Wednesday 2 March 2016

Al Quran Indonesia. 023. Surah Al Mu’minun (Golongan Beriman).

Al Quran Indonesia. 023. Surah Al Mu’minun (Golongan Beriman).

BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

1@ Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman,

2@ Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya,

3@ Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan
perkataan yang sia-sia,

4@ Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan
menunaikan zakat harta itu),

5@ Dan mereka yang menjaga kehormatannya,

6@ Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka
sesungguhnya mereka tidak tercela,

7@ Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang
demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas,

8@ Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya,

9@ Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya,

10@ Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi,

11@ Yang akan mewarisi Syurga Firdaus, mereka kekal
di dalamnya.

12@ Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati
(yang berasal) dari tanah,

13@ Kemudian Kami jadikan “ pati” itu (setitis) air benih pada
penetapan yang kukuh,

14@ Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah
beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul
daging, kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa
tulang, kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging.
Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk
yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan
ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.

15@ Kemudian, sesungguhnya kamu sesudah itu akan mati.

16@ Kemudian, sesungguhnya kamu akan dibangkitkan hidup semula
pada hari kiamat.

17@ Dan demi sesungguhnya, Kami telah menciptakan tujuh jalan
di atas kamu, dan Kami pula tidak lalai daripada (menyediakan
keperluan) makhluk-makhluk Kami.

18@ Dan Kami turunkan hujan dari langit dengan sukatan yang
tertentu, serta Kami tempatkan dia tersimpan di bumi, dan
sesungguhnya Kami sudah tentu berkuasa melenyapkannya.

19@ Kemudian, Kami tumbuhkan untuk kamu dengan air itu, kebun-
kebun tamar (kurma) dan anggur. Kamu beroleh dalam kebun-kebun
itu (berbagai jenis lagi) buah-buahan yang banyak, dan dari
kebun-kebun itulah kamu beroleh rezeki penghidupan kamu.

20@ Dan (Kami juga menumbuhkan untuk kamu) pokok yang asal
tumbuhnya di kawasan Gunung Tursina, yang mengeluarkan minyak
dan lauk bagi orang-orang yang makan.

21@ Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu kamu
beroleh punca-punca yang menyedarkan (tentang kemurahan dan
kebijaksanaan Allah penciptanya), Kami beri kamu minum dari
susu yang ada dalam perutnya, dan kamu beroleh banyak faedah
lagi padanya, dan daripadanya juga kamu beroleh rezeki
penghidupan kamu.

22@ Dan di atas binatang-binatang ternak itu, serta di atas
kapal-kapal kamu diangkut.

23@ Dan demi sesungguhnya, Kami telah mengutuskan Nabi Nuh
kepada kaumnya, lalu berkatalah ia, “ Wahai kaumku, sembahlah
kamu akan Allah (sebenarnya), tidak ada Tuhan bagi kamu selain
daripadaNya. Oleh itu, tidakkah kamu mahu bertaqwa
kepadaNya ?”.

24@ Maka ketua-ketua yang kafir dari kaumnya berkata (sesama
sendiri)), “ Orang ini hanyalah seorang manusia seperti kamu,
ia bertujuan hendak melebihkan dirinya daripada kamu. Dan
kalaulah Allah berkehendak (mengutuskan seorang Rasul),
tentulah Ia menurunkan malaikat menjadi RasulNya. Kami tidak
pernah mendengar seruan seperti ini dalam kalangan datuk nenek
kami yang telah lalu.

25@ “ Ia tidak lain hanyalah seorang lelaki yang mengidap
penyakit gila. Oleh itu tunggulah akan perubahan keadaannya
hingga ke suatu masa.”

26@ Nabi Nuh berdoa dengan berkata, “ Wahai Tuhanku, tolonglah
daku, kerana mereka mendustakan seruanku.”

27@ Lalu Kami wahyukan kepadanya, “ Buatlah bahtera dengan
pengawasan serta kawalan Kami, dan dengan panduan wahyu Kami
(tentang cara membuatnya), kemudian apabila datang hukum Kami
untuk membinasakan mereka, dan air memancut-mancut dari muka
bumi (yang menandakan kedatangan taufan), maka masukkanlah
ke dalam bahtera itu dua dari tiap-tiap jenis haiwan (jantan
dan betina), dan bawalah ahlimu (dan pengikut-pengikutmu)
kecuali orang yang telah ditetapkan hukuman azab atasnya
di antara mereka (disebabkan kekufurannya), dan janganlah
engkau merayu kepadaku untuk menolong kaum yang zalim itu,
kerana sesungguhnya mereka akan ditenggelamkan dengan taufan
sehingga mati lemas."

