Wednesday 2 March 2016

Al Quran Indonesia. 037. Surah As Saaffat (Teratur Berbaris)..

Al Quran Indonesia. 037. Surah As Saaffat (Teratur Berbaris)..

BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

1@ Demi (hamba-hambaKu) yang berbaris dengan berderet-deret,

2@ (Hamba-hambaKu) yang melarang (dari kejahatan) dengan
sesungguh-sungguhnya,

3@ (Hamba-hambaKu) yang membaca kandungan Kitab Suci,

4@ (Sumpah demi sumpah) sesungguhnya Tuhan kamu hanyalah Satu,

5@ Tuhan (yang mencipta serta mentadbirkan) langit dan bumi
dan segala yang ada di antara keduanya, dan Tuhan (yang
mengatur) tempat-tempat terbit matahari.

6@ Sesungguhnya Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada
penglihatan penduduk bumi) dengan hiasan bintang-bintang.

7@ Dan (Kami pelihara urusan langit itu) dengan serapi-rapi
kawalan dari (masuk campur) tiap-tiap Syaitan yang derhaka,

8@ (Dengan itu) mereka tidak dapat memasang telinga mendengar
(percakapan malaikat) penduduk langit, dan mereka pula direjam
(dengan api) dari segala arah dan penjuru,

9@ Untuk mengusir mereka, dan mereka pula beroleh azab seksa
yang tidak putus-putus.

10@ Kecuali sesiapa di antara Syaitan-syaitan itu yang curi
mendengar mana-mana percakapan (malaikat), maka ia diburu dan
diikuti (dengan rejaman) api yang menjulang lagi menembusi.

11@ (Setelah nyata kekuasaan Kami) maka bertanyalah (wahai
Muhammad) kepada mereka (yang ingkarkan hidupnya semula orang-
orang mati), Adakah diri mereka lebih sukar hendak diciptakan,
atau makhluk-makhluk lain yang Kami telah ciptakan ?
Sesungguhnya Kami telah mencipta mereka dari tanah liat (yang
senang diubah dan diciptakan semula).

12@ (Pertanyaan itu tidak juga berfaedah kepada mereka) bahkan
engkau merasa hairan (terhadap keingkaran mereka), dan
sebaliknya mereka mengejek-ejek (peneranganmu).

13@ Dan apabila diperingatkan, mereka tetap tidak mahu
menerima peringatan itu.

14@ Dan apabila mereka melihat sesuatu tanda (yang membuktikan
kekuasaan Kami dan kebenaranmu), mereka mencari-cari jalan
memperolok-olokkannya,

15@ Serta mereka berkata, “ Ini tidak lain hanyalah sihir yang
nyata."

16@ “ Adakah sesudah kita mati serta menjadi tanah dan tulang,
adakah kita akan dibangkitkan hidup semula ?

17@ Dan adakah juga datuk nenek kita yang telah lalu (akan
dibangkitkan hidup semula) ?”

18@ Jawablah (wahai Muhammad), “ Ya, benar ! (Kamu semua akan
dibangkitkan) dengan keadaan hina-dina.“

19@ (Kebangkitan ini mudah) kerana sesungguhnya ia boleh
berlaku hanyalah dengan suara sahaja, maka dengan serta merta
mereka semuanya (bangkit) melihat (apa yang akan jadi).

20@ Dan (pada saat itu) mereka berkata, ” Wahai celakanya
kami, ini ialah hari balasan !”

21@ (Lalu malaikat berkata kepada mereka), ” Ini ialah hari
memutuskan hukum untuk memberi balasan yang dahulu kamu
mendustakannya.“

22@ (Allah berfirman kepada malaikat), ” Himpunkanlah orang-
orang yang zalim itu, dan orang-orang yang berkeadaan seperti
mereka, serta benda-benda yang mereka sembah,

23@ Yang lain dari Allah serta hadapkanlah mereka ke jalan
yang membawa ke neraka."

24@ “ Dan hentikanlah mereka (menunggu), kerana sesungguhnya
mereka akan disoal,

25@ Mengapa kamu tidak bertolong-tolongan (sebagaimana yang
kamu dakwakan dahulu) ?”

26@ (Mereka pada ketika itu tidak dapat berbuat apa-apa)
bahkan mereka pada hari itu menyerah diri dengan hina (untuk
diadili),

27@ Dan masing-masing pun mengadap satu sama lain, sambil kata
mengata dan cela mencela.

