Wednesday 2 March 2016

Al Quran Indonesia. 038. Surah Saad...

Al Quran Indonesia. 038. Surah Saad...

BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

1@ Saad, demi Al Quran yang mempunyai kemuliaan serta
mengandungi peringatan dan pengajaran.

2@ (Orang-orang yang mengingkari kerasulanmu, wahai Muhammad
tidak berdasarkan kebenaran) bahkan mereka yang kafir itu
bersifat sombong angkuh dan suka menentang kebenaran.

3@ (Tidakkah mereka menyedari) berapa banyak umat-umat (yang
ingkar) yang terdahulu dari mereka, Kami binasakan ? Lalu
mereka meminta pertolongan, padahal saat itu bukanlah saat
meminta pertolongan melepaskan diri dari azab.

4@ Dan mereka (yang mengingkari kerasulan Nabi Muhammad itu)
merasa hairan, bahawa mereka didatangi oleh seorang Rasul
pemberi amaran, dari kalangan mereka sendiri. Dan mereka yang
kafir itu berkata, “ Orang ini adalah seorang ahli sihir, lagi
pendusta.

5@ Patutkah ia menafikan tuhan-tuhan yang berbilang itu dengan
mengatakan, " Tuhan hanya Satu ?" Sesungguhnya ini adalah satu
perkara yang menakjubkan !”

6@ Dan (ketika itu) keluarlah ketua-ketua dari kalangan mereka
(memberi peransang dengan berkata), “ Jalan terus (menurut
cara penyembahan datuk nenek kamu) dan tetap tekunlah
menyembah tuhan-tuhan kamu. Sebenarnya sikap ini adalah satu
perkara yang amat dikehendaki."

7@ ” Kami tidak pernah mendengar tentang (soal mengesakan
Tuhan) itu dalam ugama yang terakhir, perkara ini tidak lain
hanyalah rekaan dan dusta semata-mata.”

8@ (Mereka berkata lagi), " Patutkah wahyu peringatan itu
diturunkan kepada Muhammad (padahal orang-orang yang lebih
layak ada) di antara kita ?” (Mereka bukan sahaja ingkarkan
kelayakan Nabi Muhammad menerima wahyu) bahkan mereka berada
dalam keraguan tentang peringatan yang Aku wahyukan (kepada
Nabi Muhammad) itu, bahkan mereka belum lagi merasai azab.

9@ Adakah di sisi mereka perbendaharaan rahmat Tuhanmu Yang
Maha Kuasa, lagi Yang Maha Melimpah pemberianNya ?

10@ Atau adakah mereka menguasai langit dan bumi serta segala
yang ada di antara keduanya ? (Kalau ada kekuasaan yang
demikian) maka biarlah mereka naik mendaki langit menurut
jalan-jalan yang membawa mereka ke situ (untuk mentadbirkan
seluruh alam).

11@ (Sebenarnya mereka hanyalah) satu pasukan tentera dari
kumpulan-kumpulan (yang menentang kebenaran), yang pada suatu
masa kelak tetap akan dikalahkan.

12@ Sebelum mereka itu, kaum Nabi Nuh, dan Aad (kaum Nabi
Hud), serta Firaun yang mempunyai kerajaan yang kuat, telah
juga mendustakan Rasul masing-masing.

13@ Dan juga Thamud (kaum Nabi Soleh), dan kaum Nabi Lut,
serta penduduk Aikah, merekalah kumpulan-kumpulan (yang
menentang kebenaran).

14@ Tidak ada satupun dari kaum-kaum yang tersebut, melainkan
telah mendustakan Rasul-rasul, maka berhaklah mereka ditimpa
azab.

15@ Dan orang-orang ini (yang menentang Nabi Muhammad), tidak
menunggu melainkan satu jeritan suara yang tidak akan berulang
lagi.

16@ Dan mereka pula berkata (secara mengejek-ejek), ” Wahai
Tuhan kami ! Segerakanlah azab yang ditetapkan untuk kami,
sebelum datangnya hari hitungan amal (yang dikatakan oleh
Muhammad itu) ”.

