Wednesday 2 March 2016

Al Quran Indonesia. 026. Surah Asy Syu’araa (Para Penyair)...

Al Quran Indonesia. 026. Surah Asy Syu’araa (Para Penyair)...

BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

1@ Taa, Siin, Miim.

2@ Ini ialah ayat-ayat Kitab (Al Quran) yang jelas nyata.

3@ Jangan-jangan pula engkau (wahai Muhammad), membinasakan
dirimu dengan menanggung dukacita, kerana mereka tidak menjadi
orang-orang yang beriman.

4@ Kalau Kami mahu, tentulah Kami akan turunkan kepada mereka
satu mukjizat dari langit, yang menjadikan mereka tunduk
kepadanya.

5@ Dan tidak datang kepada mereka peringatan serta pengajaran
yang baharu dari (Allah) Ar Rahman, melainkan mereka tetap
berpaling mengingkarinya.

6@ Oleh kerana mereka telah mendustakan Al Quran, maka sudah
tentu akan datang kepada mereka berita-berita (azab) mengenai
perkara yang mereka ejek-ejek itu.

7@ Masihkah mereka berdegil dan tidak memperhatikan bumi,
berapa banyak kami tumbuhkan padanya dari berbagai jenis
tanaman yang memberi banyak manfaat ?

8@ Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat satu tanda
(yang membuktikan kekuasaan dan rahmat pengurniaan Allah), dan
(dalam pada itu), kebanyakan mereka tidak juga beriman.

9@ Dan sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) Dialah sahaja
Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.

10@ Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Tuhanmu menyeru Nabi
Musa, “ Hendaklah engkau mendatangi kaum yang zalim,

11@ Iaitu kaum Firaun, tidakkah mereka mahu mengawal diri dari
kemurkaanKu ?”

12@ Nabi Musa merayu dengan berkata, “ Wahai Tuhanku,
sesungguhnya aku takut bahawa mereka akan mendustakan daku.

13@ Dan akan sempit pula dadaku serta tidak lancar lidahku,
oleh itu utuskanlah perintahMu kepada Harun (supaya ia
membantuku).

14@ Dan lagi mereka ada mengemukakan satu tuduhan jenayah
terhadapku, oleh itu aku takut mereka akan membunuhku.”

15@ Allah berfirman, “ Jangan ! Jangan fikir (akan berlaku apa
yang engkau bimbangkan itu) ! Oleh itu pergilah kamu berdua
membawa mukjizat-mukjizat Kami (yang membuktikan kebenaran
kamu), sesungguhnya Kami ada bersama-sama kamu, mendengar."

16@ “ Maka pergilah kamu kepada Firaun, kemudian katakanlah
kepadanya, sesungguhnya kami adalah utusan Tuhan sekalian
alam.

17@ Menyuruhmu membebaskan kaum Bani Israil mengikut kami.”

18@ Firaun menjawab, “ Bukankah kami telah memeliharamu dalam
kalangan kami semasa engkau kanak-kanak yang baharu lahir,
serta engkau telah tinggal dalam kalangan kami beberapa tahun
dari umurmu ?

19@ Dan (bukankah) engkau telah melakukan satu perbuatan
(jenayah) yang telah engkau lakukan dan (dengan itu) engkau
dari orang-orang yang tidak mengenang budi ?”

20@ Nabi Musa berkata, “ Aku melakukan perbuatan yang demikian
sedang aku ketika itu dari orang-orang yang belum mendapat
petunjuk.

21@ Lalu aku melarikan diri dari kamu, ketika aku merasa takut
kepada kamu, kemudian Tuhanku mengurniakan daku ilmu
pengetahuan ugama, dan menjadikan daku seorang RasulNya.

22@ Dan budimu memeliharaku yang engkau bangkit-bangkitkan itu
adalah kerana engkau telah bertindak memperhambakan kaum Bani
Israil."

23@ Firaun berkata (dengan sombongnya), “ Dan apa dia Tuhan
sekalian alam itu ?”

24@ Nabi Musa menjawab. “ Dialah yang memiliki dan
mentadbirkan langit dan bumi serta segala yang ada di antara
keduanya, kalaulah kamu mahu mendapat keyakinan dengan
berdalil maka inilah jalannya.”