28@ “ Kemudian apabila engkau dan orang-orang yang bersamamu
telah berada di atas bahtera itu maka hendaklah engkau
(bersyukur kepada Allah dengan) berkata, " Segala puji
tertentu bagi Allah yang telah menyelamatkan kami daripada
orang-orang yang zalim."

29@ “ Dan berdoalah dengan berkata, " Wahai Tuhanku,
turunkanlah daku di tempat turun yang berkat, dan Engkau
adalah sebaik-baik Pemberi tempat.”

30@ Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda
(yang mendatangkan iktibar), dan sesungguhnya Kami tetap
menguji (hamba-hamba Kami).

31@ Kemudian Kami ciptakan sesudah mereka, umat yang lain.

32@ Lalu Kami mengutus kepada mereka seorang Rasul dari
kalangan mereka (dengan berfirman melalui Rasul itu),
“ Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi
kamu selain daripadaNya. Oleh itu tidakkah kamu mahu bertaqwa
kepadaNya ?”

33@ Dan (bagi menolak seruan itu), ketua-ketua dari kaumnya
yang kafir serta mendustakan pertemuan hari akhirat, dan yang
Kami mewahkan mereka dalam kehidupan dunia, berkata (sesama
sendiri), “ Orang ini hanyalah seorang manusia seperti kamu,
ia makan dari apa yang kamu makan, dan meminum dari apa yang
kamu minum."

34@ “ Dan demi sesungguhnya, jika kamu taati manusia yang
seperti kamu, tentulah kamu dengan membuat demikian, menjadi
orang-orang yang rugi.

35@ Patutkah ia menjanjikan kamu, bahawa sesungguhnya apabila
kamu mati dan menjadi tanah dan tulang, kamu akan dikeluarkan
(dari kubur hidup semula) ?"

36@ " Jauh, amatlah jauh (dari kebenaran) apa yang dijanjikan
kepada kamu itu !

37@ Tiadalah hidup yang lain selain dari hidup kita di dunia
ini. Kita mati dan kita hidup (silih berganti) dan tiadalah
kita akan dibangkitkan hidup semula."

38@ “ Tiadalah dia (Nabi Hud) itu selain dari seorang lelaki
yang mengada-adakan perkara dusta terhadap Allah, dan kami
tidak akan beriman kepadanya.”

39@ Nabi Hud berdoa dengan berkata, “ Wahai TuhanKu, belalah
daku, kerana mereka telah mendustakan seruanku.”

40@ Allah berfirman, “ Dalam sedikit masa lagi mereka akan
menjadi orang-orang yang menyesal.”

41@ Akhirnya mereka dibinasakan oleh letusan suara yang
menggempakan bumi, dengan benar lagi adil, lalu Kami jadikan
mereka sebagai sampah sarap (yang dihanyutkan oleh banjir).
Maka kebinasaanlah kesudahannya bagi kaum yang zalim itu.

42@ Kemudian Kami ciptakan, sesudah mereka, umat-umat yang
lain.

43@ Sesuatu umat itu tidak dapat mendahului tempohnya yang
telah ditentukan, dan mereka pula tidak dapat melambatkannya.

44@ Kemudian Kami mengutus Rasul-rasul Kami silih berganti.
Tiap-tiap kali sesuatu umat didatangi Rasulnya, mereka
mendustakannya, lalu Kami binasakan umat-umat yang demikian,
lepas satu-satu, dan Kami jadikan perihal mereka sebagai
cerita-cerita (yang mendatangkan iktibar), maka kebinasaanlah
kesudahannya bagi orang-orang yang tidak beriman.

45@ Kemudian Kami mengutus Nabi Musa dan saudaranya, Nabi
Harun, dengan membawa ayat-ayat keterangan Kami, dan bukti
(mukjizat) yang nyata,

46@ Kepada Firaun dan kaumnya, lalu mereka menentang (seruan
Nabi-nabi Allah itu) dengan sombong takbur, serta menjadi kaum
yang membesarkan diri.

47@ Sehingga mereka berkata (dengan angkuhnya), “ Patutkah
kita beriman kepada dua manusia seperti kita, sedang kaum
mereka menjadi orang-orang suruhan kita ?”

48@ Oleh itu, merekapun mendustakan keduanya, lalu menjadilah
mereka sebahagian dari orang-orang yang dibinasakan.

49@ Dan sesungguhnya, Kami telah memberikan Nabi Musa Kitab
Taurat, supaya mereka beroleh hidayah petunjuk.