17@ Bersabarlah (wahai Muhammad) terhadap apa sahaja yang
mereka katakan, dan ingatlah akan hamba Kami Nabi Daud, yang
mempunyai kekuatan (dalam pegangan ugamanya), sesungguhnya ia
adalah sentiasa rujuk kembali (kepada Kami dengan bersabar
mematuhi perintah Kami).

18@ Sesungguhnya Kami telah mudahkan gunung-ganang turut
bertasbih memuji Kami bersama-sama dengannya, pada waktu
petang dan ketika terbit matahari.

19@ Dan (Kami mudahkan juga) unggas turut berhimpun (untuk
bertasbih memuji Kami bersama-sama dengannya), tiap-tiap
satunya mengulangi tasbih masing-masing menurutnya.

20@ Dan Kami kuatkan kerajaannya, serta Kami kurniakan
kepadanya hikmah kebijaksanaan dan kepetahan berkata-kata
(dalam menjalankan hukum dan menjatuhkan hukuman).

21@ Dan sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) berita
(perbicaraan dua) orang yang berselisihan ? Ketika mereka
memanjat tembok tempat ibadat,

22@ Iaitu ketika mereka masuk kepada Nabi Daud, lalu ia
terkejut melihat mereka, mereka berkata kepadanya, ” Janganlah
takut, (kami ini) adalah dua orang yang berselisihan, salah
seorang dari kami telah berlaku zalim kepada yang lain, oleh
itu hukumkanlah di antara kami dengan adil, dan janganlah
melampaui (batas keadilan), serta pimpinlah kami ke jalan yang
lurus."

23@ ” Sebenarnya orang ini ialah (seorang sahabat sebagai)
saudaraku, ia mempunyai sembilan puluh sembilan ekor kambing
betina dan aku mempunyai seekor sahaja, dalam pada itu ia
(mendesakku dengan) berkata, " Serahkanlah yang seekor itu
kepadaku." dan dia telah mengalahkan daku dalam merundingkan
perkara itu.”

24@ Nabi Daud berkata, ” Sesungguhnya ia telah berlaku zalim
kepadamu dengan meminta kambingmu itu (sebagai tambahan)
kepada kambing-kambingnya, dan sesungguhnya kebanyakan dari
orang-orang yang bergaul dan berhubungan (dalam berbagai-bagai
lapangan hidup), setengahnya berlaku zalim kepada setengahnya
yang lain, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh,
sedang mereka amatlah sedikit !” Dan Nabi Daud (setelah
berfikir sejurus), mengetahui sebenarnya Kami telah mengujinya
(dengan peristiwa itu), lalu ia memohon ampun kepada Tuhannya
sambil merebahkan dirinya sujud, serta ia rujuk kembali
(bertaubat).

25@ Maka Kami ampunkan kesalahannya itu, dan sesungguhnya ia
mempunyai kedudukan yang dekat di sisi Kami serta tempat
kembali yang sebaik-baiknya (pada hari akhirat kelak).

26@ Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah
di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan
(hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu), dan
janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu
akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang
yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada
hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah)
itu.

27@ Dan tiadalah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala
yang ada di antara keduanya sebagai ciptaan yang tidak
mengandungi hikmah dan keadilan, yang demikian adalah sangkaan
orang-orang yang kafir ! Maka kecelakaanlah bagi orang-orang
yang kafir itu dari azab neraka.

28@ Patutkah Kami jadikan orang-orang yang beriman dan beramal
soleh itu sama seperti orang-orang yang melakukan kerosakan
di muka bumi ? Atau patutkah Kami jadikan orang-orang yang
bertaqwa sama seperti orang-orang yang berdosa ?

29@ (Al Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu
(dan umatmu wahai Muhammad), (Kitab yang banyak faedah-faedah
dan manfaatnya), untuk mereka memahami dengan teliti kandungan
ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna
beringat mengambil iktibar.

