Wednesday 2 March 2016

Al Quran Indonesia. 036. Surah Yaasin...

Al Quran Indonesia. 036. Surah Yaasin...

BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

1@ Yaa, Siin.

2@ Demi Al Quran yang mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran
yang tetap kukuh,

3@ Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad adalah seorang Rasul)
dari Rasul-rasul yang telah diutus,

4@ Yang tetap di atas jalan yang lurus (ugama Islam).

5@ Al Quran itu, diturunkan oleh Allah Yang Maha Kuasa, lagi
Maha Mengasihani,

6@ Supaya engkau memberi peringatan dan amaran kepada kaum
yang datuk neneknya telah lama tidak diberikan peringatan dan
amaran, sebab itulah mereka lalai.

7@ Demi sesungguhnya, telah tetap hukuman seksa atas
kebanyakan mereka, kerana mereka tidak mahu beriman.

8@ Sesungguhnya Kami jadikan (kesombongan dan keengganan
mereka tunduk kepada kebenaran sebagai) belenggu yang
memberkas kedua tangan mereka ke batang leher mereka,
(lebarnya belenggu itu) sampai (menongkatkan) dagu mereka lalu
menjadilah mereka terdongak.

9@ Dan Kami jadikan (sifat tamak dan gila mereka kepada harta
benda dan pangkat itu sebagai) sekatan (yang menghalang mereka
daripada memandang kepada keburukan dan kesingkatan masa dunia
yang ada) di hadapan mereka, dan sekatan (yang menghalang
mereka daripada memikirkan azab yang ada) di belakang mereka
(pada hari kiamat). lalu Kami tutup pandangan mereka, maka
dengan itu, mereka tidak dapat melihat (jalan yang benar).

10@ Dan (dengan sebab itu) sama sahaja kepada mereka, engkau
beri amaran atau engkau tidak beri amaran kepadanya (mereka
tidak akan beriman).

11@ Sesungguhnya peringatan dan amaran (yang berkesan dan
mendatangkan faedah) hanyalah yang engkau berikan kepada orang
yang sedia menurut ajaran Al Quran serta ia takut (melanggar
perintah Allah) Ar Rahman, semasa ia tidak dilihat orang dan
semasa ia tidak melihat azab Tuhan. Oleh itu berilah kepadanya
berita yang mengembirakan dengan keampunan dan pahala yang
mulia.

12@ Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang yang mati, dan
Kami tuliskan segala yang mereka telah kerjakan serta segala
kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan. Dan
(ingatlah) tiap-tiap sesuatu kami catitkan satu persatu dalam
Kitab (ibu Suratan) yang jelas nyata.

13@ Dan ceritakanlah kepada mereka satu keadaan yang ajaib
mengenai kisah penduduk sebuah bandar (yang tertentu) iaitu
ketika mereka didatangi Rasul-rasul (Kami),

14@ Ketika Kami mengutus kepada mereka dua orang Rasul lalu
mereka mendustakannya, kemudian Kami kuatkan (kedua Rasul itu)
dengan Rasul yang ketiga, lalu Rasul-rasul itu berkata,
" Sesungguhnya kami ini adalah diutuskan kepada kamu."

15@ Penduduk bandar itu menjawab, “ Kamu ini tidak lain
hanyalah manusia seperti kami juga, dan Tuhan Yang Maha
Pemurah tidak menurunkan sesuatupun (tentang ugama yang kamu
dakwakan), Kamu ini tidak lain hanyalah berdusta.”

16@ Rasul-rasul berkata, " Tuhan Kami mengetahui bahawa
sesungguhnya Kami adalah Rasul-rasul yang diutus kepada kamu,

17@ Dan tugas Kami hanyalah menyampaikan perintah-perintahNya
dengan cara yang jelas nyata.”

18@ Penduduk bandar itu berkata pula, “ Sesungguhnya kami
merasa nahas dan malang dengan sebab kamu. Demi sesungguhnya,
kalau kamu tidak berhenti (dari menjalankan tugas yang kamu
katakan itu), tentulah kami akan merejam kamu dan sudah tentu
kamu akan merasai dari pihak kami azab seksa yang tidak
terperi sakitnya.”

19@ Rasul-rasul itu menjawab, “ Nahas dan malang kamu itu
adalah disebabkan (kekufuran) yang ada pada kamu. Patutkah
kerana kamu diberi peringatan dan nasihat pengajaran (maka
kamu mengancam kami dengan apa yang kamu katakan itu) ? (Kamu
bukanlah orang-orang yang mahu insaf) bahkan kamu adalah kaum
pelampau.”

