nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui lagi
akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu. Dan (ingatlah
satu bukti lagi), Engkau melihat bumi itu kering, kemudian
apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya
(dengan tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh), dan gembur
membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis
tanaman yang indah permai.

6@ (Kedua-dua kenyataan) yang tersebut membuktikan bahawa
sesungguhnya Allah jualah Tuhan Yang Sebenar-benarnya (yang
berhak disembah), dan sesungguhnya Dialah yang menghidupkan
makhluk-makhluk yang mati, dan Dialah jua Yang Maha Kuasa atas
tiap-tiap sesuatu.

7@ Dan bahawa sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang,
tidak ada sebarang syak padanya, dan bahawa sesungguhnya Allah
akan membangkitkan (menghidupkan semula) orang-orang yang
di dalam kubur.

8@ Dan ada di antara manusia yang membantah dalam perkara-
perkara yang berhubung dengan Allah dengan tidak berdasarkan
sebarang pengetahuan, dan tidak berdasarkan sebarang
keterangan, dan tidak juga berdasarkan mana-mana Kitab Allah
yang menerangi kebenaran,

9@ Ia membantah sambil memalingkan sebelah badannya dengan
sombong angkuh sehingga menghalang dirinya dan orang lain dari
jalan ugama Allah, ia akan beroleh kehinaan di dunia, dan Kami
akan merasakannya azab yang membakar pada hari kiamat kelak,

10@ (Dengan dikatakan kepadanya), “ Azab yang demikian ini
ialah disebabkan perbuatan tanganmu sendiri, kerana
sesungguhnya Allah tidak sekali-kali berlaku zalim kepada
hamba-hambaNya.”

11@ Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah dengan
sikap dan pendirian yang tidak tetap, iaitu kalau ia beroleh
kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu, dan kalau pula
ia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah ia semula (kepada
kekufurannya). (Dengan sikapnya itu) rugilah ia akan dunia dan
akhirat, itulah kerugian yang terang nyata.

12@ Ia menyeru dan menyembah makhluk-makhluk yang lain dari
Allah, yang tidak dapat membahayakannya dan tidak dapat
mendatangkan kebaikan kepadanya, itulah kesesatan yang jauh
terpesong.

13@ Ia menyeru dan menyembah makhluk yang (dengan perbuatan
demikian) mudaratnya lebih dekat dari manfaat yang
diharapkannya, demi sesungguhnya seburuk-buruk penolong dan
seburuk-buruk sahabat karib ialah makhluk yang diseru dan
disembahnya itu.

14@ Sesungguhnya Allah akan memasukkan orang-orang yang
beriman dan beramal soleh ke dalam Syurga yang mengalir
di bawahnya beberapa sungai, sesungguhnya Allah melakukan apa
yang ditentukanNya.

15@ Sesiapa yang menyangka bahawa Allah tidak sekali-kali akan
menolong Nabi Muhammad dalam dunia ini dan di akhirat kelak,
maka hendaklah ia menghulurkan tali (serta mengikatnya)
di bumbong rumahnya, kemudian hendaklah ia menjerut lehernya
(supaya ia mati tercekek), dalam pada itu hendaklah ia
memikirkan lebih dahulu, adakah tipu dayanya itu dapat
menghapuskan sebab-sebab yang menimbulkan kemarahannya ?

16@ Dan demikianlah pula Kami menurunkan Al Quran itu sebagai
ayat-ayat keterangan yang jelas nyata, dan sesungguhnya Allah
memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya
(menurut peraturan dan undang-undangNya).

17@ Bahawasanya orang-orang yang beriman, dan orang-orang
Yahudi, dan orang-orang Saabiein, dan orang-orang Nasrani, dan
orang-orang Majusi, serta orang-orang Musyrik, sesungguhnya
Allah akan memutuskan hukumNya di antara mereka pada hari
kiamat, kerana sesungguhnya Allah sentiasa Memerhati dan
Menyaksikan tiap-tiap sesuatu.

