Wednesday 2 March 2016

Al Quran Indonesia. 034. Surah Saba’ (Kaum Saba’)...

Al Quran Indonesia. 034. Surah Saba’ (Kaum Saba’)...

BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

1@ Segala puji tertentu bagi Allah yang memiliki dan menguasai
segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan bagiNyalah
juga segala puji di akhirat, dan Dialah sahaja Yang Maha
Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.

2@ Ia mengetahui apa yang masuk ke bumi serta apa yang keluar
daripadanya, dan apa yang turun dari langit serta apa yang
naik kepadanya, dan Dialah jua yang Maha Mengasihani, lagi
Maha Pengampun.

3@ Dan orang-orang yang kafir berkata, ” Hari kiamat itu tidak
akan datang kepada kami.” Katakanlah (wahai Muhammad),
“ Bahkan (tetap datang). Demi Tuhanku yang mengetahui segala
perkara yang ghaib, hari kiamat itu sesungguhnya akan datang
kepada kamu.” Tiada tersembunyi dari pengetahuanNya barang
seberat debu yang ada di langit atau di bumi, dan tidak ada
yang lebih kecil dari itu atau yang lebih besar melainkan
semuanya tertulis di dalam Kitab yang terang nyata.

4@ (Kedatangan hari kiamat itu) supaya Tuhan membalas orang-
orang yang beriman dan beramal soleh, mereka itu akan beroleh
keampunan dan limpah kurnia yang mulia.

5@ Dan (sebaliknya) orang-orang yang berusaha menentang dan
membatalkan ayat-ayat keterangan Kami sambil menyangka dapat
melepaskan diri (dari hukuman Kami), mereka itu akan beroleh
azab dari jenis azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

6@ Dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan, mengetahui
(dengan yakin, bahawa keterangan-keterangan) yang diturunkan
kepadamu dari Tuhanmu (mengenai hari kiamat dan lain-lainnya)
itulah yang benar serta yang memimpin ke jalan Allah Yang Maha
Kuasa, lagi Maha Terpuji.

7@ Dan orang-orang yang kafir pula berkata (sesama sendiri
secara mengejek-ejek), “ Mahukah, kami tunjukkan kepada kamu
seorang lelaki yang memberitakan kepada kamu, " (Bahawa
apabila kamu dihancurkan sehancur-hanurnya sesudah mati),
sesungguhnya kamu akan dihidupkan semula dalam bentuk kejadian
yang baru ?"

8@ “ Adakah ia berdusta terhadap Allah, atau ia kena penyakit
gila ?” (Tidak ada satupun) bahkan orang-orang yang tidak
percaya kepada hari akhirat tetap beroleh (di sana) azab seksa
yang seburuk-buruknya dan (di sini) tetap berada dalam
kesesatan yang jauh terpesong.

9@ (Setelah mereka mengejek-ejek dan membuat tuduhan-tuduhan
itu) tidakkah mereka melihat apa yang ada di hadapan mereka
dan yang ada di belakang mereka dari langit dan bumi (dapatkah
mereka melarikan diri) ? Jika Kami kehendaki nescaya Kami
timbuskan mereka di bumi, atau Kami gugurkan atas mereka
ketul-ketul dan serpihan-serpihan dari langit (yang akan
membinasakan mereka). Sesungguhnya yang demikian mengandungi
satu tanda (yang memberi keinsafan) bagi tiap-tiap hamba Allah
yang mahu kembali kepadanya (dengan taat dan berbakti).

10@ Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberikan kepada Nabi
Daud limpah kurnia dari Kami (sambil Kami berfirman), “ Hai
gunung-ganang, ulang-ulangilah mengucap tasbih bersama-sama
dengan Nabi Daud, dan wahai burung-burung (bertasbihlah
bersama-sama dengannya) !” Dan juga telah melembutkan besi
baginya,

11@ (Serta Kami wahyukan kepadanya), “ Buatlah baju-baju besi
yang luas labuh, dan sempurnakanlah jalinannya sekadar yang
dikehendaki, dan kerjakanlah kamu (wahai Daud dan umatmu)
amal-amal yang soleh, sesungguhnya Aku Maha Melihat akan
segala yang kamu kerjakan.”

