Wednesday 2 March 2016

Al Quran Indonesia. 032. Surah As Sajdah (Sujud)...

Al Quran Indonesia. 032. Surah As Sajdah (Sujud)...

BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

1@ Alif, Laam, Miim.

2@ Diturunkan Al Quran ini, dengan tidak ada sebarang syak
padanya, dari Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian
alam.

3@ (Orang-orang kafir tidak mengakui hakikat yang demikian)
bahkan mereka mengatakan, “ Dialah (Muhammad) yang mengada-
adakan Al Quran menurut rekaannya.” (Dakwaan mereka itu
tidaklah benar) bahkan Al Quran ialah perkara yang benar dari
Tuhanmu (wahai Muhammad), supaya engkau memberi ingatan dan
amaran kepada kaum (mu) yang telah lama tidak didatangi
sebarang pemberi ingatan dan amaran sebelummu, semoga mereka
beroleh hidayah petunjuk.

4@ Allah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala
yang ada di antara keduanya dalam enam masa, kemudian Ia
bersemayam di atas Arasy, kamu tidak akan beroleh sebarang
penolong dan pemberi syafaat selain dari Allah, oleh itu
tidakkah kamu mahu insaf dan mengambil iktibar (untuk mencapai
keredaanNya) ?

5@ Allah mentadbirkan makhluk-makhlukNya, (bagi melaksanakan
tadbirNya itu Ia menurunkan segala sebab dan peraturan) dari
langit ke bumi, kemudian diangkat naik kepada pengetahuanNya
(segala yang berlaku dari perlaksanaan tadbirNya itu untuk
dihakimiNya) pada suatu masa yang (dirasai oleh orang-orang
yang bersalah) banyak bilangan tahunnya menurut hitungan masa
kamu yang biasa.

6@ Yang demikian sifatnya ialah Tuhan yang mengetahui perkara-
perkara yang ghaib dan yang nyata, Yang Maha Kuasa, lagi Maha
Mengasihani,

7@ Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya,
dan dimulakanNya kejadian manusia berasal dari tanah,

8@ Kemudian Ia menjadikan keturunan manusia itu dari sejenis
pati, iaitu dari air (benih) yang sedikit dipandang orang,

9@ Kemudian Ia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan
padanya, roh ciptaanNya. Dan Ia mengurniakan kepada kamu
pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), (supaya
kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.

10@ Dan mereka (yang kafir) itu berkata, “ Adakah apabila kami
telah hilang lenyap dalam tanah, kami pula akan hidup semula
dalam bentuk kejadian yang baharu ? Betulkah demikian ?”
(Mereka bukan sahaja tidak percaya tentang hidup semula)
bahkan mereka tidak percaya tentang pertemuan dengan Tuhannya.

11@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Nyawa kamu akan diambil
oleh Malikil Maut yang ditugaskan berbuat demikian ketika
habis ajal kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan
kamu (untuk menerima balasan).”

12@ Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-
orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan
mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu), “ Wahai
Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-
jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu), maka
kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal
yang baik, sesungguhnya kami sekarang telah yakin.”

13@ Dan (bagi menolak rayuan itu Allah Taala berfirman),
“ Kalaulah Kami telah tetapkan persediaan (memberikan hidayah
petunjuk untuk beriman dan beramal soleh kepada tiap-tiap
seorang dengan ketiadaan usaha dari masing-masing), nescaya
Kami berikan kepada tiap-tiap seorang akan hidayah petunjuknya
(sebelum masing-masing meninggal dunia, supaya tidak terkena
azab di akhirat), tetapi telah tetap hukuman seksa dariKu,
Demi sesungguhnya ! Aku akan memenuhi neraka Jahannam dengan
semua jin dan manusia (yang pada masa hidupnya tidak berusaha
untuk beriman dan beramal soleh).”

14@ (Lalu dikatakan kepada mereka, “ Oleh sebab kelalaian
kamu) maka rasalah azab seksa kerana kamu melupai pertemuan
hari kamu ini. Sesungguhnya Kami pun tidak hiraukan
keselamatan kamu lagi, dan (dengan yang demikian) rasalah azab
yang kekal dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan.”