18@ Tidakkah engkau mengetahui bahawa segala yang ada
di langit dan di bumi tunduk sujud kepada Allah dan
(di antaranya termasuklah) matahari dan bulan, dan bintang-
bintang, dan gunung-ganang, dan pokok-pokok kayu, dan
binatang-binatang, serta sebahagian besar dari manusia ? Dan
banyak pula (di antara manusia) yang berhak ditimpa azab
(disebabkan kekufurannya dan maksiatnya), dan (ingatlah)
sesiapa yang dihinakan oleh Allah maka ia tidak akan beroleh
sesiapapun yang dapat memuliakannya. Sesungguhnya Allah tetap
melakukan apa yang dirancangkanNya.

19@ Inilah dua golongan (mukmin dan kafir) yang berbantah-
bantahan tentang Tuhan mereka. Maka orang-orang yang kafir
akan disediakan untuk mereka pakaian dari api neraka, serta
dicurahkan atas kepala mereka air panas yang menggelegak,

20@ Yang dengannya dihancurkan apa yang ada dalam perut
mereka, dan juga kulit badan mereka.

21@ Dan mereka pula disediakan batang-batang besi untuk
menyeksa mereka.

22@ Tiap-tiap kali mereka hendak keluar dari neraka itu,
disebabkan mereka menderita azabnya, mereka dikembalikan
padanya, serta dikatakan, “ Rasalah kamu azab seksa yang
membakar !”

23@ Sesungguhnya Allah akan memasukkan orang-orang yang
beriman dan beramal soleh ke dalam Syurga yang mengalir
padanya beberapa sungai, mereka dihiaskan di situ dengan
gelang-gelang emas dan mutiara, dan pakaian mereka di situ
dari sutera.

24@ Dan mereka diberi petunjuk kepada mengucapkan kata-kata
yang baik, serta diberi petunjuk ke jalan Allah Yang Amat
Terpuji.

25@ Sesungguhnya (amatlah zalim) orang-orang yang kafir serta
menghalangi manusia dari jalan Allah (ugama Islam), dan dari
memasuki Masjid Al Haraam (Makkah) yang Kami jadikan dia
tempat beribadat untuk seluruh umat manusia (yang beriman)
sama ada yang tinggal menetap di situ atau yang datang
berziarah, dan sesiapa yang berazam melakukan di situ sebarang
perbuatan yang di larang dengan cara yang zalim, Kami akan
merasakannya azab yang tidak terperi sakitnya.

26@ Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami tentukan bagi Nabi
Ibrahim tempat Kaabah (untuk membinanya, lalu Kami berfirman
kepadanya), “ Janganlah engkau sekutukan sesuatu pun denganKu,
dan bersihkanlah rumahKu (Kaabah ini) bagi orang-orang yang
tawaf, dan orang-orang yang berdiri dan yang rukuk serta yang
sujud (mengerjakan sembahyang)."

27@ “ Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat
Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan
berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang
kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau)
yang jauh.

28@ Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang
mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan
menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana
pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak
(untuk dijadikan korban), dengan yang demikian makanlah kamu
dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan
kepada orang yang susah, yang fakir miskin."

29@ “ Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan
hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya, dan hendaklah
mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu.”

30@ Itulah yang wajib dipatuhi, dan sesiapa yang menghormati
hukum-hukum Allah maka yang demikian menjadi kebaikan baginya
di sisi Tuhannya. Dan dihalalkan bagi kamu binatang-binatang
ternak, kecuali yang dibacakan kepada kamu (tentang haramnya),
maka jauhilah kekotoran syirik yang disebabkan oleh
penyembahan berhala, serta jauhilah perkataan yang dusta,

31@ (Amalkanlah perkara-perkara itu) dengan tulus ikhlas
kepada Allah, serta tidak mempersekutukan sesuatu pun
denganNya, dan sesiapa yang mempersekutukan sesuatu yang lain
dengan Allah maka seolah-olah dia jatuh dari langit lalu
disambar oleh burung, atau dihumbankan oleh angin ke tempat
yang jauh (yang membinasakan).

32@ Demikianlah (ajaran Allah), dan sesiapa yang menghormati
Syiar-syiar ugama Allah maka (dialah orang yang bertaqwa)
kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat
taqwa hati orang mukmin.