25@ Firaun berkata kepada orang-orang yang ada
di sekelilingnya, “ Tidakkah kamu dengar (apa yang dikatakan
olehnya) ?”

26@ Nabi Musa menegaskan lagi, “ Dialah Tuhan yang memiliki
dan memelihara kamu dan Tuhan datuk nenek kamu yang telah
lalu.”

27@ Firaun berkata (kepada orang-orangnya), “ Sebenarnya Rasul
yang diutuskan kepada kamu ini, sungguh gila ?”

28@ Nabi Musa (menerangkan lagi tentang keesaan Allah dan
kekuasaanNya dengan) berkata, “ Dialah yang memiliki dan
menguasai timur dan barat serta segala yang ada di antara
keduanya, kalau kamu orang-orang yang berakal tentulah
memahamiNya !”

29@ Firaun berkata, “ Demi sesungguhnya ! Jika engkau
menyembah Tuhan yang lain daripadaku, sudah tentu aku akan
menjadikan engkau dari orang-orang yang dipenjarakan.”

30@ Nabi Musa menjawab, “ Adakah (engkau akan memenjarakan
daku juga) walau pun aku membawa kepadamu sesuatu bukti yang
jelas nyata ?”

31@ Firaun berkata, “ Kalau demikian, bawalah bukti itu jika
betul engkau dari orang-orang yang benar.”

32@ Nabi Musa pun mencampakkan tongkatnya, maka tiba-tiba
tongkatnya itu menjadi seekor ular yang jelas nyata.

33@ Dan ia mengeluarkan tangannya, maka tiba-tiba tangannya
menjadi putih (bersinar-sinar) bagi orang-orang yang
melihatnya.

34@ Firaun berkata kepada ketua-ketua kaum yang ada
dikelilingnya, “ Sesungguhnya orang ini (Musa) ialah seorang
ahli sihir yang mahir.

35@ Ia bertujuan hendak mengeluarkan kamu dari negeri kamu
dengan sihirnya, maka apa yang kamu syorkan ?”

36@ Mereka berkata, “ Tangguhkanlah dahulu (sebarang tindakan)
terhadapnya dan terhadap saudaranya, serta hantarkanlah
ke bandar-bandar (negeri Mesir) orang-orang yang mengumpulkan
(ahli-ahli sihir),

37@ Supaya mereka membawa kepadamu segala ahli sihir yang
mahir.”

38@ Lalu dikumpulkanlah ahli-ahli sihir itu pada satu masa
yang ditentukan, pada hari (perayaan) yang termaklum.

39@ Dan dikatakan kepada orang ramai, “ Berkumpullah kamu
semuanya,

40@ Semoga kita (tetap) mengikut (ugama) ahli-ahli sihir itu
kiranya merekalah orang-orang yang menang.”

41@ Maka ketika ahli-ahli sihir itu datang, berkatalah mereka
kepada Firaun, “ Benarkah kami akan beroleh upah, kiranya
kamilah orang-orang yang menang ?”

42@ Firaun menjawab, “ Benar, (kamu akan mendapatnya) dan
sesungguhnya kamu dengan itu akan menjadi dari orang-orang
yang dekat kepadaku.”

43@ Nabi Musa berkata kepada mereka, “ Campakkanlah dahulu apa
yang kamu hendak campakkan.”

44@ Lalu mereka mencampakkan tali-tali dan tongkat-tongkat
mereka sambil berkata, “ Demi kekuasaan Firaun, sesungguhnya
sudah tetap kamilah orang-orang yang akan menang.”

45@ Kemudian Nabi Musa pula mencampakkan tongkatnya, tiba-tiba
tongkatnya itu menelan apa yang mereka pura-pura adakan
(dengan sihir mereka).

46@ Maka (kemenangan Nabi Musa menjadikan) ahli-ahli sihir itu
segera merebahkan diri, sujud.

47@ Sambil berkata, “ Kami beriman kepada Tuhan sekalian alam,

48@ Tuhan Nabi Musa dan Nabi Harun.”

