Wednesday 2 March 2016

Al Quran Indonesia. 033. Surah Al Ahzab (Golongan Bersekutu)..

Al Quran Indonesia. 033. Surah Al Ahzab (Golongan Bersekutu)..

BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

1@ Wahai Nabi ! Tetaplah bertaqwa kepada Allah, dan janganlah
engkau patuhi kehendak orang-orang kafir dan orang-orang
munafik. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha
Bijaksana.

2@ Dan turutlah akan apa yang diwahyukan kepadamu dari
Tuhanmu, (dan janganlah menurut adat resam Jahiliyah),
sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan
apa yang kamu lakukan.

3@ Dan berserahlah kepada Allah (dan janganlah menumpukan
harapanmu kepada yang lain), kerana cukuplah Allah menjadi
Pentadbir urusanmu.

4@ (Diperintahkan dengan yang demikian kerana) Allah tidak
sekali-kali menjadikan seseorang mempunyai dua hati dalam
rongga dadanya, dan Ia tidak menjadikan isteri-isteri yang
kamu “ zihar” kan itu sebagai ibu kamu, dan Ia juga tidak
menjadikan anak-anak angkat kamu, sebagai anak kamu sendiri.
(Segala yang kamu dakwakan mengenai perkara-perkara) yang
tersebut itu hanyalah perkataan kamu dengan mulut kamu sahaja.
Dan (ingatlah) Allah menerangkan yang benar dan Dialah jua
yang memimpin ke jalan yang betul.

5@ Panggillah anak-anak angkat itu dengan ber ” bin” kan
kepada bapa-bapa mereka sendiri, cara itulah yang lebih adil
di sisi Allah. Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui
bapa-bapa mereka, maka panggillah mereka sebagai saudara-
saudara kamu yang seugama dan sebagai “ maula-maula” kamu. Dan
kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu
tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah
perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan
(ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

6@ Nabi itu lebih menolong dan lebih menjaga kebaikan orang-
orang yang beriman daripada diri mereka sendiri, dan isteri-
isterinya adalah menjadi ibu mereka. Dan orang-orang yang
mempunyai pertalian kerabat, setengahnya lebih berhak
(mewarisi) akan setengahnya yang lain, (menurut (hukum) Kitab
Allah) daripada orang-orang yang beriman dan orang-orang
Muhajirin (yang bukan kerabatnya), kecuali kalau kamu hendak
berbuat baik kepada sahabat-sahabat karib kamu. Hukum yang
demikian itu adalah tertulis dalam Kitab Allah.

7@ (Teruslah bertaqwa kepada Kami) dan (ingatlah) ketika Kami
mengambil dari Nabi-nabi (umumnya), perjanjian setia mereka,
dan (khasnya) dari engkau sendiri (wahai Muhammad), dan dari
Nabi Nuh, dan Nabi Ibrahim, dan Nabi Musa, serta. Nabi Isa
ibni Maryam, dan Kami telah mengambil dari mereka, perjanjian
setia yang teguh (bagi menyempurnakan apa yang ditugaskan
kepada mereka),

8@ (Tuhan berbuat demikian) supaya Ia menyoal orang-orang yang
benar beriman tentang kebenaran iman mereka (untuk
menyempurnakan balasan baik mereka), dan (sebaliknya) Ia telah
menyediakan bagi orang-orang yang kafir, azab seksa yang tidak
terperi sakitnya.

9@ Wahai orang-orang yang beriman, kenangkanlah nikmat Allah
yang dilimpahkanNya kepada kamu. Semasa kamu didatangi tentera
(Al Ahzaab), lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut
(yang kencang) serta angkatan tentera (dari malaikat) yang
kamu tidak dapat melihatnya. Dan (ingatlah) Allah sentiasa
melihat apa yang kamu lakukan.

10@ Masa itu ialah masa tentera musuh datang melanggar kamu
dari sebelah hulu dan dari sebelah hilir (tempat pertahanan)
kamu, dan masa itu ialah masa pemandangan mata kamu tidak
berketentuan arah (kerana gempar dan bingung) serta hati pun
resah gelisah (kerana cemas takut), dan kamu masing-masing
pula menyangka terhadap Allah dengan berbagai-bagai sangkaan.

