Wednesday 2 March 2016

Al Quran Indonesia. 030. Surah Ar Rum (Bangsa Rom)...

Al Quran Indonesia. 030. Surah Ar Rum (Bangsa Rom)...

BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

1@ Alif, Laam, Miim.

2@ Orang-orang Rom telah dikalahkan,

3@ Di negeri yang dekat sekali, dan mereka sesudah
kekalahannya itu akan mengalahkan lawannya,

4@ Dalam masa tidak sampai sepuluh tahun. Kepada pentadbiran
Allah jualah terpulang segala urusan, sebelum berlakunya dan
sesudah berlakunya, dan pada ketika berlakunya (kemenangan
Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira,

5@ Dengan kemenangan yang diberi Allah. Ia memberi kemenangan
kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dialah jua yang Maha
Kuasa, lagi Maha Mengasihani.

6@ Demikian dijanjikan Allah. Allah tidak pernah mengubah
janjiNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui
(hakikat yang sebenarnya).

7@ Mereka hanya mengetahui perkara yang zahir nyata dari
kehidupan dunia sahaja, dan mereka tidak pernah ingat hendak
mengambil tahu tentang hari akhirat.

8@ Patutkah mereka merasa cukup dengan mengetahui yang
demikian sahaja, dan tidak memikirkan dalam hati mereka,
(supaya mereka dapat mengetahui), bahawa Allah tidak
menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara
keduanya itu melainkan dengan ada gunanya yang sebenar, dan
dengan ada masa penghujungnya yang tertentu, (juga untuk
kembali menemui Penciptanya) ? Dan sebenarnya banyak di antara
manusia, orang-orang yang sungguh ingkar akan pertemuan dengan
Tuhannya.

9@ Tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi,
serta memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang
terdahulu dari mereka ? Orang-orang itu lebih kuat daripada
mereka sendiri, dan orang-orang itu telah meneroka bumi serta
memakmurkannya lebih daripada kemakmuran yang dilakukan oleh
mereka, dan orang-orang itu juga telah didatangi oleh Rasul-
rasulnya dengan membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata
(lalu mereka mendustakannya dan kesudahannya mereka
dibinasakan). Dengan yang demikian, maka Allah tidak sekali-
kali menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri
sendiri.

10@ Sesudah dibinasakan di dunia maka akibat orang-orang yang
melakukan kejahatan itu ialah seburuk-buruk azab (di akhirat
kelak), disebabkan mereka mendustakan ayat-ayat keterangan
Allah dan sentiasa mempersendakannya.

11@ Allah memulakan kejadian sekalian makhluk, kemudian Ia
mengembalikannya (hidup semula pada hari kiamat), kemudian
kepadaNyalah kamu akan dikembalikan (untuk menerima balasan).

12@ Dan semasa berlakunya hari kiamat, orang-orang yang
berdosa akan dia membisu serta berputus asa.

13@ Dan makhluk-makhluk yang mereka jadikan sekutu-sekutu
Allah itu tidak ada satupun daripadanya pemberi syafaat
melepaskan mereka (dari azab Allah), padahal mereka berlaku
kufur di dunia dahulu dengan sebab makhluk-makhluk yang mereka
sekutukan (dengan Allah) itu.

14@ Dan semasa berlakunya kiamat, mereka pada hari itu akan
berpecah kepada dua kumpulan (setelah selesai perbicaraan).

15@ Adapun kumpulan orang-orang yang beriman dan beramal
soleh, maka mereka akan ditempatkan di taman Syurga dalam
keadaan bersuka ria.

16@ Dan sebaliknya kumpulan orang-orang yang kafir dan
mendustakan ayat-ayat Kami (Al Quran) serta mendustakan
pertemuan hari akhirat, maka mereka akan tetap berada dalam
azab seksa selama-lamanya.

17@ (Setelah kamu mengetahui yang demikian) maka bertasbihlah
kepada Allah semasa kamu berada pada waktu malam dan semasa
kamu berada pada waktu subuh.

18@ Serta pujilah Allah yang berhak menerima segala puji (dari
sekalian makhlukNya) di langit dan di bumi, dan juga
(bertasbihlah kepadaNya serta pujilah Dia) pada waktu petang
dan semasa kamu berada pada waktu zuhur.

19@ Ia mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati,
dan mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup,
serta menghidupkan bumi sesudah matinya, dan sedemikian itulah
kamu akan dikeluarkan (hidup semula dari kubur).