49@ Firaun berkata, " Patutkah kamu beriman kepadanya sebelum
aku izinkan kamu ? Sesungguhnya dialah (Musa) ketua kamu yang
mengajar kamu ilmu sihir, oleh itu kamu akan mengetahui kelak
(akibatnya). Demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan
kaki kamu dengan bersilang, kemudian aku akan memalang kamu
semuanya.”

50@ Mereka menjawab, “ (Ugutanmu itu) tidaklah menjadi hal !
Sesungguhnya kami (tidak gentar), kerana kepada Tuhan kamilah
kembalinya kami.



51@ Sesungguhnya kami amat berharap supaya Tuhan Kami
mengampunkan dosa-dosa kami, kerana kamilah orang-orang yang
mula-mula beriman (dalam peristiwa ini).”

52@ (Allah berfirman), Dan Kami wahyukan kepada Nabi Musa,
“ Hendaklah engkau membawa hamba-hambaKu (kaummu) keluar pada
waktu malam, sesungguhnya kamu akan dikejar (oleh Firaun dan
tenteranya).”

53@ (Setelah mengetahui keadaan itu) maka Firaun mengutus
(orang-orangnya) ke bandar-bandar (negeri Mesir), untuk
mengumpulkan (tenteranya),

54@ (Sambil berkata kepada mereka), “ Sesungguhnya orang-orang
(Musa) itu adalah segolongan kecil,

55@ Dan sesungguhnya mereka melakukan perkara yang menyebabkan
kita marah,

56@ Dan sesungguhnya kita sekalian, sentiasa beringat dan
berjaga-jaga.”

57@ Dengan sebab itu maka kami jadikan mereka (Firaun dan
tenteranya) keluar meninggalkan kebun-kebun dan matair,

58@ Dan juga khazanah-khazanah kekayaan serta tempat tinggal
yang mulia.

59@ Demikianlah keadaannya, dan Kami jadikan semua peninggalan
Firaun dan tenteranya milik Bani Israil sebagai pusaka.

60@ Maka Firaun dan tenteranya pun mengejar mereka ketika
matahari terbit.

61@ Setelah kedua-dua kumpulan itu nampak satu sama lain,
berkatalah orang-orang Nabi Musa, “ Sesungguhnya kita akan
dapat ditawan.”

62@ Nabi Musa menjawab, “ Tidak ! Jangan fikir (akan berlaku
yang demikian) ! Sesungguhnya aku sentiasa disertai oleh
Tuhanku (dengan pemuliharaan dan pertolonganNya), Ia akan
menunjuk jalan kepadaku.”

63@ Lalu Kami wahyukan kepada Nabi Musa, “ Pukullah laut itu
dengan tongkatmu.” (Setelah dipukul) maka terbelahlah laut itu
(kepada beberapa bahagian), lalu menjadilah air tiap-tiap
bahagian yang terbelah itu terangkat seperti gunung yang
besar.

64@ Dan Kami dekatkan golongan yang lain itu ke situ.

65@ Dan Kami selamatkan Nabi Musa serta orang-orang yang
bersama dengannya, semuanya.

66@ Kemudian Kami tenggelamkan golongan yang lain (yang
mengejarnya).

67@ Sesungguhnya pada peristiwa yang demikian, terdapat satu
tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah), dan (dalam pada
itu), kebanyakkan mereka tidak juga mahu beriman.

68@ Dan sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad), Dialah sahaja
Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.

69@ Dan bacakanlah pula kepada mereka perihal Nabi Ibrahim.

70@ Ketika ia berkata kepada bapanya dan kaumnya, “ Apa yang
kamu sembah ?”

71@ Mereka menjawab, “ Kami menyembah berhala-berhala, maka
(kerana memuliakannya) kami berkekalan menyembahnya.”

72@ Nabi Ibrahim bertanya, “ Adakah berhala-berhala itu
mendengar kamu semasa kamu menyerunya ?

73@ Atau mereka dapat memberikan sesuatu yang ada manfaatnya
kepada kamu ataupun menimpakan sesuatu bahaya ?”

74@ Mereka menjawab, “ (Tidak satupun !) Bahkan kami dapati
datuk nenek kami berbuat demikian.”

75@ Nabi Ibrahim berkata, “ Sudahkah kamu berfikir sehingga
nampak gunanya benda-benda yang kamu sembah itu ?

