Monday 10 August 2015

002. Al-Baqarah 126-150, Terjemahan Al Quran...^^.. (Lembu Betina)

002. Al-Baqarah 126-150, Terjemahan Al Quran...^^..
(Lembu Betina)

BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

126@ Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata,
“ Wahai Tuhanku ! Jadikanlah (negeri Makkah) ini, negeri yang
aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-
buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman
kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka”. Allah
berfirman, ” (Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang
kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang
menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku
memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah)
seburuk-buruk tempat kembali”.

127@ Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi
Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah)
itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata, “ Wahai Tuhan
kami ! Terimalah daripada kami (amal kami), sesungguhnya
Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui."

128@ “ Wahai Tuhan kami ! Jadikanlah kami berdua, orang-orang
Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan jadikanlah daripada
keturunan kami, umat Islam (yang berserah diri) kepadamu, dan
tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami,
dan terimalah taubat kami. Sesungguhnya Engkaulah Maha
Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani."

129@ “ Wahai Tuhan Kami ! Utuslah kepada mereka seorang Rasul
dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada
mereka ayat-ayat (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi
kandungan Kitab (Al Quran) serta Hikmat kebijaksanaan dan
membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat).
Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”.

130@ Tidak ada orang yang membenci ugama Nabi Ibrahim selain
dari orang yang membodohkan dirinya sendiri, kerana
sesungguhnya Kami telah memilih Ibrahim (menjadi nabi)
di dunia ini, dan sesungguhnya ia pada hari akhirat kelak
tetaplah dari orang-orang yang soleh yang (tertinggi
martabatnya).

131@ (Ingatlah) ketika Tuhannya berfirman kepadanya,
“ Serahkanlah diri (kepadaKu wahai Ibrahim) !” Nabi Ibrahim
menjawab, “ Aku serahkan diri (tunduk taat) kepada Tuhan Yang
Memelihara dan mentadbirkan sekalian alam”.

132@ Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan ugama itu kepada
anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat
kepada anak-anaknya) katanya, “ Wahai anak-anakku !
Sesungguhnya Allah telah memilih ugama (Islam) ini menjadi
ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam
keadaan Islam”.

133@ (Demikianlah wasiat Nabi Yaakub, bukan sebagaimana yang
kamu katakan itu wahai orang-orang Yahudi) ! Kamu tiada hadir
ketika Nabi Yaakub hampir mati, ketika ia berkata kepada anak-
anaknya, “ Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati ?”
Mereka menjawab, “ Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk
nenekmu Ibrahim dan Ismail dan Ishak, iaitu Tuhan yang Maha
Esa, dan kepadaNyalah sahaja kami berserah diri (dengan penuh
iman)”.

134@ Mereka itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya,
bagi mereka (balasan) apa yang mereka telah usahakan, dan bagi
kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan, dan kamu tidak
akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang
telah mereka lakukan.

135@ Dan mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) berkata, “ Jadilah
kamu pemeluk ugama Yahudi atau pemeluk ugama Nasrani, nescaya
kamu akan mendapat petunjuk”. Katakanlah (wahai Muhammad),
“ Kami orang-orang Islam tidak akan menurut apa yang kamu
katakan itu) bahkan kami mengikut ugama Nabi Ibrahim yang
tetap di atas dasar Tauhid, dan bukanlah ia dari orang-orang
musyrik”.

136@ Katakanlah (wahai orang-orang yang beriman), “ Kami
beriman kepada Allah, dan kepada apa yang diturunkan kepada
kami (Al Quran), dan kepada apa yang diturunkan kepada Nabi
Ibrahim dan Nabi Ismail dan Nabi Ishak dan Nabi Yaakub serta
anak-anaknya, dan juga kepada apa yang diberikan kepada Nabi
Musa (Taurat) dan Nabi Isa (Injil), dan kepada apa yang
diberikan kepada Nabi-nabi dari Tuhan mereka, kami tidak
membeza-bezakan antara seseorang dari mereka (sebagaimana yang
kamu [Yahudi dan Nasrani] membeza-bezakannya), dan kami semua
adalah Islam (berserah diri, tunduk taat) kepada Allah semata-
mata”.

137@ Maka kalau mereka beriman sebagaimana kamu beriman
(dengan Kitab-kitab Allah dan Rasul-rasulnya), maka
sesungguhnya mereka telah beroleh petunjuk, dan jika mereka
berpaling (serta tidak mahu beriman dengan sebenar-benar iman)
maka sesungguhnya mereka akan tinggal berkekalan dalam
perbalahan dan permusuhan (dengan kamu). Oleh itu (janganlah
engkau khuatir wahai Muhammad) kerana Allah akan memeliharamu
(dan umatmu) dari kejahatan mereka, dan Dialah jua Yang Maha
Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

138@ (Katakanlah wahai orang-orang yang beriman, Ugama Islam,
yang kami telah sebati dengannya ialah) Celupan Allah,
(yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam),
dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah ? (Kami
tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat”.

