Monday 1 February 2016

Al Quran Indonesia. 021. Surah Al Anbiyaa’ (Para Nabi)...

Al Quran Indonesia. 021. Surah Al Anbiyaa’ (Para Nabi)...

BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

1@ Telah hampir datangnya kepada manusia hari perhitungan
amalnya sedang mereka dalam kelalaian, tidak hiraukan
persediaan baginya.

2@ Tidak datang kepada mereka itu sebarang peringatan yang
diturunkan dari Tuhan mereka lepas satu, satu, melainkan
mereka memasang telinga mendengarnya sambil mereka mempermain-
mainkannya,

3@ Dengan keadaan hati mereka leka daripada memahami dan
mengamalkan maksudnya. Dan orang-orang yang zalim itu,
berbisik-bisik sesama sendiri dengan berkata, “ Bukankah
(Muhammad) ini hanyalah seorang manusia biasa seperti kamu ?
Maka patutkah kamu turut hadir mendengar sihir yang dibawanya
itu sedang kamu nampak dan mengetahui karutnya ?”

4@ (Bagi menjawab mereka, Nabi Muhammad) berkata, “ Tuhanku
mengetahui tiap-tiap perkataan (yang dilahirkan atau
disembunyikan oleh makhluk-makhluk) di langit dan di bumi, dan
Dialah jua yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

5@ (Mereka bukan sahaja menyifatkan Al Quran itu sihir) bahkan
mereka menuduh dengan berkata, “ Al Quran itu perkara karut
yang dimimpikan oleh Muhammad, bahkan perkara yang diada-
adakan olehnya, bahkan Muhammad sendiri seorang penyair.
(Kalaulah ia sebenarnya seorang Rasul) Maka hendaklah ia
membawa kepada kita satu mukjizat sebagaimana mukjizat-
mukjizat yang dibawa oleh Rasul-rasul yang telah diutus
dahulu.”

6@ Tidak ada penduduk sesebuah negeri pun yang Kami binasakan
sebelum mereka, yang telah beriman kepada mukjizat yang diberi
kepadanya, maka benarkah mereka yang meminta mukjizat itu mahu
beriman ?

7@ Dan Kami tidak mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai
Muhammad) melainkan orang-orang lelaki yang Kami wahyukan
kepada mereka (bukan malaikat), maka bertanyalah kamu kepada
"Ahluz Zikri” jika kamu tidak mengetahui.

8@ Dan Kami tidak menjadikan Rasul-rasul itu bertubuh badan
yang tidak makan minum, dan mereka pula tidak akan kekal hidup
selama-lamanya (di dunia).

9@ Kemudian Kami tepati janji Kami kepada mereka, lalu Kami
selamatkan mereka dan sesiapa yang Kami kehendaki, dan
(sebaliknya) Kami binasakan orang-orang yang melampaui batas.

10@ Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu sebuah
Kitab (Al Quran) yang mengandungi perkara yang menimbulkan
sebutan baik dan kelebihan untuk kamu, maka mengapa kamu tidak
memahaminya (dan bersyukur akan nikmat yang besar itu) ?

11@ Dan berapa banyak Kami telah pecah belahkan dan binasakan
penduduk negeri yang melakukan kezaliman, dan Kami telah
menjadikan sesudah mereka, kaum yang lain sebagai gantinya.

12@ Maka ketika mereka merasai (kedatangan) azab Kami, mereka
dengan serta-merta lari keluar dari negeri itu.

13@ (Lalu dikatakan kepada mereka), “ Janganlah kamu lari, dan
sebaliknya kembalilah kepada kemewahan hidup yang telah
diberikan kepada kamu, dan ke tempat-tempat tinggal kamu,
supaya kamu dapat ditanya mengenai apa yang berlaku.”

14@ (Akhirnya) mereka berkata, “ Aduhai celakanya kami !
Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang berlaku zalim !”

15@ Maka demikianlah seterusnya jeritan dan keluhan mereka,
sehingga Kami jadikan mereka hancur lebur dan sunyi-sepi.

16@ Dan (ingatlah) tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi
serta segala yang ada di antaranya, secara main-main.

