Monday 10 August 2015

002. Al-Baqarah 176-200, Terjemahan Al Quran...^^..(Lembu Betina)

002. Al-Baqarah 176-200, Terjemahan Al Quran...^^..
(Lembu Betina)

BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

176@ (Segala balasan yang buruk) itu adalah dengan sebab Allah
telah menurunkan Kitab dengan mengandungi kebenaran (tetapi
mereka berselisih padanya), dan sesungguhnya orang-orang yang
berselisihan mengenai (kebenaran) kitab, itu sebenarnya mereka
adalah dalam keadaan berpecah-belah yang jauh (dari mendapat
petunjuk hidayah Allah).

177@ Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan
muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah
berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan
segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi, dan
mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya,
kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang
miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada
orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba
abdi, dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta
mengeluarkan zakat, dan perbuatan orang-orang yang
menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian, dan
ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan
dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam
perjuangan perang Sabil. orang-orang yang demikian sifatnya),
mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan
kebajikan), dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa.

178@ Wahai orang-orang yang beriman ! Diwajibkan kamu
menjalankan hukuman “ Qisas” (balasan yang seimbang) dalam
perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu, orang merdeka
dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan
dengan perempuan. Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat
sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh),
maka hendaklah orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang
baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan (si pembunuh pula)
hendaklah menunaikan bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-
baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan
kamu serta suatu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang
melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab
seksa yang tidak terperi sakitnya.

179@ Dan di dalam hukuman Qisas itu ada jaminan hidup bagi
kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu
bertaqwa.

180@ Kamu diwajibkan, apabila seseorang dari kamu hampir mati,
jika ia ada meninggalkan harta, (hendaklah ia) membuat wasiat
untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut
peraturan ugama), sebagai suatu kewajipan atas orang-orang
yang bertaqwa.

181@ Kemudian sesiapa yang mengubah mana-mana wasiat sesudah
ia mendengarnya, maka sesungguhnya dosanya hanya ditanggung
oleh orang-orang yang mengubahnya, sesungguhnya Allah Maha
Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

182@ Tetapi sesiapa yang mengetahui bahawa orang yang
berwasiat itu tidak adil atau melakukan dosa (dalam
wasiatnya), lalu ia mendamaikan antara mereka (waris-waris,
dengan membetulkan wasiat itu menurut aturan ugama), maka
tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi
Maha Mengasihani.

183@ Wahai orang-orang yang beriman ! Kamu diwajibkan berpuasa
sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada
kamu, supaya kamu bertaqwa.

184@ (Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang
tertentu), maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam
musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa
sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain, dan
wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua
dan sebagainya), membayar fidyah iaitu memberi makan orang
miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran
fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu
kebaikan baginya, dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih
baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu
mengetahui.

185@ (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan
Ramadan yang padanya diturunkan Al Quran, menjadi petunjuk
bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang
menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang
benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu
yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka
hendaklah ia berpuasa bulan itu, dan sesiapa yang sakit atau
dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia
berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari
yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah
menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki
kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan
bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan
Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.

186@ Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku
maka (beritahu kepada mereka), sesungguhnya Aku (Allah)
sentiasa hampir (kepada mereka), Aku perkenankan permohonan
orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah
mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan
hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik
serta betul.

187@ Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur
(bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu
adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian
bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati
diri sendiri, lalu Ia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu.
Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-
apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu, dan makanlah
serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya
siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar.
Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam
(maghrib), dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu
ketika kamu sedang beriktikaf di masjid. Itulah batas-batas
larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. Demikian
Allah menerangkan ayat-ayat hukumNya kepada sekalian manusia
supaya mereka bertaqwa.

188@ Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-
orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan
pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada
hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian
dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu
mengetahui (salahnya).

189@ Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai
(peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah, “ (Peredaran) anak-
anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan)
manusia, khasnya ibadat Haji. Dan bukanlah perkara kebajikan,
kamu memasuki rumah dari bahagian belakangnya (ketika kamu
berihram) akan tetapi kebajikan itu ialah perbuatan orang yang
bertaqwa, dan masuklah ke rumah (Kamu) itu melalui pintunya,
serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya.”

190@ Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan)
ugama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan
janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan),
kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang
menceroboh.