12@ Dan Kami kurniakan kepada Nabi Sulaiman kuasa menggunakan
angin untuk perjalanannya, sepagi perjalanannya adalah
menyamai perjalanan biasa sebulan, dan sepetang perjalanannya
adalah menyamai perjalanan biasa sebulan, dan Kami alirkan
baginya matair dari tembaga, dan (Kami mudahkan) sebahagian
dari jin untuk bekerja di hadapannya dengan izin Tuhannya. Dan
sesiapa dari jin itu yang menyeleweng dari perintah Kami, Kami
akan merasakannya (pukulan) dari azab api neraka.

13@ Golongan jin itu membuat untuk Nabi Sulaiman apa yang ia
kehendaki dari bangunan-bangunan yang tinggi, dan patung-
patung, dan pinggan-pinggan hidangan yang besar seperti kolam,
serta periuk-periuk besar yang tetap di atas tukunya. (Setelah
itu Kami perintahkan), “ Beramallah kamu wahai keluarga Daud
untuk bersyukur !” Dan sememangnya sedikit sekali di antara
hamba-hambaKu yang bersyukur.

14@ Setelah Kami tetapkan berlakunya kematian Nabi Sulaiman,
tidak ada yang menunjukkan kepada mereka tentang kematiannya
melainkan semut putih (anai-anai) yang telah memakan
tongkatnya. Maka apabila ia tumbang, ternyatalah kepada
golongan jin itu, bahawa kalaulah mereka sedia, mengetahui
perkara yang ghaib nescaya mereka tidak tinggal sedemikian
lamanya di dalam azab (kerja berat) yang menghina.

15@ Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba’, satu
tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat
di tempat tinggal mereka, iaitu, dua kumpulan kebun (yang luas
lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah
kiri (kampung mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka),
“ Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah
kepadaNya, (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan
makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun !"

16@ Maka mereka berpaling ingkar, lalu Kami hantarkan kepada
mereka banjir yang membinasakan, dan Kami gantikan dua
kumpulan kebun mereka (yang subur) itu dengan dua kumpulan
kebun yang berisi dengan pohon-pohon yang pahit buahnya, dan
pohon-pohon yang jarang berbuah, serta sedikit pohon-pohon
bidara.

17@ Demikianlah Kami membalas mereka disebabkan kekufuran
mereka, dan sebenarnya Kami tidak menimpakan balasan yang
demikian melainkan kepada orang-orang yang amat kufur.

18@ Dan di antara tempat tinggal mereka (di negeri Yaman)
dengan bandar-bandar (di daerah negeri Syam) yang Kami
limpahkan berkat kepadanya (dengan kemakmuran), Kami adakan
beberapa buah bandar yang jelas kelihatan (kepada orang-orang
yang melalui jalan itu), dan Kami tentukan jarak perjalanan
di antaranya (sekadar yang dapat dijadikan tempat-tempat
persinggahan), (serta dikatakan kepada mereka), ” Berjalanlah
kamu di bandar-bandar itu pada bila-bila masa yang kamu suka,
malam dan siang, dalam keadaan yang aman.”

19@ (Maka kemakmuran dan kemudahan itu menjadikan mereka
sombong dan kufur) lalu berkata, “ Wahai Tuhan kami,
jauhkanlah jarak perjalanan kami (di antara sebuah bandar
dengan yang lain)”, dan mereka berlaku zalim kepada diri
mereka sendiri, lalu Kami jadikan (kisah perbuatan derhaka)
mereka, buah mulut orang ramai, serta kami pecah belahkan
mereka berkecai-kecai. Sesungguhnya kisah mereka yang tersebut
mengandungi tanda-tanda (yang besar pengajarannya) bagi tiap-
tiap seorang (mukmin) yang sentiasa bersikap sabar, lagi
sentiasa bersyukur.

20@ Dan sesungguhnya Iblis telah dapati sangkaannya tepat
terhadap mereka, iaitu mereka menurutnya, kecuali sebahagian
dari orang-orang yang beriman (yang tidak terpedaya kepada
hasutannya).