20@ Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya
(menghidupkan kamu semula), bahawa Ia menciptakan kamu dari
tanah, setelah sempurna sahaja peringkat-peringkat kejadian
kamu, kamu menjadi manusia yang hidup bertebaran di muka bumi.

21@ Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya
dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum
lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu
bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya
di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas
kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi
keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-
orang yang berfikir.

22@ Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya
dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi, dan
perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang
demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-
orang yang berpengetahuan.

23@ Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kemurahannya
dan kasih sayangNya ialah tidurnya kamu pada waktu malam dan
pada siang hari, dan usaha kamu mencari rezeki dari limpah
kurniaNya (pada kedua-dua waktu itu). Sesungguhnya keadaan
yang demikian mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-
orang yang mahu mendengar (nasihat pengajaran).

24@ Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kebesaranNya
dan kekuasaanNya, Ia memperlihatkan kilat kepada kamu, untuk
menakutkan (dari panahan petir) dan memberi harapan (dengan
turunnya hujan), dan Ia menurunkan hujan dari langit, lalu Ia
hidupkan bumi sesudah matinya dengan hujan itu. Sesungguhnya
yang demikian mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-
orang yang menggunakan akal untuk memahamiNya.

25@ Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan keluasan
ilmuNya dan kekuasaanNya, ialah terdirinya langit dan bumi
(dalam keadaan yang menakjubkan itu) dengan perintah dan
penentuan takdirNya, akhirnya apabila Ia menyeru kamu dengan
satu seruan (supaya kamu bangkit hidup semula) dari bumi, kamu
dengan serta merta keluar (dari kubur masing-masing).

26@ Dan sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi adalah
hak kepunyaanNya, masing-masing tetap tunduk kepada hukum
peraturanNya.

27@ Dan Dialah yang memulakan kejadian sekalian makhluk,
kemudian Ia mengembalikannya (hidup semula sesudah mereka
mati), sedang perlaksanaan yang demikian amatlah mudah
bagiNya. Dan bagiNyalah jua sifat yang tertinggi di langit dan
di bumi, dan Dialah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

28@ Ia mengemukakan kepada kamu satu misal perbandingan dari
keadaan diri kamu sendiri, iaitu, " Relakah kamu menerima
sebahagian dari hamba-hamba abdi yang kamu miliki itu menjadi
rakan kongsi kamu pada harta benda yang Kami telah kurniakan
kepada kamu, supaya dengan penerimaan kamu itu, mereka dengan
kamu menjadi sama-sama berhak padanya, sehingga kamu pun tidak
berani (menguruskan harta benda itu dengan tiada persetujuan)
mereka, sebagaimana kamu tidak berani (berbuat demikian dengan
orang-orang yang berkongsi dengan kamu, yang setaraf dengan)
diri kamu ? Demikianlah Kami menjelaskan keterangan-keterangan
satu persatu bagi orang-orang yang menggunakan akal untuk
memahaminya."

29@ Orang-orang yang zalim itu (tidak berfikir), bahkan
menurut hawa nafsu mereka (melakukan syirik) dengan tidak
berdasarkan pengetahuan. Maka tiada sesiapa yang dapat memberi
petunjuk kepada orang yang telah disesatkan oleh Allah
(disebabkan bawaannya sendiri), dan tiada pula bagi mereka
sesiapa yang dapat menolong melepaskan mereka dari azab.

30@ (Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah
dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad)
ke arah ugama yang jauh dari kesesatan, (turutlah terus) ugama
Allah, iaitu ugama yang Allah menciptakan manusia (dengan
keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya,
tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu,
itulah ugama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak
mengetahui.

31@ Hendaklah kamu (wahai Muhammad dan pengikut-pengikutmu)
sentiasa rujuk kembali kepada Allah (dengan mengerjakan amal-
amal bakti) serta bertaqwalah kamu kepadaNya, dan kerjakanlah
sembahyang dengan betul sempurna, dan janganlah kamu menjadi
dari mana-mana golongan orang musyrik,

32@ Iaitu orang-orang yang menjadikan fahaman ugama mereka
berselisihan mengikut kecenderungan masing-masing serta mereka
pula menjadi berpuak-puak, tiap-tiap puak bergembira dengan
apa yang ada padanya (dari fahaman dan amalan yang terpesong
itu).

