Wednesday 2 March 2016

Al Quran Indonesia. 024. Surah An Nuur (Cahaya)...

Al Quran Indonesia. 024. Surah An Nuur (Cahaya)...

BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

1@ Ini ialah satu “ surah” yang Kami turunkan, dan Kami
wajibkan hukum-hukumnya, serta Kami turunkan padanya ayat-ayat
keterangan yang nyata supaya kamu beringat (mengamalkannya).

2@ Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah
kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat,
dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan
terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika
benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan
hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada
mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.

3@ Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin
melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan
musyrik, dan perempuan yang berzina itu pula (lazimnya) tidak
ingin berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina
atau lelaki musyrik. Dan perkahwinan yang demikian itu
terlarang kepada orang-orang yang beriman.

4@ Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada
perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka
tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka
delapan puluh kali sebat, dan janganlah kamu menerima
persaksian mereka itu selama-lamanya, kerana mereka adalah
orang-orang yang fasik,

5@ Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah itu (dari
kesalahannya yang tersebut) serta memperbaiki amalannya, maka
sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

6@ Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang
mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu)
hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada syarak) bagi
seseorang yang menuduh itu hendaklah ia bersumpah dengan nama
Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya ia dari orang-orang
yang benar,

7@ Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata), " Bahawa
laknat Allah akan menimpa dirinya jika ia dari orang-orang
yang dusta."

8@ Dan bagi menghindarkan hukuman seksa dari isteri (yang kena
tuduh) itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat
kali, bahawa suaminya (yang menuduh) itu sesungguhnya adalah
dari orang-orang yang berdusta,

9@ Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata), " Bahawa
kemurkaan Allah akan menimpa dirinya jika suaminya dari orang-
orang yang benar."

10@ Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan
rahmatNya kepada kamu, dan juga (kalaulah tidak kerana) bahawa
Allah Maha Penerima taubat, lagi Maha Bijaksana, (tentulah
kamu akan) akan mengalami kesusahan yang sukar diatasi).

11@ Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat
dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu, janganlah kamu
menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia
baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan
beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya
itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam
menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar
(di dunia dan di akhirat).

12@ Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang
yang beriman (lelaki dan perempuan), menaruh baik sangka
kepada diri (orang-orang) mereka sendiri. dan berkata, “ Ini
ialah tuduhan dusta yang nyata.”

13@ Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi
membuktikan tuduhan itu. Oleh kerana mereka tidak mendatangkan
empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah,
adalah orang-orang yang dusta.

14@ Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan
rahmatNya kepada kamu di dunia dan di akhirat, tentulah kamu
dikenakan azab seksa yang besar disebabkan kamu turut campur
dalam berita palsu itu,

15@ Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta
itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu
akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah
mengenainya, dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada
hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar
dosanya.

16@ Dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera
berkata, “ Tidaklah layak bagi kami memperkatakan hal ini !
Maha Suci Engkau (ya Allah dari mencemarkan nama baik ahli
rumah Rasulullah) ! Ini adalah satu dusta besar yang
mengejutkan.”

17@ Allah memberi pengajaran kepada kamu, supaya kamu tidak
mengulangi perbuatan yang sedemikian ini selama-lamanya, jika
betul kamu orang-orang yang beriman.

18@ Dan Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan
(hukum-hukumNya), kerana Allah Maha Mengetahui, lagi Maha
Bijaksana.

19@ Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-
tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman,
mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya
di dunia dan di akhirat, dan (ingatlah) Allah mengetahui
(segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).

20@ Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan
rahmatNya kepada kamu, dan juga (kalaulah tidak kerana) bahawa
Allah Amat melimpah belas kasihanNya, (tentulah kamu akan
ditimpa azab dengan serta-merta).

21@ Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut
jejak langkah Syaitan, dan sesiapa yang menurut jejak langkah
Syaitan, maka sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menyuruh
(pengikut-pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan
perbuatan yang mungkar. Dan kalaulah tidak kerana limpah
kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, nescaya tidak ada
seorang pun di antara kamu menjadi bersih dari dosanya selama-
lamanya, akan tetapi Allah membersihkan sesiapa yang
dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), dan
(ingatlah Allah Maha Mendengar) lagi Maha Mengetahui

22@ Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang
hidupnya dari kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi
bantuan kepada kaum kerabat dan orang-orang miskin serta
orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah, dan (sebaliknya)
hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-
orang itu, tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa
kamu ? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha
Mengasihani.