21@ Dan sememangnya tiadalah bagi Iblis sebarang kuasa untuk
menyesatkan mereka, melainkan untuk menjadi ujian bagi
melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar
beriman kepada hari akhirat dan siapa pula yang ragu-ragu
terhadapnya. Dan (ingatlah) Tuhanmu sentiasa mengawal serta
mengawasi tiap-tiap sesuatu.

22@ Katakanlah (wahai Muhammad kepada kaum musyrik),
“ Serukanlah makhluk-makhluk yang kamu dakwakan sebagai tuhan
selain dari Allah, mereka tidak memiliki kuasa seberat debu
pun di langit dan di bumi, dan mereka tiada sebarang bahagian
perkongsian (dengan Allah) dalam (mencipta dan mentadbirkan)
langit dan bumi, dan Allah pula tidak mendapat sebarang
pertolongan dari mereka.”

23@ Dan tidak berfaedah syafaat di sisi Allah kecuali bagi
orang yang telah diizinkan Allah, (maka orang-orang yang
hendak memohon syafaat terpaksa menunggu izin itu dengan penuh
perasaan takut dan bimbang) sehingga apabila dihapuskan Allah
perasaan takut dari hati mereka (dengan pemberian izin itu)
bersukarialah mereka dengan bertanya-tanyaan sesama sendiri,
“ Apakah yang telah dititahkan oleh Tuhan kamu ?” Sebahagian
di antara mereka menjawab, “ Tuhan telah menitahkan
kebenaran.” dan Dialah jua Yang Maha Tinggi keadaanNya, lagi
Maha Besar kekuasaanNya.

24@ Bertanyalah (wahai Muhammad kepada orang-orang musyrik
itu), “ Siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit
dan bumi ?” Terangkanlah jawabnya, “ Ialah Allah, dan
sesungguhnya (tiap-tiap satu golongan), sama ada golongan kami
ahli tauhid atau golongan kamu ahli syirik (tidak sunyi
daripada salah satu dari dua keadaan), keadaan tetapnya
di atas hidayah petunjuk atau tenggelamnya dalam kesesatan
yang jelas nyata.“

25@ (Oleh itu) katakanlah (wahyu Muhammad), “ Kamu tidak akan
bertanggungjawab tentang kesalahan yang kami lakukan, dan kami
pula tidak akan bertanggungjawab tentang apa yang kamu
kerjakan.”

26@ Katakanlah lagi, ” Tuhan kita akan menghimpunkan Kita
semua (pada hari kiamat), kemudian Ia akan menyelesaikan
perselisihan yang ada di antara kita dengan penyelesaian yang
benar, dan Dialah jua Hakim yang seadil-adilnya, lagi Yang
Maha Mengetahui segala-galanya.”

27@ Katakanlah lagi, “ Tunjukkanlah kepadaku sifat-sifat
ketuhanan yang ada pada makhluk-makhluk yang kamu hubungkan
dengan Allah sebagai sekutu-sekutuNya. Tidak ada pada sesuatu
makhluk pun sifat-sifat itu, bahkan yang mempunyai sifat-sifat
ketuhanan ialah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

28@ Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan
untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita
gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pemberi amaran
(kepada orang-orang yang ingkar), akan tetapi kebanyakan
manusia tidak mengetahui (hakikat itu).

29@ Dan mereka (yang ingkar) bertanya, “ Bilakah berlakunya
azab yang telah dijanjikan itu, jika betul kamu orang-orang
yang benar ?”

30@ Jawablah (wahai Muhammad), “ Untuk kamu disediakan satu
hari yang kamu tidak dapat melambatkannya sesaat pun, dan
tidak pula kamu dapat menyegerakannya.”

31@ Dan orang-orang yang kafir berkata, " Kami tidak akan
beriman sama sekali kepada Al Quran ini dan tidak juga kepada
Kitab-kitab ugama yang terdahulu daripadanya.” Dan (sungguh
ngeri) kalau engkau melihat ketika orang-orang yang zalim itu
dibawa berdiri di hadapan Tuhan mereka (untuk dihisab),
masing-masing tuduh menuduh antara satu dengan yang lain.
Orang-orang yang tertindas berkata kepada orang-orang yang
sombong takbur (yang menjadi ketuanya), “ Kalaulah tidak
kerana kamu (menindas dan memperdayakan kami), tentulah kami
sudah menjadi orang yang beriman.”

