Wednesday 2 March 2016

Al Quran Indonesia. 027. Surah An Naml (Semut)...

Al Quran Indonesia. 027. Surah An Naml (Semut)...

BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

1@ Taa, Siin. Ini ialah ayat-ayat Al Quran, juga Kitab yang
jelas nyata (kandungannya dan kebenarannya),

2@ Menjadi hidayah petunjuk dan berita gembira bagi orang-
orang yang beriman,

3@ Iaitu mereka yang tetap mendirikan sembahyang dan memberi
zakat, sedang mereka pula percaya dengan yakin akan hari
akhirat.

4@ Sesungguhnya orang-orang yang tidak percaya kepada hari
akhirat, Kami jadikan perbuatan-perbuatan buruk mereka
kelihatan baik kepada mereka, oleh itu, tinggalah mereka
meraba-raba dalam kesesatan.

5@ Merekalah orang-orang yang akan beroleh azab seksa yang
buruk (di dunia) dan mereka pula pada hari akhirat adalah
orang-orang yang paling rugi.

6@ Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) diberikan
menyambut dan menerima Al Quran dari sisi Allah Yang Maha
Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.

7@ (Ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada
isterinya, “ Sesungguhnya aku ada melihat api, aku akan
bawakan berita dari situ kepada kamu, atau aku akan bawakan
colok api daripadanya, supaya kamu dapat memanaskan diri."

8@ Maka apabila ia sampai ke tempat api itu, (kedengaran) ia
diseru, “ Berkat yang melimpah-limpah kepada orang yang berada
dekat api ini dan sesiapa yang ada (di daerah) sekelilingnya,
dan Maha Sucilah Allah Tuhan sekalian alam."

9@ “ Wahai Musa, sesungguhnya Akulah Allah Yang Maha Kuasa,
lagi Maha Bijaksana.

10@ Dan (sekarang) campakkanlah tongkatmu. Maka apabila ia
melihat tongkatnya itu (menjadi seekor ular besar) bergerak
cepat tangkas, seolah-olah seekor ular kecil, berpalinglah dia
melarikan diri dan tidak menoleh lagi. (Lalu ia diseru),
” Wahai Musa, janganlah takut, sesungguhnya Rasul-rasul itu
semasa mengadapku (menerima wahyu), tidak sepatutnya merasa
takut,

11@ Tetapi sesiapa yang berbuat salah, kemudian ia mengubahnya
dengan melakukan kebaikan sesudah berbuat salah, maka
sesungguhnya Aku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

12@ “ Dan masukkanlah tanganmu melalui belahan dada bajumu,
nescaya keluarlah ia putih bersinar-sinar dengan tidak ada
cacat (ini ialah) di antara sembilan mukjizat (yang
membuktikan kebenaranmu), untuk dibawa kepada Firaun dan
kaumnya, sesungguhnya mereka adalah kaum yang fasik (derhaka).

13@ Maka ketika keterangan-keterangan mukjizat Kami sampai
kepada Firaun dan kaumnya dengan jelas nyata, berkatalah
mereka, ” Ini adalah sihir yang terang nyata !”

14@ Dan mereka mengingkarinya secara zalim dan sombong angkuh
sedang hati mereka meyakini kebenarannya. Oleh itu, lihatlah
bagaimana kesudahan orang-orang yang melakukan kerosakan.

15@ Dan sesungguhnya kami telah mengurniakan ilmu pengetahuan
kepada Nabi Daud dan Nabi Sulaiman, dan mereka berdua
bersyukur dengan berkata, “ Segala puji tertentu bagi Allah
yang dengan limpah kurniaNya memberi kami kelebihan mengatasi
kebanyakan hamba-hambaNya yang beriman.”

16@ Dan Nabi Sulaiman mewarisi (pangkat kenabian dan kerajaan)
Nabi Daud, dan (setelah itu) Nabi Sulaiman berkata, “ Wahai
umat manusia, kami telah diajar mengerti bahasa pertuturan
burung, dan kami telah diberikan serba sedikit dari tiap-tiap
sesuatu (yang diperlukan), sesungguhnya yang demikian ini
adalah limpah kurnia (dari Allah) yang jelas nyata.”

