Wednesday 2 March 2016

Al Quran Indonesia. 040. Ghaffir/Al Mu'min (Orang Beriman)...

Al Quran Indonesia. 040. Ghaffir/Al Mu'min (Orang Beriman)...

BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

1@ Haa, Miim.

2@ Turunnya Al Quran ini dari Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha
Mengetahui,

3@ Yang Mengampunkan dosa, dan Yang Menerima taubat, Yang
Berat azabNya, Yang Melimpah-limpah kurniaNya, tiada Tuhan
melainkan Dia, kepadaNyalah tempat kembali.

4@ Tidak ada yang membantah mengenai ayat-ayat Allah melainkan
orang-orang yang kafir. Oleh itu janganlah engkau (wahai
Muhammad) diperdayakan oleh kebebasan mereka bergerak dengan
berulang alik dari sebuah bandar ke bandar yang lain.

5@ Sebelum mereka, kaum Nabi Nuh dan puak-puak yang bergabung,
(sesudah kaum Nabi Nuh itu) telah mendustakan (Rasul-
rasulnya), dan tiap-tiap umat di antaranya telah merancangkan
rancangan jahat terhadap Rasul mereka untuk menawannya (dan
membinasakannya), dan mereka pula telah membantah dengan
perkara yang salah untuk menghapuskan kebenaran dengan perkara
yang salah itu, sebab itu Aku binasakan mereka. Maka
(lihatlah) bagaimana kesan azabKu !

6@ Dan demikianlah juga tetapnya hukuman Tuhanmu terhadap
orang-orang yang kafir, kerana sesungguhnya mereka ialah ahli
neraka.

7@ Malaikat yang memikul Arasy dan malaikat yang berada
di sekelilingnya, bertasbih memuji TuhanNya, dan beriman
kepadaNya, serta mereka memohon ampun bagi orang-orang yang
beriman (dengan berdoa merayu), “ Wahai Tuhan kami ! RahmatMu
dan IlmuMu meliputi segala-galanya, maka berilah ampun kepada
orang-orang yang bertaubat serta menurut jalanMu, dan
peliharalah mereka dari azab neraka."

8@ “ Wahai Tuhan kami ! Dan masukkanlah mereka ke dalam Syurga
“ Adn” yang Engkau telah janjikan kepada mereka, dan
(masukkanlah bersama-sama mereka), orang-orang yang layak
di antara ibu bapa mereka, dan isteri-isteri mereka, serta
keturunan mereka. Sesungguhnya Engkaulah jua Yang Maha Kuasa,
lagi Maha Bijaksana."

9@ “ Dan peliharalah mereka dari (balasan) kejahatan-kejahatan
(yang dilakukannya), dan (sebenarnya) sesiapa yang Engkau
pelihara pada hari itu dari terkena (balasan) kejahatan-
kejahatan (yang dilakukannya) maka sesungguhnya Engkau telah
mengurniakan rahmat kepadanya, dan yang demikian itulah
kemenangan yang besar (nilainya).”

10@ Sesungguhnya orang-orang yang kafir akan dipanggil dan
dikatakan kepada mereka (pada hari kiamat), “ Demi
sesungguhnya ! Kebencian Allah (kepada kamu) lebih besar
daripada kebencian kamu kepada diri sendiri, (sebabnya kerana)
semasa kamu diseru dan diajak (di dunia dahulu) supaya
beriman, (kamu enggan dan menolak), lalu kamu terus berkeadaan
kufur.”

11@ Mereka menjawab, “ Wahai Tuhan kami ! Engkau telah
menjadikan kami berkeadaan mati dua kali, dan telah menjadikan
kami bersifat hidup dua kali, maka kami (sekarang) mengakui
akan dosa-dosa kami. Oleh itu adakah sebarang jalan untuk
(kami) keluar (dari neraka) ?”

