Wednesday, 9 September 2015

PeTanda Hari Kiamat Semakin Hampir...^^..

PeTanda Hari Kiamat Semakin Hampir...^^..

1. Sembahyang diabaikan (diringan-ringankan).

2. Keinginan nafsu syahwat digalakkan dan berleluasa disebarkan melalui iklan, buku, gambar, risalah atau filem.

3. Penjenayah menjadi pemimpin dan kebanyakannya jahil mengenai agama dan banyak memberi fatwa yang menyesatkan pengikutnya.

4. Perkara benar menjadi salah dan salah menjadi benar. Sukar untuk membezakan perkara halal dan haram kerana yang haram dianggap halal serta sebaliknya.

5. Berbohong menjadi satu keperluan dalam hidup dan menganggap jika tidak berbohong sukar untuk hidup senang.

6. Membayar zakat (harta, perniagaan dan pendapatan) dianggap beban.

7. Orang yang hidup mengikut kehendak agama ditindas dan hati mereka sentiasa merintih kerana maksiat berleluasa tetapi mereka tidak mampu mencegahnya.

8. Turun hujan di luar musimnya dan hujan tidak memberi keuntungan kepada makhluk di muka bumi.

9. Fenomena lelaki berkahwin dengan lelaki (homoseksual) dan perempuan berkeinginan kepada perempuan (lesbian) semakin menjadi-jadi.

10. Perempuan menguasai lelaki dengan memakai ubat guna-guna, sihir dan amalan syaitan lain.

11. Anak-anak mengingkari dan menderhaka ibu bapa (ibu bapa menjadi kuli dan anak menjadi tuan).

12. Kawan baik dilayan dengan kasar, manakala musuh diberi layanan baik. Kawan disangka lawan dan musuh dianggap sahabat serta memusuhi orang yang mengajak berbuat kebaikan.

13. Dosa dipandang ringan malah bangga melakukannya seperti zina, minum arak, bergaul bebas antara lelaki dan perempuan, meninggalkan sembahyang, mendedahkan aurat dan berjudi.

14. Masjid dihias indah tetapi kosong, terpulau, berkunci dan banyak berlaku kecurian barang masjid yang berharga.

15. Ramai yang sembahyang tetapi munafik dan berpura-pura. Di dalam sembahyang berjanji akan mengikut suruhan Allah tetapi di luar sembahyang melanggar perintahNya,

16. Akan datang golongan manusia dari Barat menguasai mereka yang lemah (iman) dan ramai terpengaruh dengannya seperti mengikut cara mereka berpakaian, bergaul dan suka berpesta.

17. Al-Quran dicetak dengan indah tetapi hanya dijadikan perhiasan dan jarang dibaca serta diamalkan kehendaknya.

18. Amalan riba berleluasa hingga orang alim pun terjebak sama. (mengambil bunga atau bayaran lebih dari aktiviti jual beli, serta tidak dijelaskan kadar faedah diambil dengan harga asal terbaru yang dipersetujui kedua pihak. Pihak penjual perlu menyatakan harga jualan dengan jelas selepas diambilkira bahagian keuntungan agar tidak merugikan penjual.)

19. Darah manusia tidak berharga, sering berlaku pembunuhan, peperangan dan jenayah.

20. Penganut Islam tidak mahu mengamalkan suruhan agama dan tidak mahu membela serta menyebarkannya.

21. Akan bertambah banyak penyanyi wanita (wanita yang tidak beriman adalah senjata syaitan yang baik).

22. Ramai orang kaya pergi umrah dan haji dengan tujuan melancong, yang sederhana pergi untuk berniaga dan yang miskin bermaksud meminta sedekah.

posted from Bloggeroid

Wednesday, 26 August 2015

003. Ali ‘Imran 076-100, Terjemahan Al Quran...^^..(Keluarga Imran)

003. Ali ‘Imran 076-100, Terjemahan Al Quran...^^..
(Keluarga Imran)

BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

76@ Bahkan (mereka berdosa memakan hak orang, kerana), sesiapa
yang menyempurnakan janjinya (mengenai hak orang lain) dan
bertaqwa, maka sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang
bertaqwa.

77@ Sesungguhnya orang-orang yang mengutamakan keuntungan
dunia yang sedikit dengan menolak janji Allah dan mencabuli
sumpah mereka, mereka tidak akan mendapat bahagian yang baik
pada hari akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan
mereka dan tidak akan memandang kepada mereka pada hari
Kiamat, dan tidak akan membersihkan mereka (dari dosa), dan
mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi
sakitnya.

78@ Dan sesungguhnya, di antara mereka (Ahli Kitab itu) ada
(Ketua-ketua ugamanya) yang memutar-mutar lidahnya semasa
membaca Kitab Taurat (dengan mengubah maknanya), supaya kamu
menyangkanya sebahagian dari Kitab Taurat padahal ia bukanlah
dari Kitab itu. Dan mereka pula berkata “ (bahawa) ia adalah
(datangnya) dari sisi Allah.”, padahal ia bukanlah dari sisi
Allah, dan mereka pula tergamak berkata dusta terhadap Allah
sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta).

79@ Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan
kepadanya Kitab ugama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian
ia tergamak mengatakan kepada orang ramai, “ Hendaklah kamu
menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan
perbuatan menyembah Allah.” Tetapi (sepatutnya ia berkata),
“ Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya
menyembah Allah Taala, dengan ilmu dan amal yang sempurna),
kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan
kerana kamu selalu mempelajarinya.

80@ Dan ia tidak pula patut menyuruh kamu menjadikan malaikat
dan Nabi-nabi sebagai tuhan-tuhan. Patutkah ia menyuruh kamu
dengan kekufuran sesudah kamu menjadi orang Islam ?

81@ Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia
dari Nabi-nabi (dengan firmanNya), “ Sesungguhnya apa jua
Kitab dan Hikmat yang Aku berikan kepada kamu, kemudian datang
pula kepada Kamu seorang Rasul yang mengesahkan apa yang ada
pada kamu, hendaklah kamu beriman sungguh-sungguh kepadanya,
dan hendaklah kamu bersungguh-sungguh menolongnya.” Allah
berfirman lagi (bertanya kepada mereka), “ Sudahkah kamu
mengakui dan sudahkah kamu menerima akan ikatan janjiku secara
yang demikian itu ?” Mereka menjawab, “ Kami berikrar
(mengakui dan menerimanya).” Allah berfirman lagi, “ Jika
demikian, maka saksikanlah kamu, dan Aku juga menjadi saksi
bersama-sama kamu.”

82@ Kemudian sesiapa yang berpaling ingkar sesudah mengakui
perjanjian setia itu, maka mereka itulah orang-orang yang
fasik.

83@ Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu,
mereka mencari lain dari ugama Allah ? Padahal kepadaNyalah
tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi,
sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepadaNyalah
mereka dikembalikan.

84@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Kami beriman kepada Allah,
dan kepada apa yang telah diturunkan kepada kami, dan kepada
apa yang telah diturunkan kepada Nabi-nabi, Ibrahim, dan
Ismail, dan Ishak, dan Yaakub, dan keturunannya, dan kepada
apa yang telah diberikan kepada Nabi-nabi, Musa dan Isa, dan
sekalian Nabi-nabi dari Tuhan mereka. Kami tidak membeza-
bezakan seseorang pun di antara mereka, dan kepada Allah
jualah kami berserah diri (Islam).”

85@ Dan sesiapa yang mencari ugama selain ugama Islam, maka
tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat
kelak dari orang-orang yang rugi.