30@ Dan Kami telah kurniakan kepada Nabi Daud (seorang anak
bernama) Sulaiman, ia adalah sebaik-baik hamba (yang kuat
beribadat), lagi sentiasa rujuk kembali (bertaubat).

31@ (Ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Sulaiman ditunjukkan
kepadanya pada suatu petang, satu kumpulan kuda yang terpuji
keadaannya semasa berdiri, lagi yang tangkas semasa berlari.

32@ (Kerana lekanya dengan pertunjukan itu) maka Nabi Sulaiman
berkata, ” Sesungguhnya aku telah mengutamakan kesukaanku
kepada (kuda pembawa) kebaikan lebih daripada mengingati
(ibadatku kepada) Tuhanku, sehingga (matahari) melindungi
dirinya dengan tirai malam.”

33@ (Kemudian Nabi Sulaiman berkata kepada orang-orangnya),
” Bawa balik kuda itu kepadaku.” maka ia pun tampil menyapu
betis dan leher kuda itu (seekor demi seekor).

34@ Dan demi sesungguhnya ! Kami telah menguji Nabi Sulaiman
(dengan satu kejadian), dan Kami letakkan di atas takhta
kebesarannya satu jasad (yang tidak cukup sifatnya) kemudian
ia kembali (merayu kepada Kami),

35@ Katanya, ” Wahai Tuhanku ! Ampunkanlah kesilapanku, dan
kurniakanlah kepadaku sebuah kerajaan (yang tidak ada taranya
dan) yang tidak akan ada pada sesiapapun kemudian daripadaku,
sesungguhnya Engkaulah yang sentiasa Melimpah kurniaNya.“

36@ Maka (Kami kabulkan permohonannya lalu) Kami mudahkan
baginya menggunakan angin yang bertiup perlahan-lahan menurut
kemahuannya, ke arah mana sahaja yang hendaK ditujunya,

37@ Dan (Kami mudahkan baginya memerintah) Jin Syaitan, (ia
memerintah) golongan-golongan yang pandai mendirikan bangunan,
dan yang menjadi penyelam (bagi menjalankan kerja masing-
masing).

38@ Dan Jin-jin Syaitan yang lain dipasung dalam rantai-rantai
belenggu.

39@ (Serta Kami katakan kepadanya), ” Inilah pemberian Kami
(kepadamu), maka berikanlah (kepada sesiapa yang engkau suka),
atau tahankanlah pemberian itu, (terserahlah kepadamu) dengan
tidak ada sebarang hitungan (untuk menyalahkanmu).“

40@ Dan sesungguhnya ia mempunyai kedudukan yang dekat lagi
mulia di sisi Kami, serta tempat kembali yang sebaik-baiknya
(pada hari akhirat kelak).

41@ Dan (ingatkanlah peristiwa) hamba Kami, Nabi Ayub ketika
ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata,
” Sesungguhnya aku diganggu oleh Syaitan dengan (hasutannya
semasa aku ditimpa) kesusahan dan azab seksa (penyakit).”

42@ (Maka Kami kabulkan permohonannya serta Kami perintahkan
kepadanya), ” Hentakkanlah (bumi) dengan kakimu.” (setelah ia
melakukannya maka terpancarlah air, lalu Kami berfirman
kepadanya). ” Ini ialah air sejuk untuk mandi dan untuk minum
(bagi menyembuhkan penyakitmu zahir dan batin).“

43@ Dan Kami kurniakan (lagi) kepadanya, keluarganya, dengan
sekali ganda ramainya, sebagai satu rahmat dari Kami dan
sebagai satu peringatan bagi orang-orang yang berakal sempurna
(supaya mereka juga bersikap sabar semasa ditimpa malang).

44@ Dan (Kami perintahkan lagi kepadanya), ” Ambillah dengan
tanganmu seikat jerami kemudian pukullah (isterimu) dengannya,
dan janganlah engkau merosakkan sumpahmu itu.“ Sesungguhnya
Kami mendapati Nabi Ayub itu seorang yang sabar, ia adalah
sebaik-baik hamba, sesungguhnya ia sentiasa rujuk kembali
(kepada Kami dengan ibadatnya).