17@ Sekiranya Kami hendak mengambil sesuatu untuk hiburan,
tentulah Kami akan mengambilnya dari sisi Kami, Kami tidak
melakukannya.

18@ Bahkan Kami sentiasa mengarahkan yang benar menentang yang
salah, lalu ia menghancurkannya, maka dengan serta-merta
hilang lenyaplah dia. Dan (tetaplah) kecelakaan akan menimpa
kamu disebabkan apa yang kamu sifatkan (terhadap Kami).

19@ Dan (ingatlah) segala yang ada di langit dan di bumi
adalah milik kepunyaan Allah jua, dan malaikat-malaikat yang
ada di sisiNya tidak membesarkan diri dan tidak enggan
daripada beribadat kepadaNya, dan tidak pula mereka merasa
penat dan letih.

20@ Mereka beribadat malam dan siang, dengan tidak berhenti-
henti.

21@ Adakah benda-benda dari bumi yang mereka jadikan tuhan-
tuhan itu, dapat menghidupkan semula sesuatu yang mati ?

22@ Kalau ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan yang lain dari
Allah, nescaya rosaklah pentadbiran kedua-duanya. Maka
(bertauhidlah kamu kepada Allah dengan menegaskan), Maha Suci
Allah, Tuhan yang mempunyai Arasy, dari apa yang mereka
sifatkan.

23@ Ia tidak boleh ditanya tentang apa yang Ia lakukan, sedang
merekalah yang akan ditanya kelak.

24@ Patutkah mereka menyembah tuhan-tuhan yang lain dari
Allah ? Katakanlah (wahai Muhammad), “ Bawalah keterangan dan
bukti kamu, kandungan Al Quran ini menjadi peringatan dan
bukti tauhid umatku, juga peringatan dan bukti tauhid umat-
umat yang dahulu daripadaku.” (Kaum musyrik tidak mempunyai
sebarang keterangan) bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui
mana yang benar dan mana yang salah, dengan sebab itulah maka
mereka berpaling ingkar.

25@ Dan Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad)
seseorang Rasul pun melainkan Kami wahyukan kepadanya,
“ Bahawa sesungguhnya tiada Tuhan (yang berhak disembah)
melainkan Aku, oleh itu, beribadatlah kamu kepadaKu.”

26@ Dan mereka (yang musyrik) berkata, “ (Allah) Ar Rahman
mempunyai anak.” Maha Sucilah Ia. Bahkan (mereka yang
dikatakan menjadi anak Allah itu) ialah hamba-hambaNya yang
dimuliakan.

27@ Mereka tidak mendahuluiNya dengan perkataan dan mereka
pula mengerjakan apa yang diperintahkanNya.

28@ Allah mengetahui apa yang di hadapan mereka (yang telah
mereka lakukan), dan apa yang di belakang mereka (yang akan
mereka lakukan), dan mereka tidak memohon syafaat melainkan
bagi sesiapa yang diredhai Allah, dan mereka pula sentiasa
cemas takut daripada ditimpa azabNya.

29@ Dan (jika ada) sesiapa di antara mereka berkata,
“ Sesungguhnya aku ialah tuhan selain dari Allah.” maka yang
berkata sedemikian itu, Kami akan membalasnya dengan (azab)
neraka jahannam, demikianlah Kami membalas golongan yang
zalim.

30@ Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan
mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal
mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami
pisahkan antara keduanya ? Dan Kami jadikan dari air, tiap-
tiap benda yang hidup ? Maka mengapa mereka tidak mahu
beriman ?

31@ Dan Kami telah menjadikan di bumi gunung-ganang yang
menetapnya, supaya bumi itu tidak menggegar mereka, dan Kami
jadikan padanya celah-celah sebagai jalan-jalan lalu-lalang,
supaya mereka dapat sampai kepada mencapai keperluan rohani
dan jasmani.

32@ Dan Kami telah menjadikan langit sebagai bumbung yang
terpelihara dan terkawal, sedang mereka (yang kafir itu)
berpaling tidak memerhatikan tanda-tanda (kekuasaan Kami) yang
ada padanya.

