Thursday, 9 April 2015

Rahsia Gadis Berubah Secantik Bidadari Sebelum Ajal...^^..

Rahsia Gadis Berubah Secantik Bidadari Sebelum Ajal.....

Edited/Suntingan: Minoru...
..

Sejak saya bertugas sebagai tukang mandi mayat peneroka lebih
20 tahun, bermacam-macam jenis mayat telah saya sucikan
termasuk kanak-kanak, orang tua dan penagih dadah.

Saya juga pernah memandikan mayat empat orang HIV. Tapi bagi
saya, pengalaman begitu biasa saja tanpa sedikit pun
meninggalkan apa-apa kesan kepada diri saya.

Tapi, ada beberapa kejadian yang tidak dapat saya lupakan
berlaku pada 1990. Ketika itu saya memandikan mayat seorang
peneroka bekas Special Constable (SC) pencen yang berbadan
besar.

Apabila saya selak kain penutup mayat, muka arwah senyum. Lalu
saya tanya jiran-jirannya. Apa amalan pakcik ini, mayatnya
senyum !

Jirannya memberitahu saya, semasa hayatnya, arwah kalau balik
dari kebun membawa seikat rambutan dia akan memberi kepada
budak-budak sehingga tinggal tangkai. Inilah amalan harian
bekas SC pencen itu apabila balik ke rumahnya.

Kalau dia balik bawa buah tangan, dihadiahkan kepada anak
jiran-jirannya dahulu sebelum masuk rumah. Kadang-kadang,
tiada apa yang dibawa untuk anak-anak dan isterinya.

Apabila imbas diri ini, saya rasa kedekut sikit berbanding
arwah. Biasanya kita bungkus, jangan ternampak anak-anak jiran
sebab hendak bawa balik beri makan anak dan isteri. Tetapi
arwah tidak begitu.

Sifat pemurahnya sukar ditandingi sesiapa. Kalau kebetulan
hari itu arwah bawa kuih-muih, dia akan bagi semua anak
jirannya merasa sehingga kosong plastik.

Rupa-rupanya amalan bekas SC ini ikhlas. Arwah bersedekah
ikhlas walaupun sebesar biji zarah. Maka itu, tidak hairanlah
wajah arwah tersenyum manis semasa saya memandikan jenazahnya.
Inilah pertama kali saya lihat mayat tersenyum!

Kejadian mayat tersenyum berikut juga amat berkesan kepada
saya. Saya termenung dan merasa insaf dengan apa yang dilihat.
Mayat yang saya bakal uruskan ini seorang peneroka biasa.

Biasanya orang akan bersangka buruk sebab si polan ini
bukanlah kaki masjid. Semasa hayatnya, boleh tahan jugalah…

Selepas sakit kira-kira lima tahun, arwah jarang muncul
di khalayak ramai. Arwah asingkan diri. Dulu kerap minum
di kedai. Pada hari-hari terakhir sebelum meninggal, arwah
tidak suka bercampur orang ramai lagi. Kalau minum, cepat-
cepat balik macam ada urusan penting.

Pada malam Khamis, beliau nazak. Esoknya, anak lelaki peneroka
ini memberitahu ayahnya sudah meninggal dunia pukul 5.00 pagi
sebelum solat Subuh. Saya pun pergi menziarahi jenazahnya dan
membacakan al-Fatihah.

Bila saya tengok, muka arwah tersenyum. Matanya tertutup
rapat. Pukul 8.30 pagi saya mandikan mayatnya. Jenazahnya
lembut. Bila saya bersihkan, muka lebih manis selepas
dimandikan. Selepas dikapan dan disembahyang jenazah, arwah
selamat dikebumikan.

Selepas habis bacaan talkin saya tanya anak lelaki arwah,
mengapa muka ayahnya tersenyum ? Sebab arwah ayahnya bukan
kaki masjid, kadang-kadang Jumaat pergi… saya cemburu, sebab
saya rasa lebih bagus dari arwah.

Anaknya memberitahu pada malam sebelum meninggal ayahnya tiba-
tiba saja meminta supaya menghantar balik ke Kelantan untuk
belajar pondok, mengaji al-Quran dan kitab. Niat arwah sebelum
meninggal hendak pergi belajar mengaji, menghafaz al-Quran dan
belajar kitab-kitab. Saya merasa malu apabila mendengar
pengakuan anak arwah ini.

Biarpun niat arwah tidak kesampaian, tapi Allah tetap mencatat
pahala untuk niat baiknya. Patutlah arwah jarang muncul
di kedai kopi, rupa-rupanya arwah sedang mendalami agama,
membaca al-Quran, beribadat kepada Allah.

Nasihat saya, jangan kita bersangka buruk kepada seseorang.
Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Allah tetap menerima
taubat kita selagi belum tiba saat sakaratulmaut mencabut
nyawa kita.

Kejadian berikut juga amat menginsafkan saya. Kira tahun lepas
itu, saya memandikan jenazah seorang penagih tegar yang baru
keluar pusat serenti.

Saya tengok kaki, tangan pucat lesi. Tapi mukanya tersenyum !
Lalu saya tanya mak arwah pemuda ini, kenapa muka anaknya
tersenyum ?

Emaknya dengan lelehan air mata memberitahu sebelum anaknya
meninggal, arwah meminta ampun, cium kakinya, cium tangan.
Arwah suruh ibunya peluk erat-erat. Arwah beritahu dia tak
lama lagi hendak pergi !

Ibunya beritahu dia redha dunia akhirat dan ampunkan segala
kesalahan arwah. Saya terharu mendengar cerita ibu ini. Arwah
meninggal di atas pangkuan ibunya.

Saya terperanjat, sebab penagih tegar orang benci. Tapi nasib
arwah dapat keredhaan ibunya. Nasihat saya kepada pembaca
jangan kita perasan kita ini rajin buat ibadat. Jangan kata
orang lain tak elok, kononnya aku orang baik, jangan !

Sekali lagi saya nasihat, jangan hukum orang begini. Hanya
Allah yang tahu nasib kita di akhirat kelak !

Tiga kejadian di atas banyak memberi keinsafan kepada saya.
Tapi saya ingin ceritakan dua lagi kisah yang melibatkan
wanita sebelum meninggal dunia.

Pada tahun 2009, pukul 9.00 pagi kebetulan saya sengaja lalu
ke rumah orang kenduri kahwin. Pagi itu saya berselisih dengan
seorang isteri peneroka berusia 40-an berbaju kurung berwarna
pink. Isteri peneroka ini memang lawa. Kulit kuning langsat.

Lama saya pandang. Cantik betul. Pada pendapat saya
kecantikannya sungguh luar biasa, macam bidadari. Saya berkata
dalam hati, hari ini lawa sungguh. Pelik.

Kira-kira pukul 1.00 tengah hari, saya mendapat tahu isteri
peneroka yang berselisih dengan saya pagi tadi telah meninggal
dunia.

Saya terperanjat ! Saya jumpa suaminya secara peribadi dan
bercerita tentang kecantikan luar biasa isterinya sebelum
meninggal dunia.

Rupa-rupanya bukan saya seorang melihatnya. Seorang lagi
peneroka bercerita perkara yang sama melihat kecantikan wanita
itu. Semasa hayatnya isteri peneroka ini rajin bergotong-
royong, suka bersedekah dan ikhlas kerana Allah.

Kejadian terakhir yang sungguh berkesan berlaku pada tahun
2000. Petang berkenaan selepas Asar saya lihat seorang anak
dara yang belum kahwin sungguh cantik.

Berkali-kali saya berbisik, cantik sungguh anak dara ini. Saya
tidak pernah tengok anak dara secantik ini. Manis ! Saya
merasa pelik sungguh.

Esoknya, saya diberitahu anak dara cantik yang saya lihat
petang semalam telah meninggal dunia selepas Subuh. Gadis
berusia 20-an itu terjatuh di bilik air akibat tumor otak.

Pagi itu isteri saya, Fatimah Mohd., 63, yang tolong
memandikan mayat arwah anak dara ini. Wajahnya macam bermekap.
Cantik betul, kata isteri saya.

Kenapa wajah arwah ini secantik bidadari ?

Saya pernah jumpa ayah arwah dan beritahu anaknya cantik
sungguh sebelum meninggal. Menurut ayahnya, pagi itu sebelum
masuk bilik air, arwah beri makan kucing, peluk kucing.

Selepas itulah arwah jatuh pengsan. Selama ini arwah sayang
sangat kepada kucing. Arwah tidak pernah berpisah dengan
kucing kesayangannya. Bukankah kucing antara binatang
kesayangan Nabi Muhammad s.a.w. Sesiapa yang kasihankan kucing
akan diberi pahala oleh Allah.

Mudah-mudahan segala cerita ini dapat memberi serba sedikit
pedoman dan iktibar sebelum kita dipanggil menghadap Allah,
meninggalkan dunia yang fana ini !

* Bagaimana ya... Kalau kita di Pinang tuhan (Allah) untuk
masuk ke rumahnya Akhirat (Kekal) , Adakah kita berSedia ?
Cukupkah amalan kita ? Ini cuma salah satu Cerita (Takdir)
Rekaan Allah. Untuk apa ? Menguji hambaNya... Tuhan punya
Rancangan...

Saat perjumpaan bersama TuhanNya... Jadi mengapa harus
Takut... Bukan orang Jahat mau Ambil kita... Cuma Tuhan kita
hendak bagi Balasan yang baik-baik dan Adil buat Kita...
Comel kan Tuhan...

Tuhan dah bagi Nasihat, Petunjuk agar hambanya tidak
terSesat... Mana ek... Tu yang tertulis dalam Al Quran,
diWahyukan pada Nabi dan Rasul pilihan... Calon pilihanNya
penghuni Syurga...

Jangan Takut pada selain dari Tuhanmu, Allah... Kan Dia dah
bagi Janji... Ikut PetunjukKu, balasan Syurga... Menolak
Nasihat dan PerintahKu, balasan Neraka...

Dia juga pengGubal takdir setiap Makhluk ciptaanNya. Dia bebas
memBeri Petunjuk pada hambaNya yang Dia dah berKenan...
Tuup... Tuup..., tapi Kenalah diUji dulu tahap Keimanan hamba
tuu.. Dah ikut ke ?

Perintah dan Undang-Undang dalam kitab suci Al Quran. Mudah
dan Senang plak tu, takde Paksaan bahkan Kita akan lebih
mengenal sisi Sebenar kita seBenarnya...

Jangan pernah Salahkan diri kita Sendiri, seBenarnya kannn.
Kita cuma diciptakan Tuhan, sebagai Penyebab untuk seseorang
yang akan diTakdirkan mengHuni Syurga, juga Penyebab seseorang
untuk terTerumus ke lembah Neraka... Ingat, Doa itu senjata
Hamba Mukmin paling berKesan dan Mujarab...

Jangan cuma tahu dan main Redah jer... Ikut ikutan orang jer
tak Cukup, nanti kita sesat Budaya... Kan ada Risalah Ayat
Quran... Baca je Akta-Akta comel dan mudah Buatan Allah tu...

Cubalah menJauhi atau berLari dari berBuat kerosakan pada Hati
dan Maksiat pada perBuatan. Senyap kan lagi Bagus (PuasaMulut)
Mesti dapat petunjuk Happy punya...
*

posted from Bloggeroid

Petunjuk Dan Hidayah...^^..

Petunjuk Dan Hidayah...^^..

Ar Ra’d ayat 27:

" Katakanlah (wahai Muhammad), " Sesungguhnya Allah
menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang
peraturanNya), dan memberi petunjuk ke jalan ugamanya, sesiapa
yang rujuk (taubat) kepadaNya."

An Nahl ayat 93:

" Dan jika Allah menghendaki, tentulah Dia menjadikan kamu
satu umat (yang bersatu dalam ugama Allah yang satu), akan
tetapi Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut
undang-undang peraturanNya) dan memberi petunjuk kepada
sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang
peraturanNya). Dan sesungguhnya kamu akan ditanya kelak
tentang apa yang kamu telah kerjakan."

Siapa yang boleh dapat pentunjuk ?

At Taubah ayat 18:

" Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-
masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah
dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan
zakat dan tidak takut (kepada sesiapapun) melainkan kepada
Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah
diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat
petunjuk."

Al Ahzab ayat 70-71:

" Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah,
dan katakanlah perkataan yang benar (tepat dalam segala
perkara)."

" Supaya Ia memberi taufiq dengan menjayakan (memperbaiki)
amal-amal kamu, dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan
(ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka
sesungguhnya ia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan.

posted from Bloggeroid

Riwayat Nabi So'leh (005)...^^..

Riwayat Nabi So'leh (005)...^^..

Nabi So'leh a.s. adalah anak kepada Ubaid bin Jabir bin
Tsamud. Kaum Tsamud merupakan gelaran yang diambil bersempena
nama datuk iaitu 'Ubaidah bin Tsamud bin Amir bin Iram bin Sam
bin Nuh a.s.

Mereka bertempat tinggal di suatu dataran bernama " Al hijir "
terletak antara Hijaz dan Syam yang dahulunya termasuk jajahan
dan dikuasai suku Aad yang telah habis binasa di sapu angin
taufan yang di kirim oleh Allah sebagai pembalasan atas
pembangkangan dan pengingkaran mereka terhadap dakwah dan
risalah Nabi Hud A.S.

