Wednesday 2 March 2016

Al Quran Indonesia. 020. Surah Taahaa...

Al Quran Indonesia. 020. Surah Taahaa...

BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

1@ Taa’ Haa.

2@ Kami tidak menurunkan Al Quran kepadamu (wahai Muhammad)
supaya engkau menanggung kesusahan.

3@ Hanya untuk menjadi peringatan bagi orang-orang yang takut
melanggar perintah Allah,

4@ (Al Quran) Diturunkan dari (Tuhan) yang menciptakan bumi
dan langit yang tinggi.

5@ Iaitu (Allah) Ar Rahman, yang bersemayam di atas Arasy.

6@ Dialah jua yang memiliki segala yang ada di langit dan yang
ada di bumi serta yang ada di antara keduanya dan juga yang
ada di bawah tanah basah di perut bumi.

7@ Dan jika engkau menyaringkan suara dengan doa permohonanmu,
(maka yang demikian tidaklah perlu), kerana sesungguhnya Allah
mengetahui segala rahsia dan segala yang tersembunyi.

8@ Allah ! Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia,
bagiNyalah segala nama yang baik.

9@ Dan sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal Nabi
Musa ?

10@ Ketika ia melihat api, lalu berkatalah ia kepada
isterinya, “ Berhentilah ! Sesungguhnya aku ada melihat api
semoga aku dapat membawa kepada kamu satu cucuhan daripadanya,
atau aku dapat di tempat api itu, penunjuk jalan."

11@ Maka apabila ia sampai ke tempat api itu (kedengaran) ia
diseru, “ Wahai Musa !”

12@ “ Sesungguhnya Aku Tuhanmu ! Maka bukalah kasutmu, kerana
engkau sekarang berada di Wadi Tuwa yang suci."

13@ “ Dan Aku telah memilihmu menjadi Rasul maka dengarlah apa
yang akan diwahyukan kepadamu."

14@ “ Sesungguhnya Akulah Allah, tiada tuhan melainkan Aku,
oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk
mengingati Daku.

15@ Sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang (yang Aku
sengaja sembunyikan masa datangnya) supaya tiap-tiap diri
dibalas akan apa yang ia usahakan.

16@ Maka janganlah engkau dihalangi daripada mempercayainya
oleh orang yang tidak beriman kepadanya serta ia menurut hawa
nafsunya, kerana dengan itu engkau akan binasa."

17@ “ Dan apa (bendanya) yang di tangan kananmu itu wahai
Musa ?”

18@ Nabi Musa menjawab, “ Ini ialah tongkatku, aku bertekan
atasnya semasa berjalan, dan aku memukul dengannya daun-daun
kayu supaya gugur kepada kambing-kambingku, dan ada lagi lain-
lain keperluanku pada tongkat itu.”

19@ Allah Taala berfirman, “ Campakkanlah tongkatmu itu wahai
Musa !”

20@ Lalu ia mencampakkannya, maka tiba-tiba tongkatnya itu
menjadi seekor ular yang bergerak menjalar.

21@ Allah berfirman, “ Tangkaplah akan dia, dan janganlah
engkau takut, Kami akan mengembalikannya kepada keadaannya
yang asal.

22@ Dan kepitlah tanganmu di celah lambungmu (ketiakmu)
nescaya keluarlah ia putih bersinar-sinar dengan tidak ada
cacat, sebagai satu mukjizat yang lain."

23@ “ (Berlakunya yang demikian itu) kerana Kami hendak
memperlihatkan kepadamu sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan
Kami yang besar.

24@ Pergilah kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui
batas.”

25@ Nabi Musa berdoa dengan berkata, “ Wahai Tuhanku,
lapangkanlah bagiku, dadaku,

26@ Dan mudahkanlah bagiku, tugasku,

27@ Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku,

28@ Supaya mereka faham perkataanku,

29@ Dan jadikanlah bagiku, seorang penyokong dari keluargaku.

30@ Iaitu Harun saudaraku,

31@ Kuatkanlah dengan sokongannya, pendirianku,

32@ Dan jadikanlah dia turut campur bertanggungjawab dalam
urusanku,

33@ Supaya kami sentiasa beribadat dan memujiMu,

34@ Dan (supaya) kami sentiasa menyebut dan mengingatiMu,

35@ Sesungguhnya Engkau adalah sedia melihat dan mengetahui
hal ehwal kami."

