Monday 10 August 2015

002. Al-Baqarah 076-100, Terjemahan Al Quran...^^.. (Lembu Betina)

002. Al-Baqarah 076-100, Terjemahan Al Quran...^^..
(Lembu Betina)

BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

76@ Dan apabila mereka (orang-orang Yahudi pada zaman
Rasulullah) bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka
berkata, " Kami telah beriman", tetapi apabila mereka
berkumpul sesama sendiri, mereka berkata, " Patutkah kamu
ceritakan kepada mereka (orang-orang Islam Mukmin) apa yang
telah diterangkan oleh Allah kepada kamu (di dalam Kitab
Taurat, yang menjelaskan ciri-ciri dan kebenaran Nabi
Muhammad) untuk menjadikan hujah (bukti) yang dapat
mengalahkah kamu (kita semua) di sisi Tuhan kamu ? Tidakkah
kamu mempunyai akal (ada memikirkannya perkara itu) ?"

77@ (Mereka berani berkata demikian) Tidakkah mereka
mengetahui bahawasanya Allah mengetahui segala apa yang mereka
rahsiakan dan apa yang mereka lahirkan (zahirkan) ?

78@ Dan di antara mereka pula ada orang-orang ummi (yang buta
huruf dan tidak tahu membaca), mereka tidak mengetahui isi
Kitab Taurat, selain dari penerangan-penerangan (cerita-
cerita) bohong (dari ketua-ketua mereka), dan mereka hanyalah
berpegang kepada sangkaan-sangkaan mereka sahaja.

79@ Kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang menulis Kitab
Taurat dengan tangan mereka (lalu mengubah dan memutarbelitkan
kandungan Kalam Allah dengan rekaan-rekaan mereka, serta
menyembunyikan kebenaran Nabi Muhammad yang terdapat dalam
isi kitab Taurat), kemudian mereka berkata, " Ini datangnya
dari Allah", supaya dengan perbuatan itu mereka dapat membeli
keuntungan dunia yang sedikit. Maka kecelakaan besarlah bagi
mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka, dan
kecelakaan besarlah bagi mereka atas apa yang mereka usahakan
itu.

80@ Mereka dengan angkuh berkata, " Kami tidak sekali-kali
tidak akan disentuh oleh api neraka kecuali untuk beberapa
hari sahaja.". Katakanlah (wahai Muhammad), " Adakah kamu
sudah mendapat janji dari Allah (dengan perbuatan kamu itu)
dan Allah tidak akan menyalahi janjiNya, atau kamu hanya
berbohong terhadap nama Allah, sesuatu yang tidak kamu
mengetahuinya ?"

81@ (Apa yang kamu katakan itu sebenarnya, tidak benar)
Sesungguhnya, sesiapa yang berbuat kejahatan dan telah
bergelumang (ditenggelamkan) dengan dosa dan kesalahannya itu,
maka merekalah penghuni neraka, dan mereka kekal di dalamnya.

82@ Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh,
merekalah penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya selama-
lamanya.

83@ Dan (ingatlah, wahai Muhammad), ketika Kami mengikat
perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman),
" Janganlah kamu menyembah Tuhan melainkan Allah, dan berbuat
baiklah kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim,
serta orang-orang miskin. Dan ucapkanlah perkataan yang baik
dan sopan (berfaedah) kepada sesama manusia, dan dirikanlah
sembahyang serta keluarkanlah zakat". Kemudian kamu berpaling
membelakangkan (melanggar perjanjian setia kamu itu) kecuali
sebahagian kecil daripada kamu, dan kamu sememangnya orang-
orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya (selalu
mungkir janji).

84@ Dan (ingatlah), ketika Kami mengikat perjanjian setia
dengan kamu, " (Bahawa) janganlah kamu menumpahkan darah
(berbunuh-bunuhan) sesama sendiri, janganlah kamu usir-
mengusir sesama sendiri dari kampung masing-masing". Kemudian
kamu telah berikrar akan mematuhi perjanjian setia itu, dan
kamu sendiri pula menjadi saksi (yang mengakui kebenarannya).