45@ Dan (ingatkanlah peristiwa) hamba-hamba Kami, Nabi Ibrahim
dan Nabi Ishak serta Nabi Yaakub, yang mempunyai kekuatan
(melaksanakan taat setianya) dan pandangan yang mendalam
(memahami ugamanya).

46@ Sesungguhnya Kami telah jadikan mereka suci bersih dengan
sebab satu sifat mereka yang murni, iaitu sifat sentiasa
memperingati negeri akhirat.

47@ Dan sesungguhnya mereka di sisi Kami adalah dari orang-
orang pilihan yang sebaik-baiknya.

48@ Dan (ingatkanlah peristiwa) Nabi lsmail, dan Nabi Alyasak,
serta Nabi Zulkifli, dan mereka masing-masing adalah dari
orang-orang yang sebaik-baiknya.

49@ (Segala sifat-sifat yang mulia) ini, adalah menjadi
sebutan penghormatan (bagi mereka). Dan sesungguhnya bagi
orang-orang yang bertaqwa, disediakan tempat kembali yang
sebaik-baiknya (pada hari akhirat kelak),

50@ Iaitu beberapa buah Syurga tempat penginapan yang kekal,
yang terbuka pintu-pintunya untuk mereka,



51@ (Mereka akan bersukaria) dalam Syurga itu sambil berbaring
(di atas pelamin), mereka meminta di situ buah-buahan dan
minuman yang berbagai jenisnya dan rasa kelazatannya.

52@ Dan di sisi mereka pula bidadari-bidadari yang
pandangannya tertumpu (kepada mereka semata-mata), lagi yang
sebaya umurnya.

53@ Inilah dia balasan yang dijanjikan kepada kamu setelah
selesai hitungan amal !

54@ Sesungguhnya ini ialah pemberian Kami kepada kamu,
pemberian yang tidak akan habis-habis,

55@ Nikmat-nikmat ini (adalah untuk orang-orang yang
bertaqwa). Dan Bahawa sesungguhnya bagi orang-orang yang zalim
(dengan kekufuran atau kederhakaannya) seburuk-buruk tempat
kembali,

56@ Iaitu neraka Jahannam yang mereka akan menderita
bakarannya, maka seburuk-buruk tempat menetap ialah neraka
Jahannam,

57@ Ini sejenis azab seksa, maka hendaklah mereka merasainya,
air panas yang menggelegak dan air danur yang mengalir (untuk
minuman mereka),

58@ Dan azab seksa yang lain, yang serupa buruknya dan
dahsyatnya adalah berbagai jenis lagi.

59@ (Penjaga neraka berkata kepada ketua-ketua golongan kafir
dan penderhaka itu), ” Ini ialah serombongan (orang-orang
kamu) yang masuk berasak-asak bersama-sama kamu.“ (Ketua-ketua
itu berkata), ” Mereka tidak perlu dialu-alukan, kerana
sesungguhnya mereka pun akan menderita bakaran neraka.“

60@ Pengikut-pengikut mereka menjawab, ” Bahkan kamulah yang
tidak perlu dialu-alukan, kerana kamulah yang membawa azab
sengsara ini kepada kami, maka amatlah buruknya neraka ini
sebagai tempat penetapan.“

61@ Mereka berkata lagi, ” Wahai Tuhan kami ! Sesiapa yang
membawa azab ini kepada kami, maka tambahilah dia azab seksa
berlipat ganda di dalam neraka.“

62@ Dan penduduk neraka itu tetap akan bertanya sesama
sendiri, ” Mengapa kita tidak melihat orang-orang yang dahulu
kita kirakan mereka sebagai orang-orang jahat (lagi hina) ?

63@ Adakah kita sahaja jadikan mereka ejek-ejekan (sedang
mereka orang-orang yang benar) ? Atau mata kita tidak dapat
melihat mereka ?"

64@ Sesungguhnya (segala yang diterangkan) itu adalah benar
iaitu perbalahan dan cercaan penduduk neraka sesama sendiri.