20@ Dan (semasa Rasul-rasul itu diancam), datanglah seorang
lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, lalu memberi
nasihat dengan katanya, ” Wahai kaumku ! Turutlah Rasul-rasul
itu,

21@ Turutlah orang-orang yang tidak meminta kapada kamu
sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang-orang mendapat
hidayah petunjuk.”

22@ Dan (apabila ditanya, Sudahkah engkau menerima ugama
mereka ? Maka jawabnya), “ Mengapa aku tidak menyembah Tuhan
yang menciptakan daku, dan yang kepadaNyalah (aku dan) kamu
semua akan dikembalikan ?"

23@ “ Patutkah aku menyembah beberapa tuhan yang lain dari
Allah ? (Sudah tentu tidak patut, kerana) jika Allah yang Maha
Pemurah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, mereka
tidak dapat memberikan sebarang syafaat kepadaku, dan mereka
juga tidak dapat menyelamatkan daku.

24@ Sesungguhnya aku (kalau melakukan syirik) tentulah aku
pada ketika itu berada dalam kesesatan yang nyata."

25@ “ Sesungguhnya aku telah beriman kepada Tuhan kamu, maka
dengarlah (nasihatku)."

26@ (Setelah ia mati) lalu dikatakan kepadanya, “ Masuklah
ke dalam Syurga.” Ia berkata, “ Alangkah baiknya kalau kaumku
mengetahui,

27@ Tentang perkara yang menyebabkan daku diampunkan oleh
Tuhanku, serta dijadikannya daku dari orang-orang yang
dimuliakan.”

28@ Dan Kami tidak menurunkan kepada kaumnya sesudah ia (mati)
sebarang pasukan tentera dari langit (untuk membinasakan
mereka), dan tidak perlu Kami menurunkannya.

29@ (Kebinasaan mereka) hanyalah dilakukan dengan satu pekikan
(yang dahsyat), maka dengan serta merta mereka semua sunyi-
sepi tidak hidup lagi.

30@ Sungguh besar perasaan sesal dan kecewa yang menimpa
hamba-hamba (yang mengingkari kebenaran)! Tidak datang kepada
mereka seorang Rasul melainkan mereka mengejek-ejek dan
memperolok-olokkannya.

31@ Tidakkah mereka mengetahui berapa banyak umat-umat yang
telah Kami binasakan sebelum mereka ? Umat-umat yang telah
binasa itu tidak kembali lagi kepada mereka (bahkan kembali
kepada Kami, untuk menerima balasan).

32@ Dan tidak ada satu makhluk pun melainkan dihimpunkan
ke tempat perbicaraan Kami, semuanya dibawa hadir (untuk
menerima balasan).

33@ Dan dalil yang terang untuk mereka (memahami kekuasaan dan
kemurahan kami), ialah bumi yang mati, kami hidupkan dia serta
kami keluarkan daripadanya biji-bijian, maka daripada biji-
bijian itu mereka makan.

34@ Dan kami jadikan di bumi itu kebun-kebun kurma dan anggur,
dan kami pancarkan padanya beberapa matair,

35@ Supaya mereka makan dari buah-buahannya dan dari apa yang
dikerjakan oleh tangan mereka, maka patutkah mereka tidak
bersyukur ?

36@ Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk
semuanya berpasangan, sama ada dari yang ditumbuhkan oleh
bumi, atau dari diri mereka, ataupun dari apa yang mereka
tidak mengetahuinya.

37@ Dan lagi dalil yang terang untuk mereka (berfikir) ialah
malam, Kami hilangkan siang daripadanya, maka dengan serta-
merta mereka berada dalam gelap-gelita,

38@ Dan (sebahagian dari dalil yang tersebut ialah) matahari,
ia kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya, itu
adalah takdir Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui,

39@ Dan bulan pula Kami takdirkan dia beredar melalui beberapa
peringkat, sehingga di akhir peredarannya kelihatan kembalinya
pula ke peringkat awalnya (berbentuk melengkung) seperti
tandan yang kering.

40@ (Dengan ketentuan yang demikian), matahari tidak mudah
baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului
siang, kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung
di tempat edarannya masing-masing.

41@ Dan satu dalil lagi untuk mereka (insaf) ialah, Kami
membawa belayar jenis keluarga mereka dalam bahtera yang penuh
sarat,

42@ Dan Kami ciptakan untuk mereka, jenis-jenis kenderaan yang
sama dengannya, yang mereka dapat mengenderainya.

43@ Dan jika kami kehendaki, kami boleh tenggelamkan mereka,
(kiranya Kami lakukan yang demikian) maka tidak ada yang dapat
memberi pertolongan kepada mereka, dan mereka juga tidak dapat
diselamatkan,

44@ Kecuali dengan kemurahan dari pihak Kami memberi rahmat
dan kesenangan hidup kepada mereka hingga ke suatu masa.