36@ Allah berfirman, “ Sesungguhnya telah diberikan kepadamu
apa yang engkau pohonkan itu, wahai Musa !

37@ Dan demi sesungguhnya ! Kami telahpun mengurniakan
kepadamu berbagai nikmat pada satu masa yang lain sebelum
ini."

38@ “ Ketika Kami ilhamkan kepada ibumu, dengan memberitahu
kepadanya,

39@ “ Letakkanlah anakmu di dalam peti, kemudian lepaskanlah
peti itu ke laut, maka biarlah laut itu membawanya terdampar
ke pantai, supaya dipungut oleh musuhKu dan musuhnya, dan Aku
telah tanamkan dari kemurahanKu perasaan kasih sayang orang
terhadapmu, dan supaya engkau dibela dan dipelihara dengan
pengawasanKu."

40@ “ Ketika saudara perempuanmu pergi mencarimu lalu berkata
kepada orang-orang yang memungutmu, ” Mahukah, aku tunjukkan
kamu kepada orang yang boleh memeliharanya ?” Maka dengan
jalan itu Kami mengembalikanmu kepada ibumu supaya tenang
hatinya dan supaya ia tidak berdukacita kerana bercerai
denganmu, dan semasa engkau membunuh seorang lelaki, lalu Kami
selamatkan engkau dari kesusahan pembunuhan itu, dan Kami
telah melepaskan engkau berkali-kali dari berbagai-bagai
cubaan, kemudian engkau tinggal dengan selamat beberapa tahun
dalam kalangan penduduk negeri Madyan, setelah itu engkau
sekarang datang dari sana pada masa yang telah ditentukan,
wahai Musa !"

41@ “ Dan Aku telah memilihmu untuk menjadi RasulKu.

42@ Pergilah, engkau dan saudaramu, membawa mukjizat-mukjizat
pengurniaanKu dan janganlah kamu berdua lemah dan cuai dalam
menyebut serta mengingati Daku."

43@ “ Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia
telah melampaui batas dalam kekufurannya.

44@ Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-
kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut.”

45@ Mereka berdua berkata, “ Wahai Tuhan kami ! Sesungguhnya
kami takut bahawa ia akan segera menyeksa kami, atau ia akan
melampau batas.”

46@ Allah berfirman, “ Janganlah kamu takut, sesungguhnya Aku
ada bersama-sama kamu, Aku mendengar dan melihat segala-
galanya."

47@ “ Oleh itu, pergilah kamu berdua kepadanya, kemudian
katakanlah, “ Bahawa sesungguhnya kami ini Rasul-rasul dari
Tuhanmu, maka bebaskanlah kaum Bani lsrail mengikut kami, dan
janganlah engkau menyeksakan mereka. Sesungguhnya kami telah
datang kepadamu membawa satu tanda (mukjizat) dari Tuhanmu !
Dan selamat sejahtera itu adalah untuk orang-orang yang
menurut petunjuk ugama Allah."

48@ “ Sesungguhnya telah diwahyukan kepada kami bahawa azab
seksa di dunia dan di akhirat ditimpakan kepada orang yang
mendustakan ayat-ayat Allah dan berpaling daripadanya.”

49@ (Setelah mereka menyampaikan perintah Allah itu), Firaun
berkata, “ Jika demikian, siapakah Tuhan kamu berdua, hai
Musa ?”

50@ Nabi Musa menjawab, “ Tuhan kami ialah yang telah
memberikan kepada tiap-tiap sesuatu, kejadian semulajadinya
yang sesuai dengannya, kemudian Ia memberi petunjuk kepadanya
akan cara menggunakannya.”

51@ Firaun bertanya lagi, “ Jika demikian, bagaimana pula
keadaan kaum-kaum yang telah lalu ?”

52@ Nabi Musa menjawab, “ Pengetahuan mengenainya ada di sisi
Tuhanku, tertulis di dalam sebuah Kitab, Tuhanku tidak pernah
keliru dan Ia juga tidak pernah lupa.”

53@ (Dialah Tuhan) yang telah menjadikan bumi bagi kamu
sebagai hamparan, dan Ia telah mengadakan bagi kamu padanya
jalan-jalan lalu-lalang, dan Ia juga telah menurunkan hujan
dari langit. Maka Kami keluarkan dengannya berjenis-jenis
tanaman dan buah-buahan yang berlainan keadaannya.