28@ Pengikut-pengikut berkata (kepada ketuanya),
” Sesungguhnya kamu dahulu selalu datang menyekat kami
(daripada beriman) dengan menggunakan kuasa kamu.”

29@ Ketua-ketuanya menjawab, ” (Tidak !) Bahkan kamulah
sendiri tidak mahu menjadi orang-orang yang beriman !

30@ Dan kami (selain daripada mengajak kamu) tidak mempunyai
sebarang kuasa memerintah kamu, bahkan kamu sememangnya kaum
yang melampaui batas.

31@ (Dengan keadaan diri kita yang sedemikian) maka tetaplah
di atas kita janji seksa (yang dijanjikan) oleh Tuhan kita,
bahawa kita semua tentu akan merasai (azab itu)."

32@ “ (Dengan sebab ketentuan yang tersebut) maka kami pun
mengajak kamu menjadi sesat, kerana sebenarnya kami adalah
orang-orang sesat.”

33@ Maka sesungguhnya mereka semua pada hari itu, menderita
azab bersama.

34@ Sesungguhnya demikianlah Kami melakukan kepada orang-orang
yang berdosa.

35@ Sebenarnya mereka dahulu apabila dikatakan kepadanya,
” (ketahuilah, bahawa) tiada Tuhan yang sebenar-benarnya
melainkan Allah.” mereka bersikap takbur mengingkarinya,

36@ Serta mereka berkata, ” Patutkah kami mesti meninggalkan
tuhan-tuhan yang kami sembah, kerana mendengar ajakan seorang
penyair gila ?”

37@ (Tidak ! Nabi Muhammad bukan penyair dan bukan pula
seorang gila) bahkan ia telah membawa kebenaran (tauhid), dan
mengesahkan kebenaran (tauhid) yang dibawa oleh Rasul-rasul
(yang terdahulu daripadanya).

38@ Sesungguhnya kamu (wahai orang-orang musyrik) akan merasai
azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

39@ Dan kamu tidak dibalas melainkan (dengan balasan yang
sepadan) dengan apa yang kamu telah kerjakan,

40@ Kecuali hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang
syirik,

41@ Mereka itu beroleh limpah kurnia yang termaklum,

42@ Iaitu buah-buahan (yang lazat), serta mereka mendapat
penghormatan,

43@ Di dalam syurga-syurga yang penuh melimpah dengan
berjenis-jenis nikmat.

44@ Mereka duduk berhadap-hadapan di atas pelamin-pelamin
kebesaran,

45@ Diedarkan kepada mereka piala yang berisi arak (yang
diambil) dari sungainya yang mengalir,

46@ Minuman itu putih bersih, lagi lazat rasanya, bagi orang-
orang yang meminumnya,

47@ Ia tidak mengandungi sesuatu yang membahayakan, dan tidak
pula mereka mabuk kerana menikmatinya.

48@ Sedang di sisi mereka ada pula bidadari-bidadari yang
tidak menumpukan pandangannya melainkan kepada mereka, lagi
yang amat indah luas matanya,

49@ (Putih kekuning-kuningan) seolah-olah mereka telur (burung
kasuari) yang tersimpan dengan sebaik-baiknya.

50@ (Tinggallah penduduk Syurga itu menikmati kesenangan),
lalu setengahnya mengadap yang lain, sambil berbincang dan
bertanya-tanyaan.



51@ Seorang di antaranya berkata, ” Sesungguhnya aku
(di dunia) dahulu, ada seorang rakan (yang menempelak daku)."

52@ Katanya, " Adakah engkau juga salah seorang dari
golongan yang mengakui benarnya (kebangkitan orang-orang mati
pada hari akhirat) ?

53@ Adakah sesudah kita mati dan menjadi tanah dan tulang,
adakah kita akan (dihidupkan semula serta) dibalas apa yang
telah kita lakukan ?"

54@ (Setelah menceritakan perihal rakannya itu) ia berkata
lagi, ” Adakah kamu hendak melihat (keadaan rakanku yang
ingkar itu) ?”

55@ Maka ia pun memandang (ke arah neraka), lalu dilihatnya
rakannya itu berada ditengah-tengah neraka yang menjulang-
julang.