86@ Bagaimana Allah akan memberi petunjuk hidayah kepada
sesuatu kaum yang kufur ingkar sesudah mereka beriman, dan
juga sesudah mereka menyaksikan bahawa Rasulullah (Nabi
Muhammad) itu adalah benar, dan telah datang pula kepada
mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata. Dan (ingatlah),
Allah tidak akan memberikan petunjuk hidayahNya kepada kaum
yang zalim.

87@ Mereka itu balasannya ialah bahawa mereka ditimpa laknat
Allah dan malaikatNya sekalian orang-orang (yang beriman).

88@ Mereka kekal di dalamnya, tidak diringankan azab seksa
daripada mereka dan mereka pula tidak diberi tempoh atau
perhatian,

89@ Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah (ingkar) itu,
serta memperbaiki keburukan mereka, maka sesungguhnya Allah
Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

90@ Sesungguhnya orang-orang yang kafir sesudah mereka
beriman, kemudian mereka bertambah kufur lagi, tidak sekali-
kali akan diterima taubat mereka, dan mereka itulah orang-
orang yang sesat.

91@ Sesungguhnya orang-orang yang kafir, lalu mati sedang
mereka tetap kafir, maka tidak sekali-kali akan diterima dari
seseorang di antara mereka, emas sepenuh bumi, walaupun ia
menebus dirinya dengan (emas yang sebanyak) itu. Mereka itu
akan mendapat azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dan
mereka pula tidak akan beroleh seorang penolong pun.

92@ Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat)
kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan
sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua
yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.

93@ Segala jenis makanan dahulu adalah halal bagi Bani Israil,
kecuali makanan yang diharamkan oleh Israil (Nabi Yaakub)
kepada dirinya sendiri sebelum diturunkan Kitab Taurat.
Katakanlah (wahai Muhammad), “ (Jika ada makanan yang
diharamkan kepada kamu (wahai Bani Israil) sebelum Kitab
Taurat diturunkan) maka bawalah kamu Kitab Taurat itu kemudian
bacalah akan dia, kalau betul kamu orang-orang yang benar.

94@ (Jika tidak) maka sesiapa yang mereka-reka kata-kata dusta
terhadap Allah sesudah yang demikian itu, maka mereka itulah
orang-orang yang zalim.

95@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Benarlah (apa yang
difirmankan oleh) Allah, maka ikutilah kamu akan ugama Nabi
Ibrahim yang ikhlas (berdasarkan Tauhid), dan bukanlah ia dari
orang-orang musyrik.

96@ Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk
manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang
di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi
umat manusia.

97@ Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang
menunjukkan kemuliaannya, di antaranya ialah) Makam Nabi
Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah
dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji
dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai
kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat
Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak
berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.

98@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Wahai Ahli Kitab ! Mengapa
kamu ingkarkan keterangan-keterangan Allah, padahal Allah
sentiasa menyaksikan apa yang kamu lakukan ?”

99@ Katakanlah, “ Wahai Ahli Kitab ! Mengapa kamu menghalangi
orang-orang yang beriman daripada menurut jalan jalan (ugama
Islam), kamu hendak menjadikan jalan Allah itu bengkok
terpesong, padahal kamu menyaksikan (kebenarannya) ? " Dan
(ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu
lakukan.

100@ " Wahai orang-orang yang beriman ! Jika kamu taat akan
sesuatu puak dari orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang
diberikan Kitab itu, nescaya mereka akan mengembalikan kamu
menjadi orang-orang kafir sesudah kamu beriman.

posted from Bloggeroid

003. Ali ‘Imran 051-075, Terjemahan Al Quran...^^..(Keluarga Imran)

003. Ali ‘Imran 051-075, Terjemahan Al Quran...^^..
(Keluarga Imran)

BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

51@ “ Sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu, oleh
itu, beribadatlah kamu kepadaNya. Inilah jalan yang lurus.”.

52@ Maka ketika Nabi Isa merasa (serta mengetahui dengan
yakin) akan kekufuran dari mereka (kaum Yahudi), berkatalah
ia, ” Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada
Allah (dengan menegakkan ugamaNya) ?”. Orang-orang
“ Hawariyyuun.” (Penyokong-penyokong Nabi Isa) berkata,
“ Kamilah penolong-penolong (utusan) Allah. Kami telah beriman
kepada Allah, dan saksikanlah (wahai Nabi Allah) sesungguhnya
kami ialah orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada
Allah)."

53@ “ Wahai Tuhan kami ! Kami telah beriman kepada apa yang
telah Engkau turunkan, dan kami mengikut RasulMu, oleh itu
suratkanlah kami beserta orang-orang yang menjadi saksi (yang
mengakui keesaanMu dan kebenaran RasulMu)."

54@ Dan orang-orang (Yahudi yang kafir) itupun merancangkan
tipu daya (hendak membunuh Nabi Isa), dan Allah pula membalas
tipu daya (mereka), dan (ingatlah), Allah sebijak-bijak yang
membalas (dan menggagalkan segala jenis) tipu daya.

55@ (Ingatlah) ketika Allah berfirman, “ Wahai Isa !
Sesungguhnya Aku akan mengambilmu dengan sempurna, dan akan
mengangkatmu ke sisiKu, dan akan membersihkanmu dari orang-
orang kafir, dan juga akan menjadikan orang-orang yang
mengikutmu mengatasi orang-orang kafir (yang tidak beriman
kepadamu), hingga ke hari kiamat. Kemudian kepada Akulah
tempat kembalinya kamu, lalu Aku menghukum (memberi keputusan)
tentang apa yang kamu perselisihkan.”

56@ Adapun orang-orang kafir, maka Aku (Allah) akan menyeksa
mereka dengan azab yang amat berat di dunia dan di akhirat,
dan mereka pula tidak akan beroleh sesiapa pun yang dapat
menolong.

57@ Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal
soleh, maka Allah akan menyempurnakan pahala mereka, dan
(ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.

58@ Demikianlah (perihal Nabi Isa), yang Kami membacakannya
kepadamu (wahai Muhammad, adalah ia) sebahagian dari hujah-
hujah keterangan (yang membuktikan kebenarannya), dan dari
Al Quran yang penuh dengan hikmat-hikmat (pengetahuan yang
tepat, lagi sentiasa terpelihara).

59@ Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi
Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam. Allah telah
menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya,
“ Jadilah engkau !” maka menjadilah ia.

60@ Perkara yang benar ialah yang datang dari Tuhanmu. Maka
jangan sekali-kali engkau menjadi dari orang-orang yang ragu-
ragu.

61@ Kemudian sesiapa yang membantahmu (wahai Muhammad)
mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar,
maka katakanlah kepada mereka, “ Marilah kita menyeru anak-
anak kami serta anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan kami
serta perempuan-perempuan kamu, dan diri kami serta diri kamu,
kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh,
serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada
orang-orang yang berdusta.”

62@ Sesungguhnya ini ialah kisah-kisah yang benar, dan
tiadalah Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah, dan
(ingatlah), sesungguhnya Allah, Dialah jua Yang Maha Kuasa,
lagi Maha Bijaksana.

63@ Kemudian kalau mereka berpaling (enggan menurut), maka
sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan orang-orang yang
berbuat kerosakan.

64@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Wahai Ahli Kitab, marilah
kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu,
iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita
tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun, dan jangan pula
sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk
dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain
dari Allah.” Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) barpaling
(enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka,
“ Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang
Islam.”

65@ " Wahai Ahli Kitab ! Mengapa kamu berani memperdebatkan
tentang (ugama) Nabi Ibrahim, padahal Taurat dan Injil tidak
diturunkan melainkan kemudian daripada (zaman) Ibrahim,
patutkah (kamu berdegil sehingga) kamu tidak mahu menggunakan
akal ?"

