Monday 10 August 2015

002. Al-Baqarah 051-075, Terjemahan Al Quran...^^.. (Lembu Betina)

002. Al-Baqarah 051-075, Terjemahan Al Quran...^^..
(Lembu Betina)

BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

51@ Dan (kenangkanlah) ketika Kami berjanji kepada Nabi Musa
(untuk memberi Taurat kepadanya, Musa menjalani pertapaan,
diberi wahyu) empat puluh malam. Kemudian, setelah dia pergi,
kamu menjadikan (patung berhala) anak lembu sebagai alat
sembahanmu, dan kamu sebenarnya orang-orang yang zalim
(terhadap diri sendiri).

52@ Kemudian sesudah itu kami maafkan kesalahan kamu, supaya
kamu bersyukur (kepada Allah).

53@ Dan (kenangkanlah) ketika Kami turunkan kepada Nabi Musa
kitab (Taurat) dan keterangan-keterangan (yang terkandung
di dalamnya, yang membezakan antara yang benar dengan yang
salah), supaya kamu mendapat petunjuk.

54@ Dan (kenangkanlah) ketika Nabi Musa berkata kepada
kaumnya, ” Wahai kaumku ! Sesungguhnya kamu telah menganiaya
diri kamu sendiri kerana kamu menyembah patung anak lembu itu,
maka bertaubatlah kamu kepada Allah yang menjadikan kamu, dan
bunuhlah diri kamu. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu
di sisi Allah yang menjadikan kamu, supaya Allah menerima
taubat kamu itu. Sesungguhnya Dia lah Yang Maha Pengampun
(Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani”.

55@ Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata, " Wahai Musa !
Kami tidak akan beriman kepadamu sehingga kami dapat melihat
Allah dengan terang (dengan mata kepala kami) ”. Maka kerana
itu kamu disambar petir, sedang kamu semua melihatnya.

56@ Kemudian kami bangkitkan kamu sesudah kamu mati (atau
pengsan dari sambaran petir itu), supaya kamu bersyukur.

57@ Dan Kami telah menaungi kamu dengan awan (dari panas
matahari di padang pasir) dan Kami turunkan kepada kamu “Mann”
dan “Salwa”, (serta Kami berfirman), “ Makanlah dari makanan-
makanan yang baik yang Kami telah kurniakan kepada kamu”. Dan
tidaklah mereka menganiaya Kami (sebab mereka kufurkan nikmat
itu), tetapi sebenarnya mereka yang menganiaya diri sendiri.

58@ Dan (kenangkanlah) ketika Kami berfirman, " Masuklah kamu
ke negeri ini (Baitulmaqdis), kemudian makanlah dari benda-
benda yang ada di dalamnya dengan sepuas-puasnya, apa sahaja
yang kamu sukai. Dan masuklah kamu melalui pintunya dengan
tunduk (merendah diri), dan (mintalah ampun dengan) berkata,
" Hiththah (Ya Allah ampunilah dosa kami) ", supaya kami
ampunkan dosa kesalahan-kesalahan kamu, dan Kami akan tambahi
pula pahala orang-orang yang berbuat baik”.

59@ Tetapi orang-orang yang zalim (penderhaka) itu mengubah
perkataan (perintah kami) yang dikatakan kepada mereka dengan
melakukan sebaliknya (perkataan yang tidak dikatakan padanya),
maka Kami turunkan ke atas orang-orang yang zalim itu bala
bencana dari langit, dengan sebab mereka sentiasa berlaku
fasik (menderhaka).

60@ Dan (ingatlah) ketika Nabi Musa memohon supaya diberi air
untuk kaumnya, maka Kami berfirman, “ Pukullah batu itu dengan
tongkatmu”, (dia pun memukulnya), lalu terpancutlah dari batu
itu dua belas mata air, sesungguhnya tiap-tiap satu puak
(di antara mereka) telah mengetahui tempat minumnya masing-
masing. (Dan Kami berfirman), " Makanlah dan minumlah kamu
dari rezeki Allah itu, serta janganlah kamu bertebaran di muka
bumi ini dengan melakukan kerosakan".

61@ Dan (kenangkanlah) ketika kamu (Bani Israil) berkata,
" Wahai Musa, kami tidak sabar (sudah jemu) dengan sejenis
makanan sahaja. Pohonlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya
dikurniakan bagi kami sebahagian dari apa yang tumbuh di bumi,
dari sayur-sayurannya, seperti mentimunnya, dan bawang
putihnya, dan adas (kacang dalnya), serta bawang merahnya".
Nabi Musa menjawab, " Adakah kamu mahu menukar sesuatu yang
kurang baik dengan meninggalkan sesuatu yang lebih baik ?
Pergilah kamu ke negeri itu, kerana di sana kamu akan
memperolehi apa yang kamu minta itu". Lalu mereka ditimpakan
dengan kehinaan dan kepapaan, dan mereka mendapat kemurkaan
dari Allah. Yang demikian, disebabkan mereka kufur
(mengingkari) ayat-ayat Allah (perintah-perintah dan mukjizat-
mukjizat yang membuktikan kebesaranNya), dan mereka juga
membunuh Nabi-nabi tanpa alasan yang benar. Demikian itu,
disebabkan mereka menderhaka dan mereka sentiasa melampaui
batas.

62@ Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang Yahudi,
orang Nasora (Nasrani), dan orang Saabien (pengikut Nabi-
nabi), sesiapa di antara mereka yang beriman kepada Allah dan
(beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka mereka
menerima pahala di sisi Tuhan mereka. Mereka tidak mempunyai
kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik), dan
mereka tidak akan berdukacita.

