Monday 10 August 2015

002. Al-Baqarah 201-225, Terjemahan Al Quran...^^..(Lembu Betina)

002. Al-Baqarah 201-225, Terjemahan Al Quran...^^..
(Lembu Betina)

BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

201@ Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan)
berkata, “ Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia
dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab
neraka”.

202@ Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik dari
apa yang telah mereka usahakan, dan Allah amat cepat
hitunganNya.

203@ Dan sebutlah kamu akan Allah (dengan takbir semasa
mengerjakan Haji) dalam beberapa hari yang tertentu
bilangannya. Kemudian sesiapa yang segera (meninggalkan Mina)
pada hari yang kedua, maka ia tidaklah berdosa dan sesiapa
yang melambatkan (meninggalkan Mina) maka ia juga tidaklah
berdosa, (ketiadaan dosa itu ialah) bagi orang yang bertaqwa
dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah dan ketahuilah
sesungguhnya kamu akan dihimpunkan kepadanya.

204@ Dan di antara manusia ada orang yang tutur katanya
mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati
(mendengarnya), dan ia (bersumpah dengan mengatakan bahawa)
Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal
ia adalah orang yang amat keras permusuhannya (kepadamu).

205@ Kemudian apabila ia pergi (dengan mendapat hajatnya),
berusahalah ia di bumi, untuk melakukan bencana padanya, dan
membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang ternak
dan manusia, sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan.

206@ Dan apabila dikatakan kepadanya, “ Bertaqwalah engkau
kepada Allah.” Timbullah kesombongannya dengan (meneruskan)
dosa (yang dilakukannya itu). Oleh itu padanlah ia (menerima
balasan azab) neraka jahannam dan demi sesungguhnya, (neraka
jahannam itu) adalah seburuk-buruk tempat tinggal.

207@ Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya
kerana mencari keredaan Allah semata-mata, dan Allah pula Amat
belas kasihan akan hamba-hambanya.

208@ Wahai orang-orang yang beriman ! Masuklah kamu ke dalam
Ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya, dan
janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan, sesungguhnya
Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.

209@ Maka kalau kamu tergelincir (dan jatuh ke dalam kesalahan
disebabkan tipu daya Syaitan itu), sesudah datang keterangan-
keterangan yang jelas kepada kamu, maka ketahuilah bahawasanya
Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

210@ (Orang-orang yang ingkar itu) tidak menunggu melainkan
kedatangan (azab) Allah kepada mereka dalam lindungan-
lindungan awan, bersama-sama dengan malaikat (yang
menjalankannya), padahal telahpun diputuskan perkara itu
(balasan azab yang menimpa mereka), dan kepada Allah jua
kembalinya segala urusan.

211@ Bertanyalah kepada Bani Israil, berapa banyak keterangan-
keterangan yang telah Kami berikan kepada mereka (sedang
mereka masih ingkar) ? Dan sesiapa menukar nikmat keterangan
Allah (dengan mengambil kekufuran sebagai gantinya) sesudah
nikmat itu sampai kepadaNya, maka (hendaklah ia mengetahui)
sesungguhnya Allah amat berat azab seksaNya.

212@ Kehidupan dunia (dan kemewahannya) diperhiaskan (dan
dijadikan amat indah) pada (pandangan) orang-orang kafir,
sehingga mereka (berlagak sombong dan) memandang rendah kepada
orang-orang yang beriman. Padahal orang-orang yang bertaqwa
(dengan imannya) lebih tinggi (martabatnya) daripada mereka
(yang kafir itu) pada hari kiamat kelak. Dan (ingatlah), Allah
memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak
terkira (menurut undang-undang peraturanNya).

213@ Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut
ugama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan),
maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar
gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan
Syurga, dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar
dengan balasan azab neraka), dan Allah menurunkan bersama
Nabi-nabi itu Kitab-kitab Suci yang (mengandungi keterangan-
keterangan yang) benar, untuk menjalankan hukum di antara
manusia mengenai apa yang mereka perselisihkan dan
(sebenarnya) tidak ada yang melakukan perselisihan melainkan
orang-orang yang telah diberi kepada mereka Kitab-kitab Suci
itu, iaitu sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan
yang jelas nyata, mereka berselisih semata-mata kerana hasad
dengki sesama sendiri. Maka Allah memberikan petunjuk kepada
orang-orang yang beriman ke arah kebenaran yang
diperselisihkan oleh mereka (yang derhaka itu), dengan
izinNya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada
sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus (menurut
undang-undang peraturanNya).