23@ Sesungguhnya orang-orang yang menuduh perempuan-perempuan
yang terpelihara kehormatannya, yang tidak terlintas
memikirkan sebarang kejahatan, lagi yang beriman, akan
dilaknat (oleh Allah) di dunia dan di akhirat dan, mereka pula
akan beroleh azab seksa yang besar,

24@ Pada hari lidah mereka dan tangan mereka serta kaki mereka
menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, tentang segala
yang mereka lakukan.

25@ Pada hari itu Allah akan menyempurnakan untuk mereka
balasan (azab seksa) yang berhak mereka mendapatnya, dan
mereka pula akan mengetahui bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha
Adil, lagi nyata keadilanNya.

26@ (Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk
lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk
perempuan-perempuan yang jahat, dan (sebaliknya) perempuan-
perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-
lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka
(yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang
dikatakan oleh orang-orang (yang jahat), mereka (yang baik)
itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang
mulia.

27@ Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk
ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu
lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada
penduduknya, yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya
kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu).

28@ Maka sekiranya kamu tidak mendapati sesiapa (yang berhak
memberi izin) maka janganlah masuk ke dalam rumah itu sehingga
kamu diberi izin, dan jika dikatakan kepada kamu “ baliklah”,
maka hendaklah kamu berundur balik, cara yang demikian adalah
lebih suci bagi kamu, dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui
akan apa yang kamu lakukan.

29@ Tidaklah menjadi salah kamu memasuki (dengan tidak meminta
izin) mana-mana rumah yang tidak didiami orang, yang ada
keperluan kamu padanya, dan (ingatlah) Allah mengetahui akan
apa yang kamu zahirkan dan apa yang kamu sembunyikan.

30@ Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang
beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada
memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang
demikian itu lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Amat
Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.

31@ Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman
supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang
haram), dan memelihara kehormatan mereka, dan janganlah mereka
memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir
daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher
bajunya dengan tudung kepala mereka, dan janganlah mereka
memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami
mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-
anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara
mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki,
atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau
perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang
gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak
berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum
mengerti lagi tentang aurat perempuan, dan janganlah mereka
menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang
tersembunyi dari perhiasan mereka, dan bertaubatlah kamu
sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya
kamu berjaya.

32@ Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan)
dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-
hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah
akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya
kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi
Maha Mengetahui.

33@ Dan orang-orang yang tidak mempunyai kemampuan berkahwin,
hendaklah mereka menjaga kehormatannya sehingga Allah memberi
kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya, dan hamba-hamba
kamu (lelaki dan perempuan) yang hendak membuat surat
perjanjian untuk memerdekakan dirinya (dengan jumlah bayaran
yang tertentu), hendaklah kamu melaksanakan perjanjian itu
dengan mereka jika kamu mengetahui ada sifat-sifat yang baik
pada diri mereka (yang melayakkannya berbuat demikian), dan
berilah kepada mereka dari harta Allah yang telah dikurniakan
kepada kamu. Dan janganlah kamu paksakan hamba-hamba perempuan
kamu melacurkan diri manakala mereka mahu menjaga
kehormatannya, kerana kamu berkehendakkan kesenangan hidup
di dunia. Dan sesiapa yang memaksa mereka, maka sesungguhnya
Allah (sesudah paksaan yang dilakukan kepada mereka) Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

34@ Dan sesungguhnya, Kami telah menurunkan kepada kamu, ayat-
ayat keterangan yang menjelaskan (hukum-hukum suruh dan
tegah), dan contoh tauladan (mengenai kisah-kisah dan berita)
orang-orang yang telah lalu sebelum kamu, serta nasihat
pengajaran bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.