11@ Pada saat itulah diuji orang-orang yang beriman, dan
digoncangkan perasaan dan pendiriannya dengan goncangan yang
amat dahsyat.

12@ Dan lagi masa itu ialah masa orang-orang munafik dan
orang-orang yang tidak sihat dan tidak kuat iman dalam hatinya
berkata, “ Allah dan RasulNya tidak menjanjikan kepada kita
melainkan perkara yang memperdayakan sahaja.”

13@ Dan juga masa itu ialah masa segolongan di antara mereka
berkata, “ Wahai penduduk Yathrib, tempat ini bukan tempat
bagi kamu (untuk berjuang di sini), oleh itu baliklah.” Dan
sebahagian dari mereka pula meminta izin kepada Nabi (hendak
balik) sambil berkata, “ Sesungguhnya rumah-rumah kami
memerlukan perlindungan.” padahal ia tidak memerlukan
perlindungan. Mereka hanya bertujuan hendak melarikan diri
(dari berjuang menegakkan Islam).

14@ Dan kalaulah tempat-tempat kediaman mereka itu diserang
oleh musuh dari segala penjurunya, kemudian mereka diajak
berpaling tadah menentang Islam, sudah tentu mereka akan
melakukannya, dan mereka tidak bertangguh lagi tentang itu
melainkan sebentar sahaja.

15@ Pada hal sesungguhnya mereka telahpun mengikat janji
dengan Allah sebelum itu, iaitu mereka tidak akan berpaling
undur (dari medan perang yang mereka hadiri). Dan (ingatlah)
janji setia dengan Allah itu akan ditanya kelak (tentang
penyempurnaannya).

16@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Kalaulah kamu melarikan
diri dari kematian atau dari pembunuhan maka perbuatan
melarikan diri itu tidak sekali-kali mendatangkan faedah
kepada kamu, dan kalaulah kamu pada hari ini terlepas
sekalipun, maka kamu tidak juga akan menikmati kesenangan
hidup melainkan sedikit masa sahaja.”

17@ Katakanlah, “ Siapakah yang dapat melindungi kamu dari
kemurkaan Allah jika Ia mahu menimpakan bala bencana kepada
kamu, atau (siapakah yang dapat menahan kemurahan Allah) jika
Ia hendak memberikan rahmat kepada kamu ?” Dan (ingatkanlah)
mereka (yang munafik) itu, bahawa mereka tidak akan beroleh
sesiapapun (yang lain dari Allah) yang akan menjadi pelindung
atau penolong mereka.

18@ Sesungguhnya Allah mengetahui akan orang-orang (munafik)
yang menghalangi di antara kamu, dan orang-orang yang berkata
kepada saudara-saudaranya, “ Marilah bersatu dengan kami.”
sedang mereka tidak turut berperang melainkan sebentar sahaja.

19@ Mereka bersikap bakhil kedekut terhadap kamu (wahai orang-
orang mukmin untuk memberikan sebarang pertolongan), dalam
pada itu apabila datang (ancaman musuh yang menimbulkan)
ketakutan, engkau melihat mereka memandang kepadamu (wahai
Muhammad, meminta pertolonganmu) dengan keadaan mata mereka
berputar seperti orang yang pengsan semasa hampir mati.
Kemudian apabila hilang perasaan takut itu, mereka mencela
kamu dengan lidah yang tajam, sambil mereka tamakkan kebaikan
(yang diberikan Allah kepada kamu). Mereka itu tidak beriman,
lalu Allah gugurkan amal-amal mereka. Dan yang demikian itu
adalah mudah bagi Allah melaksanakannya.

20@ Mereka menyangka bahawa tentera “ Al Ahzaab” itu belum
pergi, dan kalaulah tentera Al Ahzaab datang semula, tentulah
mereka suka kalau mereka tinggal jauh di desa-desa bersama-
sama orang-orang Arab Badwi sambil bertanyakan berita mengenai
kamu, dan kalaulah mereka ada bersama-sama kamu (pada ketika
itu), mereka tidak akan turut berperang melainkan sebentar
sahaja.

21@ Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah
itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa
mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat,
serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak
(dalam masa susah dan senang).