54@ Makanlah kamu daripadanya dan berilah makan binatang-
binatang ternak kamu, sesungguhnya semuanya itu mengandungi
tanda-tanda yang membuktikan kemurahan Allah, bagi orang-orang
yang berakal fikiran.

55@ Dari bumilah Kami ciptakan kamu, dan ke dalamnya Kami akan
mengembalikan kamu, dan daripadanya pula Kami akan
mengeluarkan kamu sekali lagi.

56@ Dan demi sesungguhnya ! Kami telah tunjukkan kepada Firaun
segala tanda-tanda yang membukti kekuasaan Kami, dalam pada
itu ia mendustakannya dan enggan beriman.

57@ Firaun berkata, “ Patutkah engkau datang kepada kami untuk
mengeluarkan kami dari negeri kami dengan sihirmu, hai Musa ?

58@ Kalau demikian, sesungguhnya kami juga akan bawakan
kepadamu sihir yang seperti itu untuk melawanmu ! Maka
tentukanlah suatu tempoh pertemuan antara kami denganmu, yang
kita bersama tidak akan memungkirinya, di suatu tempat yang
sesuai bagi kedua belah pihak.”

59@ Nabi Musa menjawab, “ Tempoh yang aku tetapkan untuk kamu
itu ialah hari perayaan, dan hendaklah orang ramai berhimpun
pada waktu dhuha.”

60@ Maka Firaun pun berangkat dari majlis itu. Ia mengumpulkan
ahli-ahli sihir untuk menjalankan tipu dayanya, kemudian ia
datang ke tempat perlawanan.

61@ Nabi Musa berkata kepada mereka, “ Celakalah kamu kelak !
Janganlah kamu mendakwa secara dusta terhadap Allah, kerana
dengan sebab itu Ia akan membinasakan kamu dengan azab seksa,
dan sesungguhnya orang yang berdusta, tetap hampa dan kecewa.”

62@ Maka merekapun berbantahan dan berunding sesama sendiri
mengenai perkara sihir mereka, dan mereka rahsiakan apa yang
mereka rundingkan.

63@ Mereka berkata, “ Dua orang ini, sebenarnya dua ahli sihir
yang bertujuan hendak mengeluarkan kamu dari negeri kamu
dengan sihir mereka, dan hendak melenyapkan kepercayaan serta
adat peraturan kamu yang utama.

64@ Oleh itu, satukanlah segala cara helah kamu, kemudian
datanglah beramai-ramai dalam satu barisan untuk menentangnya,
dan sesungguhnya beruntunglah orang yang menang pada hari
ini.”

65@ Mereka berkata, “ Wahai Musa ! Engkaukah yang akan
mencampak lebih dahulu atau kamikah yang mula-mula
mencampak ?”

66@ Nabi Musa menjawab, “ Bahkan kamulah campak dahulu.”
Tiba-tiba tali-tali mereka dan tongkat-tongkat mereka
terbayang-bayang kepadanya seolah-olah benda-benda berjalan,
disebabkan sihir mereka.

67@ Maka yang demikian menjadikan Nabi Musa merasa takut
sedikit dalam hatinya.

68@ Kami berfirman kepadanya, “ Janganlah engkau takut (wahai
Musa) ! Sesungguhnya engkaulah yang tertinggi mengatasi mereka
dengan kemenangan."

69@ “ Dan campakkanlah apa yang ada di tangan kananmu, nescaya
ia menelan segala (benda-benda sihir) yang mereka lakukan,
kerana sesungguhnya apa yang mereka lakukan itu hanyalah tipu
daya ahli sihir, sedang ahli sihir itu tidak akan beroleh
kejayaan, di mana sahaja ia berada.”

70@ (Nabi Musa pun mencampakkan tongkatnya yang terus menelan
segala benda sihir mereka), maka keadaan yang demikian
menjadikan ahli-ahli sihir itu segera merebahkan diri sujud
sambil berkata, “ Kami beriman kepada Tuhan yang mengutus Nabi
Harun dan Nabi Musa.”

