Wednesday 2 March 2016

Al Quran Indonesia. 028. Surah Al Qasas (Cerita-cerita)...

Al Quran Indonesia. 028. Surah Al Qasas (Cerita-cerita)...

BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

1@ Taa, Siin, Miim.

2@ Inilah ayat-ayat Kitab (Al Quran) yang memberi penjelasan.

3@ Kami bacakan kepadamu (wahai Muhammad) sebahagian dari
kisah Nabi Musa dan Firaun dengan keterangan yang benar bagi
orang-orang yang beriman.

4@ Sesungguhnya Firaun telah berlaku zalim di bumi (Mesir)
dengan melampaui batas, serta ia menjadikan penduduknya
berpuak-puak. Ia menindas sepuak di antaranya dengan membunuh
anak-anak lelaki mereka dan membiarkan hidup anak-anak
perempuan mereka. Sesungguhnya adalah ia dari golongan yang
membuat kerosakan.

5@ Dan Kami hendak berihsan dengan memberikan pertolongan
kepada kaum yang tertindas di negeri itu, dan hendak
menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan
mereka orang-orang yang mewarisi (apa yang dimiliki oleh
Firaun dan kaumnya).

6@ Dan Kami hendak memberi mereka kedudukan yang kukuh
di negeri itu, serta hendak memperlihatkan kepada Firaun dan
Haman bersama-sama tentera mereka apa yang mereka bimbangkan
dari golongan yang bertindas itu.

7@ Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa, ” Susukanlah dia, dalam
pada itu, jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya
(dari angkara Firaun), maka (letakkanlah dia di dalam peti
dan) lepaskanlah dia ke laut, dan janganlah engkau merasa
bimbang dan jangan pula berdukacita, sesungguhnya Kami akan
mengembalikannya kepadamu, dan Kami akan melantiknya menjadi
salah seorang dari Rasul-rasul Kami."

8@ Setelah itu dia dipungut oleh orang-orang Firaun,
kesudahannya dia akan menjadi musuh dan menyebabkan dukacita
bagi mereka, sesungguhnya Firaun dan Haman serta orang-
orangnya adalah golongan yang bersalah.

9@ Dan (ketika melihat kanak-kanak itu) berkatalah isteri
Firaun, “ (Semoga ia menjadi) cahaya mata bagiku dan bagimu,
janganlah kamu membunuhnya, mudah-mudahan ia berguna kepada
kita, atau kita jadikan dia anak.” Padahal mereka tidak
menyedari (kesudahannya).

10@ Dan (sepeninggalannya) menjadilah hati ibu Musa kosong,
sesungguhnya ia nyaris-nyaris menyatakan perihal anaknya itu
dengan berterus-terang, jika tidaklah Kami kuatkan hatinya
(dengan perasaan sabar dan tenang tenteram), supaya tetaplah
ia dari orang-orang yang percaya (akan janji Allah).

11@ Dan berkatalah ia kepada kakak Musa, “ Pergilah cari
khabar beritanya.” (Maka pergilah ia) lalu dilihatnya dari
jauh sedang orang ramai tidak menyedarinya.

12@ Dan Kami jadikan dia dari mulanya enggan menyusu kepada
perempuan-perempuan yang hendak menyusukannya, (melihatkan
halnya itu), kakaknya berkata, “ Mahukah, aku tunjukkan kamu
kepada penduduk sebuah rumah yang dapat memeliharanya untuk
kamu, serta mereka tulus ikhlas kepadanya ?”

13@ Maka (dengan jalan itu) Kami kembalikan dia kepada ibunya
supaya tenang tenteram hatinya dan tidak berdukacita
(disebabkan bercerai dengannya), dan supaya ia mengetahui
bahawa janji Allah (untuk menyelamatkannya) adalah benar, akan
tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (yang demikian itu).