Kemakmuran dan kemewahan hidup serta kekayaan alam yang dahulu
dimiliki dan dinikmati oleh kaum Aad telah diwarisi oleh kaum
Tsamud. Tanah-tanah yang subur yang memberikan hasil berlimpah
ruah, binatang-binatang perahan dan lemak yang berkembang
biak, kebun-kebun bunga yang indah-indah, bangunan rumah-rumah
yang didirikan di atas tanah yang datar dan dipahatnya dari
gunung.

Semuanya itu menjadikan mereka hidup tenteram, sejahtera dan
bahagia, merasa aman dari segala gangguan alamiah dan bahawa
kemewahan hidup mereka akan kekal bagi mereka dan anak
keturunan mereka.

Kaum Tsamud tidak mengenal Tuhan. Tuhan Mereka adalah berhala-
berhala yang mereka sembah dan puja, kepadanya mereka
berkorban, tempat mereka minta perlindungan dari segala bala
dan musibah dan mengharapkan kebaikan serta kebahagiaan.
Mereka tidak dapat melihat atau memikirkan lebih jauh dan apa
yang dapat mereka jangkau dengan pancaindera.

* Nabi Saleh Berdakwah Kepada Kaum Tsamud. *

Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang tidak akan
membiarkan hamba-hambaNya berada dalam kegelapan terus-menerus
tanpa diutusnya Nabi, pesuruh disisiNya untuk memberi
penerangan dan memimpin mereka keluar dari jalan yang sesat
ke jalan yang benar. Demikian pula Allah tidak akan menurunkan
azab dan seksaan kepada suatu umat sebelum mereka
diperingatkan dan diberi petunjuk olehNya dengan perantara
seorang yang dipilih untuk menjadi utusan dan rasulNya.

Sunnatullah ini berlaku pula kepada kaum Tsamud, yang kepada
mereka telah diutuskan Nabi So'leh seorang yang telah
dipilihNya dari suku mereka sendiri, dari keluarga yang
terpandang dan dihormati oleh kaumnya, terkenal tangkas,
cerdik pandai, rendah hati dan ramah-tamah dalam pergaulan.

Dikenalkan mereka oleh Nabi So'leh kepada Tuhan yang sepatut
mereka sembah, Tuhan Allah Yang Maha Esa, yang telah mencipta
mereka, menciptakan alam sekitar mereka, menciptakan tanah-
tanah yang subur yang menghasilkan bahan-bahan keperluan hidup
mereka, menciptakan binatang-binatang yang memberi manfaat dan
berguna bagi mereka dan dengan demikian memberi kepada mereka
kenikmatan dan kemewahan hidup dan kebahagiaan lahir dan
batin.

Tuhan Yang Esa, itulah yang harus mereka sembah dan bukan
patung-patung yang mereka pahat sendiri dari batu-batu gunung
yang tidak berkuasa memberi sesuatu kepada mereka atau
melindungi mereka dari ketakutan dan bahaya.

Nabi Saleh memperingatkan mereka bahawa ia adalah seorang
daripada mereka, terjalin antara dirinya dan mereka ikatan
keluarga dan darah. Mereka adalah kaumnya dan sanak
keluarganya dan dia adalah seketurunan dan sesuku dengan
mereka. Ia mengharapkan kebaikan dan kebajikan bagi mereka dan
sesekali tidak akan menjerumuskan mereka ke dalam hal-hal yang
akan membawa kerugian, kesengsaraan dan kebinasaan bagi
mereka.

Ia menerangkan kepada mereka bahawa ianya adalah pesuruh dan
utusan Allah, dan apa yang diajarkan dan didakwahkan kepada
mereka adalah amanat Allah yang harus dia sampaikan kepada
mereka untuk kebaikan mereka semasa hidup mereka dan sesudah
mereka mati di akhirat kelak.

Ia mengharapkan kaumnya mempertimbangkan dan memikirkan
sungguh-sungguh apa yang ia serukan dan anjurkan dan agar
mereka segera meninggalkan persembahan kepada berhala-berhala
itu dan percaya serta beriman kepada Allah Yang Maha Esa
seraya bertaubat dan mohon ampun kepadaNya atas dosa dan
perbuatan syirik yang selama ini telah mereka lakukan. Allah
Maha Dekat kepada mereka, mendengarkan doa mereka dan memberi
ampun kepada yang pesalah apabila dimintanya.

Terperanjatlah kaum Saleh mendengar seruan dan dakwahnya yang
bagi mereka ia merupakan hal yang baru yang tidak diduga akan
datang dari saudara atau anak mereka sendiri. Maka serentak
ditolaklah ajakan Nabi Saleh itu seraya berkata mereka
kepadanya:

" Wahai So'leh ! Kami mengenalmu seorang yang pandai, tangkas
dan cerdas, fikiranmu tajam dan pendapat serta semua
pertimbanganmu selalu tepat. Pada dirimu kami melihat tanda-
tanda kebajikan dan sifat-sifat yang terpuji. Kami
mengharapkan dari engkau sebetulnya untuk memimpin kami
menyelesaikan hal-hal yang rumit yang kami hadapi, memberi
petunjuk dalam soal-soal yang gelap bagi kami dan menjadi
ikutan dan kepercayaan kami di kala kami menghadapi krisis
dan kesusahan.

Akan tetapi segala harapan itu menjadi meleset dan kepercayaan
kami kepadamu tergelincir hari ini dengan tingkah lakumu dan
tindak tandukmu yang menyalahi adat-istiadat dan tatacara
hidup kami. Apakah yang engkau serukan kepada kami ?

Engkau menghendaki agar kami meninggalkan persembahan kami dan
nenek moyang kami, persembahan dan agama yang telah menjadi
darah daging kami menjadi sebahagian hidup kami sejak kami
dilahirkan dan tetap menjadi pegangan untuk selama-lamanya.

Kami sesekali tidak akan meninggalkannya kerana seruanmu dan
kami tidak akan mengikutimu yang sesat itu. Kami tidak
mempercayai cakap-cakap kosongmu bahkan meragukan keNabianmu.
Kami tidak akan mendurhakai nenek moyang kami dengan
meninggalkan persembahan mereka dan mengikuti jejakmu."

Nabi So'leh memperingatkan mereka agar jangan menentangnya dan
agar mengikuti ajakannya beriman kepada Allah yang telah
mengurniai mereka rezeki yang luas dan penghidupan yang
sejahtera. Diceritakan kepada mereka kisah kaum-kaum yang
mendapat seksa dan azab dari Allah kerana menentang rasulNya
dan mendustakan risalahNya.

Hal yang serupa itu dapat terjadi di atas mereka jika mereka
tidak mahu menerima dakwahnya dan mendengar nasihatnya, yang
diberikannya secara ikhlas dan jujur sebagai seorang anggota
dari keluarga besar mereka dan yang tidak mengharapkan atau
menuntut upah daripada mereka atas usahanya itu.

Ia hanya menyampaikan amanat Allah yang ditugaskan kepadanya
dan Allahlah yang akan memberinya upah dan ganjaran untuk
usahanya memberi pimpinan dan tuntutan kepada mereka.

Sekelompok kecil dari kaum Tsamud yang kebanyakkannya terdiri
dari orang-orang yang kedudukan sosial lemah menerima dakwah
Nabi So'leh dan beriman kepadanya sedangkan sebahagian yang
terbesar terutamanya mereka yang tergolong dari orang-orang
kaya dan berkedudukan tinggi tetap berkeras kepala dan
menyombongkan diri menolak ajakan Nabi So'leh dan mengingkari
kenabiannya dan berkata kepadanya:

" Wahai So'leh ! Kami kira bahawa engkau telah kerasukan
syaitan dan terkena sihir. Engkau telah menjadi tidak waras
dan menderita sakit gila. Akalmu sudah berubah dan fikiranmu
sudah kacau sehingga engkau dengan tidak sedar telah
mengeluarkan kata-kata ucapan yang tidak masuk akal dan
mungkin engkau sendiri tidak memahaminya. Engkau mengaku
bahawa engkau telah diutuskan oleh Tuhanmu sebagai nabi dan
rasulNya.

Apakah kelebihanmu daripada kami semua sehingga engkau dipilih
menjadi rasul, padahal ada orang-orang di antara kami yang
lebih patut dan lebih cekap untuk menjadi nabi atau rasul
daripada engkau. Tujuanmu dengan bercakap kosong dan kata-
katamu hanyalah untuk mengejar kedudukan dan ingin diangkat
menjadi kepala dan pemimpin bagi kaummu.

Jika engkau merasa bahwa engkau sihat badan dan sihat fikiran
dan mengaku bahawa engkau tidak mempunyai arah dan tujuan yang
terselubung dalam dakwahmu itu maka hentikanlah usahamu
menyiarkan agama barumu dengan mencerca persembahan kami dan
nenek moyangmu sendiri. Kami tidak akan mengikuti jalanmu dan
meninggalkan jalan yang telah ditempuh oleh orang-orang tua
kami lebih dahulu.

Nabi So'leh menjawab: " Aku telah berulang-ulang mengatakan
kepadamu bahawa aku tidak mengharapkan sesuatu apapun
daripadamu sebagai imbalan atas usahaku memberi tuntutan dan
penerangan kepada kamu. Aku tidak mengharapkan upah atau
mendambakan pangkat dan kedudukan bagi usahaku ini. Yang aku
lakukan semata-mata atas perintah Allah dan daripadaNya kelak
aku harapkan balasan dan ganjaran untuk itu.

Dan bagaimana aku dapat mengikutimu dan menolak tugas dan
amanat Tuhan kepadaku, padahal aku telah memperoleh bukti-
bukti yang nyata atas kebenaran dakwahku. Janganlah sesekali
kamu harapkan bahawa aku akan melanggar perintah Tuhanku dan
melalaikan kewajibanku kepadaNya hanya semata-mata untuk
melanjutkan persembahan nenek moyang kamu yang bathil itu.

Siapakah yang akan melindungiku dari murka dan azab Tuhan jika
aku berbuat demikian ? Sesungguhnya kamu hanya akan merugikan
dan membinasakan aku dengan seruanmu itu."

Setelah gagal dan tidak berjaya menghentikan usaha dakwah Nabi
So'leh dan ianya semakin mendapat perhatian orang-orang
mengikutinya dan berpihak kepadanya. Para pemimpin dan pemuka
kaum Tsamud berusaha hendak membendung arus dakwahnya yang
semakin lama makin mendapat perhatian terutama dari kalangan
bawahan menengah dalam masyarakat.

Mereka menentang Nabi So'leh dan untuk membuktikan kebenaran
kenabiannya dengan suatu bukti mukjizat dalam bentuk benda
atau kejadian luar biasa yang berada di luar kekuasaan
manusia.

* Allah Memberi Mukjizat Kepada Nabi So'leh A.S. *

Nabi So'leh sedar bahawa tentangan kaumnya yang menuntut bukti
daripadanya berupa mukjizat itu adalah bertujuan hendak
menghilangkan pengaruhnya dan mengikis habis kewibawaannya
di mata kaumnya terutama para pengikutnya bila ia gagal
memenuhi tentangan dan tuntutan mereka. Nabi So'leh membalas
tentangan mereka dengan menuntut janji dengan mereka bila ia
berhasil mendatangkan mukjizat yang mereka minta bahawa mereka
akan meninggalkan agama dan persembahan mereka dan akan
mengikuti Nabi So'leh dan beriman kepadanya.

Sesuai dengan permintaan dan petunjuk pemuka-pemuka kaum
Tsamud, berdoalah Nabi So'leh memohon kepada Allah agar
memberinya suatu mukjizat untuk membuktikan kebenaran
risalahnya dan sekaligus mematahkan perlawanan dan tentangan
kaumnya yang masih berkeras kepala itu. Ia memohon dari Allah
dengan kekuasaanNya menciptakan seekor unta betina
dikeluarkannya dari perut sebuah batu karang besar yang
terdapat di sisi sebuah bukit yang mereka tunjuk.

Maka sejurus kemudian, dengan izin Allah Yang Maha Kuasa lagi
Maha Pencipta, terbelahlah batu karang yang ditunjuk itu dan
keluar dari perutnya seekor unta betina.

Dengan menunjuk kepada binatang yang baru keluar dari perut
batu besar itu berkatalah Nabi So'leh kepada mereka: " Inilah
dia unta Allah, janganlah kamu ganggu dan biarkanlah ia
mencari makanannya sendiri di atas bumi Allah. Ia mempunyai
giliran untuk mendapatkan air minum dan kamu mempunyai giliran
untuk mendapatkan minum bagimu dan bagi ternakanmu juga dan
ketahuilah bahawa Allah akan menurunkan azabNya bila kamu
sampai mengganggu binatang ini."

Kemudian berkeliaranlah unta di ladang-ladang memakan rumput
sesuka hatinya tanpa mendapat gangguan. Dan ketika giliran
minumnya tiba, pergilah unta itu ke sebuah perigi yang diberi
nama perigi unta dan minumlah sepuas hatinya. Dan pada hari-
hari giliran unta Nabi So'leh itu datang minum tiada seekor
binatang lain berani menghampirinya,

Hal ini menimbulkan rasa tidak senang pada pemilik-pemilik
binatang itu yang semakin hari semakin merasakan bahawa adanya
unta Nabi So'leh di tengah-tengah mereka itu merupakan
gangguan, laksana duri yang melintang di dalam kerongkong.