56@ Ia pun (menempelaknya dengan) berkata, ” Demi Allah !
Nyaris-nyaris engkau menceburkan daku dalam kebinasaan.

57@ Dan kalaulah tidak disebabkan nikmat pemberian Tuhanku
(dengan hidayah petunjuk), nescaya akan menjadilah daku dari
orang-orang yang dibawa hadir (untuk menerima balasan azab).“

58@ (Kemudian ia berkata kepada rakan-rakannya yang sedang
menikmati kesenangan di Syurga bersama), ” Bukankah kita
(setelah mendapat nikmat-nikmat ini) tidak akan mati lagi,

59@ Selain dari kematian kita yang dahulu, dan kita juga tidak
akan terkena seksa ?”

60@ Sesungguhnya (nikmat-nikmat kesenangan Syurga) yang
demikian, ialah sebenar-benar pendapatan dan kemenangan yang
besar.

61@ Untuk memperoleh (kejayaan) yang seperti inilah hendaknya
orang-orang yang beramal melakukan amal usahanya dengan
bersungguh-sungguh (di dunia).

62@ Manakah yang lebih baik, limpah kurniaan yang termaklum
itu atau pokok zaqqum ?

63@ Sesungguhnya Kami jadikan pokok zaqqum itu satu ujian bagi
orang-orang yang zalim (di dunia dan azab seksa bagi mereka
di akhirat).

64@ Sebenarnya ia sebatang pohon yang tumbuh di dasar neraka
yang marak menjulang,

65@ Buahnya seolah-olah kepala Syaitan-syaitan,

66@ Maka sudah tentu mereka akan makan dari buahnya (sekalipun
pahit dan busuk), sehingga mereka memenuhi perut darinya.

67@ Kemudian, sesungguhnya mereka akan beroleh lagi (selain
itu) satu minuman campuran dari air panas yang menggelegak.

68@ Setelah (mereka dibawa minum) maka tempat kembali mereka
tetaplah ke dalam neraka yang menjulang-julang.

69@ Sebenarnya mereka telah mendapati datuk nenek mereka
berada dalam kesesatan,

70@ Lalu mereka terburu-buru menurut jejak langkah datuk
neneknya.

71@ Dan demi sesungguhnya, telah sesat juga (sebelum kaummu,
wahai Muhammad) kebanyakan kaum-kaum yang telah lalu.

72@ Pada hal, demi sesungguhnya, Kami telahpun mengutus dalam
kalangan kaum-kaum itu, Rasul-rasul pemberi amaran.

73@ Maka lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang (yang
mendustakan Rasul-rasul Kami) setelah diberi amaran,

74@ Kecuali hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang
syirik (maka mereka akan terselamat dan mendapat sebaik-baik
balasan).

75@ Dan demi sesungguhnya, Nabi Nuh telah berdoa merayu kepada
Kami (memohon pertolongan), maka Kami adalah sebaik-baik yang
kabulkan doa permohonan.

76@ Dan Kami telah selamatkan dia bersama-sama dengan keluarga
dan pengikut-pengikutnya, dari kesusahan yang besar.

77@ Dan Kami jadikan zuriat keturunannya sahaja orang-orang
yang tinggal hidup (setelah Kami binasakan kaumnya yang
ingkar).

78@ Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan
orang-orang yang datang kemudian,

79@ “ Salam sejahtera kepada Nabi Nuh dalam kalangan penduduk
seluruh alam !”

80@ Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang
berusaha mengerjakan amal-amal yang baik.

81@ Sesungguhnya Nabi Nuh itu dari hamba-hamba Kami yang
beriman.

82@ Kemudian Kami tenggelamkan golongan yang lain (yang
mendustakannya).

83@ Dan sesungguhnya di antara orang-orang yang menegakkan
(ajaran yang dibawa oleh) Nabi Nuh ialah Nabi Ibrahim.

84@ Ketika ia mematuhi perintah tuhannya dengan hati yang suci
murni.

85@ Ketika ia berkata kepada bapanya dan kaumnya, ” Apa yang
kamu sembah ?

86@ Patutkah kamu menyembah tuhan-tuhan yang lain dari Allah,
kerana kamu memutar belitkan kebenaran semata-mata (bukan
kerana benarnya) ?"

87@ " Maka bagaimana fikiran kamu pula terhadap Allah Tuhan
sekalian alam ?”