66@ " Ingatlah ! Kamu ini orang-orang (bodoh), kamu telah
memajukan bantahan tentang perkara yang kamu ada pengetahuan
mengenainya (yang diterangkan perihalnya dalam Kitab Taurat),
maka mengapa kamu membuat bantahan tentang perkara yang tidak
ada pada kamu sedikit pengetahuan pun bersabit dengannya ? Dan
(ingatlah), Allah mengetahui (hakikat yang sebenarnya) sedang
kamu tidak mengetahuinya."

67@ Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk ugama Yahudi,
dan bukanlah ia seorang pemeluk ugama Kristian, tetapi ia
seorang yang tetap di atas dasar Tauhid sebagai seorang Muslim
(yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah), dan ia pula
bukanlah dari orang-orang musyrik.

68@ Sesungguhnya orang-orang yang hampir sekali kepada Nabi
Ibrahim (dan berhak mewarisi ugamanya) ialah orang-orang yang
mengikutinya dan juga Nabi (Muhammad) ini serta orang-orang
yang beriman (umatnya, umat Islam). Dan (ingatlah), Allah
ialah Pelindung dan Penolong sekalian orang-orang yang
beriman.

69@ Segolongan dari Ahli Kitab suka dan berangan-angan kiranya
mereka dapat menyesatkan kamu, padahal mereka tidak akan
menyesatkan melainkan dirinya sendiri, dan mereka pula tidak
menyedari (akibat yang buruk itu).

70@ " Wahai Ahli Kitab ! Mengapa kamu kufurkan (ingkarkan)
ayat-ayat keterangan Allah padahal kamu menyaksikan
kebenaranNya ?"

71@ " Wahai Ahli Kitab ! Mengapa kamu campur adukkan yang
benar dengan yang salah, dan kamu pula menyembunyikan
kebenaran padahal kamu mengetahuinya ?"

72@ Dan berkatalah segolongan dari Ahli Kitab (sesama
sendiri), “ Berimanlah kamu kepada Al Quran yang diturunkan
kepada orang-orang yang beriman itu, pada sebelah pagi, dan
kufurlah (ingkarlah) pada petangnya, supaya mereka (merasa
ragu-ragu, lalu) kembali menjadi kafir semula.”

73@ Dan (mereka berkata lagi), “ Janganlah kamu percaya
melainkan kepada orang-orang yang mengikut ugama kamu.”
Katakanlah (wahai Muhammad), “ Sesungguhnya petunjuk yang
sebenar benarnya ialah petunjuk Allah.” (Mereka berkata pula,
“ Janganlah kamu percaya) bahawa akan diberi kepada sesiapa
seperti apa yang telah diberikan kepada kamu, atau mereka akan
dapat mengalahkan hujah kamu di sisi Tuhan kamu.” Katakanlah
(wahai Muhammad), “ Sesungguhnya limpah kurnia itu adalah
di tangan Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang
dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi
Meliputi pengetahuanNya.

74@ Allah menentukan pemberian rahmatNya itu kepada sesiapa
yang dikehendakiNya, dan (ingatlah), Allah mempunyai limpah
kurnia yang besar.

75@ Dan di antara Ahli Kitab, ada orang yang kalau engkau
amanahkan dia menyimpan sejumlah besar harta sekalipun, ia
akan mengembalikannya (dengan sempurna) kepadamu, dan ada pula
di antara mereka yang kalau engkau amanahkan menyimpan
sedinar pun, ia tidak akan mengembalikannya kepadamu kecuali
kalau engkau selalu menuntutnya. Yang demikian itu ialah
kerana mereka mengatakan, “ Tidak ada jalannya kami menanggung
dosa mengenai orang-orang yang Ummi dan, mereka pula selalu
berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa
mereka adalah berdusta)."

posted from Bloggeroid

003. Ali ‘Imran 026-050, Terjemahan Al Quran...^^..(Keluarga Imran)

003. Ali ‘Imran 026-050, Terjemahan Al Quran...^^..
(Keluarga Imran)

BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

26@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Wahai Tuhan yang mempunyai
kuasa pemerintahan ! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan
kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang
mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau
kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau
kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau
kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala
kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap
sesuatu.

27@ “ Engkaulah (wahai Tuhan) yang memasukkan waktu malam
ke dalam waktu siang, dan Engkaulah yang memasukkan waktu
siang ke dalam waktu malam. Engkaulah juga yang mengeluarkan
sesuatu yang hidup dari benda yang mati, dan Engkaulah yang
mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup. Engkau
jualah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau
kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya.”.

28@ Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang
kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang
beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian
maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam
sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada
sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir
itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat
terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah
jualah tempat kembali.

29@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Jika kamu sembunyikan apa
yang ada dalam dada kamu atau kamu melahirkannya, nescaya
Allah mengetahuinya, dan Ia mengetahui segala yang ada
di langit dan yang ada di bumi. Dan Allah Maha Kuasa atas
tiap-tiap sesuatu.

30@ (Ingatlah) hari (kiamat yang padanya) tiap-tiap seorang
akan mendapati apa sahaja kebaikan yang telah dikerjakannya,
sedia (dibentangkan kepadanya dalam surat-surat amalnya), dan
demikian juga apa sahaja kejahatan yang telah dikerjakannya.
(ketika itu tiap-tiap orang yang bersalah) ingin kalau ada
jarak yang jauh di antaranya dengan amalnya yang jahat itu.
Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap
kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan (ingatlah juga), Allah
Amat belas kasihan kepada hamba-hambaNya.

31@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Jika benar kamu mengasihi
Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta
mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

32@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Taatlah kamu kepada Allah
dan RasulNya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka
sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir.

33@ Sesungguhnya Allah telah memilih Nabi Adam, dan Nabi Nuh,
dan juga keluarga Nabi Ibrahim dan keluarga Imran, melebihi
segala umat (yang ada pada zaman mereka masing-masing).

34@ (Mereka berkembang biak sebagai) satu keturunan (zuriat)
yang setengahnya berasal dari setengahnya yang lain. Dan
(ingatlah), Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa
Mengetahui.

35@ (Ingatlah) ketika isteri Imran berkata, ” Tuhanku !
Sesungguhnya aku nazarkan kepadaMu anak yang ada dalam
kandunganku sebagai seorang yang bebas (dari segala urusan
dunia untuk berkhidmat kepadaMu semata-mata), maka terimalah
nazarku, sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha
Mengetahui.”

36@ Maka apabila ia melahirkannya, berkatalah ia, “ Wahai
Tuhanku ! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak
perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki),
(dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu)
dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan,
dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam, dan aku
melindungi dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat
keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang
dikutuk dan disingkirkan).”.

37@ Maka ia (Maryam yang dinazarkan oleh ibunya) diterima oleh
Tuhannya dengan penerimaan yang baik, dan dibesarkannya dengan
didikan yang baik, serta diserahkannya untuk dipelihara oleh
Nabi Zakaria. Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui
Maryam di Mihrab, ia dapati rezeki (buah-buahan yang luar
biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya, ” Wahai Maryam dari
mana engkau dapati (buah-buahan) ini ?” Maryam menjawab,
“ Ialah dari Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki
kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak dikira.”.

38@ Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya,
” Wahai Tuhanku ! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat
keturunan yang baik, sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar
(menerima) doa permohonan.”