17@ Dan dihimpunkan bagi Nabi Sulaiman bala tenteranya, dari
jin dan manusia serta burung, lalu mereka dijaga serta diatur
keadaan dan perjalanan masing-masing.

18@ (Maralah angkatan itu) hingga apabila mereka sampai
ke “ Waadin Naml”, berkatalah seekor semut, “ Wahai sekalian
semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman
dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka
tidak menyedari.”

19@ Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut
itu, dan berdoa dengan berkata, ” Wahai Tuhanku, ilhamkanlah
daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau
kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap
mengerjakan amal soleh yang Engkau redai, dan masukkanlah daku
(dengan limpah rahmatMu) dalam kumpulan hamba-hambaMu yang
soleh.”

20@ Dan (setelah itu) Nabi Sulaiman memeriksa kumpulan burung
(yang turut serta dalam tenteranya) lalu berkata, “ Mengapa
aku tidak melihat burung belatuk ? Adakah ia dari mereka yang
tidak hadir ?"

21@ “ Demi sesungguhnya ! Aku akan menyeksanya dengan seksa
yang seberat-beratnya, atau aku akan menyembelihnya, kecuali
ia membawa kepadaku alasan yang terang nyata (yang membuktikan
sebab-sebab ia tidak hadir).”

22@ Burung belatuk itu tidak lama ghaibnya selepas itu, lalu
datang sambil berkata (kepada Nabi Sulaiman), “ Aku dapat
mengetahui secara meliputi akan perkara yang engkau tidak
cukup mengetahuinya, dan aku datang kepadamu dari negeri Saba’
dengan membawa khabar berita yang diyakini kebenarannya."

23@ “ Sesungguhnya aku dapati seorang perempuan memerintah
mereka dan ia telah diberikan kepadanya (serba sedikit) dari
tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan) dan ia pula mempunyai
singgahsana yang besar.

24@ Aku dapati raja perempuan itu dan kaumnya sujud kepada
matahari dengan meninggalkan ibadat menyembah Allah, dan
Syaitan pula memperelokkan pada pandangan mereka perbuatan
(syirik) mereka, lalu menghalangi mereka dari jalan (yang
benar), oleh itu mereka tidak beroleh petunjuk,

25@ (Mereka dihalangi oleh Syaitan) supaya mereka tidak sujud
menyembah Allah yang mengeluarkan benda yang tersembunyi
di langit dan di bumi, dan yang mengetahui apa yang kamu
rahsiakan serta apa yang kamu zahirkan."

26@ “ Allah ! (Tiada Tuhan melainkan Dia), Tuhan yang
mempunyai Arasy yang besar.“

27@ Nabi Sulaiman berkata, " Kami akan fikirkan dengan
sehalus-halusnya, adakah benar apa yang engkau katakan itu,
ataupun engkau dari golongan yang berdusta."

28@ “ Pergilah bawa suratku ini, serta campakkanlah kepada
mereka, kemudian berundurlah dari mereka, dalam pada itu
perhatikanlah apa tindak balas mereka.”

29@ (Setelah membaca surat itu), berkatalah raja perempuan
negeri Saba’, “ Wahai ketua-ketua kamu ! Sesungguhnya telah
disampaikan kepadaku sepucuk surat yang mulia.

30@ Sesungguhnya surat itu dari Nabi Sulaiman, dan
kandungannya (seperti berikut), " Dengan nama Allah, Yang Maha
Pemurah, lagi Maha Mengasihani,

31@ Bahawa janganlah kamu meninggi diri terhadapku, dan
datanglah kamu kepadaku dengan menyerah diri (beriman dan
mematuhi ajaran ugama Allah).“

32@ Raja perempuan itu berkata lagi, “ Wahai ketua-ketua kaum,
berilah penjelasan kepadaku mengenai perkara yang aku hadapi
ini, aku tidak pernah memutuskan sesuatu perkara sebelum kamu
hadir memberi pendapat dan mempersetujuinya.”

33@ Mereka menjawab, " Kita adalah orang-orang yang kuat gagah
dan amat berani merempuh peperangan, dan perkara itu (walau
bagaimanapun) terserahlah kepadamu, oleh itu fikirkanlah apa
yang engkau hendak perintahkan."