12@ (Lalu dikatakan kepada mereka), “ Azab yang kamu berada
padanya itu adalah kerana keadaan kamu apabila Allah Yang Maha
Esa sahaja diseru dan disembah, kamu kufur (dan menolak cara
bertauhid itu), dan apabila dipersekutukan sesuatu dengan
Allah, kamu percaya (dan menerima bawaan syirik itu). Maka
kuasa menjalankan keadilan adalah hak Allah, Yang Maha Tinggi
(dari apa yang dipersekutukan), lagi Yang Maha Besar
(pemerintahanNya).”

13@ Dialah Tuhan yang memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda
keesaanNya dan kekuasaanNya (untuk kehidupan rohani kamu), dan
yang menurunkan (untuk jasmani kamu) sebab-sebab rezeki dari
langit. Dan tiadalah yang ingat serta mengambil pelajaran
(dari yang demikian) melainkan orang yang sentiasa bertumpu
(kepada Allah).

14@ Oleh itu maka sembahlah kamu akan Allah dengan
mengikhlaskan ibadat kepadaNya (dan menjauhi bawaan syirik),
sekalipun orang-orang kafir tidak menyukai (amalan kamu yang
demikian).

15@ Dialah Yang Maha tinggi darjat kebesaranNya, yang
mempunyai Arasy (yang melambangkan keagungan dan
kekuasaanNya), Ia memberikan wahyu dari hal perintahNya kepada
sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya (yang
telah dipilih menjadi RasulNya), supaya Ia memberi amaran
(kepada manusia) tentang hari pertemuan,

16@ Iaitu hari mereka keluar (dari kubur masing-masing) dengan
jelas nyata, tidak akan tersembunyi kepada Allah sesuatupun
dari hal keadaan mereka. (Pada saat itu Allah berfirman),
“ Siapakah yang menguasai kerajaan pada hari ini ?" (Allah
sendiri menjawab), “ Dikuasai oleh Allah Yang Maha Esa, lagi
Yang Mengatasi kekuasaanNya segala-galanya !"

17@ “ Pada hari ini, tiap-tiap diri dibalas dengan apa yang
telah diusahakannya, tidak ada hukuman yang tidak adil pada
hari ini. Sesungguhnya Allah amat cepat hitungan hisabNya."

18@ Dan berilah amaran (wahai Muhammad) kepada mereka tentang
(hari kiamat) yang dekat (masa datangnya), iaitu ketika hati
seseorang merasa resah gelisah, kerana cemas takut, sambil
masing-masing menahan perasaannya itu. (Pada saat itu) orang-
orang yang zalim tidak akan mendapat seorang sahabatpun yang
boleh membelanya, dan tidak akan mendapat pemberi syafaat yang
diterima pertolongannya.

19@ Allah mengetahui pengkhianatan (penyelewengan dan
ketiadaan jujur) pandangan mata seseorang, serta mengetahui
akan apa yang tersembunyi di dalam hati.

20@ Dan Allah memutuskan hukum dengan adil, sedang yang mereka
sembah yang lain dari Allah (tidak dapat memberikan sebarang
keputusan). Sesungguhnya Allah Dialah Yang Maha Mendengar,
lagi Maha Melihat.

21@ Tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka
bumi, dengan itu tidakkah mereka memerhatikan bagaimana
kesudahan orang-orang yang terdahulu dari mereka ? Orang-orang
itu adalah orang-orang yang lebih dari mereka tentang kekuatan
tenaga dan tentang kesan-kesan usaha pembangunan di muka bumi.
Maka sekalipun demikian, Allah binasakan mereka dengan sebab
dosa-dosa mereka, dan tiadalah bagi mereka sesiapapun yang
dapat menyelamatkan mereka dari azab Allah.

22@ (Kebinasaan mereka) yang demikian ialah kerana mereka
sentiasa didatangi Rasul-rasul yang diutuskan kepada mereka
dengan membawa keterangan-keterangan (hukum-hukum dan
mukjizat) yang jelas nyata, maka mereka kufur ingkar, lalu
Allah menyeksa mereka, sesungguhnya Allah adalah Maha Kuat
lagi Maha berat azab seksaNya.

23@ Dan demi sesungguhnya ! Kami telah mengutuskan Nabi Musa
membawa ayat-ayat Kami dan bukti (mukjizat) yang jelas nyata.