35@ Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur
hidayah petunjuk Allah (Kitab Suci Al Quran) adalah sebagai
sebuah “ misykaat” yang berisi sebuah lampu, lampu itu dalam
geluk kaca (qandil), geluk kaca itu pula (jernih terang)
laksana bintang yang bersinar cemerlang, lampu itu dinyalakan
dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok
zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan
bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah
kepada matahari), hampir-hampir minyaknya itu (dengan
sendirinya) memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya)
walaupun ia tidak disentuh api, (sinaran nur hidayah yang
demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda),
cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang
dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada
nur hidayahNya itu, dan Allah mengemukakan berbagai-bagai
misal perbandingan untuk umat manusia, dan Allah Maha
Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

36@ (Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya
terutama sekali) di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh
Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta
diperingat nama Allah padanya, di situ juga dikerjakan ibadat
mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang.

37@ (Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya
yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli
daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan
sembahyang serta memberi zakat, mereka takutkan hari (kiamat)
yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.

38@ (Mereka mengerjakan semuanya itu) supaya Allah membalas
mereka dengan sebaik-baik balasan bagi apa yang mereka
kerjakan, dan menambahi mereka lagi dari limpah kurniaNya, dan
sememangnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang
dikehendakiNya dengan tidak terhitung.

39@ Dan orang-orang yang kafir pula, amal-amal mereka adalah
umpama riak sinaran panas di tanah rata yang disangkanya air
oleh orang yang dahaga, (lalu ia menuju ke arahnya) sehingga
apabila ia datang ke tempat itu, tidak didapati sesuatu pun
yang disangkanya itu, (demikianlah keadaan orang kafir, tidak
mendapat faedah dari amalnya sebagaimana yang disangkanya) dan
ia tetap mendapati hukum Allah di sisi amalnya, lalu Allah
menyempurnakan hitungan amalnya (serta membalasnya), dan
(ingatlah) Allah Amat segera hitungan hisabNya.

40@ Atau (orang-orang kafir itu keadaannya) adalah umpama
keadaan (orang yang di dalam) gelap-gelita di lautan yang
dalam, yang diliputi oleh ombak bertindih ombak, di sebelah
atasnya pula awan tebal (demikianlah keadaannya) gelap-gelita
berlapis-lapis (apabila orang itu mengeluarkan tangannya), ia
tidak dapat melihatnya sama sekali. Dan (ingatlah) sesiapa
yang tidak dijadikan Allah menurut undang-undang peraturanNya
mendapat cahaya (hidayah petunjuk) maka ia tidak akan beroleh
sebarang cahaya (yang akan memandunya ke jalan yang benar).

41@ Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah (Yang Maha
Esa dan Maha Kuasa) sentiasa bertasbih kepadaNya sekalian
makhluk yang ada di langit dan di bumi serta burung-burung
yang terbang berbaris di angkasa ? Masing-masing sedia
mengetahui (menurut keadaan semulajadinya) akan cara
mengerjakan ibadatnya kepada Allah dan memujiNya, dan Allah
Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan.

42@ Dan bagi Allah jualah kuasa pemerintahan langit dan bumi
dan kepada Allah sahaja tempat kembali (sekalian makhluk).

43@ Tidakkah engkau melihat bahawasanya Allah mengarahkan awan
bergerak perlahan-lahan, kemudian Dia mengumpulkan kelompok-
kelompoknya, kemudian Dia menjadikannya tebal berlapis-lapis ?
Selepas itu engkau melihat hujan turun dari celah-celahnya.
Dan Allah pula menurunkan hujan batu dari langit, dari gunung-
ganang (awan) yang ada padanya, lalu Ia menimpakan hujan batu
itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan menjauhkannya dari
sesiapa yang dikehendakiNya. Sinaran kilat yang terpancar dari
awan yang demikian keadaannya, hampir-hampir menyambar dan
menghilangkan pandangan.

44@ Allah menukarkan malam dan siang silih berganti,
sesungguhnya yang demikian mengandungi pelajaran yang
mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang celik mata hatinya
berfikir.

45@ Dan Allah menciptakan tiap-tiap haiwan yang bergerak itu
dari air, maka sebahagian di antara mereka menjalar atas
perutnya, dan sebahagian di antaranya berjalan dengan dua
kaki, dan sebahagian lagi berjalan dengan empat kaki. Allah
menciptakan apa sahaja yang Ia kehendaki (selain dari yang
tersebut), kerana sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap
sesuatu.

