Wednesday 2 March 2016

Al Quran Indonesia. 031. Surah Luqman (Nasihat Luqman)...

Al Quran Indonesia. 031. Surah Luqman (Nasihat Luqman)...

BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

1@ Alif, Laam, Miim.

2@ Ini ialah ayat-ayat Kitab (Al Quran) yang mengandungi
hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap kukuh,

3@ Menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang
sedia mengerjakan amal-amal yang baik.

4@ Iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang, dan memberi
zakat, serta mereka yakin tentang adanya hari akhirat.

5@ Mereka itulah yang tetap mendapat hidayah petunjuk dari
Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya.

6@ Dan ada di antara manusia, orang yang memilih serta
membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-
perkara hiburan yang melalaikan, yang berakibat menyesatkan
(dirinya dan orang ramai) dari ugama Allah dengan tidak
berdasarkan sebarang pengetahuan, dan ada pula orang yang
menjadikan ugama Allah itu sebagai ejek-ejekan, merekalah
orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan.

7@ Dan apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami,
berpalinglah dia dengan angkuhnya, seolah-olah ada penyumbat
pada kedua telinganya, maka gembirakanlah dia dengan balasan
azab yang tidak terperi sakitnya.

8@ Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh,
mereka akan beroleh Syurga yang penuh dengan berbagai nikmat,

9@ Kekallah mereka di dalamnya. Demikian dijanjikan Allah
(janji yang tetap benar), dan Dialah jua yang Maha Kuasa, lagi
Maha Bijaksana.

10@ Ia menciptakan langit dengan tidak bertiang sebagaimana
yang kamu melihatnya, dan Ia mengadakan di bumi gunung-ganang
yang menetapnya supaya bumi itu tidak menghayun-hayunkan kamu,
dan Ia biakkan padanya berbagai jenis binatang. Dan Kami
menurunkan hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan di bumi
berbagai jenis tanaman yang memberi banyak manfaat.

11@ Ini (semuanya adalah) ciptaan Allah, maka cubalah kamu
tunjukkan kepadaKu, apakah yang telah diciptakan oleh makhluk-
makhluk yang lain daripadaNya (yang kamu sembah itu) ? (Tidak
ada sesuatu pun) bahkan orang-orang yang zalim (dengan
perbuatan syiriknya) itu berada dalam kesesatan yang jelas
nyata.

12@ Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat
kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya),
" Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu).”
Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah
terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak
bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana
sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji."

13@ Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya,
semasa ia memberi nasihat kepadanya, ” Wahai anak
kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan
sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah
satu kezaliman yang besar.”

14@ Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu
bapanya, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung
kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir
menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa
dua tahun, (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan
kepada kedua ibubapamu, dan (ingatlah), kepada Akulah jua
tempat kembali (untuk menerima balasan).

15@ Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau
mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau (dengan fikiran
sihatmu) tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah
engkau taat kepada mereka, dan bergaulah dengan mereka
di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang
yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang
soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya,
maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah
kerjakan.

16@ (Luqman menasihati anaknya dengan berkata), “ Wahai anak
kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik
atau yang buruk) sekalipun seberat biji sawi, serta ia
tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun
di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi
dan dibalasNya), kerana sesungguhnya Allah Maha Halus
pengetahuanNya, lagi Amat Meliputi akan segala yang
tersembunyi."

17@ “ Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan
suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan
perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala
bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah
dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat
melakukannya.

18@ Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang
rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi
dengan berlagak sombong, sesungguhnya Allah tidak suka kepada
tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri."

19@ “ Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga
rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya
seburuk-buruk suara ialah suara keldai.”

20@ Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan
untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada
di bumi, dan telah melimpahkan kepada kami nikmat-nikmatNya
yang zahir dan yang batin ? Dalam pada itu, ada di antara
manusia orang yang membantah mengenai (sifat-sifat) Allah
dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan atau sebarang
petunjuk, dan tidak juga berdasarkan mana-mana Kitab Allah
yang menerangi kebenaran.

21@ Dan apabila dikatakan kepada mereka (yang ingkar),
“ Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah.” Mereka
menjawab, ” (Tidak), bahkan Kami hanya menurut apa yang Kami
dapati datuk nenek kami melakukannya.” Patutkah mereka
(menurut datuk neneknya) sekalipun Syaitan mengajak mereka itu
(melakukan perbuatan yang menjerumuskan mereka) ke dalam azab
api neraka yang marak menjulang ?"