15@ Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat
keterangan Kami hanyalah orang-orang yang apabila diberi
peringatan dan pengajaran dengan ayat-ayat itu, mereka segera
merebahkan diri sambil sujud (menandakan taat patuh), dan
menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji Tuhan mereka,
dan mereka pula tidak bersikap sombong takbur.

16@ Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit
sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal-
amal soleh), mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan
perasaan takut (akan kemurkaanNya) serta dengan perasaan ingin
memperolehi lagi (keredaanNya), dan mereka selalu pula
mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka.

17@ Maka tidak ada seseorang pun yang mengetahui satu persatu
persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (dari segala
jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan mengembirakan,
sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah
kerjakan.

18@ (Jika demikian halnya) maka adakah orang yang beriman sama
seperti orang yang fasik ? Mereka tidaklah sama (dalam
menerima balasan).

19@ Adapun orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka
mereka akan beroleh Syurga, tempat tinggal yang tetap sebagai
balasan bagi apa yang mereka telah kerjakan.

20@ Dan sebaliknya orang-orang yang fasik, maka tempat
kediaman mereka ialah neraka, tiap-tiap kali mereka hendak
keluar dari neraka itu, mereka dikembalikan kepadanya, serta
dikatakan kepada mereka, “ Rasalah azab neraka yang kamu
sentiasa mendustakannya di dunia dahulu.”

21@ Dan demi sesungguhnya, Kami akan merasakan mereka sedikit
dari azab dunia sebelum azab yang besar (di akhirat kelak),
supaya mereka rujuk kembali bertaubat.

22@ Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang
diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, kemudian ia berpaling
daripadanya (dan tetap mengingkarinya), sesungguhnya Kami
tetap membalas.

23@ Dan demi sesungguhnya ! Kami telah memberi kepada Nabi
Musa Kitab Taurat (sebagaimana Kami berikan Al Quran kepadamu
wahai Muhammad), maka janganlah engkau ragu-ragu menyambut dan
menerimanya, dan Kami jadikan Kitab Taurat itu hidayah
penunjuk bagi kaum Bani Israil.

24@ Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin,
yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum ugama Kami,
selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu)
serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.

25@ (Pertentangan di antara satu golongan dengan yang lain
itu) sesungguhnya Tuhanmu sahajalah yang akan memutuskan
hukumNya di antara mereka pada hari kiamat, mengenai apa yang
mereka berselisihan padanya.

26@ Dan belumkah lagi ternyata kepada mereka (yang kafir itu),
bahawa Kami telah binasakan berapa banyak dari kaum-kaum yang
kufur ingkar dahulu daripada mereka, padahal mereka sekarang
berulang-alik melalui tempat-tempat tinggal kaum-kaum itu ?
Sesungguhnya kebinasaan kaum-kaum itu mengandungi keterangan-
keterangan (untuk mengambil iktibar), oleh itu tidakkah mereka
mahu mendengar (dan insaf) ?

27@ Dan tidakkah mereka (yang tidak mahu taat dan bersyukur)
itu melihat bahawasanya Kami mengarahkan turunnya hujan
ke bumi yang kering kontang, lalu Kami tumbuhkan dengan air
hujan itu tanaman-tanaman, yang daripadanya dimakan oleh
binatang-binatang ternak mereka dan mereka sendiri ? Maka
mengapa mereka tidak mahu memerhati (semuanya itu supaya taat
dan bersyukur) ?

28@ Dan mereka bertanya, “ Bilakah datangnya hari pembukaan
bicara yang dikatakan itu, jika betul kamu orang-orang yang
benar ?”

29@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ (Tidak perlu diketahui masa
datangnya tetapi mesti dipercayai bahawa) pada hari pembukaan
bicara itu, tidak ada gunanya lagi kepada orang-orang kafir
kiranya mereka hendak beriman, dan mereka pula tidak akan
diberi tempoh (berbuat demikian).”

30@ Oleh itu, janganlah engkau hiraukan mereka, dan tunggulah
(kesudahan mereka), sesungguhnya mereka pun menunggu
(kesudahanmu).

No comments:

Post a Comment