14@ Dan ketika Musa sampai ke peringkat umurnya yang cukup
kekuatannya dan sempurna, Kami beri kepadanya kebijaksanaan
serta ilmu pengetahuan, dan demikian Kami membalas orang-orang
yang berusaha memperbaiki amalannya.

15@ Dan masuklah ia ke bandar (Mesir) dalam masa penduduknya
tidak menyedarinya, lalu didapatinya di situ dua orang lelaki
sedang berkelahi, (seorang dari golongannya sendiri dan yang
seorang lagi dari pihak musuhnya). Maka orang yang dari
golongannya meminta tolong kepadanya melawan orang yang dari
pihak musuhnya, Musa pun menumbuknya lalu menyebabkan orang
itu mati. (pada saat itu) Musa berkata, “ Ini adalah dari
kerja Syaitan, sesungguhnya Syaitan itu musuh yang
menyesatkan, yang nyata (angkaranya).“

16@ Ia merayu (dengan sesalnya), “ Wahai Tuhanku, sesungguhnya
aku telah menganiaya diri sendiri, oleh itu ampunkanlah
(apalah jua kiranya) akan dosaku.” (Maka Allah Taala menerima
taubatnya) lalu mengampunkan dosanya, sesungguhnya Allah
jualah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

17@ Ia merayu lagi, “ Wahai Tuhanku, demi nikmat-nikmat yang
Engkau kurniakan kepadaku, (peliharalah daku) supaya aku tidak
akan menjadi penyokong kepada golongan yang bersalah.”

18@ Semenjak itu, tinggallah ia di bandar (Mesir) dalam
keadaan cemas sambil memerhatikan (berita mengenai dirinya),
maka tiba-tiba orang yang meminta pertolongan kepadanya
semalam, memanggil meminta pertolongannya lagi. Musa berkata
kepadanya, “ Sesungguhnya engkau ini orang yang nyata
sesatnya !”

19@ Maka ketika ia bersedia hendak menumbuk orang yang menjadi
musuh bagi mereka berdua berkatalah orang itu, “ Wahai Musa,
adakah engkau hendak membunuhku sebagaimana engkau membunuh
satu jiwa semalam ? Sebenarnya engkau hanyalah hendak menjadi
seorang yang kejam di bumi, dan tidaklah engkau hendak menjadi
seorang pendamai.”

20@ Dan datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan
berlari, (lalu menyampaikan berita) dengan berkata, “ Wahai
Musa, sesungguhnya pegawai-pegawai Firaun sedang mengadakan
pakatan terhadapmu, mereka hendak membunuhmu, oleh itu
pergilah dari sini, sesungguhnya aku adalah pemberi nasihat
secara ikhlas kepadamu.”

21@ Musa pun keluarlah dari negeri itu dalam keadaan cemas
sambil memerhatikan (berita mengenai dirinya) serta berdoa
dengan berkata, “ Wahai Tuhanku, selamatkanlah daku dari kaum
yang zalim.“

22@ Dan setelah ia (meninggalkan Mesir dalam perjalanan)
menuju ke negeri Madyan, berdoalah ia dengan berkata, “ Mudah-
mudahan Tuhanku menunjukkan jalan yang benar kepadaku.”

23@ Dan ketika dia sampai di telaga air negeri Madyan, ia
dapati di situ sekumpulan orang-orang lelaki sedang memberi
minum (binatang ternak masing-masing), dan ia juga dapati
di sebelah mereka dua perempuan yang sedang menahan kambing-
kambingnya. Dia bertanya, “ Apa hal kamu berdua ?” Mereka
menjawab, “ Kami tidak memberi minum (kambing-kambing kami)
sehingga pengembala-pengembala itu membawa balik binatang
ternak masing-masing, dan bapa kami seorang yang terlalu tua
umurnya.“

24@ Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang
ternak mereka, kemudian ia pergi ke tempat teduh lalu berdoa
dengan berkata, “ Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat
berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau
berikan.”

