Wednesday 2 March 2016

Al Quran Indonesia. 025. Surah Al Furqaan (Pembeza Kebenaran dan Kebatilan)...

Al Quran Indonesia. 025. Surah Al Furqaan (Pembeza Kebenaran
dan Kebatilan)...

BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

1@ Maha Berkat Tuhan yang menurunkan Al Furqaan kepada
hambaNya (Muhammad), untuk menjadi peringatan dan amaran bagi
seluruh penduduk alam.

2@ Tuhan yang menguasai pemerintahan langit dan bumi, dan yang
tidak mempunyai anak, serta tidak mempunyai sebarang sekutu
dalam pemerintahanNya, dan Dialah yang menciptakan tiap-tiap
sesuatu lalu menentukan keadaan makhluk-makhluk itu dengan
ketentuan takdir yang sempurna.

3@ Dan mereka (yang kafir) mengambil benda-benda yang lain
dari Allah sebagai tuhan-tuhan, yang tidak dapat mencipta
sesuatupun, bahkan benda-benda itu diciptakan (oleh penyembah-
penyembahnya dari bahan-bahan di bumi), dan benda-benda itu
pula tidak berkuasa mendatangkan sesuatu bahaya atau sesuatu
faedah untuk dirinya sendiri, dan tidak berkuasa mematikan
atau menghidupkan, atau pun membangkitkan hidup semula
makhluk-makhluk yang telah mati.

4@ Dan orang-orang yang kafir itu berkata, “ (Al Quran) ini
hanyalah satu perkara dusta yang direka-reka oleh Muhammad,
dan ia dibantu membuatnya oleh kaum yang lain.” Maka (dengan
kata-kata itu) sesungguhnya mereka telah mendatangkan satu
tuduhan yang zalim dan dusta.

5@ Dan mereka berkata lagi, “ Al Quran itu adalah cerita-
cerita dongeng orang-orang dahulu kala, yang diminta oleh
Muhammad supaya dituliskan, kemudian perkara yang ditulis itu
dibacakan kepadanya pagi dan petang (untuk dihafaznya).”

6@ Katakanlah (Wahai Muhammad), “ Al Quran itu diturunkan oleh
Allah yang mengetahui segala rahsia di langit dan di bumi,
sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

7@ Dan mereka pula berkata, “ Mengapa Rasul ini makan minum
dan berjalan di pasar-pasar (seperti manusia yang lain) ?
Sepatutnya diturunkan malaikat kepadanya, supaya malaikat itu
turut memberi peringatan dan amaran bersama-sama dengannya
(sebagai saksi yang membenarkannya).

8@ Atau diberikan perbendaharaan harta benda kepadanya, atau
ia mempunyai sebuah kebun untuk ia makan hasilnya.” Dan orang-
orang yang zalim itu berkata pula (kepada orang-orang yang
beriman), “ Sebenarnya kamu hanyalah menurut seorang yang
tidak siuman.”

9@ Lihatlah (Wahai Muhammad) bagaimana mereka membuat untukmu
berbagai misal perbandingan (yang bukan-bukan), dengan sebab
itu sesatlah mereka, sehingga mereka tidak mendapat jalan
petunjuk.

10@ Maha Berkat Tuhan yang jika Ia kehendaki tentulah Ia akan
mengadakan untukmu (di dunia ini) sesuatu yang lebih baik dari
apa yang mereka katakan itu, iaitu syurga-syurga yang mengalir
di bawahnya beberapa sungai, serta mengadakan untukmu istana-
istana (yang tersergam indah).

11@ (Mereka bukan sahaja mendustakanmu) bahkan mereka juga
mendustakan hari kiamat, dan Kami telah sediakan bagi sesiapa
yang mendustakan hari kiamat itu, api yang menjulang-julang.

12@ Apabila neraka itu melihat mereka dari tempat yang jauh,
kedengaranlah mereka suara marahnya yang menggelegak dan
mengeluh.