Dengan berhasilnya Nabi So'leh mendatangkan mukjizat yang
mereka tuntut, maka gagallah para pemuka kaum Tsamud dalam
usahanya untuk menjatuhkan kehormatan dan menghilangkan
pengaruh Nabi So'leh. Sebaliknya telah menambah tebal
kepercayaan para pengikutnya dan menghilang banyak keraguan
dari kaumnya.

Maka dihasutnya oleh mereka pemilik-pemilik ternakan yang
merasa jengkel dan tidak senang dengan adanya unta Nabi So'leh
yang bermaharajalela di ladang dan kebun-kebun mereka serta
ditakuti oleh binatang-binatang peliharaannya.

* Unta Nabi So'leh Dibunuh. *

Persekongkolan diadakan oleh orang-orang dari kaum Tsamud
untuk mengatur rancangan pembunuhan unta Nabi So'leh. Dan
selagi orang masih dibayangi oleh rasa takut dari azab yang
diancam oleh Nabi So'leh apabila untanya diganggu di samping
adanya dorongan keinginan yang kuat untuk melenyapkan binatang
itu dari atas bumi mereka, muncullah tiba-tiba seorang janda
bangsawan yang kaya raya menawarkan akan menyerah dirinya
kepada siapa yang dapat membunuh unta So'leh.

Di samping janda itu, ada seorang wanita lain yang mempunyai
beberapa puteri cantik-cantik menawarkan akan menghadiahkan
salah seorang dari puteri-puterinya kepada orang yang berhasil
membunuh unta itu.

Dua macam hadiah yang menggiurkan dari kedua wanita itu,
di samping hasutan para pemuka Tsamud mengundang dua orang
lelaki bernama Mushadda' bin Muharrij dan Gudar bin Salif,
bersiap-siap akan melakukan pembunuhan bagi meraih hadiah yang
dijanjikan di samping sanjungan dan pujian yang akan
diterimanya dari para kafir suku Tsamud bila unta Nabi So'leh
telah mati dibunuh.

Dengan bantuan tujuh orang lelaki lagi, bersembunyilah
kumpulan itu di suatu tempat biasanya di lalui oleh unta dalam
perjalanannya ke perigi tempat ianya minum. Dan begitu unta
yang tidak berdosa itu berlalu, segeralah dipanah betisnya
oleh Musadda' yang disusul oleh Gudar dengan menikamkan
pedangnya di perutnya.

Dengan perasaan megah dan bangga pergilah para pembunuh unta
itu ke ibu kota menyampaikan berita matinya unta Nabi So'leh
yang mendapat sambutan sorak-sorai dan teriakan gembira dari
pihak musyrikin seakan-akan mereka kembali dari medan perang
dengan membawa kemenangan yang gilang gemilang.

Berkatalah mereka kepada Nabi So'leh: " Wahai So'leh ! Untamu
telah mati dibunuh, cubalah datangkan apa yang engkau katakan
dulu akan ancamannya bila unta itu diganggu, jika engkau
betul-betul termasuk orang-orang yang terlalu benar dalam
kata-katanya."

Nabi So'leh menjawab: " Aku telah peringatkan kamu, bahawa
Allah akan menurunkan azabNya ke atas kamu jika kamu
mengganggu unta itu. Maka dengan terbunuhnya unta itu maka
tunggulah engkau akan tibanya masa azab yang Allah talah
janjikan dan telah aku sampaikan kepada kamu. Kamu telah
menentang Allah dan terimalah kelak akibat tentanganmu
kepadaNya. Janji Allah tidak akan meleset.

Kamu boleh bersuka ria dan bersenang-senang selama tiga hari
ini kemudian, terimalah ganjaranmu yang setimpal pada hari
keempat. Demikianlah kehendak Allah dan taqdirNya yang tidak
dapat ditunda atau dihalang."

Ada kemungkinan menurut ahli tafsir, bahawa Allah melalui
rasulNya Nabi So'leh memberi waktu tiga hari itu untuk memberi
kesempatan, kalau-kalau mereka sedar akan dosanya dan
bertaubat minta ampun serta beriman kepada Nabi So'leh kepada
risalahnya.

Akan tetapi dalam kenyataannya tempoh tiga hari itu bahkan
menjadi bahan ejekan kepada Nabi So'leh yang ditentangnya
untuk mempercepat datangnya azab itu dan tidak usah
ditangguhkan tiga hari lagi.

* Turunnya Azab Allah Yang Dijanjikan.*

Nabi So'leh memberitahu kaumnya bahwa azab Allah yang akan
menimpa ke atas mereka akan didahului dengan tanda-tanda,
iaitu pada hari pertama apabila mereka terbangun dari tidurnya
akan menemui wajah mereka menjadi kuning dan berubah menjadi
merah pada hari kedua dan hitam pada hari ketiga dan pada hari
keempat turunlah azab Allah yang pedih.

Mendengar ancaman azab yang diberitahukan oleh Nabi So'leh
kepada kaumnya. Kelompok sembilan orang iaitu kelompok
pembunuh unta ingin merancang pembunuhan ke atas diri Nabi
So'leh untuk mendahului tibanya azab yang diancamkan itu.

Mereka mengadakan pertemuan rahsia dan bersumpah bersama akan
melaksanakan rancangan pembunuhan itu di waktu malam, di saat
orang masih tidur nyenyak untuk menghindari tuntutan balas
darah oleh keluarga Nabi So'leh, jika diketahui identiti
mereka sebagai pembunuhnya. Rancangan mereka ini dirahsiakan
sehingga tidak diketahui dan didengar oleh siapa pun kecuali
kesembilan orang itu sendiri.

Ketika mereka datang ke tempat Nabi So'leh bagi melaksanakan
rancangan jahatnya di malam yang gelap gelita dan sunyi senyap
jatuhlah di atas kepala mereka, batu-batu besar yang tidak
diketahui dari arah mana datangnya dan yang seketika
merebahkan mereka di atas tanah dalam keadaan tidak bernyawa
lagi. Demikianlah Allah telah melindungi rasulNya dari
perbuatan jahat hamba-hambaNya yang kafir.

Satu hari sebelum hari turunnya azab yang telah ditentukan
itu, dengan izin Allah, berangkatlah Nabi So'leh bersama para
mukminin pengikutnya menuju Ramlah, sebuah tempat di Palestin,
meninggalkan Hijir dan penghuninya, kaum Tsamud habis binasa,
ditimpa halilintar yang dahsyat beriringan dengan gempa bumi
yang mengerikan.

* Kisah Nabi So'leh Dalam Al-Quran. *

Kisah Nabi So'leh diceritakan oleh 72 ayat dalam 11 surah
di antaranya surah Al A'raaf, ayat 73 hingga 79 , surah Hud,
ayat 61 sehingga ayat 68 dan surah Al-Qamar, ayat 23 sehingga
ayat 32.

* Pengajaran Dari Kisah Nabi So'leh A.S. *

Pengajaran yang dapat dirumus dari kisah Nabi So'leh ini ialah
bahawa dosa dan perbuatan mungkar yang dilakukan oleh
sekelompok kecil warga masyarakat dapat membinasakan
masyarakat itu seluruhnya.

Lihatlah betapa kaum Tsamud menjadi binasa, hancur dan bahkan
tersapu bersih dari muka bumi kerana dosa dan pelanggaran
perintah Allah yang dilakukan oleh segelintir pembunuh unta
Nabi So'leh A.S.

Di sinilah letaknya hikmah perintah Allah agar kita melakukan
amar makruf nahi mungkar. Kerana dengan melakukan tugas amar
makruf nahi mungkar yang menjadi fardu kifayah itu, setidak-
tidaknya kalau tidak berhasil mencegah kemungkaran yang
terjadi di dalam masyarakat dan lindungan kita, kita telah
membebaskan diri dari dosa menyetujui atau merestui perbuatan
mungkar itu.

Bersikap pasif, acuh tak acuh terhadap maksiat dan kemungkaran
yang berlaku di depan mata dapat diertikan sebagai persetujuan
dan penyekutuan terhadap perbuatan mungkar itu.

posted from Bloggeroid

Riwayat Nabi Hud (004)...^^..

Riwayat Nabi Hud (004)...^^..

Nabi Hud merupakan keturunan Sam bin Nuh ( cucu Nabi Nuh).
Nabi Hud merupakan seorang daripada suku " Aad" dari keluarga
yang terpandang dan berpengaruh, terkenal sejak kecilnya
dengan kelakuan yang baik budi pekerti yang luhur dan sangat
bijaksana dalam pergaulan dengan kawan-kawannya.

" Aad" adalah nama bapa suatu suku yang hidup di jazirah Arab
di suatu tempat bernama " Al-Ahqaf" terletak di utara
Hadramaut antara Yaman dan Umman. Ia termasuk suku yang tertua
sesudah kaum Nabi Nuh serta terkenal dengan kekuatan jasmani
dalam bentuk tubuh-tubuh yang besar dan sasa. Mereka dikurniai
oleh Allah tanah yang subur dengan sumber-sumber airnya yang
mengalir dari segala penjuru sehinggakan memudahkan mereka
bercucuk tanam untuk bahan makanan mereka dan memperindah
tempat tinggal mereka dengan kebun-kebun bunga yang indah-
indah.

Berkat kurnia Tuhan itu mereka hidup menjadi makmur, sejahtera
dan bahagia serta dalam waktu yang singkat mereka berkembang
biak dan menjadi suku yang terbesar diantara suku-suku yang
hidup di sekelilingnya. Sebagaimana dengan kaum Nabi Nuh, kaum
Hud, suku Aad ini adalah pengisian rohaninya tidak mengenal
Allah, Yang Maha Kuasa Pencipta alam semesta. Mereka membuat
patung-patung yang diberi nama " Shamud" dan " Alhattar" dan
itu yang disembah sebagai tuhan mereka yang menurut
kepercayaan mereka dapat memberi kebahagiaan, kebaikan dan
keuntungan serta dapat menolak kejahatan, kerugian dan segala
musibah.

Ajaran dan agama Nabi Idris dan Nabi Nuh sudah tidak lagi
berbekas dalam hati, jiwa serta cara hidup mereka sehari-hari.
Kenikmatan hidup yang mereka sedang nikmati di dalamnya berkat
tanah yang subur dan menghasilkan rezeki yang melimpah ruah
menurut anggapan mereka adalah kurniaan dan pemberian dari
kedua berhala mereka yang mereka sembah. Kerananya mereka
tidak putus-putus sujud kepada kedua berhala itu dengan
mensyukurinya sambil memohon perlindungannya dari segala
bahaya dan mushibah berupa penyakit atau kekeringan.

Sebagai akibat dan amalan dari Aqidah yang Sesat, pergaulan
hidup mereka menjadi dikuasai oleh tuntutan dan pimpinan
Iblis, di mana nilai-nilai moral dan akhlak tidak menjadi
dasar penimbangan atau kelakuan dan tindak-tanduk seseorang.
Tetapi kebendaan dan kekuatan lahiriahlah yang menonjol
sehingga timbul kerusuhan dan tindakan sewenang-wenang
di dalam masyarakat di mana yang kuat menindas yang lemah,
yang besar memperkosa yang kecil dan yang berkuasa memeras
yang di bawahnya.

Sifat-sifat sombong, bongkak, iri-hati, hasad dengki, dan
benci-membenci yang didorong oleh hawa nafsu bermaharajalela
dan menguasai kehidupan mereka sehingga tidak memberi tempat
kepada sifat-sifat belas kasihan, sayang menyayangi, jujur,
amanat dan rendah hati. Demikianlah gambaran masyarakat suku
Aad tatkala Allah mengutuskan Nabi Hud sebagai nabi dan rasul
kepada mereka.

* Nabi Hud Berdakwah Di Tengah-tengah Sukunya *

Sudah menjadi sunnah Allah sejak diturunkannya Adam Ke bumi
bahawa dari masa ke semasa jika hamba-hambaNya sudah berada
dalam kehidupan yang sesat sudah jauh menyimpang dari ajaran-
ajaran agama yang dibawa oleh Nabi-nabiNya, akan diutusNya
seorang Nabi atau Rasul yang bertugas untuk menyegarkan
kembali ajaran-ajaran nabi-nabi yang sebelumnya dan
mengembalikan masyarakat yang sudah tersesat ke jalan lurus
dan benar dan mencuci bersih jiwa manusia dari segala tahayul
dan syirik menggantinya dan mengisinya dengan Iman, Tauhid
dan Aqidah yang sesuai dengan fitrah.

Demikianlah maka kepada suku Aad yang telah dimabukkan oleh
kesejahteraan hidup dan kenikmatan duniawi sehingga tidak
mengenalkan Tuhannya yang mengurniakan itu semua. Nabi Hud
memulai dakwahnya dengan menarik perhatian kaumnya suku Aad
kepada tanda-tanda wujudnya Allah yang berupa alam sekeliling
mereka dan bahawa Allahlah yang mencipta mereka semua dan
mengurniakan mereka dengan segala kenikmatan hidup yang berupa
tanah yang subur, air yang mengalir serta tubuh badan yang
tegak dan kuat. Dialah yang seharusnya mereka sembah dan
bukannya patung-patung yang mereka perbuat sendiri.

Mereka sebagai manusia adalah makhluk Tuhan paling mulia yang
tidak sepatutnya merendahkan diri sujud menyembah batu-batu
yang dapat mereka hancurkan sendiri dan memusnahkannya dari
pandangan dan dengan tangan mereka.