25@ Kemudian salah seorang dari perempuan dua beradik itu
datang mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan tersipu-
sipu sambil berkata, ” Sebenarnya bapaku menjemputmu untuk
membalas budimu memberi minum binatang ternak kami.” Maka
ketika Musa datang mendapatkannya dan menceritakan kepadanya
kisah-kisah kejadian yang berlaku (mengenai dirinya)
berkatalah orang tua itu kepadanya, “ Janganlah engkau
bimbang, engkau telah selamat dari kaum yang zalim itu.“

26@ Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata,
“ Wahai ayah, ambilah dia menjadi orang upahan (mengembala
kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil
bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah.”

27@ Bapa perempuan itu berkata (kepada Musa), “ Aku hendak
mengahwinkanmu dengan salah seorang dari dua anak perempuanku
ini, dengan syarat bahawa engkau bekerja denganku selama
delapan tahun, dalam pada itu, jika engkau genapkan menjadi
sepuluh tahun, maka yang demikian itu adalah dari kerelaanmu
sendiri. Dan (ingatlah) aku tidak bertujuan hendak
menyusahkanmu, engkau akan dapati aku, Insya Allah, dari
orang-orang yang baik layanannya.”

28@ Musa menjawab, “ Perjanjian itu adalah antaraku denganmu
(tetap dihormati bersama), yang mana sahaja dari dua tempoh
itu yang aku tunaikan, maka janganlah hendaknya aku
disalahkan. Dan Allah jualah menjadi Pengawas terhadap apa
yang kita katakan itu.”

29@ Setelah Musa menyempurnakan tempoh kerjanya itu dan
(mendapat izin) berjalan dengan isterinya (kembali ke Mesir),
ia melihat (dalam perjalanannya itu) api dari sebelah Gunung
Tursina. (Ketika itu) berkatalah ia kepada isterinya,
“ Berhentilah, sesungguhnya aku ada melihat api, semoga aku
dapat membawa kepada kamu sesuatu berita dari situ, atau
sepuntung dari api itu, supaya kamu dapat memanaskan diri.”

30@ Maka ketika ia sampai ke tempat api itu, (kedengaran) ia
diseru dari tepi lembah yang di sebelah kanan, di tempat yang
dilimpahi berkat, dari arah pohon kayu (yang ada di situ),
“ Wahai Musa, sesungguhnya Akulah Allah Tuhan sekalian alam.
(Sesungguhnya api itu adalah sebagai satu isyarat yang
didatangkan oleh Allah untuk menarik perhatian Musa ke tempat
itu dan bukannya zat Allah, Wallahu A’lam),

31@ Dan (sekarang) campakkanlah tongkatmu.” (Ia pun
mencampaknya), maka apabila ia melihat tongkatnya itu (menjadi
seekor ular besar) bergerak cepat tangkas, seolah-olah seekor
ular kecil, berpalinglah ia melarikan diri dan tidak menoleh
lagi. (Lalu ia diseru), “ Wahai Musa, datanglah kemari dan
janganlah engkau takut. Sesungguhnya engkau dari orang-orang
yang beroleh aman."

32@ “ Masukkanlah tanganmu melalui belahan dada bajumu,
nescaya keluarlah ia putih bersinar-sinar dengan tiada cacat,
dan kepitlah tanganmu di celah ketiakmu ketika merasa takut
(nescaya hilanglah takutmu). Yang demikian adalah dua bukti
dari Tuhanmu (untuk engkau menunjukkannya) kepada Firaun dan
kaumnya. Sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasik
(derhaka).”

33@ Nabi Musa merayu dengan berkata, “ Wahai Tuhanku, bahawa
aku telah membunuh seorang dari kalangan mereka, oleh itu aku
takut mereka akan membunuhku.“

34@ “ Dan saudaraku (Harun), ia lebih fasih lidahnya
daripadaku, maka utuslah dia bersama-samaku sebagai penyokong
yang mengakui kebenaranku, sesungguhnya aku bimbang bahawa
mereka akan mendustakan daku.”