33@ Dan apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, mereka
segera berdoa kepada Tuhan mereka dengan keadaan rujuk kembali
bertaubat kepadaNya, kemudian apabila Allah memberi mereka
merasai sesuatu rahmat daripadaNya, tiba-tiba sebahagian dari
mereka mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Tuhannya,

34@ Dengan sebab itu, mereka mengingkari nikmat-nikmat yang
telah Kami berikan kepadanya. Maka (dikatakan kepada mereka),
“ Bersenang-senanglah kamu (bagi sementara), kemudian kamu
akan mengetahui (balasan kederhakaan kamu).”

35@ Pernahkah Kami menurunkan kepada mereka (yang musyrik itu)
sebarang bukti keterangan, lalu ia menerangkan jalan yang
membolehkan mereka lakukan perbuatan syirik itu ?

36@ Dan apabila Kami beri manusia merasai sesuatu rahmat,
mereka bergembira dengannya (sehingga lupa daratan), dan jika
mereka ditimpa sesuatu bencana disebabkan apa yang telah
dilakukan oleh tangan mereka sendiri, tiba-tiba mereka
berputus asa.

37@ (Mengapa mereka bersikap demikian ?) dan mengapa mereka
tidak melihat (dengan hati mereka) bahawa Allah memewahkan
rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya (sebagai cubaan adakah
orang itu bersyukur atau sebaliknya), dan Ia juga yang
menyempitkannya (sebagai ujian sama ada diterima dengan sabar
atau tidak) ? Sesungguhnya hal yang demikian itu mengandungi
keterangan-keterangan (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi
orang-orang yang beriman.

38@ Maka (bagi menyatakan sikap syukur) berikanlah kepada
kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya
masing-masing, pemberian yang demikian adalah baik bagi orang-
orang yang bertujuan memperoleh keredaan Allah dan mereka
itulah orang-orang yang berjaya.

39@ Dan (ketahuilah bahawa) sesuatu pemberian atau tambahan
yang kamu berikan, supaya bertambah kembangnya dalam pusingan
harta manusia, maka ia tidak sekali-kali akan kembang di sisi
Allah (tidak mendatangkan kebaikan). Dan sebaliknya sesuatu
pemberian sedekah yang kamu berikan dengan tujuan mengharapkan
keredaan Allah semata-mata, maka mereka yang melakukannya
itulah orang-orang yang beroleh pahala berganda-ganda.

40@ Allah jualah yang mencipta kamu, kemudian Ia memberi
rezeki kepada kamu, sesudah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia
menghidupkan kamu semula. Adakah di antara makhluk-makhluk
yang kamu sekutukan dengan Allah itu sesiapa yang dapat
berbuat sesuatu pun dari segala yang tersebut ? Maha Suci
Allah dan Tertinggi keadaanNya dari apa yang mereka sekutukan
(denganNya).

41@ Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat
dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan
manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak
merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan
buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf
dan bertaubat).

42@ Katakanlah, “ Mengembaralah kamu di muka bumi kemudian
lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang telah lalu (yang
telah dibinasakan), kebanyakan mereka adalah orang-orang
musyrik.”

43@ (Jika demikian keadaannya) maka hadapkanlah dirimu (wahai
Muhammad) ke arah ugama yang betul, sebelum datangnya dari
Allah, hari yang tak dapat ditolak, pada hari itu manusia akan
berpecah (kepada dua golongan).

44@ Sesiapa yang kufur ingkar maka dialah sahaja yang
menanggung bencana kekufurannya itu, dan sesiapa yang beramal
soleh (yang membuktikan imannya), maka merekalah orang-orang
yang membuat persiapan untuk kesenangan diri mereka masing-
masing,

45@ Kerana Allah akan membalas orang-orang yang beriman dan
beramal soleh dari limpah kurniaNya. Sesungguhnya Ia tidak
suka kepada orang-orang yang kufur ingkar.

46@ Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya,
bahawa Ia menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang
mengembirakan, dan untuk merasakan kamu sedikit dari
rahmatNya, dan supaya kapal-kapal belayar laju dengan
perintahNya, dan juga supaya kamu dapat mencari rezeki dari
limpah kurniaNya, dan seterusnya supaya kamu bersyukur.