71@ Firaun berkata, “ Patutkah kamu beriman kepada Musa
sebelum aku memberi izin kepada kamu ? Sesungguhnya dialah
ketua kamu yang mengajar sihir kepada kamu. Oleh itu, demi
sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan
bersilang, dan aku akan memalang kamu pada batang-batang pohon
tamar, dan demi sesungguhnya kamu akan mengetahui kelak
siapakah di antara kita yang lebih keras azab seksanya dan
lebih kekal.”

72@ Mereka menjawab, “ Kami tidak sekali-kali akan
mengutamakanmu daripada apa yang telah datang kepada kami dari
mukjizat-mukjizat yang terang nyata, dan (tidak akan
mengutamakanmu daripada) Tuhan yang telah menjadikan kita
semua. Oleh itu, hukumkanlah apa sahaja yang engkau hendak
hukumkan, kerana sesungguhnya engkau hanyalah dapat menghukum
dalam kehidupan dunia ini sahaja."

73@ “ Sesungguhnya kami telah beriman kepada Tuhan kami,
supaya diampunkanNya kesalahan-kesalahan kami, dan dosa-dosa
sihir yang engkau paksakan kami melakukannya. Dan Allah jualah
yang lebih baik dan lebih kekal balasan pahalaNya."

74@ “ Sebenarnya sesiapa yang datang kepada Tuhannya pada hari
akhirat sedang ia bersalah maka sesungguhnya adalah baginya
neraka jahannam yang ia tidak mati di dalamnya dan tidak pula
hidup.

75@ Dan sesiapa yang datang kepadaNya sedang ia beriman, serta
ia telah mengerjakan amal-amal yang soleh, maka mereka itu
akan beroleh tempat-tempat tinggal yang tinggi darjatnya,

76@ (Iaitu) Syurga-syurga yang kekal, yang mengalir padanya
beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya, dan yang demikian
itu ialah balasan orang-orang yang membersihkan dirinya dari
perbuatan kufur dan maksiat.”

77@ " Dan demi sesungguhnya ! Kami telah wahyukan kepada Nabi
Musa, “ Hendaklah engkau membawa hamba-hambaKu (kaummu) keluar
mengembara pada waktu malam, kemudian pukullah air laut dengan
tongkatmu, untuk mengadakan jalan yang kering bagi mereka
di laut itu, janganlah engkau menaruh bimbang daripada
ditangkap oleh musuh, dan jangan pula engkau takut tenggelam.”

78@ Maka Firaun pun mengejar mereka bersama-sama dengan
tenteranya, lalu ia dan orang-orangnya diliputi oleh air laut
yang menenggelamkan mereka semuanya dengan cara yang
sedahsyat-dahsyatnya.

79@ Dan dengan itu Firaun telah menjerumuskan kaumnya
ke tempat kebinasaan, dan tidaklah ia membawa mereka ke jalan
yang benar.

80@ Wahai Bani Israil ! Sesungguhnya Kami telah selamatkan
kamu dari musuh kamu, dan Kami telah janjikan kamu (dengan
memberi wahyu kepada Nabi Musa) di sebelah kanan Gunung
Tursina itu, dan kami turunkan kepada kamu “Mann” dan “Salwa”,

81@ Serta Kami katakan, " Makanlah dari benda-benda yang baik
yang Kami kurniakan kepada kamu, dan janganlah kamu melampaui
batas padanya, kerana dengan yang demikian kamu akan ditimpa
kemurkaanKu, dan sesiapa yang ditimpa kemurkaanKu, maka
sesungguhnya binasalah ia."

82@ Dan sesungguhnya Aku yang amat memberi ampun kepada orang-
orang yang bertaubat serta beriman dan beramal soleh, kemudian
ia tetap teguh menurut petunjuk yang diberikan kepadanya.

83@ " Dan apakah yang menyebabkan engkau segera datang ke mari
lebih dahulu dari kaum engkau wahai Musa ?"

84@ Nabi Musa menjawab, “ Mereka itu ada mengiringi daku tidak
jauh dari sini, dan aku segera datang kepadaMu, wahai Tuhanku,
supaya Engkau reda akan daku.”

85@ (Setelah selesainya urusan itu) maka Allah berfirman
kepada Nabi Musa, “ Sesungguhnya Kami telah mengenakan kaummu
satu fitnah ujian sepeninggalanmu, dan mereka telah disesatkan
oleh Samiri.”