33@ Dan Dialah (Tuhan) yang telah menjadikan malam dan siang,
serta matahari dan bulan, tiap-tiap satunya beredar terapung-
apung di tempat edaran masing-masing (di angkasa lepas).

34@ Dan Kami tidak menjadikan seseorang manusia sebelummu
dapat hidup kekal (di dunia ini). Maka kalau engkau meninggal
dunia (wahai Muhammad), adakah mereka akan hidup selama-
lamanya ?

35@ Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu
dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan, dan kepada
Kamilah kamu semua akan dikembalikan.

36@ Dan apabila orang-orang kafir itu melihatmu, mereka
hanyalah menjadikan perkara yang engkau sampaikan itu sebagai
ejek-ejekan sahaja, sambil berkata sesama sendiri, “ Inikah
dia orangnya yang mencaci tuhan-tuhan kamu ?” (Mereka berkata
demikian) sedang mereka sendiri kufur ingkar kepada Al Quran
yang mengandungi peringatan Allah yang melimpah-limpah
rahmatNya.

37@ Jenis manusia dijadikan bertabiat terburu-buru dalam
segala halya, Aku (Allah) akan perlihatkan kepada kamu tanda-
tanda kekuasaanKu, maka janganlah kamu meminta disegerakan
(kedatangannya).

38@ Dan (kerana tabiat terburu-burunya) mereka berkata,
“ Bilakah berlakunya janji azab itu, jika betul kamu orang-
orang yang berkata benar ?”.

39@ Kalaulah orang-orang kafir itu mengetahui apa yang akan
menimpa mereka ketika mereka tidak dapat menahan atau
mengelakkan api neraka dari muka dan belakang mereka, dan
mereka pula tidak diberi pertolongan, (tentulah mereka segera
beriman, dan tidak berkata demikian).

40@ (Mereka tidak diberitahu akan masa itu) bahkan (yang
dijanjikan) itu akan datang kepada mereka secara mengejut,
serta terus membingungkan mereka, maka mereka tidak akan
terdaya menolaknya, dan tidak akan diberi tempoh bertaubat.

41@ Dan demi sesungguhnya, telah diperolok-olokkan beberapa
Rasul sebelummu, lalu orang-orang yang mengejek-ejek di antara
mereka, ditimpakan balasan azab bagi apa yang mereka telah
perolok-olokkan itu.

42@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Siapakah yang dapat menjaga
keselamatan kamu pada malam dan siang daripada azab Tuhan yang
bersifat Maha Pemurah ?” (Mereka tidak memikirkan yang
demikian) bahkan mereka tetap berpaling ingkar dari pengajaran
Tuhan mereka.

43@ Tidak ada bagi mereka tuhan-tuhan yang dapat melindungi
mereka dari azab Kami. Mereka yang dipertuhankan itu tidak
dapat menolong dirinya sendiri, dan tidak pula mereka dibantu
dengan pertolongan dari pihak Kami.

44@ (Bukan benda-benda yang dipertuhankan itu yang memberi
kesenangan kepada mereka) bahkan Kami biarkan mereka dan
datuk-nenek mereka menikmati (kesenangan hidup) hingga
berlanjutanlah umur mereka (dalam keadaan yang menyebabkan
berlaku perkara yang tidak diingini mereka). Maka tidakkah
mereka melihat bahawa kami datangi daerah bumi yang mereka
kuasai dengan menguranginya sedikit demi sedikit dari
sempadan-sempadannya ? Jika demikian halnya, maka adakah
mereka yang akan menang ?

45@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Sesungguhnya aku hanyalah
memberi amaran kepada kamu dengan wahyu (Al Quran yang
diturunkan Allah kepadaku), dan sudah tentu orang-orang yang
pekak tidak dapat mendengar seruan apabila mereka diberi
amaran, (maka janganlah kamu menjadi pekak kerana azab Tuhan
amatlah berat).

46@ Dan demi sesungguhnya, jika mereka disentuh oleh sedikit
sahaja dari azab Tuhanmu, sudah tentu mereka akan berkata,
“ Aduhai celakanya kami ! Sebenarnya kami adalah orang-orang
yang zalim (terhadap diri sendiri) !”