Di terangkan oleh Nabi Hud bahawa dia adalah pesuruh Allah
yang diberi tugas untuk membawa mereka ke jalan yang benar
beriman kepada Allah yang menciptakan mereka menghidup dan
mematikan mereka memberi rezeki atau mencabutnya daripada
mereka. Ia tidak mengharapkan upah dan menuntut balas jasa
atas usahanya memimpin dan menuntut mereka ke jalan yang
benar.

Ia hanya menjalankan perintah Allah dan memperingatkan mereka
bahawa jika mereka tetap menutup telinga dan mata mereka
menghadapi ajakan dan dakwahnya mereka akan ditimpa azab dan
dibinasakan oleh Allah sebagaimana terjadinya atas kaum Nuh
yang mati binasa, tenggelam dalam air bah akibat kebongkakan
dan kesombongan mereka menolak ajaran dan dakwah Nabi Nuh
seraya bertahan pada pendirian dan kepercayaan mereka kepada
berhala dan patung-patung yang mereka sembah dan dipuja itu.

Bagi kaum Aad seruan dan dakwah Nabi Hud itu merupakan barang
yang tidak pernah mereka dengar ataupun menduga. Mereka
melihat bahawa ajaran yang dibawa oleh Nabi Hud itu akan
mengubah sama sekali cara hidup mereka dan merosakkan
peraturan dan adat istiadat yang telah mereka kenal dan warisi
dari nenek moyang mereka.

Mereka tercengang dan merasa hairan bahawa seorang dari suku
mereka sendiri telah berani berusaha merombak tatacara hidup
mereka dan menggantikan agama dan kepercayaan mereka dengan
sesuatu yang baru, yang mereka tidak kenal dan tidak pula
dimengertikan dan susah diterima oleh akal fikiran mereka.

Dengan serta-merta ditolaklah oleh mereka dakwah Nabi Hud itu
dengan berbagai alasan dan tuduhan kosong terhadap diri beliau
serta ejekan-ejekan dan hinaan yang diterimanya dengan kepala
dingin dan penuh kesabaran.

Berkatalah kaum Aad kepada Nabi Hud: " Wahai Hud ! Ajaran dan
agama apakah yang engkau hendak anjurkan kepada kami ? Engkau
ingin agar kami meninggalkan persembahan kami kepada tuhan-
tuhan kami yang berkuasa ini dan menyembah tuhanmu yang tidak
dapat kami jangkau dengan pancaindera kami dan tuhan yang
menurut kata kamu tidak bersekutu.

Cara persembahan yang kami lakukan ini ialah yang telah kami
warisi dari nenek moyang kami dan tidak sesekali kami tidak
akan meninggalkannya bahkan sebaliknya engkaulah yang
seharusnya kembali kepada aturan nenek moyangmu dan jangan
merosakkan kepercayaan dan agama mereka dengan membawa suatu
agama baru yang tidak dikenali oleh mereka dan tentu tidak
akan direstuinya."

" Wahai kaumku !" jawab Nabi Hud, " Sesungguhnya Tuhan yang
aku serukan ini kepada kamu untuk menyembahNya walaupun kamu
tidak dapat menjangkauNya dengan pancainderamu namun kamu
dapat melihat dam merasakan wujudnya dalam diri kamu sendiri
sebagai ciptaanNya dan dalam alam semesta yang mengelilingimu
beberapa langit dengan matahari, bulan dan bintang-bintangnya,
bumi dengan gunung-ganangnya, sungai, tumbuh-tumbuhan dan
binatang-binatang yang kesemuanya dapat memberi manfaat bagi
kamu sebagai manusia.

Dan dapat kamu menikmati kehidupan yang sejahtera dan bahagia.
Tuhan itulah yang harus kamu sembah dan menundukkan kepala
kamu kepadaNya.Tuhan Yang Maha Esa, tiada bersekutu, tidak
beranak dan diperanakan yang walaupun kamu tidak dapat
menjangkauNya dengan pancainderamu, Dia dekat daripada kamu
serta mengetahui segala gerak-geri dan tingkah lakumu,
mengetahui isi hatimu, denyut jantungmu dan jalan fikiranmu.

Tuhan itulah yang harus disembah oleh manusia dengan
kepercayaan penuh kepada KeEsaanNya dan keKuasaanNya dan bukan
patung-patung yang kamu perbuat pahat dan ukir dengan tangan
kamu sendiri, kemudian kamu sembah sebagai tuhan padahal ia
suatu barang yang pasif tidak dapat berbuat sesuatu yang
menguntungkan atau merugikan kamu.

Alangkah Bodohnya dan Ceteknya fikiranmu jika kamu tetap
mempertahankan agamamu yang sesat itu dan menolak ajaran dan
agama yang telah diwahyukan kepadaku oleh Allah Tuhan Yang
Maha Esa itu."

" Wahai Hud !" jawab kaumnya, " Gerangan apakah yang
menjadikan engkau berpandangan dan berfikiran lain daripada
yang sudah menjadi pegangan hidup kami sejak dahulu kala dan
menjadikan engkau meninggalkan agama nenek moyangmu sendiri
bahkan sehingga engkau menghina dan merendahkan martabat
tuhan-tuhan kami dan memperbodohkan kami dan menganggap kami
berakal sempit dan berfikiran cetek ?

Engkau mengaku bahawa engkau terpilih menjadi rasul pesuruh
oleh Tuhanmu untuk membawa agama dan kepercayaan baru kepada
kami dan mengajak kami keluar dari jalan yang sesat menurut
pengakuanmu ke jalan yang benar dan lurus. Kami merasa hairan
dan tidak dapat menerima oleh akal kami sendiri bahawa engkau
telah dipilih menjadi pesuruh Tuhan.

Apakah kelebihan kamu di atas seseorang daripada kami, engkau
tidak lebih tidak kurang adalah seorang manusia biasa seperti
kami hidup makan minum dan tidur, tiada bezanya dengan kami,
mengapa engkau yang dipilih oleh Tuhanmu ? Sungguh engkau
menurut anggapan kami seorang pendusta besar atau mungkin
engkau berfikiran tidak sihat terkena kutukan tuhan-tuhan kami
yang selalu engkau ejek, hina dan cemuhkan."

" Wahai kaumku !" jawab Nabi Hud, " Aku bukanlah seorang
pendusta dan fikiran ku tetap waras dan sihat tidak kurang
sesuatu pun dan ketahuilah bahwa patung-patungmu yang kamu
perTuhankan itu tidak dapat mendatangkan sesuatu gangguan atau
penyakit bagi badanku atau fikiranku.

Kamu kenal aku, sejak lama aku hidup di tengah-tengah kamu
bahawa aku tidak pernah berdusta dan bercakap bohong dan
sepanjang pergaulanku dengan kamu tidak pernah terlihat pada
diriku tanda-tanda ketidakwajaran perlakuanku atau tanda-tanda
yang meragukan kewarasan fikiranku dan kesempurnaan akalku.

Aku adalah benar pesuruh Allah yang diberi amanat untuk
menyampaikan wahyuNya kepada hamba-hambaNya yang sudah
tersesat dengan pengaruh ajaran Iblis dan sudah jauh
menyimpang dari jalan yang benar yang diajar oleh nabi-nabi
yang terdahulu kerana Allah tidak akan membiarkan hamba-
hambaNya terlalu lama terlantar dalam kesesatan dan hidup
dalam kegelapan tanpa diutuskan seorang rasul yang memimpin
mereka ke jalan yang benar dan penghidupan yang diredhaiNya.

Maka percayalah kamu kepadaku, gunakanlah akal fikiran kamu,
berimanlah dan bersujudlah kepada Allah, Tuhan seru sekalian
alam, Tuhan yang menciptakan kamu, menciptakan langit dan
bumi, menurunkan hujan bagi menyuburkan tanah ladangmu,
menumbuhkan tumbuh-tumbuhan bagi meneruskan hidupmu.

Bersembahlah kepadaNya dan mohonlah Ampun atas segala
perbuatan salah dan tindakan sesatmu, agar Dia menambah
rezekimu dan kemakmuran hidupmu dan terhindarlah kamu dari
azab dunia sebagaimana yang telah dialami oleh kaum Nuh dan
kelak azab di akhirat.

Ketahuilah bahawa kamu akan dibangkitkan kembali kelak dari
kubur kamu dan diminta bertanggungjawab atas segala perbuatan
kamu di dunia ini dan diberi ganjaran sesuai dengan amalanmu,
yang baik dan soleh mendapat ganjaran baik dan yang hina dan
buruk akan mendapat ganjaran dengan api neraka.

Aku hanya menyampaikan risalah Allah kepada kamu dengan
memperingati kamu akan akibat yang akan menimpa kepada dirimu,
jika kamu tetap mengingkari kebenaran dakwahku."

Kaum Aad menjawab: " Kami bertambah yakin dan tidak ragu lagi
bahawa engkau telah mendapat kutukan tuhan-tuhan kami sehingga
menyebabkan fikiran kamu kacau dan akalmu berubah menjadi
tidak waras. Engkau telah mengucapkan kata-kata yang tidak
masuk akal bahawa jika kami mengikuti agamamu, akan bertambah
rezeki dan kemakmuran hidup kami dan bahawa kami akan
dibangkitkan kembali dari kubur kami dan menerima segala
ganjaran atas segala amalan kami.

Adakah mungkin kami akan dibangkitkan kembali dari kubur kami
setelah kami mati dan menjadi tulang-belulang. Dan apakah azab
dan seksaan yang engkau selalu menakut-nakuti kami dan
mengancamkannya kepada kami ? Semua ini kami anggap kosong dan
ancaman kosong belaka.

Ketahuilah bahawa kami tidak akan menyerah kepadamu dan
mengikuti ajaranmu kerana bayangan azab dan seksa yang engkau
bayang-bayangkannya kepada kami, bahkan kami menentang
kepadamu datangkanlah apa yang engkau janjikan dan ancamlah
kami jika engkau betul-betul benar dalam kata-katamu dan bukan
seorang pendusta."

" Baiklah !" jawab Nabi Hud, " Jika kamu meragukan kebenaran
kata-kataku dan tetap berkeras kepala tidak menghiraukan
dakwahku dan meninggalkan persembahanmu kepada berhala-berhala
itu maka tunggulah saat tibanya pembalasan Tuhan di mana kamu
tidak akan dapat melepaskan diri dari bencananya. Allah
menjadi saksiku bahawa aku telah menyampaikan risalahNya
dengan sepenuh tenagaku kepadamu dan aku akan tetap berusaha
sepanjang hayat dikandung badan memberi penerangan dan
tuntunan kepada jalan yang baik yang telah digariskan oleh
Allah bagi hamba-hambaNya."

* Pembalasan Allah Atas Kaum Aad *

Pembalasan Tuhan terhadap kaum Aad yang kafir dan tetap
membangkang itu, diturunkan dalam dua peringkat. Tahap pertama
berupa kekeringan yang melanda ladang-ladang dan kebun-kebun
mereka, sehingga menimbulkan kecemasan dan kegelisahan, kalau-
kalau mereka tidak memperolehi hasil dari ladang-ladang dan
kebun-kebunnya seperti biasanya.

Dalam keadaan demikian Nabi Hud masih berusaha meyakinkan
mereka bahawa kekeringan itu adalah suatu permulaan seksaan
dari Allah yang dijanjikan dan bahawa Allah masih lagi memberi
kesempatan kepada mereka untuk sedar akan kesesatan dan
kekafiran mereka dan kembali berIman kepada Allah dengan
meninggalkan persembahan mereka yang bathil, kemudian
berTaubat dan memohon Ampun kepada Allah agar segera Hujan
turun kembali dengan lebatnya dan terhindar mereka dari bahaya
kelaparan yang mengancam.

Akan tetapi mereka tetap belum mahu percaya dan menganggap
janji Nabi Hud itu adalah janji kosong belaka. Bahkan mereka
pergi menghadap berhala-berhala mereka memohon perlindungan
dari musibah yang mereka hadapi. Tentangan mereka terhadap
janji Allah yang diwahyukan kepada Nabi Hud segera mendapat
jawapan dengan datangnya pembalasan tahap kedua yang dimulai
dengan terlihatnya gumpalan awan dan mega hitam yang tebal
di atas mereka yang disambutnya dengan sorak-sorai gembira,
kerana dikiranya bahawa hujan akan segera turun membasahi
ladang-ladang dan menyirami kebun-kebun mereka yang sedang
mengalami kekeringan.

Melihat sikap kaum Aad yang sedang bersuka ria itu berkatalah
Nabi Hud dengan nada mengejek: " Gumpalan awan hitam itu
bukanlah awan rahmat/hujan bagi kamu tetapi awan taufan yang
akan membawa kepada kehancuran kamu sebagai pembalasan Allah
yang telah aku janjikan dan kamu ternanti-nanti untuk
membuktikan kebenaran kata-kataku yang selalu kamu sangkal dan
kamu dusta itu."

Sejurus kemudian menjadi kenyataanlah apa yang diramalkan oleh
Nabi Hud itu bahawa bukan hujan yang turun dari awan yang
tebal itu tetapi angin taufan yang dahsyat dan kencang
disertai bunyi gemuruh yang mencemaskan yang telah merosakkan
bangunan-bangunan rumah dari dasarnya membawa berterbangan
semua perabot-perabot dan harta benda dan melempar jauh
binatang-binatang ternakan. Keadaan kaum Aad menjadi panik
mereka berlari ke sana-sini, mudik mencari perlindungan .