86@ Maka kembalilah Nabi Musa kepada kaumnya dengan perasaan
marah dan dukacita, ia berkata, “ Wahai kaumku ! Bukankah
Tuhan kamu telah menjanjikan kamu dengan satu perjanjian yang
baik ? Patutkah kamu merasa panjang masa pemergianku menerima
apa yang dijanjikan itu ? Atau kamu sengaja menghendaki supaya
kamu ditimpa kemurkaan dari Tuhan kamu, lalu kamu menyalahi
perjanjian kamu denganku ?”

87@ Mereka menjawab, “ Kami tidak menyalahi janji kami
kepadamu itu dengan kuasa dan ikhtiar kami, tetapi kami telah
dibebankan membawa barang-barang perhiasan orang-orang (Mesir)
itu, supaya kami mencampakkannya ke dalam api lalu kami
melakukan yang demikian, maka demikianlah juga “Samiri”
mencampakkan apa yang dibawanya."

88@ “ Kemudian Samiri mengeluarkan untuk mereka dari leburan
barang-barang itu (patung) seekor anak lembu yang bertubuh
lagi bersuara, lalu mereka berkata, “ Ini ialah tuhan kamu dan
tuhan bagi Musa, tetapi Musa telah lupa !”

89@ Patutkah mereka tidak mahu berfikir sehingga mereka tidak
nampak bahawa patung itu tidak dapat menjawab perkataan
mereka, dan tidak berkuasa mendatangkan bahaya atau memberi
manfaat kepada mereka ?

90@ Dan demi sesungguhnya, Nabi Harun telahpun berkata kepada
mereka sebelum itu, “ Wahai kaumku, sesungguhnya kamu hanya
diperdayakan dengan patung itu, dan sesungguhnya Tuhan kamu
ialah Allah yang melimpah-limpah rahmatNya, oleh itu, ikutlah
daku dan taatlah akan perintahku.”

91@ Mereka menjawab, “ Kami tidak sekali-kali akan
meninggalkan penyembahan patung ini, (bahkan) kami akan tetap
menyembahnya hingga Nabi Musa kembali kepada kami.”

92@ (Sekembalinya), Nabi Musa berkata, “ Wahai Harun, apakah
maniknya yang menghalangmu ketika engkau melihat mereka sesat,

93@ “ Daripada menurutku ? Adakah engkau ingkar akan
suruhanku ?”

94@ Nabi Harun menjawab, “ Wahai anak ibuku ! Janganlah engkau
meragut janggutku dan janganlah menarik (rambut) kepalaku.
Sesungguhnya aku takut bahawa engkau akan berkata kepadaku,
" Engkau telah memecah-belahkan kaum Bani Israil sesama
sendiri, dan engkau tidak berhati-hati mengambil berat
pesananku !”

95@ (Sesudah itu Nabi Musa hadapkan kemarahannya kepada Samiri
lalu) bertanya, “ Apa pula halmu, wahai Samiri ?”

96@ Ia menjawab, ” Aku mengetahui dan menyedari apa yang tidak
diketahui oleh mereka, lalu aku mengambil segenggam dari kesan
jejak Rasul itu, kemudian aku mencampakkannya, dan demikianlah
aku dihasut oleh hawa nafsuku.”

97@ Nabi Musa berkata kepada Samiri, “ Jika demikian,
pergilah, (engkau adalah diusir dan dipulaukan), kerana
sesungguhnya telah ditetapkan bagimu akan berkata dalam
kehidupan dunia ini, " Jangan sentuh daku", dan sesungguhnya
telah dijanjikan lagi untukmu satu balasan akhirat yang engkau
tidak sekali-kali akan terlepas daripadanya. Dan (sekarang)
lihatlah kepada tuhanmu yang engkau sekian lama menyembahnya,
sesungguhnya kami akan membakarnya kemudian kami akan
menghancur dan menaburkan serbuknya di laut sehingga hilang
lenyap."

98@ “ Sesungguhnya Tuhan kamu hanya Allah, yang tidak ada
Tuhan melainkan Dia, yang meliputi pengetahuanNya akan tiap-
tiap sesuatu.”

99@ Demikianlah Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad),
sebahagian dari kisah-kisah umat manusia yang telah lalu, dan
sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu, dari sisi Kami
(sebuah Kitab Al Quran yang menjadi) peringatan.