76@ (Yang sekian lama disembah oleh) kamu dan datuk nenek kamu
yang dahulu ?

77@ (Aku bertanya demikian) kerana sesungguhnya berhala-
berhala itu ialah musuhKu, (aku tidak menyembah) melainkan
Allah Tuhan sekalian alam,

78@ Tuhan yang menciptakan daku (dari tiada kepada ada), maka
Dialah yang memimpin dan memberi petunjuk kepadaku,

79@ Dan Tuhan yang Dialah jua memberiku makan dan memberi
minum,

80@ Dan apabila aku sakit, maka Dialah yang menyembuhkan
penyakitku,

81@ Dan (Dialah) yang mematikan daku, kemudian Ia menghidupkan
daku,

82@ Dan (Dialah) yang aku harap-harapkan supaya mengampunkan
dosaku pada hari kiamat."

83@ “ Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan ugama,
dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh,

84@ Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum)
dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian,

85@ Dan jadikanlah daku dari orang-orang yang mewarisi Syurga
Jannatun Naiim,

86@ Dan ampunkanlah bagi bapaku, kerana sesungguhnya ia adalah
dari orang-orang yang sesat,

87@ Dan janganlah engkau hinakan daku pada hari makhluk-
makhluk dibangkitkan hidup semula,

88@ Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat
memberikan pertolongan sesuatu apapun,

89@ Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang
datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari
syirik dan penyakit munafik)."

90@ Dan (pada hari itu) didekatkan Syurga bagi orang-orang
yang bertaqwa,

91@ Dan diperlihatkan neraka jelas nyata kepada orang-orang
yang sesat,

92@ Serta dikatakan kepada mereka, " Mana dia benda-benda yang
kamu sembah dahulu,

93@ Selain dari Allah ? Dapatkah mereka menolong kamu atau
menolong dirinya sendiri ?"

94@ “ Lalu mereka dihumbankan ke dalam neraka dengan
tertiarap, jatuh bangun berulang-ulang, mereka dan orang-orang
yang sesat bersama,

95@ Termasuk juga bala tentera iblis semuanya."

96@ Mereka berkata, sambil bertengkar sesama sendiri dalam
neraka,

97@ ” Demi Allah ! Sesungguhnya kami (semasa di dunia dahulu)
adalah di dalam kesesatan yang jelas nyata,

98@ ” Kerana kami menyamakan kamu dengan Tuhan sekalian alam,

99@ Dan tiadalah yang menyesatkan kami melainkan golongan yang
berdosa.

100@ Dengan sebab itu, tiadalah kami beroleh sesiapapun yang
memberi pertolongan."



101@ ” Dan tiadalah juga sahabat karib yang bertimbang rasa.

102@ Maka alangkah baiknya kalau kami dapat ke dunia sekali
lagi, supaya kami menjadi dari orang-orang yang beriman.“

103@ Sesungguhnya pada peristiwa yang demikian itu terdapat
satu tanda (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya),
dan dalam pada itu, kebanyakan mereka tidak juga mahu beriman.

104@ Dan sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad), Dialah sahaja
Yang Maha Kuasa, lagi Maha mengasihani.

105@ (Demikian juga) kaum Nabi Nuh telah mendustakan Rasul-
rasul (yang diutus kepada mereka.)

106@ Ketika saudara mereka (Nabi Nuh), berkata kepada mereka,
” Hendaknya kamu mematuhi suruhan Allah dan menjauhi
laranganNya.

107@ Sesungguhnya aku ini ialah Rasul yang amanah, (yang
diutus oleh Allah) kepada kamu.

108@ Oleh itu, takutilah kamu akan (kemurkaan) Allah, dan
taatlah kepadaku.

109@ Dan aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah mengenai
apa yang aku sampaikan (dari Tuhanku), balasanku hanyalah
terserah kepada Allah Tuhan sekalian alam."

110@ " Maka dengan yang demikian, takutilah kamu akan
(kemurkaan) Allah, dan taatlah kepadaku.”

111@ Mereka menjawab, “ Patutkah kami percaya kepadamu, sedang
engkau semata-mata diikut oleh orang-orang yang rendah
(pangkatnya dan hina pekerjaannya) ?”