32@ Orang-orang yang sombong takbur itu menjawab kepada orang-
orang yang tertindas, " Kamikah yang telah menghalang kamu
daripada menerima hidayah petunjuk sesudah ia datang kepada
kamu ? (Bukan kami yang menghalang) bahkan kamulah yang
menyebabkan diri sendiri menjadi orang-orang yang berdosa.”

33@ Dan berkata pula orang-orang yang tertindas kepada orang-
orang yang sombong takbur itu, “ Tidak ! Bahkan (yang
menghalang kami daripada beriman ialah) perbuatan kamu
memperdaya kami malam dan siang, ketika kamu menyuruh kami
berlaku kufur kepada Allah dan mengadakan sekutu-sekutu
bagiNya." Akhirnya masing-masing diam sambil memendamkan
perasaan sesal dan kecewa semasa mereka melihat azab, dan Kami
pasangkan belenggu-belenggu pada leher orang-orang yang kafir
itu. Mereka tidak dibalas melainkan dengan apa yang mereka
telah kerjakan.

34@ Dan Kami tidak mengutus kepada sesebuah negeri, seseorang
Rasul pemberi amaran melainkan orang-orang yang berada dalam
kemewahan di negeri itu berkata, “ Sesungguhnya kami tetap
mengingkari apa yang kamu diutuskan membawanya.”

35@ Dan mereka berkata lagi, “ Kami lebih banyak harta benda
dan anak pinak, dan kami pula tidak akan diseksa.”

36@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Sesungguhnya Tuhanku
memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dia
juga yang menyempitkan (bagi sesiapa yang dikehendakiNya),
akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat
itu)."

37@ Dan bukanlah harta benda kamu dan tidak juga anak pinak
kamu yang mendampingkan kamu di sisi Kami walau sedikitpun,
kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka
mereka itu akan beroleh balasan yang berlipat ganda disebabkan
apa yang mereka telah kerjakan, dan mereka pula ditempatkan
dalam mahligai-mahligai (di Syurga) dengan aman sentosa.

38@ Dan orang-orang yang berusaha menentang dan membatalkan
ayat-ayat keterangan Kami sambil menyangka dapat melepaskan
diri (dari hukuman Kami), mereka itu akan berada di dalam azab
seksa.

39@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Sesungguhnya Tuhanku
memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya di antara
hamba-hambaNya, dan Ia juga yang menyempitkan baginya, dan apa
sahaja yang kamu dermakan, maka Allah akan menggantikannya,
dan Dialah jua sebaik-baik Pemberi rezeki.”

40@ Dan (ingatkanlah) masa Allah menghimpunkan mereka semua
(pada hari kiamat), kemudian Ia bertanya kepada malaikat,
“ Adakah orang-orang ini, (kamu setujui) menyembah kamu
dahulu ?”

41@ Malaikat menjawab, “ Maha Suci Engkau (dari adanya
sebarang sekutu denganMu). Engkaulah (yang kami hubungi
sebagai Pemimpin dan) Pelindung kami bukan mereka. (Tidak ada
hubungan dari pihak kami dengan mereka mengenai penyembahan
mereka kepada kami), bahkan mereka adalah menyembah Jin
Syaitan, kebanyakan mereka pula percaya kepada Jin Syaitan itu
(sebagai sekutu Tuhan yang dipuja dan dipatuhi).”

42@ Maka pada hari ini, masing-masing di antara kamu tidak
berkuasa memberi sebarang manfaat kepada kawannya, dan tidak
pula dapat menolak sesuatu bahaya daripadanya, dan Kami
katakan kepada orang-orang yang zalim (yang berlaku syirik)
itu, “ Rasalah azab neraka yang kamu dahulu mendustakannya.”

43@ Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat keterangan
Kami yang jelas nyata, berkatalah mereka (sesama sendiri),
“ Orang ini (Muhammad) tidak lain hanyalah seorang lelaki yang
hendak menghalang kamu daripada menyembah apa yang telah
disembah oleh datuk nenek kamu.” dan mereka berkata lagi,
" (Al Quran) ini tidak lain hanyalah kata-kata dusta yang
direka-reka,” dan berkatalah orang-orang yang kafir terhadap
kebenaran ketika datangnya kepada mereka, “ Ini tidak lain
hanyalah sihir yang terang nyata.”