50@ Dan Kami jadikan (Nabi Isa) Ibni Maryam serta ibunya
sebagai satu tanda (mukjizat) dan Kami telah menempatkan
keduanya di tanah tinggi, tempat tinggal yang ada tanaman dan
mata air yang mengalir.

51@ Wahai Rasul-rasul, makanlah dari benda-benda yang baik
lagi halal dan kerjakanlah amal-amal soleh, sesungguhnya Aku
Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

52@ Dan sesungguhnya ugama Islam ini ialah ugama kamu, ugama
yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu, maka
bertaqwalah kamu kepadaKu.

53@ Kemudian umat Rasul-rasul itu berpecah-belah dalam urusan
ugama mereka kepada beberapa pecahan, tiap-tiap golongan
bergembira dengan apa yang ada pada mereka.

54@ Maka biarkanlah mereka tenggelam dalam kesesatannya itu
hingga ke suatu masa.

55@ Adakah mereka menyangka bahawa apa yang Kami berikan
kepada mereka dari harta benda dan anak-pinak itu.

56@ (Bermakna bahawa dengan yang demikian) Kami menyegerakan
untuk mereka pemberian kebaikan ? (Tidak !) Bahkan mereka
tidak menyedari (hakikatnya yang sebenar).

57@ Sesungguhnya orang-orang yang sentiasa bimbang disebabkan
takut kepada (kemurkaan) Tuhan mereka,

58@ Dan orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Tuhan
mereka,

59@ Dan orang-orang yang tidak mempersekutukan sesuatu yang
lain dengan Tuhan mereka,

60@ Dan orang-orang yang memberi apa yang mereka berikan
sedang hati mereka gementar kerana mereka yakin akan kembali
kepada Tuhan mereka,

61@ Mereka itulah orang-orang yang segera mengerjakan
kebaikan, dan merekalah orang-orang yang mendahului pada
mencapainya.

62@ Dan Kami tidak memberati seseorang melainkan apa yang
terdaya olehnya, dan di sisi Kami ada sebuah Kitab (suratan
amal) yang menyatakan segala-galanya dengan benar, sedang
mereka tidak dianiaya.

63@ (Sekalipun demikian, orang-orang yang ingkar tidak juga
berfikir) bahkan hati mereka tenggelam di dalam kejahilan,
lalai daripada (memahami ajaran Al Quran) ini, dan mereka pula
mempunyai lagi amal-amal (yang jahat) selain dari itu, yang
mereka terus-menerus mengerjakannya,

64@ Hingga apabila Kami timpakan azab kepada orang-orang yang
mewah di antara mereka maka dengan serta-merta mereka
menjerit-jerit meminta tolong.

65@ (Lalu dikatakan kepada mereka), “ Janganlah kamu menjerit-
jerit meminta tolong pada hari ini, sesungguhnya kamu tidak
akan beroleh sebarang pertolongan dari Kami."

66@ “ (Kerana) sesungguhnya ayat-ayatKu telah berkali-kali
dibacakan kepada kamu, dalam pada itu kamu berpaling undur
ke belakang,

67@ Dengan keadaan sombong angkuh mendustakannya, serta
mencacinya dalam perbualan kamu pada malam hari.”

68@ Maka adakah mereka melakukan yang demikian kerana mereka
tidak dapat memahami kata-kata ajaran (yang disampaikan kepada
mereka) ? Atau kerana telah datang kepada mereka sesuatu yang
tidak pernah datang kepada datuk nenek mereka yang telah
lalu ?

69@ Atau kerana mereka tidak kenal rasul mereka, lalu mereka
mengingkarinya ?

70@ Atau kerana mereka mengatakan, “ Dia kena penyakit gila ?”
(Sebenarnya bukan kerana sesuatu pun dari yang tersebut itu)
bahkan kerana Rasul mereka datang kepada mereka membawa ugama
yang tetap benar, dan tabiat kebanyakan mereka tidak suka
kepada sebarang kebenaran.

71@ Dan kalaulah kebenaran itu tunduk menurut hawa nafsu
mereka, nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta segala
yang adanya. (Bukan sahaja Kami memberikan ugama yang tetap
benar) bahkan Kami memberi kepada mereka Al Quran yang menjadi
sebutan baik dan mendatangkan kemuliaan kepada mereka, maka
Al Quran yang demikian keadaannya, mereka tidak juga mahu
menerimanya,

72@ Atau adakah (mereka menolak seruanmu itu kerana) engkau
meminta kepada mereka suatu pemberian (sebagai hasil
pendapatan seruanmu) ? (Ini pun tidak !) Kerana engkau percaya
pemberian Tuhanmu lebih baik, dan Dialah jua sebaik-baik
Pemberi rezeki.