112@ Nabi Nuh berkata, “ Dan apalah ada kaitannya
pengetahuanku dengan (pangkat dan) pekerjaan mereka ?

113@ Sebenarnya hitungan amal mereka hanya terserah kepada
Tuhanku, kalaulah kamu menyedari dan memahaminya (kamu tidak
berkata demikian)."

114@ “ Dan aku tidak akan menghalau orang-orang yang beriman
(daripada bercampur-gaul denganku).

115@ Aku ini hanyalah seorang Rasul pemberi amaran yang jelas
nyata (kepada semua, tidak kira hina mulia).”

116@ Mereka (mengugut dengan) berkata, “ Jika engkau tidak
mahu berhenti (daripada menyiarkan ugamamu itu) wahai Nuh,
sudah tentu engkau akan menjadi dari orang-orang yang
direjam !”

117@ Nabi Nuh berdoa dengan berkata, “ Wahai Tuhanku !
Sesungguhnya kaumku telah mendustakan daku.

118@ Oleh itu, hukumkanlah antaraku dengan mereka, dengan
hukuman tegas (yang menegakkan yang benar dan melenyapkan yang
salah), serta selamatkanlah daku dan orang-orang yang beriman
yang bersama-sama denganku.”

119@ Maka Kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersama-
sama dengannya dalam bahtera yang penuh sarat (dengan berbagai
makhluk).

120@ Kemudian daripada itu, Kami tenggelamkan golongan (kafir)
yang tinggal (tidak turut bersama dalam bahtera).

121@ Sesungguhnya pada peristiwa yang demikian, terdapat satu
tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah), dan dalam pada itu,
kebanyakan mereka tidak juga mahu beriman.

122@ Dan sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad), Dialah sahaja
Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.

123@ (Demikian juga) kaum Aad telah mendustakan Rasul-rasul
(yang diutus kepada mereka).

124@ Ketika saudara mereka (Nabi Hud), berkata kepada mereka,
“ Hendaknya kamu mematuhi perintah Allah dan menjauhi
laranganNya.

125@ Sesungguhnya aku ini seorang Rasul yang amanah, (yang
diutus oleh Allah) kepada kamu.

126@ Oleh itu, takutilah kamu akan (kemurkaan) Allah, dan
taatlah kepadaku."

127@ “ Dan aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah
mengenai apa yang aku sampaikan (dari Tuhanku), balasanku
hanyalah terserah kepada Allah Tuhan sekalian alam."

128@ “ Patutkah kamu mendirikan pada tiap-tiap tempat yang
tinggi bangunan-bangunan yang tersergam, padahal kamu tidak
membuatnya dengan sesuatu tujuan yang baik.

129@ Dan kamu pula bersusah payah mendirikan istana-istana dan
benteng-benteng yang kukuh dengan harapan hendak kekal hidup
selama-lamanya ?

130@ Dan apabila kamu memukul atau menyeksa, kamu melakukan
yang demikian dengan kejam bengis ?

131@ Oleh itu, takutilah kamu akan (kemurkaan) Allah dan
taatlah kepadaku."

132@ “ Dan berbaktilah kamu kepada Allah yang telah menolong
kamu dengan pemberian nikmat-nikmatNya yang kamu sedia
mengetahuinya."

133@ “ Diberinya kamu binatang-binatang ternak (yang biak)
serta anak-pinak (yang ramai),

134@ Dan taman-taman (yang indah permai) serta matair-matair
(yang mengalir).

135@ Sesungguhnya aku takut, (bahawa) kamu akan ditimpa azab
seksa hari yang besar (huru-haranya).”

136@ Mereka menjawab, “ Sama sahaja bagi kami, sama ada engkau
beri nasihat pengajaran, atau engkau tidak menjadi dari orang-
orang yang memberi nasihat pengajaran.

137@ Segala apa (yang engkau katakan) ini, hanyalah adat
kebiasaan orang-orang dahulu-kala,

138@ Dan kami pula tidak akan diseksa.”

139@ Akhirnya mereka mendustakan Rasul itu, lalu Kami
binasakan mereka. Sesungguhnya pada peristiwa yang demikian,
terdapat satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah), dan
dalam pada itu, kebanyakan mereka tidak juga mahu beriman.