24@ Kepada Firaun dan Haman serta Qarun, maka mereka
(menuduhnya dengan) berkata, “ Ia seorang ahli sihir, lagi
pendusta !”

25@ Setelah Nabi Musa datang kepada mereka dengan membawa
kebenaran dari sisi Kami, mereka berkata (dengan marahnya),
“ Bunuhlah anak-anak lelaki orang-orang yang beriman yang
mengikutnya, dan biarkan hidup anak-anak perempuan mereka.”
(Tetapi usaha) dan tipu daya orang-orang kafir itu hanya
menyebabkan mereka tenggelam dalam kesesatan dan kebinasaan
sahaja.

26@ Dan berkatalah Firaun (kepada orang-orangnya),
“ Biarkanlah aku membunuh Musa, dan biarlah dia memohon kepada
Tuhannya (meminta pertolongan) ! Sesungguhnya aku bimbang dia
akan menukar ugama kamu, atau ia menimbulkan kerosakan di muka
bumi.”

27@ Dan (setelah mendengar ancaman itu) Nabi Musa berkata,
“ Sesungguhnya aku berlindung kepada Allah Tuhanku dan Tuhan
kamu, dari (angkara) tiap-tiap orang yang sombong takbur, yang
tidak beriman kepada hari hitungan amal !”

28@ Dan (pada saat itu) berkatalah pula seorang lelaki yang
beriman dari orang-orang Firaun yang menyembunyikan imannya,
“ Patutkah kamu membunuh seorang lelaki kerana ia menegaskan,
" Tuhanku ialah Allah ?" sedang ia telah datang kepada kamu
membawa keterangan-keterangan dari Tuhan kamu ? Kalau ia
seorang yang berdusta maka dialah yang akan menanggung dosa
dustanya itu, dan kalau ia seorang yang benar nescaya kamu
akan ditimpa oleh sebahagian dari (azab) yang dijanjikannya
kepada kamu. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk
kepada orang yang melampaui batas, lagi pendusta."

29@ “ Wahai kaumku ! Pada hari ini kepunyaan kamulah kuasa
memerintah dengan bermaharajalela di muka bumi (Mesir dan
sekitarnya, tetapi kiranya keadaan bertukar) maka siapakah
yang akan membela kita dari azab Allah kalau azab itu datang
menimpa kita ?” Firaun berkata, ” Aku tidak mengesyorkan
kepada kamu melainkan dengan apa yang aku pandang (elok
dijalankan), dan aku tidak menunjukkan kepada kamu melainkan
jalan yang benar.”

30@ Dan berkatalah pula orang yang beriman itu, “ Wahai
kaumku ! Sesungguhnya aku bimbang kamu akan ditimpa
(kebinasaan) sebagaimana yang telah menimpa kaum-kaum yang
bergabung (menentang Rasul-rasulnya) !"

31@ “ (Iaitu) seperti keadaan kaum Nabi Nuh, dan Aad (kaum
Nabi Hud), dan Thamud (kaum Nabi Soleh), serta orang-orang
yang datang kemudian daripada mereka (seperti kaum Nabi Lut).
Dan (ingatlah) Allah tidak menghendaki berbuat kezaliman
kepada hamba-hambaNya.

32@ Dan, wahai kaumku ! Sesungguhnya aku bimbang kamu akan
ditimpa azab seksa hari (kiamat) yang padanya masing-masing
menjerit-jerit memanggil (memohon pertolongan),

33@ (Iaitu) hari kamu berpaling undur melarikan diri, padahal
semasa itu tidak ada sesiapapun yang dapat menyelamatkan kamu
dari azab Allah. Dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah
(disebabkan pilihannya yang salah), maka tiada sesiapapun yang
dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya."

