Monday, 10 August 2015

002. Al-Baqarah 126-150, Terjemahan Al Quran...^^.. (Lembu Betina)

002. Al-Baqarah 126-150, Terjemahan Al Quran...^^..
(Lembu Betina)

BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

126@ Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata,
“ Wahai Tuhanku ! Jadikanlah (negeri Makkah) ini, negeri yang
aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-
buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman
kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka”. Allah
berfirman, ” (Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang
kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang
menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku
memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah)
seburuk-buruk tempat kembali”.

127@ Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi
Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah)
itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata, “ Wahai Tuhan
kami ! Terimalah daripada kami (amal kami), sesungguhnya
Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui."

128@ “ Wahai Tuhan kami ! Jadikanlah kami berdua, orang-orang
Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan jadikanlah daripada
keturunan kami, umat Islam (yang berserah diri) kepadamu, dan
tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami,
dan terimalah taubat kami. Sesungguhnya Engkaulah Maha
Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani."

129@ “ Wahai Tuhan Kami ! Utuslah kepada mereka seorang Rasul
dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada
mereka ayat-ayat (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi
kandungan Kitab (Al Quran) serta Hikmat kebijaksanaan dan
membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat).
Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”.

130@ Tidak ada orang yang membenci ugama Nabi Ibrahim selain
dari orang yang membodohkan dirinya sendiri, kerana
sesungguhnya Kami telah memilih Ibrahim (menjadi nabi)
di dunia ini, dan sesungguhnya ia pada hari akhirat kelak
tetaplah dari orang-orang yang soleh yang (tertinggi
martabatnya).

131@ (Ingatlah) ketika Tuhannya berfirman kepadanya,
“ Serahkanlah diri (kepadaKu wahai Ibrahim) !” Nabi Ibrahim
menjawab, “ Aku serahkan diri (tunduk taat) kepada Tuhan Yang
Memelihara dan mentadbirkan sekalian alam”.

132@ Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan ugama itu kepada
anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat
kepada anak-anaknya) katanya, “ Wahai anak-anakku !
Sesungguhnya Allah telah memilih ugama (Islam) ini menjadi
ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam
keadaan Islam”.

133@ (Demikianlah wasiat Nabi Yaakub, bukan sebagaimana yang
kamu katakan itu wahai orang-orang Yahudi) ! Kamu tiada hadir
ketika Nabi Yaakub hampir mati, ketika ia berkata kepada anak-
anaknya, “ Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati ?”
Mereka menjawab, “ Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk
nenekmu Ibrahim dan Ismail dan Ishak, iaitu Tuhan yang Maha
Esa, dan kepadaNyalah sahaja kami berserah diri (dengan penuh
iman)”.

134@ Mereka itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya,
bagi mereka (balasan) apa yang mereka telah usahakan, dan bagi
kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan, dan kamu tidak
akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang
telah mereka lakukan.

135@ Dan mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) berkata, “ Jadilah
kamu pemeluk ugama Yahudi atau pemeluk ugama Nasrani, nescaya
kamu akan mendapat petunjuk”. Katakanlah (wahai Muhammad),
“ Kami orang-orang Islam tidak akan menurut apa yang kamu
katakan itu) bahkan kami mengikut ugama Nabi Ibrahim yang
tetap di atas dasar Tauhid, dan bukanlah ia dari orang-orang
musyrik”.

136@ Katakanlah (wahai orang-orang yang beriman), “ Kami
beriman kepada Allah, dan kepada apa yang diturunkan kepada
kami (Al Quran), dan kepada apa yang diturunkan kepada Nabi
Ibrahim dan Nabi Ismail dan Nabi Ishak dan Nabi Yaakub serta
anak-anaknya, dan juga kepada apa yang diberikan kepada Nabi
Musa (Taurat) dan Nabi Isa (Injil), dan kepada apa yang
diberikan kepada Nabi-nabi dari Tuhan mereka, kami tidak
membeza-bezakan antara seseorang dari mereka (sebagaimana yang
kamu [Yahudi dan Nasrani] membeza-bezakannya), dan kami semua
adalah Islam (berserah diri, tunduk taat) kepada Allah semata-
mata”.

137@ Maka kalau mereka beriman sebagaimana kamu beriman
(dengan Kitab-kitab Allah dan Rasul-rasulnya), maka
sesungguhnya mereka telah beroleh petunjuk, dan jika mereka
berpaling (serta tidak mahu beriman dengan sebenar-benar iman)
maka sesungguhnya mereka akan tinggal berkekalan dalam
perbalahan dan permusuhan (dengan kamu). Oleh itu (janganlah
engkau khuatir wahai Muhammad) kerana Allah akan memeliharamu
(dan umatmu) dari kejahatan mereka, dan Dialah jua Yang Maha
Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

138@ (Katakanlah wahai orang-orang yang beriman, Ugama Islam,
yang kami telah sebati dengannya ialah) Celupan Allah,
(yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam),
dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah ? (Kami
tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat”.

139@ Katakanlah (wahai Muhammad), “ Patutkah kamu (hai kaum
Yahudi dan Nasrani) membuat bantahan terhadap kami mengenai
pilihan Allah dan pengurniaanNya ? Padahal Dialah Tuhan kami
dan Tuhan kamu. Bagi kami (faedah) amal kami dan bagi kamu
pula (faedah) amal kamu (kalau diikhlaskan), dan kami adalah
(mengerjakan amal dengan) ikhlas kepadaNya.

140@ “ Atau patutkah kamu mengatakan, bahawa Nabi Ibrahim, dan
Nabi Ismail, dan Nabi Ishak, dan Nabi Yaakub beserta anak-
anaknya, mereka semua adalah orang-orang Yahudi atau Nasrani,
(padahal ugama mereka telahpun ada sebelum adanya ugama Yahudi
atau ugama Kristian itu) ?” Katakanlah (wahai Muhammad),
“ Adakah kamu yang lebih mengetahui atau Allah ? Dan siapakah
yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan keterangan
(saksi dan bukti) yang telah diberikan Allah kepadanya ?” Dan
(ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang telah
kamu lakukan.

141@ Mereka itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya,
bagi mereka (balasan) apa yang telah mereka usahakan, dan bagi
kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan, dan kamu tidak
akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang
mereka telah lakukan.

142@ Orang-orang bodoh (yang kurang akal pertimbangannya) akan
berkata, “ Apa sebabnya yang menjadikan orang-orang Islam
berpaling dari kiblat yang mereka mengadapnya selama ini ?”
Katakanlah (wahai Muhammad), “ Timur dan barat adalah
kepunyaan Allah (maka ke pihak mana sahaja kita diarahkan
Allah mengadapnya, wajiblah kita mematuhiNya), Allah yang
memberikan petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang
dikehendakiNya ke jalan yang lurus”.