140@ Dan sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad), Dialah sahaja
Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.

141@ (Demikian juga) kaum Thamud telah mendustakan Rasul-rasul
(yang diutus kepada mereka),

142@ Ketika saudara mereka (Nabi Soleh), berkata kepada
mereka, “ Hendaknya kamu mematuhi perintah Allah dan menjauhi
laranganNya.

143@ Sesungguhnya aku ini Rasul yang amanah, (yang diutus oleh
Allah) kepada kamu.

144@ Oleh itu, takutilah kamu akan (kemurkaan) Allah, dan
taatlah kepadaku."

145@ “ Dan aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah
mengenai apa yang aku sampaikan (dari Tuhanku), balasanku
hanyalah terserah kepada Allah Tuhan sekalian alam."

146@ “ Adakah (kamu fikir), bahawa kamu akan dibiarkan
sentiasa bersenang-senang dalam nikmat-nikmat yang ada
di dunia ini ?,

147@ Di dalam taman-taman (yang indah permai), dan matair-
matair (yang mengalir),

148@ Dan kebun-kebun tanaman serta pohon-pohon tamar (kurma)
yang buah mayangnya halus lembut ?"

149@ “ Dan kamu memahat sebahagian dari gunung-ganang sebagai
tempat tinggal (dengan bijak dan bersungguh-sungguh)?

150@ Oleh itu, takutilah kamu akan (kemurkaan) Allah, dan
taatlah kepadaku,



151@ Dan janganlah kamu taati perintah orang-orang yang
melampaui batas,

152@ Iaitu orang-orang yang melakukan kerosakan di bumi dan
tidak membuat kebaikan.”

153@ Mereka menjawab, “ Sesungguhnya engkau ini hanyalah salah
seorang dari golongan yang kena sihir !"

154@ " Engkau hanyalah seorang manusia seperti kami, oleh itu,
bawakanlah satu tanda (mukjizat) jika betul engkau dari orang-
orang yang benar.”

155@ Nabi Soleh berkata, “ Ini adalah seekor unta betina,
(di antara cara-cara hidupnya ialah) air kamu hendaklah
menjadi bahagian minumnya sehari, dan bahagian kamu sehari,
menurut giliran yang tertentu.

156@ Dan janganlah kamu menyentuhnya dengan sesuatu yang
menyakitinya, (jika kamu menyakitinya) maka akibatnya kamu
akan dibinasakan oleh azab seksa hari yang besar (huru-
haranya).”

157@ Akhirnya mereka menikam mati unta itu, kemudian mereka
menyesal (setelah melihat kedatangan bala bencana).

158@ Lalu mereka ditimpa azab yang membinasakan. Sesungguhnya
peristiwa yang demikian mengandungi satu tanda (yang
membuktikan kekuasaan Allah), dan dalam pada itu, kebanyakan
mereka tidak juga mahu beriman.

159@ Dan sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad), Dialah sahaja
Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.

160@ (Demikian juga) kaum Nabi Lut telah mendustakan Rasul-
rasul (yang diutus kepada mereka).

161@ Ketika saudara mereka (Nabi Lut), berkata kepada mereka,
“ Hendaknya kamu mematuhi perintah Allah dan menjauhi
laranganNya.

162@ Sesungguhnya aku ini Rasul yang amanah, (yang diutus oleh
Allah) kepada kamu.

163@ Oleh itu, takutilah kamu akan (kemurkaan) Allah, dan
taatlah kepadaku."

164@ “ Dan aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah
mengenai apa yang aku sampaikan (dari Tuhanku), balasanku
hanyalah terserah kepada Allah Tuhan sekalian alam."

165@ " Patutkah kamu melakukan hubungan jenis dengan lelaki
dari kalangan manusia,

166@ Dan kamu tinggalkan apa yang diciptakan oleh Tuhan kamu
untuk kamu (melakukan hubungan yang halal) dari badan isteri-
isteri kamu ? (Kamu orang-orang yang bersalah) bahkan kamu
adalah kaum yang melampaui batas (keinginan kebanyakan
haiwan) !”

167@ Mereka menjawab, “ Sesungguhnya jika engkau tidak
berhenti, wahai Lut (daripada mencaci dan menyalahkan kami),
nescaya engkau akan diusir keluar !”