34@ Raja perempuan itu berkata, “ Sesungguhnya raja-raja,
apabila masuk ke sebuah negeri, mereka merosakkannya, dan
mereka menjadikan penduduknya yang mulia hina-dina, dan
sedemikian itulah mereka akan lakukan."

35@ “ Dan bahawa aku hendak menghantarkan hadiah kepada
mereka, kemudian aku akan menunggu, apakah balasan yang akan
dibawa balik oleh utusan-utusan kita.”

36@ Maka apabila (utusan pembawa hadiah itu) datang mengadap
Nabi Sulaiman, berkatalah Nabi Sulaiman (kepadanya),
“ Tidaklah patut kamu memberikan kepadaku pemberian harta-
benda, kerana apa yang telah diberikan Allah kepadaku lebih
baik dari apa yang telah diberikanNya kepada kamu, (bukan aku
yang memandang kepada pemberian hadiah) bahkan kamulah yang
bergembira dengan hanya kekayaan yang dihadiahkan kepada kamu
(atau yang kamu hadiahkan dengan perasaan megah)."

37@ “ Kembalilah kepada mereka, (jika mereka tidak juga mahu
beriman) maka demi sesungguhnya Kami akan mendatangi mereka
dengan angkatan tentera yang mereka tidak terdaya
menentangnya, dan kami akan mengeluarkan mereka dari negeri
Saba’ dengan keadaan hina, menjadi orang-orang tawanan.”

38@ Nabi Sulaiman berkata pula (kepada golongan bijak
pandainya), “ Wahai pegawai-pegawaiku, siapakah di antara kamu
yang dapat membawa kepadaku singgahsananya sebelum mereka
datang mengadapku dalam keadaan berserah diri memeluk Islam ?”

39@ Berkatalah Ifrit dari golongan jin, “ Aku akan
membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat
dudukmu, dan sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk
membawanya, lagi amanah.”

40@ Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari
Kitab Allah, “ Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip
mata !” Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak
di sisinya, berkatalah ia, “ Ini ialah dari limpah kurnia
Tuhanku, untuk mengujiku, adakah aku bersyukur atau aku tidak
mengenangkan nikmat pemberianNya. Dan (sebenarnya) sesiapa
yang bersyukur, maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang
kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka
tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya
Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah.”

41@ Nabi Sulaiman berkata pula (kepada orang-orangnya),
“ Ubahkanlah keadaan singgahsananya itu, supaya kita melihat
adakah ia dapat mencapai pengetahuan yang sebenar (untuk
mengenal singgahsananya itu) atau ia termasuk dalam golongan
yang tidak dapat mencapai pengetahuan yang demikian.”

42@ Maka ketika ia datang mengadap, Nabi Sulaiman bertanya
kepadanya, " Serupa inikah singahsanamu ?” Ia menjawab,
“ Boleh jadi inilah dia, dan kami telah diberikan ilmu
pengetahuan sebelum berlakunya (mukjizat) ini, dan kami pula
adalah tetap berserah diri (menjunjung perintah Allah).”

43@ Dan ia dihalangi (daripada memeluk Islam pada masa yang
lalu), apa yang ia pernah menyembahnya (dari benda-benda) yang
lain dari Allah, sesungguhnya adalah ia (pada masa itu) dari
puak yang kafir.

44@ (Setelah itu) dikatakan kepadanya, “ Dipersilakan masuk
ke dalam istana ini.” Maka ketika ia melihatnya, disangkanya
halaman istana itu sebuah kolam air, serta dia pun
menyingsingkan pakaian dari dua betisnya. Nabi Sulaiman
berkata, “ Sebenarnya ini adalah sebuah istana yang diperbuat
licin berkilat dari kaca.” (Mendengar yang demikian), Balqis
berdoa, “ Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiaya
diri sendiri dan (sekarang aku menegaskan bahawa) aku berserah
diri memeluk Islam bersama-sama Nabi Sulaiman, kepada Allah
Tuhan sekalian alam.“

45@ Dan demi sesungguhnya, Kami telah mengutus kepada kaum
Thamud, saudara mereka Nabi Soleh (menyeru mereka dengan
berkata), “ Sembahlah kamu akan Allah !” Maka tiba-tiba mereka
menjadi dua puak (mukmin dan kafir) yang berbalah.