35@ Allah berfirman, “ Kami akan menguatkan tenaga dan daya-
usahamu dengan saudaramu (Harun), dan Kami akan memberikan
kuasa kemenangan kepada kamu berdua, oleh itu mereka tidak
akan sampai kepada maksud membahayakan atau mengalahkan kamu.
Dengan membawa ayat-ayat keterangan Kami itu, kamu berdua
serta pengikut-pengikut kamu akan menang.”

36@ Setelah Nabi Musa datang kepada Firaun dan kaumnya dengan
membawa ayat-ayat keterangan Kami yang terang nyata, mereka
berkata, “ Apa yang engkau bawa ini hanyalah sihir yang
dibuat-buat, dan kami tidak pernah mendengar tentang perkara
ini dalam kalangan datuk nenek kami yang telah lalu.”

37@ Dan (bagi menjawabnya) Nabi Musa berkata, “ Tuhanku lebih
mengetahui siapakah yang membawa hidayah petunjuk dari sisiNya
dan siapa yang akan beroleh kesudahan yang baik di dunia ini.
Sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya.”

38@ Dan Firaun pula berkata, “ Wahai orang-orangku, aku tidak
mengetahui ada bagi kamu sebarang tuhan yang lain daripadaku,
oleh itu, wahai Haman, bakarkanlah untukku batu-bata, serta
binalah untukku bangunan yang tinggi, supaya aku naik melihat
Tuhan Musa (yang dikatakannya itu), dan sesungguhnya aku
percaya adalah Musa dari orang-orang yang berdusta.”

39@ Dan berlaku sombong takburlah Firaun dan tenteranya
di negeri itu dengan tiada alasan yang benar, dan mereka
menyangka bahawa mereka tidak akan dikembalikan kepada Kami.

40@ Dengan sebab itu Kami mengepungnya bersama-sama tenteranya
serta Kami humbankan mereka ke dalam laut, maka perhatikanlah
bagaimana buruknya kesudahan orang-orang yang zalim.

41@ Dan Kami jadikan mereka ketua-ketua (dalam kesesatan) yang
mengajak ke neraka (dengan kekufurannya), dan pada hari kiamat
pula mereka tidak mendapat sebarang pertolongan.

42@ Dan Kami iringi mereka dengan laknat di dunia ini, dan
pada hari kiamat pula adalah mereka dari orang-orang yang
tersingkir (dari rahmat Kami) dengan sehina-hinanya.

43@ Dan demi sesungguhnya, Kami berikan kepada Nabi Musa Kitab
Taurat sesudah Kami binasakan kaum-kaum yang telah lalu, untuk
membuka hati dan menjadi hidayah petunjuk serta membawa
rahmat, semoga mereka beringat.

44@ Dan engkau (wahai Muhammad) tidak ada di sebelah barat
(tempat Nabi Musa menerima wahyu) ketika Kami sempurnakan
penyerahan Kitab Taurat kepadanya, dan engkau juga tidak
termasuk dalam golongan yang menyaksikan peristiwa itu.

45@ Akan tetapi (engkau hanya mengetahui kisah itu dengan
jalan Kami memberi wahyu kenabian kepadamu disebabkan) Kami
telah mengadakan beberapa umat (dari zaman Nabi Musa hingga
ke zamanmu) sampai berlanjutanlah masa yang mereka lalui
(serta kucar-kacirlah ugama yang mereka anuti). Dan engkau
pula tidak pernah tinggal bersama-sama penduduk negeri Madyan
membaca dan mempelajari dari mereka ayat-ayat keterangan Kami
(tentang hal Nabi Musa di sana), tetapi Kamilah yang
mengutusmu (menjadi Rasul dan memberi wahyu kepadamu mengenai
hal itu).