191@ Dan bunuhlah mereka (musuh yang memerangi kamu) di mana
sahaja kamu dapati mereka, dan usirlah mereka dari tempat yang
mereka telah mengusir kamu, dan (ingatlah bahawa angkara)
fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan dan
janganlah kamu memerangi mereka di sekitar masjid Al Haraam
sehingga mereka memerangi kamu di situ. Oleh itu kalau mereka
memerangi kamu (di situ), maka bunuhlah mereka. Demikianlah
balasan bagi orang-orang yang kafir.

192@ Kemudian jika mereka berhenti memerangi kamu (maka
berhentilah kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun,
lagi Maha Mengasihani.

193@ Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan
(sehingga) menjadilah ugama itu semata-mata kerana Allah.
Kemudian jika mereka berhenti maka tidaklah ada permusuhan
lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim.

194@ (Mencabuli) bulan yang dihormati itu ialah dengan (sebab
membalas pencabulan dalam) bulan yang dihormati, dan tiap-tiap
perkara yang dihormati itu (jika dicabuli), ada balasannya
yang seimbang. Oleh itu sesiapa yang melakukan pencerobohan
terhadap kamu maka balaslah pencerobohannya itu seimbang
dengan pencerobohan yang dilakukannya kepada kamu, dan
bertaqwalah kamu kepada Allah serta ketahuilah, Sesungguhnya
Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.

195@ Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana
(menegakkan) ugama Allah, dan janganlah kamu sengaja
mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan
bersikap bakhil), dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala
usaha dan) perbuatan kamu, kerana sesungguhnya Allah mengasihi
orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.

196@ Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah,
maka sekiranya kamu dikepong (dan dihalang daripada
menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, maka kamu
bolehlah bertahallul serta) sembelihlah Dam yang mudah
didapati, dan janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk
bertahallul), sebelum binatang Dam itu sampai (dan disembelih)
di tempatnya. Maka sesiapa di antara kamu sakit atau terdapat
sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu ia mencukur
rambutnya), hendaklah ia membayar fidyah. Iaitu berpuasa, atau
bersedekah, atau menyembelih Dam. Kemudian apabila kamu berada
kembali dalam keadaan aman, maka sesiapa yang mahu menikmati
kemudahan dengan mengerjakan Umrah, (dan terus menikmati
kemudahan itu) hingga masa (mengerjakan) ibadat Haji,
(bolehlah ia melakukannya kemudian wajiblah ia) menyembelih
Dam yang mudah didapati. Kalau ia tidak dapat (mengadakan
Dam), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari dalam masa
mengerjakan Haji dan tujuh hari lagi apabila kamu kembali
(ke tempat masing-masing), semuanya itu sepuluh (hari) cukup
sempurna. Hukum ini ialah bagi orang yang tidak tinggal
menetap (di sekitar) masjid Al Haraam (Makkah). Dan hendaklah
kamu bertaqwa kepada Allah, dan ketahuilah bahawasanya Allah
Maha Berat balasan seksaNya (terhadap orang-orang yang
melanggar perintahNya).

197@ (Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa
bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah
mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu,
maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat
maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan
ibadat Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah
diketahui oleh Allah, dan hendaklah kamu membawa bekal dengan
cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah
memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah), dan
bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang
dapat memikir dan memahaminya).

198@ Tidaklah menjadi salah, kamu mencari limpah kurnia dari
Tuhan kamu (dengan meneruskan perniagaan ketika mengerjakan
Haji). Kemudian apabila kamu bertolak turun dari padang Arafah
(menuju ke Muzdalifah) maka sebutlah nama Allah (dengan doa,
” talbiah” dan tasbih) di tempat Masy’ar Al Haraam
(di Muzdalifah), dan ingatlah kepada Allah dengan menyebutnya
sebagaimana Ia telah memberikan petunjuk hidayah kepadamu, dan
sesungguhnya kamu sebelum itu adalah dari golongan orang-orang
yang salah jalan ibadatnya.

199@ Selain dari itu hendaklah kamu bertolak turun dari
(Arafah) tempat bertolaknya orang ramai, dan beristighfarlah
kamu kepada Allah (dengan memohon ampun), sesungguhnya Allah
Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

200@ Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan
ibadat Haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan
mengingati Allah (dengan membesarkanNya) sebagaimana kamu
dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan
dengan sebutan yang lebih lagi. Dalam pada itu, ada di antara
manusia yang (berdoa dengan) berkata, “ Wahai Tuhan kami !
Berilah kami kebaikan di dunia”. (orang-orang ini diberikan
kebaikan di dunia) dan tidak ada baginya sedikitpun kebaikan
di akhirat.

posted from Bloggeroid

No comments:

Post a Comment