88@ Kemudian ia memandang dengan satu renungan kepada bintang-
bintang (yang bertaburan di langit),

89@ Lalu berkata, “ Sesungguhnya aku merasa sakit (tak dapat
turut berhari raya sama).”

90@ Setelah (mendengar kata-katanya) itu, mereka berpaling
meninggalkan dia.

91@ Lalu ia pergi kepada berhala-berhala mereka secara
bersembunyi, serta ia bertanya (kepada berhala-berhala itu,
secara mengejek-ejek), “ Mengapa kamu tidak makan ?

92@ Mengapa kamu tidak menjawab ?”

93@ Lalu ia memukul berhala-berhala itu dengan tangan kanannya
(sehingga pecah berketul-ketul).

94@ (Setelah kaumnya mengetahui hal itu) maka datanglah mereka
beramai-ramai kepadanya.

95@ (Bagi menjawab bantahan mereka), ia berkata, “ Patutkah
kamu menyembah benda-benda yang kamu pahat ?

96@ Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu
buat itu !”

97@ (Setelah tak dapat berhujah lagi, ketua-ketua) mereka
berkata, “ Binalah untuk Ibrahim sebuah tempat (untuk
membakarnya), kemudian campakkan dia ke dalam api yang
menjulang-julang itu.”

98@ Maka mereka (dengan perbuatan membakar Nabi Ibrahim itu)
hendak melakukan angkara yang menyakitinya, lalu Kami jadikan
mereka orang-orang yang terkebawah (yang tidak berjaya
maksudnya).

99@ Dan Nabi Ibrahim pula berkata, “ Aku hendak (meninggalkan
kamu) pergi kepada Tuhanku, Ia akan memimpinku (ke jalan yang
benar)."

100@ ” Wahai Tuhanku ! Kurniakanlah kepadaku anak yang
terhitung dari orang-orang yang soleh !”



101@ Lalu Kami berikan kepadanya berita yang mengembirakan,
bahawa ia akan beroleh seorang anak yang penyabar.

102@ Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang
membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim
berkata, “ Wahai anak kesayanganku ! Sesungguhnya aku melihat
dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah
apa pendapatmu ?”. Anaknya menjawab, “ Wahai ayah, jalankanlah
apa yang diperintahkan kepadamu, In sya Allah, ayah akan
mendapati daku dari orang-orang yang sabar.”

103@ Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung
perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya
dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami
sifatkan Ibrahim, dengan kesungguhan azamnya itu telah
menjalankan perintah Kami),

104@ Serta Kami menyerunya, “ Wahai Ibrahim !

105@ Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau
lihat itu.” Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang
yang berusaha mengerjakan kebaikan.

106@ Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata,

107@ Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang
sembelihan yang besar,

108@ Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam
kalangan orang-orang yang datang kemudian,

109@ “ Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim !”.

110@ Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha
mengerjakan kebaikan.

111@ Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang
beriman.

112@ Dan Kami pula berikan kepadanya berita yang
mengembirakan, bahawa ia akan beroleh (seorang anak), Ishak,
yang akan menjadi Nabi, yang terhitung dari orang-orang yang
soleh.

113@ Dan Kami limpahi berkat kepadanya dan kepada (anaknya),
Ishak, dan di antara zuriat keturunan keduanya ada yang
mengerjakan kebaikan, dan ada pula yang berlaku zalim dengan
nyata, terhadap dirinya sendiri.

114@ Dan demi sesungguhnya ! Kami telah melimpahkan nikmat
pemberian kepada Nabi Musa dan Nabi Harun.

115@ Dan Kami selamatkan keduanya dan kaumnya dari kesusahan
yang besar,

116@ Dan Kami menolong mereka sehingga menjadilah mereka
orang-orang yang berjaya mengalahkan (lawannya),

117@ Dan Kami berikan kepada keduanya Kitab Suci yang amat
jelas keterangannya,

118@ Dan Kami berikan hidayah petunjuk kepada keduanya
ke jalan yang lurus.

119@ Dan Kami kekalkan bagi keduanya (nama yang harum) dalam
kalangan orang-orang yang datang kemudian,

120@ “ Salam sejahtera kepada Nabi Musa dan Nabi Harun !”

121@ Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang
berusaha mengerjakan kebaikan.

122@ Sesungguhnya mereka berdua adalah dari hamba-hamba Kami
yang beriman.