22@ Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera
Al Ahzaab, berkatalah mereka, ” Inilah yang telah dijanjikan
Allah dan RasulNya kepada kami dan benarlah (apa yang telah
dijanjikan) Allah dan RasulNya.” Dan (angkatan tentera musuh
yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada
mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri
mereka bulat-bulat kepada Allah.

23@ Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap
benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah
(untuk berjuang membela Islam), maka di antara mereka ada yang
telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid),
dan di antaranya ada yang menunggu giliran, dan mereka pula
tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.

24@ (Berlakunya yang demikian) supaya Allah membalas orang-
orang yang benar disebabkan kebenaran mereka, dan menyeksa
orang-orang yang munafik jika Ia kehendaki, atau Ia menerima
taubat mereka. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi
Maha Mengasihani.

25@ Dan Allah telah menghalau kembali (angkatan tentera)
orang-orang yang kafir itu (ke tempat masing-masing) dengan
keadaan mereka geram marah (kerana gagal dan hampa), mereka
tidak mendapat sebarang keuntungan. Dan Allah selamatkan
orang-orang yang beriman dari bencana menghadapi peperangan
itu. Dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.

26@ Dan Ia menurunkan golongan Ahli Kitab (kaum Yahudi) yang
membantu tentera musuh itu, dari benteng-benteng mereka
(menyerah diri), setelah diisikanNya hati mereka dengan
perasaan gerun. (Lalu mereka diadili dan dijatuhkan (hukuman),
sebahagian di antaranya kamu bunuh, dan sebahagian lagi kamu
tawan.

27@ Dan Ia menjadikan kamu mewarisi tanah-tanah dan rumah-
rumah serta harta benda mereka, dan juga tanah-tanah
(di negeri-negeri lain) yang belum kamu menjejaknya. Dan
(ingatlah) adalah Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

28@ Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, “ Sekiranya
kamu semua mahukan kehidupan dunia (yang mewah) dan
perhiasannya (yang indah), maka marilah supaya aku berikan
kepada kamu pemberian mut’ah (sagu hati), dan aku lepaskan
kamu dengan cara yang sebaik-baiknya.

29@ Dan sekiranya kamu semua mahukan (keredaan) Allah dan
RasulNya serta (nikmat kemewahan) di negeri akhirat maka
sesungguhnya Allah menyediakan bagi orang-orang yang berbuat
baik di antara kamu, pahala yang besar.”

30@ Wahai isteri-isteri Nabi, sesiapa di antara kamu yang
melakukan sesuatu perbuatan keji yang nyata, nescaya akan
digandakan azab seksa baginya dua kali ganda. Dan (hukuman)
yang demikian itu adalah mudah bagi Allah melaksanakannya.

31@ Dan sesiapa di antara kamu semua tetap taat kepada Allah
dan RasulNya serta mengerjakan amal yang soleh, Kami akan beri
kepadanya pahala amalnya itu dua kali ganda, dan Kami sediakan
baginya limpah kurnia yang mulia.

32@ Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti
mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh
itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa
bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh
menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya
(menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah
dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).

33@ Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta
janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh
orang-orang Jahiliyah zaman dahulu, dan dirikanlah sembahyang
serta berilah zakat, dan taatlah kamu kepada Allah dan
RasulNya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya
itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang
mencemarkan diri kamu (wahai) “ Ahlul Bait” dan hendak
membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang
keji).

34@ Dan ingatlah (serta amalkanlah) apa yang dibaca di rumah
kamu dari ayat-ayat Allah (Al Quran) dan hikmah pengetahuan
(hadis-hadis Rasulullah). Sesungguhnya Allah Maha Halus
tadbirNya, lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.

35@ Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-
orang perempuan yang Islam, dan orang-orang lelaki yang
beriman serta orang-orang perempuan yang beriman, dan orang-
orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat,
dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan
yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-
orang perempuan yang sabar, dan orang-orang lelaki yang
merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan yang
merendah diri (kepada Allah), dan orang-orang lelaki yang
bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah, dan
orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan
yang berpuasa, dan orang-orang lelaki yang memelihara
kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara
kehormatannya, dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah
banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama
Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka
semuanya keampunan dan pahala yang besar.