143@ Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu
ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad)
satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi
orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang
yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan
menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.
(Sebenarnya kiblat kamu ialah Kaabah) dan tiadalah Kami
jadikan kiblat yang engkau mengadapnya dahulu itu (wahai
Muhammad), melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan
pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar mengikut
Rasul serta membenarkannya dan siapa pula yang berpaling tadah
(berbalik kepada kekufurannya) dan sesungguhnya (soal
peralihan arah kiblat) itu adalah amat berat (untuk diterima)
kecuali kepada orang-orang yang telah diberikan Allah petunjuk
hidayah dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu.
Sesungguhnya Allah Amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya
kepada orang-orang (yang beriman).

144@ Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad),
berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau
berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu
palingkanlah mukamu ke arah masjid Al Haraam (tempat letaknya
Kaabah), dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka
kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan
Nasrani) yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa
perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar
dari Tuhan mereka, dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa
yang mereka lakukan.

145@ Dan demi sesungguhnya ! Jika engkau bawakan kepada orang-
orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, akan
segala keterangan (yang menunjukkan kebenaran perintah
berkiblat ke Kaabah itu), mereka tidak akan menurut kiblatmu,
dan engkau pula tidak sekali-kali akan menurut kiblat mereka,
dan sebahagian dari mereka juga tidak akan menurut kiblat
sebahagian yang lain. Demi sesungguhnya ! Kalau engkau menurut
kehendak hawa nafsu mereka setelah datang kepadamu pengetahuan
(yang telah diwahyukan kepadamu), sesungguhnya engkau, jika
demikian, adalah dari golongan orang-orang yang zalim.

146@ Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan Kitab
itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan
kebenarannya) sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka
sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian dari mereka berusaha
menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui
(salahnya perbuatan yang demikian).

147@ Kebenaran (yang datangnya kepadamu dan disembunyikan oleh
kaum Yahudi dan Nasrani) itu (wahai Muhammad), adalah
datangnya dari Tuhanmu. Oleh itu jangan sekali-kali engkau
termasuk dalam golongan orang-orang yang ragu-ragu.

148@ Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-
masing menujunya, oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan
kebaikan, kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap
akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk
menerima balasan). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-
tiap sesuatu.

149@ Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan
sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al Haraam
(Kaabah), dan sesungguhnya perintah berkiblat ke Kaabah itu
adalah benar dari Tuhanmu. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-
kali lalai akan segala apa yang kamu lakukan.

150@ Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan
sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al Haraam
(Kaabah), dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka
kamu ke arahnya, supaya tidak ada lagi (sebarang) alasan bagi
orang-orang (yang menyalahi kamu), kecuali orang-orang yang
zalim di antara mereka (ada sahaja yang mereka jadikan
alasan). Maka janganlah kamu takut kepada (cacat cela) mereka,
dan takutlah kamu kepada Ku (semata-mata), dan supaya Aku
sempurnakan nikmatKu kepada kamu, dan juga supaya kamu beroleh
petunjuk hidayah (mengenai perkara yang benar).

posted from Bloggeroid

002. Al-Baqarah 101-125, Terjemahan Al Quran...^^.. (Lembu Betina)

002. Al-Baqarah 101-125, Terjemahan Al Quran...^^..
(Lembu Betina)

BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

101@ Dan apabila datang kepada mereka seorang Rasul dari sisi
Allah (Nabi Muhammad s.a.w), yang mengesahkan apa yang ada
pada mereka, sebahagian dari orang-orang yang telah diberikan
Kitab (Taurat dan Injil) itu melemparkan Kitab Allah
ke belakang mereka, seolah-olah mereka tidak mengetahui
(kebenarannya).

102@ Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-
ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan dalam masa
pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak
mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi
puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya),
kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa
yang diturunkan kepada dua malaikat, Harut dan Marut,
di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar
seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan
berkata, “ Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk
menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir
(dengan mempelajarinya).”. Dalam pada itu ada juga orang-orang
mempelajari dari mereka berdua, ilmu sihir yang boleh
menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal
mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau
membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan
izin Allah. Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang
hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada
mereka. Dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu)
telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu
tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi
sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri
mereka, kalaulah mereka mengetahui.

103@ Dan kalau sebenarnya mereka itu tetap beriman dan
bertaqwa (nescaya mereka akan mendapat pahala), sesungguhnya
pahala dari sisi Allah itu adalah lebih baik, kalau mereka
mengetahui.

104@ Wahai orang-orang yang beriman ! Janganlah kamu
mengatakan, " raaina.”, (ketika kamu berkata-kata dengan Nabi
Muhammad), sebaliknya katakanlah, “ unzurna.”, dan dengarlah
kamu (segala perintah dengan sebulat hati menerimanya), dan
(ingatlah, bahawa) orang-orang kafir itu akan beroleh azab
seksa yang tidak terperi sakitnya.

105@ Orang-orang kafir dari Ahli kitab, dan juga dari orang-
orang musyrik, tidak suka kiranya diturunkan kepada kamu
sedikit dari kebaikan (atau wahyu) dari Tuhan kamu. Padahal
Allah berhak menentukan rahmatNya kepada sesiapa yang
dikehendakiNya, dan Allah (jualah Yang) mempunyai limpah
kurnia yang amat besar.

106@ Apa sahaja ayat keterangan yang Kami mansukhkan
(batalkan), atau yang Kami tinggalkan (atau tangguhkan), Kami
datangkan ganti yang lebih baik daripadanya, atau yang
sebanding dengannya. Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya
Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu ?

107@ Tidakkah engkau mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Yang
Menguasai segala alam langit dan bumi ? Dan tiadalah bagi kamu
selain Allah, sesiapapun yang dapat melindungi dan yang dapat
memberi pertolongan.

108@ Adakah kamu pula hendak meminta dari Rasul kamu
sebagaimana diminta dari Nabi Musa (oleh kaumnya) dahulu ? Dan
sesiapa yang menukar iman dengan mengambil kekufuran, maka
sesungguhnya ia telah sesat dari jalan yang lurus.

109@ Banyak di antara Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka
kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir
setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri
mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi
Muhammad s.a.w). Oleh itu, maafkanlah dan biarkanlah oleh kamu
(akan mereka), sehingga Allah datangkan perintahNya.
Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

110@ Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah
zakat dan apa jua yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri
kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi
Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa Melihat segala yang kamu
kerjakan.

111@ Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula, " Tidak
sekali-kali akan masuk Syurga melainkan orang-orang yang
berugama Yahudi atau Nasrani." Yang demikian itu hanyalah
angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad),
" Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan
kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-
orang yang benar."