139@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Patutkah kamu (hai kaum
Yahudi dan Nasrani) membuat bantahan terhadap kami mengenai
pilihan Allah dan pengurniaanNya ? Padahal Dialah Tuhan kami
dan Tuhan kamu. Bagi kami (faedah) amal kami dan bagi kamu
pula (faedah) amal kamu (kalau diikhlaskan), dan kami adalah
(mengerjakan amal dengan) ikhlas kepadaNya.

140@ “ Atau patutkah kamu mengatakan, bahawa Nabi Ibrahim, dan
Nabi Ismail, dan Nabi Ishak, dan Nabi Yaakub beserta anak-
anaknya, mereka semua adalah orang-orang Yahudi atau Nasrani,
(padahal ugama mereka telahpun ada sebelum adanya ugama Yahudi
atau ugama Kristian itu) ?” Katakanlah (wahai Muhammad),
“ Adakah kamu yang lebih mengetahui atau Allah ? Dan siapakah
yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan keterangan
(saksi dan bukti) yang telah diberikan Allah kepadanya ?” Dan
(ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang telah
kamu lakukan.

141@ Mereka itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya,
bagi mereka (balasan) apa yang telah mereka usahakan, dan bagi
kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan, dan kamu tidak
akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang
mereka telah lakukan.

142@ Orang-orang bodoh (yang kurang akal pertimbangannya) akan
berkata, “ Apa sebabnya yang menjadikan orang-orang Islam
berpaling dari kiblat yang mereka mengadapnya selama ini ?”
Katakanlah (wahai Muhammad), “ Timur dan barat adalah
kepunyaan Allah (maka ke pihak mana sahaja kita diarahkan
Allah mengadapnya, wajiblah kita mematuhiNya), Allah yang
memberikan petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang
dikehendakiNya ke jalan yang lurus”.

143@ Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu
ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad)
satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi
orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang
yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan
menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.
(Sebenarnya kiblat kamu ialah Kaabah) dan tiadalah Kami
jadikan kiblat yang engkau mengadapnya dahulu itu (wahai
Muhammad), melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan
pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar mengikut
Rasul serta membenarkannya dan siapa pula yang berpaling tadah
(berbalik kepada kekufurannya) dan sesungguhnya (soal
peralihan arah kiblat) itu adalah amat berat (untuk diterima)
kecuali kepada orang-orang yang telah diberikan Allah petunjuk
hidayah dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu.
Sesungguhnya Allah Amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya
kepada orang-orang (yang beriman).

144@ Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad),
berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau
berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu
palingkanlah mukamu ke arah masjid Al Haraam (tempat letaknya
Kaabah), dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka
kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan
Nasrani) yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa
perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar
dari Tuhan mereka, dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa
yang mereka lakukan.

145@ Dan demi sesungguhnya ! Jika engkau bawakan kepada orang-
orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, akan
segala keterangan (yang menunjukkan kebenaran perintah
berkiblat ke Kaabah itu), mereka tidak akan menurut kiblatmu,
dan engkau pula tidak sekali-kali akan menurut kiblat mereka,
dan sebahagian dari mereka juga tidak akan menurut kiblat
sebahagian yang lain. Demi sesungguhnya ! Kalau engkau menurut
kehendak hawa nafsu mereka setelah datang kepadamu pengetahuan
(yang telah diwahyukan kepadamu), sesungguhnya engkau, jika
demikian, adalah dari golongan orang-orang yang zalim.

146@ Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan Kitab
itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan
kebenarannya) sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka
sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian dari mereka berusaha
menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui
(salahnya perbuatan yang demikian).

147@ Kebenaran (yang datangnya kepadamu dan disembunyikan oleh
kaum Yahudi dan Nasrani) itu (wahai Muhammad), adalah
datangnya dari Tuhanmu. Oleh itu jangan sekali-kali engkau
termasuk dalam golongan orang-orang yang ragu-ragu.

148@ Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-
masing menujunya, oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan
kebaikan, kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap
akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk
menerima balasan). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-
tiap sesuatu.

149@ Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan
sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al Haraam
(Kaabah), dan sesungguhnya perintah berkiblat ke Kaabah itu
adalah benar dari Tuhanmu. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-
kali lalai akan segala apa yang kamu lakukan.

150@ Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan
sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al Haraam
(Kaabah), dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka
kamu ke arahnya, supaya tidak ada lagi (sebarang) alasan bagi
orang-orang (yang menyalahi kamu), kecuali orang-orang yang
zalim di antara mereka (ada sahaja yang mereka jadikan
alasan). Maka janganlah kamu takut kepada (cacat cela) mereka,
dan takutlah kamu kepada Ku (semata-mata), dan supaya Aku
sempurnakan nikmatKu kepada kamu, dan juga supaya kamu beroleh
petunjuk hidayah (mengenai perkara yang benar).

posted from Bloggeroid

No comments:

Post a Comment