45@ Dan apabila dikatakan kepada mereka, ” Berjaga-jagalah
kamu akan apa yang ada di hadapan kamu (dari urusan-urusan
hidup di dunia ini), dan apa yang ada di belakang kamu (dari
huru-hara dan balasan akhirat), supaya kamu beroleh rahmat.”
(mereka tidak mengindahkannya).

46@ Dan (itulah tabiat mereka) tidak ada sesuatu keterangan
yang sampai kepada mereka dari keterangan-keterangan tuhan
mereka melainkan mereka selalu berpaling daripadanya (enggan
menerimanya).

47@ Dan apabila dikatakan kepada mereka, ” Dermakanlah
sebahagian dari rezeki yang dikurniakan Allah kepada kamu.”
berkatalah orang-orang yang kafir itu kepada orang-orang yang
beriman (secara mengejek-ejek), ” Patutkah kami memberi makan
kepada orang yang jika Allah kehendaki tentulah Ia akan
memberinya makan ? Kamu ini hanyalah berada dalam kesesatan
yang nyata.”

48@ Dan (apabila mereka diingatkan tentang huru-hara dan
balasan akhirat) mereka bertanya (secara mempersenda),
” Bilakah datangnya (hari akhirat) yang dijanjikan itu ? Jika
betul kamu orang-orang yang benar (maka kami sedia
menunggu) !”

49@ Mereka tidak menunggu melainkan satu pekikan yang (dengan
secara mengejut) akan membinasakan mereka semasa mereka dalam
keadaan leka bertengkar (merundingkan urusan dunia masing-
masing).

50@ Maka dengan itu, mereka tidak berpeluang membuat sebarang
pesanan (wasiat atau lainnya), dan (kalau mereka berada
di luar) mereka tidak sempat kembali kepada keluarganya.



51@ Dan sudah tentu akan ditiupkan sangkakala (menghidupkan
orang-orang yang telah mati, apabila berlaku yang demikian)
maka, semuanya segera bangkit keluar dari kubur masing-masing
(untuk) mengadap Tuhannya.

52@ (Pada ketika itu) orang-orang yang tidak percayakan hidup
semula berkata, " Aduhai celakanya kami ! Siapakah yang
membangkitkan kami dari kubur tempat tidur kami ?", (Lalu
dikatakan kepada mereka), ” Inilah dia yang telah dijanjikan
oleh Allah Yang Maha Pemurah dan benarlah berita yang
disampaikan oleh Rasul-rasul !"

53@ Hanyalah dengan berlakunya satu pekikan sahaja, maka
dengan serta merta mereka dihimpunkan ke tempat perbicaraan
Kami, semuanya dibawa hadir (untuk menerima balasan).

54@ Maka pada hari itu, tidak ada seseorang yang akan dianiaya
sedikitpun, dan kamu pula tidak akan dibalas melainkan menurut
amal yang kamu telah kerjakan.

55@ Sesungguhnya penduduk Syurga pada hari itu, berada dalam
keadaan sibuk leka menikmati kesenangan,

56@ Mereka dengan pasangan-pasangan mereka bersukaria
di tempat yang teduh, sambil duduk berbaring di atas pelamin,

57@ Mereka beroleh dalam Syurga itu pelbagai jenis buah-
buahan, dan mereka beroleh apa sahaja yang mereka kehendaki,

58@ (Mereka juga beroleh) ucapan salam sejahtera dari Tuhan
Yang Maha Mengasihani.

59@ Dan (sebaliknya dikatakan kepada orang-orang yang kafir),
“ Berpisahlah kamu pada hari ini, hai orang-orang yang
berdosa, (dari bercampur gaul dengan orang-orang yang
beriman)."

60@ “ Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak
Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan ? Sesungguhnya ia
musuh yang nyata terhadap kamu !

61@ Dan (Aku perintahkan), hendaklah kamu menyembahKu, inilah
jalan yang lurus."

62@ “ Dan sesungguhnya Syaitan itu telah menyesatkan golongan
yang ramai di antara kamu, (setelah kamu mengetahui akibat
mereka) maka tidakkah sepatutnya kamu berfikir dan insaf ?"

63@ Yang kamu saksikan sekarang ialah neraka Jahannam, yang
kamu selalu diancam memasukinya (kalau kamu tidak taatkan
perintah Allah).

64@ “ Rasalah kamu bakarannya pada hari ini, disebabkan
perbuatan kufur yang kamu telah lakukan !”

65@ Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus), dan
(memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami
(kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi
tentang apa yang mereka telah usahakan.