112@ (Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar) bahkan sesiapa
yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintahNya)
sedang ia pula berusaha supaya baik amalannya, maka ia akan
beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan tidaklah ada
kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik)
terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

113@ Dan orang-orang Yahudi berkata, " Orang-orang Nasrani itu
tidak mempunyai sesuatu pegangan (ugama yang benar)" dan
orang-orang Nasrani pula berkata, " Orang-orang Yahudi tidak
mempunyai sesuatu pegangan (ugama yang benar)". Padahal mereka
membaca Kitab Suci masing-masing (Taurat dan Injil). Demikian
juga orang-orang (musyrik dari kaum Jahiliyah) yang tidak
berilmu pengetahuan, mengatakan seperti yang dikatakan oleh
mereka itu. Maka Allah akan menghukum (mengadili) di antara
mereka pada hari kiamat mengenai apa yang mereka berselisihan
padanya.

114@ Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang
menyekat dan menghalangi dari menggunakan masjid-masjid Allah
untuk (sembahyang dan) menyebut nama Allah di dalamnya, dan ia
berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu ? Orang-
orang yang demikian, tidak sepatutnya masuk ke dalam masjid-
masjid itu melainkan dengan rasa penuh hormat dan takut kepada
Allah (bukan secara yang mereka lakukan itu). Mereka (dengan
perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat
kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar.

115@ Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat, maka
ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk mengadap
Allah) maka di situlah arah yang diredhai Allah. Sesungguhnya
Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi
sentiasa Mengetahui.

116@ Dan mereka (orang-orang musyrik) berkata, " Allah
mempunyai anak." Maha Suci Allah (dari apa yang mereka katakan
itu), bahkan Dialah Yang memiliki segala yang di langit dan
di bumi, semuanya itu tunduk di bawah kekuasaanNya.

117@ Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi (dengan
segala keindahannya), dan apabila Ia berkehendak (untuk
menjadikan) suatu, maka Ia hanya berfirman kepadanya,
" Jadilah engkau !" Lalu menjadilah ia.

118@ Dan (orang-orang musyrik) yang tidak berilmu pengetahuan,
berkata, " Alangkah eloknya kalau Allah berkata-kata dengan
kami (mengenai kebenaran Muhammad) atau datang kepada kami
sesuatu keterangan (mukjizat) ?" Demikian pula orang-orang
(kafir) yang terdahulu dari mereka pernah berkata seperti yang
dikatakan oleh mereka, hati mereka (sekaliannya) adalah
bersamaan (degil dan kufur). Sesungguhnya Kami telah pun
menerangkan ayat-ayat keterangan (yang menjadi dalil dan
bukti) kepada kaum yang mahu percaya dengan yakin.

119@ Sesungguhnya Kami telah mengutuskan engkau (wahai
Muhammad) dengan kebenaran, (serta menjadi) pembawa khabar
gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pembawa amaran
(kepada orang-orang yang ingkar). Dan (setelah engkau
sampaikan semuanya itu), engkau tidak akan diminta
(bertanggungjawab) tentang ahli neraka.

120@ Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan
bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau
menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah
(kepada mereka), " Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam
itulah petunjuk yang benar." Dan demi sesungguhnya jika engkau
menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu
yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka
tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang
dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.

121@ Orang-orang yang Kami berikan Kitab kepada mereka, sedang
mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan (tidak mengubah
dan memutarkan maksudnya), mereka itulah orang-orang yang
beriman kepadanya, dan sesiapa yang mengingkarinya maka mereka
itulah orang-orang yang rugi.

122@ Wahai Bani Israil, kenanglah akan limpah kurnia nikmatKu
yang telah Kuberikan kepada kamu, dan Aku telah melebihkan
(datuk nenek) kamu (yang taat dahulu) atas umat-umat yang lain
(yang ada pada zamannya).

123@ Dan peliharalah diri kamu dari (huru-hara) hari kiamat
(yang padanya) seseorang tidak dapat mengganti atau melepaskan
orang lain sedikitpun, dan tidak akan diterima daripadanya
sebarang tebusan, dan tidak akan memberi manfaat kepadanya
sebarang syafaat, dan orang-orang yang salah itu tidak akan
ditolong (dari azab sengsara).

124@ Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya
dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi
Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman.
" Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (Pemimpin ikutan)
bagi umat manusia." Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata,
" (Ya Tuhanku !) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari
keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)." Allah berfirman,
" (Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan
didapati oleh orang-orang yang zalim."

125@ Dan (ingatlah) ketika Kami jadikan Rumah Suci (Baitullah)
itu tempat tumpuan bagi umat manusia (untuk Ibadat Haji) dan
tempat yang aman, dan jadikanlah oleh Kamu Makam Ibrahim itu
tempat sembahyang. Dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim
dan Nabi Ismail (dengan berfirman), " Bersihkanlah Rumahku
(Kaabah dan Masjid Al Haraam dari segala perkara yang
dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf, dan orang-orang
yang beriktikaf (yang tetap tinggal padanya), dan orang-orang
yang rukuk dan sujud."

posted from Bloggeroid

002. Al-Baqarah 076-100, Terjemahan Al Quran...^^.. (Lembu Betina)

002. Al-Baqarah 076-100, Terjemahan Al Quran...^^..
(Lembu Betina)

BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

76@ Dan apabila mereka (orang-orang Yahudi pada zaman
Rasulullah) bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka
berkata, " Kami telah beriman", tetapi apabila mereka
berkumpul sesama sendiri, mereka berkata, " Patutkah kamu
ceritakan kepada mereka (orang-orang Islam Mukmin) apa yang
telah diterangkan oleh Allah kepada kamu (di dalam Kitab
Taurat, yang menjelaskan ciri-ciri dan kebenaran Nabi
Muhammad) untuk menjadikan hujah (bukti) yang dapat
mengalahkah kamu (kita semua) di sisi Tuhan kamu ? Tidakkah
kamu mempunyai akal (ada memikirkannya perkara itu) ?"

77@ (Mereka berani berkata demikian) Tidakkah mereka
mengetahui bahawasanya Allah mengetahui segala apa yang mereka
rahsiakan dan apa yang mereka lahirkan (zahirkan) ?

78@ Dan di antara mereka pula ada orang-orang ummi (yang buta
huruf dan tidak tahu membaca), mereka tidak mengetahui isi
Kitab Taurat, selain dari penerangan-penerangan (cerita-
cerita) bohong (dari ketua-ketua mereka), dan mereka hanyalah
berpegang kepada sangkaan-sangkaan mereka sahaja.

79@ Kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang menulis Kitab
Taurat dengan tangan mereka (lalu mengubah dan memutarbelitkan
kandungan Kalam Allah dengan rekaan-rekaan mereka, serta
menyembunyikan kebenaran Nabi Muhammad yang terdapat dalam
isi kitab Taurat), kemudian mereka berkata, " Ini datangnya
dari Allah", supaya dengan perbuatan itu mereka dapat membeli
keuntungan dunia yang sedikit. Maka kecelakaan besarlah bagi
mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka, dan
kecelakaan besarlah bagi mereka atas apa yang mereka usahakan
itu.