46@ Dan engkau juga tidak berada dekat Gunung Tursina ketika
Kami menyeru (Nabi Musa dan memberi wahyu kepadanya dahulu),
tetapi (diturunkan) rahmat (Al Quran) dari Tuhanmu
(menerangkan Kisah itu) supaya engkau memberi amaran kepada
kaum (mu) yang telah lama tidak didatangi sebarang Rasul
pemberi amaran sebelummu, semoga mereka beroleh pengajaran
(serta insaf mematuhinya).

47@ Dan kalau tidaklah orang-orang musyrik itu akan berkata
(semasa mereka ditimpa bala bencana disebabkan perbuatan kufur
dan maksiat yang mereka lakukan), “ Wahai Tuhan kami, mengapa
Engkau tidak mengutuskan kepada Kami seorang Rasul supaya kami
menurut ayat-ayat keteranganMu (yang dibawanya), dan supaya
kami menjadi dari orang-orang yang beriman,” (tentulah engkau
wahai Muhammad tidak diutuskan kepada mereka, bahkan Kami
terus menyeksa mereka).

48@ Maka ketika datang kepada mereka kebenaran (Al Quran) dari
sisi Kami, mereka berkata pula, “ Hendaknya (Muhammad) diberi
(Kitab ugama yang diturunkan dengan sekaligus) sebagaimana
Kitab Taurat yang diberikan kepada Musa.” Bukankah mereka
dahulu telah kufur ingkar akan apa yang diberikan kepada Nabi
Musa ? Mereka berkata lagi, “ Kedua-duanya (Al Quran dan
Taurat) itu ialah sihir yang saling membantu (yang satu
menyokong yang lain).“ Dan mereka berkata pula, “ Sesungguhnya
kami kufur ingkar terhadap Kitab-kitab itu semuanya !”

49@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Kalau demikianlah sikap
kamu maka bawalah sebuah Kitab dari sisi Allah yang dapat
memberi panduan lebih daripada keduanya, supaya aku
menurutnya. (Bawalah dia) jika betul kamu orang-orang yang
benar.“

50@ Kemudian, kalau mereka tidak dapat menerima cabaranmu
(wahai Muhammad), maka ketahuilah, sesungguhnya mereka
hanyalah menurut hawa nafsu mereka, dan tidak ada yang lebih
sesat daripada orang yang menurut hawa nafsunya dengan tidak
berdasarkan hidayah petunjuk dari Allah. Sesungguhnya Allah
tidak memberi pimpinan kepada kaum yang zalim (yang berdegil
dalam keingkarannya).



51@ Dan demi sesungguhnya Kami telah hubungkan turunnya
firman-firman Kami (Al Quran) dengan berturut-turut kepada
mereka, supaya mereka beroleh peringatan (lalu beriman).

52@ Orang-orang yang Kami beri Kitab sebelum turunnya
Al Quran, mereka beriman kepadanya.

53@ Dan apabila Al Quran itu dibacakan kepada mereka, mereka
berkata, “ Kami beriman kepadanya, sesungguhnya ia adalah
perkara yang betul benar dari Tuhan kami, sesungguhnya kami
sebelum ia diturunkan, telahpun mematuhinya.“

54@ Mereka itu akan beroleh pahala dua kali disebabkan
kesabaran mereka, dan juga kerana mereka menolak kejahatan
dengan kebaikan, dan mereka menderma dari apa yang Kami
kurniakan kepada mereka.

55@ Dan apabila mereka mendengar perkataan yang sia-sia,
mereka berpaling daripadanya sambil berkata, “ Bagi kami amal
kami dan bagi kamu pula amal kamu, selamat tinggalah kamu,
kami tidak ingin berdamping dengan orang-orang yang jahil.”

56@ Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa
memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi
(supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa
memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya
(menurut undang-undang peraturanNya), dan Dialah jua yang
lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk)
mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).