46@ Demi sesungguhnya, Kami telah menurunkan ayat-ayat yang
menerangkan (hakikat kebenaran dengan berbagai dalil dan
bukti), dan Allah memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang
dikehendakiNya ke jalan yang lurus.

47@ Dan (di antara orang-orang yang tidak dikehendakiNya
ke jalan yang lurus ialah) mereka yang berkata, “ Kami beriman
kepada Allah dan kepada RasulNya serta kami taat,” kemudian
sepuak dari mereka berpaling (membelakangkan perintah Allah
dan Rasul) sesudah pengakuan itu, dan (kerana berpalingnya)
tidaklah mereka itu menjadi orang-orang yang sebenarnya
beriman.

48@ Dan (bukti berpalingnya mereka ialah) apabila mereka
diajak kepada Kitab Allah dan Sunnah RasulNya supaya menjadi
hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, maka dengan serta-
merta sepuak dari mereka berpaling ingkar (menolak ajakan itu
jika keputusan tidak menguntungkan mereka).

49@ Dan (sebaliknya) jika keputusan itu memberi hak kepada
mereka, mereka segera datang kepadanya dengan tunduk taat
(menerima hukumnya).

50@ (Mengapa mereka bersikap demikian), adakah kerana hati
mereka mengandungi penyakit (kufur), atau kerana mereka ragu-
ragu (terhadap kebenaran hukuman), ataupun kerana mereka takut
bahawa Allah dan RasulNya akan berlaku zalim kepada mereka ?
(Allah dan RasulNya tidak sekali-kali akan berlaku zalim)
bahkan merekalah sendiri orang-orang yang zalim (disebabkan
keraguan dan kekufuran mereka).

51@ Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang
yang beriman ketika mereka diajak ke pada Kitab Allah dan
Sunnah RasulNya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu
di antara mereka, hanyalah mereka berkata, “ Kami dengar dan
kami taat.” dan mereka itulah orang-orang yang beroleh
kejayaan.

52@ Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya dan takut
melanggar perintah Allah serta, menjaga dirinya jangan
terdedah kepada azab Allah, maka merekalah orang-orang yang
beroleh kemenangan.

53@ Dan mereka (yang munafik) bersumpah dengan nama Allah,
dengan sebenar-benar sumpahnya, bahawa jika engkau (wahai
Muhammad) perintahkan mereka (keluar berjihad), tentulah
mereka akan keluar. Katakanlah, ” Janganlah kamu bersumpah,
(taat kamu itu) taat yang terkenal (dustanya). Sesungguhnya
Allah Amat Mendalam pengetahuanNya tentang apa yang kamu
lakukan.”

54@ Katakanlah lagi (kepada mereka), ” Taatlah kamu kepada
Allah dan taatlah kepada Rasul Allah. Kemudian jika kamu
berpaling ingkar maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Rasul
Allah hanya bertanggungjawab akan apa yang ditugaskan
kepadanya, dan kamu pula bertanggungjawab akan apa yang
ditugaskan kepada kamu. Dan jika kamu taat kepadanya nescaya
kamu beroleh hidayah petunjuk, dan (sebenarnya) Rasul Allah
hanyalah bertanggungjawab menyampaikan perintah-perintah Allah
dengan penjelasan yang terang nyata.”

55@ Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal
soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan
menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa
pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-
orang yang sebelum mereka, khalifah-khalifah yang berkuasa,
dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama
Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka, dan Ia juga akan
menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami
ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat
kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain
denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah
itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.

56@ Dan dirikanlah kamu akan sembahyang serta berilah zakat,
dan taatlah kamu kepada Rasul Allah, supaya kamu beroleh
rahmat.

57@ Janganlah engkau menyangka orang-orang kafir itu akan
dapat melemahkan kekuasaan Allah (daripada menimpakan azab
kepada mereka) di dunia, sedang tempat kembali mereka ialah
neraka, dan sesungguhnya neraka itu adalah seburuk-buruk
tempat kembali.