47@ Dan (ingatlah) Kami akan mengadakan neraca timbangan yang
adil untuk (menimbang amal makhluk-makhluk pada) hari kiamat,
maka tidak ada diri sesiapa akan teraniaya sedikitpun, dan
jika (amalnya) itu seberat biji sawi (sekalipun), nescaya Kami
akan mendatangkannya (untuk ditimbang dan dihitung), dan
cukuplah Kami sebagai Penghitung.

48@ Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberi kepada Nabi Musa
dan Nabi Harun Kitab (Taurat) yang membezakan antara yang
benar dengan yang salah, dan yang menjadi cahaya yang
menerangi, serta yang mengandungi pengajaran, bagi orang-orang
yang mahu bertaqwa.

49@ Iaitu mereka yang takut (melanggar hukum-hukum) Tuhannya
semasa mereka tidak dilihat orang, dan mereka pula gerun cemas
akan (peristiwa-peristiwa yang mengerikan pada) hari kiamat.

50@ Dan Al Quran ini juga pengajaran yang berkat, yang Kami
turunkan (kepada Nabi Muhammad), dengan keadaan yang demikian
maka patutkah kamu mengingkarinya ?



51@ Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberi kepada Nabi
Ibrahim sebelum itu jalan yang benar dalam bertauhid, dan Kami
adalah mengetahui akan halnya.

52@ Ketika ia berkata kepada bapanya dan kaumnya, “ Apakah
hakikatnya patung-patung ini yang kamu bersungguh-sungguh
memujanya ?”

53@ Mereka menjawab, “ Kami dapati datuk nenek kami selalu
menyembahnya.”

54@ Ia berkata, “ Sesungguhnya kamu dan datuk-nenek kamu
adalah dalam kesesatan yang nyata.”

55@ Mereka bertanya, “ Adakah engkau membawa kepada kami
sesuatu yang benar (sebagai seorang Rasul), atau engkau dari
orang-orang yang bermain-main sahaja ?”

56@ Ia menjawab, “ (Bukan bermain-main) bahkan (untuk
menegaskan bahawa) Tuhan kamu ialah Tuhan yang mentadbirkan
langit dan bumi, Dialah yang menciptanya, dan aku adalah dari
orang-orang yang boleh memberi keterangan mengesahkan yang
demikian itu.

57@ Dan demi Allah, aku akan jalankan rancangan terhadap
berhala-berhala kamu, sesudah kamu pergi meninggalkan (rumah
berhala ini).”

58@ Lalu ia memecahkan semuanya berketul-ketul, kecuali sebuah
berhala mereka yang besar (dibiarkannya), supaya mereka
kembali kepadanya.

59@ (Setelah melihat kejadian itu) mereka bertanya, “ Siapakah
yang melakukan perbuatan yang demikian terhadap tuhan-tuhan
kami ? Sesungguhnya adalah ia dari orang-orang yang zalim.”

60@ (Setengah dari) mereka berkata, “ Kami ada mendengar
seorang anak muda bernama Ibrahim, mencacinya.”

61@ (Ketua-ketua) mereka berkata, “ Jika demikian, bawalah dia
di hadapan orang ramai supaya mereka menyaksikan (ambil
tindakan mengenainya)."

62@ (Setelah ia dibawa ke situ) mereka bertanya, “ Engkaukah
yang melakukan demikian kepada tuhan-tuhan kami, hai
Ibrahim ?”

63@ Ia menjawab, “ (Tidak) bahkan yang melakukannya ialah
(berhala) yang besar di antara mereka ini ! Maka bertanyalah
kamu kepada mereka kalau-kalau mereka dapat berkata-kata.”

64@ Maka mereka (penyembah berhala) kembali kepada diri mereka
(memikirkan hal itu) lalu berkata (sesama sendiri),
“ Sesungguhnya kamulah sendiri orang-orang yang zalim.”