44@ Dan (tidak ada sebarang alasan bagi dakwaan mereka,
kerana) Kami tidak pernah memberi kepada mereka Kitab-kitab
untuk mereka membaca dan mengkajinya, dan Kami juga tidak
pernah mengutus kepada mereka sebelummu (wahai Muhammad)
seseorang Rasul pemberi amaran (melarang mereka menerima
ajaranmu).

45@ Dan (ketahuilah bahawa) umat-umat yang terdahulu sebelum
mereka telah juga mendustakan (Rasul-rasulnya), sedang mereka
(yang mendustakanmu) itu tidak, mencapai satu persepuluh (dari
kekayaan, kepandaian dan kekuatan) yang Kami beri kepada umat-
umat yang terdahulu itu, setelah umat-umat itu mendustakan
Rasul-rasulKu (mereka pun dibinasakan). Dengan yang demikian
perhatikanlah bagaimana buruknya akibat kemurkaanKu (menimpa
mereka).

46@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Aku hanyalah mengajar dan
menasihati kamu dengan satu perkara sahaja, iaitu, hendaklah
kamu bersungguh-sungguh berusaha mencari kebenaran kerana
Allah semata-mata, sama ada dengan cara berdua (dengan orang
lain), atau seorang diri, kemudian hendaklah kamu berfikir
sematang-matangnya (untuk mengetahui salah benarnya
ajaranKu).” Sebenarnya tidak ada pada (Muhammad) yang menjadi
sahabat kamu sebarang penyakit gila (sebagaimana yang
dituduh), ia hanyalah seorang Rasul pemberi amaran kepada
kamu, sebelum kamu ditimpa azab yang berat (di akhirat).

47@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Apa jua yang aku harap kamu
berikan kepadaku sebagai upah maka faedahnya tetap terpulang
kepada kamu, balasan yang menjadi upahku yang sebenar hanyalah
dari Allah, dan Ia sentiasa Memerhati serta Menyaksikan tiap-
tiap sesuatu.”

48@ Katakanlah lagi, “ Sesungguhnya TuhanKu, menurunkan wahyu
(kepada Nabi-nabi pilihanNya) dengan perkara yang benar, Ia
sentiasa Mengetahui akan segala perkara yang ghaib.”

49@ Katakanlah lagi, “ Telah datang kebenaran (Al Quran yang
memberi segala kebaikan), dan perkara yang salah tidak memberi
sebarang kebaikan di dunia, usahkan hendak mengulanginya
di akhirat.”

50@ Katakanlah lagi, “ Sekiranya aku sesat maka bahaya
kesesatanku akan menimpa diriku sendiri, dan jika aku beroleh
hidayah petunjuk maka yang demikian disebabkan apa yang telah
diwahyukan oleh Tuhanku kepadaku, sesungguhnya Ia Maha
Mendengar, lagi Maha Dekat.”



51@ Dan (sungguh ngeri) jika engkau melihat (keadaan orang-
orang yang bersalah itu) ketika mereka gelisah takut
(menyaksikan azabnya) serta mereka tidak mendapat jalan
mengelaknya, dan mereka pun diambil dari tempat mereka berada
(untuk dibawa ke tempat azab).

52@ Dan (pada ketika itu) mereka berkata, “ Kami sekarang
beriman kepada kebenaran yang di bawa oleh Nabi Muhammad
(s.a.w).” (apa jalannya) dan bagaimana caranya mereka dapat
mencapai iman dari tempat yang jauh ?

53@ Pada hal mereka telah mengingkarinya sebelum itu, dan
mereka pula selalu melemparkan tuduhan-tuduhan buta terhadap
kebenaran itu dari tempat yang jauh ? (sudah tentu salah).

54@ Dan disekatlah di antara mereka dengan (iman) yang mereka
ingini, sebagaimana yang telah dilakukan kepada orang-orang
yang sama keadaannya dengan mereka pada masa yang lalu,
sesungguhnya mereka dahulu berada dalam keadaan syak yang
meragukan.

No comments:

Post a Comment