168@ Nabi Lut berkata, “ Sesungguhnya aku dari orang-orang
yang bencikan perbuatan kamu yang keji itu.”

169@ (Nabi Lut berdoa), “ Wahai Tuhanku, selamatkanlah daku
dan keluarga serta pengikut-pengikutku dari apa yang dilakukan
oleh golongan (yang jahat) itu.”

170@ Maka Kami selamatkan dia dan keluarganya serta pengikut-
pengikutnya, (semuanya)

171@ Kecuali seorang perempuan tua tertinggal dalam golongan
yang kena azab itu.

172@ Kemudian Kami hancurkan yang lain (yang menentang Nabi
Lut).

173@ Dan Kami hujani mereka dengan hujan (azab yang
membinasakan), maka amatlah buruknya hujan azab yang menimpa
kaum yang telah diberi amaran.

174@ Sesungguhnya peristiwa yang demikian, mengandungi satu
tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah), dan dalam pada itu,
kebanyakan mereka tidak juga mahu beriman.

175@ Dan sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad), Dialah sahaja
yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.

176@ (Demikian juga) penduduk “ Aikah” telah mendustakan
Rasul-rasul (yang diutus kepada mereka).

177@ Ketika Nabi Syuaib berkata kepada mereka, “ Hendaknya
kamu mematuhi perintah Allah dan menjauhi laranganNya.

178@ Sesungguhnya aku ini Rasul yang amanah, (yang diutus oleh
Allah) kepada kamu.

179@ Oleh itu, takutilah kamu akan (kemurkaan) Allah, dan
taatlah kepadaku."

180@ “ Dan aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah
mengenai apa yang aku sampaikan (dari Tuhanku), balasanku
hanyalah terserah kepada Allah Tuhan sekalian alam."

181@ “ Hendaklah kamu menyempurnakan sukatan cupak-gantang,
dan janganlah kamu menjadi golongan yang merugikan orang lain.

182@ Dan timbanglah dengan neraca yang betul timbangannya.

183@ Dan janganlah kamu mengurangi hak-hak orang ramai, dan
janganlah kamu bermaharajalela melakukan kerosakan di bumi."

184@ “ Dan (sebaliknya) berbaktilah kepada Allah yang telah
menciptakan kamu dan umat-umat yang telah lalu.”

185@ Mereka menjawab, “ Sesungguhnya engkau ini (hai Syuaib)
hanyalah salah seorang dari golongan yang kena sihir.

186@ Dan engkau hanyalah seorang manusia seperti kami, dan
sesungguhnya kami fikir engkau ini dari orang-orang yang
dusta.

187@ Oleh itu, gugurkanlah atas kami ketul-ketul (yang
membinasakan) dari langit, jika betul engkau dari orang-orang
yang benar !”

188@ Nabi Syuaib berkata, “ Tuhanku lebih mengetahui akan apa
yang kamu lakukan.”

189@ Maka mereka tetap juga mendustakannya, lalu mereka
ditimpa azab seksa hari awan mendung, sesungguhnya kejadian
itu adalah merupakan azab seksa hari yang amat besar (huru-
haranya).

190@ Sesungguhnya peristiwa yang demikian, mengandungi satu
tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah), dan dalam pada itu,
kebanyakan mereka tidak juga mahu beriman.

191@ Dan sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad), Dialah sahaja
yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.

192@ Dan sesungguhnya Al Quran (yang di antara isinya kisah-
kisah yang tersebut) adalah diturunkan oleh Allah Tuhan
sekalian alam.

193@ Ia dibawa turun oleh malaikat Jibril yang amanah.

194@ Ke dalam hatimu, supaya engkau (wahai Muhammad) menjadi
seorang dari pemberi-pemberi ajaran dan amaran (kepada umat
manusia).

195@ (Ia diturunkan) dengan bahasa Arab yang fasih serta
terang nyata.

196@ Dan sesungguhnya Al Quran (tersebut juga perihalnya dan
sebahagian dari pengajaran-pengajarannya) di dalam Kitab-kitab
ugama orang-orang yang telah lalu.