100@ Sesiapa yang berpaling ingkar dari peringatan Al Quran
itu, maka sesungguhnya ia pada hari kiamat menanggung beban
(dosa) yang berat.

101@ Mereka kekal di dalam (azab) dosa itu, dan amatlah
buruknya tanggungan itu bagi mereka pada hari kiamat,

102@ (Iaitu) Hari ditiup Sangkakala, dan Kami akan himpunkan
pada hari itu orang-orang yang bersalah dalam keadaan kelabu
matanya.

103@ Mereka berbisik-bisik sesama sendiri, “ Kamu telah
tinggal hanya sepuluh sahaja.”

104@ (Allah berfirman), " Kami lebih mengetahui akan kadar
masa yang mereka katakan itu, manakala orang yang lebih tepat
pendapatnya di antara mereka berkata pula, “ Tiadalah kamu
tinggal melainkan satu masa yang amat singkat.”

105@ Dan mereka (yang kafir) bertanya kepadamu (wahai
Muhammad) dari hal gunung-ganang, maka jawablah, “ Tuhanku
akan menghancurkannya menjadi debu ditiup angin."

106@ “ Lalu Ia membiarkan tapak gunung-gunung itu (di bumi)
rata lagi licin.”

107@ Engkau tidak akan melihat pada tapaknya itu tempat yang
rendah atau yang tinggi.

108@ Pada hari itu mereka menurut seruan panggilan yang
menyeru mereka dengan tidak dapat melencong dari menurutnya,
dan diam khusyuklah segala suara kepada Allah yang melimpah-
limpah rahmatNya sehingga engkau tidak mendengar melainkan
bunyi yang amat perlahan.

109@ Pada hari itu, tidak berfaedah syafaat (dari dan kepada
sesiapapun) kecuali dari orang yang diizinkan oleh Allah yang
melimpah-limpah rahmatNya, dan kepada orang yang diredai
perkataannya.

110@ Allah mengetahui apa yang di hadapan mereka (dari hal-hal
dunia), dan apa yang di belakang mereka (dari perkara
akhirat), sedang mereka tidak mengetahuinya secara meliputi.

111@ Dan segala muka akan tunduk dengan berupa hina kepada
Allah Yang Tetap Hidup, lagi Yang Kekal Mentadbirkan makhluk
selama-lamanya, dan sesungguhnya telah rugi dan hampalah orang
yang menanggung dosa kezaliman.

112@ Dan sesiapa yang mengerjakan sebarang apa dari amal-amal
yang soleh, sedang ia beriman, maka tidaklah (seharusnya) ia
merasa takut dianiaya atau dikurangkan sedikitpun dari
pahalanya.

113@ Dan demikianlah Kami telah menurunkan Al Quran sebagai
bacaan dalam bahasa Arab, dan kami telah terangkan di dalamnya
berbagai-bagai amaran supaya mereka (umat manusia seluruhnya)
bertaqwa, atau mereka mendapat daripadanya sesuatu peringatan
dari faedah mereka.

114@ Maka Maha Tinggilah Allah, yang Menguasai seluruh alam,
lagi Yang Benar (pada segala-galanya). Dan janganlah engkau
(wahai Muhammad) tergesa-gesa membaca Al Quran sebelum selesai
dibacakan oleh Jibril kepadamu, dan berdoalah dengan berkata,
“ Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku.”

115@ Dan demi sesungguhnya, Kami telah berpesan kepada Adam
pada masa yang lalu, tetapi ia lupa, dan kami tidak
mendapatinya mempunyai keazaman yang teguh.

116@ Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada
malaikat, “ Sujudlah kamu kepada Adam”, lalu mereka sujud,
melainkan Iblis, ia enggan sujud.

117@ Maka, Kami berfirman, “ Wahai Adam sesungguhnya Iblis ini
musuh bagimu dan bagi isterimu, oleh itu, janganlah ia
menyebabkan kamu berdua keluar dari Syurga, kerana dengan yang
demikian engkau (dan isterimu) akan menderita."

118@ “ Sesungguhnya telah dikurniakan berbagai nikmat bagimu,
bahawa engkau tidak akan lapar dalam Syurga itu dan tidak akan
bertelanjang.

119@ Dan sesungguhnya engkau juga tidak akan dahaga dalam
Syurga itu, dan tidak akan merasa panas matahari.”