65@ Katakanlah (wahai Muhammad), ” Sesungguhnya aku hanyalah
seorang Rasul pemberi amaran, dan tidak ada sama sekali tuhan
yang sebenar melainkan Allah Yang Maha Esa, lagi Yang
kekuasaanNya mengatasi segala-galanya,

66@ Tuhan (yang mencipta serta mentadbirkan) langit dan bumi
dan segala yang ada di antara keduanya, Yang Maha Kuasa, lagi
Yang sentiasa Mengampuni (dosa hamba-hambaNya).”

67@ Katakanlah lagi, ” Apa yang aku terangkan itu (tentang
keesaan Allah dan kebenaran kerasulanku) adalah berita penting
yang amat besar (faedahnya).

68@ Yang kamu terus mengingkarinya."

69@ ” Tiadalah bagiku sebarang pengetahuan tentang penduduk
alam yang tinggi (malaikat), semasa mereka bersoal jawab
(mengenai Nabi Adam, kalaulah tidak diwahyukan kepadaku).

70@ ” Tiadalah diwahyukan kepadaku melainkan kerana
sesungguhnya aku seorang Rasul pemberi amaran yang jelas nyata
(bukan seorang pembohong, atau ahli sihir, atau gila).“

71@ (Ingatkanlah peristiwa) ketika Tuhanmu berfirman kepada
malaikat, ” Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia, Adam
dari tanah,

72@ Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku
tiupkan padanya roh dari (ciptaan) Ku, maka hendaklah kamu
sujud kepadanya.“

73@ (Setelah selesai kejadian Adam) maka sujudlah sekalian
malaikat, semuanya sekali,

74@ Melainkan Iblis, ia berlaku sombong takbur
(mengingkarinya) serta menjadilah ia dari golongan yang kafir.

75@ Allah berfirman, ” Hai Iblis ! Apa yang menghalangmu
daripada turut sujud kepada (Adam) yang Aku telah ciptakan
dengan kekuasaanKu ? Adakah engkau berlaku sombong takbur,
ataupun engkau dari golongan yang tertinggi ?”

76@ Iblis menjawab, ” Aku lebih baik daripadanya, Engkau
(wahai Tuhanku) ciptakan daku dari api, sedang dia Engkau
ciptakan dari tanah.“

77@ Allah berfirman, ” Kalau demikian, keluarlah engkau
daripadanya, kerana sesungguhnya engkau adalah makhluk yang
diusir.

78@ Dan sesungguhnya engkau ditimpa laknatku terus menerus
hingga ke hari kiamat !”

79@ Iblis berkata, ” Wahai Tuhanku ! Jika demikian, berilah
tempoh kepadaku hingga ke hari mereka dibangkitkan (hari
kiamat).“

80@ Allah berfirman, ” Dengan permohonanmu itu, maka
sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh,

81@ Hingga ke hari masa yang termaklum.“

82@ Iblis berkata, ” Demi kekuasaanmu (wahai Tuhanku), aku
akan menyesatkan mereka semuanya,

83@ Kecuali hamba-hambaMu di antara zuriat-zuriat Adam itu
yang dibersihkan dari sebarang kederhakaan dan penyelewengan.“

84@ Allah berfirman, ” Maka Akulah Tuhan Yang Sebenar-
benarnya, dan hanya perkara yang benar Aku firmankan,

85@ Demi sesungguhnya ! Aku akan memenuhi neraka Jahannam
dengan jenismu dan dengan orang-orang yang menurutmu di antara
zuriat-zuriat Adam (yang derhaka) semuanya.“

86@ Katakanlah (wahai Muhammad), ” Aku tidak meminta kepada
kamu sebarang bayaran kerana menyampaikan ajaran Al Quran ini,
dan bukanlah aku dari orang-orang yang mengada-ngada.“

87@ Al Quran tidak lain hanyalah peringatan bagi penduduk
seluruh alam.

88@ Dan demi sesungguhnya, kamu akan mengetahui kabenaran
perkara-perkara yang diterangkannya, tidak lama lagi.

No comments:

Post a Comment