57@ Dan mereka (yang kafir) berkata, “ Kalau kami menyertaimu
menurut petunjuk yang engkau bawa itu, nescaya kami dengan
serta merta ditangkap dan diusir dari negeri kami (oleh
golongan yang menentang).” Mengapa mereka (berkata demikian) ?
Bukankah kami telah melindungi mereka dan menjadikan (negeri
Makkah) tempat tinggal mereka sebagai tanah suci yang aman,
yang dibawa kepadanya hasil tanaman dari segala jenis, sebagai
rezeki pemberian dari sisi Kami ? (Benar, Kami telah
menjadikan semuanya itu), tetapi kebanyakan mereka tidak
memikirkan perkara itu untuk mengetahuinya (serta bersyukur).

58@ Dan berapa banyak Kami binasakan negeri-negeri yang
penduduknya telah berlaku sombong dan tidak bersyukur dalam
kehidupannya (yang serba mewah dan senang lenang). Maka itulah
dia tempat-tempat tinggal mereka terbiar tidak didiami orang
sesudah mereka (dibinasakan), kecuali sedikit sahaja dan
sesungguhnya Kamilah yang mewarisi mereka.

59@ Dan tidaklah menjadi kebiasaan Tuhanmu membinasakan mana-
mana negeri sebelum Ia mengutus ke ibu negeri itu seorang
Rasul yang akan membacakan kepada penduduknya ayat-ayat
keterangan Kami, dan tidaklah menjadi kebiasaan Kami
membinasakan mana-mana negeri melainkan setelah penduduknya
berlaku zalim.

60@ Dan apa jua (harta benda dan lain-lainnya) yang diberikan
kepada kamu, maka adalah ia merupakan kesenangan hidup
di dunia dan perhiasannya, dalam pada itu, apa jua yang ada
di sisi Allah (yang disediakan untuk orang-orang yang beriman
dan taat) adalah ia lebih baik dan lebih kekal, maka mengapa
kamu tidak mahu memahaminya ?

61@ (Jika sudah diketahui yang demikian) maka adakah orang
yang Kami janjikan kepadanya janji yang baik (balasan Syurga)
lalu ia mendapatnya, sama seperti orang yang kami kurniakan
menikmati kesenangan hidup di dunia kemudian ia pada hari
kiamat termasuk dalam golongan yang dibawa (untuk menerima
azab neraka) ?

62@ Dan pada hari (kiamat itu) Allah menyeru mereka lalu
bertanya, ” Mana dia sekutu-sekutuKu, yang kamu anggap mereka
(menjadi tuhan dan dapat memberikan pertolongan) ?”

63@ Mereka yang berhak menerima hukuman (azab neraka) berkata,
“ Wahai Tuhan kami, inilah mereka yang kami menyebabkan
kesesatannya, kami menyebabkan mereka sesat (dengan pilihan
mereka sendiri) sebagaimana kami telah sesat (dengan pilihan
kami sendiri), (dengan ini) kami mengakui kepadaMu bahawa kami
berlepas diri (dari kekufuran mereka). Bukanlah Kami yang
mereka puja dan taati, (bahkan mereka hanya memuja dan
mentaati hawa nafsu mereka sendiri).”

64@ Dan dikatakan (kepada mereka), " Panggillah makhluk-
makhluk dan benda-benda yang kamu jadikan sekutu Allah (untuk
menolong kamu).” Lalu mereka memanggilnya, tetapi makhluk-
makhluk dan benda-benda itu tidak menyahut panggilan mereka,
dan mereka tetap melihat azab (dengan merasa sesal) serta
bercita-cita kalaulah mereka di dunia dahulu menurut petunjuk.

65@ Dan pada hari (kiamat itu) Allah menyeru mereka lalu
bertanya, “ Apa jawab kamu kepada Rasul-rasul yang diutus
kepada kamu dahulu ?"

66@ Maka gelaplah kepada mereka, pada hari itu, segala khabar
berita dan peristiwa (yang telah lalu), serta menjadilah
mereka tidak dapat hendak bertanya-tanyaan sesama sendiri.

