Wednesday 26 August 2015

003. Ali ‘Imran 026-050, Terjemahan Al Quran...^^..(Keluarga Imran)

003. Ali ‘Imran 026-050, Terjemahan Al Quran...^^..
(Keluarga Imran)

BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

26@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Wahai Tuhan yang mempunyai
kuasa pemerintahan ! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan
kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang
mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau
kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau
kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau
kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala
kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap
sesuatu.

27@ “ Engkaulah (wahai Tuhan) yang memasukkan waktu malam
ke dalam waktu siang, dan Engkaulah yang memasukkan waktu
siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga yang mengeluarkan
sesuatu yang hidup dari benda yang mati, dan Engkaulah yang
mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup. Engkau
jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau
kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya.”.

28@ Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang
kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang
beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian
maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam
sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada
sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir
itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat
terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah
jualah tempat kembali.

29@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Jika kamu sembunyikan apa
yang ada dalam dada kamu atau kamu melahirkannya, nescaya
Allah mengetahuinya, dan Ia mengetahui segala yang ada
di langit dan yang ada di bumi. Dan Allah Maha Kuasa atas
tiap-tiap sesuatu.

30@ (Ingatlah) hari (kiamat yang padanya) tiap-tiap seorang
akan mendapati apa sahaja kebaikan yang telah dikerjakannya,
sedia (dibentangkan kepadanya dalam surat-surat amalnya), dan
demikian juga apa sahaja kejahatan yang telah dikerjakannya.
(ketika itu tiap-tiap orang yang bersalah) ingin kalau ada
jarak yang jauh di antaranya dengan amalnya yang jahat itu.
Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap
kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan (ingatlah juga), Allah
Amat belas kasihan kepada hamba-hambaNya.

31@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Jika benar kamu mengasihi
Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta
mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

32@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Taatlah kamu kepada Allah
dan RasulNya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka
sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir.

33@ Sesungguhnya Allah telah memilih Nabi Adam, dan Nabi Nuh,
dan juga keluarga Nabi Ibrahim dan keluarga Imran, melebihi
segala umat (yang ada pada zaman mereka masing-masing).

34@ (Mereka berkembang biak sebagai) satu keturunan (zuriat)
yang setengahnya berasal dari setengahnya yang lain. Dan
(ingatlah), Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa
Mengetahui.

35@ (Ingatlah) ketika isteri Imran berkata, ” Tuhanku !
Sesungguhnya aku nazarkan kepadaMu anak yang ada dalam
kandunganku sebagai seorang yang bebas (dari segala urusan
dunia untuk berkhidmat kepadaMu semata-mata), maka terimalah
nazarku, sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha
Mengetahui.”

36@ Maka apabila ia melahirkannya, berkatalah ia, “ Wahai
Tuhanku ! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak
perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki),
(dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu)
dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan,
dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam, dan aku
melindungi dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat
keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang
dikutuk dan disingkirkan).”.

37@ Maka ia (Maryam yang dinazarkan oleh ibunya) diterima oleh
Tuhannya dengan penerimaan yang baik, dan dibesarkannya dengan
didikan yang baik, serta diserahkannya untuk dipelihara oleh
Nabi Zakaria. Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui
Maryam di Mihrab, ia dapati rezeki (buah-buahan yang luar
biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya, ” Wahai Maryam dari
mana engkau dapati (buah-buahan) ini ?” Maryam menjawab,
“ Ialah dari Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki
kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak dikira.”.

38@ Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya,
” Wahai Tuhanku ! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat
keturunan yang baik, sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar
(menerima) doa permohonan.”

39@ Lalu ia diseru oleh malaikat sedang ia berdiri sembahyang
di Mihrab, (katanya), “ Bahawasanya Allah memberi khabar yang
mengembirakanmu, dengan (mengurniakanmu seorang anak lelaki
bernama) Yahya, yang akan beriman kepada Kalimah dari Allah,
dan akan menjadi ketua, dan juga akan menahan diri dari
berkahwin, dan akan menjadi seorang Nabi dari orang-orang yang
soleh.”

40@ Nabi Zakaria berkata, ” Wahai Tuhanku ! Bagaimanakah aku
akan beroleh seorang anak, padahal sebenarnya aku telah tua
dan isteriku pula mandul ?”, Allah berfirman, “ Demikianlah
keadaannya, Allah melakukan apa yang dikehendakiNya.”.