47@ Dan demi sesungguhnya, Kami telah mengutuskan sebelummu
(wahai Muhammad) Rasul-rasul kepada kaum masing-masing, lalu
mereka membawa kepada kaumnya keterangan-keterangan yang jelas
nyata, kemudian Kami menyeksa orang-orang yang berlaku salah
(mengingkarinya), dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab
Kami menolong orang-orang yang beriman.

48@ Allah jualah yang menghantarkan angin, lalu angin itu
menggerakkan awan, kemudian Allah menyebarkan awan itu
di langit sebagaimana yang dikehendakiNya, dan menjadikannya
berkelompok-kelompok, lalu engkau melihat hujan keluar dari
celah-celahnya. Maka apabila Allah menurunkan hujan itu
mengenai sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambanya,
mereka serta merta bergembira,

49@ Dan sesungguhnya mereka dahulu, sebelum diturunkan hujan
kepada mereka, adalah orang-orang yang telah berputus asa.

50@ Maka lihatlah olehmu kepada kesan-kesan rahmat Allah,
bagaimana Ia menghidupkan bumi sesudah matinya (dengan
tanaman-tanaman yang menghijau subur). Sesungguhnya Allah yang
demikian kekuasaanNya, sudah tentu berkuasa menghidupkan
orang-orang yang telah mati. Dan (ingatlah) Ia maha Kuasa atas
tiap-tiap sesuatu.



51@ Dan demi sesungguhnya, jika Kami hantarkan angin
(menyerang tanaman) lalu mereka melihat tanaman itu menjadi
kuning kering, nescaya mereka sesudah itu, terus kembali kufur
(tidak mengenangkan nikmat-nikmat Allah serta berputus asa).

52@ (Maka janganlah engkau berdukacita), wahai Muhammad
terhadap keadaan mereka yang demikian, kerana sesungguhnya
engkau tidak dapat menjadikan orang-orang yang mati (hatinya)
itu menerima ajaranmu, dan tidak dapat menjadikan orang-orang
yang pekak itu mendengar seruanmu, apabila mereka berpaling
undur (disebabkan keingkarannya).

53@ Dan engkau tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang-
orang yang buta (matahatinya) supaya menjauhi kesesatan
mereka, engkau tidak dapat memperdengarkan (seruanmu itu)
melainkan kepada orang-orang yang sedia beriman akan ayat-ayat
keterangan Kami, kerana mereka orang-orang yang menurut
perintah.

54@ Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah,
selepas berkeadaan lemah itu Ia menjadikan kamu kuat. Setelah
itu Ia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Ia
menciptakan apa yang dikehendakiNya, dan Dialah jua yang Maha
Mengetahui, lagi Maha Kuasa.

55@ Dan semasa berlakunya hari kiamat, orang-orang yang
berdosa akan bersumpah mengatakan bahawa mereka tidak tinggal
(di dalam kubur) melainkan sekadar satu saat sahaja,
demikianlah mereka sentiasa dipalingkan (oleh fahaman sesatnya
dari memperkatakan yang benar).

56@ Dan (bagi menjawabnya) berkatalah orang-orang yang berilmu
serta beriman, “ Demi sesungguhnya, kamu telah tinggal
(menurut yang terkandung dalam Kitab Allah) sampai ke hari
kebangkitan (hari kiamat), maka inilah dia hari kebangkitan
(yang dijanjikan) itu, akan tetapi kamu dari dahulu lagi tidak
mahu mengetahui (kebenarannya).”

57@ Maka pada hari itu tidak berguna lagi bagi orang-orang
yang zalim, sebarang alasan yang mereka kemukakan untuk
melepaskan diri, dan mereka pula tidak diberi peluang untuk
memohon keredaan Allah.

58@ Dan demi sesungguhnya, Kami telah mengemukakan kepada umat
manusia berbagai kisah dan perbandingan di dalam Al Quran ini,
dan demi sesungguhnya jika engkau membawa kepada mereka
sebarang keterangan, sudah tentu orang-orang kafir itu akan
berkata, “ Kamu ini tidak lain hanyalah orang-orang yang
membuat dakwaan palsu.”

59@ Demikianlah Allah meteraikan hati orang-orang yang tidak
mahu menerima jalan mengetahui (kebenaran).

60@ Oleh itu, bersabarlah (wahai Muhammad), sesungguhnya janji
Allah itu benar, dan janganlah orang-orang yang tidak meyakini
apa yang engkau sampaikan itu menjadikan engkau resah gelisah.

No comments:

Post a Comment