80@ Mereka dengan angkuh berkata, " Kami tidak sekali-kali
tidak akan disentuh oleh api neraka kecuali untuk beberapa
hari sahaja.". Katakanlah (wahai Muhammad), " Adakah kamu
sudah mendapat janji dari Allah (dengan perbuatan kamu itu)
dan Allah tidak akan menyalahi janjiNya, atau kamu hanya
berbohong terhadap nama Allah, sesuatu yang tidak kamu
mengetahuinya ?"

81@ (Apa yang kamu katakan itu sebenarnya, tidak benar)
Sesungguhnya, sesiapa yang berbuat kejahatan dan telah
bergelumang (ditenggelamkan) dengan dosa dan kesalahannya itu,
maka merekalah penghuni neraka, dan mereka kekal di dalamnya.

82@ Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh,
merekalah penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya selama-
lamanya.

83@ Dan (ingatlah, wahai Muhammad), ketika Kami mengikat
perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman),
" Janganlah kamu menyembah Tuhan melainkan Allah, dan berbuat
baiklah kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim,
serta orang-orang miskin. Dan ucapkanlah perkataan yang baik
dan sopan (berfaedah) kepada sesama manusia, dan dirikanlah
sembahyang serta keluarkanlah zakat". Kemudian kamu berpaling
membelakangkan (melanggar perjanjian setia kamu itu) kecuali
sebahagian kecil daripada kamu, dan kamu sememangnya orang-
orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya (selalu
mungkir janji).

84@ Dan (ingatlah), ketika Kami mengikat perjanjian setia
dengan kamu, " (Bahawa) janganlah kamu menumpahkan darah
(berbunuh-bunuhan) sesama sendiri, janganlah kamu usir-
mengusir sesama sendiri dari kampung masing-masing". Kemudian
kamu telah berikrar akan mematuhi perjanjian setia itu, dan
kamu sendiri pula menjadi saksi (yang mengakui kebenarannya).

85@ Kemudian sebahagian daripada kamu ini (wahai Bani Israil),
telah membunuh saudara kamu, sesama sendiri dan kamu mengusir
satu segolongan dari kaum kamu keluar dari kampung halamannya,
dan kamu pula saling bantu-membantu (bersepakat dengan orang
lain) untuk menentang mereka dengan melakukan dosa dan
penganiayaan. Padahal kalau mereka datang kepada kamu sebagai
orang tawanan, kamu tebus mereka, sedangkan perbuatan mengusir
mereka itu diharamkan ke atas kamu. Adakah kamu hanya beriman
serta percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan
mengingkari akan sebahagian yang lain ? Maka tiadalah balasan
bagi orang yang berbuat sedemikian, di antara kamu, melainkan
mendapat kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat
mereka akan dikenakan azab seksa yang amat berat. Dan
(ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai dari segala
perbuatan yang kamu lakukan.

86@ Mereka itulah orang-orang yang membeli (mengutamakan)
kehidupan dunia (dan kesenangannya) dengan (meninggalkan
perintah-perintah Allah yang membawa kebahagiaan dalam
kehidupan) akhirat. Maka tidak akan diringankan azab seksa
mereka (pada hari kiamat), dan mereka pula tidak akan
diberikan pertolongan.

87@ Dan sesungguhnya Kami telah memberikan kepada Nabi Musa
Kitab Taurat, dan Kami iringi kemudiannya dengan beberapa
orang Rasul. Dan Kami berikan kepada Nabi Isa, Ibni Maryam
beberapa mukjizat serta Kami teguhkan kebenarannya dengan
Ruhul-Qudus (Jibril, roh yang suci). Patutkah, tiap-tiap kali
datang kepada kamu seorang Rasul membawa sesuatu (kebenaran)
yang berlainan dengan hawa nafsu kamu ? Kamu (dengan) sombong
takbur (menolaknya), sehingga sebahagian dari Rasul-rasul itu
kamu dustakan, dan sebahagiannya pula kamu bunuh (seperti
halnya Nabi Isa)?

88@ Dan mereka (kaum Yahudi) berkata pula, " Hati kami
tertutup (tidak dapat menerima Islam)". (Sebenarnya hati
mereka tidak tertutup) bahkan Allah telah melaknatkan mereka
disebabkan kekufuran mereka. Hanya sedikit sahaja di antara
mereka yang beriman.

89@ Dan ketika datang kepada mereka sebuah Kitab dari Allah
(Al Quran), yang mengesahkan serta membenarkan apa yang ada
pada mereka (Kitab Taurat), sedangkan sebelumnya mereka
sentiasa memohon (kepada Allah) kemenangan ke atas kaum kafir
musyrik (dengan kedatangan seorang Nabi berdasarkan Kitab
mereka). Setelah datang kepada mereka apa yang mereka sedia
mengetahui kebenarannya (Nabi Muhammad dan Al Quran), mereka
mengingkarinya. (Yang sedemikian) Maka Allah melaknat orang-
orang yang kafir ingkar itu.

90@ Alangkah jahatnya (tindakan) mereka menjual diri sendiri
dengan mengingkari Al-Quran yang telah diturunkan oleh Allah,
kerana hasad dengki bahawa Allah menurunkan limpah kurniaNya
(wahyu) kepada sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-
hambaNya (iaitu Nabi Muhammad s.a.w). Dengan sebab itu, mereka
mendapat kemurkaan Allah berlipat-lipat kali ganda, dan orang-
orang yang kafir itu akan beroleh azab serta seksaan yang
menghinakan.

91@ Dan apabila dikatakan kepada mereka, " Berimanlah kamu
kepada kitab (Al Quran) yang diturunkan oleh Allah (kepada
Nabi Muhammad)", mereka menjawab, " Kami hanya beriman kepada
kitab yang telah diturunkan kepada kami (Taurat)". Dan mereka
ingkarkan (Kitab yang lain) yang diturunkan kemudiannya.
Padahal Al-Quran itu adalah kitab yang hak (benar dari Allah),
yang mengesahkan Kitab Taurat yang ada pada mereka. Katakanlah
(wahai Muhammad), " Jika demikian mengapa kamu membunuh Nabi-
nabi Allah pada masa yang lalu, jika kamu benar-benar orang
yang beriman ?".

92@ Dan sesungguhnya telah datang kepada kamu Nabi Musa
yang membawa keterangan-keterangan (mukjizat) yang menjelaskan
kebenaran, kemudian kamu menyembah (patung) anak lembu
sepeninggalannya, dan kamu (dengan perbuatan itu) adalah dari
orang-orang yang zalim.