41@ Nabi Zakaria berkata lagi, “ Wahai Tuhanku ! Jadikanlah
bagiku satu tanda (yang menunjukkan isteriku mengandung)”.
Allah berfirman, “ Tandamu itu ialah engkau tidak akan dapat
berkata-kata dengan orang ramai selama tiga hari (tiga malam)
melainkan dengan isyarat sahaja, dan ingatlah kepada Tuhanmu
(dengan berzikir) banyak-banyak, dan bertasbihlah memuji Allah
(dengan mengerjakan sembahyang), pada waktu malam dan pada
waktu pagi.”.

42@ Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika malaikat berkata,
“ Wahai Maryam ! Sesungguhnya Allah telah memilihmu, dan
mensucikanmu, dan telah memilihmu (beroleh kemuliaan) melebihi
perempuan-perempuan seluruh alam (yang sezaman denganmu).

43@ “ Wahai Maryam ! Taatlah kepada Tuhanmu, dan sujudlah
serta rukuklah (mengerjakan sembahyang) bersama-sama orang-
orang yang rukuk “.

44@ Peristiwa yang demikian ialah sebahagian dari berita-
berita ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad),
sedang engkau tidak ada bersama-sama mereka ketika mereka
mencampakkan qalam masing-masing (untuk mengundi) siapakah
di antara mereka yang akan memelihara Maryam. Dan engkau juga
(wahai Muhammad) tidak ada bersama-sama mereka ketika mereka
berkelahi (tentang perkara menjaga dan memelihara Maryam).

45@ (Ingatlah) ketika malaikat berkata, “ Wahai Maryam !
Bahawasanya Allah memberikan khabar yang mengembirakanmu,
dengan (mengurniakan seorang anak yang engkau akan kandungkan
semata-mata dengan) Kalimah daripada Allah, nama anak itu,
Al Masih, Isa Ibni Maryam, seorang yang terkemuka di dunia dan
di akhirat, dan ia juga dari orang-orang yang didampingkan
(diberi kemuliaan di sisi Allah).

46@ “ Dan ia akan berkata-kata kepada orang ramai semasa ia
masih kecil dalam buaian, dan semasa ia dewasa, dan ia adalah
dari orang-orang yang soleh.”

47@ Maryam berkata, ” Wahai Tuhanku ! Bagaimanakah aku akan
beroleh seorang anak, padahal aku tidak pernah disentuh oleh
seorang lelaki pun ?” Allah berfirman, “ Demikianlah
keadaannya, Allah menjadikan apa yang dikehendakiNya, apabila
Ia berkehendak melaksanakan sesuatu perkara, maka Ia hanyalah
berfirman kepadanya, " Jadilah engkau.", lalu menjadilah ia.”

48@ Dan Allah akan mengajarnya ilmu menulis, dan hukum-hukum
aturan ugama, dan juga kandungan kitab-kitab Taurat dan Injil.

49@ Dan (akan melantiknya) menjadi seorang Rasul kepada Bani
Israil, (dengan menegaskan kepada mereka), “ Sesungguhnya aku
telah datang kepada kamu, dengan membawa satu tanda (mukjizat)
dari tuhan kamu, iaitu aku boleh membuat untuk kamu dari tanah
liat seperti bentuk burung, kemudian aku tiup padanya lalu
menjadilah ia seekor burung (yang hidup) dengan izin Allah,
dan juga aku boleh menyembuhkan orang yang buta dan orang yang
sopak, dan aku boleh menghidupkan kembali orang-orang yang
mati dengan izin Allah, dan juga aku boleh memberitahu kepada
kamu tentang apa yang kamu makan dan apa yang kamu simpan
di rumah kamu. Sesungguhnya perkara-perkara yang demikian itu,
mengandungi satu tanda (mukjizat) bagi kamu (yang membuktikan
kebenaran bahawa aku seorang Rasul yang diutus oleh Allah
kepada kamu), jika kamu orang-orang yang (mahu) beriman.

50@ “ Dan juga (aku datang kepada kamu ialah untuk)
mengesahkan kebenaran Kitab Taurat yang diturunkan dahulu
daripadaku, dan untuk menghalalkan bagi kamu sebahagian (dari
perkara-perkara) yang telah diharamkan kepada kamu, dan juga
aku datang kepada kamu dengan membawa satu mukjizat dari Tuhan
kamu. Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah dan taatlah
kepadaku.

posted from Bloggeroid

No comments:

Post a Comment