Suami tidak tahu di mana isterinya berada dan ibu juga
kehilangan anaknya, sedang rumah-rumah menjadi sama rata
dengan tanah. Bencana angin taufan itu berlangsung selama,
lapan hari tujuh malam sehingga sempat menyapu bersih kaum Aad
yang bongkak itu dan menamatkan riwayat kaumnya dalam keadaan
yang menyedihkan untuk menjadi pengajaran dan ibrah bagi umat-
umat yang akan datang.

Adapun Nabi Hud dan para sahabatnya yang beriman telah
mendapat perlindungan Allah dari bencana yang menimpa kaumnya
yang kacau bilau dan tenang seraya melihat keadaan kaumnya
yang kacau bilau mendengar gemuruhnya angin dan bunyi pohon-
pohon dan bangunan-bangunan yang berjatuhan serta teriakan dan
tangisan orang yang meminta tolong dan mohon perlindungan.

Setelah keadaan cuaca kembali tenang dan tanah " Al-Ahqaf "
sudah menjadi sunyi senyap dari kaum Aad pergilah Nabi Hud
meninggalkan tempatnya, berhijrah ke Hadramaut, di mana ia
tinggal menghabiskan sisa hidupnya sampai ia wafat dan
dimakamkan di sana dimana hingga sekarang makamnya yang
terletak di atas sebuah bukit di suatu tempat lebih kurang
50 km dari kota Siwun dikunjungi para penziarah yang datang
beramai-ramai dari sekitar daerah itu, terutamanya dan bulan
Syaaban pada setiap tahun.

* Kisah Nabi Hud Dalam Al-Quran *

Kisah Nabi Hud diceritakan oleh 68 ayat dalam 10 surah
di antaranya surah Hud, ayat 50 hingga 60 , surah Al-Mukminun
ayat 31 sehingga ayat 41 , surah Al-Ahqaaf ayat 21 sehingga
ayat 26 dan surah Al-Haaqqah ayat 6 ,7 dan 8.

* Pengajaran Dari Kisah Nabi Hud A.S. *

Nabi Hud telah memberi contoh dan sistem yang baik yang patut
ditiru dan diikuti oleh juru dakwah dan ahli penerangan agama.
Beliau menghadapi kaumnya yang sombong dan keras kepala itu
dengan penuh kesabaran, ketabahan dan kelapangan dada. Ia
tidak sesekali membalas ejekan dan kata-kata kasar mereka
dengan serupa tetapi menolaknya dengan kata-kata yang halus
yang menunjukkan bahawa beliau dapat menguasai emosinya dan
tidak sampai kehilangan akal atau kesabaran.

Nabi Hud tidak marah dan tidak gusar ketika kaumnya mengejek
dengan menuduhnya telah menjadi gila dan tidak waras. Ia
dengan lemah lembut menolak tuduhan dan ejekan itu dengan
hanya mengata:

" Aku tidak gila dan bahawa tuhan-tuhanmu yang kamu sembah
tidak dapat menggangguku atau mengganggu fikiranku sedikit pun
tetapi aku ini adalah rasul, pesuruh Allah kepadamu dan betul-
betul aku adalah seorang penasihat yang jujur bagimu,
menghendaki kebaikanmu dan kesejahteraan hidupmu dan agar kamu
terhindar dan selamat dari azab dan seksaan Allah di dunia
mahupun di akhirat."

Dalam berdialog dengan kaumnya. Nabi Hud selalu berusaha
mengetuk hati nurani mereka dan mengajak mereka berfikir
secara rasional, menggunakan akal dan fikiran yang sihat
dengan memberikan bukti-bukti yang dapat diterima oleh akal
mereka tentang kebenaran dakwahnya dan kesesatan jalan mereka.
Namun Hidayah itu adalah dari Allah, Dia akan memberinya
kepada siapa yang Dia kehendakinya.

posted from Bloggeroid

Riwayat Nabi Nuh (003)...^^..

Riwayat Nabi Nuh (003)...^^..

Nabi Nuh adalah nabi keEmpat sesudah Adam, Syith dan Idris dan
keturunan kesembilan dari Nabi Adam.

* Dakwah Nabi Nuh Kepada Kaumnya *

Nabi Nuh menerima wahyu keNabian dari Allah dalam masa
" fatrah" masa kekosongan di antara dua rasul di mana biasanya
manusia secara beransur-ansur melupakan ajaran agama yang
dibawa oleh nabi yang meninggalkan mereka dan kembali
berSyirik meninggalkan amal kebajikan, melakukan kemungkaran
dan kemaksiatan di bawah pimpinan Iblis.

Demikianlah maka kaum Nabi Nuh tidak luput dari proses
tersebut, sehingga ketika Nabi Nuh datang di tengah-tengah
mereka, mereka sedang menyembah berhala ialah patung-patung
yang dibuat oleh tangan-tangan mereka sendiri disembahnya
sebagai tuhan-tuhan yang dapat membawa kebaikan dan manfaat
serta menolak segala kesengsaraan dan kemalangan, berhala-
berhala yang dipertuhankan dan menurut kepercayaan mereka
mempunyai kekuatan dan kekuasaan ghaib ke atas manusia itu
diberinya nama-nama yang silih berganti menurut kehendak dan
selera kebodohan mereka.

Kadang-kadang mereka namakan berhala mereka " Wadd " dan
" Suwa " kadangkala " Yaguts " dan bila sudah bosan digantinya
dengan nama " Yatuq " dan " Nasr ". Nabi Nuh berdakwah kepada
kaumnya yang sudah jauh tersesat oleh iblis itu, mengajak
mereka meninggalkan syirik dan penyembahan berhala dan kembali
kepada Tauhid menyembah Allah Tuhan sekalian alam melakukan
ajaran-ajaran agama yang diwahyukan kepadanya serta
meninggalkan kemungkaran dan kemaksiatan yang diajarkan oleh
Syaitan dan Iblis.

Nabi Nuh menarik perhatian kaumnya agar melihat alam semesta
yang diciptakan oleh Allah berupa langit dengan matahari,
bulan dan bintang-bintang yang menghiasinya, bumi dengan
kekayaan yang ada di atas dan di bawahnya, berupa tumbuh-
tumbuhan dan air yang mengalir yang memberi kenikmatan hidup
kepada manusia, pergantian malam menjadi siang dan sebaliknya
yang kesemua itu menjadi bukti dan tanda nyata akan adanya
keEsaan Tuhan yang harus disembah dan bukan berhala-berhala
yang mereka buat dengan tangan mereka sendiri.

Di samping itu Nabi Nuh juga memberitakan kepada mereka bahwa
akan ada gajaran yang akan diterima oleh manusia atas segala
amalannya di dunia iaitu Syurga bagi amalan kebajikan dan
Neraka bagi segala pelanggaran terhadap perintah Agama yang
berupa kemungkaran dan kemaksiatan.

Nabi Nuh yang dikurniakan Allah dengan sifat-sifat yang patut
dimiliki oleh seorang nabi, Fasih dan Tegas dalam kata-
katanya, bijaksana dan Sabar dalam tindak-tanduknya
melaksanakan tugas risalahnya kepada kaumnya dengan penuh
kesabaran dan kebijaksanaan dengan cara yang lemah lembut,
mengetuk hati nurani mereka dan kadang kala dengan kata-kata
yang tajam dan nada yang kasar bila menghadapi pembesar-
pembesar kaumnya yang keras kepala yang enggan menerima Hujah
dan Dalil-dalil yang dikemukakan kepada mereka yang tidak
dapat mereka membantahnya atau mematahkannya.

Akan tetapi walaupun Nabi Nuh telah berusaha sekuat tenaga
berdakwah kepda kaumnya dengan segala kebijaksanaan, kecekapan
dan kesabaran dan dalam setiap kesempatan, siang mahupun malam
dengan cara berbisik-bisik atau cara terang dan terbuka
ternyata hanya sedikit sekali dari kaumnya yang dapat menerima
dakwahnya dan mengikuti ajakannya, yang menurut riwayatnya
tidak melebihi bilangan seratus( 100) orang Mereka pula
terdiri dari orang-orang yang Miskin berkedudukan sosial Lemah
dan Naif.

Sedangkan orang yang kaya-raya, berkedudukan tinggi dan
terpandang dalam masyarakat, yang merupakan pembesar-pembesar
dan penguasa-penguasa tetap membangkang, tidak mempercayai
Nabi Nuh serta mengingkari dakwahnya dan sesekali tidak
merelakan melepas agama nenek moyang dan kepercayaan mereka
terhadap berhala-berhala mereka, bahkan mereka berusaha dengan
mengadakan rancangan hendak melumpuhkan dan mengagalkan usaha
dakwah Nabi Nuh.

Berkata mereka kepada Nabi Nuh: " Bukankah engkau hanya
seorang daripada kami dan tidak berbeza daripada kami sebagai
manusia biasa. Jikalau betul Allah akan mengutuskan seorang
rasul yang membawa perintahNya, nescaya Ia akan mengutuskan
seorang malaikat yang patut kami dengarkan kata-katanya dan
kami ikuti ajakannya dan bukan manusia biasa seperti engkau
hanya dapat diikuti orang-orang Rendah kedudukan sosialnya
seperti para buruh petani, orang-orang yang tidak
berpenghasilan yang bagi kami mereka seperti sampah
masyarakat.

Pengikut-pengikutmu itu adalah orang-orang yang tidak
mempunyai daya fikiran dan ketajaman otak, mereka mengikutimu
secara membuta tuli tanpa memikirkan dan menimbangkan semasak-
masaknya kebenaran itu atau tidaknya dakwah dan ajakanmu itu.
Jika agama yang engkau bawa dan ajaran-ajaran yang engkau
sadurkan kepada kami itu betul-betul benar, nescaya kamilah
dulu mengikutimu dan bukannya orang-orang yang menGemis
seperti pengikut-pengikutmu itu.

Kami sebagai pemuka-pemuka masyarakat yang pandai berfikir,
memiliki kecerdasan otak dan pandangan yang luas dan yang
dipandang masyarakat sebagai pemimpin-pemimpinnya, tidaklah
mudah kami menerima ajakanmu dan dakwahmu. Engkau tidak
mempunyai kelebihan di atas kami tentang soal-soal
kemasyarakatan, pergaulan hidup kami juga jauh lebih baik dan
kami lebih mengetahui daripadamu tentang semua hal. Anggapan
kami terhadapmu, tidak lain dan tidak bukan, bahawa engkau
adalah pendusta belaka."

Nuh berkata, menjawab ejekan dan olok-olokan kaumnya: " Adakah
engkau mengira bahawa aku dapat memaksa kamu mengikuti
ajaranku atau mengira bahawa aku mempunyai kekuasaan untuk
menjadikan kamu orang-orang yang berIman jika kamu tetap
menolak ajakan ku dan tetap membuta-tuli terhadap bukti-bukti
kebenaran dakwahku dan tetap mempertahankan pendirianmu yang
tersesat yang diilhamkan oleh kesombongan dan kebongkakan
kerana kedudukan dan harta-benda yang kamu miliki.

Aku hanya seorang manusia yang mendapat amanat dan diberi
tugas oleh Allah untuk menyampaikan risalahNya kepada kamu.
Jika kamu tetap berkeras kepala dan tidak mahu kembali
ke jalan yang Benar dan menerima agama Allah yang diutuskanNya
kepadaku maka terserahlah kepada Allah untuk menentukan
hukumanNya dan ganjaranNya keatas diri kamu. Aku hanya pesuruh
dan rasulNya yang diperintahkan untuk menyampaikan amanatNya
kepada hamba-hambaNya.

Dialah yang berkuasa memberi hidayah kepadamu dan mengampuni
dosamu atau menurunkan azab dan seksaanNya di atas kamu
sekalian jika dikehendakiNya. Dialah pula yang berkuasa
menurunkan seksa dan azabNya di dunia atau menangguhkannya
sampai hari kemudian(Kiamat). Dialah Tuhan pencipta alam
semesta ini, Maha Kuasa, Maha Mengetahui, Maha Pengasih dan
Maha Penyayang."

Kaum Nuh mengemukakan syarat dengan berkata: " Wahai Nuh !
Jika engkau menghendaki kami mengikutimu dan memberi sokongan
dan semangat kepada kamu dan kepada agama yang engkau bawa,
maka jauhkanlah para pengikutmu yang terdiri dari orang-orang
petani, buruh dan hamba-hamba sahaya itu. Usirlah mereka dari
pengaulanmu kerana kami tidak dapat bergaul dengan mereka,
duduk berdampingan dengan mereka, mengikut cara hidup mereka
dan bergabung dengan mereka dalam suatu agama dan kepercayaan.

Dan bagaimana kami dapat menerima satu agama yang menyama
ratakan para bangsawan dengan orang awam, penguasa dan
pembesar dengan buruh-buruhnya dan orang kaya yang
berkedudukan dengan orang yang miskin dan papa."

Nabi Nuh menolak pensyaratan kaumnya dan berkata: " Risalah
dan agama yang aku bawa adalah untuk semua orang tiada
pengecualian, yang pandai mahupun yang bodoh, yang kaya
mahupun miskin, majikan ataupun buruh , di antara penguasa dan
rakyat biasa semuanya mempunyai kedudukan dan tempat yang sama
terhadap agama dan hukum Allah.