63@ Dan (ingatlah), ketika Kami mengambil perjanjian setia
dari kamu semasa Kami angkatkan Gunung Tursina di atas kamu
(sambil Kami berfirman), " Terimalah kitab Taurat yang telah
Kami berikan dan Kami perintahkan kepada kamu (serta
amalkanlah) dengan bersungguh-sungguh, dan ingatlah (jangan
lupakan) apa yang tersebut di dalamnya, mudah-mudahan, supaya
kamu bertaqwa.

64@ Kemudian sesudah itu, kamu membelakangkan perjanjian setia
kamu (tidak menyempurnakannya dan ingkar). Kalau bukan kerana
limpah kurnia Allah dan rahmat, belas kasihanNya kepada kamu
(dengan membuka pintu taubat), nescaya termasuklah kamu
ke dalam golongan orang-orang yang rugi.

65@ Sesungguhnya kamu telah mengetahui (bagaimana buruknya
akibat) orang-orang yang melanggar (larangan) pada hari Sabtu.
Lalu Kami berfirman kepada mereka, " Jadilah kamu kera yang
hina" (Mereka disumpah menjadi kera kerana menangkap ikan pada
hari pilihan Tuhan, pada zaman itu. bagi Umat Muhammad, Hari
Jumaat).

66@ Maka Kami jadikan peristiwa (apa yang berlaku) sebagai
satu peringatan (hukuman) bagi orang-orang yang ada pada masa
itu dan orang-orang yang datang kemudian, serta suatu
pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.

67@ Dan (ingatlah), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya,
" Sesungguhnya Allah s.w.t. menyuruh supaya kamu menyembelih
seekor lembu betina". Mereka berkata, " Adakah engkau hendak
mempermainkan kami ?" Nabi Musa menjawab, " Aku berlindung
kepada Allah daripada termasuk salah seorang dari golongan
yang jahil (yang melakukan sesuatu yang tidak patut)".

68@ Mereka berkata pula, " Berdoalah kepada Tuhanmu untuk
kami, supaya diterangkanNya kepada kami bagaimana (sifat-
sifat) lembu betina itu ?" Nabi Musa menjawab, " Sesungguhnya
Allah berfirman, " Bahawa lembu betina itu, ialah seekor lembu
yang tidak terlalu tua dan tidak terlalu muda, berada
di pertengahan (umurnya). Maka kerjakanlah (lakukanlah) apa
yang diperintahkan kepada kamu.".

69@ Mereka berkata lagi, " Pohonlah kepada Tuhanmu untuk kami,
supaya diterangkanNya kepada kami, apa warnanya ?" Nabi Musa
menjawab, " Allah berfirman, " Bahawa (lembu betina) itu ialah
seekor lembu berwarna kuning tua, lagi disukai orang-orang
yang melihatnya.".

70@ Mereka berkata lagi, " Pohonlah kepada Tuhanmu untuk kami,
supaya diterangkanNya kepada kami, lembu betina yang bagaimana
sifatnya ? Kerana sesungguhnya lembu yang dikehendaki itu
masih meragukan kami (susah kami memilihnya). Dan Insya Allah
kami akan mendapat petunjuk (untuk mencari dan menyembelih
lembu itu)".

71@ Nabi Musa menjawab, " Sesungguhnya Allah berfirman,
" Sebenarnya (lembu yang dikehendaki itu) ialah lembu betina
yang tidak pernah digunakan untuk membajak tanah (sawah
bendang), dan tidak pula (digunakan mengangkut air) untuk
menyiram tanaman, ia juga tidak cacat dan tidak ada sedikitpun
belang pada warnanya". Mereka berkata, " Sekarang baharulah
engkau dapat menerangkan dengan jelas sifat-sifatnya yang
sebenar". Kemudian mereka pun menyembelih lembu tersebut, dan
hampir-hampir mereka tidak dapat menunaikan (perintah Allah)
itu.

72@ Dan (ingatlah), ketika kamu membunuh seorang manusia,
kemudian kamu tuduh-menuduh sesama sendiri, mengenai siapakah
pembunuhnya ? lalu Allah memperlihatkan kepada kamu, apa yang
kamu cuba sembunyikan.

73@ (Untuk membongkar siapa pembunuhnya) Maka, Kami (Allah)
berfirman, “ Pukullah si mati dengan sebahagian anggota lembu
yang kamu sembelihkan itu” (Mereka pun memukulnya dan dia
kembali hidup). Dengan cara demikian, Allah s.w.t.
menghidupkan kembali orang-orang yang telah mati, dan Allah
memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaanNya, supaya
kamu memikirkannya.

74@ Kemudian sesudah itu, hati kamu tetap juga menjadi keras
seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-
batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai
daripadanya, dan ada pula di antara batu yang pecah-pecah,
terbelah lalu keluar mata air daripadanya, dan ada juga batu
yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah. Sedangkan Allah
tidak pernah sekali-kali lalai daripada apa yang kamu
kerjakan.

75@ Apakah kamu, (Sesudah kamu, wahai Muhammad dan pengikut-
pengikutmu mengetahui tentang kerasnya hati orang-orang Yahudi
itu) menaruh harapan bahawa mereka akan beriman kepada seruan
Islam yang kamu sampaikan itu ? Padahal sesungguhnya telah ada
satu puak dari mereka yang mendengar Kalam Allah (Taurat),
kemudian mereka mengubah (dan memutarbelitkankan maksudnya)
sesudah mereka memahaminya, sedangkan mereka mengetahui
(bahawa perbuatan itu salah) ?

posted from Bloggeroid

No comments:

Post a Comment