46@ Nabi Soleh berkata (kepada puak kafir), “ Wahai kaumku,
mengapa kamu segerakan kufur ingkar yang mendatangkan
keburukan kepada kamu, (tidak) mendahulukan iman yang
mendatangkan kebaikan kepada kamu ? Alangkah baiknya kalau
kamu memohon ampun kepada Allah supaya kamu diberi rahmat.”

47@ Mereka menjawab, “ Kami merasa nahas dan malang dengan
sebabmu, dan juga dengan sebab pengikut-pengikutmu !” Nabi
Soleh berkata, " Perkara yang menyebabkan baik dan malang kamu
adalah di sisi Allah (dan Dialah yang menentukannya, bukannya
aku), sebenarnya kamu adalah kaum yang disesatkan (oleh hawa
nafsu).”

48@ Dan di bandar (tempat tinggal kaum Thamud) itu, ada
sembilan orang yang semata-mata melakukan kerosakan di bumi
(dengan berbagai-bagai maksiat) dan tidak melakukan kebaikan
sedikitpun.

49@ Mereka berkata (sesama sendiri), “ Hendaklah kamu masing-
masing bersumpah dengan nama Allah, bahawa sesungguhnya kita
akan membunuh Soleh dan pengikut-pengikutnya secara mengejut
pada waktu malam, kemudian kita akan berkata kepada warisnya,
" Kami tidak hadir (di tempat) pembunuhan (Soleh apalagi
membunuhnya atau membunuh) pengikut-pengikutnya, dan
sesungguhnya kami adalah berkata benar." “

50@ Dan (dengan demikian) mereka telah merancangkan rancangan
jahat, dan Kami pula rancangkan balasannya dengan seburuk-
buruk balasan, sedang mereka tidak menyedarinya.



51@ Maka lihatlah bagaimana akibat rancangan jahat mereka,
iaitu Kami telah hancurkan mereka dan kaum mereka semuanya.

52@ Kesudahannya rumah-rumah mereka itu telah runtuh ranap,
dengan sebab mereka berlaku zalim, sesungguhnya kejadian yang
demikian mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi
orang-orang yang mahu mengetahui (akan sebab dan musababnya).

53@ Dan Kami selamatkan orang-orang yang beriman, serta yang
selalu bertaqwa.

54@ Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan), (ingatlah peristiwanya)
ketika ia berkata kepada kaumnya, “ Patutkah kamu melakukan
perbuatan yang keji sedang kamu nampak kejinya ?

55@ Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki, bukan perempuan,
kerana memuaskan nafsu syahwat kamu. (Perbuatan kamu itu
amatlah keji) bahkan kamu kaum yang jahil (yang tidak
mengetahui akan akibatnya).”

56@ Maka kaumnya tidak menjawab selain dari berkata, " Usirlah
Lut dan pengikut-pengikutnya dari bandar kamu ini,
sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang mendakwakan
dirinya bersih suci.“

57@ Lalu Kami selamatkan Nabi Lut dan keluarganya serta
pengikut-pengikutnya, kecuali isterinya, Kami takdirkan dia
menjadi dari golongan yang tertinggal dalam azab.

58@ Dan Kami hujani mereka dengan hujan yang membinasakan,
maka amatlah buruknya hujan azab yang menimpa orang-orang yang
telah diberi amaran.

59@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Segala puji tertentu bagi
Allah dan selamat sejahtera kepada hamba-hambaNya (Nabi-nabi)
yang dipilihNya. Manakah yang lebih baik ? Allah (yang
demikian kekuasaanNya) atau benda-benda yang mereka jadikan
sekutu-sekutu bagiNya ?

60@ Bahkan siapakah yang telah mencipta langit dan bumi, dan
menurunkan hujan dari langit untuk kamu ? Lalu Kami tumbuhkan
dengan air hujan itu tanaman kebun-kebun (yang menghijau
subur) dengan indahnya, yang kamu tidak dapat dan tidak
berkuasa menumbuhkan pohon-pohonnya. Adakah sebarang tuhan
yang lain bersama-sama Allah ? (Tidak !) bahkan mereka (yang
musyrik itu) adalah kaum yang menyeleweng dari kebenaran
(tauhid)."