214@ Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk
syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan)
seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu
daripada kamu ? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan
hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh
ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-
orang yang beriman yang ada bersamanya, " Bilakah (datangnya)
pertolongan Allah ?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah
itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada
ugama Allah).

215@ Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), " Apakah yang
akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah) ?" Katakanlah,
“ Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka
berikanlah kepada, Kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-
anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang-orang yang
terlantar dalam perjalanan. Dan (ingatlah), apa jua yang kamu
buat dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah
sentiasa mengetahuiNya (dan akan membalas dengan sebaik-
baiknya).

216@ Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan)
sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci, dan boleh
jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan
boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi
kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya
itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.

217@ Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai
(hukum) berperang dalam bulan yang dihormati, katakanlah,
“ Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi
perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah dan
perbuatan kufur kepadaNya, dan juga perbuatan menyekat (orang-
orang Islam) ke Masjid Al Haraam (di Makkah), serta mengusir
penduduknya dari situ, (semuanya itu) adalah lebih besar lagi
dosanya di sisi Allah. Dan (ingatlah), angkara fitnah itu
lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang dalam
bulan yang dihormati). Dan mereka (orang-orang kafir itu)
sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu
dari ugama kamu kalau mereka sanggup (melakukan yang
demikian), dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling
tadah) dari ugamanya (ugama Islam), lalu ia mati sedang ia
tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah
amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka
itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya).

218@ Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang
yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk
menegakkan ugama Islam), mereka itulah orang-orang yang
mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

219@ Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak
dan judi. Katakanlah, “ Pada keduanya ada dosa besar dan ada
pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih
besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu,
" Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan) ?" Katakanlah,
“ Dermakanlah (apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu).
Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya
(keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir,

220@ Mengenai (urusan-urusan kamu) di dunia dan di akhirat dan
mereka bertanya lagi kepadamu (wahai Muhammad), mengenai
(masalah) anak-anak yatim. Katakanlah, “ Memperbaiki keadaan
anak-anak yatim itu amatlah baiknya”, dan jika kamu bercampur
gaul dengan mereka (maka tidak ada salahnya) kerana mereka itu
ialah saudara-saudara kamu (yang seugama), dan Allah
mengetahui akan orang yang merosakkan (harta benda mereka)
daripada orang yang hendak memperbaikinya. Dan jika Allah
menghendaki tentulah Ia memberatkan kamu (dengan mengharamkan
bercampur gaul dengan mereka). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa,
lagi Maha Bijaksana.

221@ Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan
kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam),
dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu
lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun
keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah kamu (kahwinkan
perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik
sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam) dan sesungguhnya
seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang
lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. (Yang
demikian ialah kerana orang-orang kafir itu mengajak ke neraka
sedang Allah mengajak ke Syurga dan memberi keampunan dengan
izinNya. Dan Allah menjelaskan ayat-ayatNya (keterangan-
keterangan hukumNya) kepada umat manusia, supaya mereka dapat
mengambil pelajaran (daripadanya).

222@ Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai
(hukum) haid. Katakanlah, “ Darah haid itu satu benda yang
(menjijikkan dan) mendatangkan mudarat”. Oleh sebab itu
hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan
bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid
itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh)
sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci
maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh
Allah kepada kamu. SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang
yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa
mensucikan diri.

223@ Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu,
oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu
sukai dan sediakanlah (amal-amal yang baik) untuk diri kamu,
dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah sesungguhnya
kamu akan menemuiNya (pada hari akhirat kelak) dan berilah
khabar gembira (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang
beriman.

224@ (Dan janganlah kamu jadikan nama) Allah dalam sumpah kamu
sebagai benteng yang menghalangi kamu daripada berbuat baik
dan bertaqwa, serta mendamaikan perbalahan antara sesama
manusia. Dan (ingatlah), Allah sentiasa mendengar, lagi
sentiasa mengetahui.

225@ Allah tidak mengira kamu bersalah tentang sumpah kamu
yang tidak dimaksudkan (untuk bersumpah), tetapi Ia mengira
kamu bersalah (dan akan mengenakan hukuman) dengan sebab
sumpah yang diusahakan (disengajakan) oleh hati kamu (dengan
niat bersumpah). Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi
Maha Penyabar.

posted from Bloggeroid

No comments:

Post a Comment