13@ Dan apabila mereka dihumbankan ke tempat yang sempit
di dalam neraka itu, dengan keadaan mereka dibelenggu,
menjeritlah mereka di sana meminta sejenis kebinasaan (yang
melepaskan dari azab itu).

14@ (Lalu dikatakan kepada mereka), “ Janganlah kamu menjerit-
jerit meminta pada hari ini sejenis kebinasaan sahaja, tetapi
mintalah kebinasaan sebanyak-banyaknya (kerana azab yang
menunggu kamu di sini banyak jenisnya).”

15@ Bertanyalah (kepada mereka), “ Adakah (azab seksa neraka)
yang demikian itu lebih baik atau Syurga yang kekal, yang
dijanjikan kepada orang-orang yang bertaqwa ?” Syurga yang
sedia diperuntukkan bagi mereka sebagai balasan dan tempat
kembali.

16@ Mereka beroleh di dalam Syurga itu apa yang mereka
kehendaki, mereka pula kekal di dalamnya. Balasan yang
demikian adalah satu janji yang dijamin oleh Tuhanmu, lagi
yang dipohonkan dan dituntut (dalam doa masing-masing).

17@ Dan (ingatkanlah) hari Tuhan menghimpunkan mereka (yang
kafir) dan makhluk-makhluk yang mereka sembah yang lain dari
Allah, lalu Ia bertanya (kepada makhluk-makhluk yang telah
dipuja dan disembah itu), “ Kamukah yang menyesatkan hamba-
hambaKu itu atau mereka yang sesat jalan ?”

18@ Mereka menjawab, “ Maha Suci Engkau (wahai Tuhan kami) !
Sudah tentu tidak patut bagi kami mengambil sesiapa pun yang
lain daripadaMu sebagai pelindung yang disembah (dan tidak
patut juga kami menyeru orang menyembah kami), tetapi engkau
(wahai Tuhan kami) telah melimpahkan kemewahan kepada mereka
dan kepada datuk neneknya sehingga mereka lalai dan cuaikan
ajaran ugamaMu, dan menjadilah mereka kaum yang binasa.”

19@ Maka (dikatakan pula kepada golongan itu), “ Sesungguhnya
mereka (yang kamu puja dan sembah) itu telah mendustakan
dakwaan kamu (bahawa mereka yang menyesatkan kamu). Oleh itu,
kamu semua tidak akan dapat menjauhkan azab seksa atau beroleh
sebarang pertolongan.” Dan sesiapa yang berlaku zalim
di antara kamu (wahai umat manusia, dengan kekufuran atau
maksiat), Kami akan merasakannya azab seksa yang besar.

20@ Dan Kami tidak mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai
Muhammad) melainkan orang-orang yang tentu makan minum dan
berjalan di pasar-pasar, dan Kami jadikan sebahagian dari kamu
sebagai ujian dan cubaan bagi sebahagian yang lain, supaya
ternyata adakah kamu dapat bersabar (menghadapi ujian itu) ?
Dan (ingatlah) adalah Tuhanmu sentiasa Melihat (akan keadaan
makhluk-makhlukNya).

21@ Dan berkatalah pula orang-orang yang tidak percaya akan
menemui Kami, “ Mengapa tidak diturunkan malaikat kepada kita,
atau kita dapat melihat Tuhan kita ?” Demi sesungguhnya,
mereka telah bersikap sombong angkuh dalam diri mereka
sendiri, dan telah melampaui batas dengan cara yang sebesar-
besarnya.

22@ (Ingatkanlah) hari mereka melihat malaikat, pada hari itu
tiadalah sebarang berita gembira bagi orang-orang yang
bersalah (bahkan sebaliknya), dan mereka akan berkata,
“ Semoga kita jauh–dijauhkan (dari sebarang keadaan yang
buruk).”

23@ Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah
kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami
jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan.

24@ Ahli-ahli Syurga pada hari itu lebih baik tempat
menetapnya, dan lebih elok tempat rehatnya.

