Monday, 10 August 2015

002. Al-Baqarah 026-050, Terjemahan Al Quran...^^.. (Lembu Betina)

002. Al-Baqarah 026-050, Terjemahan Al Quran...^^..
(Lembu Betina)

BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

26@ Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan apa
sahaja, (seperti) nyamuk hingga ke suatu yang lebih hina
daripadanya (kerana perbuatan itu ada hikmatnya), iaitu kalau
orang-orang yang beriman maka mereka akan mengetahui bahawa
perbandingan itu benar dari Tuhan mereka, dan kalau orang-
orang kafir pula maka mereka akan berkata, “ Apakah maksud
Allah membuat perbandingan dengan ini ?” ,(Jawabnya) Tuhan
akan menjadikan banyak orang sesat dengan sebab perbandingan
itu, dan akan menjadikan banyak orang mendapat petunjuk dengan
sebabnya, dan Tuhan tidak akan menjadikan (mereka) sesat
dengan sebab perbandingan itu melainkan orang-orang yang
fasik.

27@ (Iaitu) orang-orang yang merombak (mencabuli) perjanjian
Allah sesudah diperteguhkannya, dan memutuskan perkara yang
disuruh Allah supaya diperhubungkan, dan mereka pula membuat
kerosakan dan bencana di muka bumi. Mereka itu ialah orang-
orang yang rugi.

28@ Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal
kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan
kamu, setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan
kamu pula (pada hari akhirat), akhirnya kamu dikembalikan
kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu
kerjakan).

29@ Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada
di bumi, kemudian Ia menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-
bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna,
dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

30@ Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat,
“ Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah
di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu
dengan berkata), “ Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak
menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan
menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa
bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu ?”. Tuhan
berfirman, “ Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu
tidak mengetahuinya”.

31@ Dan Allah telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama
benda-benda dan kegunaannya, kemudian ditunjukkannya kepada
malaikat lalu Allah berfirman, “ Terangkanlah kepadaKu nama
benda-benda ini semuanya, jika kamu golongan yang benar”.

32@ Malaikat itu menjawab, “ Maha suci Engkau (Ya Allah) !
Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau
ajarkan kepada kami, sesungguhnya Engkau jualah yang Maha
Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.

33@ Allah berfirman, “ Wahai Adam ! Terangkanlah nama benda-
benda ini semua kepada mereka”. Maka setelah Nabi Adam
menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah
berfirman, “ Bukankah Aku telah katakan kepada kamu,
bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia ghaib, di langit dan
bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang
kamu sembunyikan ?”.

34@ Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat,
“ Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam”. Lalu mereka
sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis, ia enggan
dan takbur, dan menjadilah ia, dari golongan yang kafir.

35@ Dan kami berfirman, “ Wahai Adam ! Tinggallah engkau dan
isterimu dalam syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-
puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu
hampiri pokok ini, (jika kamu menghampirinya) maka akan
menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim”.

36@ Setelah itu, Syaitan menggelincirkan(memperdaya) mereka
berdua dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari syurga serta
kenikmatan yang mereka telah perolehi di dalamnya dan Kami
berfirman, “ Turunlah kamu ! Sebahagian dari kamu akan menjadi
musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua
disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan
hingga ke suatu masa (sampai ajal dan mati kamu)”.

37@ Kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah
(kata-kata pengakuan taubat yang diamalkannya), lalu Allah
menerima taubatnya, sesungguhnya Allah, Dia lah yang Maha
Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani.

38@ Kami berfirman lagi, “ Turunlah kamu semuanya dari syurga
itu ! Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu
(melalui Rasul-rasul dan Kitab-kitab yang diturunkan kepada
mereka), maka sesiapa yang mengikuti petunjukKu itu, nescaya
tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap
mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita”.

39@ Dan orang-orang kafir yang mendustakan ayat-ayat
keterangan kami, mereka itulah ahli penghuni neraka, mereka
kekal di dalamnya.

40@ Wahai Bani Israil ! Kenangkanlah kamu akan segala nikmat
yang telah Kuberikan kepada kamu, dan sempurnakanlah
perjanjian (kamu) denganKu, supaya Aku sempurnakan
perjanjianKu dengan kamu, dan kepada Akulah sahaja hendaknya
kamu merasa gerun takut, (bukan kepada sesuatu yang lain).

41@ Dan berimanlah kamu dengan apa yang Aku turunkan
(Al-Quran) yang mengesahkan, benarnya Kitab yang ada pada kamu
(Taurat), dan janganlah kamu menjadi orang-orang yang mula-
mula kafir (ingkar) akan Al Quran, dan janganlah pula kamu
menjual ayat-ayatKu dengan (sebagai harga untuk) membeli
kelebihan-kelebihan yang sedikit faedahnya, dan kepada Aku lah
sahaja hendaknya kamu bertaqwa.

42@ Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan
yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar (kebenaran) itu
pula padahal kamu semua mengetahuinya.

43@ Dan dirikanlah kamu akan sembahyang (sholat) dan
keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah)
bersama-sama orang-orang yang rukuk.

44@ Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan
sedangkan kamu melupakan diri kamu sendiri, padahal kamu semua
membaca Kitab Allah, tidakkah kamu memikirkannya ?

45@ Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar
dan mengerjakan sembahyang, dan sesungguhnya sembahyang itu
amatlah berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk,

46@ (Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka
akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali
kepadaNya.

47@ Wahai Bani Israil ! Kenangkanlah nikmat-nikmatKu yang Aku
telah kurniakan kepada kamu, dan (ingatlah) bahawasanya Aku
telah melebihkan (nenek-moyang) kamu (yang taat dahulu) atas
orang-orang (yang ada pada zamannya).

48@ Dan peliharalah diri kamu dari (azab sengsara) hari
(akhirat), yang padanya tiada seseorang tidak dapat melepaskan
orang lain (yang berdosa) sedikitpun (dari balasan azab), dan
tidak diterima syafaat daripadanya, dan tidak pula diambil
daripadanya sebarang tebusan, dan mereka (yang bersalah itu)
tidak akan diberi sebarang pertolongan.

49@ Dan (kenangkanlah) ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun
dan orang-orangnya, yang sentiasa menyeksa kamu dengan seksaan
yang seburuk-buruknya, mereka menyembelih anak-anak lelaki
kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu, sedang
kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan
yang besar dari Tuhan kamu.

50@ Dan (kenangkanlah) ketika kami belahkan laut (Merah) untuk
kamu lalui (kerana melarikan diri dari angkara Firaun), maka
Kami selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan Firaun bersama-sama
tenteranya, sedang kamu semua menyaksikan (kejadian itu).

posted from Bloggeroid

No comments:

Post a Comment