39@ Lalu ia diseru oleh malaikat sedang ia berdiri sembahyang
di Mihrab, (katanya), “ Bahawasanya Allah memberi khabar yang
mengembirakanmu, dengan (mengurniakanmu seorang anak lelaki
bernama) Yahya, yang akan beriman kepada Kalimah dari Allah,
dan akan menjadi ketua, dan juga akan menahan diri dari
berkahwin, dan akan menjadi seorang Nabi dari orang-orang yang
soleh.”

40@ Nabi Zakaria berkata, ” Wahai Tuhanku ! Bagaimanakah aku
akan beroleh seorang anak, padahal sebenarnya aku telah tua
dan isteriku pula mandul ?”, Allah berfirman, “ Demikianlah
keadaannya, Allah melakukan apa yang dikehendakiNya.”.

41@ Nabi Zakaria berkata lagi, “ Wahai Tuhanku ! Jadikanlah
bagiku satu tanda (yang menunjukkan isteriku mengandung)”.
Allah berfirman, “ Tandamu itu ialah engkau tidak akan dapat
berkata-kata dengan orang ramai selama tiga hari (tiga malam)
melainkan dengan isyarat sahaja, dan ingatlah kepada Tuhanmu
(dengan berzikir) banyak-banyak, dan bertasbihlah memuji Allah
(dengan mengerjakan sembahyang), pada waktu malam dan pada
waktu pagi.”.

42@ Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika malaikat berkata,
“ Wahai Maryam ! Sesungguhnya Allah telah memilihmu, dan
mensucikanmu, dan telah memilihmu (beroleh kemuliaan) melebihi
perempuan-perempuan seluruh alam (yang sezaman denganmu).

43@ “ Wahai Maryam ! Taatlah kepada Tuhanmu, dan sujudlah
serta rukuklah (mengerjakan sembahyang) bersama-sama orang-
orang yang rukuk “.

44@ Peristiwa yang demikian ialah sebahagian dari berita-
berita ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad),
sedang engkau tidak ada bersama-sama mereka ketika mereka
mencampakkan qalam masing-masing (untuk mengundi) siapakah
di antara mereka yang akan memelihara Maryam. Dan engkau juga
(wahai Muhammad) tidak ada bersama-sama mereka ketika mereka
berkelahi (tentang perkara menjaga dan memelihara Maryam).

45@ (Ingatlah) ketika malaikat berkata, “ Wahai Maryam !
Bahawasanya Allah memberikan khabar yang mengembirakanmu,
dengan (mengurniakan seorang anak yang engkau akan kandungkan
semata-mata dengan) Kalimah daripada Allah, nama anak itu,
Al Masih, Isa Ibni Maryam, seorang yang terkemuka di dunia dan
di akhirat, dan ia juga dari orang-orang yang didampingkan
(diberi kemuliaan di sisi Allah).

46@ “ Dan ia akan berkata-kata kepada orang ramai semasa ia
masih kecil dalam buaian, dan semasa ia dewasa, dan ia adalah
dari orang-orang yang soleh.”

47@ Maryam berkata, ” Wahai Tuhanku ! Bagaimanakah aku akan
beroleh seorang anak, padahal aku tidak pernah disentuh oleh
seorang lelaki pun ?” Allah berfirman, “ Demikianlah
keadaannya, Allah menjadikan apa yang dikehendakiNya, apabila
Ia berkehendak melaksanakan sesuatu perkara, maka Ia hanyalah
berfirman kepadanya, " Jadilah engkau.", lalu menjadilah ia.”

48@ Dan Allah akan mengajarnya ilmu menulis, dan hukum-hukum
aturan ugama, dan juga kandungan kitab-kitab Taurat dan Injil.

49@ Dan (akan melantiknya) menjadi seorang Rasul kepada Bani
Israil, (dengan menegaskan kepada mereka), “ Sesungguhnya aku
telah datang kepada kamu, dengan membawa satu tanda (mukjizat)
dari tuhan kamu, iaitu aku boleh membuat untuk kamu dari tanah
liat seperti bentuk burung, kemudian aku tiup padanya lalu
menjadilah ia seekor burung (yang hidup) dengan izin Allah,
dan juga aku boleh menyembuhkan orang yang buta dan orang yang
sopak, dan aku boleh menghidupkan kembali orang-orang yang
mati dengan izin Allah, dan juga aku boleh memberitahu kepada
kamu tentang apa yang kamu makan dan apa yang kamu simpan
di rumah kamu. Sesungguhnya perkara-perkara yang demikian itu,
mengandungi satu tanda (mukjizat) bagi kamu (yang membuktikan
kebenaran bahawa aku seorang Rasul yang diutus oleh Allah
kepada kamu), jika kamu orang-orang yang (mahu) beriman.

50@ “ Dan juga (aku datang kepada kamu ialah untuk)
mengesahkan kebenaran Kitab Taurat yang diturunkan dahulu
daripadaku, dan untuk menghalalkan bagi kamu sebahagian (dari
perkara-perkara) yang telah diharamkan kepada kamu, dan juga
aku datang kepada kamu dengan membawa satu mukjizat dari Tuhan
kamu. Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah dan taatlah
kepadaku.

posted from Bloggeroid

Tuesday, 18 August 2015

003. Ali ‘Imran 001-025, Terjemahan Al Quran...^^..(Keluarga Imran)

003. Ali ‘Imran 001-025, Terjemahan Al Quran...^^..
(Keluarga Imran)

BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

1@ Alif, Laam, Miim.

2@ Allah tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia,
Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan
sekalian makhlukNya.

3@ Ia menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci
(Al Quran) dengan mengandungi kebenaran, yang mengesahkan isi
Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripadanya, dan
Ia juga yang menurunkan Kitab-kitab Taurat dan Injil.

4@ Sebelum (Al Quran diturunkan), menjadi petunjuk bagi umat
manusia. Dan Ia juga yang menurunkan Al Furqaan (yang
membezakan antara yang benar dengan yang salah). Sesungguhnya
orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah
itu, bagi mereka azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah),
Allah Maha Kuasa, lagi berhak membalas dengan azab seksa
(kepada golongan yang bersalah).

5@ Sesungguhnya Allah tidak tersembunyi kepadaNya sesuatu pun
yang ada di bumi dan juga yang ada di langit.

6@ Dialah yang membentuk rupa kamu dalam rahim (ibu kamu)
sebagaimana yang dikehendakiNya. Tiada Tuhan (yang berhak
disembah) melainkan Dia, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

7@ Dialah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci
Al Quran. Sebahagian besar dari Al Quran itu ialah ayat-ayat
“ Muhkamaat” (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas
maksudnya), ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi
Al Quran. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat “ Mutasyaabihaat”
(yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu
(timbulah fahaman yang berlainan menurut kandungan hati
masing-masing), adapun orang-orang yang ada dalam hatinya
kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut
apa yang samar-samar dari Al Quran untuk mencari fitnah dan
mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang
disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui Takwilnya
(tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-
orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam
ilmu-ilmu ugama, berkata, ” Kami beriman kepadanya, semuanya
itu datangnya dari sisi Tuhan kami.” Dan tiadalah yang
mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang
berfikiran.

8@ (Mereka berdoa dengan berkata), “ Wahai Tuhan kami !
Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri
petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah
rahmat dari sisiMu, sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang
melimpah-limpah pemberianNya."

9@ “ Wahai Tuhan kami ! Sesungguhnya Engkaulah yang akan
menghimpunkan sekalian manusia, untuk (menerima balasan pada)
suatu hari (hari kiamat) yang tidak ada syak padanya”.
Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janjiNya.