93@ Dan (ingatlah) ketika Kami mengikat perjanjian setia
dengan kamu semasa Kami angkatkan bukit Tursina ke atas kamu
(sambil kami berfirman), " Kerjakanlah apa (dan amalkanlah
ajaran Kitab Taurat) yang Kami berikan kepada kamu itu dengan
bersungguh-sungguh, dan dengarlah (apa yang diperintahkan
kepada kamu dengan mematuhinya)". Mereka menjawab, " Kami
mendengar, tetapi kami tidak mentaatinya.". Menyembah (patung)
anak lembu telah biasa dan sebati di dalam hati mereka, oleh
sebab kekufuran mereka. Katakanlah (wahai Muhammad), " Amatlah
jahat apa yang disuruh oleh iman kamu itu, sekiranya kamu
orang yang benar-benar beriman".

94@ Katakanlah (wahai Muhammad kepada kaum Yahudi), " Kalau
syurga negeri akhirat itu telah menjadi hak istimewa untuk
kamu pada sisi Allah, tidak boleh dicampuri oleh orang lainnya
(seperti yang kamu dakwakan itu), maka cita-citakanlah mati
(dari Tuhanmu, sekarang juga), jika kamu orang yang benar".

95@ Dan sudah tentu mereka tidak akan cita-citakan kematian
itu selama-lamanya, disebabkan dosa-dosa yang telah mereka
lakukan, dan Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang
berbuat zalim.

96@ Demi sesungguhnya, engkau (wahai Muhammad) akan mendapati
merekalah manusia yang paling tamak kepada kehidupan (yang
lanjut masanya, akan tamaknya mereka kepada hidup itu),
terutamanya orang-orang kafir musyrik. Di antara mereka, ada
yang ingin dihidupkan seribu tahun, padahal umur yang panjang,
tidak akan dapat melepaskannya dari azab (yang disediakan oleh
Allah). Dan (ingatlah), Allah Maha Melihat apa sahaja yang
mereka kerjakan.

97@ Katakanlah (wahai Muhammad), " Sesiapa yang memusuhi
Jibril, kerana Jibril telah menurunkan Al-Quran ke dalam
hatimu dengan izin Allah, yang mengesahkan kebenaran Kitab-
kitab yang diturunkan sebelumnya, serta menjadi petunjuk dan
memberi khabar gembira kepada orang-orang yang beriman".

98@ Barangsiapa memusuhi Allah (dengan mengingkari segala
petunjuk dan perintahNya), Malaikat-malaikatNya, Rasul-
rasulNya, khasnya malaikat Jibril dan Mikail. Maka
sesungguhnya Allahlah adalah musuh bagi orang-orang kafir itu.

99@ Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu (wahai
Muhammad) ayat-ayat keterangan yang jelas nyata (Al-Quran),
dan tidak ada yang akan mengingkarinya melainkan orang-orang
yang fasik.

100@ Patutkah (mereka ingkarkan ayat-ayat keterangan itu) dan
setiap kali mereka membuat dan mengikat perjanjian setia,
sebahagian mereka melanggarnya (mencabuli). Bahkan sebahagian
besar daripada mereka tidak beriman.

posted from Bloggeroid

002. Al-Baqarah 051-075, Terjemahan Al Quran...^^.. (Lembu Betina)

002. Al-Baqarah 051-075, Terjemahan Al Quran...^^..
(Lembu Betina)

BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

51@ Dan (kenangkanlah) ketika Kami berjanji kepada Nabi Musa
(untuk memberi Taurat kepadanya, Musa menjalani pertapaan,
diberi wahyu) empat puluh malam. Kemudian, setelah dia pergi,
kamu menjadikan (patung berhala) anak lembu sebagai alat
sembahanmu, dan kamu sebenarnya orang-orang yang zalim
(terhadap diri sendiri).

52@ Kemudian sesudah itu kami maafkan kesalahan kamu, supaya
kamu bersyukur (kepada Allah).

53@ Dan (kenangkanlah) ketika Kami turunkan kepada Nabi Musa
kitab (Taurat) dan keterangan-keterangan (yang terkandung
di dalamnya, yang membezakan antara yang benar dengan yang
salah), supaya kamu mendapat petunjuk.

54@ Dan (kenangkanlah) ketika Nabi Musa berkata kepada
kaumnya, ” Wahai kaumku ! Sesungguhnya kamu telah menganiaya
diri kamu sendiri kerana kamu menyembah patung anak lembu itu,
maka bertaubatlah kamu kepada Allah yang menjadikan kamu, dan
bunuhlah diri kamu. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu
di sisi Allah yang menjadikan kamu, supaya Allah menerima
taubat kamu itu. Sesungguhnya Dia lah Yang Maha Pengampun
(Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani”.

55@ Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata, " Wahai Musa !
Kami tidak akan beriman kepadamu sehingga kami dapat melihat
Allah dengan terang (dengan mata kepala kami) ”. Maka kerana
itu kamu disambar petir, sedang kamu semua melihatnya.

56@ Kemudian kami bangkitkan kamu sesudah kamu mati (atau
pengsan dari sambaran petir itu), supaya kamu bersyukur.

57@ Dan Kami telah menaungi kamu dengan awan (dari panas
matahari di padang pasir) dan Kami turunkan kepada kamu “Mann”
dan “Salwa”, (serta Kami berfirman), “ Makanlah dari makanan-
makanan yang baik yang Kami telah kurniakan kepada kamu”. Dan
tidaklah mereka menganiaya Kami (sebab mereka kufurkan nikmat
itu), tetapi sebenarnya mereka yang menganiaya diri sendiri.

58@ Dan (kenangkanlah) ketika Kami berfirman, " Masuklah kamu
ke negeri ini (Baitulmaqdis), kemudian makanlah dari benda-
benda yang ada di dalamnya dengan sepuas-puasnya, apa sahaja
yang kamu sukai. Dan masuklah kamu melalui pintunya dengan
tunduk (merendah diri), dan (mintalah ampun dengan) berkata,
" Hiththah (Ya Allah ampunilah dosa kami) ", supaya kami
ampunkan dosa kesalahan-kesalahan kamu, dan Kami akan tambahi
pula pahala orang-orang yang berbuat baik”.

59@ Tetapi orang-orang yang zalim (penderhaka) itu mengubah
perkataan (perintah kami) yang dikatakan kepada mereka dengan
melakukan sebaliknya (perkataan yang tidak dikatakan padanya),
maka Kami turunkan ke atas orang-orang yang zalim itu bala
bencana dari langit, dengan sebab mereka sentiasa berlaku
fasik (menderhaka).

60@ Dan (ingatlah) ketika Nabi Musa memohon supaya diberi air
untuk kaumnya, maka Kami berfirman, “ Pukullah batu itu dengan
tongkatmu”, (dia pun memukulnya), lalu terpancutlah dari batu
itu dua belas mata air, sesungguhnya tiap-tiap satu puak
(di antara mereka) telah mengetahui tempat minumnya masing-
masing. (Dan Kami berfirman), " Makanlah dan minumlah kamu
dari rezeki Allah itu, serta janganlah kamu bertebaran di muka
bumi ini dengan melakukan kerosakan".