67@ (Demikianlah akibat orang-orang derhaka), adapun orang
yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh, maka semoga
akan menjadilah ia dari orang-orang yang berjaya.

68@ Dan Tuhanmu menciptakan apa yang dirancangkan berlakunya,
dan Dialah juga yang memilih (satu-satu dari makhlukNya untuk
sesuatu tugas atau keutamaan dan kemuliaan), tidaklah layak
dan tidaklah berhak bagi sesiapapun memilih (selain dari
pilihan Allah). Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah keadaanNya
dari apa yang mereka sekutukan denganNya.

69@ Dan Tuhanmu mengetahui akan apa yang terpendam dalam hati
mereka dan apa yang mereka zahirkan.

70@ Dan Dialah Allah tiada Tuhan melainkan Dia. Segala puji
tertentu bagiNya, di dunia dan di akhirat, dan hanyalah Dia
yang berkuasa menghukum, serta kepadaNyalah kamu semua
dikembalikan.

71@ Katakanlah, “ Bagaimana fikiran kamu jika Allah menjadikan
malam kepada kamu tetap selama-lamanya hingga ke hari kiamat,
tuhan yang manakah yang lain dari Allah, yang dapat membawakan
cahaya yang menerangi kepada kamu ? Maka mengapa kamu tidak
mahu mendengar (secara memahami dan menerima kebenaran) ?”

72@ Katakanlah lagi, " Bagaimana fikiran kamu jika Allah
menjadikan siang kepada kamu tetap selama-lamanya hingga
ke hari kiamat, tuhan yang manakah yang lain dari Allah, yang
dapat membawakan malam kepada kamu untuk kamu berehat
padanya ? Maka mengapa kamu tidak mahu melihat (dalil-dalil
dan bukti keesaan dan kekuasaan Allah) ?”

73@ Dan di antara rahmat pemberianNya, Ia menjadikan untuk
kamu malam dan siang (silih berganti supaya kamu berehat
padanya dan supaya kamu berusaha mencari rezeki dari limpah
kurniaNya, dan juga supaya kamu bersyukur.

74@ Dan (ingatlah) pada hari (kiamat), Allah akan menyeru
mereka lalu bertanya, “ Mana dia sekutu-sekutuKu yang kamu
sifatkan mereka (menjadi tuhan dan dapat memberikan
pertolongan) ?”

75@ Dan (pada hari itu) Kami keluarkan dari tiap-tiap umat
seorang saksi, lalu Kami katakan (kepada golongan yang kafir),
“ Bawalah keterangan dan bukti kebenaran kamu.” Maka (pada
saat itu) ketahuilah mereka bahawa kebenaran (hak ketuhanan)
itu tertentu bagi Allah, dan (dengan itu), hilang lenyaplah
dari mereka apa yang mereka ada-adakan secara dusta dahulu.

76@ Sesungguhnya Qarun adalah ia dari kaum Nabi Musa, kemudian
ia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka, dan Kami telah
mengurniakannya dari berbagai jenis kekayaan yang anak-anak
kuncinya menjadi beban yang sungguh berat untuk dipikul oleh
sebilangan orang yang kuat sasa. (Ia berlaku sombong) ketika
kaumnya berkata kepadanya, “ Janganlah engkau bermegah-megah
(dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada
orang-orang yang bermegah-megah (seperti lagakmu itu)."

77@ “ Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah
dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari
akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan
dan bekalanmu) dari dunia, dan berbuat baiklah (kepada hamba-
hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan
pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah), dan janganlah
engkau melakukan kerosakan di muka bumi, sesungguhnya Allah
tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.“

78@ Qarun menjawab (dengan sombongnya), “ Aku diberikan harta
kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian
yang ada padaku.” (Kalaulah Qarun bijak pandai) tidakkah ia
mengetahui dan pandai memahami, bahawa Allah telah
membinasakan sebelumnya, dari umat-umat yang telah lalu,
orang-orang yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak
mengumpulkan harta kekayaan ? Dan (ingatlah) orang-orang yang
berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang
dosa-dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya).