25@ Dan (sebutkanlah perihal) hari segala langit pecah-belah
(disertakan) dengan kumpulan awan (yang berisi malaikat), dan
(pada hari yang tersebut) diturunkan malaikat itu dengan cara
berpasukan-pasukan.

26@ Kuasa pemerintahan yang sebenar-benarnya pada hari itu
adalah tertentu bagi Allah Yang Maha melimpah rahmatNya, dan
adalah ia satu masa yang amat sukar keadaannya kepada orang-
orang kafir.

27@ Dan (ingatkanlah) perihal hari orang-orang yang zalim
menggigit kedua-dua tangannya (marahkan dirinya sendiri)
sambil berkata, “ Alangkah baiknya kalau aku (di dunia dahulu)
mengambil jalan yang benar bersama-sama Rasul ?

28@ “ Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak
mengambil si dia itu menjadi sahabat karib !

29@ Sesungguhnya dia telah menyesatkan daku dari jalan
peringatan (Al Quran) setelah ia disampaikan kepadaku. Dan
adalah Syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang
menjadikan dia sahabat karibnya).”

30@ Dan berkatalah Rasul, “ Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku
telah menjadikan Al Quran ini satu perlembagaan yang
ditinggalkan, tidak dipakai.”

31@ Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi, musuh
dari kalangan orang-orang yang bersalah, dan cukuplah Tuhanmu
(wahai Muhammad) menjadi Pemimpin (ke jalan mengalahkan
mereka) serta menjadi Penolong (bagimu terhadap mereka).

32@ Dan orang-orang yang kafir berkata, “ Mengapa tidak
diturunkan Al Quran itu kepada Muhammad semuanya sekali
(dengan sekaligus) ?” Al Quran diturunkan dengan cara
(beransur-ansur) itu kerana Kami hendak menetapkan hatimu
(wahai Muhammad) dengannya, dan Kami nyatakan bacaannya
kepadamu dengan teratur satu persatu.

33@ Dan mereka tidak membawa kepadamu sesuatu kata-kata yang
ganjil (untuk menentangmu) melainkan Kami bawakan kepadamu
kebenaran dan penjelasan yang sebaik-baiknya (untuk menangkis
segala yang mereka katakan itu).

34@ Orang-orang yang akan diseret beramai-ramai ke neraka
Jahannam (dengan tertiarap) atas mukanya, merekalah orang-
orang yang amat buruk keadaannya dan amat sesat jalannya.

35@ Dan sesungguhnya Kami telah berikan Kitab Taurat kepada
Nabi Musa, dan Kami lantik saudaranya Nabi Harun, sebagai
menteri bersamanya.

36@ Lalu Kami perintahkan, “ Pergilah kamu berdua kepada kaum
yang mendustakan ayat-ayat keterangan Kami.” maka
(kesudahannya) Kami binasakan kaum itu sehancur-hancurnya.

37@ Dan (demikian juga) kaum Nabi Nuh, ketika mereka
mendustakan Rasul-rasul Kami, Kami tenggelamkan mereka, dan
Kami jadikan mereka satu tanda (yang menjadi contoh) bagi umat
manusia, dan Kami sediakan bagi sesiapa yang zalim, azab seksa
yang tidak terperi sakitnya.

38@ Dan (demikian juga Kami telah binasakan) Aad dan Thamud
serta Ashaabur Rassyi dan banyak lagi dalam zaman-zaman
di antara masa yang tersebut itu.

39@ Dan masing-masing, telah Kami berikan kepadanya contoh
tauladan yang mendatangkan iktibar, dan masing-masing telah
Kami hancurkan sehancur-hancurnya.

40@ Dan demi sesungguhnya, mereka (yang menentangmu wahai
Muhammad) telah melalui bandar yang telah dihujani (dengan)
azab yang buruk, maka (mengapa mereka masih berdegil),
tidakkah mereka selalu dapat menyaksikannya ? (Mereka tidak
fikirkan yang demikian itu satu balasan kufur) bahkan mereka
adalah orang-orang yang tidak ingatkan adanya kebangkitan
hidup semula (untuk menerima balasan).