22@ Dan sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah
(dengan ikhlas) sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, maka
sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama)
yang teguh dan (ingatlah) kepada Allah jualah kesudahan segala
urusan.

23@ Dan sesiapa yang kufur ingkar, maka janganlah engkau
(wahai Muhammad) berdukacita tentang kekufurannya itu, kepada
Kamilah tempat kembalinya mereka, kemudian Kami akan
memberitahu kepada mereka tentang apa yang mereka telah
kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi
hati) yang terkandung di dalam dada.

24@ Kami akan berikan mereka menikmati kesenangan bagi
sementara (di dunia), kemudian Kami akan memaksa mereka
(dengan menyeretnya) ke dalam azab yang amat berat.

25@ Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya
kepada mereka (yang musyrik) itu, “ Siapakah yang menciptakan
langit dan bumi ?” Sudah tentu mereka akan menjawab, “ Allah.”
Ucapkanlah (wahai Muhammad), “ Alhamdulillah” (sebagai
bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian, (tidak
mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui
(hakikat tauhid dan pengertian syirik).

26@ Allah jua yang memiliki segala yang ada di langit dan
di bumi, sesungguhnya Allah Dialah jua yang Maha Kaya, lagi
sentiasa Terpuji.

27@ Dan sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena,
dan segala lautan (menjadi tinta), dengan dibantu kepadanya
tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis
Kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha
Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

28@ (Bagi Allah Yang Maha Kuasa) soal menciptakan kamu semua
(dari tiada kepada ada), dan soal membangkitkan kamu hidup
semula sesudah mati, tidak ada apa-apa sukarnya, hanyalah
seperti (mencipta dan menghidupkan semula) seorang manusia
sahaja. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.

29@ Tidakkah engkau memerhatikan bahawa Allah memasukkan malam
pada siang dan memasukkan siang pada malam (silih berganti),
dan Ia memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-
makhlukNya) ? Tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu
masa yang telah ditetapkan. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah
Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

30@ Bersifatnya Allah dengan penuh kekuasaan dan luas ilmu
pengetahuan itu kerana, bahawasanya Allah Dialah sahaja Tuhan
Yang Sebenar-benarnya, dan bahawa segala yang mereka sembah
selain dari Allah adalah palsu belaka. Dan (ingatlah)
sesungguhnya Allah Dialah Yang Maha Tinggi keadaanNya, lagi
Maha Besar (kekuasaanNya).

31@ Tidakkah engkau memerhatikan bahawasanya kapal-kapal
belayar di laut dengan nikmat Kurnia Allah, untuk
diperlihatkan kepada kamu sebahagian dari tanda-tanda
kemurahanNya ? Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi
keterangan-keterangan dan bukti (untuk berfikir) bagi tiap-
tiap (mukmin) yang tetap teguh pendiriannya, lagi sentiasa
bersyukur.

32@ Dan (orang-orang yang tidak bersifat demikian) apabila
mereka dirempuh serta diliputi oleh ombak yang besar seperti
kelompok-kelompok awan menyerkup, pada saat itu mereka semua
berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka
kepadaNya semata-mata. Kemudian bila sahaja Allah
menyelamatkan mereka ke darat maka sebahagian sahaja di antara
mereka yang bersikap adil (lalu bersyukur kepada Allah serta
mengesakanNya). Dan sememangnya tiada yang mengingkari bukti-
bukti kemurahan Kami melainkan tiap-tiap orang yang bersifat
pemungkir janji, lagi amat tidak mengenang budi.

33@ Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu, dan
takutilah akan hari (akhirat) yang padanya seseorang ibu atau
bapa tidak dapat melepaskan anaknya dari azab dosanya, dan
seorang anak pula tidak dapat melepaskan ibu atau bapanya dari
azab dosa masing-masing sedikit pun. Sesungguhnya janji Allah
itu adalah benar, maka janganlah kamu diperdayakan oleh
kehidupan dunia, dan jangan pula kamu diperdayakan oleh
bisikan dan ajakan Syaitan yang menyebabkan kamu berani
melanggar perintah Allah.

34@ Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang
hari kiamat. Dan Dialah jua yang menurunkan hujan, dan yang
mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam
rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun yang
betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada
baik atau jahat), dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui
di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha
Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuanNya.

No comments:

Post a Comment