79@ Kemudian Qarun keluar kepada kaumnya dengan memakai
perhiasannya. (Pada saat itu) berkatalah orang-orang yang
semata-mata inginkan kesenangan kehidupan dunia, “ Alangkah
baiknya kalau kita ada kekayaan seperti yang didapati oleh
Qarun ! Sesungguhnya dia adalah seorang yang bernasib baik.”

80@ Dan berkata pula orang-orang yang diberi ilmu (di antara
mereka), “ Janganlah kamu berkata demikian, pahala dari Allah
lebih baik bagi orang yang beriman dan beramal soleh, dan
tidak akan dapat menerima (pahala yang demikian) itu melainkan
orang-orang yang sabar.”

81@ Lalu Kami timbuskan dia bersama-sama dengan rumahnya
di dalam tanah, maka tidaklah ia mendapat sebarang golongan
yang boleh menolongnya dari azab Allah dan ia pula tidak dapat
menolong dirinya sendiri.

82@ Dan orang-orang yang pada masa dahulu bercita-cita
mendapat kekayaan seperti Qarun (mulai sedar sambil berkata),
“ Wah ! Sesungguhnya Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang
dikehendakiNya dari hamba-hambaNya, dan Dialah juga yang
menyempitkannya, kalau tidak kerana Allah memberi pertolongan
kepada kita tentulah kita akan dibinasakan dengan tertimbus
di dalam tanah (seperti Qarun). Aduhai ! Sesungguhnya orang-
orang yang kufurkan nikmat Allah itu tidak akan berjaya !”

83@ Negeri akhirat (yang telah diterangkan nikmat-nikmatnya)
itu, Kami sediakan bagi orang-orang yang tidak bertujuan
hendak mendapat pengaruh atau kelebihan di muka bumi dan tidak
ingat hendak melakukan kerosakan, dan kesudahan yang baik
adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.

84@ Sesiapa yang datang membawa amal baik (pada hari akhirat)
maka baginya balasan yang lebih baik daripadanya, dan sesiapa
yang datang membawa amal jahat, maka mereka yang melakukan
kejahatan tidak di balas melainkan dengan apa yang mereka
kerjakan.

85@ Sesungguhnya Allah yang mewajibkan kepadamu (beramal dan
menyampaikan) Al Quran (wahai Muhammad) sudah tentu akan
menyampaikan engkau lagi kepada apa yang engkau ingini dan
cintai. Katakanlah (kepada kaum yang menentangmu), “ Tuhanku
amat mengetahui akan sesiapa yang membawa hidayah petunjuk dan
sesiapa pula yang berada dalam kesesatan yang nyata.“

86@ Dan engkau (wahai Muhammad) tidak pernah berharap supaya
Kitab Al Quran ini diturunkan kepadamu, (tetapi ia diturunkan
kepadamu) hanyalah sebagai rahmat dari Tuhanmu, oleh itu
janganlah engkau menjadi orang-orang kafir.

87@ Dan janganlah mereka (yang ingkar) dapat menghalangmu
(daripada menyampaikan dan beramal dengan) ayat-ayat Allah
sesudah ia diturunkan kepadamu, dan serulah manusia kepada
(ugama) Tuhanmu, dan janganlah engkau menjadi dari golongan
yang menyertai orang-orang musyrik.

88@ Dan janganlah engkau menyembah tuhan yang lain bersama-
sama Allah. Tiada Tuhan melainkan Dia. Tiap-tiap sesuatu akan
binasa melainkan Zat Allah. BagiNyalah kuasa memutuskan segala
hukum, dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan (untuk
dihitung amal masing-masing dan menerima balasan).

No comments:

Post a Comment