61@ " Atau siapakah yang telah menjadikan bumi tempat
penetapan dan telah menjadikan sungai-sungai di antara
bahagian-bahagiannya dan telah menjadikan untuknya gunung-
ganang yang menetapnya, dan juga telah menjadikan di antara
dua laut (yang masin dan yang tawar) sekatan (semula jadi)
yang memisahnya ? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama
Allah ? (Tidak !) bahkan kebanyakan mereka (yang musyrik itu)
tidak mengetahui.

62@ Atau siapakah yang memperkenankan doa orang yang menderita
apabila ia berdoa kepadaNya, dan yang menghapuskan kesusahan,
serta menjadikan kamu pengganti (umat-umat yang telah lalu)
mendiami dan menguasai bumi ? Adakah sebarang tuhan yang lain
bersama-sama Allah ? Amat sedikit di antara kamu yang
mengingati (nikmat Allah itu)."

63@ " Atau siapakah yang menunjukkan jalan kepada kamu dalam
gelap-gelita darat dan laut, dan yang menghantarkan angin
sebagai pembawa berita yang mengembirakan sebelum kedatangan
rahmatNya ? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama
Allah ? Maha Tinggilah keadaan Allah dari apa yang mereka
sekutukan denganNya.

64@ Atau siapakah yang memulakan kejadian sekalian makhluk,
kemudian dia mengembalikannya (hidup semula sesudah matinya).
dan siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan
bumi ? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah ?"
Katakanlah (wahai Muhammad), “ Bawalah kemari keterangan-
keterangan kamu, jika betul kamu orang-orang yang benar.“

65@ Katakanlah lagi, " Tiada sesiapapun di langit dan di bumi
yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah !” Dan
tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan
dibangkitkan hidup semula (sesudah mati).

66@ Bahkan mereka (yang kafir) telah berkali-kali mengetahui
tentang hari akhirat (tetapi mereka tidak meyakininya), bahkan
mereka berada dalam syak mengenainya, bahkan matahati mereka
buta langsung daripada memikirkannya.

67@ Dan orang-orang yang kafir berkata, “ Adakah sesudah kami
menjadi tanah, dan juga datuk nenek kami, adakah kami semua
akan dikeluarkan dari kubur (hidup semula) ?"

68@ “ Demi sesungguhnya, kami telah dijanjikan dengan perkara
ini, kami dan juga datuk nenek kami dahulu, ini hanyalah
cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu kala.”

69@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Mengembaralah kamu di muka
bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana buruknya kesudahan
orang-orang yang berdosa itu.”

70@ Dan janganlah engkau berdukacita terhadap (keingkaran)
mereka (yang kafir itu,) dan janganlah engkau resah-gelisah
disebabkan tipu daya yang mereka lakukan.

71@ Dan mereka bertanya, “ Bilakah berlakunya azab yang telah
dijanjikan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar ?”

72@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Dipercayai tidak lama lagi
akan datang kepada kamu sebahagian dari azab yang kamu minta
disegerakan itu.”

73@ Dan sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) sentiasa
melimpah-ruah kurniaNya kepada umat manusia seluruhnya tetapi
kebanyakan mereka tidak bersyukur.

74@ Dan sesungguhnya Tuhanmu sedia mengetahui apa yang
terpendam dalam hati mereka dan apa yang mereka nyatakan
(dengan tutur kata dan perbuatan).

75@ Dan tiada sesuatu perkara yang ghaib di langit dan
di bumi, melainkan tertulis dalam Kitab yang terang nyata.

76@ Sesungguhnya Al Quran ini menceritakan kepada Bani Israil
(perkara yang sebenar-benarnya) mengenai kebanyakan (hal-hal
ugama) yang mereka berselisihan padanya.

77@ Dan sesungguhnya Al Quran itu menjadi hidayah petunjuk dan
rahmat bagi orang-orang yang beriman.

78@ Sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) akan memutuskan
di antara mereka dengan hukumNya, dan Dialah sahaja Yang Maha
Kuasa, lagi Maha Mengetahui.

79@ Oleh itu, berserahlah kepada Allah, sesungguhnya engkau
berada di atas kebenaran yang jelas nyata.