Andai kata aku memenuhi pensyaratan kamu dan meluluskan
keinginanmu menyingkirkan para pengikutku yang setia itu, maka
siapakah yang dapat ku harapkan akan meneruskan dakwahku
kepada orang ramai dan bagaimana aku sampai hati menjauhkan
daripadaku orang-orang yang telah beriman dan menerima
dakwahku dengan penuh keyakinan dan keIkhlasan di kala kamu
menolaknya serta mengIngkarinya, orang-orang yang telah
membantuku dalam tugasku di kala kamu menghalangi usahaku dan
merintangi dakwahku.

Dan bagaimanakah aku dapat mempertanggungjawabkan tindakan
pengusiranku kepada mereka terhadap Allah bila mereka mengadu
bahawa aku telah membalas kesetiaan dan ketaatan mereka dengan
sebaliknya semata-mata untuk memenuhi permintaanmu dan tunduk
kepada pensyaratanmu yang tidak wajar dan tidak dapat diterima
oleh akal dan fikiran yang sihat. Sesungguhnya kamu adalah
orang-orang yang bodoh dan tidak berfikiran sihat."

Pada akhirnya, kerana merasa tidak berdaya lagi mengingkari
kebenaran kata-kata Nabi Nuh dan merasa kehabisan alasan dan
hujah untuk melanjutkan dialog dengan beliau, maka berkatalah
mereka:

" Wahai Nabi Nuh ! Kita telah banyak bermujadalah dan berdebat
dan cukup berdialog serta mendengar dakwahmu yang sudah
menjemukan itu. Kami tetap tidak akan mengikutimu dan tidak
akan sesekali melepaskan kepercayaan dan adat-istiadat kami
sehingga tidak ada gunanya lagi engkau mengulang-ulangi dakwah
dan ajakanmu dan bertegang lidah dengan kami.

Datangkanlah kepada kami, apa yang engkau katakan, jika benar,
kamu orang yang menepati janji. Kami ingin melihat kebenaran
kata-katamu dan ancamanmu dalam kenyataan. Kerana kami masih
tetap belum mempercayaimu dan tetap meragukan dakwahmu."

* Nabi Nuh Berputus Asa Dari Kaumnya.*

Nabi Nuh berada di tengah-tengah kaumnya selama sembilan ratus
lima puluh tahun berdakwah menyampaikan risalah Tuhan,
mengajak mereka meninggalkan penyembahan berhala dan kembali
menyembah dan beribadah kepada Allah Yang maha Kuasa serta
memimpin mereka keluar dari jalan yang Sesat dan gelap
ke jalan yang Benar dan terang, mengajar mereka hukum-hukum
syariat dan agama yang diwahyukan oleh Allah kepadanya,
mengangkat darjat manusia yang tertindas dan lemah ke tingkat
yang sesuai dengan fitrah dan qudratnya dan berusaha
menghilangkan sifat-sifat sombong dan bongkak yang melekat
pada para pembesar kaumnya dan mendidik agar mereka berkasih
sayang, tolong-menolong diantara sesama manusia.

Akan tetapi dalam waktu yang cukup lama itu, Nabi Nuh tidak
berhasil menyedarkan dan menarik kaumnya untuk mengikuti dan
menerima dakwahnya supaya kaumnya berIman, berTauhid dan
berIbadat kepada Allah kecuali sekelompok kecil kaumnya dan
tidak mencapai seramai seratus orang, walaupun ia telah
melakukan tugasnya dengan segala daya-usahanya dan sekuat
tenaganya dengan penuh kesabaran dan kesulitan menghadapi
pengHinaan, Ejekan dan Cercaan serta Makian kaumnya. Kerana ia
mengharapkan akan datang masanya di mana kaumnya akan sedar
kesalahan diri dan datang mengakui kebenarannya dan kebenaran
dakwahnya.

Harapan Nabi Nuh akan kesedaran kaumnya ternyata makin hari
makin berkurangan dan bahawa sinar Iman dan Takwa tidak akan
menebus ke dalam hati mereka yang telah tertutup rapat oleh
ajaran dan bisikan Iblis. Akhirnya, Nabi Nuh menerima
firman/arahan Allah yang bermaksud:

" Sesungguhnya tidak akan seorang daripada kaumnya mengikutimu
dan beriman kecuali mereka yang telah mengikutimu dan beriman
lebih dahulu, maka janganlah engkau bersedih hati kerana apa
yang mereka perbuatkan."

Dengan penegasan firman Allah itu, lenyaplah sisa harapan Nabi
Nuh dari kaumnya dan habislah keSabarannya. Ia memohon kepada
Allah agar menurunkan AzabNya di atas kaumnya yang berkepala
batu seraya berseru: " Ya Allah ! Janganlah Engkau biarkan
seorang pun daripada orang-orang kafir itu hidup dan tinggal
di atas bumi ini.

Mereka akan berusaha menyesatkan hamba-hambaMu, jika Engkau
biarkan mereka tinggal, mereka pasti akan melahirkan dan
menurunkan selain anak-anak yang berbuat maksiat dan anak-anak
yang kafir seperti mereka."

Doa Nabi Nuh dikabulkan oleh Allah dan permohonannya
diluluskan dan dia tidak perlu lagi menghiraukan dan
mempersoalkan kaumnya, kerana mereka itu akan menerima hukuman
Allah dengan mati tenggelam.

* Nabi Nuh Membuat Kapal.*

Setelah menerima perintah Allah untuk membuat sebuah kapal,
segeralah Nabi Nuh mengumpulkan para pengikutnya dan mulai
mereka mengumpulkan bahan yang diperlukan untuk maksud
tersebut, kemudian dengan mengambil tempat yang agak jauh dari
kota dan bekerjalah orang berIman dengan rajin dan tekun
bekerja siang dan malam menyelesaikan pembinaan kapal yang
diperintahkan itu.

Walaupun Nabi Nuh telah menjauhi kota dan masyarakatnya, agar
dapat bekerja dengan tenang tanpa gangguan bagi menyelesaikan
pembinaan kapalnya namun ia tidak luput dari ejekan dan
cemuhan kaumnya yang kebetulan atau sengaja melalui tempat
kerja membina kapal itu. Mereka mengejek dan mengolok-olokkan
dengan mengatakan:

" Wahai Nuh ! Sejak bila engkau telah menjadi tukang kayu dan
pembuat kapal ? Bukankah engkau seorang nabi dan rasul menurut
pengakuanmu, kenapa sekarang menjadi seorang tukang kayu dan
pembuat kapal.

Dan kapal yang engkau buat itu berada di tempat yang jauh dari
air ini adalah maksudmu untuk ditarik oleh kerbau ataukah
mengharapkan angin yang akan menarik kapalmu ke laut ?" Dan
lain-lain kata ejekan yang diterima oleh Nabi Nuh dengan sikap
dingin dan tersenyum seraya menjawab:

" Baiklah tunggu saja saatnya nanti, jika kamu sekarang
mengejek dan mengolok-olokkan kami maka akan tibalah masanya
kelak bagi kami untuk mengejek kamu dan akan kamu ketahui
kelak untuk apa kapal yang kami siapkan ini. Tunggulah saatnya
azab dan hukuman Allah menimpa atas diri kamu."

Setelah selesai pekerjaan pembuatan kapal yang merupakan alat
pengangkutan laut pertama di dunia, Nabi Nuh menerima wahyu
dari Allah: " Siap-siaplah engkau dengan kapalmu, bila tiba
perintahKu dan terlihat tanda-tanda daripadaKu maka segeralah
angkut bersamamu di dalam kapalmu dan kerabatmu dan bawalah
dua pasang dari setiap jenis makhluk yang ada di atas bumi dan
belayarlah dengan izinKu."

Kemudian tercurahlah dari langit dan memancur dari bumi air
yang deras dan dahsyat yang dalam sekelip mata telah menjadi
banjir besar yang melanda seluruh kota dan desa menenggelamkan
daratan yang rendah mahupun yang tinggi, mencapai puncak
bukit-bukit sehingga tiada tempat berlindung dari air bah yang
dahsyat itu kecuali kapal Nabi Nuh yang telah terisi penuh
dengan para orang mukmin dan pasangan makhluk yang
diselamatkan oleh Nabi Nuh atas perintah Allah.

Dengan iringan " Bismillah majraha wa mursaha" belayarlah
kapal Nabi Nuh dengan lajunya menyelusuri lautan air,
menentang angin yang kadang kala lemah lembut dan kadang kala
ganas dan ribut. Di kanan kiri kapal, terlihatlah orang-orang
kafir bergelut melawan gelombang air yang menggunung berusaha
menyelamat diri dari cengkaman maut yang sudah sedia menerkam
mereka di dalam lipatan gelombang-gelombang itu.

Tatkala Nabi Nuh berada di atas geladak kapal memperhatikan
cuaca dan melihat-lihat orang-orang kafir dari kaumnya sedang
bergelimpangan di atas permukaan air, tiba-tiba terlihatlah
olehnya, tubuh putera sulungnya yang bernama " Kan'aan" timbul
tenggelam dipermainkan oleh gelombang yang tidak menaruh belas
kasihan kepada orang-orang yang sedang menerima hukuman Allah
itu.

Pada saat itu, tanpa disedari, timbullah rasa cinta dan kasih
sayang seorang ayah terhadap putera kandungnya yang berada
dalam keadaan cemas menghadapi maut ditelan gelombang.

Nabi Nuh secara spontan, terdorong oleh suara hati kecilnya
berteriak dengan sekuat suaranya memanggil puteranya: " Wahai
anakku ! Datanglah kemari dan gabungkan dirimu bersama
keluargamu. Bertaubatlah engkau dan berimanlah kepada Allah
agar engkau selamat dan terhindar dari bahaya maut yang engkau
menjalani hukuman Allah. "

Kan'aan, putera Nabi Nuh, yang tersesat dan telah terkena
racun rayuan syaitan dan hasutan kaumnya yang sombong dan
keras kepala itu menolak dengan keras ajakan dan panggilan
ayahnya yang menyayanginya dengan kata-kata yang menentang:

" Biarkanlah aku dan pergilah, jauhilah aku, aku tidak sudi
berlindung di atas bahtera kapalmu, aku akan dapat
menyelamatkan diriku sendiri dengan berlindung di atas bukit
yang tidak akan dijangkau oleh air bah ini."

Nuh menjawab: " Percayalah bahawa tempat satu-satunya yang
dapat menyelamatkan engkau ialah bergabung dengan kami
di atas kapal ini. Tidak akan ada yang dapat melepaskan diri
dari hukuman Allah yang telah ditimpakan ini kecuali orang-
orang yang memperolehi rahmat dan keampunanNya."

Setelah Nabi Nuh mengucapkan kata-katanya tenggelamlah Kan'aan
disambar gelombang yang ganas dan lenyaplah ia dari pandangan
mata ayahnya, tergelincirlah ke bawah lautan air mengikut
kawan-kawannya dan pembesar-pembesar kaumnya yang durhaka itu.

Nabi Nuh bersedih hati dan berdukacita atas kematian puteranya
dalam keadaan kafir tidak beriman dan belum mengenal Allah.
Beliau berkeluh-kesah dan berseru kepada Allah: " Ya Tuhanku,
sesungguhnya puteraku itu adalah darah dagingku dan adalah
bahagian dari keluargaku dan sesungguhnya janjiMu adalah janji
benar dan Engkaulah Maha Hakim yang Maha Berkuasa."

Kepadanya Allah berfirman: " Wahai Nuh ! Sesungguhnya dia,
puteramu itu tidaklah termasuk keluargamu, kerana ia telah
menyimpang dari ajaranmu, melanggar perintahmu menolak
dakwahmu dan mengikuti jejak orang-orang yang kafir daripada
kaummu. Terkeluarlah namanya dari daftar keluargamu.

Hanya mereka yang telah menerima dakwahmu mengikuti jalanmu
dan beriman kepadaKu dapat engkau masukkan dan golongkan
ke dalam barisan keluargamu yang telah Aku janjikan
perlindungannya dan terjamin keselamatan jiwanya. Adapun
orang-orang yang mengingkari risalahmu, mendustakan dakwahmu
dan telah mengikuti hawa nafsunya dan tuntutan Iblis, pastilah
mereka akan binasa menjalani hukuman yang telah Aku tentukan
walau mereka berada dipuncak gunung.

Maka janganlah engkau sesekali menanyakan tentang sesuatu yang
engkau belum ketahui. Aku ingatkan janganlah engkau sampai
tergolong ke dalam golongan orang-orang yang bodoh."

Nabi Nuh segera tersedar setelah menerima teguran dari Allah
bahwa cinta kasih sayangnya kepada anaknya telah menjadikan ia
lupa akan janji dan ancaman Allah terhadap orang-orang kafir
termasuk puteranya sendiri.

Ia sedar bahawa ia tersesat pada saat ia memanggil puteranya
untuk menyelamatkannya dari bencana banjir yang didorong oleh
perasaan naluri darah yang menghubungkannya dengan puteranya
padahal sepatutnya cinta dan taat kepada Allah harus
mendahului cinta kepada keluarga dan harta-benda.

Dia sangat menyesal keatas kelalaian dan kealpaannya itu dan
menghadap kepada Allah memohon ampun dan maghfirahnya dengan
berseru: " Ya Tuhanku, aku berlindung kepadaMu dari godaan
syaitan yang terlaknat, ampunilah kelalaian dan kealpaanku
sehingga aku menanyakan sesuatu yang aku tidak mengetahuinya.