123@ Dan sesungguhnya Nabi Ilyas adalah dari Rasul-rasul
(Kami) yang diutus.

124@ (Ingatkanlah peristiwa) ketika ia berkata kepada kaumnya,
“ Hendaklah kamu mematuhi suruhan Allah dan menjauhi
laranganNya.

125@ Patutkah kamu menyembah berhala Ba’la, dan kamu
meninggalkan (ibadat kepada) sebijak-bijak pencipta ?

126@ Iaitu Allah Tuhan kamu, dan Tuhan datuk nenek kamu yang
telah lalu !”

127@ Maka mereka mendustakannya, akibatnya mereka tetap akan
dibawa hadir (untuk diseksa),

128@ Kecuali hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang
syirik (maka mereka akan terselamat, dan mendapat sebaik-baik
balasan).

129@ Dan Kami kekalkan bagi Nabi Ilyas (nama yang harum) dalam
kalangan orang-orang yang datang kemudian,

130@ “ Salam sejahtera kepada Nabi Ilyas !”

131@ Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang
berusaha mengerjakan kebaikan.

132@ Sesungguhnya Nabi Ilyas itu dari hamba-hamba Kami yang
beriman.

133@ Dan sesungguhnya Nabi Lut adalah dari Rasul-rasul (Kami)
yang diutus.

134@ (Ingatkanlah peristiwa) ketika kami selamatkan dia dan
keluarga serta pengikut-pengikutnya semuanya,

135@ Kecuali seorang perempuan tua tertinggal dalam golongan
yang dibinasakan.

136@ Kemudian Kami hancurkan yang lain (dari pengikut-pengikut
Nabi Lut).

137@ Dan sesungguhnya kamu (yang menentang Nabi Muhammad),
berulang-alik (melalui bekas-bekas tempat tinggal) mereka,
semasa kamu berada pada waktu pagi.

138@ Dan juga pada waktu malam, maka mengapa kamu tidak mahu
memikirkannya ?

139@ Dan sesungguhnya Nabi Yunus adalah dari Rasul-rasul
(Kami) yang diutus.

140@ (Ingatkanlah peristiwa) ketika ia melarikan diri ke kapal
yang penuh sarat.

141@ (Dengan satu keadaan yang memaksa) maka dia pun turut
mengundi, lalu menjadilah ia dari orang-orang yang kalah yang
digelunsurkan (ke laut).

142@ Setelah itu ia ditelan oleh ikan besar, sedang ia berhak
ditempelak.

143@ Maka kalaulah ia bukan dari orang-orang yang sentiasa
mengingati Allah (dengan zikir dan tasbih),

144@ Tentulah ia akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga
ke hari manusia dibangkitkan keluar dari kubur.

145@ Oleh itu Kami campakkan dia keluar (dari perut ikan)
ke tanah yang tandus (di tepi pantai), sedang ia berkeadaan
sakit.

146@ Dan Kami tumbuhkan (untuk melindunginya) sebatang pokok
yang berdaun lebar.

147@ Dan (Nabi Yunus yang tersebut kisahnya itu) Kami utuskan
kepada (kaumnya yang seramai) seratus ribu atau lebih.

148@ (Setelah berlaku apa yang berlaku) maka mereka pun
beriman, lalu Kami biarkan mereka menikmati kesenangan hidup
hingga ke suatu masa (yang ditetapkan bagi masing-masing).

149@ (Oleh sebab ada di antara kaum musyrik Arab yang mendakwa
bahawa malaikat itu anak-anak perempuan Allah) maka
bertanyalah (wahai Muhammad) kepada mereka itu, " Adilkah
mereka membahagi untuk Tuhanmu anak-anak perempuan, dan untuk
mereka anak-anak lelaki ?

150@ Atau adakah mereka hadir sendiri menyaksikan Kami
mencipta malaikat-malaikat itu, perempuan ?"



151@ Ketahuilah ! Bahawa sesungguhnya, dengan sebab
terpesongnya dari kebenaran, mereka berkata,

152@ “ Allah beranak”, sedang mereka, sesungguhnya adalah
orang-orang yang berdusta !

153@ (Patutkah kamu mendakwa bahawa Tuhan mempunyai anak, dan
anak itu pula ialah anak-anak perempuan yang kamu tidak
sukai ?) Adakah Tuhan memilih serta mengutamakan anak-anak
perempuan dari anak-anak lelaki (sedang kedua-dua jenis itu
Dialah yang menciptakannya) ?