120@ Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya,
dengan berkata, “ Wahai Adam, mahukah, aku tunjukkan kepadamu
pohon yang menyebabkan hidup selama-lamanya, dan kekuasaan
yang tidak akan hilang lenyap ?”

121@ Kemudian mereka berdua memakan dari pohon itu, lalu
terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing, dan mereka
mulailah menutupnya dengan daun-daun dari Syurga, dan dengan
itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan (dari
mencapai hajatnya).

122@ Kemudian Tuhannya memilihnya (dengan diberi taufiq untuk
bertaubat), lalu Allah menerima taubatnya serta diberi
petunjuk.

123@ Allah berfirman, “ Turunlah kamu berdua dari Syurga itu,
bersama-sama, dalam keadaan setengah kamu menjadi musuh bagi
setengahnya yang lain, kemudian jika datang kepada kamu
petunjuk dariKu, maka sesiapa yang mengikut petunjukKu itu
nescaya ia tidak akan sesat dan ia pula tidak akan menderita
azab sengsara.

124@ Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan
petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang
sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam
keadaan buta.”

125@ Ia berkata, “ Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan
daku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu melihat ?”

126@ Allah berfirman, “ Demikianlah keadaannya ! Telah datang
ayat-ayat keterangan Kami kepadamu, lalu engkau melupakan
serta meninggalkannya, dan demikianlah engkau pada hari ini
dilupakan serta ditinggalkan.”

127@ Dan demikianlah Kami membalas orang yang melampaui batas
dan tidak beriman kepada ayat-ayat keterangan Tuhannya, dan
demi sesungguhnya azab akhirat itu lebih berat dan lebih
kekal.

128@ Adakah tersembunyi serta belum jelas lagi kepada mereka,
berapa banyak Kami telah binasakan dari kamu-kaum yang
terdahulu daripada mereka, sedang mereka sekarang berulang-
alik melalui tempat-tempat tinggal kaum-kaum itu ?
Sesungguhnya pada yang demikian ada tanda-tanda (untuk
mengambil iktibar) bagi orang-orang yang berakal fikiran.

129@ Dan jika tidaklah kerana telah terdahulu Kalimah Tuhanmu
(wahai Muhammad), dan satu tempoh yang ditentukan nescaya
balasan jenayah mereka sudah semestinya berlaku.

130@ Oleh itu, bersabarlah engkau (wahai Muhammad) akan apa
yang mereka katakan, dan beribadatlah dengan memuji Tuhanmu
sebelum matahari terbit dan sebelum terbenamnya, dan
beribadatlah pada saat-saat dari waktu malam dan pada sebelah-
sebelah siang, supaya engkau reda (dengan mendapat sebaik-baik
balasan).

131@ Dan janganlah engkau menujukan pandangan kedua matamu
dengan keinginan kepada apa yang telah Kami berikan kepada
beberapa golongan dari mereka yang kafir itu menikmatinya,
yang merupakan keindahan kehidupan dunia ini, untuk Kami
menguji mereka padanya, sedang limpah kurnia Tuhanmu
di akhirat lebih baik dan lebih kekal.

132@ Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan
sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya.
Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang
memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik
adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.

133@ Dan mereka yang kafir berkata, “ Mengapa ia tidak membawa
kepada kami satu tanda mukjizat dari Tuhannya yang membuktikan
kebenarannya ?” Bukankah telah datang kepada mereka berbagai-
bagai keterangan dan khasnya Al Quran yang menjadi kenyataan
yang menerangkan apa yang terkandung dalam Kitab-kitab yang
dahulu ?

134@ Dan sekiranya Kami binasakan mereka dengan sesuatu azab
sebelum datangnya Rasul Kami membawa Al Quran ini, tentulah
mereka akan berkata pada hari kiamat, “ Wahai Tuhan Kami !
Mengapa Engkau tidak mengutuskan kepada kami seorang Rasul
supaya kami menurut ayat-ayat keteranganMu yang dibawanya,
sebelum kami menjadi hina (dengan azab di dunia), dan mendapat
malu (dengan azab di akhirat) ?”

135@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Tiap-tiap seorang
(di antara kita) sedang menunggu, maka tunggulah kamu !
Kemudian kamu akan mengetahui kelak siapakah orang-orang yang
berada atas jalan yang lurus, dan juga siapa yang mendapat
petunjuk.”

No comments:

Post a Comment