Ya Tuhanku, bila Engkau tidak memberi ampun dan maghfirah
serta menurunkan rahmat bagiku, nescaya aku menjadi orang
yang rugi."

Setelah air bah itu mencapai puncak keganasannya dan habis
binasalah kaum Nuh yang kafir dan zalim sesuai dengan kehendak
dan hukum Allah, surutlah lautan air diserap bumi kemudian
bertambatlah kapal Nuh di atas bukit " Judie " dengan iringan
perintah Allah kepada Nabi Nuh:

" Turunlah wahai Nuh ke darat, bersama para mukmin yang
menyertaimu dengan selamat dilimpahi barakah dan inayah dari
sisiKu bagimu dan bagi umat yang menyertaimu."

* Kisah Nabi Nuh Dalam Al-Quran.*

Al-Quran menceritakan kisah Nabi Nuh dalam 43 ayat dari 28
surah di antaranya surah Nuh dari ayat 1 sehinga 28, juga
dalam surah " Hud" ayat 25 sehingga 49 yang mengisahkan dialog
Nabi Nuh dengan kaumnya dan perintah pembuatan kapal serta
keadaan banjir yang menimpa di atas mereka.

* Pengajaran Dari Kisah Nabi Nuh A.S.*

Bahawasanya hubungan antara manusia yang terjalin karena
ikatan persamaan kepercayaan atau penamaan aqidah dan
pendirian adalah lebih erat dan lebih berkesan daripada
hubungan yang terjalin kerana ikatan darah atau kelahiran.

Kan'aan yang walaupun ia adalah anak kandung Nabi Nuh, oleh
Allah s.w.t. dikeluarkan dari bilangan keluarga ayahnya kerana
ia menganut kepercayaan dan agama berlainan dengan apa yang
dianuti dan didakwahkan oleh ayahnya sendiri, bahkan ia berada
di pihak yang memusuhi dan menentangnya.

Maka dalam pengertian inilah dapat difahami firman Allah dalam
Al-Quran yang bermaksud: " Sesungguhnya para mukmin itu adalah
bersaudara." Demikian pula hadis Rasulullah s.a.w. yang
bermaksud:

" Tidaklah sempurna iman seseorang kecuali jika ia menyintai
saudaranya yang beriman sebagaimana ia menyintai dirinya
sendiri." Juga peribahasa yang berbunyi: " Adakalanya engkau
memperolehi seorang saudara yang tidak dilahirkan oleh ibumu."

posted from Bloggeroid

Riwayat Nabi Idris (002)...^^..

Riwayat Nabi Idris (002).....

Tidak banyak keterangan yang didapati tentang kisah Nabi Idris
di dalam Al-Quran mahupun dalam kitab-kitab Tafsir dan kitab-
kitab sejarah nabi-nabi. Di dalam Al-Quran hanya terdapat dua
ayat tentang Nabi Idris iaitu dalam surah Maryam ayat 56 dan
57,

56@ " Dan ceritakanlah (hai Muhammad kepada mereka, kisah)
Idris yang terdapat tersebut di dalam Al-Quran. Sesungguhnya
ia adalah seorang yang sangat membenarkan dan seorang nabi.

57@ Dan Kami telah mengangkatnya ke martabat yang tinggi."
{ Surah Maryam : 56 - 57 }

Nabi Idris adalah keturunan keenam dari Nabi Adam adalah
keturunan pertama yang dikurniai kenabian menjadi Nabi setelah
Adam dan Syith. Nabi Idris menurut sementara riwayat bermukim
di Mesir di mana ia berdakwah untuk agama Allah mengajarkan
Tauhid dan berIbadat menyembah Allah serta memberi beberapa
pedoman hidup bagi pengikut-pengikutnya agar menyelamat diri
dari seksaan di akhirat dan kehancuran serta kebinasaan
di dunia. Ia hidup sampai usia 82 tahun.

Nabi Idris merupakan bapa Nabi Nuh a.s. dan beliau tegas dalam
memerangi orang-orang yang derhaka kepada Allah s.w.t.

* Gelaran Nabi Idris.*

" Idris " ini adalah nama gelaran kerana ia banyak mempelajari
sahifah-sahifah yang diturunkan kepada Nabi Adam a.s., Nabi
Syith dan dirinya sendiri iaitu, sebanyak 90 suhuf semuanya
iaitu, Nabi Adam 10 Suhuf, Nabi Syith 50 Suhuf dan Nabi Idris
(sendiri) 30 Suhuf.

Beliau menimba pelbagai ilmu dan beliau diangkat menjadi Nabi
dan Rasul. Nama sebenarnya adalah, Akhnuh. Nabi Idris a.s.
ditinggikan Allah darjatnya, kerana beliau adalah orang yang
soleh dan bersabar.

* Kandungan Suhuf dan Amanat Nabi Idris.*

Beliau menurunkan 30 amanat yang berisi petunjuk daripada
Allah untuk di sampaikan kepada umatnya, iaitu untuk keturunan
Qabil yang derhaka kepada Allah s.w.t.

Di antara beberapa nasihat dan kata-kata mutiaranya ialah, ~

1@ KeSabaran yang disertai iman kepada Allah membawa
kemenangan.

2@ Orang yang bahagia ialah orang yang berWaspada/berhati-hati
dan mengharapkan syafaat dari Tuhannya dengan amal-amal
solehnya.

3@ Bila kamu memohon sesuatu kepada Allah dan berdoa maka
Ikhlaskanlah niatmu demikian pula puasa dan solatmu.

4@ Janganlah bersumpah dalam keadaan kamu berdusta dan
janganlah menuntut sumpah dari orang yang berdusta agar kamu
tidak menyekutui mereka dalam dosa.

5@ Taatlah kepada raja-rajamu dan tunduklah kepada pembesar-
pembesarmu serta penuhilah selalu mulut-mulutmu dengan ucapan
syukur dan puji kepada Allah.

6@ Janganlah iri hati kepada orang-orang yang baik nasibnya,
kerana mereka tidak akan banyak dan lama menikmati kebaikan
nasibnya.

7@ Barang siapa melampaui keSederhanaan tidak sesuatu pun akan
memuaskannya.

8@ Tanpa membahagi-bagikan nikmat yang diperolehnya, seorang
itu seperti tidak bersyukur kepada Allah atas nikmat-nikmat
yang diperolehinya itu.

Dalam hubungan dengan firman Allah bahawa Nabi Idris diangkat
ke martabat tinggi. Ibnu Abi Hatim dalam tafsirnya
meriwayatkan bahawa Nabi Idris wafat tatkala berada di langit
ke empat dibawa oleh seorang Malaikat.

* Exxxtra Info, Tambahan Maklumat...^^..

* Nabi Idris A.S. Melawat Perkampungan Akhirat...
..

Nabi Idris A.S. sentiasa beribadat kepada Allah SWT. Baginda
mendapat pujian daripada Malaikat Izrail. Malaikat Izrail
meminta izin daripada Allah SWT untuk melawat Nabi Idris A.S.
Malaikat Izrail menyamar sebagai seorang pemuda.

Dia membawa makanan kepada Nabi Idris A.S. yang berpuasa.
Nabi Idris A.S. berbuka puasa dan beribadat sehingga subuh.
Malaikat Izrail menunggu baginda.

Malaikat Izrail dan Nabi Idris A.S. melihat-lihat keindahan
alam. Mereka melihat pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan. Nabi
Idris A.S. melihat beberapa keanehan pada diri pemuda itu.
Baginda tertanya-tanya akan pemuda itu.

Nabi Idris A.S. bertanya, " Siapakah kamu sebenarnya ?" Pemuda
itu memberitahu bahawa dia Malaikat Izrail atau Malaikat Maut.
Nabi Idris A.S. mahu merasai kewafatan. Baginda memohon
Malaikat Izrail mengambil nyawa baginda. Allah SWT mengizinkan
Malaikat Izrail mengambil nyawa Nabi Idris A.S.

Malaikat Izrail menangis melihat Nabi Idris A.S. wafat. Ia
memohon kepada Allah SWT supaya menghidupkan baginda semula.
Nabi Idris A.S. ingin melihat Neraka. Malaikat Izrail membawa
baginda melihat Neraka. Nabi Idris A.S. melihat pelbagai
seksaan Allah SWT seperti rantai-rantai yang panas, ular yang
berbisa dan lain-lain.

Nabi Idris A.S. memohon kepada Malaikat Izrail membawa baginda
masuk ke dalam Syurga. Nabi Idris A.S. melihat keindahan
Syurga. Baginda tidak mahu keluar dari Syurga. Allah SWT
membenarkan baginda tinggal di Syurga.

Betapa hebat mukjizat Nabi Idris A.S. Baginda dapat merasai
wafat dan melawat perkampungan akhirat. Baginda juga tidak
wafat dan tinggal di dalam Syurga.

posted from Bloggeroid

Riwayat Nabi Adam (001)...^^..

Riwayat Nabi Adam (001)...^^..

Setelah Allah s.w.t. menciptakan bumi dengan gunung-gunungnya,
laut-lautannya dan tumbuh-tumbuhannya, menciptakan langit
dengan mataharinya, bulan dan bintang-bintangnya yang
bergemerlapan dan menciptakan malaikat.

Malaikat ialah sejenis makhluk halus yang diciptakan untuk
beribadah, menjadi perantara antara Zat Yang Maha Kuasa dengan
hamba-hamba terutama para rasul dan nabinya. Maka tibalah
kehendak Allah s.w.t. untuk menciptakan sejenis makhluk lain
yang akan menghuni dan mengisi bumi memeliharanya menikmati
tumbuh-tumbuhannya, menguruskan kekayaan yang terpendam
di dalamnya dan berkembang biak, turun-temurun, waris-mewarisi
sepanjang masa yang telah ditakdirkan baginya.

* Kekhuatiran Para Malaikat*

Para malaikat ketika diberitahukan oleh Allah s.w.t. akan
kehendakNya menciptakan makhluk lain itu, mereka khuatir
kalau-kalau kehendak Allah menciptakan makhluk yang lain itu,
disebabkan kecuaian atau kelalaian mereka dalam ibadah dan
menjalankan tugas atau kerana pelanggaran yang mereka lakukan
tanpa disadari.

Berkata mereka kepada Allah s.w.t., " Wahai Tuhan kami ! Buat
apa Tuhan menciptakan makhluk lain selain kami, padahal kami
selalu bertasbih, bertahmid, melakukan ibadah dan mengagungkan
namaMu tanpa henti-hentinya, sedang makhluk yang Tuhan akan
ciptakan dan turunkan ke bumi itu, nescaya akan bertengkar
satu dengan lain, akan saling bunuh-membunuh berebutan
menguasai kekayaan alam yang terlihat diatasnya dan terpendam
di dalamnya, sehingga akan terjadilah kerosakan dan kehancuran
di atas bumi yang Tuhan ciptakan itu."

Allah berfirman, menghilangkan kekhuatiran para malaikat itu,
" Aku mengetahui apa yang kamu tidak ketahui dan Aku
sendirilah yang mengetahui hikmat penguasaan Bani Adam atas
bumiKu. Bila Aku telah menciptakannya dan meniupkan roh
kepadanya, bersujudlah kamu di hadapan makhluk baru itu
sebagai penghormatan dan bukan sebagai sujud ibadah, kerana
Allah s.w.t. melarang hambaNya beribadah kepada sesama
makhlukNya."

Kemudian diciptakanlah Adam oleh Allah s.w.t. dari segumpal
tanah liat, kering dan lumpur hitam yang berbentuk. Setelah
disempurnakan bentuknya, ditiupkanlah roh ciptaan Tuhan
ke dalamnya dan berdirilah ia tegak menjadi manusia yang
sempurna.

* Iblis Membangkang*

Iblis membangkang dan enggan mematuhi perintah Allah seperti
para malaikat yang lain, yang segera bersujud di hadapan Adam
sebagai penghormatan bagi makhluk Allah yang akan diberi
amanat menguasai bumi dengan segala apa yang hidup dan tumbuh
di atasnya serta yang terpendam di dalamnya.

Iblis merasa dirinya lebih mulia, lebih utama dan lebih agung
dari Adam, kerana ia diciptakan dari unsur api, sedang Adam
pula dari tanah dan lumpur. Kebanggaannya dengan asal-usulnya
menjadikan ia sombong dan merasa rendah untuk bersujud
menghormati Adam seperti para malaikat yang lain, walaupun
diperintah oleh Allah.

Tuhan bertanya kepada Iblis, " Apakah yang mencegahmu sujud
menghormati sesuatu yang telah Aku ciptakan dengan tanganKu ?"
Iblis menjawab, " Aku adalah lebih mulia dan lebih unggul dari
dia. Engkau ciptakan aku dari api dan menciptakannya dari
lumpur."

Kerana kesombongan, keegoan dan sifat suka membangkang
melakukan sujud yang diperintahkan, maka Allah menghukum Iblis
dengan mengusir dari syurga dan mengeluarkannya dari barisan
malaikat dengan disertai kutukan dan laknat yang akan melekat
pada dirinya hingga hari kiamat. Di samping itu ia dinyatakan
sebagai penghuni neraka.