66@ (Matahati orang-orang yang menderhaka itu rosak) dan kalau
Kami kehendaki, Kami berkuasa menghapuskan bentuk dan biji
mata kepala mereka menjadi rata, sehingga masing-masing
menerpa mencari-cari jalan (yang biasa mereka lalui). (Kiranya
dijadikan demikian) maka bagaimanakah mereka dapat
melihatnya ?

67@ (Kekuatan akal fikiran mereka juga tidak sihat) dan kalau
kami kehendaki, kami berkuasa mengubahkan keadaan jasmani
mereka (menjadi kaku beku) di tempat yang mereka berada
padanya, maka dengan itu, mereka tidak dapat mara ke hadapan
dan juga tidak dapat undur ke belakang.

68@ Dan (hendaklah diingat bahawa) sesiapa yang Kami
panjangkan umurnya, Kami balikkan kembali kejadiannya (kepada
keadaan serba lemah, hakikat ini memang jelas) maka mengapa
mereka tidak mahu memikirkannya ?

69@ (Nabi Muhammad bukanlah penyair) dan Kami tidak
mengajarkan syair kepadanya, dan kepandaian bersyair itu pula
tidak sesuai baginya. Yang Kami wahyukan kepadanya itu tidak
lain melainkan nasihat pengajaran dan Kitab Suci yang memberi
penerangan.

70@ Supaya ia memberi peringatan kepada orang yang sedia hidup
(hatinya), dan supaya nyata tetapnya hukuman (azab) terhadap
orang-orang yang kufur ingkar.

71@ Tidakkah mereka melihat dan memikirkan, bahawa Kami telah
menciptakan untuk mereka binatang-binatang ternak, di antara
jenis-jenis makhluk yang telah Kami ciptakan dengan kekuasaan
Kami lalu mereka memilikinya ?

72@ Dan Kami jinakkan dia untuk kegunaan mereka, maka
sebahagian di antaranya menjadi kenderaan mereka, dan
sebahagian lagi mereka makan.

73@ Dan mereka beroleh berbagai faedah dan kegunaan pada
binatang ternak itu dan juga beroleh minuman, maka mengapa
mereka tidak mahu bersyukur ?

74@ Dan tergamak mereka menyembah beberapa tuhan yang lain
dari Allah, (dengan harapan semoga mereka mendapat pertolongan
dari makhluk-makhluk itu).

75@ Benda-benda yang mereka sembah itu tidak dapat sama sekali
menolong mereka, sedang benda-benda itu sendiri menjadi
tentera yang akan dibawa hadir (pada hari kiamat, untuk
memberi azab seksa) kepada mereka.

76@ Maka janganlah engkau (wahai Muhammad) berdukacita
disebabkan tuduhan-tuduhan mereka (terhadapmu). Sesungguhnya
Kami sedia mengetahui apa yang mereka sembunyikan dan apa yang
mereka nyatakan.

77@ Tidakkah manusia itu melihat dan mengetahui, bahawa Kami
telah menciptakan dia dari (setitis) air benih ? Dalam pada
itu (setelah Kami sempurnakan kejadiannya dan tenaga
kekuatannya) maka dengan tidak semena-mena menjadilah ia
seorang pembantah yang terang jelas bantahannya (mengenai
kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang mati),

78@ Serta ia mengemukakan satu misal perbandingan kepada Kami
(tentang kekuasaan itu), dan ia pula lupakan keadaan Kami
menciptakannya sambil ia bertanya, “ Siapakah yang dapat
menghidupkan tulang-tulang yang telah hancur seperti debu ?”

79@ Katakanlah, “ Tulang-tulang yang hancur itu akan
dihidupkan oleh Tuhan yang telah menciptakannya pada awal mula
wujudnya, dan Ia Maha Mengetahui akan segala keadaan makhluk-
makhluk (yang diciptakanNya),

80@ Tuhan yang telah menjadikan api (boleh didapati) dari
pohon-pohon yang hijau basah untuk kegunaan kamu, maka kamu
pun selalu menyalakan api dari pohon-pohon itu.”

81@ Tidakkah diakui dan tidakkah dipercayai bahawa Tuhan yang
telah menciptakan langit dan bumi (yang demikian besarnya)
berkuasa menciptakan semula manusia sebagaimana Ia menciptakan
mereka dahulu ? Ya ! Diakui dan dipercayai berkuasa ! Dan
Dialah Pencipta yang tidak ada bandinganNya, lagi Yang Maha
Mengetahui.

82@ Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Ia menghendaki
adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada (hakikat) benda
itu, ” Jadilah engkau !“. Maka ia terus menjadi.

83@ Oleh itu akuilah kesucian Allah (dengan mengucap,
Subhaanallah !), Tuhan yang memiliki dan menguasai tiap-tiap
sesuatu, dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.

No comments:

Post a Comment