80@ Sesungguhnya engkau tidak dapat menjadikan orang-orang
yang mati (hatinya) itu menerima ajaranmu, dan tidak dapat
menjadikan orang-orang yang pekak itu mendengar seruanmu,
apabila mereka berundur ke belakang (disebabkan
keingkarannya).

81@ Dan engkau tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang-
orang yang buta supaya menjauhi kesesatan mereka, engkau tidak
dapat memperdengarkan (seruanmu itu) melainkan kepada orang-
orang yang sanggup beriman akan ayat-ayat keterangan Kami,
kerana mereka orang-orang yang berserah diri dengan ikhlas.

82@ Dan apabila sampai masa berlakunya hukuman atas manusia,
Kami keluarkan untuk mereka sejenis binatang dari bumi, yang
akan menyatakan kepada mereka, bahawa manusia telah tidak
meyakini ayat-ayat keterangan dan pengajaran Kami.

83@ Dan (ingatlah) hari Kami himpunkan dari tiap-tiap umat
sekumpulan besar orang-orang yang mendustakan ayat-ayat
keterangan Kami, lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan
perjalanan masing-masing.

84@ Sehingga apabila mereka datang (ke tempat pengadilan),
Allah Taala berfirman, “ Adakah kamu mendustakan ayat-ayat
keteranganKu dengan tidak lebih dahulu kamu mengetahuinya
secara meliputi ? Atau apakah yang kamu telah lakukan ?”

85@ Dan jatuhlah hukuman atas mereka (dengan azab) disebabkan
kezaliman mereka (berlaku kufur ingkar), lalu mereka diam
membisu.

86@ Tidakkah mereka memerhatikan bahawa Kami telah menjadikan
malam untuk mereka berehat padanya, dan menjadikan siang
terang-benderang ? Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi
tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang beriman.

87@ Dan (ingatkanlah) hari di tiup sangkakala, lalu
terkejutlah (gerun gementar) makhluk-makhluk yang ada
di langit dan yang ada di bumi, kecuali mereka yang
dikehendaki Allah, dan kesemuanya akan datang kepadaNya dengan
keadaan tunduk patuh.

88@ Dan engkau melihat gunung-ganang, engkau menyangkanya
tetap membeku, padahal ia bergerak cepat seperti bergeraknya
awan, (demikianlah) perbuatan Allah yang telah membuat tiap–
tiap sesuatu dengan serapi-rapi dan sebaik-baiknya,
sesungguhnya Ia Amat mendalam PengetahuanNya akan apa yang
kamu lakukan.

89@ Sesiapa yang datang membawa amal kebajikan (yang telah
dikerjakannya) maka ia akan beroleh balasan yang lebih baik
daripadanya, dan mereka akan beroleh aman sentosa daripada
kejadian-kejadian yang mengerikan pada hari kiamat itu.

90@ Dan sesiapa yang datang membawa amal jahat (yang telah
dikerjakannya) maka sudah tentu mereka akan ditumuskan mukanya
ke dalam api neraka, (sambil dikatakan kepada mereka), “ Kamu
tidak diberi melainkan balasan apa yang kamu telah lakukan.”

91@ (Katakanlah wahai Muhammad), ” Aku hanyalah diperintahkan
supaya menyembah Allah Tuhan negeri (Makkah) ini yang telah
menjadikannya suci lagi dihormati dan yang menguasai segala-
galanya, dan aku diperintahkan supaya tetap menjadi dari
orang-orang Islam (yang menyerah diri bulat-bulat kepadaNya),

92@ Dan supaya aku sentiasa membaca Al Quran.” Oleh itu,
sesiapa yang menurut petunjuk (Al Quran dan beramal dengannya)
maka faedah perbuatannya itu akan terpulang kepada dirinya
sendiri, dan sesiapa yang sesat, maka katakanlah kepadanya,
“ Sesungguhnya aku hanyalah seorang pemberi amaran.”

93@ Dan katakanlah (wahai Muhammad), “ Segala puji tertentu
bagi Allah (yang melimpahkan nikmat-nikmatNya yang tidak
terhitung), Ia akan memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda
kekuasaanNya supaya kamu dapat mengetahuinya (dengan jelas
nyata)”, dan Tuhanmu tidaklah lalai akan segala yang kamu
lakukan.

No comments:

Post a Comment