85@ Kemudian sebahagian daripada kamu ini (wahai Bani Israil),
telah membunuh saudara kamu, sesama sendiri dan kamu mengusir
satu segolongan dari kaum kamu keluar dari kampung halamannya,
dan kamu pula saling bantu-membantu (bersepakat dengan orang
lain) untuk menentang mereka dengan melakukan dosa dan
penganiayaan. Padahal kalau mereka datang kepada kamu sebagai
orang tawanan, kamu tebus mereka, sedangkan perbuatan mengusir
mereka itu diharamkan ke atas kamu. Adakah kamu hanya beriman
serta percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan
mengingkari akan sebahagian yang lain ? Maka tiadalah balasan
bagi orang yang berbuat sedemikian, di antara kamu, melainkan
mendapat kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat
mereka akan dikenakan azab seksa yang amat berat. Dan
(ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai dari segala
perbuatan yang kamu lakukan.

86@ Mereka itulah orang-orang yang membeli (mengutamakan)
kehidupan dunia (dan kesenangannya) dengan (meninggalkan
perintah-perintah Allah yang membawa kebahagiaan dalam
kehidupan) akhirat. Maka tidak akan diringankan azab seksa
mereka (pada hari kiamat), dan mereka pula tidak akan
diberikan pertolongan.

87@ Dan sesungguhnya Kami telah memberikan kepada Nabi Musa
Kitab Taurat, dan Kami iringi kemudiannya dengan beberapa
orang Rasul. Dan Kami berikan kepada Nabi Isa, Ibni Maryam
beberapa mukjizat serta Kami teguhkan kebenarannya dengan
Ruhul-Qudus (Jibril, roh yang suci). Patutkah, tiap-tiap kali
datang kepada kamu seorang Rasul membawa sesuatu (kebenaran)
yang berlainan dengan hawa nafsu kamu ? Kamu (dengan) sombong
takbur (menolaknya), sehingga sebahagian dari Rasul-rasul itu
kamu dustakan, dan sebahagiannya pula kamu bunuh (seperti
halnya Nabi Isa)?

88@ Dan mereka (kaum Yahudi) berkata pula, " Hati kami
tertutup (tidak dapat menerima Islam)". (Sebenarnya hati
mereka tidak tertutup) bahkan Allah telah melaknatkan mereka
disebabkan kekufuran mereka. Hanya sedikit sahaja di antara
mereka yang beriman.

89@ Dan ketika datang kepada mereka sebuah Kitab dari Allah
(Al Quran), yang mengesahkan serta membenarkan apa yang ada
pada mereka (Kitab Taurat), sedangkan sebelumnya mereka
sentiasa memohon (kepada Allah) kemenangan ke atas kaum kafir
musyrik (dengan kedatangan seorang Nabi berdasarkan Kitab
mereka). Setelah datang kepada mereka apa yang mereka sedia
mengetahui kebenarannya (Nabi Muhammad dan Al Quran), mereka
mengingkarinya. (Yang sedemikian) Maka Allah melaknat orang-
orang yang kafir ingkar itu.

90@ Alangkah jahatnya (tindakan) mereka menjual diri sendiri
dengan mengingkari Al-Quran yang telah diturunkan oleh Allah,
kerana hasad dengki bahawa Allah menurunkan limpah kurniaNya
(wahyu) kepada sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-
hambaNya (iaitu Nabi Muhammad s.a.w). Dengan sebab itu, mereka
mendapat kemurkaan Allah berlipat-lipat kali ganda, dan orang-
orang yang kafir itu akan beroleh azab serta seksaan yang
menghinakan.