33@ Kamu beroleh berbagai-bagai faedah dan kegunaan pada
binatang ternak itu hingga ke suatu masa yang tertentu (bagi
menyembelihnya), kemudian waktu menyembelihnya ketika sampai
di tanah haram Baitullah yang tua sejarahnya itu.

34@ Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat
menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut
nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya kepada
mereka, binatang-binatang ternak yang disembelih itu. Kerana
Tuhan kamu semua ialah Tuhan Yang Maha Esa, maka hendaklah
kamu tunduk taat kepadaNya, dan sampaikanlah berita gembira
(wahai Muhammad) kepada orang-orang yang tunduk taat,

35@ Iaitu orang-orang yang apabila disebut nama Allah, gerun
gementarlah hati mereka, dan orang-orang yang sabar (cekal
hati) terhadap kesusahan yang menimpa mereka, dan orang-orang
yang mendirikan sembahyang, serta orang-orang yang mendermakan
sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepadanya.

36@ Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir
miskin Makkah itu) sebahagian dari syiar ugama Allah untuk
kamu, pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi
kamu, oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya)
ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang
(serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan
berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak
meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk
kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur.

37@ Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak
sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai
kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari
kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi
kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat
petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan
yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya
baik amalnya.

38@ Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang beriman,
sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap seorang yang
khianat, lagi tidak bersyukur.

39@ Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang
diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya
mereka telah dianiaya, dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa
untuk menolong mereka (mencapai kemenangan).

40@ Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan
tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir)
semata-mata kerana mereka berkata, “ Tuhan kami ialah Allah.”
Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang
pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-
tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan
tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid
(orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak
padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang
menolong ugamaNya (ugama Islam), sesungguhnya Allah Maha Kuat,
lagi Maha Kuasa,

41@ Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka
kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan
sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat
kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara
yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan
segala urusan.

42@ Dan jika mereka (yang kafir itu) mendustakanmu (wahai
Muhammad), maka (yang demikian tidaklah pelik) kerana
sesungguhnya sebelum mereka, Kaum Nabi Nuh, dan Aad (kaum Nabi
Hud), serta Thamud (kaum Nabi Soleh) telah juga mendustakan
Rasul masing-masing,

43@ Dan (demikian juga) kaum Nabi Ibrahim dan kaum Nabi Lut,

44@ Dan juga penduduk Madyan, dan Nabi Musa juga telah
didustakan, maka Aku memberi tempoh kepada orang-orang kafir
itu, kemudian Aku menimpakan mereka dengan azab seksa. Dengan
yang demikian perhatikanlah bagaimana buruknya kesan
kemurkaanKu.

45@ Maka bukan sedikit negeri-negeri yang Kami binasakan
dengan sebab kezaliman penduduknya, lalu runtuh ranaplah
bangunan-bangunannya, dan bukan sedikit pula telaga yang telah
terbiar, dan istana yang tersergam (telah kosong,
ditinggalkan).

46@ Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka
bumi supaya (dengan melihat kesan-kesan yang tersebut) mereka
menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat
memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat
mendengar ? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga
berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala
yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada
di dalam dada.

47@ Dan mereka meminta kepadamu (wahai Muhammad) menyegerakan
kedatangan azab, padahal Allah tidak sekali-kali akan
memungkiri janjiNya, dan (katakanlah kepada mereka),
sesungguhnya satu hari dari hari-hari azab di sisi Tuhanmu
adalah menyamai seribu tahun dari yang kamu hitung.

48@ Dan bukan sedikit negeri-negeri yang Aku beri tempoh,
sedang penduduknya berlaku zalim, kemudian Aku menimpakannya
dengan azab seksa, dan (ingatlah) kepada Akulah tempat
kembali.

49@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Wahai sekalian manusia, aku
tidak lain hanyalah seorang Rasul pemberi amaran yang
menjelaskan keterangan-keterangan kepada kamu.”

50@ Maka orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan
beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia.

51@ Dan (sebaliknya) orang-orang yang berusaha menentang dan
membatalkan ayat-ayat keterangan Kami, mereka itulah ahli
neraka.