73@ Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) hanya menyeru
mereka ke jalan yang lurus,

74@ Dan sesungguhnya orang-orang yang tidak beriman kepada
hari akhirat, sudah tentu tidak mengikuti jalan yang lurus
itu.

75@ Dan sekiranya Kami menaruh belas kasihan kepada mereka
serta Kami hapuskan kesusahan yang menimpa mereka, nescaya
mereka akan tetap terus meraba-raba dalam kesesatan mereka
yang melampaui batas itu.

76@ Dan sesungguhnya Kami telah menimpakan mereka dengan azab
(di dunia), maka mereka tidak juga tunduk patuh kepada Tuhan
mereka dan tidak pula berdoa kepadaNya dengan merendah diri
(serta insaf dan bertaubat),

77@ Sehingga apabila Kami bukakan kepada mereka sebuah pintu
yang menyebabkan azab yang berat, maka mereka serta-merta
berputus asa dengan sebabnya, dari mendapat sebarang kebaikan.

78@ Dan Dialah jua yang mengadakan bagi kamu pendengaran dan
penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah
sedikit kamu bersyukur.

79@ Dan Dialah yang menciptakan serta mengembangkan kamu
di bumi, dan kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan.

80@ Dan Dialah yang menghidupkan dan mematikan, dan Dialah
yang menentukan pertukaran malam dan siang. Maka tidakkah kamu
mahu berfikir ?

81@ (Mereka tidak juga mahu berfikir) bahkan mereka berkata
seperti yang dikatakan oleh orang-orang dahulu (yang ingkar),

82@ Mereka berkata, “ Adakah apabila kami telah mati dan kami
menjadi tanah dan tulang, adakah kami akan dibangkitkan (hidup
semula) ?"

83@ “ Demi sesungguhnya, kami telah dijanjikan perkara ini
(kami dan datuk nenek kami) dari dahulu lagi, perkara ini
hanyalah cerita dongeng orang-orang dahulu-kala.”

84@ Tanyakanlah (wahai Muhammad), “ Kepunyaan siapakah bumi
ini dan segala yang ada padanya, kalau kamu mengetahui ?”

85@ Mereka akan menjawab, “ Kepunyaan Allah.” Katakanlah,
“ Mengapa kamu tidak mahu ingat (dan insaf) ?”

86@ Tanyakanlah lagi, “ Siapakah Tuhan yang memiliki dan
mentadbirkan langit yang tujuh, dan Tuhan yang mempunyai Arasy
yang besar ?”

87@ Mereka akan menjawab, “ (Semuanya) kepunyaan Allah."
Katakanlah, “ Mengapa kamu tidak mahu bertaqwa ?”

88@ Tanyakanlah lagi, " Siapakah yang memegang kuasa
pemerintahan tiap-tiap sesuatu, serta ia dapat melindungi
(segala-galanya) dan tidak ada sesuatupun yang dapat
disembunyi daripada kekuasaannya ? (Jawablah) jika kamu
mengetahui !”

89@ Mereka akan menjawab, “ (Segala-galanya) dikuasai Allah.”
Katakanlah, “ Jika demikian, bagaimana kamu tertarik hati
kepada perkara yang tidak benar ?”

90@ (Bukanlah sebagaimana tuduhan mereka) bahkan Kami telah
membawa kepada mereka keterangan yang benar, dan sesungguhnya
mereka adalah berdusta.

91@ Allah tidak sekali-kali mempunyai anak, dan tidak ada sama
sekali sebarang tuhan bersamaNya, (kalaulah ada banyak tuhan)
tentulah tiap-tiap tuhan itu akan menguasai dan menguruskan
segala yang diciptakannya dengan bersendirian, dan tentulah
setengahnya akan bertindak mengalahkan setengahnya yang lain.
Maha Suci Allah dari apa yang dikatakan oleh mereka (yang
musyrik) itu.

92@ (Allah) Yang mengetahui segala yang tersembunyi dan yang
nyata, maka (dengan yang demikian) Maha Tinggilah keadaanNya
dari segala yang mereka sekutukan.

93@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Wahai Tuhanku, kiranya
Engkau hendak memperlihatkan kepadaku (azab) yang dijanjikan
kepada mereka (di dunia),

94@ Maka wahai Tuhanku, janganlah Engkau biarkan daku tinggal
dalam kalangan kaum yang zalim itu.”