10@ Sebenarnya harta benda orang-orang kafir, dan juga anak
pinak mereka tidak sekali-kali akan menyelamatkan mereka dari
(azab seksa) Allah sedikit juapun, dan mereka itulah bahan
bakaran api neraka.

11@ (Keadaan orang-orang kafir itu) sama seperti keadaan kaum
Firaun, dan orang-orang yang terdahulu dari mereka, mereka
mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, lalu Allah menyeksa
mereka disebabkan dosa-dosa mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha
berat azab seksaNya.

12@ Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang kafir itu,
“ Kamu akan dikalahkan (di dunia ini) dan akan dihimpunkan
(pada hari kiamat) ke dalam neraka Jahannam, dan itulah
seburuk-buruk tempat yang disediakan”.

13@ Sesungguhnya telah ada satu tanda (bukti) bagi kamu pada
(peristiwa) dua pasukan yang telah bertemu (di medan perang),
satu pasukan (orang-orang Islam) berperang pada jalan Allah
(kerana mempertahankan ugama Allah), dan yang satu lagi dari
golongan kafir musyrik. Mereka (yang kafir itu) melihat orang-
orang Islam dengan pandangan mata biasa (dua kali ramainya
berbanding dengan mereka sendiri). Dan Allah sentiasa
menguatkan sesiapa yang dikehendakiNya, dengan memberikan
pertolonganNya. Sesungguhnya pada peristiwa itu terdapat satu
pengajaran yang memberi insaf bagi orang-orang yang berfikiran
(yang celik mata hatinya).

14@ Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia, kesukaan
kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-
perempuan dan anak pinak, harta benda yang banyak bertimbun-
timbun, dari emas dan perak, kuda peliharaan yang bertanda
lagi terlatih, dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun
tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan
(ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-
baiknya (iaitu Syurga).

15@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Mahukah supaya aku
khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya
itu ? Iaitu bagi orang-orang yang bertaqwa disediakan di sisi
Tuhan mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya
sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga
pasangan-pasangan/ isteri-isteri yang suci bersih, serta
(beroleh pula) keredaan dari Allah”. Dan (ingatlah), Allah
sentiasa Melihat akan hamba-hambaNya.

16@ (Iaitu) orang-orang yang berdoa dengan berkata, “ Wahai
Tuhan kami ! Sesungguhnya kami telah beriman, oleh itu,
ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari azab
neraka.”

17@ (Dan juga) orang-orang yang sabar (dalam menjunjung
perintah Allah), dan orang-orang yang benar (perkataan dan
hatinya), dan orang-orang yang sentiasa taat (akan perintah
Allah), dan orang-orang yang membelanjakan hartanya (pada
jalan Allah), dan orang-orang yang beristighfar (memohon
ampun) pada waktu sahur.

18@ Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan
dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak
disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh
alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang
yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian),
tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha
Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

19@ Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah
ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang
diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai ugama Islam dan
enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka
pengetahuan yang sah tentang kebenarannya, (perselisihan itu
pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan
mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-
ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera
hitungan hisabNya.

20@ Oleh sebab itu jika mereka berhujah (menyangkal dan)
membantahmu (Wahai Muhammad), maka katakanlah, “ Aku telah
berserah diriku kepada Allah dan demikian juga orang-orang
yang mengikutku”. Dan bertanyalah (Wahai Muhammad) kepada
orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberi Kitab, dan orang-
orang yang “ Ummi” (orang-orang musyrik Arab), “ Sudahkah kamu
mematuhi dan menurut (ugama Islam yang aku bawa itu) ?”
Kemudian jika mereka memeluk Islam, maka sebenarnya mereka
telah memperoleh petunjuk, dan jika mereka berpaling (tidak
mahu menerima Islam), maka sesungguhnya kewajipanmu hanyalah
menyampaikan (dakwah Islam itu). Dan (ingatlah), Allah
sentiasa Melihat (tingkah laku) sekalian hambaNya.

21@ Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat
keterangan Allah dan membunuh Nabi-nabi dengan jalan yang
tidak benar, serta membunuh orang-orang yang menyeru manusia
supaya berlaku adil maka sampaikanlah berita yang
mengembirakan mereka, dengan azab seksa yang tidak terperi
sakitnya.

22@ Mereka itulah orang-orang yang telah rosak amal
perbuatannya di dunia dan di akhirat, dan mereka tidak akan
memperoleh sesiapa pun yang dapat memberi pertolongan.

23@ Tidakkah engkau pelik memikirkan (wahai Muhammad) terhadap
sikap orang-orang (Yahudi) yang telah diberikan sebahagian
dari Kitab Taurat, mereka diseru kepada Kitab Allah supaya
Kitab itu dijadikan hakim (mengenai perkara-perkara yang
timbul) di antara mereka. Ahli-ahli satu puak dari mereka
berpaling ingkar sambil menolak (seruan dan hukum Kitab Allah
itu).

24@ Yang demikian ialah disebabkan mereka (mendakwa dengan)
berkata, “ Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api
neraka melainkan beberapa hari sahaja yang boleh dihitung.”.
Mereka (sebenarnya) telah diperdayakan dalam ugama mereka,
oleh dakwaan-dakwaan dusta yang mereka telah ada-adakan.

25@ Oleh itu, bagaimana pula (hal keadaan mereka) ketika Kami
himpunkan mereka pada hari (kiamat), yang tidak ada syak
padanya, dan (pada hari itu juga) disempurnakan kepada tiap-
tiap seorang, balasan apa yang ia telah usahakan, sedang
mereka masing-masing tidak akan dianiaya.

posted from Bloggeroid

Monday, 10 August 2015

002. Al-Baqarah 251-286, Terjemahan Al Quran...^^..(Lembu Betina)

002. Al-Baqarah 251-286, Terjemahan Al Quran...^^..
(Lembu Betina)

BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

251@ Oleh sebab itu, mereka dapat mengalahkan tentera Jalut
dengan izin Allah, dan Nabi Daud (yang turut serta dalam
tentera Talut) membunuh Jalut. Dan (sesudah itu) Allah
memberikan kepadanya (Nabi Daud) kuasa pemerintahan, dan
hikmat (pangkat kenabian) serta diajarkannya apa yang
dikehendakiNya. Dan kalaulah Allah tidak menolak setengah
manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan setengahnya yang lain
(yang beriman dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini,
akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurniaNya kepada sekalian
alam.

252@ Itulah ayat-ayat keterangan Allah yang kami bacakan dia
kepadamu (wahai Muhammad) dengan benar, dan sesungguhnya
engkau adalah salah seorang dari Rasul-rasul (yang diutuskan
oleh) Allah.

253@ Rasul-rasul, Kami lebihkan sebahagian daripada mereka
atas sebahagian yang lain (dengan kelebihan-kelebihan yang
tertentu). Di antara mereka ada yang Allah berkata-kata
dengannya, dan ditinggikanNya (pangkat) sebahagian daripada
mereka beberapa darjat kelebihan. Dan Kami berikan Nabi Isa
ibni Maryam beberapa keterangan kebenaran (mukjizat), serta
Kami kuatkan dia dengan Ruhul Qudus (Jibril). Dan sekiranya
Allah menghendaki nescaya orang-orang yang datang kemudian
daripada Rasul-rasul itu tidak berbunuh-bunuhan sesudah datang
kepada mereka keterangan-keterangan (yang dibawa oleh Rasul
mereka). Tetapi mereka bertelingkah, maka timbulah di antara
mereka, orang yang beriman, dan orang yang kafir. Dan kalaulah
Allah menghendaki tentulah mereka tidak berbunuh-bunuhan,
tetapi Allah melakukan apa yang dikehendakiNya.