41@ Dan apabila mereka melihatmu (wahai Muhammad), mereka
hanyalah menjadikanmu ejek-ejekan (sambil mereka berkata),
“ Inikah orangnya yang diutus oleh Allah sebagai RasulNya ?"

42@ “ Sebenarnya ia hampir-hampir dapat menyesatkan kami dari
tuhan-tuhan kami, jika tidaklah kerana kami tetap teguh
menyembahnya.” Dan mereka akan mengetahui kelak ketika mereka
melihat azab seksa, siapakah yang sebenar-benarnya sesat
jalannya.

43@ Nampakkah (wahai Muhammad) keburukan keadaan orang yang
menjadikan hawa nafsunya, tuhan yang dipuja lagi ditaati ?
Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya jangan
sesat ?

44@ Atau adakah engkau menyangka bahawa kebanyakan mereka
mendengar atau memahami (apa yang engkau sampaikan kepada
mereka) ? Mereka hanyalah seperti binatang ternak, bahkan
(bawaan) mereka lebih sesat lagi.

45@ Tidakkah engkau melihat kekuasaan Tuhanmu ? Bagaimana Ia
menjadikan bayang-bayang itu terbentang (luas kawasannya) dan
jika Ia kehendaki tentulah Ia menjadikannya tetap (tidak
bergerak dan tidak berubah) ! Kemudian Kami jadikan matahari
sebagai tanda yang menunjukkan perubahan bayang-bayang itu,

46@ Kemudian Kami tarik balik bayang-bayang itu kepada Kami,
dengan beransur-ansur.

47@ Dan Dialah Tuhan yang menjadikan malam untuk kamu sebagai
pakaian, dan menjadikan tidur untuk berhenti rehat, serta
menjadikan siang untuk keluar mencari rezeki.

48@ Dan Dialah Tuhan yang menghantarkan angin sebagai berita
gembira sebelum kedatangan rahmatNya, dan Kami menurunkan dari
langit, air yang bersih suci,

49@ Untuk Kami hidupkan dengan air itu bumi yang mati, serta
memberi minum air itu kepada sebahagian dari makhluk-makhluk
Kami, khasnya binatang ternak yang banyak dan manusia yang
ramai.

50@ Dan demi sesungguhnya ! Kami telah berulang-ulang kali
menyebarkan hujjah-hujjah di antara manusia melalui Al Quran
supaya mereka berfikir (mengenalku serta bersyukur), dalam
pada itu kebanyakan manusia tidak mahu melainkan berlaku
kufur.

51@ Dan kalau Kami kehendaki, tentulah Kami utuskan dalam
tiap-tiap negeri, seorang Rasul pemberi amaran.

52@ Oleh itu, janganlah engkau (Wahai Muhammad) menurut
kehendak orang-orang kafir, dan berjuanglah dengan hujjah-
hujjah Al Quran menghadapi mereka dengan perjuangan yang besar
dan bersungguh-sungguh.

53@ Dan Dialah Tuhan yang telah mengalirkan dua laut
berdampingan, yang satu tawar lagi memuaskan dahaga, dan yang
satu lagi masin lagi pahit, serta Ia menjadikan antara kedua-
dua laut itu sempadan dan sekatan yang menyekat percampuran
keduanya.

54@ Dan Dialah Tuhan yang menciptakan manusia dari air, lalu
dijadikannya (mempunyai) titisan baka dan penalian keluarga
(persemendaan), dan sememangnya tuhanmu berkuasa (menciptakan
apa jua yang dikehendakiNya).

55@ Dan mereka (yang musyrik) menyembah benda-benda yang lain
dari Allah, yang tidak memberi manfaat kepada mereka (yang
menyembahnya) dan tidak pula mendatangkan mudarat kepada
mereka (yang tidak menyembahnya), dan orang yang kafir selalu
menjadi pembantu (bagi golongannya yang kafir) untuk
menderhaka kepada tuhannya.

56@ Dan tidaklah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan
sebagai pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang
beriman) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar).