34@ “ Dan demi sesungguhnya ! Nabi Yusuf telah datang kepada
kamu dahulu dengan membawa keterangan-keterangan (yang
membuktikan kerasulannya), maka kamu tetap juga dalam keraguan
mengenai apa yang disampaikannya kepada kamu sehingga apabila
ia mati, kamu berkata, " Allah tidak akan mengutuskan lagi
Rasul sesudahnya, demikianlah Allah menyesatkan sesiapa yang
melampau kederhakaannya, lagi yang ragu-ragu kepercayaannya
(terhadap balasan Tuhannya),

35@ (Iaitu) orang-orang yang membantah mengenai maksud ayat-
ayat Allah dengan tidak ada sebarang bukti yang sampai kepada
mereka (dari pihak yang diakui benarnya). (Bantahan yang
demikian) besar kebenciannya dan kemurkaannya di sisi hukum
Allah dan di sisi bawaan orang-orang yang beriman. Demikianlah
Allah meteraikan atas hati tiap-tiap orang yang sombong
takbur, lagi bermaharajalela pencerobohannya !”

36@ Dan Firaun pula berkata, “ Hai Haman ! Binalah untukku
sebuah bangunan yang tinggi, semoga aku sampai ke jalan-jalan
(yang aku hendak menujunya),

37@ (Iaitu) ke pintu-pintu langit, supaya aku dapat melihat
Tuhan Musa, dan sesungguhnya aku percaya Musa itu seorang
pendusta !” Demikianlah diperhiaskan (oleh Syaitan) kepada
Firaun akan perbuatannya yang buruk itu untuk dipandang baik,
serta ia dihalangi dari jalan yang benar, dan tipu daya Firaun
itu tidak membawanya melainkan ke dalam kerugian dan
kebinasaan.

38@ Dan berkatalah pula orang beriman itu, “ Wahai kaumku !
Turutlah (nasihatku), aku akan menunjukkan kepada kamu jalan
yang benar.

39@ Wahai kaumku ! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah
kesenangan (untuk sementara waktu sahaja), dan sesungguhnya
hari akhirat itulah sahaja negeri yang kekal."

40@ " Sesiapa yang mengerjakan sesuatu perbuatan jahat maka ia
tidak dibalas melainkan dengan kejahatan yang sebanding
dengannya, dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh (dari
lelaki atau perempuan) sedang ia beriman, maka mereka itu akan
masuk Syurga, mereka beroleh rezeki di dalam Syurga itu dengan
tidak dihitung.

41@ Dan wahai kaumku ! Apa halnya aku dengan kamu ? Aku
mengajak kamu kepada keselamatan, dan kamu pula mengajakku
ke neraka ?"

42@ “ Kamu mengajakku supaya aku kufur (tidak percayakan
keesaan) Allah dan mempersekutukanNya dengan apa yang aku
tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, padahal aku mengajak
kamu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha
Pengampun ?

43@ Tidak syak lagi, bahawa makhluk-makhluk yang kamu ajak aku
menyembahnya itu tidak dapat menyahut sebarang seruan (atau
memberikan sebarang pertolongan) sama ada di dunia atau
di akhirat, dan sesungguhnya tempat kembali kita semua ialah
kepada Allah, dan sebenarnya orang-orang yang melampau
kejahatannya itu, merekalah ahli neraka."

44@ “ (Kiranya kamu tetap berdegil sekarang) maka kamu sudah
tentu akan mengetahui kebenaran apa yang aku katakan kepada
kamu, dan aku sentiasa menyerahkan urusanku bulat-bulat kepada
Allah (untuk memeliharaku), sesungguhnya Allah Maha Melihat
akan keadaan hamba-hambaNya.”

45@ (Dengan keikhlasannya dan penyerahan dirinya kepada Allah)
maka ia diselamatkan oleh Allah dari angkara tipu daya mereka,
dan Firaun bersama-sama kaumnya ditimpa azab seksa yang
seburuk-buruknya,

46@ Mereka didedahkan kepada bahang api neraka pada waktu pagi
dan petang (semasa mereka berada dalam alam Barzakh), dan pada
hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat),
“ Masukkanlah Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab
seksa api neraka yang seberat-beratnya !”