65@ Kemudian mereka terbalik fikirannya kepada kesesatan, lalu
berkata, “ Sesungguhnya engkau (hai Ibrahim), telah sedia
mengetahui bahawa berhala-berhala itu tidak dapat berkata-kata
(maka betapa engkau menyuruh kami bertanya kepadanya) ?”

66@ Nabi Ibrahim berkata, “ Jika demikian, patutkah kamu
menyembah yang lain dari Allah sesuatu yang tidak dapat
mendatangkan faedah sedikitpun kepada kamu, dan juga tidak
dapat mendatangkan mudarat kepada kamu ?"

67@ “ Jijik perasaanku terhadap kamu dan apa yang kamu sembah
selain Allah ! Maka mengapa kamu tidak mahu menggunakan akal
fikiran kamu ?”

68@ (Setelah tidak dapat berhujah lagi, ketua-ketua) mereka
berkata, “ Bakarlah dia dan belalah tuhan-tuhan kamu, jika
betul kamu mahu bertindak membelanya !”

69@ Kami berfirman, “ Hai api, jadilah engkau sejuk serta
selamat sejahtera kepada Ibrahim !“.

70@ Dan mereka (dengan perbuatan membakarnya itu) hendak
melakukan angkara yang menyakitinya, lalu Kami jadikan mereka
orang-orang yang amat rugi, (kalah dengan hinanya).

71@ Dan Kami selamatkan dia dan (sepupunya) Nabi Lut ke negeri
yang Kami limpahkan berkat padanya untuk umat manusia.

72@ Dan Kami kurniakan kepadanya, Ishak (anaknya), dan Yaakub
(cucunya) sebagai tambahan, dan tiap-tiap seorang (dari
mereka) Kami jadikan orang yang soleh.

73@ Dan Kami jadikan mereka ketua-ketua ikutan, yang memimpin
(manusia ke jalan yang benar) dengan perintah Kami, dan Kami
wahyukan kepada mereka mengerjakan kebaikan, dan mendirikan
sembahyang, serta memberi zakat, dan mereka pula sentiasa
beribadat kepada Kami.

74@ Dan kepada Nabi Lut, Kami berikan hikmat kebijaksanaan dan
ilmu, dan Kami selamatkan dia dari bandar yang penduduknya
selalu melakukan perkara-perkara yang keji, sesungguhnya
mereka itu adalah kaum jahat, yang fasik, derhaka.

75@ Dan Kami masukkan Nabi Lut dalam (kumpulan mereka yang
dilimpahi) rahmat Kami, sesungguhnya dia dari orang-orang yang
soleh.

76@ Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Nuh, ketika ia menyeru
(berdoa kepada Kami) sebelum (Nabi-nabi yang tersebut) itu,
lalu Kami perkenankan doanya serta Kami selamatkan dia dan
pengikut-pengikutnya dari kesusahan yang besar.

77@ Dan Kami membelanya dari angkara kaum yang mendustakan
ayat-ayat Kami, sesungguhnya adalah mereka kaum yang jahat,
lalu Kami tenggelamkan mereka semuanya (sehingga mati lemas
dengan taufan).

78@ Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Daud dengan Nabi
Sulaiman, ketika mereka berdua menghukum mengenai tanaman-
tanaman semasa ia dirosakkan oleh kambing kaumnya pada waktu
malam, dan sememangnya Kamilah yang memerhati dan mengesahkan
hukuman mereka.

79@ Maka Kami beri Nabi Sulaiman memahami hukum yang lebih
tepat bagi masalah itu, dan masing-masing (dari mereka berdua)
Kami berikan hikmat kebijaksanaan dan ilmu (yang banyak), dan
Kami mudahkan gunung-ganang dan unggas memuji Kami bersama-
sama dengan Nabi Daud, dan adalah Kami berkuasa melakukan
semuanya itu.

80@ Dan Kami mengajar Nabi Daud membuat baju-baju besi untuk
kamu, untuk menjaga keselamatan kamu dalam mana-mana
peperangan kamu, maka adakah kamu sentiasa bersyukur ?