154@ Apa sudah jadi kamu ? Bagaimana kamu menetapkan hukum
(yang terang-terang salahnya itu) ?

155@ Setelah ditegur, maka tidakkah kamu mahu berusaha
mengingatkan (bahawa Allah mustahil bagiNya anak-pinak) ?

156@ Atau adakah kamu mempunyai sebarang bukti yang nyata
(menerangkan bahawa malaikat itu anak-anak perempuan Allah) ?

157@ (Kiranya ada) maka bawalah kitab kamu (yang menerangkan
demikian), jika betul kamu orang-orang yang benar.

158@ (Mereka telah mengatakan perkara yang mustahil) serta
mengadakan pertalian kerabat di antara Allah dan malaikat,
padahal demi sesungguhnya malaikat itu sedia mengetahui bahawa
sebenarnya orang-orang yang melakukan demikian akan dibawa
hadir (ke dalam azab pada hari akhirat).

159@ Maha Suci Allah dari apa yang mereka katakan itu !

160@ Kecuali hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang
syirik, (maka mereka akan terselamat, dan akan mendapat
sebaik-baik balasan).

161@ Maka sebenarnya kamu (wahai orang-orang musyrik), dan apa
yang kamu sembah itu.

162@ Tidak akan dapat merosakkan perhubungan seseorang dengan
Tuhannya,

163@ Kecuali orang-orang yang telah ditetapkan bahawa dia akan
dibakar di dalam neraka yang menjulang-julang.

164@ (Malaikat pula menegaskan pendirian mereka dengan
berkata), “ Dan tiada sesiapapun dari kalangan kami melainkan
ada baginya darjat kedudukan yang tertentu (dalam
menyempurnakan tugasnya),

165@ Dan sesungguhnya kamilah yang sentiasa berbaris
(menjunjung perintah dan beribadat),

166@ Dan sesungguhnya kamilah yang sentiasa bertasbih
(mensucikan Allah dari sebarang sifat kekurangan) !”

167@ Dan sebenarnya mereka (yang musyrik) itu dahulu pernah
berkata,

168@ “ Kalaulah ada di sisi kami Kitab Suci dari (bawaan
Rasul-rasul) yang telah lalu,

169@ Tentulah kami akan menjadi hamba-hamba Allah yang
dibersihkan dari sebarang syirik !”

170@ (Setelah Al Quran diturunkan kepada mereka) mereka
mengingkarinya, oleh itu mereka akan mengetahui kelak (akibat
kekufurannya).

171@ Dan demi sesungguhnya ! Telah ada semenjak dahulu lagi,
ketetapan Kami, bagi hamba-hamba Kami yang diutus menjadi
Rasul,

172@ Bahawa sesungguhnya merekalah orang-orang yang diberikan
pertolongan mencapai kemenangan.

173@ Dan bahawasanya tentera Kami (pengikut-pengikut Rasul),
merekalah orang-orang yang mengalahkan (golongan yang
menentang kebenaran).

174@ Oleh itu berpalinglah (wahai Muhammad) dari mereka,
(jangan hiraukan celaan mereka serta bersabarlah) hingga
ke suatu masa.

175@ Dan lihat (apa yang akan menimpa) mereka, tidak lama
kemudian mereka akan melihat (kemenangan yang telah Kami
tetapkan untukmu).

176@ Maka tidaklah patut mereka meminta disegerakan azab (yang
telah ditetapkan oleh) Kami !

177@ Kerana apabila azab itu turun dalam daerah dan kawasan
mereka, sudah tentu buruklah hari orang-orang yang tidak
mengindahkan amaran yang telah diberikan.

178@ Dan berpalinglah (wahai Muhammad) dari mereka, (jangan
hiraukan celaan mereka serta bersabarlah) hingga ke suatu
masa.

179@ Dan lihatlah (apa yang akan jadi), tidak lama kemudian,
mereka pun akan melihat juga.

180@ Akuilah kesucian Tuhanmu, (Tuhan yang mempunyai keagungan
dan kekuasaan,) dari apa yang mereka katakan !

181@ Dan (ucaplah) salam sejahtera kepada sekalian Rasul.

182@ Serta (ingatlah bahawa) segala puji tertentu bagi Allah,
Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam.

No comments:

Post a Comment