47@ Dan (ingatkanlah perkara yang berlaku) semasa orang-orang
yang kafir dan yang menderhaka berbantah-bantahan dalam
neraka, iaitu orang-orang yang lemah (yang menjadi pengikut)
berkata kepada pemimpin-pemimpinnya yang sombong takbur,
“ Sesungguhnya kami telah menjadi pengikut-pengikut kamu, maka
dapatkah kamu menolak dari kami sebahagian daripada azab
neraka ini ?”

48@ Orang-orang yang sombong angkuh itu menjawab, “ Sebenarnya
kita semua menderita bersama-sama dalam neraka (tidak ada
jalan untuk kita melepaskan diri), kerana sesungguhnya Allah
telah menetapkan hukumanNya di antara sekalian hambaNya.”

49@ Dan berkatalah pula orang-orang yang ada dalam neraka
kepada malaikat-malaikat penjaga neraka Jahannam,
“ Pohonkanlah kepada Tuhan kamu, supaya Ia meringankan sedikit
azab seksa dari kami, barang sehari.”

50@ Malaikat penjaga neraka menjawab, “ Bukankah kamu telah
didatangi Rasul-rasul kamu dengan membawa keterangan-
keterangan (yang menyatakan akibat perbuatan derhaka kamu) ?”
Mereka menjawab, “ Ya, telah datang.” Malaikat itu berkata,
“ Jika demikian, maka berdoalah kamu sendiri. Dan doa
permohonan orang-orang yang kafir pada saat ini hanya
menyebabkan mereka berada dalam keadaan dukacita dan kecewa
sahaja.”



51@ Sesungguhnya Kami tetap membela serta mempertahankan
Rasul-rasul Kami dan orang-orang yang beriman, dalam kehidupan
dunia ini dan pada saat bangkitnya saksi-saksi (pada hari
kiamat),

52@ (Iaitu) pada hari yang tidak berguna bagi orang-orang yang
zalim dalihan-dalihan mereka untuk melepaskan diri, dan mereka
akan beroleh laknat, serta mereka beroleh seburuk-buruk tempat
tinggal.

53@ Dan demi sesungguhnya ! Kami telah memberikan Nabi Musa
hidayah petunjuk dan Kami berikan kaum Bani Israil mewarisi
Kitab Taurat,

54@ Sebagai hidayah petunjuk dan peringatan bagi orang-orang
yang berakal sempurna.

55@ (Setelah engkau mengetahui perihal Nabi Musa dan umatnya)
maka bersabarlah (wahai Muhammad, dalam perjuangan menegakkan
Islam), sesungguhnya janji Allah (untuk menjayakanmu) adalah
benar. Dan pohonlah ampun bagi salah silapmu, serta
bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu pada waktu pagi dan petang.

56@ Sesungguhnya orang-orang yang membantah mengenai maksud
ayat-ayat Tuhanmu dengan tidak berdasarkan sebarang bukti yang
sampai kepada mereka (dari pihak yang diakui benarnya), tidak
ada dalam dada mereka melainkan perasaan mahukan kebesaran
(untuk mengatasimu), kemahuan yang mereka tidak sekali-kali
akan dapat mencapainya. Oleh itu mintalah perlindungan kepada
Allah (dari angkara mereka), sesungguhnya Dialah jua Yang Maha
Mendengar, lagi Maha Melihat.

57@ Demi sesungguhnya, menciptakan langit dan bumi (dari tiada
kepada ada) lebih besar (dan lebih menakjubkan) daripada
menciptakan manusia dan menghidupkannya semula (sesudah
matinya), akan tetapi kebanyakan manusia (yang mengingkari
hari kiamat) tidak mengetahui.

58@ Dan sememangnya tidaklah sama orang yang buta dan orang
yang melihat, dan juga tidaklah sama orang-orang yang beriman
serta beramal soleh dengan orang yang melakukan kejahatan.
(Meskipun hakikat ini jelas nyata, tetapi) sedikit sangat kamu
beringat dan insaf.

59@ Sesungguhnya hari kiamat tetap akan datang, tidak ada
sebarang syak tentang kedatangannya, akan tetapi kebanyakan
manusia tidak beriman (akan hakikat itu).