254@ Wahai orang-orang yang beriman ! Sebarkanlah sebahagian
dari apa yang telah Kami berikan kepada kamu, sebelum tibanya
hari (kiamat) yang tidak ada jual-beli padanya, dan tidak ada
kawan teman (yang memberi manfaat), serta tidak ada pula
pertolongan syafaat. Dan orang-orang kafir, mereka itulah
orang-orang yang zalim.

255@ * Ayatul Kursi (The Throne Verse)*
Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang
Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian
makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki
segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa
yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan
dengan izinNya. Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka
dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak
mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan
apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya
Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan
bumi, dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga
serta memelihara keduanya. Dan Dialah Yang Maha Tinggi (darjat
kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya).

256@ Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana
sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan
(kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan
ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah
berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak
akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha
Mengetahui.

257@ Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang
yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur)
kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, penolong-
penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari
cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli
neraka, mereka kekal di dalamnya.

258@ Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad)
tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan
sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang
itu kuasa pemerintahan ? Ketika Nabi Ibrahim berkata,
“ Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan.” Ia
menjawab, “ Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan”. Nabi
Ibrahim berkata lagi, “ Sesungguhnya Allah menerbitkan
matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah dia dari barat ?”
Maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu).
Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada
kaum yang zalim.

259@ Atau (tidakkah engkau pelik memikirkan wahai Muhammad)
tentang orang yang melalui sebuah negeri yang telah runtuh
segala bangunannya, orang itu berkata, “ Bagaimana Allah akan
menghidupkan (membina semula) negeri ini sesudah matinya
(rosak binasanya) ? ” Lalu ia dimatikan oleh Allah (dan
dibiarkan tidak berubah) selama seratus tahun, kemudian Allah
hidupkan dia semula lalu bertanya kepadanya, “ Berapa lama
engkau tinggal (di sini) ?” Ia menjawab, “ Aku telah tinggal
(di sini) sehari atau setengah hari”. Allah berfirman,
” (Tidak benar), bahkan engkau telah tinggal (berkeadaan
demikian) selama seratus tahun. Oleh itu, perhatikanlah kepada
makanan dan minumanmu, masih tidak berubah keadaannya, dan
perhatikanlah pula kepada keldaimu (hanya tinggal tulang-
tulangnya bersepah), dan Kami (lakukan ini ialah untuk)
menjadikan engkau sebagai tanda (kekuasaan Kami) bagi umat
manusia, dan lihatlah kepada tulang-tulang (keldai) itu,
bagaimana Kami menyusunnya kembali kemudian Kami menyalutnya
dengan daging “. Maka apabila telah jelas kepadanya (apa yang
berlaku itu), berkatalah dia, " Sekarang aku mengetahuinya
(dengan yakin), sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap
sesuatu”.

260@ Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim (merayu dengan)
berkata, “ Wahai Tuhanku ! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana
Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang mati ?” Allah
berfirman, “ Adakah engkau belum percaya (kepada
kekuasaanku) ?” Nabi Ibrahim menjawab, “ Bahkan (aku percaya
dan yakin), akan tetapi (aku memohon yang demikian ialah)
supaya tenteram hatiku (yang amat ingin menyaksikannya)”.
Allah berfirman, “ (Jika demikian), ambillah empat ekor
burung, kemudian kumpulkanlah olehmu (dan cincanglah
semuanya). Setelah itu letakkanlah di atas tiap-tiap sebuah
bukit sebahagian daripadanya. Kemudian serulah burung-burung
itu nescaya semuanya akan datang kepadamu dengan segera”. Dan
ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

261@ Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya
pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh
menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula
mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan
melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan
Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu
pengetahuanNya.

262@ Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan
(ugama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang
mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit
(pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti
(pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan
mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian
yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan
berdukacita.

263@ (Menolak peminta-peminta sedekah) dengan perkataan yang
baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik
daripada sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan
atau perkataan yang) menyakitkan hati. Dan (ingatlah), Allah
Maha Kaya, lagi Maha Penyabar.

264@ Wahai orang-orang yang beriman ! Jangan rosakkan (pahala
amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan
(kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal
sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak
menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak
beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang
itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya,
kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya
bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya
orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan
mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan.
Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum
yang kafir.

265@ Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya
kerana mencari keredaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan
perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti
sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat,
lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak
ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk
menyiraminya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan apa
yang kamu lakukan.

266@ Adakah seseorang di antara kamu suka mempunyai sebuah
kebun dari pokok tamar (kurma) dan anggur, yang mengalir
di bawahnya beberapa sungai, ia juga mempunyai dalam kebun itu
segala jenis buah-buahan, sedang ia sudah tua dan mempunyai
banyak anak cucu yang masih kecil, lalu kebun itu diserang
oleh angin taufan yang membawa api sehingga terbakarlah ia ?
Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu keterangan-
keterangan, supaya kamu berfikir (dan mengambil iktibar).

267@ Wahai orang-orang yang beriman ! Belanjakanlah (pada
jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik,
dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk
kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk
daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian
zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil
yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan
memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah
Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.

268@ Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan
kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma),
dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat
bakhil kedekut), sedang Allah menjanjikan kamu (dengan)
keampunan daripadaNya serta kelebihan kurniaNya. Dan
(ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa
Meliputi PengetahuanNya.

269@ Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna)
kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang
ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka
sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan
tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan)
melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.

270@ Dan (ketahuilah), apa sahaja yang kamu belanjakan
(dermakan) atau apa sahaja yang kamu nazarkan maka
sesungguhnya Allah mengetahuiNya dan (ingatlah), orang-orang
yang zalim itu tidak ada sesiapa pun yang dapat menolongnya.

271@ Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang),
maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang
baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu
serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu
adalah baik bagi kamu, dan Allah akan menghapuskan dari kamu
sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah),
Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu
lakukan.

272@ Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Muhammad) menjadiKan
mereka (yang kafir) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu
hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah yang
memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa yang
dikehendakinya (menurut undang-undang peraturanNya). Dan apa
jua harta yang halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah)
maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri
dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana
menuntut keredaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan dari
harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya)
kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak
dikurangkan.

273@ (Pemberian sedekah itu) ialah bagi orang-orang fakir
miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan
khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang
tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan
sebagainya), mereka itu disangka, orang kaya (oleh orang yang
tidak mengetahui halnya), kerana mereka menahan diri daripada
meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) sifat-
sifat dan keadaan masing-masing, mereka tidak meminta kepada
orang ramai dengan mendesak-desak. Dan (ketahuilah), apa jua
yang kamu belanjakan dari harta yang halal maka sesungguhnya
Allah sentiasa Mengetahuinya.

274@ Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya
pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka,
maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada
kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik)
terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita.

275@ Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat
berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk
Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu.
Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan, “ Bahawa
sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba”. Padahal
Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan
mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai
kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti
(dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu
(sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan
perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang
mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah
ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.

276@ Allah susutkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan
mengambil) riba dan Ia pula mengembangkan (berkat harta yang
dikeluarkan) sedekah-sedekah dan zakatnya. Dan Allah tidak
suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran,
dan selalu melakukan dosa.

277@ Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh,
dan mengerjakan sembahyang serta memberikan zakat, mereka
beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan
(dari berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan
mereka pula tidak akan berdukacita.

278@ Wahai orang-orang yang beriman ! Bertaqwalah kamu kepada
Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba
(yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar
kamu orang- orang yang beriman.

279@ Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah
mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu, akan adanya
peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak
menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang
sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang
demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu
juga tidak dizalimi oleh sesiapa.