61@ Dan (kenangkanlah) ketika kamu (Bani Israil) berkata,
" Wahai Musa, kami tidak sabar (sudah jemu) dengan sejenis
makanan sahaja. Pohonlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya
dikurniakan bagi kami sebahagian dari apa yang tumbuh di bumi,
dari sayur-sayurannya, seperti mentimunnya, dan bawang
putihnya, dan adas (kacang dalnya), serta bawang merahnya".
Nabi Musa menjawab, " Adakah kamu mahu menukar sesuatu yang
kurang baik dengan meninggalkan sesuatu yang lebih baik ?
Pergilah kamu ke negeri itu, kerana di sana kamu akan
memperolehi apa yang kamu minta itu". Lalu mereka ditimpakan
dengan kehinaan dan kepapaan, dan mereka mendapat kemurkaan
dari Allah. Yang demikian, disebabkan mereka kufur
(mengingkari) ayat-ayat Allah (perintah-perintah dan mukjizat-
mukjizat yang membuktikan kebesaranNya), dan mereka juga
membunuh Nabi-nabi tanpa alasan yang benar. Demikian itu,
disebabkan mereka menderhaka dan mereka sentiasa melampaui
batas.

62@ Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang Yahudi,
orang Nasora (Nasrani), dan orang Saabien (pengikut Nabi-
nabi), sesiapa di antara mereka yang beriman kepada Allah dan
(beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka mereka
menerima pahala di sisi Tuhan mereka. Mereka tidak mempunyai
kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik), dan
mereka tidak akan berdukacita.

63@ Dan (ingatlah), ketika Kami mengambil perjanjian setia
dari kamu semasa Kami angkatkan Gunung Tursina di atas kamu
(sambil Kami berfirman), " Terimalah kitab Taurat yang telah
Kami berikan dan Kami perintahkan kepada kamu (serta
amalkanlah) dengan bersungguh-sungguh, dan ingatlah (jangan
lupakan) apa yang tersebut di dalamnya, mudah-mudahan, supaya
kamu bertaqwa.

64@ Kemudian sesudah itu, kamu membelakangkan perjanjian setia
kamu (tidak menyempurnakannya dan ingkar). Kalau bukan kerana
limpah kurnia Allah dan rahmat, belas kasihanNya kepada kamu
(dengan membuka pintu taubat), nescaya termasuklah kamu
ke dalam golongan orang-orang yang rugi.

65@ Sesungguhnya kamu telah mengetahui (bagaimana buruknya
akibat) orang-orang yang melanggar (larangan) pada hari Sabtu.
Lalu Kami berfirman kepada mereka, " Jadilah kamu kera yang
hina" (Mereka disumpah menjadi kera kerana menangkap ikan pada
hari pilihan Tuhan, pada zaman itu. bagi Umat Muhammad, Hari
Jumaat).

66@ Maka Kami jadikan peristiwa (apa yang berlaku) sebagai
satu peringatan (hukuman) bagi orang-orang yang ada pada masa
itu dan orang-orang yang datang kemudian, serta suatu
pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.

67@ Dan (ingatlah), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya,
" Sesungguhnya Allah s.w.t. menyuruh supaya kamu menyembelih
seekor lembu betina". Mereka berkata, " Adakah engkau hendak
mempermainkan kami ?" Nabi Musa menjawab, " Aku berlindung
kepada Allah daripada termasuk salah seorang dari golongan
yang jahil (yang melakukan sesuatu yang tidak patut)".

68@ Mereka berkata pula, " Berdoalah kepada Tuhanmu untuk
kami, supaya diterangkanNya kepada kami bagaimana (sifat-
sifat) lembu betina itu ?" Nabi Musa menjawab, " Sesungguhnya
Allah berfirman, " Bahawa lembu betina itu, ialah seekor lembu
yang tidak terlalu tua dan tidak terlalu muda, berada
di pertengahan (umurnya). Maka kerjakanlah (lakukanlah) apa
yang diperintahkan kepada kamu.".

69@ Mereka berkata lagi, " Pohonlah kepada Tuhanmu untuk kami,
supaya diterangkanNya kepada kami, apa warnanya ?" Nabi Musa
menjawab, " Allah berfirman, " Bahawa (lembu betina) itu ialah
seekor lembu berwarna kuning tua, lagi disukai orang-orang
yang melihatnya.".

70@ Mereka berkata lagi, " Pohonlah kepada Tuhanmu untuk kami,
supaya diterangkanNya kepada kami, lembu betina yang bagaimana
sifatnya ? Kerana sesungguhnya lembu yang dikehendaki itu
masih meragukan kami (susah kami memilihnya). Dan Insya Allah
kami akan mendapat petunjuk (untuk mencari dan menyembelih
lembu itu)".

71@ Nabi Musa menjawab, " Sesungguhnya Allah berfirman,
" Sebenarnya (lembu yang dikehendaki itu) ialah lembu betina
yang tidak pernah digunakan untuk membajak tanah (sawah
bendang), dan tidak pula (digunakan mengangkut air) untuk
menyiram tanaman, ia juga tidak cacat dan tidak ada sedikitpun
belang pada warnanya". Mereka berkata, " Sekarang baharulah
engkau dapat menerangkan dengan jelas sifat-sifatnya yang
sebenar". Kemudian mereka pun menyembelih lembu tersebut, dan
hampir-hampir mereka tidak dapat menunaikan (perintah Allah)
itu.

72@ Dan (ingatlah), ketika kamu membunuh seorang manusia,
kemudian kamu tuduh-menuduh sesama sendiri, mengenai siapakah
pembunuhnya ? lalu Allah memperlihatkan kepada kamu, apa yang
kamu cuba sembunyikan.

73@ (Untuk membongkar siapa pembunuhnya) Maka, Kami (Allah)
berfirman, “ Pukullah si mati dengan sebahagian anggota lembu
yang kamu sembelihkan itu” (Mereka pun memukulnya dan dia
kembali hidup). Dengan cara demikian, Allah s.w.t.
menghidupkan kembali orang-orang yang telah mati, dan Allah
memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaanNya, supaya
kamu memikirkannya.

74@ Kemudian sesudah itu, hati kamu tetap juga menjadi keras
seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-
batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai
daripadanya, dan ada pula di antara batu yang pecah-pecah,
terbelah lalu keluar mata air daripadanya, dan ada juga batu
yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah. Sedangkan Allah
tidak pernah sekali-kali lalai daripada apa yang kamu
kerjakan.