58@ Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu
dan orang-orang yang belum baligh dari kalangan kamu, meminta
izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu), dalam tiga
masa, (iaitu) sebelum sembahyang subuh, dan ketika kamu
membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari, dan sesudah
sembahyang Isyak, itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya
terdedah aurat kamu padanya). Kamu dan mereka tidaklah
bersalah kemudian daripada tiga masa yang tersebut, (kerana
mereka) orang-orang yang selalu keluar masuk kepada kamu, dan
kamu masing-masing sentiasa berhubung rapat antara satu dengan
yang lain. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-
ayatNya (yang menjelaskan hukum-hukumNya), dan (ingatlah)
Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

59@ Dan apabila kanak-kanak dari kalangan kamu telah baligh,
maka hendaklah mereka meminta izin sama seperti cara orang-
orang (yang telah cukup umur) yang tersebut dahulu, meminta
izin. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya
(yang menjelaskan hukum-hukumNya) dan (ingatlah) Allah Maha
Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

60@ Dan mana-mana perempuan tua yang telah putus kedatangan
haid, yang tidak mempunyai harapan berkahwin lagi maka tidak
ada salahnya mereka menanggalkan pakaian luarnya, dengan tidak
bertujuan mendedahkan perhiasan mereka, dalam pada itu
perbuatan mereka menjaga kehormatannya (dengan tidak
menanggalkan pakaian luarnya itu adalah) lebih baik bagi
mereka, dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha
Mengetahui.

61@ Tidak ada salahnya bagi orang buta, dan tidak ada salahnya
bagi orang tempang, dan tidak ada salahnya bagi orang sakit
(jika masing-masing tidak menjalankan sesuatu perintah
disebabkan keuzurannya menghendaki ia berlaku demikian), dan
juga tidak ada salah bagi kamu (termasuk orang-orang yang
tersebut turut sama) makan di rumah kamu sendiri, atau
di rumah bapa kamu, atau di rumah ibu kamu, atau di rumah
saudara kamu yang lelaki, atau di rumah saudara kamu yang
perempuan, atau di rumah bapa saudara kamu (sebelah bapa),
atau di rumah emak saudara kamu (sebelah bapa), atau di rumah
bapa saudara kamu (sebelah ibu), atau di rumah emak saudara
kamu (sebelah ibu), atau di rumah yang kamu kuasai kuncinya,
atau di rumah sahabat kamu, tidak juga menjadi salah bagi
kamu, makan bersama-sama atau berasing-asing. Maka apabila
kamu masuk ke mana-mana rumah, hendaklah kamu memberi salam
kepada (sesiapa yang seperti) kamu dengan memohon kepada Allah
cara hidup yang berkat lagi baik. Demikianlah Allah
menerangkan ayat-ayat (yang menjelaskan hukum-hukumNya),
supaya kamu memahaminya.

62@ Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman
ialah mereka yang beriman kepada Allah dan RasulNya, dan
apabila mereka turut bersama-sama dengan Rasulullah dalam
sesuatu perkara yang memerlukan perhimpunan ramai, tidaklah
mereka meninggalkan majlis perhimpunan itu sebelum mereka
meminta izin kepadanya. Sesungguhnya orang-orang yang meminta
izin kepadamu (wahai Muhammad) itulah orang-orang yang beriman
kepada Allah dan RasulNya. Maka apabila meminta izin kepadamu
untuk pergi menjalankan sesuatu urusan mereka, maka izinkanlah
bagi sesiapa yang engkau kehendaki di antara mereka, dan
mintalah ampun kepada Allah untuk mereka, sesungguhnya Allah
Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

63@ Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan Rasulullah
di antara kamu seperti seruan atau panggilan sesama kamu,
sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang di antara kamu yang
menarik diri ke luar (dari majlis Nabi) secara berselindung
dan bersembunyi. Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari
perintahnya, beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa
bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi
sakitnya.

64@ Ketahuilah ! Sesungguhnya Allah jualah yang menguasai
segala yang ada di langit dan di bumi. Sesungguhnya Ia
mengetahui keadaan yang kamu berada padanya (wahai umat
manusia), dan pada hari umat manusia itu kembali kepadaNya,
maka Ia akan menerangkan kepada mereka segala yang mereka
kerjakan, kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap
tiap sesuatu.

No comments:

Post a Comment