36@ Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki
dan perempuan, apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan
mengenai sesuatu perkara (tidaklah harus mereka) mempunyai
hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan
sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka
sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.

37@ Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada
orang yang telah dikurniakan oleh Allah (dengan nikmat Islam)
dan yang engkau juga telah berbuat baik kepadanya, “ Jangan
ceraikan isterimu itu dan bertaqwalah kepada Allah.” sambil
engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan
menyatakannya, dan engkau pula takut kepada cacian manusia
padahal Allah jualah yang berhak engkau takuti (melanggar
perintahNya). Kemudian setelah Zaid selesai habis kemahuannya
terhadap isterinya (dengan menceraikannya), Kami kahwinkan
engkau dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang-orang
yang beriman untuk berkahwin dengan isteri-isteri anak-anak
angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah selesai
habis kemahuannya terhadap isterinya (lalu menceraikannya).
Dan sememangnya perkara yang dikehendaki Allah itu tetap
berlaku.

38@ Tidaklah ada sebarang keberatan yang ditanggung oleh Nabi
dalam melaksanakan perkara yang telah ditetapkan Allah
baginya. (Yang demikian itu) adalah menurut peraturan Allah
yang tetap, yang berlaku juga kepada Nabi-nabi yang telah
lalu. Dan (ingatlah) perintah Allah itu adalah satu ketetapan
yang ditentukan berlakunya.

39@ (Nabi-nabi yang telah lalu itu) ialah orang-orang yang
menyampaikan syariat Allah serta mereka takut melanggar
perintahNya, dan mereka pula tidak takut kepada sesiapa pun
melainkan kepada Allah. Dan cukuplah Allah menjadi Penghitung
(segala yang dilakukan oleh makhluk-makhlukNya untuk membalas
mereka).

40@ Bukanlah Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak
angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang dari orang
lelaki kamu, tetapi ia adalah Rasul Allah dan kesudahan segala
Nabi-nabi. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Mengetahui akan
tiap-tiap sesuatu.

41@ Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada
Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta
sebutan yang sebanyak-banyaknya,

42@ Dan bertasbihlah kamu kepadaNya pada waktu pagi dan
petang.

43@ Dialah yang memberi rahmat kepada kamu dan malaikatNya
pula (berdoa bagi kamu), untuk mengeluarkan kamu dari gelap-
gelita (kufur dan maksiat) kepada cahaya yang terang-benderang
(iman dari taat), dan adalah Ia sentiasa Melimpah-limpah
rahmatNya kepada orang-orang yang beriman (di dunia dan
di akhirat).

44@ Sambutan penghormatan yang akan diberi Tuhan kepada mereka
semasa menemuiNya ialah ucapan “ Salam” (selamat sejahtera),
dan Ia telah menyediakan untuk mereka pahala balasan yang
mulia.

45@ Wahai Nabi, sesungguhnya Kami mengutusmu sebagai saksi
(terhadap umatmu), dan pembawa berita gembira (kepada orang-
orang yang beriman) serta pemberi amaran (kepada orang-orang
yang ingkar).

46@ Dan juga sebagai penyeru (umat manusia seluruhnya) kepada
ugama Allah dengan taufiq yang diberiNya, dan sebagai lampu
yang menerangi.

47@ Dan (dengan itu) sampaikanlah berita yang mengembirakan
kepada orang-orang yang beriman, bahawa sesungguhnya mereka
akan beroleh limpah kurnia yang besar dari Allah.

48@ Dan janganlah engkau menurut kehendak orang-orang kafir
dan orang-orang munafik dan janganlah engkau hiraukan usikan
dan celaan mereka, serta berserahlah kepada Allah (memelihara
keadaanmu), dan cukuplah Allah menjadi Pelindung (yang
menyelamatkanmu).

49@ Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu berkahwin
dengan perempuan-perempuan yang beriman, kemudian kamu
ceraikan mereka sebelum kamu menyentuhnya, maka tiadalah kamu
berhak terhadap mereka mengenai sebarang idah yang kamu boleh
hitungkan masanya. Oleh itu, berilah “ mut’ah” (pemberian sagu
hati) kepada mereka, dan lepaskanlah mereka dengan cara yang
sebaik-baiknya.