95@ Dan sesungguhnya Kami berkuasa memperlihatkan kepadamu
azab yang Kami janjikan kepada mereka.

96@ Tolaklah kejahatan yang dilakukan kepadamu dengan cara
yang sebaik-baiknya, Kami Maha Mengetahui apa yang mereka
katakan itu.

97@ Dan katakanlah, “ Wahai Tuhanku, aku berlindung kepadaMu
dari hasutan Syaitan-syaitan.

98@ Dan aku berlindung kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya
Syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku.”

99@ Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai
ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah
ia, “ Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula
di dunia),

100@ Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam
perkara-perkara yang telah aku tinggalkan.” Tidak ! Masakan
dapat ? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang
ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada
alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari
mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).

101@ Kemudian, apabila ditiup sangkakala, maka pada hari itu
tidak ada lagi manfaat pertalian kerabat di antara mereka, dan
tidak pula sempat mereka bertanya-tanyaan.

102@ Maka sesiapa yang berat timbangan amal baiknya, maka
mereka itulah orang-orang yang berjaya.

103@ Dan sesiapa yang ringan timbangan amal baiknya, maka
merekalah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri, mereka
kekal di dalam neraka Jahannam,

104@ Api neraka itu membakar muka mereka, dan tinggalah mereka
di situ dengan muka yang hodoh cacat.

105@ (Sambil dikatakan kepada mereka), “ Bukankah ayat-ayatKu
selalu dibacakan kepada kamu, lalu kamu terus-menerus
mendustakannya ?”

106@ Mereka menjawab, “ Wahai Tuhan kami, kami telah
dikalahkan oleh sebab-sebab kecelakaan kami, dan dengan itu
menjadilah kami kaum yang sesat.

107@ Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami dari neraka ini
(serta kembalikanlah kami ke dunia), setelah itu kalau kami
kembali lagi (mengerjakan kufur dan maksiat), maka
sesungguhnya kami orang-orang yang zalim.”

108@ (Allah) berfirman, “ Diamlah kamu dengan kehinaan
di dalam neraka, dan janganlah kamu berkata-kata (memohon
sesuatupun) kepadaKu !

109@ Sesungguhnya ada sepuak diri hamba-hambaKu (di dunia
dahulu) memohon kepadaKu dengan berkata, " Wahai Tuhan kami,
kami telah beriman, oleh itu ampunkanlah dosa kami serta
berilah rahmat kepada kami, dan sememangnya Engkaulah jua
sebaik-baik Pemberi rahmat."

110@ “ Maka kamu jadikan mereka ejek-ejekan sehingga ejek-
ejekan kamu kepada mereka menyebabkan kamu lupa mengingati
balasanKu, dan kamu pula sentiasa tertawakan mereka.

111@ Sesungguhnya Aku membalas mereka pada hari ini (dengan
sebaik-baik balasan) disebabkan kesabaran mereka, sesungguhnya
mereka itulah orang-orang yang berjaya.”

112@ Allah bertanya lagi (kepada mereka yang kafir itu),
“ Berapa tahun lamanya kamu tinggal di bumi ?”

113@ Mereka menjawab, “ Kami tinggal (di dunia) selama sehari
atau sebahagian dari sehari," maka bertanyalah kepada golongan
(malaikat) yang menjaga urusan menghitung.

114@ Allah berfirman, “ Kamu tidak tinggal (di dunia)
melainkan sedikit masa sahaja, kalau kamu dahulu mengetahui
hal ini (tentulah kamu bersiap sedia).

115@ Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya
menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada
sebarang hikmat pada ciptaan itu ? Dan kamu (menyangka pula)
tidak akan dikembalikan kepada Kami ?”

116@ Maka (dengan yang demikian) Maha Tinggilah Allah Yang
Menguasai seluruh alam, lagi Yang Tetap Benar, tiada Tuhan
melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai Arasy yang mulia.

117@ Dan sesiapa yang menyembah tuhan yang lain bersama-sama
Allah, dengan tidak berdasarkan sebarang keterangan
mengenainya, maka sesungguhnya hitungannya (dan balasan
amalnya yang jahat itu) disediakan di sisi Tuhannya.
Sesungguhnya orang-orang yang kafir tidak akan berjaya.

118@ Dan berdoalah (wahai Muhammad dengan berkata), “ Wahai
Tuhanku, berikanlah ampun dan kurniakan rahmat, dan
sememangnya Engkaulah sahaja sebaik-baik Pemberi rahmat !”

No comments:

Post a Comment