75@ Apakah kamu, (Sesudah kamu, wahai Muhammad dan pengikut-
pengikutmu mengetahui tentang kerasnya hati orang-orang Yahudi
itu) menaruh harapan bahawa mereka akan beriman kepada seruan
Islam yang kamu sampaikan itu ? Padahal sesungguhnya telah ada
satu puak dari mereka yang mendengar Kalam Allah (Taurat),
kemudian mereka mengubah (dan memutarbelitkankan maksudnya)
sesudah mereka memahaminya, sedangkan mereka mengetahui
(bahawa perbuatan itu salah) ?

posted from Bloggeroid

002. Al-Baqarah 026-050, Terjemahan Al Quran...^^.. (Lembu Betina)

002. Al-Baqarah 026-050, Terjemahan Al Quran...^^..
(Lembu Betina)

BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

26@ Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan apa
sahaja, (seperti) nyamuk hingga ke suatu yang lebih hina
daripadanya (kerana perbuatan itu ada hikmatnya), iaitu kalau
orang-orang yang beriman maka mereka akan mengetahui bahawa
perbandingan itu benar dari Tuhan mereka, dan kalau orang-
orang kafir pula maka mereka akan berkata, “ Apakah maksud
Allah membuat perbandingan dengan ini ?” ,(Jawabnya) Tuhan
akan menjadikan banyak orang sesat dengan sebab perbandingan
itu, dan akan menjadikan banyak orang mendapat petunjuk dengan
sebabnya, dan Tuhan tidak akan menjadikan (mereka) sesat
dengan sebab perbandingan itu melainkan orang-orang yang
fasik.

27@ (Iaitu) orang-orang yang merombak (mencabuli) perjanjian
Allah sesudah diperteguhkannya, dan memutuskan perkara yang
disuruh Allah supaya diperhubungkan, dan mereka pula membuat
kerosakan dan bencana di muka bumi. Mereka itu ialah orang-
orang yang rugi.

28@ Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal
kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan
kamu, setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan
kamu pula (pada hari akhirat), akhirnya kamu dikembalikan
kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu
kerjakan).

29@ Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada
di bumi, kemudian Ia menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-
bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna,
dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

30@ Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat,
“ Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah
di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu
dengan berkata), “ Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak
menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan
menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa
bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu ?”. Tuhan
berfirman, “ Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu
tidak mengetahuinya”.

31@ Dan Allah telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama
benda-benda dan kegunaannya, kemudian ditunjukkannya kepada
malaikat lalu Allah berfirman, “ Terangkanlah kepadaKu nama
benda-benda ini semuanya, jika kamu golongan yang benar”.

32@ Malaikat itu menjawab, “ Maha suci Engkau (Ya Allah) !
Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau
ajarkan kepada kami, sesungguhnya Engkau jualah yang Maha
Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.

33@ Allah berfirman, “ Wahai Adam ! Terangkanlah nama benda-
benda ini semua kepada mereka”. Maka setelah Nabi Adam
menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah
berfirman, “ Bukankah Aku telah katakan kepada kamu,
bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia ghaib, di langit dan
bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang
kamu sembunyikan ?”.

34@ Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat,
“ Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam”. Lalu mereka
sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis, ia enggan
dan takbur, dan menjadilah ia, dari golongan yang kafir.

35@ Dan kami berfirman, “ Wahai Adam ! Tinggallah engkau dan
isterimu dalam syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-
puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu
hampiri pokok ini, (jika kamu menghampirinya) maka akan
menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim”.

36@ Setelah itu, Syaitan menggelincirkan(memperdaya) mereka
berdua dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari syurga serta
kenikmatan yang mereka telah perolehi di dalamnya dan Kami
berfirman, “ Turunlah kamu ! Sebahagian dari kamu akan menjadi
musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua
disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan
hingga ke suatu masa (sampai ajal dan mati kamu)”.

37@ Kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah
(kata-kata pengakuan taubat yang diamalkannya), lalu Allah
menerima taubatnya, sesungguhnya Allah, Dia lah yang Maha
Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani.

38@ Kami berfirman lagi, “ Turunlah kamu semuanya dari syurga
itu ! Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu
(melalui Rasul-rasul dan Kitab-kitab yang diturunkan kepada
mereka), maka sesiapa yang mengikuti petunjukKu itu, nescaya
tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap
mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita”.

39@ Dan orang-orang kafir yang mendustakan ayat-ayat
keterangan kami, mereka itulah ahli penghuni neraka, mereka
kekal di dalamnya.

40@ Wahai Bani Israil ! Kenangkanlah kamu akan segala nikmat
yang telah Kuberikan kepada kamu, dan sempurnakanlah
perjanjian (kamu) denganKu, supaya Aku sempurnakan
perjanjianKu dengan kamu, dan kepada Akulah sahaja hendaknya
kamu merasa gerun takut, (bukan kepada sesuatu yang lain).

41@ Dan berimanlah kamu dengan apa yang Aku turunkan
(Al-Quran) yang mengesahkan, benarnya Kitab yang ada pada kamu
(Taurat), dan janganlah kamu menjadi orang-orang yang mula-
mula kafir (ingkar) akan Al Quran, dan janganlah pula kamu
menjual ayat-ayatKu dengan (sebagai harga untuk) membeli
kelebihan-kelebihan yang sedikit faedahnya, dan kepada Aku lah
sahaja hendaknya kamu bertaqwa.

42@ Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan
yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar (kebenaran) itu
pula padahal kamu semua mengetahuinya.

43@ Dan dirikanlah kamu akan sembahyang (sholat) dan
keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah)
bersama-sama orang-orang yang rukuk.

44@ Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan
sedangkan kamu melupakan diri kamu sendiri, padahal kamu semua
membaca Kitab Allah, tidakkah kamu memikirkannya ?

45@ Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar
dan mengerjakan sembahyang, dan sesungguhnya sembahyang itu
amatlah berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk,

46@ (Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka
akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali
kepadaNya.

47@ Wahai Bani Israil ! Kenangkanlah nikmat-nikmatKu yang Aku
telah kurniakan kepada kamu, dan (ingatlah) bahawasanya Aku
telah melebihkan (nenek-moyang) kamu (yang taat dahulu) atas
orang-orang (yang ada pada zamannya).

48@ Dan peliharalah diri kamu dari (azab sengsara) hari
(akhirat), yang padanya tiada seseorang tidak dapat melepaskan
orang lain (yang berdosa) sedikitpun (dari balasan azab), dan
tidak diterima syafaat daripadanya, dan tidak pula diambil
daripadanya sebarang tebusan, dan mereka (yang bersalah itu)
tidak akan diberi sebarang pertolongan.

49@ Dan (kenangkanlah) ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun
dan orang-orangnya, yang sentiasa menyeksa kamu dengan seksaan
yang seburuk-buruknya, mereka menyembelih anak-anak lelaki
kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu, sedang
kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan
yang besar dari Tuhan kamu.