50@ Wahai Nabi, sesungguhnya Kami telah halalkan bagimu
isteri-isterimu yang engkau berikan maskahwinnya, dan hamba-
hamba perempuan yang engkau miliki dari apa yang telah
dikurniakan Allah kepadamu sebagai tawanan perang, dan (Kami
telah halalkan bagimu berkahwin dengan sepupu-sepupumu,
iaitu) anak-anak perempuan bapa saudaramu (dari sebelah bapa)
serta anak-anak perempuan emak saudaramu (dari sebelah bapa),
dan anak-anak perempuan bapa saudaramu (dari sebelah ibu)
serta anak-anak perempuan emak saudaramu (dari sebelah ibu)
yang telah berhijrah bersama-sama denganmu, dan (Kami telah
halalkan bagimu) mana-mana perempuan yang beriman yang
memberikan dirinya kepada Nabi (untuk dikahwininya dengan
tidak membayar maskahwin) kalaulah Nabi suka berkahwin
dengannya, perkahwinan yang demikian adalah khas bagimu
semata-mata, bukan bagi orang-orang yang beriman umumnya,
sesungguhnya Kami telah mengetahui apa yang Kami wajibkan
kepada orang-orang mukmin mengenai isteri-isteri mereka dan
hamba-hamba perempuan yang mereka miliki, supaya tidak menjadi
keberatan bagimu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun,
lagi Maha Mengasihani.



51@ Engkau boleh menangguhkan sesiapa yang engkau kehendaki
dari mereka dan engkau boleh mendamping, sesiapa yang engkau
kehendaki, dan sesiapa yang engkau hendak mendampinginya
kembali dari mereka yang telah engkau jauhi itu maka tidaklah
menjadi salah bagimu melakukannya, kebebasan yang diberikan
kepadamu itu (bila diketahui oleh mereka) adalah lebih dekat
untuk mententeramkan hati mereka, dan menjadikan mereka tidak
berdukacita, serta menjadikan mereka pula reda akan apa yang
engkau lakukan kepada mereka semuanya. Dan (ingatlah) Allah
sedia mengetahui apa yang ada dalam hati kamu, dan Allah
adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar.

52@ Tidak halal bagimu berkahwin dengan perempuan-perempuan
yang lain sesudah (isteri-isterimu yang ada) itu, dan engkau
juga tidak boleh menggantikan mereka dengan isteri-isteri yang
baharu sekalipun engkau tertarik hati kepada kecantikan
mereka, kecuali hamba-hamba perempuan yang engkau miliki. Dan
(ingatlah) Allah sentiasa Mengawasi tiap-tiap sesuatu.

53@ Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk
ke rumah Nabi (menunggu makanan masak kerana hendak makan
bersama), kecuali kamu dijemput untuk menghadiri jamuan, bukan
dengan menunggu-nunggu masa sajiannya, tetapi apabila kamu
dijemput maka masuklah (pada waktu yang ditetapkan), kemudian
setelah kamu makan maka hendaklah masing-masing bersurai dan
janganlah duduk bersenang-senang dengan berbual-bual.
Sesungguhnya yang demikian itu menyakiti dan menyusahkan Nabi
sehingga ia merasa malu (hendak menyatakan hal itu) kepada
kamu, sedang Allah tidak malu daripada menyatakan kebenaran.
Dan apabila kamu meminta sesuatu yang harus diminta dari
isteri-isteri Nabi, maka mintalah kepada mereka dari sebalik
tabir. Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati
mereka. Dan kamu tidak boleh sama sekali menyakiti Rasul Allah
dan tidak boleh berkahwin dengan isteri-isterinya sesudah ia
wafat selama-lamanya. Sesungguhnya segala yang tersebut itu
adalah amat besar dosanya di sisi Allah.

54@ (Awasilah keadaan-keadaan kamu, kerana) jika kamu nyatakan
sesuatu atau kamu sembunyikan dia, maka sesungguhnya Allah
sentiasa Mengetahui akan segala-galanya.