81@ Dan (Kami mudahkan) bagi Nabi Sulaiman angin yang kencang
tiupannya, bertiup menurut kehendaknya ke negeri yang Kami
limpahi berkat padanya, dan adalah Kami mengetahui akan tiap-
tiap sesuatu.

82@ Dan (Kami mudahkan) sebahagian dari Syaitan-syaitan untuk
menyelam baginya, serta melakukan kerja-kerja yang lain dari
itu, dan adalah Kami mengawal mereka (daripada melanggar
perintahnya).

83@ Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika ia berdoa
merayu kepada Tuhannya dengan berkata, “ Sesungguhnya aku
ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih
mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani.”

84@ Maka Kami perkenankan doa permohonannya, lalu Kami
hapuskan penyakit yang menimpanya, serta Kami kurniakan
kepadanya, keluarganya, dengan seganda lagi ramainya, sebagai
satu rahmat dari Kami dan sebagai satu peringatan bagi orang-
orang yang taat kepada Kami (supaya bersabar dan mendapat
balasan baik).

85@ Dan (demikianlah pula) Nabi-nabi Ismail dan Idris serta
ZulKifli, semuanya adalah dari orang-orang yang sabar.

86@ Dan Kami masukkan mereka dalam (kumpulan yang dilimpahi)
rahmat Kami, sesungguhnya mereka adalah dari orang-orang yang
soleh.

87@ Dan (sebutkanlah peristiwa Yunus) Zun Nun, ketika ia pergi
(meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan
ia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan
atau cubaan, (setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku) maka
ia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata,
“ Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan
Engkau (ya Allah) ! Maha Suci Engkau (daripada melakukan
aniaya, tolongkanlah daku) ! Sesungguhnya aku adalah dari
orang-orang yang menganiaya diri sendiri.”

88@ Maka Kami kabulkan permohonan doanya, dan Kami selamatkan
dia dari kesusahan yang menyelubunginya, dan sebagaimana Kami
menyelamatkannya Kami akan selamatkan orang-orang yang beriman
(ketika mereka merayu kepada Kami).

89@ Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Zakaria, ketika ia merayu
kepada Tuhannya dengan berkata, “ Wahai Tuhanku ! Janganlah
Engkau biarkan daku seorang diri (dengan tidak meninggalkan
zuriat), dan Engkaulah jua sebaik-baik yang mewarisi.”

90@ Maka Kami perkenankan doanya, dan Kami kurniakan kepadanya
(anaknya) Yahya, dan Kami perelokkan keadaan isterinya yang
mandul, (untuk melahirkan anak) baginya. (Kami limpahkan
berbagai ihsan kepada Rasul-rasul itu ialah kerana)
sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan
kebaikan, dan sentiasa berdoa kepada kami dengan penuh harapan
serta gerun takut, dan mereka pula sentiasa khusyuk (dan taat)
kepada Kami.

91@ Dan (sebutkanlah peristiwa Maryam) perempuan yang telah
menjaga kehormatan dan kesuciannya, lalu Kami tiupkan padanya
dari Roh (ciptaan) Kami, dan Kami jadikan dia dan anaknya
sebagai satu tanda (yang menunjukkan kekuasaan Kami) bagi umat
manusia.

92@ Sesungguhnya ugama Islam inilah ugama kamu, ugama yang
satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu, maka sembahlah kamu
akan Daku.

93@ (Kebanyakan manusia masih berselisihan) dan berpecah-belah
dalam urusan ugama mereka, (ingatlah) mereka semuanya akan
kembali kepada kami (untuk menerima balasan).

94@ Dengan yang demikian, sesiapa yang mengerjakan sesuatu
amal kebaikan, sedang ia beriman, maka tidaklah disia-siakan
amal usahanya, dan sesungguhnya Kami tetap menulisnya.

95@ Dan mustahil kepada penduduk sesebuah negeri yang Kami
binasakan, bahawa mereka tidak akan kembali (kepada Kami untuk
menerima balasan di akhirat kelak).

96@ (Demikianlah keadaan mereka) hingga apabila terbuka tembok
yang menyekat Yakjuj dan Makjuj, serta mereka meluru turun
dari tiap-tiap tempat yang tinggi.