280@ Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami
kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang
hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu
(kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu
mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).

281@ Dan peliharalah diri kamu dari huru-hara hari (kiamat)
yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah. Kemudian
akan disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut apa yang
telah diusahakannya, sedang mereka tidak dikurangkan
balasannya sedikitpun.

282@ Wahai orang-orang yang beriman ! Apabila kamu menjalankan
sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga
ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis
(hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis
di antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah
seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah
mengajarkannya. Oleh itu, hendaklah ia menulis dan hendaklah
orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu
dengan jelas). Dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah
Tuhannya, dan janganlah ia mengurangkan sesuatu pun dari
hutang itu. Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau
lemah atau ia sendiri tidak dapat hendak merencanakan (isi
itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil
benar), dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki
dari kalangan kamu. Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang
lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan
dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika
yang seorang lupa dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu
maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi. Dan jangan
saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi.
Dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh
masanya itu, sama ada kecil atau besar jumlahnya. Yang
demikian itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih membetulkan
(menguatkan) keterangan saksi, dan juga lebih hampir kepada
tidak menimbulkan keraguan kamu. Kecuali perkara itu mengenai
perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama sendiri, maka
tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya. Dan adakanlah saksi
apabila kamu berjual-beli. Dan janganlah mana-mana jurutulis
dan saksi itu disusahkan. Dan kalau kamu melakukan (apa yang
dilarang itu), maka sesungguhnya yang demikian adalah
perbuatan fasik (derhaka) yang ada pada kamu. Oleh itu
hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah, dan (ingatlah), Allah
(dengan keterangan ini) mengajar kamu, dan Allah sentiasa
Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

283@ Dan jika kamu berada dalam musafir (lalu kamu berhutang
atau memberi hutang yang bertempoh), sedang kamu tidak
mendapati jurutulis, maka hendaklah diadakan barang gadaian
untuk dipegang (oleh orang yang memberi hutang). Kemudian
kalau yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang
(dengan tidak payah bersurat, saksi dan barang gadaian), maka
hendaklah orang (yang berhutang) yang dipercayai itu
menyempurnakan bayaran hutang yang diamanahkan kepadanya, dan
hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya. Dan janganlah
kamu (wahai orang-orang yang menjadi saksi) menyembunyikan
perkara yang dipersaksikan itu. Dan sesiapa yang
menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang
berdosa hatinya. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengetahui
akan apa yang kamu kerjakan.

284@ Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah
kepunyaan Allah. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada
di dalam hati kamu atau kamu menyembunyikannya, nescaya Allah
akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu. Kemudian Ia
mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan menyeksa
sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang
peraturanNya). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap
sesuatu.

285@ Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan
kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman,
semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan
Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya. (Mereka berkata), “ Kami
tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-
rasulnya”. Mereka berkata lagi, " Kami dengar dan kami taat
(kami pohonkan) keampunanMu wahai Tuhan kami, dan kepadaMu
jualah tempat kembali."

286@ Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang
terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang
diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang
diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata), " Wahai Tuhan
kami ! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa
atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau
bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah
Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada
kami. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami
apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah
kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah
rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami, oleh itu,
tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum
yang kafir."

posted from Bloggeroid

002. Al-Baqarah 226-250, Terjemahan Al Quran...^^..(Lembu Betina)

002. Al-Baqarah 226-250, Terjemahan Al Quran...^^..
(Lembu Betina)

BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

226@ Kepada orang-orang yang bersumpah tidak akan mencampuri
isteri-isteri mereka, diberikan tempoh empat bulan. Setelah
itu jika mereka kembali (mencampurinya), maka sesungguhnya
Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

227@ Dan jika mereka berazam hendak menjatuhkan talak
(menceraikan isteri), maka sesungguhnya Allah Maha Mendengar,
lagi Maha mengetahui.

228@ Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu
dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali
suci (dari haid). Dan tidaklah halal bagi mereka
menyembunyikan (tidak memberitahu tentang) anak yang dijadikan
oleh Allah dalam kandungan rahim mereka, jika betul mereka
beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan suami-suami mereka
berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu dalam
masa idah mereka jika suami-suami bertujuan hendak berdamai.
Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti
kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan
cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak), dalam
pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu
darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). Dan
(ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

229@ Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali.
Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya
itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan
(menceraikannya) dengan cara yang baik dan tidaklah halal bagi
kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan
kepada mereka (isteri-isteri yang diceraikan itu) kecuali jika
keduanya (suami isteri takut tidak dapat menegakkan aturan-
aturan hukum Allah. Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-
duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka
tidaklah mereka berdosa mengenai bayaran (tebus talak) yang
diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai
pengambilan suami akan bayaran itu). Itulah aturan-aturan
hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya, dan sesiapa yang
melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-
orang yang zalim.

230@ Sesudah (diceraikan dua kali), itu jika diceraikan pula
(bagi kali yang ketiga) maka perempuan itu tidak halal lagi
baginya sesudah itu, sehingga ia berkahwin dengan suami yang
lain. Setelah itu kalau ia diceraikan (oleh suami baharu itu
dan habis idahnya), maka mereka berdua (suami lama dan bekas
isterinya) tidaklah berdosa untuk kembali (maskahwin semula),
jika mereka kuat menyangka akan dapat menegakkan aturan-aturan
hukum Allah dan itulah aturan-aturan hukum Allah,
diterangkannya kepada kaum yang (mahu) mengetahui dan
memahaminya.

231@ Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu)
kemudian mereka (hampir) habis tempoh idahnya maka bolehlah
kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik atau lepaskan
mereka dengan cara yang baik. Dan janganlah kamu pegang mereka
(rujuk semula dengan maksud memberi mudarat), kerana kamu
hendak melakukan kezaliman (terhadap mereka), dan sesiapa yang
melakukan demikian maka sesungguhnya dia menganiaya dirinya
sendiri. Dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat hukum Allah
itu sebagai ejek-ejekan (dan permainan). Dan kenanglah nikmat
Allah yang diberikan kepada kamu, (dan kenanglah) apa yang
diturunkan kepada kamu iaitu Kitab (Al Quran) dan ilmu hikmat,
untuk memberi pengajaran kepada kamu dengannya. Dan
bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah, sesungguhnya Allah
Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

232@ Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu), lalu
habis masa idah mereka, maka janganlah kamu (wahai wali-wali
nikah) menahan mereka daripada berkahwin semula dengan (bekas)
suami mereka, apabila mereka (lelaki dan perempuan itu)
bersetuju sesama sendiri dengan cara yang baik (yang
dibenarkan oleh Syarak). Demikianlah diberi ingatan dan
pengajaran dengan itu kepada sesiapa di antara kamu yang
beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah
lebih baik bagi kamu dan lebih suci. Dan (ingatlah), Allah
mengetahui (akan apa jua yang baik untuk kamu) sedang kamu
tidak mengetahuinya.

233@ Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama
dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan
penyusuan itu, dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan
pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah
diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah
menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan
(jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana
anaknya, dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut
(jika si bapa tiada). Kemudian jika keduanya (suami isteri)
mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah
dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua
tidaklah salah (melakukannya). Dan jika kamu hendak beri anak-
anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya
bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu
dengan cara yang patut. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah,
serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa
jua yang kamu lakukan.

234@ Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu,
sedang mereka meninggalkan isteri-isteri, hendaklah isteri-
isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan
sepuluh hari. Kemudian apabila telah habis masa idahnya itu
maka tidak ada salahnya bagi kamu mengenai apa yang dilakukan
mereka pada dirinya menurut cara yang baik (yang diluluskan
oleh Syarak). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui dengan
mendalam akan apa jua yang kamu lakukan.