50@ Dan (kenangkanlah) ketika kami belahkan laut (Merah) untuk
kamu lalui (kerana melarikan diri dari angkara Firaun), maka
Kami selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan Firaun bersama-sama
tenteranya, sedang kamu semua menyaksikan (kejadian itu).

posted from Bloggeroid

002. Al-Baqarah 001-025, Terjemahan Al Quran...^^..(Lembu Betina)

002. Al-Baqarah 001-025, Terjemahan Al Quran...^^..
(Lembu Betina)

BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

1@ Alif, Laam, Miim.

2@ Kitab Al Quran ini, tidak ada keraguan padanya (tentang
datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya), ianya pula
menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa,

3@ Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang
ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang (solat) serta
membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami
berikan kepada mereka.

4@ Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab “ Al Quran”
yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab
(Taurat, Zabur, Injil dan suhuf-suhuf Nabi) yang diturunkan
dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari
akhirat (dengan sepenuhnya).

5@ Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan
mereka, dan merekalah orang-orang yang beruntung (permohonan
diterima setelah diusahakannya).

6@ Sesungguhnya orang-orang kafir (yang tidak akan beriman),
sama sahaja kepada mereka, sama ada engkau beri amaran
kepadanya atau engkau tidak beri amaran, mereka tidak akan
beriman.

7@ (Dengan sebab keingkaran mereka), Allah mematerikan atas
hati mereka (tidak dapat menerima petunjuk) serta pendengaran
mereka dan pada penglihatan mereka (tidak dapat memerhati dan
memahami ayat-ayat Al Quran serta mengambil pelajaran dari
tanda kebesaran Allah yang mereka lihat juga pada diri mereka
sendiri), ada penutupnya, dan bagi mereka pula disediakan azab
seksa yang amat besar/berat.

8@ Dan di antara manusia ada yang berkata, “ Kami telah
beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat”, padahal mereka
sebenarnya bukan dari golongan orang-orang yang beriman.

@9 Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang yang
beriman, padahal mereka hanya memperdaya dirinya sendiri,
sedang mereka tidak menyedarinya.

10@ Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat
penyakit (keyakinan yang lemah terhadap kebenaran Nabi
Muhammad, sehingga menimbulkan dendam, syak dan hasad dengki),
maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka, dan
mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi
sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan
kebenaran).

11@ Dan apabila dikatakan kepada mereka, “ Janganlah kamu
membuat bencana dan kerosakan di muka bumi”, mereka menjawab,
” Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan”.

12@ Ketahuilah ! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang
yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi
mereka tidak menyedarinya.

13@ Dan apabila dikatakan kepada mereka, “ Berimanlah kamu
sebagaimana orang-orang yang telah beriman”. Mereka menjawab,
“ Patutkah kami ini beriman sebagaimana berimannya orang-orang
bodoh itu ?” Ketahuilah ! Sesungguhnya merekalah orang-orang
yang bodoh, tetapi mereka tidak mengetahui (hakikat yang
sebenarnya).

14@ Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang
beriman, mereka berkata, ” Kami telah beriman “, dan manakala,
bila mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka (pemimpin-
pemimpin kafir), mereka berkata pula, ” Sesungguhnya kami
tetap bersama kamu, sebenarnya kami hanya memperolok-olok
(akan orang-orang yang beriman)”.

15@ Allah (membalas) memperolok-olok mereka, dan membiarkan
mereka meraba-raba dan berada dalam kesesatan mereka (yang
melampaui batas itu).

16@ Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan
meninggalkan petunjuk, maka tiadalah beruntung perniagaan
mereka dan tidak pula mereka beroleh petunjuk hidayah
(dari Allah).

17@ Perbandingan hal mereka (golongan yang munafik itu)
samalah seperti orang yang menyalakan api, apabila api itu
menerangi sekelilingnya, (tiba-tiba) Allah hilangkan cahaya
(yang menerangi) mereka, dan dibiarkannya mereka dalam gelap-
gelita, tidak dapat melihat (sesuatu pun).

18@ Mereka (seolah-olah orang yang telah) pekak, bisu dan
buta, dan dengan keadaan itu mereka tidak dapat kembali
(kepada kebenaran).

19@ Atau (bandingannya) seperti (orang-orang yang ditimpa)
hujan lebat dari langit, ditambahi dengan gelap-gelita,
bersama guruh dan kilat, mereka menyumbat jarinya ke dalam
telinga masing-masing dari mendengar suara petir, kerana
mereka takut mati. (Masakan mereka boleh terlepas dari Allah),
sedang (pengetahuan dan kekuasaan) Allah meliputi orang-orang
yang kafir itu.

20@ Kilat itu pula hampir-hampir menyambar (menghilangkan)
penglihatan mereka, tiap-tiap kali kilat itu menerangi mereka
(dengan pancarannya), mereka berjalan dalam cahayanya. Dan
apabila gelap menyelubungi mereka, berhentilah mereka
(menunggu dengan bingungnya). Dan sekiranya Allah menghendaki,
nescaya dihilangkanNya pendengaran dan penglihatan mereka,
sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

21@ Wahai sekalian manusia ! Beribadatlah kepada Tuhan kamu
yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu
daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang)
bertaqwa.

22@ Dialah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai
hamparan, dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan
(yang dibina dengan kukuhnya), dan diturunkanNya air hujan
dari langit, lalu dikeluarkanNya dengan air hujan itu
berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu, maka
janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal
kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha
Esa).

23@ Dan kalau kamu ada meragui (menaruh syak) tentang apa yang
Kami turunkan (wahyukan, Al Quran) kepada hamba kami
(Muhammad), maka cubalah buat, dan datangkanlah satu surah
yang sebanding dengan Al Quran itu, dan panggillah orang-orang
yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika
betul kamu orang-orang yang benar.

24@ Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya, dan sudah tentu
kamu tidak dapat membuatnya, maka peliharalah diri kamu dari
api neraka yang bahan-bahan bakarannya, manusia dan batu-batu
(berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang-orang
kafir.

25@ Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman
dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang
mengalir di bawahnya beberapa sungai, tiap-tiap kali mereka
diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga itu,
mereka berkata, “ Inilah yang telah diberikan kepada kami
dahulu”, dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya
(tetapi berlainan hakikatnya), dan disediakan untuk mereka
dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang
sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya
selama-lamanya.

posted from Bloggeroid

001. Al Fatihah, Terjemahan Al Quran...^^..(Pembukaan)

001. Al Fatihah, Terjemahan Al Quran...^^..
(Pembukaan)

BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

1@ Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
(Penyayang).

2@ Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan
mentadbirkan sekalian alam.

3@ Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani (Penyayang).

4@ Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat).

5@ Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada
Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.

6@ Tunjukilah kami jalan yang lurus.

7@ Iaitu jalan orang-orang yang telah Engkau kurniakan nikmat
kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah
murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang tersesat.

### Ilmu yang bermanfaat ialah salah satu Amal yang berkekalan
bagi orang yang mengajarnya meskipun dia sudah Mati. ###

posted from Bloggeroid