Iblis dengan sombongnya menerima dengan baik hukuman Tuhan itu
dan ia hanya mohon agar kepadanya diberi kesempatan untuk
hidup kekal hingga hari kebangkitan/kembali di hari kiamat.
Allah meluluskan permohonannya dan ditangguhkanlah ia sampai
hari kebangkitan, tidak berterima kasih dan bersyukur atas
pemberian jaminan itu, bahkan sebaliknya ia mengancam akan
menyesatkan Adam, sebagai sebab terusirnya dia dari syurga.

Ia dikeluarkan dari barisan malaikat, dan akan mendatangi
anak-anak keturunannya Adam dari segala sudut untuk memujuk
mereka meninggalkan jalan yang lurus dan bersamanya menempuh
jalan yang sesat, mengajak mereka melakukan maksiat dan hal-
hal yang terlarang, menggoda mereka supaya melalaikan
perintah-perintah agama dan mempengaruhi mereka agar menjadi
tidak bersyukur dan tidak beramal soleh.

Kemudian Allah berfirman kepada Iblis yang terkutuk itu,
" Pergilah engkau bersama pengikut-pengikutmu yang semuanya
akan menjadi isi neraka Jahanam dan bahan bakar neraka. Engkau
tidak akan berdaya menyesatkan hamba-hambaKu yang telah
beriman kepadaKu dengan sepenuh hatinya dan memiliki aqidah
yang mantap yang tidak akan tergoyah oleh rayuanmu walaupun
engkau menggunakan segala kepandaianmu menghasut dan
memfitnah."

* Pengetahuan Adam Tentang Nama-Nama Benda.*

Allah hendak menghilangkan anggapan rendah para malaikat
terhadap Adam dan menyakinkan mereka akan kebenaran hikmatNya
menunjuk Adam sebagai penguasa bumi, maka diajarkanlah kepada
Adam, nama-nama benda yang berada di alam semesta, kemudian
diperagakanlah benda-benda itu di depan para malaikat seraya
berkata,

" Cubalah sebutkan bagiKu nama benda-benda itu, jika kamu
benar merasa lebih mengetahui dan lebih mengerti dari Adam."
Para malaikat tidak berdaya memenuhi tentangan Allah untuk
menyebut nama-nama benda yang berada di depan mereka. Mereka
mengakui ketidaksanggupan mereka dengan berkata,

" Maha Agung Engkau ! Sesungguhnya kami tidak memiliki
pengetahuan tentang sesuatu, kecuali apa yang Tuhan ajarkan
kepada kami. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui dan
Maha Bijaksana."

Adam lalu diperintahkan oleh Allah untuk memberitahu nama-nama
benda itu kepada para malaikat dan setelah diberitahukan oleh
Adam tentang nama dan fungsi benda-benda tersebut,
berfirmanlah Allah kepada mereka (malaikat),

" Bukankah Aku telah katakan padamu bahawa Aku mengetahui
rahsia langit dan bumi dan mengetahui apa yang kamu lahirkan
dan apa yang kamu sembunyikan."

* Adam Menghuni Syurga.*

Adam diberi tempat oleh Allah di syurga dan baginya
diciptakanlah Hawa untuk mendampinginya dan menjadi teman
hidupnya, menghilangkan rasa kesepiannya dan melengkapi
keperluan fitrahnya untuk mengembangkan keturunan. Menurut
cerita para ulama, Hawa diciptakan oleh Allah dari salah satu
tulang rusuk Adam yang di sebelah kiri, di waktu ia masih
tidur sehingga ketika ia terjaga, ia melihat Hawa sudah berada
di sampingnya.

Ia ditanya oleh malaikat, " Wahai Adam ! Apa dan siapakah
makhluk yang berada di sampingmu itu ?" Berkatalah Adam,
" Seorang perempuan." Sesuai dengan fitrah yang telah
di ilhamkan oleh Allah kepadanya. " Siapa namanya ?" Tanya
malaikat lagi. " Hawa", Jawab Adam.

" Untuk apa Tuhan menciptakan makhluk ini ?", Tanya malaikat
lagi. Adam menjawab, " Untuk mendampingiku, memberi kebahagian
bagiku dan mengisi keperluan hidupku sesuai dengan kehendak
Allah."

Allah berpesan kepada Adam, " Tinggallah engkau bersama
isterimu di syurga, rasakanlah kenikmatan yang berlimpah-
limpah di dalamnya, rasailah dan makanlah buah-buahan yang
lazat yang terdapat di dalamnya sepuas hatimu dan sekehendak
nasfumu. Kamu tidak akan mengalami atau merasa lapar, dahaga
ataupun letih selama kamu berada di dalamnya.

Akan tetapi, Aku ingatkan janganlah makan buah dari pohon ini
yang akan menyebabkan kamu celaka dan termasuk orang-orang
yang zalim. Ketahuilah bahawa Iblis itu adalah musuhmu dan
musuh isterimu, ia akan berusaha memujuk kamu dan menyeret
kamu keluar dari syurga sehingga hilanglah kebahagiaan yang
kamu sedang nikmati ini."

* Iblis Mulai Beraksi/Bertindak.*

Sesuai dengan ancaman yang diucapkan ketika diusir oleh Allah
dari Syurga akibat pembangkangannya dan terdorong pula oleh
rasa iri hati dan dengki terhadap Adam yang menjadi sebab
sampai ia terkutuk dan terlaknat selama-lamanya tersingkir
dari singgahsana kebesarannya.

Iblis mulai menunjukkan rancangan penyesatannya kepada Adam
dan Hawa yang sedang hidup berdua di syurga yang tenteram,
damai dan bahagia.

Ia mendekati Adam dan Hawa dan menyatakan kepada mereka bahawa
ia adalah kawan mereka dan ingin memberi nasihat dan petunjuk
untuk kebaikan dan mengekalkan kebahagiaan mereka. Segala cara
dan kata-kata halus digunakan oleh Iblis untuk mendapatkan
kepercayaan Adam dan Hawa bahawa ia betul-betul jujur dalam
nasihat dan petunjuknya kepada mereka.

Ia membisikkan kepada mereka bahawa larangan Tuhan kepada
mereka memakan buah-buah yang ditunjuk itu adalah kerana
dengan memakan buah itu mereka akan menjelma menjadi malaikat
dan akan hidup kekal.

Diulang-ulangilah pujukkannya dengan menunjukkan akan harumnya
bau pohon yang dilarang (indah bentuk buahnya dan lazat
rasanya).

Sehingga pada akhirnya termakanlah pujukan yang halus itu oleh
Adam dan Hawa dan dilanggarnya larangan Tuhan. Allah mencela
perbuatan mereka itu dan berfirman yang bermaksud,

" Tidakkah Aku mencegah kamu mendekati pohon itu dan memakan
dari buahnya dan tidakkah Aku telah ingatkan kamu bahawa
syaitan itu adalah musuhmu yang nyata."

Adam dan Hawa mendengar firman Allah itu sedarlah mereka
bahawa mereka telah melanggar perintah Allah dan bahawa mereka
telah melakukan suatu kesalahan dan dosa besar. Seraya
menyesal berkatalah mereka,

" Wahai Tuhan kami ! Kami telah menganiaya diri kami sendiri
dan telah melanggar perintahMu kerana terkena pujukan Iblis.
Ampunilah dosa kami, kerana nescaya kami akan tergolong orang-
orang yang rugi bila Engkau tidak mengampuni dan mengasihi
kami."

* Adam dan Hawa Diturunkan Ke Bumi.*

Allah telah menerima taubat Adam dan Hawa serta mengampuni
perbuatan pelanggaran perintah yang mereka telah lakukan, yang
mana telah melegakan dada mereka dan menghilangkan rasa sedih
akibat kelalaian peringatan Tuhan tentang Iblis sehingga
terjerumus menjadi mangsa pujukan dan rayuannya yang manis
namun beracun itu.

Adam dan Hawa merasa tenteram kembali setelah menerima
pengampunan Allah dan selanjutnya akan berhati-hati agar tidak
tertipu lagi oleh pujukan Iblis. Mereka juga akan berusaha
tidak menimbulkan murka dan menerima teguran Tuhan itu menjadi
pengajaran bagi mereka berdua untuk lebih berhati-hati
menghadapi tipu daya dan pujukan Iblis yang terlaknat itu.

Harapan untuk tinggal terus di syurga yang telah pudar kerana
perbuatan pelanggaran perintah Allah, hidup kembali dalam hati
dan fikiran Adam dan Hawa yang merasa kenikmatan dan
kebahagiaan hidup mereka di syurga tidak akan terganggu oleh
sesuatu dan bahawa redha Allah serta rahmatnya akan tetap
melimpah di atas mereka untuk selama-lamanya.

Akan tetapi Allah telah menentukan dalam takdirNya apa yang
tidak terlintas dalam hati dan tidak terfikirkan oleh mereka.
Allah s.w.t. yang telah menentukan dalam takdirnya bahawa bumi
yang penuh dengan kekayaan untuk di amanahkan kepada manusia
berketurunan Adam. Allah s.w.t. memerintahkan Adam dan Hawa
turun ke bumi sebagai benih pertama dari hamba-hambanya yang
bernama manusia itu.

Berfirmanlah Allah kepada mereka, " Turunlah kamu ke bumi,
sebagian daripada kamu menjadi musuh bagi sebagian yang lain,
kamu dapat tinggal tetap dan hidup di sana hingga sampai waktu
yang telah ditentukan (Dengan Jalan Kematian)."

Turunlah Adam dan Hawa ke bumi menghadapi cara hidup baru yang
jauh berlainan dengan hidup di syurga yang pernah dialami dan
yang tidak akan berulang kembali. Mereka harus menempuh hidup
di dunia yang fana ini dengan suka dan dukanya dan akan
menurunkan umat manusia yang beraneka ragam sifat dan
tabiatnya berbeza-beza warna kulit dan kecerdasan otaknya.

Umat manusia yang akan berkelompok-kelompok menjadi suku-suku
dan bangsa-bangsa, di mana yang satu menjadi musuh yang lain,
saling bunuh-membunuh, aniaya-menganianya dan tindas-menindas
sehingga dari waktu ke waktu Allah mengutus nabi-nabiNya dan
rasul-rasulNya memimpin hamba-hambaNya ke jalan yang lurus,
penuh damai, kasih sayang di antara sesama manusia jalan yang
menuju kepada redhaNya dan kebahagiaan manusia di dunia dan
akhirat.

* Kisah Adam dalam Al-Quran.*

Al Quran menceritakan kisah Adam dalam beberapa surah
di antaranya surah Al Baqarah ayat 30 sehingga ayat 38 dan
surah Al A'raaf ayat 11 sehingga 25.

* Pengajaran Yang Terdapat Dari Kisah Adam.*

Bahawasanya hikmah yang terkandung dalam perintah-perintah dan
larangan-larangan Allah dan dalam apa yang diciptakannya
kadangkala tidak atau belum dapat dicapai oleh otak manusia
bahkan oleh makhlukNya yang terdekat sebagaimana telah
di alami oleh para malaikat tatkala diberitahu bahawa Allah
akan menciptakan manusia berketurunan Adam untuk menjadi
khalifahNya di bumi sehingga mereka seakan-akan merasa
keberatan dan bertanya-tanya mengapa dan untuk apa Allah
menciptakan jenis makhluk lain daripada mereka yang sudah
patuh rajin beribadat, bertasbih, bertahmid dan mengagungkan
namaNya.

Bahawasanya manusia walaupun ia telah dikurniakan kecergasan
berfikir dan kekuatan fizikal dan mental. Tetapi, ia tetap
mempunyai beberapa kelemahan pada dirinya seperti sifat lalai,
lupa dan khilaf. Hal yang telah terjadi pada diri Nabi Adam
yang walaupun ia telah menjadi manusia yang sempurna dan
dikurniakan kedudukan yang istimewa di syurga, ia tetap tidak
terhindar dari sifat-sifat manusia yang lemah itu.

Ia telah lupa dan melalaikan peringatan Allah kepadanya
tentang pohon terlarang dan tentang Iblis yang menjadi
musuhnya dan musuh seluruh keturunannya, sehingga terperangkap
ke dalam tipu daya dan terjadilah pelanggaran pertama yang
dilakukan oleh manusia terhadap larangan Allah.

Bahawasanya seseorang yang telah terlanjur melakukan maksiat
dan berbuat dosa tidaklah, ia sepatutnya berputus asa dari
rahmat dan ampunan Tuhan. Asalkan ia sedar akan kesalahannya
dan bertaubat tidak akan melakukannya kembali. Rahmat Allah
dan maghfirahNya meliputi segala dosa yang diperbuat oleh
hambaNya kecuali syirik. Bagaimana besar pun dosa itu asalkan
diikuti dengan kesedaran bertaubat dan pengakuan kesalahan
kepada Allah.

Sifat sombong dan bongkak selalu membawa akibat kerugian dan
kebinasaan. Lihatlah Iblis yang turun dari singgahsananya
dilucutkan kedudukannya sebagai seorang malaikat dan diusir
oleh Allah dari syurga dengan disertai kutukan dan laknat yang
akan melekat kepada dirinya hingga hari Kiamat.

Kerana kesombongannya dan kebanggaaannya dengan asal-usulnya
sehingga ia menganggap dan memandang rendah kepada Nabi Adam
dan menolak untuk sujud menghormatinya walaupun diperintahkan
oleh Allah s.w.t.

posted from Bloggeroid