235@ Dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu
bayangkan (secara sindiran), untuk meminang perempuan (yang
kematian suami dan masih dalam idah), atau tentang kamu
menyimpan dalam hati (keinginan berkahwin dengan mereka).
Allah mengetahui bahawa kamu akan menyebut-nyebut atau
mengingati) mereka, (yang demikian itu tidaklah salah), akan
tetapi janganlah kamu membuat janji dengan mereka di dalam
sulit, selain dari menyebutkan kata-kata (secara sindiran)
yang sopan. Dan janganlah kamu menetapkan dengan bersungguh-
sungguh (hendak melakukan) akad nikah sebelum habis idah yang
ditetapkan itu. Dan ketahuilah sesungguhnya Allah mengetahui
apa yang ada dalam hati kamu, maka beringat-ingatlah kamu akan
kemurkaanNya, dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha
Pengampun, lagi Maha Penyabar.

236@ Tidaklah kamu bersalah dan tidaklah kamu menanggung
(bayaran maskahwin) jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu
sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka atau (sebelum)
kamu menetapkan maskahwin untuk mereka. Walaupun demikian,
hendaklah kamu memberi “ Mut’ah” (pemberian saguhati) kepada
mereka (yang diceraikan itu). Iaitu, suami yang senang
(hendaklah memberi saguhati itu) menurut ukuran kemampuannya,
dan suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya, sebagai
pemberian saguhati menurut yang patut, lagi menjadi satu
kewajipan atas orang-orang (yang mahu) berbuat kebaikan.

237@ Dan jika kamu ceraikan mereka sebelum kamu sentuh
(bercampur) dengan mereka, padahal kamu sudah menetapkan kadar
maskahwin untuk mereka, maka mereka berhak mendapat separuh
dari maskahwin yang telah kamu tetapkan itu, kecuali jika
mereka memaafkannya (tidak menuntutnya) atau (pihak) yang
memegang ikatan nikah itu memaafkannya (memberikan maskahwin
itu dengan sepenuhnya). Dan perbuatan kamu bermaaf-maafan
(halal menghalalkan) itu lebih hampir kepada taqwa. Dan
janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama
sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang
kamu kerjakan.

238@ Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna
pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang
Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam
sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.

239@ Dan jika kamu takuti (sesuatu bahaya) maka sembahyanglah
sambil berjalan atau berkenderaan, kemudian apabila kamu telah
aman sentosa, maka hendaklah kamu mengingati Allah (dengan
mengerjakan sembahyang secara yang lebih sempurna),
sebagaimana Allah telah mengajar kamu apa yang kamu tidak
mengetahuinya.

240@ Dan orang-orang yang (hampir) mati di antara kamu serta
meninggalkan isteri, hendaklah berwasiat untuk isteri-isteri
mereka, iaitu diberi nafkah saguhati (makan, pakai dan tempat
tinggal) hingga setahun lamanya, dengan tidak disuruh pindah
dari tempat tinggalnya. Kemudian jika mereka keluar (dari
tempat tinggalnya dengan kehendaknya sendiri) maka tidaklah
kamu bersalah (wahai wali waris si mati) mengenai apa yang
mereka (isteri-isteri itu) lakukan pada diri mereka (dari
perkara yang patut yang tidak dilarang Syarak) itu dan
ingatlah, Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

241@ Dan isteri-isteri yang diceraikan berhak mendapat Mut’ah
(pemberian saguhati) dengan cara yang patut, sebagai satu
tanggungan yang wajib atas orang-orang yang taqwa.

242@ Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu hukum-hukumnya
supaya kamu memahaminya.

243@ Tidakkah engkau ketahui (wahai Muhammad) tentang orang-
orang yang keluar (melarikan diri) dari kampung halamannya
kerana takutkan mati, sedang mereka beribu-ribu ramainya ?
Maka Allah berfirman kepada mereka, ” Matilah kamu ” kemudian
Allah menghidupkan mereka. Sesungguhnya Allah sentiasa
melimpah-limpah kurniaNya kepada manusia (seluruhnya), tetapi
kebanyakan manusia tidak bersyukur.

244@ Dan berperanglah kamu pada jalan Allah (kerana
mempertahankan kebenaran ugamaNya), dan ketahuilah,
sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

245@ Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada
Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah
melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya ?
Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan
(pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.

246@ Tidakkah engkau ketahui (wahai muhammad), tentang (kisah)
ketua-ketua dari Bani lsrail sesudah (wafatnya) Nabi Musa,
ketika mereka berkata kepada seorang Nabi mereka, “ Lantiklah
seorang raja untuk kamu, supaya boleh kami berperang (bersama-
sama dengannya) pada jalan Allah.” Nabi mereka menjawab,
“ Tidakkah harus, jika kamu kelak diwajibkan berperang, kamu
tidak akan berperang ?.” Mereka berkata, “ Mengapa pula kami
tidak akan berperang pada jalan Allah, sedang kami telah
diusir dari kampung halaman kami, dan (dari) anak-anak kami ?”
Maka apabila perang itu diwajibkan atas mereka, mereka
membelakangkan kewajipan itu, kecuali sebahagian kecil dari
mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan orang-orang
yang zalim.

247@ Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka, “ Bahawasanya
Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu." Mereka
menjawab, “ Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami
sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu
daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta
kekayaan ?” Nabi mereka berkata, ” Sesungguhnya Allah telah
memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah
mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan
kegagahan tubuh badan”. Dan (ingatlah), Allah jualah yang
memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang
dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan
pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya.

248@ Dan Nabi mereka, berkata lagi kepada mereka,
“ Sesungguhnya tanda kerajaan Talut itu (yang menunjukkan
benarnya dari Allah) ialah datangnya kepada kamu peti Tabut
yang mengandungi (sesuatu yang memberi) ketenteraman jiwa dari
Tuhan kamu, dan (berisi) sebahagian dari apa yang telah
ditinggalkan oleh keluarga Nabi-nabi Musa dan Harun, peti
Tabut itu dibawa oleh malaikat. Sesungguhnya peristiwa
kembalinya Tabut itu mengandungi satu tanda keterangan bagi
kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman”.

249@ Kemudian apabila Talut keluar bersama-sama tenteranya,
berkatalah ia, “ Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan
sebatang sungai, oleh itu sesiapa di antara kamu yang meminum
airnya maka bukanlah ia dari pengikutku, dan sesiapa yang
tidak merasai airnya maka sesungguhnya ia dari pengikutku,
kecuali orang yang menceduk satu cedukan dengan tangannya”.
(Sesudah diingatkan demikian) mereka meminum juga dari sungai
itu (dengan sepuas-puasnya), kecuali sebahagian kecil dari
mereka. Setelah Talut bersama-sama orang-orang yang beriman
menyeberangi sungai itu, berkatalah orang-orang yang meminum
(sepuas-puasnya), “ Kami pada hari ini tidak terdaya menentang
Jalut dan tenteranya”. Berkata pula orang-orang yang yakin
bahawa mereka akan menemui Allah, “ Berapa banyak (yang pernah
terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan
yang banyak dengan izin Allah, dan Allah (sentiasa) bersama-
sama orang-orang yang sabar”.

250@ Dan apabila mereka (yang beriman itu) keluar menentang
Jalut dan tenteranya, mereka berdoa dengan berkata, “ Wahai
Tuhan kami ! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah
tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum
yang kafir."

posted from Bloggeroid