60@ Dan Tuhan kamu berfirman, “ Berdoalah kamu kepadaKu
nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya
orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa
kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina."

61@ Allah yang menjadikan malam untuk kamu supaya kamu berehat
padanya, dan menjadikan siang terang-benderang (supaya kamu
berusaha). Sesungguhnya Allah sentiasa melimpah-limpah
kurniaNya kepada manusia seluruhnya, akan tetapi kebanyakan
manusia tidak bersyukur.

62@ Yang bersifat demikian ialah Allah, Tuhan kamu, yang
menciptakan tiap-tiap sesuatu (dari tiada kepada ada), tiada
Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, maka bagaimana
kamu dapat dipalingkan (daripada menyembahNya) ?

63@ Sebagaimana terpalingnya mereka itu (daripada menyembah
Allah), terpaling juga orang-orang yang mengingkari
keterangan-keterangan Allah.

64@ Allah yang menjadikan bumi sebagai tempat penetapan untuk
kamu, dan langit sebagai bumbung yang kukuh binaannya, dan Ia
membentuk kamu lalu memperelokkan rupa kamu, serta dikurniakan
kepada kamu dari benda-benda yang baik lagi halal. Yang
demikian (kekuasaanNya dan kemurahanNya) ialah Allah Tuhan
kamu, maka nyatalah kelebihan dan kemurahan Allah, Tuhan
sekalian alam.

65@ Dialah Yang Tetap Hidup, tiada Tuhan (yang berhak
disembah) melainkan Dia, maka sembahlah kamu akan Dia dengan
mengikhlaskan amal ugama kamu kepadaNya semata-mata. Segala
puji tertentu bagi Allah Tuhan yang memelihara dan
mentadbirkan sekalian alam.

66@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Sesungguhnya aku dilarang
menyembah benda-benda yang kamu sembah yang lain dari Allah
(setelah datang kepadaku keterangan-keterangan yang jelas
nyata dari Tuhanku), dan aku diperintahkan supaya tunduk taat
bulat-bulat kepada perintah Tuhan sekalian alam.”

67@ Dialah yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari
(setitis) air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian
dari seketul daging, kemudian Ia mengeluarkan kamu berupa
kanak-kanak, kemudian kamu (dipelihara) hingga sampai
ke peringkat umur dewasa, kemudian kamu (dipanjangkan umur)
hingga sampai menjadi tua. Dan (dalam pada itu) ada di antara
kamu yang dimatikan sebelum itu. (Allah melakukan kejadian
yang demikian) supaya kamu sampai ke masa yang ditentukan
(untuk menerima balasan), dan supaya kamu memahami (hikmat-
hikmat kejadian itu dan kekuasaan Tuhan).

68@ Dialah yang menghidupkan dan mematikan, oleh itu apabila
Ia menetapkan jadinya sesuatu perkara maka Ia hanya berfirman
kepadanya, “ Jadilah engkau !” Lalu menjadilah ia.

69@ Tidakkah engkau melihat dan merasa hairan terhadap orang-
orang yang membantah mengenai maksud ayat-ayat Allah,
bagaimana mereka telah dipalingkan (dari kebenaran) ?

70@ Iaitu orang-orang yang mendustakan Al Quran dan segala
yang dibawa oleh Rasul-rasul Kami yang telah Kami utus, maka
mereka akan mengetahui kelak.

71@ Ketika belenggu dan rantai dipasung di leher mereka,
sambil mereka, diseret,

72@ Ke dalam air panas yang menggelegak, kemudian mereka
dibakar dalam api neraka,

73@ Akhirnya dikatakan kepada mereka, “ Mana dia berhala-
berhala yang kamu dahulu sekutukan,

74@ (Dengan menyembahnya atau memujanya) selain Allah ?”
Mereka menjawab, “ Benda-benda itu telah hilang lenyap dari
kami, bahkan yang sebenarnya kami dahulu tidak pernah
sekutukan sesuatu pun (dengan Allah).” (Sebagaimana Allah
menjadikan mereka sesat), demikian pula Allah menyesatkan
orang-orang yang kufur ingkar (menentang maksud ayat-ayatNya).