197@ (Tidakkah mereka yang musyrik sedarkan kebenaran itu) dan
tidakkah menjadi satu keterangan kepada mereka bahawa pendita-
pendita ugama Bani Israil mengetahui akan kebenaran Al Quran
itu ?

198@ Dan sekiranya Kami turunkan Al Quran kepada setengah
orang yang bukan Arab, yang tidak tahu membaca Arab,

199@ Kemudian ia (dikurniakan Tuhan dapat) membacakannya
kepada mereka, mereka tetap juga tidak mahu percayakan bacaan
itu daripada Tuhan.

200@ Demikianlah Kami masukkan perasaan (kufur ingkar) itu
ke dalam hati orang-orang yang melakukan dosa (tidak
percayakan Al Quran).



201@ Mereka tidak beriman kepada Al Quran sehingga mereka
melihat azab yang tidak terperi sakitnya,

202@ Lalu azab itu datang menimpa mereka secara mengejut,
dengan tidak mereka menyedarinya.

203@ Maka (pada saat itu) mereka akan berkata (dengan
menyesal), “ Dapatkah kiranya kami diberi tempoh ?”

204@ (Kalaulah demikian keadaan mereka) maka patutkah mereka
meminta disegerakan azab Kami ?

205@ Bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) ? Jika Kami berikan
mereka menikmati kesenangan bertahun-tahun,

206@ Kemudian mereka didatangi azab seksa yang dijanjikan
kepada mereka,

207@ (Tentulah) kesenangan yang mereka nikmati bertahun-tahun
itu tidak dapat memberikan mereka sebarang pertolongan.

208@ Dan tiadalah Kami membinasakan mana-mana negeri (yang
telah dibinasakan itu), melainkan setelah diutus kepadanya
lebih dahulu, Rasul-rasul pemberi amaran.

209@ Memperingatkan mereka, dan Kami tidak sekali-kali berlaku
zalim.

210@ Dan Al Quran itu pula tidak sekali-kali dibawa turun oleh
Syaitan-syaitan.

211@ Dan tidak layak bagi Syaitan-syaitan itu berbuat
demikian, dan mereka juga tidak akan dapat melakukannya.

212@ Sesungguhnya mereka dihalang sama sekali daripada
mendengar wahyu yang dibawa oleh Malaikat.

213@ Maka janganlah engkau (wahai Muhammad) menyembah tuhan
yang lain bersama-sama Allah, akibatnya engkau akan menjadi
dari golongan yang dikenakan azab seksa.

214@ Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu
yang dekat.

215@ Dan hendaklah engkau merendah diri kepada pengikut-
pengikutmu dari orang-orang yang beriman.

216@ Kemudian jika mereka berlaku ingkar kepadamu, maka
katakanlah, “ Sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang
kamu lakukan !”

217@ Dan berserahlah kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha
Mengasihani,

218@ Yang melihatmu semasa engkau berdiri (mengerjakan
sembahyang),

219@ Dan (melihat) gerak-gerimu di antara orang-orang yang
sujud.

220@ Sesungguhnya Dialah jua yang Maha Mendengar, lagi Maha
Mengetahui.

221@ Mahukah, Aku khabarkan kepada kamu, kepada siapakah
Syaitan-syaitan itu selalu turun ?

222@ Mereka selalu turun kepada tiap-tiap pendusta yang
berdosa,

223@ Yang mendengar bersungguh-sungguh (apa yang disampaikan
oleh Syaitan-syaitan itu), sedang kebanyakan beritanya adalah
dusta.

224@ Dan Ahli-ahli syair itu, diturut oleh golongan yang sesat
(tidak berketentuan hala).

225@ Tidakkah engkau melihat bahawa mereka merayau-rayau
dengan tidak berketentuan hala dalam tiap-tiap lembah (khayal
dan angan-angan kosong) ?

226@ Dan bahawa mereka memperkatakan apa yang mereka tidak
melakukannya ?

227@ Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh (dari
kalangan penyair-penyair itu), dan mereka pula mengingati
Allah banyak-banyak, serta mereka membela diri sesudah mereka
dianiaya. Dan (ingatlah), orang-orang yang melakukan sebarang
kezaliman, akan mengetahui kelak, ke tempat mana, mereka akan
kembali.

No comments:

Post a Comment