57@ Katakanlah, “ Aku tidak meminta kepada kamu sebarang
balasan bagi apa yang aku sampaikan kepada kamu, selain
daripada berimannya seseorang yang mahu mendapatkan jalan
sampainya kepada keredaan Allah.”

58@ Dan berserahlah engkau kepada Allah Tuhan Yang Hidup, yang
tidak mati, serta bertasbihlah dengan memujiNya, dan cukuplah
Ia mengetahui secara mendalam akan dosa-dosa hambaNya,

59@ Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang
ada di antara keduanya, dalam enam masa, kemudian Ia
bersemayam di atas Arasy, Ialah Ar Rahman (Tuhan Yang Maha
Pemurah), maka bertanyalah akan hal itu kepada Yang
Mengetahuinya.

60@ Dan apabila dikatakan kepada mereka (yang musyrik itu),
“ Sujudlah kamu kepada Ar Rahman (Tuhan Yang Maha Pemurah) !”
Mereka bertanya, “ Dan siapakah Ar Rahman itu ? Patutkah kami
sujud kepada apa sahaja yang engkau perintahkan kami ?” Dan
perintah yang demikian, menjadikan mereka bertambah liar
ingkar.

61@ Maha Berkat Tuhan yang telah menjadikan di langit, tempat-
tempat peredaran bintang, dan menjadikan padanya matahari
serta bulan yang menerangi.

62@ Dan Dialah yang menjadikan malam dan siang silih berganti
untuk sesiapa yang mahu beringat (memikirkan kebesaranNya),
atau mahu bersyukur (akan nikmat-nikmatNya itu).

63@ Dan hamba-hamba (Allah) Ar Rahman (yang diredhaiNya),
ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan
apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan
kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang
selamat dari perkara yang tidak diingini,

64@ Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang tekun
mengerjakan ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari dengan
sujud dan berdiri,

65@ Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata, " Wahai Tuhan
kami, sisihkanlah azab neraka Jahannam dari kami, sesungguhnya
azab seksanya itu adalah mengerikan,

66@ Sesungguhnya neraka Jahannam itu tempat penetapan dan
tempat tinggal yang amat buruk.”

67@ Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang
apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan
tiada bakhil kedekut, dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka
adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan
bakhil) itu.

68@ Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain
bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan
Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang
dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina, dan sesiapa
melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya,

69@ Akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat, dan
ia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan,

70@ Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan
amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan
(pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan, dan adalah
Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

71@ Dan sesiapa yang bertaubat serta beramal soleh, maka
sesungguhnya (dengan itu) ia bertaubat kepada Tuhannya dengan
sebenar-benar taubat,

72@ Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang)
yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara
yang dilarang, dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu
yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri
daripadanya.

73@ Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-
orang) yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat
keterangan Tuhan mereka, tidaklah mereka tunduk mendengarnya
secara orang-orang yang pekak dan buta.

74@ Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-
orang) yang berdoa dengan berkata, “ Wahai Tuhan kami, berilah
kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami,
perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan
jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu)
bertaqwa."

75@ Mereka itu semuanya akan dibalas dengan mendapat tempat
yang tinggi di Syurga disebabkan kesabaran mereka, dan mereka
pula akan menerima penghormatan dan ucapan selamat
di dalamnya,

76@ Mereka kekal di dalam Syurga itu, amatlah eloknya Syurga
menjadi tempat penetapan dan tempat tinggal.

77@ Katakanlah (wahai Muhammad kepada golongan yang ingkar),
“ Tuhanku tidak akan menghargai kamu kalau tidak adanya doa
ibadat kamu kepadaNya, (apabila kamu telah mengetahui bahawa
Tuhanku telah menetapkan tidak menghargai seseorang pun
melainkan kerana doa ibadatnya) maka sesungguhnya kamu
telahpun menyalahi (ketetapan Tuhanku itu), dengan yang
demikian, sudah tentu balasan azab (disebabkan kamu menyalahi
itu) akan menimpa kamu.”

No comments:

Post a Comment