52@ Dan tidaklah Kami mengutuskan sebelummu seorang Rasul atau
seorang Nabi melainkan apabila ia bercita-cita (supaya kaumnya
beriman kepada ugama Allah yang dibawanya), maka Syaitan pun
melemparkan hasutannya mengenai usaha Rasul atau Nabi itu
mencapai cita-citanya, oleh itu, Allah segera menghapuskan apa
yang telah diganggu oleh Syaitan, kemudian Allah menetapkan
ayat-ayatNya dengan kukuhnya, dan Allah Maha Mengetahui, lagi
Maha Bijaksana.

53@ (Yang demikian) kerana Allah hendak menjadikan hasutan
Syaitan itu sebagai satu fitnah cubaan bagi orang-orang yang
ada penyakit kufur ingkar dalam hati mereka, dan yang hatinya
keras membatu, dan sesungguhnya mereka yang zalim itu sentiasa
berada dalam pertentangan yang jauh dari kebenaran.

54@ Dan juga supaya orang-orang yang beroleh ilmu mengetahui
bahawa ayat-ayat keterangan itu benar dari Tuhanmu, lalu
mereka beriman kepadanya, sehingga tunduk taatlah hati mereka
mematuhinya, dan sesungguhnya Allah sentiasa memimpin orang-
orang yang beriman ke jalan yang lurus.

55@ Dan orang-orang kafir tetap di dalam keraguan terhadap
Al Quran hingga datang kepada mereka saat kiamat secara
mengejut, atau datang kepada mereka azab hari yang tidak ada
kebaikan untuk mereka.

56@ Kuasa pemerintahan pada hari kiamat itu tertentu bagi
Allah. Ia akan menghukum di antara mereka. Maka orang-orang
yang beriman dan beramal soleh ditempatkan di dalam Syurga
yang penuh dengan segala nikmat dan kesenangan,

57@ Dan orang-orang yang kafir serta mendustakan ayat-ayat
keterangan kami, maka mereka beroleh azab seksa yang menghina.

58@ Dan orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah, kemudian
mereka terbunuh atau mati, sudah tentu Allah akan mengurniakan
kepada mereka limpah kurnia yang baik. Dan (ingatlah)
sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik pemberi limpah kurnia.

59@ Sudah tentu Allah akan memasukkan mereka (yang tersebut
itu) ke tempat yang mereka sukai (Syurga), dan sesungguhnya
Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar.

60@ Demikianlah (janji balasan Allah yang melimpah-limpah
itu). Dan sesiapa yang membalas kejahatan orang, sama seperti
yang dilakukan kepadanya, kemudian ia dianiaya lagi, demi
sesungguhnya Allah akan menolongnya. (Dalam pada itu ingatlah)
sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.

61@ (Pertolongan yang dijanjikan Allah tetap berlaku) kerana
Allah berkuasa menukar gantikan sesuatu keadaan sebagaimana
kuasaNya memasukkan malam pada siang dan memasukkan siang pada
malam (silih berganti), dan (ingatlah) sesungguhnya Allah Maha
Mendengar, lagi Maha Melihat.

62@ Bersifatnya Allah dengan kekuasaan dan luas ilmu
pengetahuan itu kerana bahawasanya Allah, Dialah sahaja Tuhan
Yang Sebenar-benarnya, dan bahawa segala yang mereka sembah
selain dari Allah itulah yang nyata palsunya. Dan (ingatlah)
sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Tinggi keadaanNya, lagi
Maha Besar (kekuasaanNya).

63@ Tidakkah engkau melihat bahawa Allah telah menurunkan
hujan dari langit, lalu menjadilah bumi ini hijau subur
(dengan sebabnya) ? Sesungguhnya Allah Maha Halus serta lemah-
lembut (urusan tadbirNya), lagi Maha Mendalam pengetahuanNya
(akan hal ehwal sekalian makhlukNya).

64@ Segala yang ada di langit dan di bumi adalah kepunyaanNya.
Dan sesungguhnya Allah, Dialah jua Yang Maha Kaya, lagi Maha
Terpuji.

65@ Tidakkah engkau melihat bahawa Allah telah memudahkan apa
yang ada di bumi untuk kegunaan kamu, dan (demikian juga)
kapal-kapal yang belayar di laut dengan perintahNya ? Dan Ia
pula menahan langit daripada runtuh menimpa bumi, kecuali
dengan izinNya, sesungguhnya Allah Amat melimpah belas
kasihanNya dan rahmatNya kepada umat manusia.