91@ Dan apabila dikatakan kepada mereka, " Berimanlah kamu
kepada kitab (Al Quran) yang diturunkan oleh Allah (kepada
Nabi Muhammad)", mereka menjawab, " Kami hanya beriman kepada
kitab yang telah diturunkan kepada kami (Taurat)". Dan mereka
ingkarkan (Kitab yang lain) yang diturunkan kemudiannya.
Padahal Al-Quran itu adalah kitab yang hak (benar dari Allah),
yang mengesahkan Kitab Taurat yang ada pada mereka. Katakanlah
(wahai Muhammad), " Jika demikian mengapa kamu membunuh Nabi-
nabi Allah pada masa yang lalu, jika kamu benar-benar orang
yang beriman ?".

92@ Dan sesungguhnya telah datang kepada kamu Nabi Musa
yang membawa keterangan-keterangan (mukjizat) yang menjelaskan
kebenaran, kemudian kamu menyembah (patung) anak lembu
sepeninggalannya, dan kamu (dengan perbuatan itu) adalah dari
orang-orang yang zalim.

93@ Dan (ingatlah) ketika Kami mengikat perjanjian setia
dengan kamu semasa Kami angkatkan bukit Tursina ke atas kamu
(sambil kami berfirman), " Kerjakanlah apa (dan amalkanlah
ajaran Kitab Taurat) yang Kami berikan kepada kamu itu dengan
bersungguh-sungguh, dan dengarlah (apa yang diperintahkan
kepada kamu dengan mematuhinya)". Mereka menjawab, " Kami
mendengar, tetapi kami tidak mentaatinya.". Menyembah (patung)
anak lembu telah biasa dan sebati di dalam hati mereka, oleh
sebab kekufuran mereka. Katakanlah (wahai Muhammad), " Amatlah
jahat apa yang disuruh oleh iman kamu itu, sekiranya kamu
orang yang benar-benar beriman".

94@ Katakanlah (wahai Muhammad kepada kaum Yahudi), " Kalau
syurga negeri akhirat itu telah menjadi hak istimewa untuk
kamu pada sisi Allah, tidak boleh dicampuri oleh orang lainnya
(seperti yang kamu dakwakan itu), maka cita-citakanlah mati
(dari Tuhanmu, sekarang juga), jika kamu orang yang benar".

95@ Dan sudah tentu mereka tidak akan cita-citakan kematian
itu selama-lamanya, disebabkan dosa-dosa yang telah mereka
lakukan, dan Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang
berbuat zalim.

96@ Demi sesungguhnya, engkau (wahai Muhammad) akan mendapati
merekalah manusia yang paling tamak kepada kehidupan (yang
lanjut masanya, akan tamaknya mereka kepada hidup itu),
terutamanya orang-orang kafir musyrik. Di antara mereka, ada
yang ingin dihidupkan seribu tahun, padahal umur yang panjang,
tidak akan dapat melepaskannya dari azab (yang disediakan oleh
Allah). Dan (ingatlah), Allah Maha Melihat apa sahaja yang
mereka kerjakan.

97@ Katakanlah (wahai Muhammad), " Sesiapa yang memusuhi
Jibril, kerana Jibril telah menurunkan Al-Quran ke dalam
hatimu dengan izin Allah, yang mengesahkan kebenaran Kitab-
kitab yang diturunkan sebelumnya, serta menjadi petunjuk dan
memberi khabar gembira kepada orang-orang yang beriman".

98@ Barangsiapa memusuhi Allah (dengan mengingkari segala
petunjuk dan perintahNya), Malaikat-malaikatNya, Rasul-
rasulNya, khasnya malaikat Jibril dan Mikail. Maka
sesungguhnya Allahlah adalah musuh bagi orang-orang kafir itu.

99@ Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu (wahai
Muhammad) ayat-ayat keterangan yang jelas nyata (Al-Quran),
dan tidak ada yang akan mengingkarinya melainkan orang-orang
yang fasik.

100@ Patutkah (mereka ingkarkan ayat-ayat keterangan itu) dan
setiap kali mereka membuat dan mengikat perjanjian setia,
sebahagian mereka melanggarnya (mencabuli). Bahkan sebahagian
besar daripada mereka tidak beriman.

posted from Bloggeroid

No comments:

Post a Comment