75@ (Lalu dikatakan kepada mereka setelah ditimpakan dengan
azab seksa), “ Balasan buruk yang demikian ini disebabkan kamu
dahulu bersukaria di muka bumi dengan cara yang salah (pada
hukum Tuhan), dan disebabkan kamu bersenang lenang dan
bermegah-megah dengan berleluasa (dalam maksiat)."

76@ “ Masukilah pintu-pintu neraka Jahannam, kekallah kamu
di dalamnya, maka seburuk-buruk tempat bagi orang-orang yang
sombong takbur ialah neraka Jahannam.”

77@ Maka bersabarlah (wahai Muhammad), sesungguhnya janji
Allah (menyeksa musuh-musuhmu itu) adalah benar, oleh itu
kiranya Kami perlihatkan kepadamu sebahagian dari azab yang
Kami janjikan kepada mereka, ataupun Kami wafatkanmu sebelum
itu, (maka tetaplah mereka akan menerima balasan azab) kerana
kepada Kamilah mereka akan dikembalikan.

78@ Dan demi sesungguhnya ! Kami telah mengutus beberapa Rasul
sebelummu, di antara mereka ada yang Kami ceritakan perihalnya
kepadamu, dan ada pula di antaranya yang tidak Kami ceritakan
kepada kamu. Dan tidaklah harus bagi seseorang Rasul membawa
sesuatu keterangan atau menunjukkan sesuatu mukjizat melainkan
dengan izin Allah, (maka janganlah diingkari apa yang dibawa
oleh Rasul) kerana apabila datang perintah Allah (menimpakan
azab) diputuskan hukum dengan adil, pada saat itu rugilah
orang-orang yang berpegang kepada perkara yang salah.

79@ Allah yang menjadikan binatang ternak bagi kamu,
sebahagian di antaranya untuk kamu menunggangnya, dan
sebahagian lagi untuk kamu makan.

80@ Dan kamu pula beroleh berbagai faedah pada binatang ternak
itu, dan supaya kamu dapat memenuhi sesuatu hajat yang ada
dalam hati kamu dengan menggunakan binatang itu, dan di atas
binatang-binatang ternak itu, serta di atas kapal-kapal, kamu
diangkut.

81@ Dan Ia memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda kebesaranNya
dan kekuasaanNya (melalui Rasul-rasulNya dan pada makhluk-
makhluk yang dijadikanNya), maka di antara tanda-tanda
kesempurnaan Allah, yang mana satu, yang kamu ingkari ?

82@ Selain dari itu, tidakkah mereka telah berjalan dan
mengembara di muka bumi, dengan itu tidakkah mereka
memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu
dari mereka (yang telah dibinasakan dengan sebab dosa-
dosanya)? Orang-orang itu lebih ramai dari mereka, dan lebih
dari mereka tentang kekuatan tenaga dan tentang kesan-kesan
usaha pembangunan di muka bumi. Dalam pada itu, apa yang telah
diusahakan oleh orang-orang itu, tidak dapat menolongnya
sedikitpun.

83@ Kerana pada masa mereka didatangi oleh Rasul-rasul yang
diutus kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan
(untuk menyelamatkan mereka, mereka mengejek-ejeknya, dan)
mereka bergembira dengan pengetahuan yang ada pada mereka
(yang mengenai keduniaan semata-mata), dan dengan yang
demikian mereka pun diliputi oleh azab yang mereka ejek-ejek
dahulu.

84@ Maka ketika mereka melihat azab Kami, mereka berkata,
“ Kami beriman kepada Allah semata-mata, dan kami kufur ingkar
kepada benda-benda yang dengan sebabnya kami menjadi musyrik.”

85@ Maka iman yang mereka katakan semasa melihat azab Kami,
tidak berguna lagi kepada mereka, yang demikian adalah menurut
“ Sunnatullah” (undang-undang peraturan Allah) yang telah
berlaku kepada hamba-hambaNya. Dan pada saat itu rugilah
orang-orang yang kufur ingkar.

No comments:

Post a Comment