55@ Tidak ada salahnya kepada perempuan-perempuan (yang tidak
berpakaian yang melindungi anggota yang haram dipandang oleh
lelaki asing itu) menemui bapa-bapa mereka, dan anak-anak
lelaki mereka, dan saudara-saudara lelaki mereka, dan anak-
anak lelaki saudara-saudara lelaki mereka, dan anak-anak
lelaki saudara-saudara perempuan mereka, dan perempuan-
perempuan Islam mereka, serta hamba-hamba yang dimiliki oleh
mereka. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah
sentiasa Menyaksikan tiap-tiap sesuatu.

56@ Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi
segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad
s.a.w), wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu
kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan
yang sepenuhnya.

57@ Sesungguhnya orang-orang yang melakukan perkara yang tidak
diredai Allah dan RasulNya, Allah melaknatkan mereka di dunia
dan di akhirat, dan menyediakan untuk mereka azab seksa yang
menghina.

58@ Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-
orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang
beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat
dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya
mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan
berbuat dosa yang amat nyata.

59@ Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak
perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya
melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa
mereka keluar), cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka
dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu
mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

60@ Demi sesungguhnya, jika orang-orang munafik, dan orang-
orang yang ada penyakit (syak ragu-ragu) dalam hatinya, serta
orang-orang yang menyebarkan berita-berita dusta di Madinah
itu tidak berhenti (dari perbuatan jahat masing-masing),
nescaya Kami akan mendesakmu memerangi mereka, sesudah itu
mereka tidak akan tinggal berjiran denganmu di Madinah lagi
melainkan sebentar sahaja,

61@ Serta mereka tetap ditimpa laknat. Di mana sahaja mereka
ditemui, mereka ditangkap dan dibunuh habis-habisan.

62@ Yang demikian adalah menurut “ Sunnatullah” (undang-undang
peraturan Allah yang telah lalu), dan engkau tidak sekali-kali
akan mendapati sebarang perubahan bagi “ Sunnatullah” itu.

63@ Manusia bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang
kedatangan hari kiamat, katakanlah, “ Sesungguhnya pengetahuan
mengenainya hanyalah ada di sisi Allah.” Dan apa jalannya
engkau dapat mengetahui ? (boleh jadi masa datangnya tidak
lama lagi).

64@ Sesungguhnya Allah telah melaknat orang-orang kafir dan
menyediakan bagi mereka api neraka yang marak menjulang,

65@ Kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya, mereka pula
tidak akan memperoleh sesiapapun yang akan menjadi pelindung
atau penolong.

66@ Pada masa muka mereka dibalik-balikkan dalam neraka,
mereka berkata (dengan sesalnya), “ Alangkah baiknya kalau
kami dahulu (semasa di dunia) taat kepada Allah serta taat
kepada Rasul Allah.

67@ Dan mereka berkata lagi, “ Wahai Tuhan kami, sesungguhnya
kami telah mematuhi kehendak ketua-ketua dan orang-orang besar
kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar.

68@ Wahai Tuhan kami, berilah mereka azab sengsara dua kali
ganda, dan laknatkanlah mereka dengan laknat yang sebesar-
besarnya !”

69@ Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadi
seperti orang-orang (Yahudi) yang telah mencaci Nabi Musa,
lalu Allah membersihkannya dari segala cacian yang mereka
katakan, dan adalah dia seorang yang mulia di sisi Allah.

70@ Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah,
dan katakanlah perkataan yang tepat, benar (dalam segala
perkara),

71@ Supaya Ia memberi taufiq dengan menjayakan amal-amal kamu,
dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang
taat kepada Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya ia telah
berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan.

72@ Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah
(Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk
memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak
dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka
persediaan untuk memikulnya), dan (pada ketika itu) manusia
(dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya.
(Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka
melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang
tidak patut dikerjakan.

73@ (Dengan kesanggupan manusia memikul amanah itu maka)
akibatnya Allah akan menyeksa orang-orang lelaki yang munafik
serta orang-orang perempuan yang munafik, dan orang-orang
lelaki yang musyrik serta orang-orang perempuan yang musyrik,
dan juga Allah akan menerima taubat orang-orang lelaki yang
beriman serta orang-orang perempuan yang beriman. Dan
sememangnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

No comments:

Post a Comment