97@ Dan hampirlah datangnya janji hari kiamat yang benar, maka
dengan serta-merta pandangan mata orang-orang yang kufur
ingkar terbeliak (sambil berkata dengan cemas), “ Aduhai
celakanya Kami. Sesungguhnya kami telah tinggal dalam keadaan
yang melalaikan kami daripada memikirkan perkara ini, bahkan
kami telah menjadi orang-orang yang menganiaya diri sendiri.”

98@ Sesungguhnya kamu dan apa yang kamu sembah, yang lain dari
Allah, menjadi bahan-bahan bakaran yang dilemparkan ke dalam
neraka Jahannam, kamu (sudah tetap) akan memasukinya.

99@ Kalaulah mereka (yang kamu sembah) itu tuhan-tuhan,
tentulah mereka tidak masuk ke dalam neraka, dan (ketahuilah),
semuanya (yang menyembah dan yang disembah) akan kekal dalam
neraka selama-lamanya.

100@ Mereka mendayu-dayu (kesakitan) di dalam neraka, dan
mereka pula di situ tidak dapat mendengar sesuatu yang
menyenangkan.



101@ Sesungguhnya orang-orang yang telah tetap dari dahulu
lagi memperoleh kebaikan dari Kami, mereka dijauhkan dari
neraka itu.

102@ Mereka tidak mendengar suara (julangan) api neraka itu,
dan mereka akan kekal selama-lamanya di dalam (nikmat-nikmat
Syurga) yang diingini oleh jiwa mereka.

103@ Huru-hara besar yang amat mengerikan (pada hari kiamat)
itu tidak merunsingkan mereka, dan (sebaliknya) mereka
disambut oleh malaikat-malaikat dengan berkata, “ Inilah hari
kamu (beroleh kebahagiaan), yang telah dijanjikan kepada kamu
(di dunia) dahulu.”

104@ (Ingatlah) hari Kami menggulung langit seperti menggulung
lembaran surat catitan, sebagaimana kami mulakan wujudnya
sesuatu kejadian, Kami ulangi wujudnya lagi, sebagai satu
janji yang ditanggung oleh Kami, sesungguhnya Kami tetap
melaksanakannya.

105@ Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis di dalam Kitab-
kitab yang Kami turunkan sesudah ada tulisannya pada Lauh
Mahfuz, “ Bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-
hambaKu yang soleh.”

106@ Sesungguhnya Al Quran ini mengandungi keterangan-
keterangan yang cukup bagi orang-orang yang (cita-citanya)
mengerjakan ibadat (kepada Allah dengan berilmu).

107@ Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad),
melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.

108@ Katakanlah, “ Sesungguhnya yang diwahyukan kepadaku
(mengenai ketuhanan ialah) bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan
yang bersifat Esa, maka adakah kamu mahu menurut apa yang
diwahyukan kepadaku ?”

109@ Sekiranya mereka berpaling ingkar maka katakanlah, “ Aku
telah memberitahu kepada kamu (apa yang diwahyukan kepadaku)
dengan keterangan yang jelas untuk kita bersama, dan aku tidak
mengetahui sama ada (balasan buruk) yang dijanjikan kerana
keingkaran kamu itu, sudah dekat atau masih jauh.

110@ Sesungguhnya Allah mengetahui akan perkataan yang kamu
sebutkan dengan terus terang, dan juga Ia mengetahui apa yang
kamu sembunyikan (di dalam hati).

111@ “ Dan aku tidak mengetahui (mengapa dilambatkan balasan
buruk yang dijanjikan kepada kamu itu) jangan-jangan lambatnya
menjadi satu sebab yang menambahkan azab kamu, dan di samping
itu memberi kamu kesenangan hidup hingga ke suatu masa yang
tertentu.”

112@ (Nabi Muhammad merayu dengan) berkata, “ Wahai Tuhanku,
hukumkanlah (di antara kami dengan mereka) dengan yang benar,
dan Tuhan kami ialah Yang Melimpah-limpah rahmatNya yang
dipohonkan pertolonganNya terhadap apa yang kamu sifatkan
itu.”

No comments:

Post a Comment