66@ Dan Dialah yang menghidupkan kamu, kemudian Ia mematikan
kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu semula. Sesungguhnya
manusia sangatlah tidak bersyukur.

67@ Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu syariat yang
tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan, maka janganlah ahli-
ahli syariat yang lain membantahmu dalam urusan syariatmu, dan
serulah (wahai Muhammad) umat manusia kepada ugama Tuhanmu,
kerana sesungguhnya engkau adalah berada di atas jalan yang
lurus.

68@ Dan jika mereka mengemukakan bantahan kepadamu, maka
katakanlah, “ Allah Amat” mengetahui akan apa yang kamu
lakukan.

69@ “ Allah akan menghukum di antara kamu semua pada hari
kiamat, mengenai apa yang kamu berselisihan padanya.”

70@ Bukankah engkau telah mengetahui bahawasanya Allah
mengetahui segala yang ada di langit dan di bumi ?
Sesungguhnya yang demikian itu ada tertulis di dalam Kitab
(Lauh Mahfuz), sesungguhnya hal itu amatlah mudah bagi Allah.

71@ Dan mereka menyembah yang lain dari Allah iaitu benda-
benda yang Allah tidak menurunkan sebarang keterangan
membenarkannya, dan yang mereka tidak mempunyai sebarang
pengetahuan mengenainya dan (ingatlah) tiadalah bagi orang-
orang yang zalim (dengan perbuatan syirik) itu sesiapapun yang
dapat memberikan pertolongan (di dunia dan di akhirat).

72@ Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang
jelas nyata, engkau akan dapat melihat pada muka orang-orang
yang kafir itu tanda marah dan benci, hampir-hampir mereka
hendak menerkam dan menyerang orang-orang yang membacakan
ayat-ayat Kami kepada mereka. Katakanlah (wahai Muhammad),
“ Jika demikian, mahukah, aku khabarkan kepada kamu, yang
lebih buruk lagi daripada apa yang telah menyebabkan kemarahan
kamu itu ? Ialah neraka yang telah dijanjikan oleh Allah
kepada orang-orang yang kafir, dan itulah seburuk-buruk tempat
kembali !”

73@ Wahai umat manusia, inilah diberikan satu misal
perbandingan, maka dengarlah mengenainya dengan bersungguh-
sungguh. Sebenarnya mereka yang kamu seru dan sembah, yang
lain dari Allah itu, tidak sekali-kali akan dapat mencipta
seekor lalat walaupun mereka berhimpun beramai-ramai untuk
membuatnya, dan jika lalat itu mengambil sesuatu dari mereka,
mereka tidak dapat mengambilnya balik daripadanya. (Kedua-
duanya lemah belaka), lemah yang meminta (dari mendapat
hajatnya), dan lemah yang diminta (daripada menunaikannya).

74@ Mereka (yang kafir musyrik) itu tidak menghormati Allah
menurut penghormatan yang selayaknya (sebagaimana yang
ditetapkanNya), sesungguhnya Allah adalah Maha Kuat, lagi Maha
Kuasa.

75@ Allah memilih utusan-utusanNya dari malaikat dan dari
manusia, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha
Mengetahui.

76@ Ia mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang
ada di belakang mereka, dan kepada Allah jualah kembalinya
segala urusan.

77@ Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah
(mengerjakan sembahyang), dan beribadatlah kepada Tuhan kamu
(dengan mentauhidkanNya), serta kerjakanlah amal-amal
kebajikan, supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).

78@ Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang
sebenar-benarnya, Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan
suruhan ugamanya), dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung
sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara ugama, ugama
bapa kamu Ibrahim. Ia menamakan kamu, “ orang-orang Islam”
semenjak dahulu dan di dalam (Al Quran) ini, supaya Rasulullah
(Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan
kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang
memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan
yang salah). Oleh itu, dirikanlah sembahyang, dan berilah
zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah ! Dialah
Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifatNya) Dialah
sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi
pertolongan.

No comments:

Post a Comment